terima kasih buat kalian semua..

Monday, February 28, 2011

Lelaki pun takut nak poligami..


KAUM lelaki turut tertarik dengan kisah poligami yang disiarkan beberapa minggu lalu termasuk saya. Namun jangan pula salah sangka, saya bukannya berpoligami atau merancang nak madukan isteri, tetapi sekadar memberi pandangan kerana salah besar kalau anda fikir semua lelaki suka berpoligami.

''Sebenarnya saya tabik pada sesetengah lelaki yang berpoligami, kerana mereka betul-betul mahir, berani, pintar, petah bercakap, pandai merancang dan banyak lagi. Kepada suami yang lurus memang tidak berani berpoligami walaupun dalam hati berkemungkinan ada niat ke arah itu.'' Demikian cerita Yuss dalam e-melnya.

''Saya sudah berkahwin lebih 21 tahun tak pernah terdetik sekalipun dalam hati saya nak berkahwin lagi. Begitu juga kebanyakan lelaki lain yang jumlahnya memang ramai di luar sana. Sebab mereka tahu dan faham tentang masalah yang bakal timbul kalau berpoligami.

''Bab pertama paling besar mematikan hasrat kami nak berpoligami, masalah kewangan. Saya memang tak mampu. Tapi ada kawan cadangkan mengapa jadi bodoh cari saja gadis atau wanita berkemampuan, berpangkat dan berkedudukan, pasti dia ada wang, maka masalah tak mampu tadi boleh diselesaikan. Pasti wanita tadi boleh bantu.

''Tetapi saya fikir satu bab lagi, gadis yang kita nikahi itu pasti hendakkan anaknya sendiri menjadi warisnya. Bab ini lagi berat, sebab bila usia dah meningkat bolehkah saya bangun tengah malam, bergilir jaga anak yang menangis, meragam atau buatkan susu anak, tukar lampin, cuci najis dan lainnya.

Mengandung

'Itu belum masuk bab hantar isteri pergi ke klinik setiap bulan semasa mengandung dan sekali lagi selepas bersalin. Bawa bayi pergi buat suntikan setiap bulan atau pemeriksaan lain jika demam dan sebagainya. Takkan saya nak suruh isteri muda itu pergi sendirian sambil kelek anak yang masih kecil. Tambah segan bila hantar anak ke sekolah rendah, waktu itu orang sebaya kita dah bergelar datuk hantar cucu ke sekolah kita pulak masih hantar anak. Nanti takut tersilap anak kita pun panggil kita datuk kerana terikut kawan-kawan.

''Sekarang anak bongsu saya dah 14 tahun, tak payah nak uruskan apa pun. Saya nak jalan dengan isteri ke mana pun senang, tak ada masalah tinggalkan dia dengan abangnya. Mereka saling membantu. Jadi mengapa saya perlu menyusahkan diri nak kahwin lagi? Bak kata orang tua-tua, kalau tak ada beban mengapa batu nak digalas?

''Selain daripada itu kita juga kena fikir tentang kesihatan kita adakah berada pada tahap baik atau sebaliknya. Kena fikir juga kesihatan isteri baru kita. Kadang tu luaran saja nampak bergetah, dalaman, sebelum jadi isteri kita tak boleh nak ramal.

''Kita kena fikir juga apakah isteri baru kita boleh terima keadaan kita seperti penyakit kita, adakah kita terlalu kuat berdengkur. Apakah dia boleh terima seperti isteri pertama kita? Isteri baru pula, adakah dia suka merajuk, merengus, suka maki hamun, malas atau rajin ke dapur atau mungkin juga ketiak berbau. Belum kahwin memang badan solid, dah beranak nanti macammana? Kalau dia jadi bulat sangat macam mana? Bolehkah kita terima dia.

''Lepas tu kita kena fikir keluarga isteri baru pula macam mana? Bolehkah mereka terima kita yang dah tua jadi menantunya mungkin mertua kita pun dah sebaya kita. Kalau baik sangat lepas kahwin keluarga isteri terus angkut tikar bantal pindah tinggal sekali duduk dengan kita? Apakah kita boleh terima?

''Oleh kerana itu kebanyakan lelaki termasuk saya kami terpaksa berfikir lebih seratus kali kalau nak berpoligami. Banyak benda kena ambil kira. Kalau selama ini isteri seorang sudah memberi kita cukup banyak keselesaan, kesenangan, ketenangan fikiran dan kebahagiaan hidup di dunia mahupun untuk kita beramal buat bekalan akhirat, mengapa kita mesti menyusahkan diri 'mencari batu nak digalas'?

''Jadi kesimpulan yang boleh saya buat jagalah isteri yang ada sekarang sebaik-baiknya. Mana-mana yang kurang tentang isteri kita tu, kita up grade kan sebagaimana yang kita kehendaki. Kalau dia tak pandai makep sebab kita suka tengok wanita cantik bermekap, kita hantar ke salun kecantikan, begitu juga tentang rambutnya.

''Belikan kosmetik yang sesuai supaya dia kelihatan sama seperti wanita lain. Kalau dia sihat dan bagus persembahannya untuk kita juga. Saya nak tanya, berapa kerat suami yang buat demikian untuk kecantikan isteri seperti yang anda kehendaki?

''Ini tidak, sesetengah lelaki kalau tengok perempuan seksi terjegil biji mata . Tapi isteri sendiri suruh pakai jubah, tutup sana tutup sini, muka tampal bedak sejuk, bila isteri buka jubah kita sendiri rasa tak lalu nak dekat, habis macammana? Kenalah melabur sikit kalau nak isteri cantik, wangi macam wanita yang kita suka lihat.

''Dalam pada itu sebagai suami pun kena jaga penampilan, jaga kebersihan diri, dan kesihatan khasnya bila nak bersama isteri, tanya isteri dulu apa kehendaknya, kadang-kadang kita tak perlu pakai modal pun, cukup dengan pakai skil tertentu

''Bila isteri suka baru enjoy. Jangan syok sendiri, isteri belum sampai pun! Lepas tu ada hajat nak poligami. Itu juga salah satu sebab isteri rela bercerai daripada bermadu.

''Orang boleh kata, saya baru kahwin 21 tahun bolehlah cakap, masa depan tak siapa tahu? Memang dalam perkahwinan tak ada jaminan bahagia sampai bila-bila, setidak- tidaknya kita berusaha ke arah itu.''

Demikian pandangan Yuss panjang lebar.

Sunday, February 27, 2011

SIKAP ANEH PEMANDU MALAYSIA !!


TERPEGUN sebentar apabila menatap akhbar yang melaporkan sikap segelintir warga pemandu di lebuh raya berebut mencuri beras yang tumpah akibat kemalangan.

Ada rasa hairan, jelik dan hampir tidak percaya itulah sikap yang ditunjukkan oleh warga kita yang ratanya terkenal sebagai pemurah, peramah, sopan santun dan suka membantu.

Seperti ada yang tidak kena, kerana sebelum ini turut dilaporkan bahawa perkara yang sama berlaku apabila sebuah pacuan empat roda yang membawa syiling kemalangan maka gempar pemandu di lebuh raya mengutip syiling berkenaan yang diibaratkan seperti rezeki jatuh dari langit. Insiden terbaru lebih menyayat hati apabila pemandu dan kelindan yang parah dibiarkan malah mengakibatkan seorang daripadanya maut.

Melalui pengamatan, terdapat dua perkara yang mungkin menyebabkan situasi ini berlaku. Yang pertama mungkin sikap pemandu kenderaan berat di lebuh raya negara ini memang menjengkelkan. Keganasan corak pemanduan mereka mengundang rasa benci pemandu lain yang melihat sikap mereka seperti samseng jalanan.

Senario kedua, ramai pengguna lebuh raya di negara kita terdiri daripada pelbagai golongan terutama di peringkat bawahan dan pertengahan. Mereka sedang terhimpit dengan kenaikan harga barang yang kebelakangan ini melampaui jangkaan akal dan amat terdesak mengurangkan kadar perbelanjaan isi rumah yang sentiasa meningkat.

Kepada kumpulan ini, apa sahaja sumber tanpa mengira halal haram dan makruh sekiranya terbuka akan dipergunakan sepenuhnya tanpa ragu-ragu lagi demi kelangsungan hidup. Lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai pengetahuan bahawa semua barangan berkenaan sudah diinsuranskan dan sudah tentu pemilik dan pemandu berkaitan akan dibayar ganti ruginya oleh pihak yang menginsuranskannya.

Selebih dari itu, tanggung jawab sosial, tata susila, etika dan budi pekerti mulia nampaknya bukan lagi sesuatu yang dititik beratkan dan dimasukkan dalam agenda nasional kita. Malah subjek yang pernah diajar di sekolah rendah pada satu ketika dahulu sudahpun dimansuhkan.

Bolehkah kita menuding jari kepada para pelakonnya sahaja sedangkan para pengarah terlepas dari menanggung akibat. Lantas kita jangan pula nanti pura-pura lupa bahawa tentu masih ada perkara-perkara yang lebih dahsyat akan keluar selepas ini selepas melihat pembuangan bayi, pengabaian ibu bapa dan warga emas malah sikap brutal yang keterlaluan kumpulan orang muda di negara ini melewati format budaya timur yang kita agungkan satu ketika dahulu.

Sudah sampai masanya, para pembuat dasar, para pemimpin dan pakar psikologi untuk tampil duduk semeja bagi merumus satu formula dan agenda menyeluruh yang bukan sahaja berkaitan kemalangan jalan raya tetapi merangkumi sikap jelek masyarakat negara ini yang kelihatannya terlebih aksi sehingga hilang jati diri.

LT. KOL (K) DR. AHMAD ZAKI B. ISMAIL

Penasihat Persatuan Pengguna

Islam Malaysia

MASALAH WARGA ASING MERIMASKAN !!


SEMAKIN hari semakin rimas dan risau dengan situasi di Malaysia. Aman tu memanglah aman tapi tidak seperti dulu. Berjuta rungutan telah disuarakan tentang keganasan, jenayah dan segala macam gejala yang tidak sihat melanda negara.

Kerajaan seolah-olah tidak nampak atau sengaja pejam mata dengan semua masalah yang sedang melanda Malaysia sekarang. Pada saya puncanya hanya satu. Kebanjiran warga asing yang sudah tidak dapat dibendung lagi! Kalau pun Malaysia perlukan tenaga kerja warga asing biarlah di dalam bidang-bidang yang dibolehkan saja. Ini tidak, semua bidang kerja ada saja warga asing. Dari kedai runcit hinggalah ke ladang semuanya warga asing. Semua majikan pula lebih suka memilih warga asing sebab murah, kononnya warga tempatan memilih tetapi hakikatnya majikan yang memilih. Kerajaan tidak terfikir ke kalau-kalau satu hari nanti bilangan rakyat Malaysia lebih kecil dari bilangan warga asing? Fikir-fikirkanlah Wahai pemimpin kerajaan Malaysia sekarang. Anda mungkin boleh berhijrah ke negara lain kalau apa-apa berlaku, tapi kami rakyat yang tidak berkemampuan ni bagaimana pula?

