terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, March 30, 2011

Hati-hati di pasar raya besar tipu harga !!!


SAYA ialah suri rumah yang setiap tiga kali sebulan membeli-belah keperluan dapur (barangan kering) di pasar raya besar di sebuah kawasan di Lembah Klang. Itulah rutin saya sejak bertahun-tahun dulu.

Semalam saya seperti biasa ke pasar berkenaan. Kepercayaan dulu mengatakan membeli-belah di pasar raya adalah murah kerana kononnya peniaga berkenaan mendapatkan barangan mereka secara pukal dan boleh dijual dengan harga lebih rendah daripada kedai-kedai runcit.

Dua tahun dulu saya membeli satu kereta sorong penuh dengan anggaran perbelanjaan RM250 ke RM300. Hari ini tiga suku penuh kereta sorong, nilai barangannya telah meningkat kepada RM450 ke RM500.

Belian di pasar raya hiper kini sebenarnya bukan lagi satu pilihan yang tepat. Selain daripada harganya yang semakin tidak stabil, berlaku juga beberapa kejadian yang sepatutnya kita sebagai pengguna lebih berhati-hati apabila berurusan dalam kuantiti yang banyak di pasar raya seperti itu.

Semalam saya buat ke sekian kalinya mendapati resit yang saya bayar dicaj berlebihan. Saya mengesyaki dicaj lebih setelah mendapati harga yang tercatat terlalu tinggi untuk barangan yang dibeli. Saya membeli barang-barang asas seperti gula, beras, minyak masak, telur, kicap dan pelbagai lagi keperluan dapur.

Sesampainya di kereta saya rasa tidak sedap hati. Lalu sebelum memandu keluar saya meneliti satu persatu harga barangan di resit tersebut. Saya mendapati telur satu dulang yang harganya RM9.90 dicaj sebanyak RM31.90.

Minyak masak yang saya lihat di rak dengan harga RM19.90 dicaj sebanyak RM23.49. Lalu saya terus ke kaunter khidmat pelanggan untuk mengadu. Tanpa rasa bersalah mereka memulangkan wang RM25.59.

Saya tidak pasti adalah ia kesilapan yang tidak disengajakan atau pun disengajakan.

Tapi setelah beberapa kali saya mengalami insiden yang sama, saya yakin ia disengajakan. Saya merasakan ia adalah perbuatan tidak amanah yang berlaku di kaunter bayaran.

Jika seorang pelanggan boleh dikutip sebanyak RM25, bayangkan ratusan, malah ribuan orang yang ada di pasar raya itu di hujung minggu semasa waktu gaji.

Jika benarlah kegiatan tidak amanah itu berlaku ia sangat-sangatlah tidak patut kerana pelanggan kini bukan saja amat tertekan dengan harga barangan runcit yang semakin tidak menentu, tetapi juga terpaksa berhadapan dengan penipuan yang tidak mereka sedari itu.

Saya berharap kerajaan dan pihak pengusaha pasar raya besar dapat memantau dengan tegas gelagat-gelagat yang tidak bertanggungjawab itu.

Untuk para pengguna pula jangan hanya kutip barang, isi dalam kereta tolak, bayar dan terus berlalu. Nasihat saya ialah teliti semula satu persatu senarai barang yang dibeli itu. Mungkin ada yang 'tersalah tekan' oleh juruwang di kaunter bayaran itu.

PELANGGAN TERTIPU

Shah Alam

Apabila isteri bersuara..


SALAH satu azam wanita yang melangkah masuk ke alam perkahwinan ialah ingin menjadi isteri solehah. Ia mungkin mudah disebut. Tetapi untuk melaksanakan tugas sebagai isteri terbaik tidaklah mudah.

Kehadiran isteri yang baik akan mudah melahirkan rumah tangga bahagia. Sebaliknya isteri yang tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan melahirkan rumah tangga yang kucar-kacir.

Wanita sememangnya dilahirkan dengan sifat kehalusan yang dianugerah oleh Allah, bersesuaian sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami.

Rumah tangga bahagia boleh diasaskan oleh isteri yang solehah dengan memenuhi tanggungjawab yang digariskan dalam tuntutan yang pembentukan rumah tangga yang bahagia.

Dalam mengharungi kehidupan berumah tangga, isteri sebenarnya merupakan pembantu kepada suami, jadi sekira suami bertindak tidak betul adalah menjadi tanggungjawab isteri untuk menegur.

Setiap individu mempunyai kekurangan dan kelemahan. Begitu juga dengan suami. Semasa di alam percintaan dan pertunangan mungkin tidak dapat mengesan kekurangan tersebut.

Setelah berumah tangga baru keadaan ini terserlah, sudah tentu ia mengecewakan. Keadaan itu jika tidak diperbaiki ia akan menjadi api dalam sekam dalam kehidupan.

Jika seorang suami itu buta dengan kelemahan dan kelemahan ini menyebabkan kesusahan atau kegagalan baginya mendapatkan kejayaan adalah mustahak bagi isteri menyediakan kesedaran tersebut.

Sebenarnya, dalam kehidupan berumah tangga, isteri juga ada hak dalam menentukan kebahagiaan cuma ia mesti dilaksanakan dengan cara kewanitaan, lemah lembut dan penuh berhemat.

Sebenarnya, isteri boleh bersuara dalam hal-hal tertentu yang melanggar etika pergaulan suami isteri demi mempertahankan kewibawaannya sebagai isteri yang berhemah.

Sekiranya suami ada membuat kesilapan, tegurlah secara diplomasi kepada suami dan nasihat kepada secara berhemah supaya meninggalkan perbuatan itu.

Sekiranya ia melibatkan hal-hal yang menimbulkan dosa, isteri mempunyai hak untuk menjauhkan anak-anak malah dirinya sendiri daripada terlibat melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

Tidak salah menasihati dan menegur kesilapan suami walaupun dia adalah ketua keluarga.

Biarpun begitu, sebagai isteri yang solehah, sikap taat adalah ciri penting dalam kehidupan berumah tangga.

Sebagai isteri, selagi perbuatan tidak menyalahi undang-undang dan syariat agama, kita sebagai isteri wajib untuk mentaati suami.

Namun sekiranya kita mendapati ada perbuatan yang tidak betul, cuba berbincang secara baik supaya tidak menimbulkan masalah dalam rumah tangga.

Percayalah, sekiranya kita taat kepada suami dengan ikhlas, pasti Allah akan memberi rahmat kepada diri kita.

Begitu juga dalam situasi suami menzalimi anak-anak, isteri perlu bertindak sebagai pelindung kepada anak-anak.

Ajaklah berbincang secara waras dengan suami, apakah relevannya suami bertindak ganas dengan anak-anak.

Sekiranya suami mempunyai sebab-sebab yang tertentu menyebabkan dia ganas mendidik anak, kompromi dengan si suami supaya tidak terlalu ganas dalam mendidik anak.

Bagaimanapun, sebagai ibu jangan pula terlalu menyokong tindakan anak-anak sehingga menyebabkan pergaduhan kepada suami isteri.

Lazimnya, anak-anak yang terlalu di manja akan menjadi degil dan besar kepala kerana setiap perbuatan yang dilakukan seolah-olah mendapat restu daripada ibunya.

Oleh ZUHAYATI YAZID

Tuesday, March 29, 2011

Cara keluar dari senarai hitam PTPTN


Untuk makluman, peminjam PTPTN yang berhasrat mengeluarkan nama mereka daripada senarai hitam hendaklah hadir di PTPTN untuk berunding mengenai kaedah bayaran balik hutang sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum berangkat ke luar negara.

Berdasarkan persetujuan semasa rundingan, PTPTN akan meminta Jabatan Imigresen mengeluarkan nama mereka daripada senarai hitam dan seterusnya membenarkan ke luar negara.

Untuk urusan pengeluaran Akaun II KWSP bagi pembayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN, peminjam yang terlibat perlu melaksanakan proses berikut:

a) Peminjam perlu mengisi Borang Pengesahan Baki Pinjaman (boleh dicetak melalui Laman Web PTPTN) atau menulis surat rasmi kepada PTPTN (u.p Unit Lejar Pinjaman) menyatakan ingin membuat bayaran balik pinjaman keseluruhan/tunggakan melalui pengeluaran KWSP.

b) Permohonan Pengesahan Baki Pinjaman akan diproses dalam masa 7 hari bekerja dan seterusnya PTPTN akan mengeluarkan surat pengesahan baki pinjaman/tertunggak dan dipos ke alamat pemohon.

c) Peminjam perlu mengisi Borang 9H (AHL) yang boleh diperoleh di KWSP dan mengemukakan bersama-sama Surat Pengesahan Baki Pinjaman PTPTN serta salinan dokumen perjanjian pinjaman PTPTN sebagai dokumen sokongan.

