terima kasih buat kalian semua..

Friday, December 16, 2011

SBPA mansuh 29,000 jawatan elak wujud pertindihan, pembaziran ...


TIDAK dinafikan kecekapan kakitangan awam asas utama kejayaan pelbagai program transformasi kerajaan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam usaha meningkatkan daya saing negara ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Justeru, jangan melenting apabila kerajaan memilih pendekatan meminta kakitangan awam yang gagal menunjukkan prestasi baik supaya bersara awal atau memilih kerjaya lain menerusi dasar pemisah atau exit policy kerana memang tanggungjawab kerajaan bagi membuang duri dalam daging demi memantapkan tadbir urus negara.

Sepatutnya, hanya siapa yang makan cili akan berasa pedasnya dan mereka yang dimaksudkan ini wajar mencermin diri dan mempersoalkan kenapa kerajaan perlu menggaji dan terus menjaga kebajikan mereka selepas berpencen walaupun ketika bekerja, ada yang rekod perkhidmatannya buruk, sering curi tulang, melakukan penipuan, salah guna kuasa atau pelbagai jenayah lain.
Atas kesedaran itu, kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah baru-baru ini, kira-kira 15,400 kakitangan awam yang berprestasi rendah iaitu mendapat markah penilaian 69 peratus ke bawah, akan disiasat oleh panel khusus untuk tempoh enam bulan.

Ini membabitkan 1.1 peratus daripada 1.4 juta kakitangan awam di seluruh negara dan panel terbabit akan memberi cadangan sama ada mungkin memindahkan mereka ke jabatan lebih sesuai dengan bakatnya atau diminta bersara awal sekiranya mempunyai rekod prestasi buruk bagi tempoh yang lama.

Pada masa sama, kerajaan harus melakar hala tuju lebih jelas, termasuk memperketatkan tadbir urus, wujudkan sistem memberi ganjaran dan menghukum berasaskan mutu kerja seseorang penjawat awam, menyelaras indeks produktiviti dan merangka pelan pelaksanaan memansuhkan jawatan kerajaan yang tidak lagi diperlukan.

Abu Bakar dipetik berkata, 29,000 jawatan akan dimansuhkan di bawah SBPA berdasarkan enam strategi inisiatif perkhidmatan awam iaitu kawalan saiz, kajian pertindihan fungsi, penjajaran fungsi utama, perkhidmatan boleh diserah urus, perekayasan proses kerja dan kajian semakan skim perkhidmatan.
Pada masa sama, semua kakitangan awam, termasuk semua peringkat perjawatan, harus dipantau bagi mengekang perbelanjaan yang membazir, kecuaian menilai barangan yang hendak dibeli dan salah guna dana awam, seperti didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara tempoh hari.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) harus mewajibkan kakitangan setiap jabatan dan agensi kerajaan menjalani penilaian sebelum diberi tanggungjawab tertentu dan mereka yang menunjukkan tahap prestasi tidak memuaskan wajar mengikuti kursus pengurusan dan memperbaiki prestasi dalam tempoh enam bulan.

Tidak kurang juga kakitangan awam yang menghadapi masalah disiplin yang serius. Selain kerap ponteng kerja atau tidak menepati masa, ada yang melakukan jenayah, umpamanya kes tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa menyamun pengurup wang di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tempoh hari.

Baru-baru ini, kita dikejutkan pula dengan dakwaan ada pegawai polis yang menyewakan senjata api mereka kepada penjenayah bagi melakukan rompakan, penculikan atau menyamun.

‘Barah’ ini bukan saja mengancam sektor perkhidmatan awam, sebaliknya sudah menular kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehingga menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit.

Hakikatnya, peningkatan kakitangan awam di negara ini agak tinggi kerana bertambah kepada 1.4 juta tahun ini berbanding 1.14 juta pada 2007. Justeru, pengurangan 29,000 jawatan bukan jumlah besar dan harus disegerakan supaya menjadi pengajaran kepada yang lain untuk berusaha menambah baik diri.

Nisbah kakitangan awam kepada kadar penduduk di Malaysia antara yang tertinggi di Asia Tenggara iaitu 4.68 peratus berbanding 2.9 peratus di Singapura, Thailand (2.06 peratus), Filipina (1.81 peratus), Indonesia (1.79 peratus), Laos (1.24 peratus) dan 1.18 peratus di Kemboja.

Negara lain seperti Jepun mempunyai nisbah kakitangan awam kepada kadar penduduk 3.2 peratus, Korea Selatan (2.1 peratus) dan 3.7 peratus di Taiwan.
Di Malaysia, kerajaan membelanjakan RM45.6 bilion tahun lalu untuk membayar gaji 1.4 juta kakitangannya, tidak termasuk pencen dan ganjaran lain RM12.3 bilion.

Justeru, dengan adanya kaedah Petunjuk Prestasi Utama (KPI), kerajaan seharusnya tidak menghadapi masalah mengenal pasti bakat, kemahiran, kecekapan, kepakaran dan keupayaan setiap kakitangannya selain mengetahui apa bidang yang mungkin memerlukan suntikan budaya kerja sektor swasta.

Sejak sedekad lalu, sektor awam negara menjalani pelbagai perubahan pesat. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Skim Saraan Malaysia (SSM) bagi menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) pada 1 November 2002 sebagai kaedah menilai prestasi penjawat awam bagi kenaikan pangkat.

Kakitangan awam juga menikmati anjakan gaji antara RM15 hingga RM110, manakala pada Julai 2007, satu lagi kenaikan gaji diumum dan kini mereka bakal menikmati kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus serta imbuhan lain di bawah SBPA.

Oleh Magendran Rajagopal


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...