RAKYAT PRIHATIN

KAUT BERAS TANDA KETANDUSAN NILAI !!


PERISTIWA yang berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tanjung Malim seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada hari Rabu 23 Februari 2011, menandakan ketandusan nilai di kalangan penduduk Malaysia yang diagungkan sebagai negara Islam yang terkenal di dunia.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya merasa malu di atas tindakan tidak berakhlak sebahagian kecil rakyat Malaysia dalam peristiwa tersebut. Nampak seolah-olah orang Malaysia tak cukup makan lebih serius lagi daripada negeri ketiga yang mengalami kemiskinan tegar sepanjang tahun.

Sepatutnya sebagai seorang yang berperikemanusiaan, tentulah kita beri pertolongan dahulu kepada orang yang memerlukan pertolongan, bukannya merebut harta kepunyaan orang yang haram dimakan. Bayangkan, kalau perkara seperti itu berlaku kepada kita atau keluarga kita dan tiada siapa yang menolong kita. Apa perasaan kita pada masa itu? Memakan harta orang tanpa izin hukumnya haram. Memakan makanan yang haram ganjarannya neraka.

Antara sebab tidak mendapat pendidikan al-Quran ialah kerana hati kita gelap. Hati gelap kerana makan minum yang haram dan tidak menunaikan solat. Jika yang solat pun turut juga melakukan kemungkaran dan dosa-dosa besar, termasuk mengambil harta haram dan memakannya, ialah kerana solatnya tidak diterima sebab tidak sah. Solat tidak sah sebab cara melakukannya tidak kena, bacaannya tidak betul atau wuduknya tidak sah. Bacaan dan cara solat tidak kena dan tidak sah ialah kerana ada perasaan sombong di dalam diri sehingga tidak mahu belajar secara formal daripada guru-guru yang muktabar.

IBNU AHMADI

Insurans kenderaan naik 2012 !!


Insurans kenderaan bermotor akan meningkat secara berperingkat, bermula tahun hadapan hingga 2015 dalam usaha mengimbangi kerugian yang ditanggung syarikat insurans.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, walaupun terdapat peningkatan selama lima tahun berturut-turut namun ia tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah kerana kenaikannya adalah kecil.

"Penstrukturan ini juga akan melibatkan motosikal, kereta, bas dan teksi dan setiap kenaikan adalah berbeza mengikut risiko kemalangan kenderaan terbabit melalui kriteria rekod kemalangan serta keadaan kenderaan semasa tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Abu Hassan Alshari, anggaran awal kenaikan bagi insurans pihak ketiga motosikal 100cc ke bawah adalah antara RM1 hingga RM3.50 setahun manakala insurans pihak pertama antara RM1 hingga RM2 setahun.

"Bagi kereta persendirian 1,400cc ke bawah, insurans pihak ketiga hanya meningkat antara RM6 hingga RM34 manakala insurans pihak pertama antara RM7 hingga RM19.

"Pemandu yang kurang risiko kemalangan atau tidak pernah merekodkan kemalangan akan dikenakan kenaikan kadar insurans yang lebih rendah berbanding yang kerap mengalami kemalangan," jelasnya.

Tambah beliau, kajian dibuat keatas kedua-dua jenis kenderaan berkenaan terlebih dahulu kerana 70 hingga 80 peratus kenderaan di Malaysia berada dalam kelas berkenaan.

Selain itu, Abu Hassan Alshari berkata, penstrukturan itu juga akan mengurangkan tempoh pembayaran pampasan daripada tiga hingga lima tahun kepada 18 bulan sahaja berikutan penubuhan Jawatankuasa Kerja Bersama (JWC).

Katanya, jawatankuasa tersebut akan membincangkan isu berbangkit dan membentuk rangka kerja yang komprehensif untuk kebaikan bersama.

Mengulas lanjut, Abu Hassan Alshari berkata, penstrukturan tersebut terpaksa dibuat kerana syarikat insurans mencatat kerugian yang besar dalam bahagian motor dan jika tidak dikawal ini akan menyebabkan industri berkenaan merudum dan akhirnya memberi impak kepada pengguna.

"Perangkaan 2009/2010 menunjukkan perniagaan insurans motor mencatat kerugian RM650 juta disebabkan tuntutan pampasan kecederaan kemalangan yang sangat tinggi,'' jelasnya.

"Bagaimanapun penstrukturan semula ini masih di peringkat perbincangan dengan pihak yang terlibat. BNM akan mengumumkan skim insurans terbaharu tersebut selepas kajian lengkap dibuat," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, JWC akan dianggotai oleh pihak yang terlibat dalam proses pembayaran insurans iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, Majlis Peguam, Badan Kehakiman, industri insurans dan takaful serta persatuan penguna dan pengangkutan.

Abu Hassan Alshari berkata, setiap anggota JWC akan menghantar rekod kerja kepada Majlis Ekonomi dan jika ada sebarang kelewatan atau masalah laporan ia perlu dinyatakan.

"Langkah ini akan meningkatkan keupayaan dan kepantasan proses tuntutan insurans negara dan mengurangkan kerenah birokrasi yang banyak membebankan rakyat,'' ujarnya.

Oleh FAIRUS KASSIM

Saturday, February 26, 2011

PEGAWAI KTM KURANG AJAR: “KALAU dah bodoh tu, bodoh juga. Tak guna ko belajar tinggi-tinggi” !!!


“KALAU dah bodoh tu, bodoh juga. Tak guna ko belajar tinggi-tinggi” kata seorang pegawai KTM Komuter kepada saya di Stesen Komuter Nilai semasa menunggu komuter yang dijangka tiba pada 9.48 malam 20 Februari 2011 di platform untuk menghala ke UKM.

Gara-gara terlelap, saya sampai ke stesen Batang Benar tetapi hanya tersedar bahawa saya telah terlajak beberapa stesen apabila saya tiba di Nilai kerana destinasi saya adalah UKM.

Saya turun, menggunakan jejantas ke platform utama yang menghala ke Rawang untuk menunggu ketibaan komuter seterusnya. Tidak lama kemudian, seorang pegawai KTM berbangsa Melayu bermisai lebat datang untuk memeriksa tiket komuter daripada semua orang yang menunggu di platform tersebut. Saya menyatakan bahawa saya menggunakan Touch n Go. Beliau meminta kad tersebut, menyentuh pada mesin keluar dan menyentuh masuk sebelum memulangkan kad tersebut semula kepada saya.

Saya mempersoal tindakan beliau yang tanpa persetujuan saya telah melakukan yang sedemikian. Namun saya terkejut, marah dan kecewa apabila beliau menjawab soalan saya dengan herdikan, cacian dan ugutan. Antara cacian yang beliau lontarkan berbunyi "kalau dah bodoh tu, bodoh juga. Tak guna belajar tinggi-tinggi", "ini adalah stesen kereta api, saya adalah pegawainya. Setiap hari saya memeriksa beribu-ribu penumpang, bukan kamu seorang. Kalau bodoh tu bodoh juga" dan sebagainya. Saya berasa sangat marah tetapi menenangkan diri dengan beristighfar dan seorang anggota polis yang berada di stesen terbabit membawa saya pergi untuk duduk menunggu ketibaan komuter.

Saya bertambah kecewa apabila walaupun saya telah duduk, pegawai KTM Komuter terbabit masih terus mengherdik saya dengan kata-kata seperti di atas. Malah beliau mengugut untuk menulis surat kepada universiti supaya saya dibuang dengan alasan sikap saya yang melawan beliau membuat tugas. Harga budi bahasa bukannya semurah RM4.70 atau RM2.10 seperti harga tiket KL Sentral ke Nilai dan Nilai ke UKM. Harga budi bahasa lebih mahal daripada itu.

INSAN KECEWA

Friday, February 25, 2011

Hukum sorok barang dalam Islam..


MUTAKHIR, masyarakat dalam negara kita kerap kali berhadapan dengan kekurangan barang-barang keperluan. Kekurangan barang-barang ini menjejaskan kehidupan harian pengguna terutamanya pada musim-musim perayaan.

Gula, tepung dan minyak masak adalah antara bahan-bahan komoditi yang pernah dan seringkali mengalami kemerosotan penawaran sehingga tidak dapat menampung permintaan pengguna dalam pasaran.

Akibatnya, ia mempengaruhi harga pasaran bahan-bahan tersebut sekali gus membebankan para pengguna.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya fenomena ini. Selain penyeludupan bahan-bahan ini ke luar negara dengan kuantiti yang banyak, ia juga diakibatkan oleh aktiviti menyorok barang yang dilakukan oleh pengeluar.

Buktinya, ketika berlakunya fenomena kekurangan bahan-bahan ini dalam pasaran, banyak serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa dibuat ke gudang-gudang atau tempat penyimpanan barang.

Hasilnya, pihak berkuasa berjaya menjumpai barang-barang tersebut dalam kuantiti yang besar disorok.

Menyorok barang atau dalam istilah fiqh disebut sebagai ihtikar. Ihtikar merujuk kepada satu kegiatan menyorok atau menimbunkan barangan keperluan umum dalam keadaan masyarakat sangat memerlukannya yang dilakukan dengan maksud untuk menjualnya kembali dengan harga lebih tinggi sehingga memperoleh keuntungan besar.

Perbuatan menyorok barang ini menunjukkan ketandusan akhlak dan etika dalam perniagaan. Akibat sikap tamak dan rakus untuk mengaut keuntungan berlebihan, terdapat segelintir pengeluar dan pemborong yang sanggup untuk berbuat demikian.

Para peruncit pula terpaksa mengehadkan penjualan kepada pembeli kerana kekurangan stok dari pengeluar. Malahan, ada yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sesuka hati.

Natijahnya, para pengguna yang mendapat kesan negatif kerana kekurangan barang-barang keperluan harian di samping harga yang terus melambung tinggi.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

Mualaf mohon JPN perjelas kekeliruan..


MOHON penjelasan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai status MyKad seseorang yang memeluk Islam (mualaf). Saya tidak faham mengapa setiap kali berurusan dengan pihak bank, mahupun urusan lain, saya masih perlu mengemukakan surat akuan memeluk Islam.

Ketika membuat permohonan MyKad baru, saya pernah bertanya adakah perlu untuk menukar nama untuk semua dokumen seperti buku bank mengikut nama baru pada MyKad saya, jawapan yang diberikan adalah tidak perlu.
Pegawai JPN menjelaskan, nama lama (sebelum masuk Islam) sememangnya sudah direkodkan dalam MyKad saya yang dilengkapi mikrocip yang canggih dan boleh menyimpan segala maklumat pemegangnya

Baru-baru ini, borang permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) saya (untuk pegawai kerajaan yang memilih pencen) ditolak, kerana tidak membawa dokumen akuan memeluk Islam dan pegawai bertugas berkata, saya sepatutnya menukar nama pada akuan KWSP kepada nama Islam.