Peraturan mengenai pengeluaran nama daripada senarai hitam dan urusan pengeluaran Akaun II KWSP boleh disemak melalui ruangan FAQ & Artikel di dalam Laman Web PTPTN.

Semua peminjam adalah dinasihatkan untuk menyemak peraturan dan proses kerja sesuatu aktiviti di Laman Web PTPTN sebelum mengemukakan pertanyaan di kaunter PTPTN, melalui Call Center atau One Stop Center. Ini adalah untuk memastikan pertanyaan yang dikemukakan adalah jelas dan mudah difahami dan seterusnya akan memudahkan petugas memberikan maklum balas.

Peminjam PTPTN diminta menghubungi Khadijah Ali di talian 03-2098 3780 sekiranya masalah mereka masih belum selesai. Semua peminjam boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan PTPTN melalui laman web www.ptptn.gov.my atau menghubungi talian Hotline PTPTN di 03-2080 4455.

RINA ABD RAHMAN

Pegawai Perhubungan Awam PTPTN

Monday, March 28, 2011

Benarkah Tribunal Tuntutan Pengguna ada kuasa??? Atau gertak saja..


SETIAP kali menatap ruangan Fail TTPM (Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia) kendalian Rosalinda Md. Said dalam S2 Utusan Malaysia, saya tertanya-tanya akan keberkesanan TTPM dalam memberi award kepada sesuatu pihak yang membuat tuntutan atau pembelaan. Apakah TTPM punya kuasa untuk bertindak jika sesuatu pihak tidak mematuhi award yang telah diberikan?

Saya bertanya sedemikian kerana apa yang menimpa ke atas diri saya menunjukkan award yang diberi oleh Presiden TTPM semasa pendengaran kes tuntutan kepada saya, masih belum diselesaikan oleh pihak yang dituntut.

Tuntutan saya yang didengar oleh Presiden TTPM, Datuk Abu Bakar Awang pada 27 April 2007 terhadap sebuah kedai kereta yang menjual kereta saya dan tidak membayar wang jualan kepada pihak bank bagi menyelesaikan hutang bank.

Akibatnya, saya terpaksa menanggung dan menjelaskan baki hutang bank dengan bunganya sekali. Kereta saya dijual oleh pihak ketiga pada 17 Mei 2006 dengan harga RM17,500 sedangkan baki hutang yang harus dibayar kepada pihak bank hanyalah sebanyak RM11,200.

Kerana tertipu, saya membuat aduan polis pada 3 Januari 2007 dan aduan TTPM pada 26 Februari 2007. Pendengaran telah dibuat oleh Presiden TTPM seperti dinyatakan di atas.

Kesemua tindakan susulan yang digariskan oleh pihak TTPM jika pihak yang dituntut (Penentang) gagal mematuhi award telah diambil. Beberapa perjumpaan juga telah dibuat dengan pegawai di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Namun sehingga kini, saya masih menanti hasilnya.

Untuk maklumat, saya telah disaman oleh pihak bank kerana gagal membayar hutang bank tersebut. Pendengaran pertama di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 26 Mac 2007 dan disusuli dengan beberapa pendengaran lain (beberapa kali tertangguh), saya diarahkan untuk membayar baki hutang bank tersebut sehingga selesai. Oleh kerana ketika itu saya sudah bersara dan tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan, saya tidak mampu membayar baki hutang bank tersebut.

Akhirnya saya terpaksa menjual rumah saya bagi menjelaskan hutang bank dan berpindah. Namun sehingga kini, tuntutan saya masih tiada bayangnya dan pihak KPDNHEP dengan alasan tersendiri tidak mampu untuk membuat apa-apa terhadap pihak yang dituntut.

Kini rumah sudah dijual, tidak punya kerja kerana lanjut usia, anak-anak masih menuntut, sakit-sakit dan tidak berwang, sampai bila harus saya berharap? Masihkah ada yang ingin membantu?

Membawa kepada pertanyaan saya, benarkah TTPM ada kuasa?

MEZA

Pengguna Tanpa Kuasa

Sunday, March 27, 2011

Suami hanyalah tetamu dalam kehidupan....


Saya berpendapat kebanyakan masalah yang sering melanda rumahtangga berpunca daripada skap wanita sendiri yang terlalu sayangkan suami, sanggup mengabdikan diri asalkan suami sayang, walaupun ada kalanya boleh menjerat diri.'' Demikian cerita Marlisya dalam e-melnya.

''Bertambah gigil bila ustaz kata syurga di bawah tapak kaki suami, maka isteri jadi lebih takut, taat membabi buta tanpa mengira sama ada suami itu penzina, peminum, kaki pukul dan tak bertanggungjawab, hingga mereka lupa masa depan sendiri. Pada saya isteri seperti itu hanya membodohkan diri sendiri.

''Kebanyakan suami berpendapat kasih sayangnya setinggi gunung, melimpah ruah sehingga boleh dikongsi ramai wanita yang menjadi isteri-isteri ataupun kekasih. Kerana itulah saya berpendapat suami adalah tetamu dalam kehidupan saya. Suami boleh datang dan pergi sesuka hatinya. Hari ini dia boleh sayangkan kita esok lusa dia boleh berubah dan mencintai orang lain pula.

''Jadi nasihat saya kepada isteri berpada-padalah memberi cinta, kasih dan sayang kepada suami, janganlah sampai menghambakan diri. Kerana jika bercerai suami tetap dipanggil sebagai bekas suami, sudah tiada hubungan lagi dengan kita. Ketika itu jika nasib kurang baik, anak-anak pun dia buat-buat tak kenal kerana tak mahu bertanggungjawab.

''Demikian juga halnya dengan anak-anak yang saya ibaratkan juga sebagai tetamu. Sewaktu kecil kita jaga, didik dan membesarkan mereka. Itu tanggungjawab kita, tetapi setelah berkahwin, mereka ada keluarga sendiri, akhirnya kita semakin jauh daripada hidup mereka, hanya sesekali mereka datang menjengok kita ibarat tetamu.

''Memberi kasih sayang, cinta kepada manusia biarlah berpada-pada, kecuali kepada Allah. Ada isteri terlalu fanatik mencintai suami hingga sanggup mengabaikan diri sendiri. Pada saya itu isteri bodoh.

''Saya bercakap dari pengalaman sendiri. Pernah 20 tahun dulu suami saya jatuh cinta dengan seorang janda dan bercadang untuk berkahwin. Janda itu kawan baik saya. Bila berita tersebut tersebar saya telefon ibu janda itu dan nasihatkan beliau supaya izinkan anaknya berkahwin.

''Ketika itu saya ada dua orang anak. Tetapi saya setitik air mata pun tak tumpah kerana peristiwa itu. Rasanya tak berbaloi saya nak menangis. Sambil menolong suami memasukkan pakaian dalam beg, saya kata padanya; ''Saya reda awak kahwin dengan wanita itu sekiranya dia lebih baik daripada saya. Mungkin juga Allah nak pertemukan saya dengan lelaki yang lebih baik daripada awak.'' Agaknya kata-kata saya pedas, akhirnya dia tak jadi kahwin, mungkin dia fikir jika saya dirceraikan dia takut saya berkahwin dengan lelaki lain yang mungkin lebih baik daripadanya. Dia jadi cemburu.

Kewangan

''Kini setelah 30 tahun berkahwin dan ada tiga orang anak, kesimpulannya saya rasa tidak perlu mencintai suami 100 peratus, sebaliknya saya jadi isteri yang mementingkan diri sendiri. Saya berkira dalam soal kewangan walaupun 80 peratus perbelanjaan rumah, saya yang sumbang seperti duit pasar, termasuklah duit pengasuh anak ketika mereka kecil dan duit tuisyen setelah mereka besar. Saya reda, biarlah Allah beri keberkatan kepada saya.

''Nasihat saya isteri jangan bergantung 100 peratus pada suami, buat simpanan sendiri, jangan buka akaun bank simpanan bersama, jangan beritahu jumlah duit kita, jangan jadi penjamin kalau suami nak pinjam bank. Kerana kalau ada simpanan sendiri anda tak takut jika suami buat hal, kerana kita pun boleh letak jawatan jadi isteri dengan hati tenang.

