terima kasih buat kalian semua..

Thursday, December 22, 2011

Kenapa beri layanan 'emas' pada skuad Singapura dalam Liga Malaysia????


SEBUAH pasukan bola sepak Singapura atau mahu dikenali sebagai Lions XII kembali dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia mulai musim 2012 selepas Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menarik diri daripada persaingan di sini sejak 1995.

Pelik juga mengapa FAS sanggup mempertaruhkan sebuah pasukan yang hampir mirip pasukan kebangsaan (kerana di antara pemainnya bertaraf dan berpengalaman aksi senior antarabangsa) ke liga kita? Kenapa baru sekarang mereka sudi datang selepas menjauhi diri selama 17 tahun?

Adakah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang terhegeh-hegeh mengundang mereka dan membentangkan umpama karpet merah buat lawan dari seberang Tambak Johor ini? Atau setelah 'jiran' itu menyedari dan mengakui kehebatan pasukan kita sejak menjulang Piala Suzuki AFF 2010 dan menjuarai Sukan SEA 2009 dan 2011?

Semakin pelik apabila bermacam-macam pula keistimewaan (atau layak dipanggil konsesi macam konsesi bekalan air mentah kita) yang diberikan FAM sehinggakan masih bersikap 'tidak mengapa' apabila Lions XII memutuskan untuk membariskan lebih ramai pemain berusia 23 tahun ke atas.

Adakah FAS sudah mengumumkan butiran terperinci format Liga Singapura mereka kepada FAM? Saya sebagai peminat tanah air, masih tertanya-tanya adilkah anak buah Ong Kim Swee (skuad bawah 23 tahun kita, Harimau Muda A) dilayan mereka di sana nanti?

Yang peliknya FAS turut dibenarkan menetapkan harga tiket perlawanan Liga M sesuka hati mereka tanpa melibatkan pemantauan FAM. Di mana fungsinya peranan jawatankuasa berkenaan dalam FAM? Siapa tuan rumah atau pengelola pertandingan sebenarnya - FAM atau FAS?

Bukankah tukaran wang asing masih menyebelahi dolar Singapura? Sedarkah FAM betapa untungnya FAS dan republik itu apabila bukan satu atau dua pasukan tempatan yang akan menyeberangi Tambak Johor untuk ke Stadium Jalan Besar? Bagaimana dengan perbelanjaan sampingan mereka ke sana lagi?

Malaysia ada Selangor, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah dan banyak lagi pasukan yang memiliki ramai penyokong setia. Tetapi Singapura cuma memiliki Lions XII. Berapa keratkah warganya yang sesetia peminat kita untuk mengunjungi Shah Alam, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Seremban, Ipoh dan Alor Setar atau sanggup menaiki penerbangan ke Sabah dan Sarawak?

Khabarnya Lions XII turut dijamin kekal automatik mulai Liga Super 2013 hingga 2016 tidak kira apa pun pencapaiannya apabila musim depan berakhir. Anak tempatan berhempas pulas di tengah padang, alih-alih orang asing yang baru muncul setelah tergamak meninggalkan kita 17 tahun lalu, 'direnjis dengan air mawar' atau dilayan macam tetamu agung.

Terlupakah kita dengan pepatah Melayu, 'buat baik berpada-pada'. Inikah fair play menurut kaca mata FAM? Kerana kononnya taksub untuk mengembalikan nostalgia Selangor-Singapura seperti Piala Malaysia lalu, maka sanggup kita gadaikan yang hak dan yang batil?

Saya meragui kejujuran 'jiran' itu. Pada saya, mereka hanyalah bersifat 'kawan semasa kita senang'. Bagaimana sikap mereka sewaktu kita susah?

PEMINAT HARIMAU MALAYA
Klang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...