Sebelum ini, saya juga pernah membuka akaun bank baru, tetapi lain pula ceritanya, pihak bank mencatatkan nama bukan Islam saya pada buku akaun berkenaan walaupun MyKad saya tertera nama Islam saya.

Jadi nama saya yang mana satu yang diiktiraf sebenarnya? Persoalannya sekarang, mengapa masalah begini terjadi kepada seorang mualaf seperti saya?

Perkara ini sangat menyusahkan dan membuang masa apabila terpaksa berulang kali ke tempat berurusan, setelah datang dari jauh dan mengambil cuti kerana perlu menggunakan masa kerja untuk urusan pada waktu pejabat.
Bayangkan setelah datang dari jauh, kemudian menunggu giliran di kaunter, permohonan ditolak begitu saja.

MUALAF BARU,
Kuala Lumpur

Inovatif patut jadi syarat guru naik pangkat !!


MENARIK sekali pandangan Dr Kamal Jit Singh yang disiarkan akhbar ini pada 19 Februari lalu mengenai pemikiran inovatif.

Sekolah memang tempat paling sesuai melahirkan insan yang berfikiran kreatif dan inovatif.
Guru perlu terlebih dulu memiliki pemikiran inovatif untuk menjadi perangsang kepada pelajar yang inovatif.
Bukan sekadar guru yang mengutamakan kelulusan dan memberi maklumat kepada pelajar untuk dihafal dalam peperiksaan.

Ramai guru berkeupayaan untuk melakukan inovatif. Setiap tahun, pada Hari Guru juga ada anugerah Guru Inovatif.

Lebih ramai guru boleh melakukan inovatif jika diberi insentif.
Oleh itu, dalam usaha kita mencari alternatif Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk penjawat awam termasuk guru, unsur guru inovatif wajar dijadikan kriteria penting untuk kenaikan pangkat, pemilihan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Guru Cemerlang.
Guru inovatif mempunyai pengalaman dan idea untuk merenung masalah dalam profesion, mencari jalan penyelesaian, menyusun strategi, mengubah suai strategi, melaksanakan program, membuat penilaian, menunjukkan demonstrasi, serta dokumentasi.

Setidak-tidaknya guru boleh membuat kajian tindakan dalam P&P. Hasil kreatif dan inovatif mereka boleh menjadi rujukan guru lain.

Sekolah perlu mempunyai jawatankuasa penilai untuk ketelusan pemilihan. Langkah ini secara tidak langsung meningkatkan profesion perguruan.

Program inovasi itu mungkin dijalankan oleh seorang guru atau dalam kumpulan.
Kemahiran bekerja dalam kumpulan juga adalah satu usaha inovatif yang bukan mudah dibina dalam kalangan guru di sekolah.

GURU BIASA,
Tangkak

Berkualitikah ustaz lulusan Mesir???


UNIVERSITI-UNIVERSITI di Mesir banyak melahirkan tokoh-tokoh agama di Malaysia suatu ketika dahulu.

Tidak dinafikan Mesir merupakan salah satu destinasi pilihan dalam pengajian agama di kalangan pelajar Malaysia.

Namun sejak kebelakangan ini, semakin banyak kedengaran suara-suara yang tidak enak didengari mengenai pelajar-pelajar kita di Mesir.

Kualiti pelajar keluaran Mesir terutama dari bidang agama semakin diragui. Umum mengetahui sistem jadual dan pengajaran di Mesir agak longgar dan agak tidak menitikberatkan soal kedatangan. Keadaan ini sebenarnya memerlukan disiplin yang tinggi di kalangan pelajar untuk menimba sebanyak ilmu yang mungkin.

Akan tetapi, bagi pelajar-pelajar yang kurang rajin (malas), keadaan sebegini semestinya membuatkan mereka tidak menghadiri kuliah-kuliah di universiti.

Akhirnya, graduan-graduan yang dilahirkan kurang berilmu apabila pulang ke Malaysia kelak. Padahal, majoriti masyarakat awam Malaysia masih memandang tinggi graduan-graduan yang dilahirkan dari Mesir.

Secara tidak langsung, fenomena ini dapat menimbulkan fitnah kepada 'orang-orang agama' lebih-lebih lagi apabila mereka memegang jawatan-jawatan utama dalam institusi agama di Malaysia.

Sebagai perbandingan secara kasar, sebanyak 1,000 graduan dari Mesir menamatkan pengajian mereka setiap tahun.

Tetapi terlalu sedikit yang kita lihat mereka menjadi suara-suara di barisan hadapan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah. Ke mana perginya graduan-graduan Mesir yang lain?

Apakah mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang cukup untuk memperjuangkan dakwah dengan menerangkan asas-asas Islam yang sahih kepada masyarakat? Persoalan ini bukan untuk merendahkan graduan-graduan Mesir, sebaliknya ambillah sebagai kata semangat dan perangsang untuk mengembangkan pemahaman agama Islam yang tulen di kalangan masyarakat. Percayalah, masyarakat amat memerlukan input- input agama dari anda semua.

Kepada pihak kerajaan, saya berpendapat bahawa sudah tiba masanya kita menghantar pelajar-pelajar ke Arab Saudi. Dengan keadaan negara Mesir yang masih bergolak, inilah masa yang sesuai untuk kita menghantar lebih banyak ke Arab Saudi. Mereka juga kebelakangan ini mempunyai banyak unverisiti yang berprestij seperti Ummul Qura' dan Universiti Islam Madinah.

Kepada ibu bapa yang berhasrat untuk menghantar anak-anak ke Timur Tengah, didiklah mereka agar ikhlas dan berdisiplin dalam menuntut ilmu. Janganlah apabila pulang ke tanah air nanti, minda mereka kosong. Percayalah apabila seseorang graduan dari Timur Tengah meletakkan kopiah di kepala, masyarakat akan terus mengangkat mereka sebagai 'ustaz' biarpun pengetahuan agama tidak seberapa.

Kepada graduan-graduan Timur Tengah, ikhlaslah dalam menuntut ilmu dan bawalah pulang permata-permata yang berguna untuk masyarakat di Malaysia.

BEKAS PELAJAR Hosp Sultan Ismail

PPD Pasir Gudang sila jawab !!


SAYA mendapat 4A1B dalam UPSR 2010 dan mendapat tawaran ke Tingkatan 1 kelas KRK tetapi ditolak kerana bapa saya bukan warganegara. Tetapi saya warganegara dan pemegang Mykad.

Yang hendak belajar adalah saya bukan bapa saya tetapi apabila berusia 18 tahun saya diwajibkan menjalani PLKN dan berusia 21 tahun dibenarkan mengundi.

Apakah motif sebenarnya PPD Pasir Gudang. Apakah maksud rakyat didahulukan pencapaian diutamakan dan di manakah arah masa depan pelajar-pelajar cemerlang seperti saya yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin satu hari nanti tetapi dinafikan hak saya sebagai warganegara semata- mata bapa saya bukan warganegara.

Diharap Menteri Pelajaran buat penilaian yang telus sedangkan ibu saya merupakan AJK UMNO cawangan yang aktif berpolitik.

MURID MYKAD

Pasir Gudang

Tuesday, February 22, 2011

Politik, ahli lembaga pengarah dan tadbir urus GLC..


DI Malaysia apa sahaja isu mudah disensasikan. Terbaru, isu mengenai sama ada ahli politik wajar terlibat sebagai ahli lembaga pengarah (ALP) di syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Seperti biasa ada yang menyokong dan ada juga yang tidak menyokong.

Terlebih dahulu, kita perlu mengetahui sistem tadbir urus syarikat di Malaysia terutamanya syarikat besar dan GLC. Syarikat-syarikat Malaysia mengguna pakai sistem unitary (Anglo-Saxon) berkiblatkan negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan British.

Sistem tadbir urus ini hanya mempunyai satu lembaga pengarah dan tidak sama sebagaimana sistem duality yang diguna pakai oleh negara seperti Jerman. ALP diketuai oleh seorang pengerusi, manakala ketua pihak pengurusan tertinggi ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). CEO juga merupakan sebahagian daripada ALP. Apa-apa keputusan dibuat secara kolektif semasa mesyuarat ALP.

Memang benar, ada sebahagian ALP terdiri daripada bekas ahli politik. Tetapi persoalannya berapa ramaikah mereka ini menduduki kerusi ALP terutamanya GLC? Sejauh mana pula, mereka ada kepentingan peribadi? Tidakkah kita ketahui bahawa bekas-bekas pegawai tertinggi kerajaan yang lebih ramai dilantik menjadi ALP? Bekas ahli politik atau ahli politik adalah golongan minoriti. Syarikat-syarikat di Malaysia termasuklah GLC dikuasai oleh pihak pengurusan profesional dan ahli perniagaan.

Menurut tadbir urus yang baik, ALP seharusnya mempunyai kepelbagaian bidang kepakaran dan latar belakang. Tidak boleh dikuasai oleh satu pihak sahaja agar mengurangkan potensi berlakunya penyelewengan.

Dalam perniagaan, dua perkara patut dititikberatkan. Pertama, tahu siapa (know who) dan kedua tahu bagaimana (know how). Kedua-keduanya amat penting.

Mungkin ada yang berpendapat, know who lebih ke arah perkara negatif seperti hanya kenal orang tentu sahaja untuk kepentingan peribadi, tetapi bolehkah kita menyangkal bahawa know who ini sebenarnya jaringan perniagaan yang sememangnya cukup penting dalam mana-mana perniagaan? Sebab itulah, sesebuah perniagaan akan berjaya jika adanya kombinasi kepakaran (know how) dan know who (inilah kelebihan ahli politik dan bekas pegawai tertinggi kerajaan).

Persepsi buruk mengenai ahli politik membuatkan ramai pihak beranggapan mereka tidak layak. Memang benar ada ahli politik yang terlibat dalam penyelewengan, namun perlu diingat, ahli politik sejati dilatih berkorban untuk rakyat.

Bagi ahli perniagaan sejati yang berkiblatkan sistem kapitalis, keuntungan merupakan faktor utama. Sebab itulah, penulis kurang bersetuju dengan konsep Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) acuan Barat yang hanya membantu masyarakat setelah mengaut keuntungan melampau daripada masyarakat itu sendiri.

Contohnya, harga barangan dinaikkan sesuka hati, barangan disorok dan caj dikenakan atas perkhidmatan yang tidak pun dilanggan sama sekali. Ini semuanya kerana kerakusan materialistik, dan keuntungan yang dijana secara besar-besaran cuba "dihapuskan dosa" tersebut melalui pelbagai sumbangan kepada masyarakat. Ini cara Robin Hood. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Lebih baik, berniaga secara beretika dan meletakkan CSR sebagai perkara pokok semata-mata untuk masyarakat, nescaya keuntungan akan datang selepas itu.