''Nasihat emak penuh berkias kepada saya ketika berkahwin dulu, katanya; ''kalau sayang sangat suami jangan tidur dalam perut suami.'' Puas saya fikir apa maksut emak rupanya emak pesan jangan terlalu percayakan suami walaupun kita sayang dia.

''Ayah pulak ketika saya kahwin dia hadiahkan sebilah kapak kecil (yang saya simpan sampai kini). Ia sebagai simbolik supaya saya jadi isteri yang tabah, cekal dan berani mempertahankan diri dari segala dugaan dan ancaman. Sungguh dalam makna dan nasihat emak ayah kepada saya.

''Jika ada masa saya pergi melancong keluar negara, ke Eropah, Korea dan China atau ke mana sahaja saya teringin. Hati saya tenang di samping anak-anak yang masih menuntut, sebab lepas kahwin saya lambat dapat anak. Kini suami semakin sayangkan saya. Mungkin dia sedar kesilapannya dan merasa rugi kalau ceraikan saya.

''Kepada isteri-isteri yang masih terperangkap dengan masalah dan perangai suami, kerana kesilapan sendiri terlalu mencintainya sepenuh hati, bawalah bersabar. Anda masih belum terlambat untuk membetulkan keadaan demi masa depan anda. Dekatkan diri dengan Allah semoga anda mendapat ketenangan dan ganjaranNya.

''Kepada ibu bapa yang ada anak perempuan yang akan atau sudah berkahwin titiplah nasihat agar mereka dapat menempuh hidup ini dengan hati terbuka, berani dan cukup bersedia menghadapi masalah rumahtangga.

''Jika ada anak lelaki nasihat mereka supaya jadi suami bertanggungjawab, kerana kebanyakan punca keruntuhan rumahtangga hari ini adalah kerana kaum lelaki tidak tahu jalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh Allah.

''Ingatlah wahai suami semua, hidup anda dan kita semua bukan di dunia ini sahaja, akhirat kelak kita akan mendapat balasan setimpal dengan apa yang kita lakukan semasa hayat kita. .

''Bagi saya hidup ini terlalu singkat kerana itu wanita perlu mencari sendiri kebahagian, jangan tunggu orang lain membahagiakan kita dan lebih penting jangan perbodohkan diri untuk keselesaan orang lain, walaupun suami sendiri.

''Sebaiknya isteri juga mesti mencari keselesaan hidup di dunia dan di akhirat.'' Pesanan Marlisya menutup cerita.

Mangsa ragut trauma, peragut tak diadili !!


MANGSA menggeletar ketakutan. Fikirannya buntu. Tiada siapa ambil tahu. Jaraknya hanya beberapa langkah dari deretan kedai di taman perumahan di Kuala Lumpur. Mangsa mencapai telefon yang terjatuh ke lantai kereta. Nasibnya baik telefon masih berfungsi. Dia terus menghubungi kawan.

Nada suaranya menggigil dan terputus-putus memberitahu kawannya: "Habis dah, semua habis. Cermin kereta aku dipecah. Orang itu rampas beg berisi sampul duit RM13,000. Duit itu aku nak bayar pendahuluan kereta baru."

Kawannya suruh bertenang. ''Cepat buat laporan polis." Arahan kawan diikutinya segera. Kemudian dia menelefon bosnya. "Tidak perlu datang kerja. Selesaikan masalah," kata bos yang perihatin.

Mangsa sudah kehilangan sebahagian harta hasil titik peluhnya. MyKad, barang peribadi, kad ATM, buku bank, kad kerja dan kunci rumah. Semuanya dirampas oleh dua lelaki yang bermotosikal. Dia tidak cam mereka.

Dia sempat melihat sekilas lelaki yang menumbuk pecah cermin Perodua Kancilnya. Orang itu berpakaian seragam pengawal keselamatan. Aku ceritakan kejadian ini sekadar untuk renungan pembaca.

Mangsa itu aku sendiri. Aku manusia biasa yang diuji Allah SWT dengan kerugian, hilang harta, sakit dan pening. Kejadian itu berlaku empat tahun lepas. Namun, trauma ketakutan masih menghantui aku.

Begitulah pengajarannya. Berwaspadalah apabila membawa beg berisi duit berlebihan atau barang berharga. Jangan bersantai-santai sebab kita diperhatikan mereka yang disangka baik tapi dek terdesak dalam kehidupan, adalah sebaliknya.

Sebelum kejadian malang itu, sewaktu hendak keluar dari bank, hati aku tertanya-tanya mengapa seorang lelaki sungguh hormat membukakan pintu. Selepas kejadian baru aku terfikir rupa-rupanya ini satu isyarat kepada pelanggan bank ini bahawa dia bakal menjadi mangsa rompakan.

Di balai polis, pegawai penyiasat bertanya sama ada aku boleh cam lelaki itu. Sayangnya, aku tidak ingat wajahnya. Maka pihak polis tidak dapat membantu dengan segera, sekadar meronda tempat kejadian. Kebetulan pada masa itu banyak kejadian curi, ragut, pecah rumah yang didakwa dilakukan geng Palembang.

Senja baru aku pulang. Tiba-tiba, telefon bimbit berbunyi. Seorang wanita memperkenalkan diri sambil memberitahu bahawa pembantu rumahnya menjumpai sebuah beg warna hitam berisi barang serta MyKad, kad kerja atas nama aku dan juga ada nombor telefon.

Menurut wanita itu, beg dijumpai di dalam tong sampah depan rumahnya. Kami berjanji untuk berjumpa esok hari.

Pada keesokan harinya, anak lelaki wanita itu membawa beg ke rumah aku. Apabila dibuka beg itu, hati aku terkejut. Kenapa? Ya, hampir semua barang dan dokumen penting ada dan yang hilang hanya sampul surat berisi duit, sebatang pen Parker dan sikat rambut! Dan, terdapat juga sekotak rokok keretek dan pemetik api plastik.

Aku menelefon pegawai penyiasat polis. Kata pertamanya ialah: "Alhamdulillah." Hati aku memujuk diri sendiri dengan mengatakan harta dan duit itu rezeki Allah.

Namun, kesan ketakutan sebagai mangsa kejadian ini tidak akan hilang selama-lamanya. Aku tidak menaruh dendam tapi kadang kala hati menjadi tidak keruan terutama setiap kali aku berhenti kereta di persimpangan lampu isyarat. Dan, di sebelah kereta pula ada lelaki menunggang motosikal. "Tak usah buruk sangka," cetus hatiku.

Rakan taulan pun turut mengalami ketakutan yang sama. Rakan yang aku panggil nama mesra Taj pula memberitahu, sekarang apabila keluar berjalan jika berdekatan rumah, dia hanya membawa kad ATM saja.

Dia jarang membawa MyKad kerana takut disamun lagi. Apabila MyKad hilang, katanya, susah nak buat urusan. Taj trauma kesan disamun di depan rumahnya. Rantai emas, beg duit walaupun tidak banyak habis dilarikan.

Ada seorang lagi rakan mengalami trauma selepas diragut ketika berjalan menuju ke perhentian bas. Lengan dan sikunya cedera. Dalam satu lagi kejadian rakan aku jadi mangsa samun ketika memandu untuk pulang ke rumah. Dia dipintas oleh seorang penunggang motosikal yang kemudian melarikan keretanya. Dia cedera kerana ditetak.

Seorang rakan yang balik bertugas waktu tengah malam bulan lepas dilaporkan jadi mangsa samun kejam apabila keretanya dilanggar dari belakang. Kereta mewahnya dilarikan. Mangsa ini terkapai-kapai mencari pertolongan.

Aku pernah meliputi kes samun di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, seorang suspek kena penjara 20 bulan dan dua kali sebatan selepas mengaku salah menyamun rakyat asing.

Memetik satu kes lain, juga di Mahkamah Majistret, penganggur dipenjara setahun selepas mengaku salah meragut beg mangsa yang hanya berisi duit RM11. Dan seorang suspek lain pula dipenjara setahun selepas mengaku salah menyamun RM200 milik mangsa dengan menggunakan sebilah parang.

Mahkamah dan pihak polis mengendalikan suspek yang didakwa melakukan jenayah ini menurut peruntukan undang-undang. Namun, kami sebagai mangsa tetap dalam ketakutan

Saturday, March 26, 2011

Siapa yg anda lebih sayang ??? Chong Wei @ Misbun ???




