terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, December 13, 2011

Lupa kerana kekasih ....


“MEMANG sukar untuk melahirkan isi hati ini, kerana saya terlalu kecewa, amat sakit hati, lelah, dan terpaksa melalui kehidupan anak-beranak dalam kesempitan.

Sedangkan saya telah berusaha dan bekerja keras membina hidup agar keluar dari kemiskinan. Malangnya ujian yang dilalui merobek segalanya. Hanya Allah yang tahu bila penghujungnya.

“Saya berkahwin lebih 16 tahun sebaik sahaja tamat diploma. Kami datang dari keluarga susah, tetapi ketika belajar dah dapat kekasih rakan sekuliah yang sehati sejiwa. Ketika itu dunia terasa begitu indah, ke mana pergi berdua. Ibu dan ayah bimbang, lantas merelakan kami segera kahwin takut kalah godaan nafsu.” Demikian cerita Jamaliah dalam emelnya.

“Memulakan hidup di kota metropolitan Kuala Lumpur terasa amat sukar. Namun hati bahagia kerana masing-masing saling mencintai dan memahami. Mengusung perut sambil menaiki motosikal Roslizam, suami tercinta pergi bekerja jadi amalan biasa.

“Setelah dapat dua anak dan memikirkan desakan hidup yang mencabar kami ingin membaiki taraf hidup kami bertekad sambung belajar. Disebabkan kami belajar berasingan saya di utara dan Roslizam di selatan maka kami terpaksa hantar anak ke kampung untuk ibu jaga. Masa dan wang begitu berharga saat itu. Walau jadual penuh tetapi saya kuatkan kudrat dan semangat pulang bertemu anak di kampung serta Roslizam. Tetapi Roslizam saya lihat rileks, tak balik kampung, sebaliknya sibuk dengan rakan sekuliah dan melayan telefonnya.

“Saya dapati dia mula curang. Kerana saya cepat sedar dia minta maaf dan kami berdamai. Akhirnya kami berdua berjaya menggenggam segulung ijazah. Masa berlalu, masing-masing berada dalam posisi yang lebih baik. Anak bertambah empat orang. Tetapi Roslizam semakin sibuk di luar rumah. Dah pandai bergaya dan pulang larut malam. Rupa-rupanya dia buat hal lagi membuatkan kami sering bergaduh. Dia semakin liar, pandai menipu. Lebih teruk dia jadi kedekut tidak mahu berbelanja untuk keluarga.

“Dia sanggup menipu ada urusan luar daerah sedangkan sebenarnya dia ke Perlis, bila pulang saya lihat gambar dia dengan wanita separuh bogel dalam komputer dan telefonnya. Untuk lebih pasti saya jumpa resit hotel, restoran dan resit membeli minyak wangi dan pakaian wanita, sedangkan untuk beli makanan anak-anak dia amat berkira.

Rakaman gambar

“Satu malam Roslizam balik lewat dia terus cas telefonnya. Dia sangka saya tidur dan dia terus melayari Internet. Lantas saya buka telefonnya. Alangkah terkejutnya bila lihat rakaman gambar dia sedang buat hubungan seks dengan wanita lain. Dan kami gaduh lagi. Nak dijadikan cerita ketika itu saya sedang hamil.

“Sebulan sebelum bersalin Roslizam beritahu dia hendak nikah satu lagi. Tiada langsung rasa simpatinya pada saya yang akan bersalin tak lama lagi.

“Jadual pembedahan terpaksa dipercepatkan kerana tekanan darah meningkat mendadak. Saya ke hospital sendirian dan masuk bilik pembedahan dengan iringan tangisan air mata kerana terasa amat sedih dihina begini.

“Masa berpantang terasa amat sengsara. Saya ditinggalkan bersama anak-anak, dan saya tak boleh bertanya, akibatnya akan dipukul walaupun depan anak.

“Jiran turut simpati dan kerap membantu. Tidak tahan lagi dengan sepak terajangnya saya buat laporan polis. Hinggakan saya jadi terkenal di pejabat polis kerana sering buat aduan. Pihak mahkamah menasihatkan saya duduk berasingan kerana ancaman keselamatan. Badan saya tidak terdaya lagi menanggungnya.

“Roslizam tak mahu ceraikan saya, katanya dia bukan bodoh kerana terpaksa kena potong gaji untuk bayar nafkah anak. Saya tahu dia tidak layak berpoligami hanya ego dan nafsu sahaja yang menguasainya. Demi keselamatan dan mengubat hati yang parah saya bawa semua lima anak berpindah ke utara tanah air. Roslizam tidak mahu ambil walau seorang pun. Di sini saya memulakan hidup baru dalam keadaan serba kekurangan dan kemiskinan. Tak lama kemudian Roslizam cabar saya buat tuntutan fasakh. Proses berjalan hampir dua tahun kerana dia sering lengahkan perbicaraan tidak hadir mahkamah. Saya jadi papa kedana kerana habis wang lantik peguam. Akhirnya dia ceraikan saya kerana nak cepat kahwin.

“Roslizam tidak mahu beri nafkah anaknya seramai lima orang. Saya kesal kerana anak-anak turut hidup susah gara-gara ayah mereka. Adakala mereka memberontak kerana kemahuan tidak dipenuhi. Anak lelaki yang bersekolah menengah mula bersikap kurang ajar apabila ditegur. Ini yang membingungkan saya. Saya hanya mampu menangis dan berdoa semoga penderitaan ini segera berakhir.

“Kepada kaum lelaki ingatlah jangan bina istana atas penderitaan orang lain. Jangan lupa daratan dengan sedikit kesenangan yang Allah beri, satu hari nanti Allah akan uji apabila semua kesenangan itu Allah tarik semula.

“Kepada mahkamah syariah tolonglah percepatkan urusan perceraian kerana ia menyusahkan wanita dan anak-anaknya. Saya mohon jadikanlah undang-undang, setiap lelaki yang hendak ceraikan isterinya atau berkahwin lagi tolong buat potongan gaji untuk nafkah anak-anak.

“Selesaikan segera pembahagian harta sepencarian. Tak perlu tunggu peguam, sebab yang kaya adalah peguam yang menderita adalah wanita yang diceraikan yang bergelar ibu tunggal. Itu luahan hati Jamaliah yang hidupnya amat terseksa kerana tidak mendapat nafkah dari bekas suaminya dan diseksa fizikal dan psikologinya

1 comment:

  1. aku,kamu,kita,mereka....January 17, 2013 at 10:30 AM

    diharap luahan ini dapat membuka mata semua pihak yang berkaitan. jangan menyusahkan pihak yang sudah sedia susah dengan pelbagai kerenah dan dokumentasi yang sememangnya hanya membebankan.....

    kita patut contohi proses perkahwinan dan perceraian di Singapura. Teratur, nafkah anak terjamin dan khidmat guaman percuma disediakan.

    Tidak semua kita orang berduit, tapi di sini semua masalah tidak akan selesai tanpa duit!!!

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...