Selain itu, kajilah penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku, kebanyakannya dilakukan oleh ahli-ahli korporat itu sendiri. Tidak kiralah di negara yang kononnya hebat seperti AS mahupun negara kita sendiri, Malaysia. Kalau pembaca berkeinginan buktinya, bukalah laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Siapakah mereka yang terlibat dengan penyelewengan-penyelewengan ini.

Bahkan, punca utama krisis subprima di AS yang menggoncang seluruh dunia pun disebabkan oleh ahli-ahli korporat. Kerana terlalu rakus, bank-bank di AS telah memanipulasikan pelanggan-pelanggan mereka. Pelbagai helah penipuan dilakukan oleh mereka.

Mereka pula disokong oleh sistem ekonomi yang dilaksanakan oleh seorang tokoh yang amat berkuasa ketika mengetuai Rezab Persekutuan AS. Pembaca bolehlah mengkaji latar belakang beliau.

Satu lagi contoh penyelewengan yang menggemparkan seluruh dunia ialah skandal Enron-Arthur Andersen (AA) di AS pada tahun 2001. Bukan sahaja ahli perniagaan melakukan penipuan tetapi juga berkomplot dengan seorang juruaudit di firma audit ternama, iaitu AA. Akhirnya, AA sendiri terpaksa bungkus tikar. Satu rekod yang tidak pernah berlaku selama ini.

Maka, yang perlu diperbaiki ialah mencapai tadbir urus yang terbaik. Kualiti ALP ialah mereka yang paling layak dan terbaik, kombinasi pelbagai kepakaran, gabungan pengarah bebas, bukan eksekutif dan eksekutif (untuk check and balance) dan sentiasa mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan permasalahan syarikat.

Kekuatan inilah yang boleh mempengaruhi pasaran di samping faktor-faktor lain seperti integriti pihak pengurusan, pelabur institusi, kualiti juruaudit dan turun-naik pasaran dunia. Jadi, wajarkah kita menghukum ahli politik yang paling layak dan terbaik di kalangan kita dalam memberi sumbangan idea dan tenaga untuk GLC semata-mata kerana mereka telah menceburi bidang politik?

Oleh ROHAMI SHAFIE

Penulis ialah Pensyarah Kanan

Perakaunan dan Kewangan

Kolej Perniagaan (COB)

Universiti Utara Malaysia

Pembukaan semula Hentian Puduraya tak patut ditangguh lagi !!


KERJA menaikkan taraf Hentian Puduraya masih belum disiapkan sepenuhnya sejak April tahun lalu. Kemudahan perhentian bas ini yang pada mulanya dijadualkan siap sebelum Aidilfitri tahun lalu, sehingga kini masih belum lagi dibuka.

Ia sepatutnya dibuka pada 2 Februari lalu tetapi ditangguhkan lagi sehingga 16 April depan. Keadaan ini tidak memberi gambaran baik kepada pemilik bangunan berkenaan, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).
Keadaan ini juga menyebabkan pengguna bas rasa gelisah kerana terpaksa menggunakan terminal bas sementara di Bukit Jalil yang kurang selesa

Adalah diharapkan UDA dapat memastikan Hentian Puduraya dibuka pada 16 April depan seperti yang dijanjikan buat kali ketiga.

ERZUAN,
Aulong, Taiping

Sunday, February 20, 2011

Ubah isi kandungan Nona di TV3 !! Hanya paparan untuk orang2 kaya saja !!


MEMANG pada dasarnya rancangan Nona yang disiarkan setiap hari Ahad, pukul 2 petang merupakan sebuah rancangan yang bagus. Banyak maklumat untuk sesiapa sahaja terkandung dalam rancangan tersebut.

Mungkin pihak produksi ingat dengan kemasukan Vanidah Imran, maka rancangan tersebut akan kembali popular seperti dahulu. Tapi sebagai peminat saya tak rasa itu satu perkara yang benar.

Sejujurnya banyak kandungan rancangan ini yang cukup klise dan menjemukan. Saban minggu hanya acara perkahwinan orang kaya-kaya sahaja yang dipertontonkan. Semuanya nampak gah. Bagi yang tak mampu macam kami, hanya melihat dengan ekor mata sahaja.

Jarang sekali nak jumpa perkahwinan yang sederhana ditunjukkan secara langsung dalam rancangan ini. Apatah lagi nak jumpa majlis kahwin orang biasa tetapi unik.

Semuanya cerita kahwin orang kaya. Saya tertanya-tanya, apakah mungkin orang kaya-raya sahaja yang tonton rancangan ini? Kalau masih tak ubah isi kandungan Nona, tak mustahil kami yang tak kaya ini akan tutup tv.

* TAK KAYA,

Bagan Lalang, Selangor

Kapal selam "dadah"..


Jika selama ini rakyat Colombia menyangka mereka telah didedahkan segalanya tentang kegiatan dadah yang sememangnya sesuatu yang sinonim di negara itu, dikejutkan dengan teknik terbaru pengedarannya iaitu melalui kapal selam yang lebih besar.

Setelah pihak berkuasa meningkatkan langkah penguatkuasaan terhadap kapal terbang dan bot laju bagi menghentikan aktiviti pengeksportan dari negara pengeluar dadah terbesar dunia itu, penyeludup semakin bertindak berani dengan menggunakan pengangkutan bawah air bagi meneruskan aktiviti mereka.

Tentera Colombia buat kali pertama merampas sebuah kapal selam penyeludup dadah berhawa dingin yang mampu menyelam sedalam tiga meter dan melakukan perjalanan jauh sehingga ke perairan Mexico.

Sebelum ini, kapal selam penyeludupan dadah yang ditemui di Colombia tidak boleh melakukan selaman ke dalam laut. Seorang pegawai tentera Colombia, Kolonel Manuel Hurtado berkata, kapal selam itu sepanjang 30 meter dan diperbuat daripada gentian kaca serta boleh membawa enam krew.

Menurutnya, ia yang ditemui di Sungai Timgiqui, sekitar 440 kilometer ke barat daya Bogota, pada Ahad lepas boleh membawa sehingga lapan tan dadah.

Kapal selam ini yang dilengkapi enjin diesel dikatakan mengambil masa di antara enam hingga lapan bulan untuk dibina dengan melibatkan kos sebanyak AS$2 juta (RM6.10 juta). Ia ditemui berdasarkan maklumat risikan namun ia didapati kosong semasa ditemui.

Dari pangkalan mereka di bandar pelabuhan Buenaventura berhampiran Lautan Pasifik, pihak berkuasa Colombia mengetuai usaha menumpaskan aktiviti terbaru penyeludupan dadah menggunakan teknik ini.

Namun pengedar dadah ini hanya boleh dikesan oleh petugas pengawal pantai dan kapal selam tentera yang berupaya mengesan bunyi melalui kemudahan sonar. Pihak tentera laut menganggarkan tempoh perjalanan mengambil masa selama dua minggu sebelum sampai ke destinasi dan setiap perjalanan mampu membawa 10 tan kokain.

Perjalanan seumpama ini sememangnya lebih mudah bagi penyeludup bagi mengelakkan penyiasatan dan pertanyaan dari pihak berkuasa.

Kos setiap perjalanan dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$600,000 (RM1.92 juta), dan dilengkapi satu atau dua kipas yang mampu menggerakkan kapal selam tersebut pada kelajuan 10 hingga 12 batu nautika sejam.

Kebanyakan kapal selam ini dipercayai dibina oleh kumpulan penyeludup dengan bantuan Angkatan Bersenjata Revolusi Columbia (FARC) yang mengumpul dana perjuangan mereka selama empat dekad melalui perdagangan dadah.

Lokasi

Colombia telah mengeksport sejumlah 600 tan kokain setahun berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan satu per tiga darinya adalah melalui perairan Pasifik.

Kapal berkenaan dibina di atas darat dipercayai di kawasan hutan bakau di perairan Pasifik. Hutan tebal membantu menyembunyikan kawasan pembuatan kapal selam berkenaan dari pihak berkuasa ketika mereka melakukan rondaan dan tinjauan dari udara.

Adalah sukar untuk membina dan menyembunyikan kapal selam ini di kawasan perairan Caribbean yang kini semakin menjadi tumpuan ramai dan lebih selamat hasil dari kegiatan pelancongan yang semakin meriah dengan dibantu kawalan keselamatan tentera AS.

Dalam pada itu, pihak berkuasa memberitahu pihak mereka sedang meningkatkan kawalan di sepanjang perairan bagi mencari kapal selam langkah menyekat usaha pengedaran najis dadah.

“Mereka kini semakin maju dalam hal berkaitan teknologi dan malah makin berkembang maju dan pantas serta turut dilengkapi peralatan canggih seperti sistem kemudi GPS dan telefon satelit.

“Namun kami sedang berusaha untuk mendahului mereka dalam perkara ini,” kata Naib Admiral, Edgar Cely yang mengetuai misi ini.

Oleh Hafizahril Hamid

Wajib beriman dengan Injil asal diturun kepada Nabi Isa..


KALAU seseorang tidak percaya kepada kitab Injil, adakah gugur akidahnya.

JAMIL,
Melaka

FIRMAN Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 285 (yang bermaksud): “Rasulullah sudah beriman kepada apa yang diturunkan kepada Tuhannya dan juga orang yang beriman semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-Nya, dan kitab-Nya”Antara rukun Iman yang wajib kita yakini iaitu beriman kepada kitab yang diturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya. Di antara kitab itu adalah Injil yang diturunkan kepada Nabi Allah Isa. Maksud beriman dengan kitab Injil iaitu kitab Injil (asal) yang diturunkan kepada Nabi Isa dan bukanlah injil yang sudah diubah oleh tangan manusia.

Sesiapa yang mengingkari kitab Injil yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Allah Isa adalah kufur dan keluar daripada agama Islam, murtad wal’iyazubillah.