SAYA terpanggil untuk memberikan pandangan berhubung kenyataan Datuk Zokples Embong pada 24 Mac lalu mengenai Datuk Misbun Sidek dan Datuk Lee Chong Wei. Benar Chong Wei permata negara yang perlu dijaga kerana berjaya membawa pelbagai kejayaan yang mengharumkan nama Malaysia.

Tetapi isu paling besar adalah siapa selepas Chong Wei? Perlu diingat Chong Wei adalah anak didik Misbun yang digilap dari awal hingga peletakan jawatannya. Tanpa Misbun, mungkin Chong Wei tidak akan berada dalam kedudukannya kini.
Corak latihan yang diperkenalkan Misbun membawa kepada kecemerlangan Chong Wei kini. Bagaimana pula dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)? Apakah corak latihan mereka dan di manakah calon pemain yang bakal mewarisi kehebatan Chong Wei?

Ini satu persoalan besar yang perlu difikirkan bersama. Adakah Misbun sudah muak dengan percaturan dan sistem latihan BAM yang ternyata gagal melahirkan pemain berwibawa? Satu badan atau organisasi besar seperti BAM hakikatnya gagal menandingi Misbun dalam melahirkan pemain hebat.

Teringat saya pada kenyataan Misbun sebelum ini yang meminta BAM menjawab suratnya. Adakah suratnya sudah terjawab atau pihak BAM memilih jalan selamat dengan hanya menyerahkan pada Misbun untuk menentukan masa ha dapannya?

Perlu diingat Misbun juga permata negara kerana mengabdikan dirinya dalam sukan badminton daripada sorang pemain sehingga sebagai seorang jurulatih.

Jika ditanya siapa yang saya lebih sayang, saya akan kata Misbun kerana seorang jurulatih boleh melahirkan lebih ramai pemain berkaliber.
AHMAD RIFDI SAFIAN,
Johor Bahru

Persediaan menghadapi Hari Kiamat !!!


BENARKAH seperti dikatakan atau lebih tepat, diramalkan bahawa 2012 adalah penghujung dunia kerana sudah ada tanda-tanda Hari Kiamat kian hampir seperti bencana alam yang dahsyat berlaku dan terkini, tsunami yang melanda Jepun.
Kebetulan, kebanyakan yang diperkatakan bakal berlaku atau ramalan mengenai kiamat sudah pun berlaku walaupun tidak semestinya tepat seperti dikatakan tetapi hampir menyamai apa diramalkan

Contohnya, ramalan yang dibuat akan berlaku gempa bumi pada 2004, tahun itu juga terjadinya tsunami yang menggemparkan dunia. Begitu juga ramalan mengenai serangan Anthrax, sejenis bakteria membiak menerusi penyebaran spora pada 2001 dan Taufan Katrina pada 2005.

Semua peristiwa serta bencana alam yang pernah diramalkan itu baik oleh tukang ramal, kitab agama, program dikembangkan laman web di internet atau perkiraan berasaskan ilmu matematik, sudah berlaku.

Satu lagi ramalan, pada 2012 nanti akan berakhirnya riwayat bumi dikuatkan dengan tarikh dalam kalendar suku Maya yang dijumpai di bawah runtuhan di Mexico iaitu kiamat bakal berlaku pada 21 Disember 2012.

Suku Maya terkenal dengan kebolehan mereka dalam ilmu matematik dan astronomi. Kalendar itu secara misteri berakhir dengan satu tarikh pengakhiran hari iaitu 21122012. Fakta menarik itu turut menjadi jalan cerita sebuah filem.
Mencari maklumat berkaitan 2012, akan menemukan banyak laman web serta sedutan video yang mengupas mengenainya bukan saja di kalangan bukan Islam, juga umat Islam yang turut mengambil peluang membahaskan ramalan dikatakan berasaskan fakta itu.

Pendakwah dan penulis buku, Zahazan Mohamed, ketika diminta membicarakan mengenai kekalutan masyarakat terhadap teori mengatakan kiamat sudah tidak lama lagi, berkata tiada guna meletakkan tarikh tertentu berlakunya kiamat.

Katanya, ini kerana banyak disebutkan dalam al-Quran dengan jelas bahawa perkara ghaib termasuk Hari Kiamat hanya diketahui oleh Allah. Malah, Nabi Muhammad yang banyak kali ditanya sahabat tidak dapat memberikan jawapan.

“Bagaimanapun, ada beberapa hadis menyebut apabila Rasulullah SAW ditanya mengenai kiamat, Baginda berkata, jarak diutuskannya dengan kiamat ibarat jari telunjuk dan jari tengah.

“Jadi jika dilihat jarak antara jari itu, kita berasakan kiamat tidak jauh. Bagaimanapun, hanya Allah yang mengetahuinya. Tetapi, ada sabda Baginda menyebut saat diutus dirinya dengan kiamat sangat dekat, malah hampir kiamat itu mendahului Baginda,” katanya.

Beliau berkata, sebagai kasih sayang Allah terhadap hambanya yang memang kuat sifat ingin tahu itu, Allah menunjukkan tanda-tanda kiamat sama ada yang kecil mahu pun yang besar supaya mereka mengambil iktibar daripadanya.

Zahazan berkata, antara tanda kecil kiamat seperti diungkapkan ulama memang banyak dan ada yang sudah terlihat sekarang berlaku kepada dunia serta dalam kehidupan masyarakat.

Antaranya, diutuskan Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir dan tiada nabi selepasnya, sebaliknya yang menanti adalah kiamat itu sendiri. Wafatnya Baginda juga adalah tanda kiamat.

Tanda lain, penaklukan Baitulmaqdis, melimpahnya harta, munculnya pelbagai fitnah, munculnya orang yang mengaku sebagai nabi, hilangnya amanah, hilang ilmu dan tersebar kebodohan.

Amalan riba bermaharajalela, ramainya peminum arak, berlumba menghias masjid dan berbangga dengannya, berlumba meninggikan bangunan, banyak terjadi gempa dan ibu melahirkan tuannya.

“Semua ini ada yang kita sudah lihat berlaku. Contohnya, ramai antara kita yang anak dijaga oleh ibu dan itulah yang dinamakan ibu melahirkan tuannya. Melihat sekeliling, banyak lagi tanda-tanda kecil yang dikatakan sudah berlaku seperti bencana alam,” katanya.

Sementara tanda besar akan berlakunya kiamat masih belum kelihatan lagi, Zahazan berkata, ia bukan alasan untuk menundakan usaha melakukan persediaan menghadapi hari yang turut dinamakan hari akhirat itu.

“Tidak perlulah hendak fikirkan betul ke kiamat sudah dekat atau meramalkan bila berlakunya kiamat. Sebaliknya, pastikan kita sudah bersiap sedia menghadapi apabila tiba saatnya nanti. Itu sepatutnya menjadi keutamaan,” katanya.

Tindakan perlu dilakukan ialah banyak berdoa kepada Allah supaya umat Islam selamat, memperbanyakkan amal soleh, mencegah kemungkaran dan berdampingan dengan ulama.

Tanda besar kiamat pula diungkapkan dalam hadis yang menggariskan tanda itu secara keseluruhan atau sebahagiannya kerana ada menyebut 10 tanda dan ada yang menyebut enam tanda.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Huzaifah bin Asid al Ghiffari, dia berkata: “Nabi datang kepada kami sedang kami berbincang lalu bertanya: Apa yang kalian bicarakan. Mereka menjawab: Kami sedang membicarakan kiamat. Baginda berkata: Sesungguhnya ia (kiamat) tidak akan terjadi hingga kalian lihat sepuluh tanda sebelumnya.

Kemudian Baginda menyebut asap, dajjal, binatang, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa bin Maryam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga penenggelaman di bumi (di Timur, Barat dan Arab) dan yang terakhirnya adalah api keluar dari Yaman yang mengiring manusia ke tempat mereka berkumpul.”

Oleh Hasliza Hassan


UNTUK MEREKA YG KURANG CEMERLANG DALAM SPM...


DI sebalik kegembiraan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambut kejayaan, kita sering terlupa sebelah sisi lain iaitu mereka yang kurang cemerlang dan merosot keputusannya.

Apakah sudah tiada esok dan harapan buat mereka? Saya sendiri pernah mengalami nasib yang sama dan saya pernah mengasingkan diri kerana malu.

Oleh itu, saya mencadangkan agar mereka yang kurang cemerlang dalam SPM, diberi kaunseling dan motivasi. Mereka yang berjaya dan cemerlang dalam SPM juga perlu mendekati golongan ini untuk memberi semangat dan bukan hanya bergaul sesama mereka sahaja.

