terima kasih buat kalian semua..

Friday, December 16, 2011

Kutbah Jumaat: Taat rakyat kepada Seri Paduka adalah dituntut ...


SISTEM perlantikan Yang di-Pertuan Agong diamalkan di negara ini unik dan istimewa yang menjadi tonggak kestabilan negara serta mengukuhkan lagi institusi Raja Berperlembagaan.

Apa yang jelas, sistem perlantikan dan penggiliran membolehkan rakyat menghayati kesinambungan sejarah silam dan kehidupan masa kini yang secara tidak langsung menyerlahkan identiti sebuah negara berdaulat.

Menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia tidak berbelah bagi kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah negara.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan taatlah kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah an-Nisa’, ayat 59)

Mengikut sejarah ketamadunan Islam, golongan umara’ dan ulama adalah dua golongan dihormati masyarakat. Golongan ini sentiasa menjadi perhatian dan amat berpengaruh. Disebabkan itu, ketika Islam mula bertapak di Tanah Melayu, alim ulama diberi pengiktirafan sebagai penasihat kepada Sultan atau Raja.

Pengiktirafan begitu tinggi bertepatan prinsip Islam yang menjunjung kedudukan ulama dan selaras sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Anas bin malik: “Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesungguhnya penguasa atau pemerintah yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi.”
Menjelaskan peranan umara’, Khalifah Umar al-Khattab pernah memberi nasihat dan peringatan kepada Gabenor Mesir ketika itu, Abu Musa al-Asy’ari: “Penguasa yang paling berbahagia ialah mereka yang rakyatnya merasa bahagia hidup di bawah pemerintahannya. Sementara penguasa yang paling celaka pula ialah mereka yang rakyatnya merasa celaka hidup di bawah pemerintahannya. Ingat jangan hidup bermewahan kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingkan diri kamu sama seperti binatang ternakan. Apabila binatang itu dibawa ke padang rumput yang menghijau ia akan makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya kerana ia akan disembelih untuk dimakan.”

Imam al-Ghazali ketika mengulas peranan ulama dan umara’ pada zamannya menyatakan: “Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama melakukan kerja amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengira sangat kekejaman pemerintah. Mereka percaya Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid jika ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang lidah ulama menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama. Sementara ulama pula rosak kerana tamak harta dan pang-kat.”

Diriwayatkan daripada Abu Naim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama dan umara’.”

Bagaimana memperkasakan hubungan ulama dan umara’? Melalui nasihat dan saling hormat menghormati sebagai cara mengeratkan hubungan ulama dan umara’. Ulama mesti berintergriti, ikhlas, jujur, berpandangan luas dan memberi nasihat berlandaskan kepada kebenaran tanpa dipengaruhi mana-mana pihak atau fahaman tertentu.

Begitu juga dengan umara’, mereka mestilah bersikap terbuka dalam menerima nasihat dan pandangan serta mampu membina kerjasama baik dengan mana-mana pihak. Ingatlah, hubungan ulama dan umara’ ibarat aur dengan tebing dan perkongsian bijak mereka akan membawa rahmat kepada negara dan ummah.

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...