Tersebut dalam kitab suci al-Quran pada surah Ali Imran, ayat 1 hingga 4 dengan firman-Nya yang bermaksud: “Alif, Laam, Miim. Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbir sekalian makhluk-Nya. Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (al-Quran) dengan mengandungi kebenaran yang mengesahkan isi kitab suci yang sudah diturunkan dulu daripadanya dan Dia juga menurunkan kitab Taurat dan Injil. Sebelum (al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Dia juga menurunkan al-Furqaan (yang membezakan antara benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang yang kufur ingkar akan ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat”

Kepada saudara yang bertanyakan benarkah kitab Injil menerangkan bahawa Isa anak Tuhan? Maka untuk permasalahan ini, saya ingin menyatakan berdasarkan kitab Injil menurut riwayat Barnaba kerana Injil ini adalah yang hampir dengan Injil yang asli. Namun Injil ini ditolak oleh penganut kristian. Terjemahannya iaitu:
  • 1. Barnabas Rasul Yesus (Isa) orang Nazaret yang bergelar al-Masih, menginginkan kesejahteraan dan hiburan bagi seluruh penduduk bumi.
  • 2. Wahai orang yang terhormat. Bahawasanya Allah yang Maha Besar, dan penuh ajaib sudah menilik kita pada hari-hari yang akhir ini dengan mengutus Nabi-Nya Yesus al-Masih, dengan rahmat besar untuk mengajar dan menjelaskan cara-cara yang sudah digunakan oleh syaitan sebagai alat untuk menyesatkan ramai orang dengan alasan takwa.
  • 3. Mereka menyebarkan ajaran kekufuran yang berlebihan.
  • 4. Mereka mendakwa bahawa al-Masih itu anak Allah SWT.
  • 5. Mereka menolak sunat yang selama ini diperintahkan oleh Allah SWT.
  • 6. Mereka menghalalkan setiap daging yang najis.
  • 7. Paulus juga sudah ikut serta di kalangan mereka, hal yang menyebabkan saya tidak bercakap mengenainya melainkan kesedihan.
  • 8. Ini yang mendorong saya menulis kebenaran yang sudah saya lihat dan mendengarnya ketika bergaul dengan Yesus, agar kamu semua selamat dan tidak disesatkan oleh syaitan yang akan membinasakan kamu pada hari pembalasan Allah.


Demikian Mukadimah Injil Barnabas yang sudah diterjemahkan. Justeru, maksud beriman dengan kitab Injil iaitu kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa, bukan injil yang sudah diubah oleh tangan manusia.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 171 yang bermaksud: “Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar, sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang Pesuruh Allah, dan Kalimah Allah yang sudah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan jangan kamu mengatakan (Tuhan itu) tiga. Berhenti (daripada mengatakan yang demikian) supaya menjadi kebaikan kepada kamu. Hanya Allah SWT ialah Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak..” Demikianlah. Wallahua’lam

Kenapakah ketika hendak rukuk, sujud dan lain-lain kita menyebut Allahuakbar tetapi ketika bangun dari rukuk kita menyebut Samiallahulimanhamidah???


SAYA ingin bertanya apakah perbezaannya adab ketika bersolat, iaitu kenapakah ketika hendak rukuk, sujud dan lain-lain kita menyebut Allahuakbar tetapi ketika bangun dari rukuk kita menyebut Samiallahulimanhamidah.

INGIN TAHU,
Lembah Keramat

NABI SAW bersabda dalam suatu hadis yang bermaksud: “Sembahyanglah kamu seperti kamu (mengetahui cara) aku sembahyang.”
Hakikatnya pada setiap perkataan, perbuatan, niat dalam solat yang kita lakukan itu hendaklah mengikut seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Hal itu bukanlah timbul melalui akal fikiran kita.

Contohnya, dalam permasalahan khuf atau memakai sarung kaki ketika musim sejuk iaitu kenapa perlu disapu bahagian atas tidak di bawah, Saidina Ali berkata: “Sekiranya agama itu dengan akal fikiran, nescaya sebelah bawah lebih patut disapu berbanding sebelah atas khuf (sarung kaki). Sesungguhnya aku melihat Rasulullah SAW menyapu pada sebelah atas kedua-dua khuf (sarung kaki).

Mengenai ucapan Samiallahualimanhamidah ketika bangun dari rukuk, ada hadis yang menyebut mengenainya.

Antaranya iaitu riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah (yang bermaksud): “Adalah Rasulullah SAW apabila Baginda mendirikan solat, Baginda bertakbir (mengucap Allahuakbar) ketika berdiri, kemudian bertakbir ketika rukuk, kemudian Baginda mengucapkan samiallahulimanhamidah, ketika mengangkat belakangnya daripada rukuk, kemudian Baginda mengucapkan ketika berdiri (iktidal), “Rabbana wa lakal hamd.”
Kemudian bertakbir ketika Baginda turun sujud. Kemudian bertakbir ketika mengangkat kepalanya. Kemudian Baginda melakukan seperti itu pada seluruh solatnya dan Baginda bangun dari dua rakaat sesudah duduk (tasyahud awal).

Erti “Samiallahualiman hamidah” adalah: Sudah mendengar Allah orang yang memuji-Nya. Dalam kitab Bujairimi ‘Ala Khatib, pada juzuk ke 2, halaman 57 menyebut [yang bermaksud]: Dan sebab mengenai Samiallahuliman hamidah, bahawa Abu Bakar as-Siddiq tidak pernah tertinggal solat di belakang Rasulullah SAW sekali pun. Maka pada suatu hari beliau datang pada solat Asar.

Beliau menyangka bahawa akan terlepas rakaat solat bersama Rasulullah SAW, maka beliau pun berdukacita dan tergesa-gesa masuk ke masjid. Lalu didapatinya, Baginda sedang bertakbir untuk rukuk, maka beliau mengucapkan Alhamdulillah dan beliau bertakbir di belakang Rasulullah SAW. Maka turunlah Jibril sedangkan ketika itu Baginda dalam keadaan rukuk. Jibril berkata, “Wahai Muhammad, sudah mendengar Allah orang yang memujimu, maka katakanlah Samiallahulimanhamidah [Sudah mendengar Allah orang yang memuji-Nya).

Dalam riwayat lain menyatakan: “Jadikanlah ia dalam sembahyangmu, maka diucapkan Baginda ketika bangun daripada rukuk. Dan sebelum kejadian itu, turun untuk rukuk dengan takbir dan bangun daripada rukuk juga dengan takbir. Maka jadilah ia suatu sunnah dengan berkat Abu Bakar as-Siddiq. Wallahua’lam

Mentarang: Rezeki di sebalik lumpur..


PANTAI berlumpur Kampung Kuala Sala yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Alor Setar, Kedah yang biasanya sunyi, kini menjadi tumpuan ramai.

Kelibat sekumpulan wanita dan beberapa lelaki secara bersendirian terbongkok-bongkok mengorek sesuatu dari lumpur jelas kelihatan. Begitu juga beberapa pengunjung yang bermotosikal dan berkereta sabar menunggu di bahu jalan yang diturap dengan batu kerikil dan tanah merah.

Semua itu gara-gara ingin mendapatkan mentarang, sejenis siput yang hidup di kawasan berlumpur dan ‘dituai’ pada musim tertentu.

Dengan tangan membawa sekeping kayu yang dijadikan ‘pencedok’ untuk mencungkil lumpur sebelum butiran mentarang boleh dikutip. Mereka memakai sarung tangan getah untuk melindungi jari daripada terluka akibat cengkerangnya yang tajam. Di sisi mereka terdapat bekas plastik atau tong yang digunakan untuk menyimpan mentarang yang telah dikutip.

Dengan penuh sabar mereka mengorek lumpur dan mengutip hidupan tersebut satu persatu walaupun diri dipanggang matahari hampir tegak di atas kepala.

Beberapa pengunjung yang ingin mendapatkan mentarang segar pula setia menanti di pinggir jalan, menunggu mana-mana pengorek yang bermurah hati untuk menjual hasil mereka secara pukal.

Jika bernasib baik, mentarang segar yang masih diliputi lumpur berwarna hitam dapat dibawa pulang pada harga yang sangat berpatutan.

Jika bukan rezeki sekali pun, sekurang-kurangnya melihat si pencari mentarang sudah memberi satu pengalaman tersendiri dan mungkin boleh cuba di lain kali.

Bercerita mengenai mentarang, pasti ramai yang tidak mengenali siput jenis itu. Bukan sahaja ada yang tidak pernah mendengar, melihatnya pula jauh sekali. Berlainan dengan kerang, lala atau kepah yang mudah didapati di mana-mana.

Siput mentarang merupakan sejenis haiwan bercengkerang yang boleh dimakan. Ia mempunyai kulit yang nipis dan biasanya lebih menggemari air yang mempunyai suhu rendah.

Mentarang hanya boleh ditemui di pantai yang berselut sahaja seperti di Perlis, Kedah atau Pantai Sabak, Selangor dan biasanya ia dikutip semasa air surut.

Menurut salah seorang pencari mentarang, Mohamad Said Ariffin, 62, mentarang mudah diperolehi dengan banyak pada musim tertentu seperti sekitar bulan Januari hingga Februari.

“Orang kampung kata musim timur. Tak tahu juga kenapa, tapi ini mungkin disebabkan keadaan cuaca yang panas dan sesuai untuk pembiakan mentarang,” katanya yang merupakan anak jati kampung itu.

Dia yang telah lebih 30 tahun mencari rezeki dengan mengutip haiwan itu berkata, habitat mentarang mudah dikesan melalui lubang-lubang udara pada lumpur.

Tambahnya lagi, ketika air surut sebelum tengah hari adalah waktu yang paling sesuai kerana lubang tersebut jelas kelihatan.

“Mentarang boleh hidup di luar lumpur sehingga dua atau tiga hari, dengan syarat ia masih berlumpur atau disiram air laut dan tidak terkena air paip,” katanya.

Mentarang enak dimasak berkuah dengan serai, ditumis cili atau dibuat gulai lemak bersama nenas atau pisang. Walaupun sukar untuk membersihkannya kerana keadaan yang berselut, keenakan rasa isi yang manis menyebabkan ramai tertunggu dan sanggup memandu jauh untuk mendapatkan hidupan itu. Di pasaran, mentarang dijual antara RM6 hingga RM8 setiap kilogram.

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN

Kupasan pembaca tentang isu Guru Terbeban Kerja dan Mokhtar Sabah

Isu asal disini.


Guru memang musuh nombor satu negara. Jika ada isu guru, seolah-olah ramai kelompok luar (bukan guru) akan mengiyakan bahwa guru memang tidak baik, negatif dan sebagainya (contoh tukang kebun, anonymous dsb).

1. Ikhlas. Ikhlas sebenar urusan tuhan. Kecewa, fedup tak memang dikatakan boleh memansuhkan ikhlas. Tapi itu urusan Tuhan dengan yang empunya diri. Setiap pekerjaan dan tugas memang perlu keikhlasan hatta mengkomen di dalam pos ini pun.
Jika ada guru mengaku ikhlas, maka ikhlaslah ia di kaca mata dia. Jika ada guru ragu-ragu keikhlasan dirinya maka kurang ikhlaslah ia di kaca mata dirinya. Orang lain tak akan dapat melihat secara benar ikhlas manusia. Ikhlasnya polis, ikhlasnya doktor, ikhlasnya ustaz, ikhlasnya pengkomen, ikhlasnya penulis dan ikhlasnya mana-mana orang.

2. Pandangan Mokhtar Sabah masih bias, bersandarkan pengalaman peribadi yang juga TIDAK ADA DATA EMPIRIKAL. Pandangan balas dari pihak menyanggah juga bias kepada pengalaman peribadi, juga tidak berdasarkan DATA EMPIRIKAL. Nah, siapa yang betul di sini?