Ahli keluarga dan saudara mara pelajar cemerlang juga tidak harus mencemuh mereka. Pelajar terbabit perlu disedarkan bahawa kegagalan dalam sesuatu hal adalah proses kehidupan dan bukan berakhirnya satu kehidupan.

Bantulah mereka untuk bangkit semula daripada kegagalan dan percayalah ada hikmah dan rahmat di sebaliknya kerana mereka ialah golongan yang ‘terpilih’ dan amat ‘bertuah sekali.’ Ingatlah pesanan daripada Christopher Columbus: ‘‘Anda tidak perlu malu kerana gagal’’.

ARMAN SHAH MOHD. SAHAR

Masjid Tanah, Melaka

Friday, March 25, 2011

Isteri nusyuz tidak berhak dapat nafkah !!!


AZAM sudah tidak tentu arah, sudah puas diketuk pintu rumah tetapi langsung tidak ada sebarang jawapan. Jauh di sudut hati hatinya begitu bimbang apa sebenarnya telah berlaku kepada isterinya, Ain setelah ditinggalkan seharian.

Mujur terfikir di benaknya, ada kunci pendua yang disimpan dalam kereta. Sambil bergegas turun ke tempat parkir kereta, tangannya juga tidak henti-henti mendail telefon bimbit Ain.

Azam pelik kerana telefon Ain ditutup dan ketika pintu berjaya dibuka memang sah, puas dicari memang isterinya tidak ada di dalam rumah.

Beliau terkejut apabila nampak sekeping nota di atas meja makan tertulis perkataan yang mendebarkan 'Abang maafkan Ain kerana pulang ke kampung tanpa pengetahuan abang, biarkan Ain bersendirian'.

Patutlah semenjak malam tadi sehinggalah Azam keluar bekerja pagi tadi, Ain tidak ceria seperti kebiasaan di mana dia lebih banyak mendiamkan diri sahaja.

Azam pun tak faham, sepatutnya perkahwinan mereka yang baru menjangkau seminggu itu ceria seperti pasangan pengantin baru yang lain.

Rumah yang mereka duduki sekarang ini adalah pilihan Ain sendiri malah dia yang juga yang mereka hiasan dalamannya sehingga tidak sabar-sabar nak berpindah selepas mereka berkahwin.

Dalam tempoh itu Ain juga melayan Azam dengan begitu baik sekali seperti isteri-isteri yang lain sehinggalah dia bertindak keluar dari rumah secara tiba-tiba dengan tanpa sebab yang diketahui oleh Azam.

Kes ini adalah antara kes isteri yang meninggalkan rumah yang kini semakin banyak dibicarakan di Mahkamah Syariah di negara ini.

Kes seperti ini pernah dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad.

Satu kes telah difailkan pada X.X.2009 bagi menuntut mahkamah supaya menggunakan bidang kuasa mengikut Seksyen 61 dan 62 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 dalam 'perkara yang berkaitan dengan perhubungan suami-isteri'.

Mahkamah diminta supaya mengeluarkan perintah kembali taat kepada defendan (isteri) untuk kembali tinggal semula dengan plaintif (suami).

Sepanjang kes itu dibicarakan, defendan cuma hadir sekali sahaja iaitu ketika sebutan kes pada X.X.2009.

Saman dan penyata tuntutan telah diserahkan kepada isteri tetapi beliau tidak memfailkan pembelaan dan tiada keterangan untuk membantah tindakan suami.

Berdasarkan fakta kes, plaintif dan defendan telah berkahwin pada X.X.2006.

Selepas 11 hari bernikah, isteri bertindak keluar dari rumah kelamin tersebut tanpa alasan yang munasabah selepas suami keluar bekerja.

Suami telah berusaha memujuk isteri untuk kembali kepadanya dengan pergi ke rumah keluarga isteri di kampung tetapi tidak berhasil.

Akibat dari tindakan isteri itu, suami telah membuat cadangan supaya menghadiri kaunseling di Pejabat Agama tetapi gagal kerana hanya suami yang hadir.

Sementara itu kata Wan Muhyiddin, isu yang dibicarakan dalam kes ini adalah mengenai kesan jika isteri masih gagal kembali taat kepada suami dari segi hukum syarak.

Jelasnya, mengikut hukum syarak, isteri yang nusyuz tidak berhak mendapat nafkah.

Beliau turut merujuk kepada kes Aisny Mohd. Daris lawan Fahro Razi Mohdi (1990) di mana hakim dalam kes ini berpendapat: ''Kewajipan seorang suami memberi nafkah kepada isterinya bergantung kepada isterinya, bergantung kepada syarat isteri itu taat kepada suaminya''.

Katanya, merujuk dalam Kitab Kifayatul Akhyar menyebut. ''Isteri yang nusyuz tidak boleh diberi belanja, sekalipun suami mampu membuatnya taat kembali."

Dalam kitab itu juga menjelaskan, kalau si isteri nusyuz pada sebahagian siang maka ada dua wajah (pendapat); pertama, ia (isteri) tidak berhak apa-apa pun, kedua, wajib memberi belanjanya pada sebahagian waktu yang ia taat.

Sehubungan itu, kedudukan kesan nusyuz di dalam hukum syarak ini selari dengan subseksyen 60 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Selain itu, seseorang isteri yang telah disabitkan nusyuz sebelum bercerai juga tidak mempunyai hak untuk menuntut nafkah tertunggak.

Ia juga termasuk 'nafkah idah' seperti mana dinyatakan dalam kes Hasanah Abdullah lawan Ali Muda (1999), dengan merujuk kenyataan kitab Kifayatul Akhyar, Juzu' 2, muka surat 82 yang bererti;

''Jika seseorang menceraikan isterinya yang sedang nusyuz kepadanya maka isteri tersebut tidak berhak mendapat tempat tinggal selama dalam idah kerana isterinya itu tidak berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal menurut dasar pernikahan.''

Wan Mahyuddin juga menjelaskan mengenai isu kedua bagi kes itu sama ada boleh atau tidak isteri diperintahkan supaya kembali taat kepada suaminya.

Oleh itu mahkamah berpandangan selagi pihak-pihak belum dibuktikan telah bercerai maka mereka masih lagi dianggap sebagai pasangan suami isteri yang sah.

Di dalam tempoh perkahwinan ini, plaintif selaku suami yang sah menurut hukum syarak sudah tentu mempunyai kekuasaan mutlak ke atas defendan sama ada ingin meneruskan perkahwinan atau sebaliknya.

Berdasarkan keterangan plaintif dan saksi-saksi, plaintif berhasrat ingin meneruskan perkahwinan dengan defendan tetapi defendan enggan kembali kepada plaintif.

Di dalam hukum syarak, suami boleh menceraikan isteri sekiranya isteri nusyuz dan selepas pihak-pihak gagal dalam meneruskan perkahwinan disebabkan faktor-faktor tertentu.

Maka mahkamah berpuas hati dengan segala keterangan dan membuat keputusan di mana defenden (isteri) diperintahkan kembali taat kepada plaintif dengan kembali hidup bersama-sama plaintif.

Sekiranya isteri gagal untuk kembali taat selepas 30 hari perintah ini dikeluarkan maka dianggap menghina perintah mahkamah ini dan boleh disabitkan nusyuz kepada defendan

Kerusi LCCT disalah guna !!



KESESAKAN di Balai Berlepas, Terminal Penerbangan Pesawat Tambang Murah (LCCT) antaranya disebabkan penumpang yang tidak bertanggungjawab meletakkan bagasi di tempat duduk.

Ini menyebabkan ramai penumpang terpaksa berdiri sementara menunggu menaiki pesawat.
Pihak pengurusan lapangan terbang iaitu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) harus bertindak segera mengatasi masalah yang sudah lama berlaku ini.
Sikap tidak bertanggungjawab segelintir penumpang yang mementingkan diri sendiri bukan saja menyusahkan orang lain, tetapi turut mencemarkan imej negara di mata pelancong asing yang menggunakan terminal dan balai berlepas berkenaan.

RAJA MAHADI MUHAMED,
Kuala Lumpur

Thursday, March 24, 2011

Tahukah anda di Malaysia ada 234, 647 orang anak tidak sah taraf !!!


SEBAGAI umat Islam yang prihatin, kita semua patut berasa gusar dengan perkembangan yang tidak menyenangkan mengenai keadaan sosial di negara ini.