3. Guru banyak kelebihan dan dimanja oleh kerajaan. Semua kakitangan kerajaan layak diberi pinjaman. Semua kakitangan awam persekutuan dan kerajaan negeri yang berpendapatan tinggi, RM2000 ke atas akan dihambat oleh bank untuk menjadi pelanggan kad kredit, pinjaman peribadi dan sebagainya. Juga semua kakitangan awam layak mendapatkan pinjaman tak kira di posisi mana ia bekerja. Prejudisnya penulis di atas, menilai juga berlandaskan pengalaman peribadi sendiri juga, tanpa mengetahui cerita di sebalik tabir.
Guru kenampakan seperti banyak kemudahan kerana ramai melihat hanya JAM DAN WAKTU. Jam mula kerja dan jam tamat kerja rasmi. Kemudian menyamakan guru sekolah rendah dua sidang dengan sekolah menengah dua sidang, menyamakan juga guru sekolah rendah satu sidang dan guru sekolah menengah satu sidang. Realitinya 4 jenis waktu bekerja wujud di dalam sistem pendidikan Malaysia. Pengalaman bergaul dengan rakan bukan guru, baik kakitangan kerajaan sendiri mahupun rakan dari sektor swasta yang kebetulan pelbagai peringkat jawatan menggambarkan bahawa yang diperkatakan adalah 'keselesaan luaran' guru pulang awal kerja/pergi lewat kerja, cuti panjang serentak cuti sekolah, serta mudah dapat sumber kewangan lebih (tuisyen contohnya). Jika hanya RM yang dinilai dan waktu bekerja yang diintai/dicemburui, maka maaflah itu bukan salah guru, ia memang sistem pendidikan begitu. Apa yang dikesalkan, pandangan sebegitu sememangya berat sebelah. Majoriti guru sekarang ialah guru siswazah. Dalam sektor manapun, guru sebegini adalah jawatan pengurusan dan profesional yang layak mendapat cuti tahunan. Di peringkat swasta, ada cuti tahunan 25-35 hari. CUti sekolah itu adalah ganti cuti tahunan tetapi tidak boleh dikumpul untuk dijadikan cuti panjang. Mengikut panduan pekeliling ikhtisas, kakitangan pendidikan yang bekerja di sekolah tidak layak mendapat cuti tahunan tetapi digantikan dengan cuti sekolah. Kakitangan pendidikan yg bertugas di sekolah boleh dipanggil bertugas bila-bila masa dalam cuti sekolah tetapi tidak melebihi 2/3 daripada cuti sekolah keseluruhan. Lumrah ibu bapa, hendakkah cuti tahunan diguna di hujung tahun supaya dapat melancong dengan keluarga, maka begitu juga guru yang telah berkeluarga. Yang bujang, tumpang senang kerana sistem persekolahan begitu yang juga dimahupun oleh ibu bapa. Sejak tahun 2004 (kalau tak silap), guru kini layak mendapat 7 hari cuti tahunan dan syarat-syaratnya sama seperti juga kakitangan awam lain.

4. Ada kaitan dengan perkara 3. Guru mempunyai KLIEN WAJIB setiap hari bekerja. Sesiapa yang bekerja di kaunter LHDN, Pendaftaran Negara, JPJ, dan lain-lain mengetahui bahawa walaupun ramai klien, kadar kebarangkalian yang datang setiap minggu berturut-turut sepanjang tahun adalah hampir 0%. Majoriti juga mempunyai KLIEN DEWASA atau matang. Klien guru pula, mempunyai klien sama setiap minggu dan dijamin 99% sama sepanjang tahun. Juga klien guru menuntut layanan menyeluruh - dalam kelas, luar kelas, keselamatan, sahsiah, ilmu, perkembagnan bakat dan sebagainya. Kakitangan yang ada di sekolah ialah kelompok guru yang akan menjalankan tugas sebaik boleh dalam kapasiti ilmu, keupayaan, kemahiran dan ruang lingkup arahan yang dibenarkan. Semua guru yang memasuki IPG dan IPTA dan tamat pengajian dan kini bertugas di sekolah sememangnya TELAH mengetahui hal ini. Kembali kepada perkara 1, soal ikhlas urusan si dia dengan Tuhannya. Tetapi soal dedikasi soal guru itu dengan pentadbir dan rakan sekerjanya.

5. Klien anak-anak dan remaja - Itu adalah tanggungjawab yang termaktub. Tak perlu orang luar yang tidak dilatih sebagai guru mempertikaikannya. Guru-guru yang keluar dari IPTA dan IPG sememangnya telah dilatih mengendalikan kelas yang kondusif dan ideal. Dengan prasarana yang lengkap anda akan melihat keseronokan klien dan guru belajar dan mengajar di dalam kelas. Ideal kelas adalah dalam julat 25-30 orang. Realitinya, ibarat jauh panggang dari api. Hanya sekolah-sekolah khas yang mempunyai kemudahan tinggi. Jangan hairan ada sekolah yang tidak mempunyai LCD di dalam kelas. Sehebat manapun guru dalam ICT, gerenti tak dapat digunakan semasa mengajar kecualilah guru tadi membeli LCD sendiri dan dibawa ke sekolah (memang ada guru yang beli sendiri LCD utk mengajar - soal ikhlas tanya guru itu dan TUhannya). Akan ada klien yang beranggapan pembelajaran membosankan. Memang pun bosan jika guru kurang mahir mencari alternatif. Tapi tunggu dulu. Bukankah guru seperti kita juga, tak semua punya kemahiran yang sama. Tak semua doktor perubatan boleh menjadi pakar, tak semua ahli bomba akan cekap memadamkan api tanpa alat pemadam api yang sofitikated. Begitu juga guru. Ada pelajar cemerlang yang jadi guru dengan jiwa kental dan berkeyakinan tinggi kerana ia yakin dengan peralatan modem masa kini seperti diuar-uarkan. KEnyataannya hanya sekolah berasrama penuh, sekolah berprestasi Tinggi, MRSM dan beberapa lagi sekolah 'emas' akan ada peralatan itu. Selebihnya sekolah-sekolah dibekalkan infrastruktur asas untuk keperluan masyarakat. Seumpama balai polis yang kurang serba serbi tetapi perlu ada.

6. Individu Guru - ramai guru dilantik dari kalangan wanita. Ramai juga guru baru dilantik dari kalangan lelaki. Malangnya ada juga lelaki yang dilantik adalah lelaki lembut.

7. Guru rajin vs guru tak rajin (pegawai perkhidmatan pendidikan Rajin vs pegawai perkhidmatan pendidikan Tak rajin - Saya lihat ada persamaan dengan pekerja peringkata pengurusan di sektor swasta dan awam yang lain. Ada yang cekap ada yang kurang cekap. JIka difikirkan kerja berpasukan, maka sudah tentulah yang cekap akan menyelesaikan kerja pasukan dengan lebih banyak. COntoh mudah, jika di suruh memasukkan data murid. Guru celik ICT akan dapat menyiapkan ENtri data (>50 textbox) SMM untuk pelajar 30 orang dalam tempoh 2 jam, tetapi yang senior, jangan hairanlah 2 jam tu masih lagi dalam lingkungan 20 rekod murid. Tetapi seperti juga dalam sektor lain, politik pejabat akan wujud. Yang terlalu perlahan sama ada akan memuji dan meminta bantuan dari secepat tadi, ATAU akan bengang dan marah kerana seolah-oleh diperkecilkan. Justeru jangan hairan keharmonian kerja boleh tergugat. Dan tak semua PPPS rajin tadi MASIH BUTA! Perlahan-lahan akan menyedari yang mereka akan dipergunakan. SOal ikhlas, sekali lagi itu urusan sidia dengan Tuhannya. Sebagai manusia perasaan tetap akan terguris.

8. Guru strategik dan kenaikan pangkat - Guru yang suka berpindah untuk mendapat peluang penambahan pengalaman dan mencerahkan kenaikan pangkat. Ketahuilah, antara rahsia guru yang mudah naik pangkat ialah guru tersebut tidak akan lama di sesebuah sekolah. LEpas tiga tahun akan berpindah. Tak semestinya perpindah ke sekolah jauh. Guru sebegini boleh mendapat perpindahan di sekolah berdekatan dalam lingkungan 25 KM radius dari tempat tinggal. APa yang penting ialah Rekod kerja menunjukkan beliau telah bertugas di pelbagai sekolah yang bermakna pelbagai pengurusan. Sekaligus pada masa yang sama, meminimumkan rekod-rekod masalah disiplin kerja atau yang lainnya. Setiap kali perpindahan akan membawa hanya perkara positif, dan tanpa disedari ia amat membantu dalam mencipta rekod positif kerjaya. Nota : hanya guru-guru dari subjek tertentu yang boleh berbuat demikian. Ada subjek yang gerenti kekal lama dalam sekolah berkenaan.

9. Core Business guru - Sememangnya sumpah setia guru adalah mengajar. CUma lagi definisi mengajar dan mendidik ini luas dan sempit. Ia bergantung kepada siapa guru itu dan siapa kepala jabatan beliau. MEndidik termasuklah sahsiah, disiplin, dan kemenjadian murid. Inilah pegangan ramai guru lama (seniors), tetapi ada had ruang lingkup bernafas yang akan mencecik guru BARU (freshies/juniors) Contoh arahan-arahan pekeliling yang menegah dan mengarahkan had tindakan tegas guru biasa (pengecualian pengetua dan ketua guru disiplin - sebagai contoh). Golongan baru yang serba tak kena ini akan terkpaksa beralih arah. Kebanyakan guru baru sekarang (mungkin guru yang sedang bertugas 15 tahun ke bawah) berpegang kepada definisi, takrifan mahupun MAZHAB baru yang bunyinya hampir-hampir seperti ini : 'CORE BUSINESS GURU ADALAH SEMATA-MATA MENGAJAR PELAJAR DI DALAM KELAS MENGIKUT SUBJEK YANG DIAJAR' Apa yang berlaku di luar sekolah adalah luar tugas guru. Pembentukan disiplin di luar sekolah adalah tanggungjawab ibu bapa masing-masing dan masyarakat luar. JIka ada berlaku insiden salah laku di dalam sekolah, tugas pengetua, Penolong kanan hal ehwal murid (PK HEM) dan Ketua Guru Disiplin (ada kuasa lantikan) sahaja yang boleh membetulkan pelajar-pelajar terbabit sesuai dengan Akta Pendidikan 1961 pindaan 2005, dan kuasa-kuasa yang diperturunkan oleh Pengetua.