Satu daripada petunjuk bahawa keadaan sosial negara berada dalam keadaan membimbangkan ialah laporan peningkatan jumlah kelahiran anak tak sah taraf yang kini mencecah 234, 647 orang sehingga akhir 2010.
Ini adalah satu angka yang sungguh menggerunkan. Menurut perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara baru-baru ini, dari jumlah keseluruhan itu, 80,979 atau 34.5 peratus adalah bayi yang ibu kandungnya beragama Islam.
Bagi masyarakat Islam, peningkatan jumlah anak tidak sah taraf ini sungguh menakutkan kerana implikasinya amat besar sekali. Bayangkan sekiranya jumlah ini meningkat sehingga berjuta-juta pada masa depan.

Bagaimanakah masa depan kehidupan anak ini dari sudut keyakinan diri, pergaulan dan urusan muamalat kekeluargaan dan kemasyarakatan? Tentu sekali keadaan ini akan memberi kesan terhadap struktur dan budaya sosial masyarakat Islam secara keseluruhan.

Masyarakat Islam harus mula membincangkan realiti sosial masyarakat Islam masa depan sebagai persediaan berdepan dengan fenomena baru yang bakal muncul kelak. Barangkali hal ini akan menjadi aspek baru di dalam kajian berkaitan pemikiran sosial Islam kelak.

Walau apa juga bentuk wacana mengenai persoalan sosial ini pada masa depan, yang pasti ialah kita harus memikirkan dan berikhtiar secara berpasukan bagi mengekang peningkatan masalah ini untuk tahun berikutnya.
Negara kita harus membuat gerakan pada peringkat nasional menerusi satu pelan kerja yang jelas ke arah mengatasi pemasalahan ini. Untuk itu, satu bentuk gerak kerja bersifat operasi yang bersepadu perlu digerakkan seperti menggunakan model ‘Ops Sikap’ yang dilaksanakan kerajaan bagi mengatasi masalah peningkatan jumlah kemalangan jalan raya pada musim perayaan.

Disebabkan permasalahan ini amat besar dan bersifat nasional, proses penyelesaiannya juga mestilah bersifat kebangsaan juga. Saya mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas Kabinet diwujudkan dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Manakala ahlinya pula terdiri daripada pelbagai wakil peringkat agensi kerajaan dan pertubuhan sukarela Islam dan individu terpilih. Menerusi jawatankuasa kebangsaan ini, agenda dan pelan gerak kerja akan dapat disusun secara bersepadu dan tindakan penyelesaian juga membabitkan seluruh jentera negara. Dalam kata lain, langkah menangani permasalahan sebesar ini tidak lagi harus bersifat jangka pendek dan terpecah-pecah.

Sebenarnya banyak perkara yang boleh dibincangkan dan diambil tindakan menerusi gerakan bersepadu ini antaranya keperluan menilai semula program pendidikan agama di segenap peringkat supaya proses penghayatannya dapat dihayati secara menyeluruh terutama dari kalangan generasi muda.

Dalam era masyarakat terbuka ini, peranan agama masih terlalu penting sebagai benteng ilmu dan rohani untuk masyarakat. Di samping aspek ini, isu lain yang juga penting dibincangkan ialah berkaitan dengan keperluan untuk mewujudkan sistem sokongan dalam kalangan pertubuhan madani atau sivil di dalam memperbanyakkan kegiatan hidup positif untuk generasi muda.

MUHAMAD RAZAK IDRIS,
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

AirAsia jangan kira untung sahaja !!


BARU-BARU ini saya membuat perjalanan percutian ke Guilin, China dengan penerbangan AirAsia, tiada pilihan kerana tiada perkhidmatan ke Guilin oleh MAS.

Saya menempah tiket untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak berumur 12 tahun dan 5 tahun. Saya tahu wujudnya pilihan untuk memilih tempat duduk dengan bayaran tambahan tetapi saya tidak memilih berbuat demikian kerana secara munasabahnya, AirAsia tentu akan menempatkan anak saya yang berumur 5 tahun dengan seorang dewasa, ibunya atau saya, dan anak saya yang 12 tahun juga sama.

Saya cuba memohon jasa baik petugas AirAsia di Guilin untuk menukarkan tempat duduk anak saya supaya dapat duduk bersama dengan ibunya, malangnya saya dikehendaki membayar 70 Remimbi (kira-kira RM32). Saya amat tidak berpuas hati dengan sistem ini.

Apa yang mengecewakan saya, konsep membuat untung oleh Air Asia telah meminggirkan satu perkara asas yang sangat tidak logik iaitu anak saya yang berumur 5 tahun ditempatkan seorang diri dengan penumpang lain.

Anak yang 12 tahun pun sama manakala saya di tempat lain, juga isteri saya di tempat lain.

Di manakah logiknya akal AirAsia? Adakah perkara asas ini pun AirAsia nak buat untung?

ASHARI WARNO

Shah Alam, Selangor

Wednesday, March 23, 2011

Kisah Jin terpesona dengar bacaan al-Quran daripada Rasulullah..


FIRMAN Allah SWT bermaksud: “Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah az-Zariyaat, ayat 56)

Begitu penegasan Allah dalam al-Quran mengenai tujuan-Nya menciptakan jin dan manusia, iaitu semata-mata untuk beribadah kepada Allah Yang Maha Esa. Golongan jin dan manusia terbahagi kepada dua, iaitu Islam dan kafir

Jin menyatakan keIslaman mereka yang diterangkan dalam al-Quran surah Jin bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad): Sudah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya satu rombongan jin sudah mendengar (al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: Sesungguhnya kami sudah mendengar al-Quran yang susunan (ayatnya) dan kandungannya sungguh menakjubkan. Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.” (Surah Jin, ayat 1-2)

Peristiwa ini terjadi ketika Rasulullah SAW bersama sahabat sedang melaksanakan solat Subuh. Ketika itu Baginda membaca surah ar-Rahman, ayat 1-78. Dalam surah ar-Rahman ini ada beberapa ayat yang bermakud: “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan?”

Ketika ayat ini dibacakan, jin yang hadir saat itu langsung menjawabnya dengan kalimah: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami tidak mendustakan nikmat-Mu sedikit pun. Segala pujian hanya bagi-Mu yang sudah memberikan nikmat zahir dan batin kepada kami.”

Ibnu Masud menyatakan bahawa ia turut menyaksikan malam turunnya ayat Jin ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku didatangi juru dakwah daripada kalangan jin. Lalu kami pergi bersamanya dan aku bacakan al-Quran kepada mereka.”

Peristiwa ini terjadi di sebuah masjid yang terletak di Kampung Ma'ala, tidak jauh dari perkuburan kaum Muslim di kota Makkah. Kini masjid itu dinamakan Masjid al-Jin atau Masjid al-Bai'ah atau juga Masjid al-Haras. Ia dibaik pulih kembali pada 1421 hijrah. Di sini jin berbai'ah atau menyatakan keislaman mereka kepada Rasulullah SAW untuk beriman kepada Allah SWT dan al-Quran.
Ada mengatakan, di masjid itu Nabi SAW mengislamkan jin kafir. Ada juga menceritakan, dekat Masjidil Haram ada sebatang tiang dinamakan tiang jin. Ketika Masjidil Haram sedang dibina, tidak cukup sebatang tiang, kemudian jin mendatangkan sebatang tiang dari alam mereka. Mereka yang boleh jumpa tiang ini mungkin boleh nampak alam jin. Ada yang khurafat memeluk tiang jin ini ketika orang lain wukuf di Arafah kononnya untuk menjadi tuan jin.

Masjid Jin menjadi monumen terpenting antara Rasulullah dan jin. Diterangkan, jin ketika itu bercadang menuju Tihamah. Namun, mereka mendengar bacaan al-Quran. Mereka sangat takjub mendengarnya dan kemudian berdialog dengan Rasulullah, lalu menyatakan keimanan mereka. Kemudian mereka menyampaikan hal itu kepada jin lain.

Ketika Rasulullah sedang membaca ayat al-Quran, terdapat beberapa jin. Ssebahagian riwayat menyatakan jumlahnya ada sembilan jin dan sebahagian lain menyebutkan tujuh jin yang turut mendengarkan bacaan al-Quran daripada Rasulullah. Kemudian salah satu daripada jin itu mengingatkan temannya dan berkata: “Diamlah, perhatikan bacaannya.” Setelah itu mereka kembali kepada kaum mereka untuk mengingatkan pada jalan yang benar. Salah satu daripada jin itu bernama Zauba'ah. Demikian menurut Ibnu Masud.