10. Benarkah tugas guru membebankan? - Jika dinilai secara luaran, kerja guru tidak membebankan kerana ramai guru suka dengan gaya kerja yang sedia ada. Ramai guru suka bekerja bersama remaja. Memenuhi keperluan remaja (pelajar) aktif dan berbakat bukan masalah bagi guru terlatih. Beban semakin ketara apabila takrifan itu turut mengambil kira 'ERGONOMIC' dan faktor-faktor kesihatan dan keselamatan pekerja. Guru adalah kakitangan pengurusan dan profesional, tetapi berbanding tahap sama di sektor swasta dan awam lain, mereka tidak ada orang bawahan atau team kerja. Guru juga adalah titik utama penerima arahan. Bezanya arahan boleh datang LANGSUNG kepada individu guru dari pengetua, PK1, PKHEM, PKKokum, PPD, KB, KP, PIBG, dan beberapa lagi TITIK DAN GARIS ARAHAN yang tidak semestinya datang mengikut garis (LINE) vertikal (hierarki jawatan di jabatan contohnya). Berbanding kerja di sektor swasta, seperti perbankan, pegawai/eksekutif mempunyai kelompok kakitangan bawahan dan garis arahan langsung mengikut hierarki jelas dari atas ke bawah (vertical line). Tetapi itu adalah SUNNAH/SIFAT/REKA BENTUK kerjaya guru. Tidak perlu dipertikaikan ke arah negatif, tetapi jangan hairan, tidak semua guru mempunyai tahap 'ketahanan mental tinggi' untuk berhadapan kegagalan secara serentak.

Ada banyak lagi yang boleh ditulis tetapi cukuplah untuk beri perspektif lain tentang perbincangan dalam POST ini.
Diharapkan mana-mana penulis komen turut melihat setiap sudut. Jika ada yang membenci guru, mungkin sebab semasa di zaman persekolahannya pernah ada kisah hitam.

Turut Serta

Saturday, February 19, 2011

Masalah badan berbau !!


MASALAH ketiak dan kaki berbau memang merisaukan. Lebih memalukan apabila ia mengganggu orang lain. Hakikatnya semua orang punya bau badan yang tersendiri kerana ia berpunca daripada proses perpeluhan. Berpeluh adalah sebahagian daripada proses tubuh dan kita perlu faham mengapa tubuh menghasilkan peluh

Ada dua jenis kelenjar menghasilkan peluh, pertama kelenjar Eccrine dan kedua kelenjar Apocrine.
Kelenjar Eccrine bertanggungjawab terhadap proses berpeluh di mana ia bersambung terus hingga permukaan kulit untuk menghasilkan peluh. Ia bertujuan mengawal suhu badan selain membuang bahan-bahan buangan seperti urea, sodium, kalsium atau elektrolit.

Pakar Perubatan dan Dermatologi Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Noraziah Abd Kadir Jailani, menjelaskan peluh melalui kelenjar Eccrine sifatnya tulen, jernih seperti air dan tidak menghasilkan bau kerana akan terus keluar ke permukaan kulit dan meluap.

Kelenjar Apocrine pula merembeskan cecair yang lebih likat dan agak keruh serta menimbulkan masalah jika ia lebih banyak dari kelenjar Eccrine.

Kelenjar Apocrine ada pada bahagian tubuh yang banyak folikel rambut seperti ketiak serta tempat sulit seperti kemaluan. Kelenjar ini mengandungi sebum, bahan berlemak di mana peluh dirembeskan. Sebum pula bahan organik yang tersimpan dalam kelenjar Apocrine.
Di sini lebih mudah untuk bakteria memecah masuk protein dalam rembesan peluh, tidak seperti kelenjar Eccrine. Apabila protin dipecah masuk dalam peluh oleh bakteria, ketiak atau kaki akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Punca bau badan boleh disebabkan bahan buangan terkumpul dalam badan akibat proses pencernaan tidak sempurna. Pengambilan pelbagai jenis makanan, majoritinya digunakan untuk tubuh sementara selebihnya ditukar ke dalam bentuk sisa buangan atau toksin. Toksin ini disingkirkan sekiranya ginjal, hati dan saluran penghadaman usus berfungsi dengan baik.

Atas sebab tertentu seperti sembelit, sekiranya sistem pencernaan tubuh tidak berfungsi dengan betul, toksin ini boleh kekal dalam tubuh. Individu yang punya masalah ini dan makan banyak daging, telur, ikan dan kekacang khususnya akan mempunyai bau badan yang busuk. Makanan ini mengandungi banyak Choline yang tidak mudah melalui proses metabolisme.

Banyak minum kopi atau minuman berkafein dan makanan berempah yang mengandungi bawang dan bawang putih juga berpotensi menyebabkan bau pada ketiak, tidak kira lelaki atau wanita.

Punca lain bau badan termasuk masalah ginjal, hati, hypoglycemia (kurang gula dalam darah), jangkitan kuman, kencing manis dan tiroid. Ia dikesan apabila individu yang pada mulanya tidak punya masalah bau, tiba-tiba mengalami perubahan bau badan yang mengganggu. Bau badan juga disebabkan oleh faktor genetik dan kelenjar yang sangat aktif.

Punca kaki berbau tidak banyak beza dengan bau badan. Selain kaki yang kuat berpeluh, bau kaki juga disebabkan memakai kasut atau sarung kaki yang tiada pengalihan udara sempurna dalam tempoh yang lama. Memandangkan kaki manusia dilitupi kelenjar peluh tebal, peluh pada kaki boleh bercampur dengan bakteria pada permukaan dan menghasilkan bau.

Bulu pada kaki terutama pada ibu jari mampu menyumbang kepada bau yang lebih pekat dengan menambah jumlah permukaan di mana bakteria boleh membiak. Bau kaki boleh dirawat dengan memilih kasut terbuka dan stokin dari bahan semula jadi seperti kapas dan bulu biri-biri.

Pastikan kaki sentiasa kering, guna talkum untuk kaki, jangan guna kasut yang sama dan elakkan tekanan emosi dengan melakukan senaman meditasi seperti yoga.

Antara cara merawat dan mengawal masalah bau ketiak pula ialah penggunaan cecair pencuci mengandungi 3 peratus hidrogen peroksida, menyembur pewangi dan penyembur anti peluh. Jika terlalu serius, pembedahan membuang kelenjar Apocrine pada tempat bermasalah boleh dilakukan selain laser serta suntikan botox.

Info: Cara mengawal bau badan
  • Kerap mandi
  • Pilih pakaian fabrik kapas dan longgar
  • Elak pengambilan makanan tinggi choline (bawang putih, daging, rempah, kafein dan kekacang)
  • Berhenti merokok

  • Oleh Suzan Ahmad



    Baik, buruk minyak masak..


    BEBERAPA teman di laman sosial Facebook mengeluh mengenai kesukaran mendapatkan minyak masak di pasaran sejak akhir-akhir ini.

    Ada yang menyoal sinis: “Pokok kelapa sawit banyak, mana minyaknya?” Ironinya, sama seperti gula, negara kita merupakan antara pengeluar utama minyak sawit dunia tetapi kekurangan bahan tersebut di pasaran tetap berlaku.

    Kesihatan tidak mahu mengulas mengenai fenomena tersebut atau mencari apa puncanya, cuma sekadar ingin mencungkil rahsia di sebalik bahan asas masakan rakyat Malaysia itu.

    Tanpa disangkal, kita menggunakan minyak masak setiap hari dalam kebanyakan jenis masakan. Goreng, kari, kurma, sup, asam pedas, masak kicap, sebut sahaja apa jenisnya, bahan asasnya adalah minyak. Itu belum dikira lagi kuih muih seperti karipap, donat, pisang goreng dan bermacam lagi yang menggunakan minyak yang banyak ketika dimasak.

    Persoalan utama, benarkah minyak masak hanya mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan?

    Pakar Nutrisi dari Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Shah Alam, Chew Lih Theng berkata, seperti bahan lain minyak masak juga mempunyai kebaikan dan boleh mengundang keburukan andai diambil dalam kuantiti berlebihan.

    Kebaikan minyak masak menurut beliau mengandungi lemak yang menjadi sumber utama tenaga yang paling mudah diperolehi. Selain itu katanya, ia juga mengandungi komponen yang membantu penyerapan vitamin seperti AHA, DHA dan vitamin penting lain untuk fungsi otak dan sel membran.

    Namun seperti juga bahan lain, jika diambil dalam kuantiti yang berlebihan ia menyumbang kepada masalah penyakit berkaitan obesiti dan jantung.

    Jenis minyak

    Minyak masak terhasil daripada tumbuhan, namun terdapat juga minyak daripada haiwan yang wujud dalam bentuk pepejal pada suhu bilik seperti marjerin, mentega dan minyak sapi.

    “Secara asasnya, semua minyak masak berasaskan tumbuhan tidak mengandungi kolestrol. Namun ia mempunyai komposisi kandungan yang berbeza berdasarkan strukturnya,” kata beliau.

    Menjelaskan lebih lanjut kata Lih Theng, minyak kelapa, kelapa sawit dan isirung kelapa sawit tergolong dalam kumpulan minyak yang mengandungi lemak tepu yang tinggi tetapi rendah kandungan asid lemak mono tak tepu (MUFA) dan asid lemak poli tak tepu (PUFA).

    Walaupun lemak tepu dikelaskan sebagai lemak jahat, tetapi tidak semua mempunyai kesan negatif terhadap kolestrol dalam badan. Ada kajian yang menunjukkan asid palmitic dalam minyak kelapa sawit neutral terhadap paras kolestrol kerana ia membahagi secara sama rata kepada tiga bahagian utama molekul triglyceride.

    Dalam satu kajian oleh saintis dari Amerika Syarikat pada tahun 2007 mendapati, pengambilan lemak tepu dan PUFA diperlukan untuk nisbah kolestrol LDL (kolestrol jahat)/ HDL (kolestrol baik) yang ideal dalam darah. Ini berikutan kedua-duanya menyumbangkan keseimbangan dalam proses metabolisme lipoprotein.

    Disebabkan kandungan asid lemak tepu yang tinggi, minyak kelapa sawit dan kelapa sering digunakan untuk jenis masakan goreng rendam (deep fried) kerana strukturnya yang lebih stabil.

    Kumpulan minyak sayuran lain seperti zaitun, kacang soya, bijan, bunga matahari, kanola dan jagung pula mengandungi kandungan MUFA dan PUFA yang tinggi manakala lemak tepu pula rendah.

    Ini menjadikan minyak jenis itu sesuai untuk masakan tumis ringkas atau dimakan mentah.

    Mungkin ada yang bertanya, jika minyak yang mengandungi MUFA dan PUFA baik, mengapa tidak digunakan untuk menggoreng dalam jumlah yang banyak?

    Jawapan Lih Theng selain harga yang tinggi, ia tidak sesuai kerana setiap jenis minyak, katanya, mempunyai tahap tertentu (smoke point) di mana jika dipanaskan pada suhu yang melebihi had ditetapkan menyebabkan ia mengeluarkan bahan toksik yang dipanggil 4-hydroxy-trans-2-nonel (HNE). Bahan itu, kata beliau, akan meningkatkan paras kolestrol dalam badan.

    “Sebenarnya tidak sukar untuk mengenalpasti kandungan minyak masak kerana ia fakta nutrisinya sudah terkandung pada label produk. ,” katanya.

    Kata beliau, jenama bukanlah faktor utama yang menentukan baik atau tidak sesuatu jenis minyak masak, tetapi terpulang kepada sebanyak mana yang kita ambil dan bagaimana cara memilih kaedah masakan dalam menghasilkan hidangan yang menyihatkan.

    Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN

    Rela dimadu..


    Isteri tua isi borang restu suami poligami demi saudara baru

    MANA ada wanita sanggup dimadukan namun kalau sudah ditakdirkan, buat apa cara sekali pun untuk mengelakkannya, ia tetap berlaku juga

    “Saya terpaksa menelan pahit bermadu dan reda menerima kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga. Walaupun berat dugaan itu, sebagai Muslim saya kena terima hakikat poligami dibenarkan Islam. Ini jalan terbaik untuk mengelak hubungan gelap sehingga melahirkan zuriat tak sah taraf”.
    Itu antara mukadimah Noni ketika menceritakan hal keluarga besarnya. Noni isteri pertama dan ibu lapan anak yang semuanya sudah besar dan bekerja, hanya seorang masih bersekolah. Tiga anak kecil yang dibawa pada satu majlis pengajian agama adalah anak madunya dan Noni tak malu mengaku status anak itu kepada jemaah masjid.

    “Mereka rapat dengan saya dan sentiasa mengikut saya ke kelas agama. Mereka sanggup bangun awal untuk ke masjid bersama saya,” katanya sambil menambah madunya mempunyai lima anak, termasuk seorang masih bayi. Mereka tinggal berasingan tetapi rumah berdekatan.

    Sebelum bertemu jodoh dengan suami, Noni pernah berkawan dengan seorang lelaki bukan Muslim yang memang mencintai dan ingin memperisterikannya, tetapi kerana kurang pengetahuan agama ketika itu dan khuatir tidak dapat membimbing, lamaran ditolak, tambahan pula keluarga kekasih terlalu kuat pegangan agamanya, terutama si bapa yang juga seorang paderi.

    Noni kemudian berkahwin dengan suaminya sekarang dan ia memberi tamparan hebat kepada bekas kekasih yang memang nekad memeluk Islam dan akhirnya berkahwin dengan gadis Melayu lain. Tentu pembaca tertanya-tanya apa kaitannya lelaki itu dengan keredaan Noni menerima madunya sekarang?
    Tanpa disangka, selepas mengharungi hidup berumah tangga dan mempunyai lapan anak, tiba-tiba Noni diduga pula dengan kehadiran wanita bukan Muslim yang begitu menyayangi suami dan sanggup meninggalkan agamanya. Berbeza kali ini, wanita itu menagih simpatinya untuk menumpang kasih dan perlindungan suami kerana minatnya kepada Islam.

    “Apabila berdepan dengan wanita ini, hati saya luluh. Saya membuang jauh-jauh perasaan pentingkan diri demi menyelamatkan seorang insan yang sedia memeluk Islam. Saya bersedia menerima madu kerana yakin dapat membimbingnya berdasarkan pengetahuan agama yang ada dalam diri,” katanya yang membuat semua urusan termasuk mengisi borang membenarkan suami berpoligami.

    Kak Ani betul-betul terpegun dengan ketulusan hati Noni menerima kehadiran madunya. Noni percaya suami mampu berlaku adil berdasarkan sikapnya yang baik dan kuat bekerja, namun sebagai wanita biasa, pasti ada sekelumit perasaan cemburu terhadap madu, tetapi Noni berusaha membuang perasaan itu jauh-jauh.

    Ilmu agama yang dipelajari di kelas pengajian formal atau tidak, menjadi sandaran untuknya melalui kehidupan bermadu dan reda di atas ketentuan Ilahi. Menurut Noni, pengisian ilmu agama penting kerana dapat mengimbangi segala tindakannya dalam menempuh cabaran kehidupan harian dan dia tidak pernah membataskan diri dalam mengejar ilmu agama.

    “Saya lebih suka kelas agama yang membuat ujian bagi menilai kemajuan pelajar, dengan itu saya dapat menilai pencapaian saya. Sebagai saudara baru Islam, madu saya memang perlukan bimbingan saya. Ilmu yang saya peroleh di kelas dan kuliah agama, saya gunakan untuk membimbingnya.

    “Kali ini saya bersedia membimbing madu supaya mengamalkan ajaran Islam. Setiap bulan saya adakan kumpulan usrah di rumah dan menjemput guru agama. Melalui kelas ini, saya berupaya mengubat hati supaya lebih tabah berdepan ujian, begitu juga dengan madu dapat meningkatkan keimanannya.

    “Tidak semua orang berminat mendengar ceramah agama. Oleh kerana madu saya lebih berminat kepada kegiatan luar, dia saya beri tugas menguruskan soal kewangan dan menghantar pelajar ke sekolah. Cara bekerja sambil belajar nampak berkesan untuk mendekatkan madu dengan ajaran Islam,” katanya.

    Kalau bercakap fasal poligami, kita banyak dengar kes isteri tua makan hati disebabkan suami terlebih memberi kasih kepada isteri muda. Apa yang kita dengar amalan poligami lebih banyak keburukan daripada kebaikan sehingga ada suara membela nasib wanita menentang poligami.

    Malangnya dalam keghairahan menentang apa yang dihalalkan Islam, mereka tidak pula menentang suami yang memiliki kekasih gelap atau perempuan simpanan. Di sinilah Kak Ani nampak kelemahan wanita yang sepatutnya mempunyai rasa simpati terhadap wanita yang menjadi mangsa godaan lelaki dan merelakan diri terdampar di lembah maksiat.

    Kak Ani percaya kalaulah ada ramai wanita membuat persediaan seperti Noni, rasanya aman dunia. Tak adalah wanita berebut suami seperti filem Madu Tiga arahan seniman agung P Ramlee atau isteri tua ditetak madu seperti dilapor media. Kalau anggap dunia sebagai persinggahan sementara, kita tak akan tamak atau mengejar kebendaan semata-mata.

    Bagi lelaki yang ingin berpoligami, hayati firman Allah dalam Surah Nisa’:3 yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang saja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”.

    Bersama Kak Ani


    Mitos bisul yg tidak anda ketahui !!


    Elak makan lauk, telur lambatkan proses surut

    BISUL adalah masalah jangkitan biasa dialami setiap orang sama ada kanak-kanak atau orang dewasa. Jangkitan bermula apabila bakteria atau parasit pada kulit merebak ke lapisan dalaman kulit menyebabkan ia kemerahan, bengkak, berisi nanah dan menyakitkan. Jenis bakteria paling biasa menyebabkan bisul pada kulit dikenali sebagai Staphylococcus Aerues

    Individu tertentu boleh mengalami masalah bisul atau jangkitan begini akibat diabetes, amino yang terjejas, HIV, tercedera serta imuniti yang rendah terutama pada kanak-kanak dan warga tua.
    Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Yong Chee Khuen, berkata biasanya bisul berlaku disebabkan kecederaan atau kemalangan yang tidak dirawat sempurna dengan kadar segera hingga menyebabkan terbentuknya ulser atau keradangan dalam kulit sehingga dijangkiti bakteria.

    “Sekiranya berlaku jangkitan peringkat awal, ia dipanggil cellulites - sifatnya merah, sakit dan panas. Jika di dalam kulit atau bisul, sifatnya akan terbentuk kumpulan nanah di dalam rongga manakala peringkat lebih serius dipanggil Necrotising facitis atau bakteria yang memakan isi," katanya kepada Berita Minggu.

    Simptom utama proses keradangan atau jangkitan adalah kemerahan, panas, bengkak dan rasa sakit. Ia bukan saja terbentuk pada sebarang tisu pejal pada permukaan kulit, malah sering juga berlaku pada organ dalaman seperti paru-paru, otak, buah pinggang dan tonsil.

    Sekiranya jangkitan berlaku sehingga terbentuk bisul, rawatan pilihan ialah pembedahan. Begitupun, sebelum pembedahan dijalankan, antibiotik akan diberi selain ujian darah bagi mengenal pasti masalah lain.
    Bagi kanak-kanak yang lebih gemar berdiam diri dan tidak tahu di mana lokasi jangkitan sebenar, imbasan MRI dan CT akan dijalankan.

    Bisul disebabkan amino yang terjejas pula mampu merebak melalui darah. Di sini darah berfungsi sebagai lebuh raya dan menyebarkan bakteria ke seluruh tubuh. Oleh itu, remaja yang tidak menjaga kebersihan diri pasti akan terkena jangkitan ini.

    Bagaimanapun, punca paling lazim adalah sifat kulit itu sendiri yang mudah terdedah kepada anasir yang tidak baik. Kulit bukan saja organ tubuh paling besar, malah berfungsi sebagai mekanisme pertahanan diri yang penting.

    Setiap inci kulit diseimbangkan dengan bakteria baik dan bakteria tidak baik. Bakteria baik tidak akan membawa sebarang masalah tetapi sebaik saja tubuh kekurangan imuniti atau ketahanan diri, kecederaan kecil saja sudah mampu menyebabkan jangkitan. Tidak dinafikan kebersihan diri cukup penting tetapi perlu diingat terlalu bersih juga tidak baik kerana kita akan membunuh kedua-dua bakteria ini.

    Jelas Dr Yong lagi, bisul yang biasa dan tidak serius boleh dirawat menggunakan antibiotik dan pembedahan. Tapi bagi bisul disebabkan amino yang terjejas, boleh merebak dengan cepat pada tisu dalam tubuh menyebabkan kegagalan beberapa organ dalaman. Dalam apa juga keadaan, pencegahan adalah perkara terbaik termasuk penjagaan kebersihan diri yang rapi dan imuniti diri lebih tinggi.

    “Sekiranya simptom awal seperti merah, bengkak, sakit dan demam berlaku, terus berjumpa doktor bagi mengelak jangkitan merebak lebih ke dalam kulit.

    “Di rumah, sebagai langkah awal ibu bapa boleh mencuci luka dengan menggunakan air panas, antiseptik dan iodin. Namun jika ia semakin membengkak, pesakit akan mula berasa tidak sihat, demam, luka menjadi kemerahan dan mula merebak, cepatlah berjumpa doktor,” katanya.

    Dari segi pemakanan, mengamalkan diet seimbang disarankan bagi mempercepatkan penyembuhan.

    “Terlalu banyak pantang larang dalam masyarakat seperti ayam, udang, ikan dan telur yang dipercayai menyebabkan kegatalan. Ironinya untuk sembuh, kita memerlukan hemoglobin, albumin serta Vitamin C dan semua nutrien ini terkandung dalam diet yang disebutkan itu.

    "Perlu diingat, bisul pada kebanyakan bahagian tubuh agak sukar untuk sembuh dengan sendirinya. Kerana itu, sekiranya tanda awal bisul muncul, rawatan perubatan segera perlu diberikan," katanya

    Oleh Suzan Ahmad


    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...