Dalam kitab Fathul Bari, disebutkan, jin itu berasal dai Nasibain, iaitu sebuah daerah yang terletak di perbatasan antara Iraq dan Syria, iaitu dekat Mosul.
Jin terbahagi dua iaitu jin kafir dan jin Islam (mukmin). Jin yang beriman ditempatkan di syurga, manakala jin kafir ditempatkan di neraka. Rasulullah menggambarkan jin itu terbahagi tiga golongan iaitu yang boleh terbang di udara, golongan ular dan anjing serta golongan bermukim dan hidup berpindah-pindah. (Hadis sahih riwayat Ibnu Abi Dunya, dalam Maqasid as-Syaitan)
Seperti manusia dan haiwan, jin juga makan dan minum, berkahwin, beranak serta mati. Menurut Syeikh Abdul Mun'im, jin penghuni dunia yang hidup di tempat sepi daripada manusia dan di padang pasir. Ada jin yang hidup di pulau di tengah laut, di tempat sampah dan bersama manusia. Jin memiliki kemampuan yang tidak dimiliki manusia, seperti terbang, naik ke langit, mendengar apa yang tidak boleh didengar manusia dan mereka juga melihat apa yang tidak dapat dilihat manusia. Wallahualam

Oleh Ibrahim Abdullah

Sunday, March 20, 2011

Facebook dedah suami playboy !!


Terkejut saya membaca Utusan Malaysia 4 Mac lalu mengenai kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim bahawa setiap 15 minit ada pasangan suami isteri bercerai.

Lebih mengejutkan apabila memikirkan antara perceraian berpunca daripada isteri atau suami asyik melayan 'teman maya' di laman sosial Facebook.

Terpanggil dengan isu ini, secara kebetulan saya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang ingin berkongsi kes yang sama.

Wanita itu yang saya namakan Nana (bukan nama sebenar) dan suaminya Radzi (bukan nama sebenar) masih hidup tetapi si isteri sudah memfailkan permohonan cerai di mahkamah.

Kepada pembaca, Nana ingin berkongsi cerita sedih akibat cinta maya suaminya dengan seorang pelayan kelab malam.

Ikuti luahan perasan Nana.

"Saya berusia lewat 20-an, sebaya dengan suami dan suri rumah sepenuh masa, mempunyai tiga anak berusia dua, empat dan lima tahun.

"Suami tidak bekerja tetap. Sesekali dia melakukan pelbagai kerja untuk menampung hidup kami sekeluarga. Saya bukan berasal daripada orang senang tetapi mempunyai sedikit wang hasil peninggalan ayah. Saya ada tiga adik beradik, seorang kakak dan seorang adik lelaki.

"Sebagai suri rumah, saya tentunya ada kekurangan dalam serba serbi. Saya seorang yang suka bergaya. Memang saya amat menjaga penampilan sejak zaman anak dara lagi sehingga sekarang.

"Saya juga mengaku saya seorang isteri yang lurus bendul, taat kepada suami dan tidak pernah membantah atau meragui kasih sayang dan kesetiaannya.

"Dalam erti kata lain, memang saya sayang dan percaya suami seratus peratus. Tidak sangka sikap baik saya itu memakan diri. Suami pula buat hal dan bermain kayu tiga di belakang saya.

"Kali pertama buat hal saya maafkan. Dia janji tak buat lagi.

"Tetapi perbuatan menipu saya baru-baru ini menghancurkan seluruh hidup saya. Saya tak percayakannya lagi.

"Semuanya bermula apabila pada suatu hari dia beritahu saya hendak ke Jakarta ada urusan kerja. Saya terima alasannya mahu membantu seorang kawan membuat kerja-kerja kontraktor di sana. Saya tak banyak soal tentang pemergiannya.

"Suatu hari seorang kawan telefon beritahu dia terbaca Facebook (FB) suami saya yang bercerita keseronokan bersama kekasihnya di Jakarta.

"Kawan saya tanya ke mana suami saya pergi. Tanpa berselindung saya beritahu suami ke Jakarta, bekerja. Dia senyum sambil gelengkan kepala seperti ada yang disembunyikan.

"Saya rasa tak sedap hati dan minta bercerita lanjut. Dia ajak ke rumahnya hendak tunjuk bukti.

"Dia buka FB, tunjuk sesuatu yang buat saya hampir pengsan. Memang betul gambar yang saya nampak itu suami saya.

"Dek kerana buta IT (teknologi maklumat), kawan saya itu mengajar saya bagaimana menggunakan FB. Saya tengok status - in a relationship with… saya belek lagi, breakfast with my love in Hotel H.

"Hati saya berdegup kencang. Buat lagi suami aku ni! Banyak gambar mereka dalam aksi menyakitkan mata dan hati.

"Bagi menenangkan fikiran saya keluar rumah beberapa hari sementara menunggunya pulang. Saya nekad hendak bersemuka.

"Apabila balik, dia buat muka selamba, macam betul-betul pergi kerja. Penatlah, letih dan macam-macam. Saya tak beri peluang, terus gasak soalan tentang perempuan yang dibawanya ke Jakarta.

"Tergamam dia, terkebil-kebil hendak menjawab. Dia tunduk kepada desakan saya hendak berjumpa perempuan itu.

"Perempuan itu tidak tahu malu itu. Dia selamba kata 'bertepuk sebelah tangan takan berbunyi'.

"Dia mengaku, bukan suami saya seorang saja yang dia pernah tidur. Padanya, tidur dengan suami orang bukan perkara besar.

"Mendidih darah saya dengan perempuan kelab malam itu. Dia kurang sopan dan buat muka tak salah sambil merokok.

"Bayangkan perasaan anda jika berada di tempat saya. Mengaku baru berkenalan tiga bulan, berani ikut ke luar negara.

"Yang pelik, suami saya bukan ada duit, macam mana bawa perempuan itu makan angin?

"Selama ini saya dan mak yang banyak tolong dia. Duit ringgit, barang kemas kami habis.

"Apabila kes ini terjadi, saya minta diceraikan tetapi dia enggan. Sebab mak saya dan kami adik beradik sudah bagi amaran jika dia tidak mahukan saya lagi sebagai isteri dia boleh tinggalkan tetapi dengan syarat, selesaikan dulu semua hutang dengan mak.

"Syarat itu menekan dia. Dia tidak mahu lepaskan saya kerana dia tiada duit membayar hutang.

"Baru enam tahun usia perkahwinan. Tak sangka perkahwinan kami berakhir begini. Saya tidak nampak dia akan berubah dan kembali ke pangkal jalan. Hidupnya hanya menipu saya, mak dan adik beradiknya.

"Saya bersyukur kerana ketika saya sedih, mak dan kakak memberi saya sokongan. Saya tidak tahu apa kesudahannya kisah saya ini tetapi saya berdoa agar Tuhan memberi petunjuk untuk meneruskan kehidupan.

"Saya nasihatkan semua isteri muhasabah diri, jangan percaya seratus peratus kepada suami walaupun dia seorang yang baik.

"Setiap masa kita perlu hati-hati agar tidak 'dijual'. Pada masa sama, gunakan masa yang ada untuk celik IT, belajar dan cari ilmu berkaitan rumah tangga. Sekurang-kurangnya kita tidak mudah ditipu.

"Sebelum menutup cerita, saya menasihatkan wanita terutama para isteri supaya celik mata, buka minda dan tengok keliling apa yang berlaku. Yang baik jadikan teladan yang buruk jadikan sempadan.

Sejam berbual, nyata Nana amat kecewa apa yang berlaku. Enam tahun hidup bersama, Nana diuji masalah yang amat berat.

Namun saya yakin Nana menerimanya dengan reda dan berharap semuanya akan selesai dengan cara baik. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Menutup kata, kasih sayang seorang isteri ibarat sumber air yang mengalirkan cinta dan kasih yang meluap kepada suaminya berbeza dengan perjalanan seorang suami di padang pasir untuk mencari sepohon indah yang tidak mungkin ditemuinya melainkan kesunyian! Salam.

Tingkatan Enam perlu dirombak !!


TINGKATAN Enam atau prauniversiti adalah pendidikan alternatif bagi lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran. Namun, Tingkatan Enam sering dianggap tidak glamor dan pilihan terakhir bagi pelajar dan ibu bapa.

Tanggapan pelajar, ibu bapa dan masyarakat pada masa ini terhadap Tingkatan Enam amat mendukacitakan berbanding pada 1970-an, 80-an dan 90-an dan tanggapan pelajar di bandar juga berbeza dengan pelajar desa

Tingkatan Enam tidak popular berbanding kolej swasta yang tumbuh bagai cendawan dan tidak tentu hala tujunya. Masalahnya, tanggapan serupa ini berterusan kerana tiada pihak yang mahu memartabatkan kepentingan belajar di Tingkatan Enam

Kerajaan melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) atau Kementerian Pengajian Tinggi tidak serius menguar-uar Tingkatan Enam sebagai pendidikan lanjutan penting untuk melangkah ke peringkat ijazah sedangkan MPM sedar akan kepentingannya.

Keadaan ini menyebabkan Tingkatan Enam atau prauniversiti ‘hidup segan mati tidak mahu’ dan semakin dilupai. Pelajar lepasan SPM ‘agak malu’ untuk ke Tingkatan Enam dan lebih suka belajar di kolej swasta yang dianggap ‘standard’ dan ‘glamor’.

Peratusan pelajar ditawarkan ke Tingkatan Enam adalah tinggi tetapi yang mendaftar di Tingkatan Enam cuma lima hingga 10 peratus dan selebihnya memilih kolej swasta atau bekerja.

Sayang seribu kali sayang, pelajar yang ditawarkan ke Tingkatan Enam jika tidak ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan menjadi generasi ketinggalan untuk pendidikan lebih tinggi kerana kurang kesedaran dan tidak didedahkan kepada pendidikan di Tingkatan Enam.
Pihak tertentu seperti MPM dan Kementerian Pelajaran mesti lebih proaktif mempopularkan Tingkatan Enam, terutama kini kerajaan memperkenalkan perjawatan baru kepada guru Tingkatan Enam. Tidak mungkin sekolah yang ada Tingkatan Enam bersendirian mempromosikan dan cuba mempopularkannya tanpa pembabitan dan komitmen pihak lebih berwibawa. Langkah proaktif mesti dilakukan oleh MPM dan KPM dalam memartabatkan Tingkatan Enam.

Ada khabar menyatakan Tingkatan Enam akan berubah ke sistem modular (sistem semester) dan sukatan pelajarannya akan berubah pada tahun ini iaitu bermula kemasukan pelajar lepasan SPM 2011 tetapi tiada satu rencana akhbar, internet atau iklan pun terpapar di akhbar atau televisyen mengenai pembelajaran di Tingkatan Enam.

Cubalah bandingkan iklan atau rencana mengenai kolej swasta dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Sesi pembelajaran Tingkatan Enam 2011 akan bermula beberapa bulan lagi tetapi hingga kini, maklumat mengenai sukatan baru, sistem pembelajaran, sistem penilaian/pentaksiran dan sebagainya masih belum didedahkan.

PELAJAR PRAUNIVERSITI 2010/2011,
Ampang

1Malaysia 1Bahasa..


SAYA berasa sangat sedih apabila membaca secarik berita yang disiarkan akhbar The Star dengan tajuk ‘Public wants signage in Chinese and Tamil’ yang mana berita ini menerangkan mengenai tanda arah yang terdapat di Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS) adalah mengelirukan dan ramai warga tua dan pelancong menghadapi masalah untuk membaca tanda arah tersebut kerana ia ditulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Justeru, lahirlah cadangan agar tanda arah di terminal ini perlu juga diletakkan dalam bahasa Cina dan Tamil untuk membantu mereka memahaminya.

Apabila kita menerima konsep 1Malaysia maka adalah wajar kita menggunakan satu bahasa sebagai bahasa perhubungan semua bangsa iaitu bahasa Melayu.

Amat menyedihkan sekiranya rakyat Malaysia sendiri tidak

boleh bertutur dan membaca papan tanda dalam bahasa

Melayu.

Jika tindakan meletakkan bahasa Cina dan Tamil dalam tanda arah tersebut dipersetujui, maka kedudukan bahasa Melayu akan menjadi biasa. Mohon keprihatinan seluruh rakyat Malaysia untuk menjiwai kedudukan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ iaitu Bahasa Melayu.

ZARA

Dilema ibu bersalin di hospital kerajaan..


PARA ibu yang akan melahirkan generasi pelapis negara sepatutnya mendapat layanan yang istimewa di hospital-hospital kerajaan.

Malangnya banyak dilema yang

sering dilalui oleh ibu-ibu yang bersalin di hospital-hospital kerajaan.

Antaranya doktor lelaki menyambut dan menguruskan kelahiran bayi. Ibu menjadi tontonan doktor-doktor dan jururawat-jururawat pelatih sewaktu melahirkan bayi.

Menerima rawatan dan pemeriksaan daripada doktor lelaki di wad dan dewan bersalin. Sikap doktor dan jururawat juga tidak bertimbang rasa dan kasar.

LANGIT BIRU

Saturday, March 19, 2011

Berwaspada daripada terlibat noda, dosa di hujung jari!!!


DUNIA di hujung jari adalah ungkapan yang sering didengar. Ia merupakan suatu fenomena yang mana segala perkara dan maklumat yang berlaku di segenap penjuru dunia boleh diketahui dengan segera melalui kepantasan pelbagai jaringan laman sesawang yang wujud ketika ini.

Namun dosa di hujung jari jarang diperkatakan sehingga ramai yang tanpa sedar terjebak dengan elemen-elemen negatif di sebalik kecanggihan teknologi garapan akal pemikiran manusia yang terhad. Lebih membimbangkan apabila masyarakat Islam secara umumnya terdedah kepada perlakuan dosa di alam maya yang menyumbang pula kepada gejala sosial dan moral yang berpanjangan.

Baru-baru ini, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim mendedahkan betapa perceraian di kalangan umat Islam di Malaysia semakin membimbangkan. Purata satu pasangan Islam bercerai setiap 15 minit adalah satu statistik yang menunjukkan bagaimana nilai kasih sayang dan tanggungjawab dalam membina sebuah institusi kekeluargaan Islam mula tercemar dek kerana kurang pemahaman terhadap selok-belok dan peraturan agama.

Akibatnya anak-anak jugalah yang menjadi mangsa dan berkemungkinan menyumbang pula kepada peningkatan statistik salah laku sosial dan moral di kalangan muda-mudi Islam.

Ini ditambah lagi dengan kewujudan laman sembang sosial seperti Facebook, Twitter, MySpace dan lain-lain yang disalahgunakan. Ada pasangan suami isteri tanpa sedar telah bermain kayu tiga sambil memadu kasih di Internet. Akibat terlalu asyik bersembang lalu segala macam masalah rumah tangga diluahkan kepada individu maya yang tidak dikenali. Kemungkinan juga terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku.

Ada pula yang telah bergelar suami dan isteri berlagak seperti anak muda apabila bertemu kekasih maya sehingga asyik bercinta walaupun anak berderet dan rumah tangga tidak terurus sehingga terlibat pula melakukan dosa zina dan mengundang perceraian yang dimurkai Tuhan.

Kalangan pelajar sekolah juga turut terpalit sama. Ada yang leka bersembang siang dan malam sehingga tugasan mengulang kaji pelajaran terabai. Pelbagai laman sesawang yang berunsur pornografi juga mudah diakses di mana-mana lalu menimbulkan keghairahan dan keinginan untuk mencuba sekali gus membawa kepada jenayah seksual dan rogol yang menakutkan.

Laporan akhbar juga menyebut bagaimana sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan laman Facebook untuk merekrut keldai dadah bagi penghantaran ke seluruh dunia. Penyalahgunaan ini juga turut melanda golongan pekerja apabila ada yang sibuk bersembang di alam maya daripada menyelesaikan tugasan yang diamanahkan.

Begitulah hebatnya kecanggihan teknologi masa kini yang seakan berjaya melalaikan umat Islam daripada tanggungjawab ibadah secara kolektif guna untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia sebagai musuh bentuk baru yang berusaha untuk merosakkan pemikiran dan hala tuju kehidupan umat Islam secara umumnya.

Memang tidak dinafikan, kecanggihan teknologi ICT seperti ini boleh dimanfaatkan sebagai mekanisme perhubungan antara sesama kerabat, rakan dan taulan dengan kos yang murah, pantas dan menyeronokkan. Malah dalam konteks hubungan ukhuwah Islamiah pula ia boleh menjadi mekanisme untuk mempertaut hubungan yang diperintahkan agama sehingga menjadikan umat Islam benar-benar bersaudara walau di mana sahaja mereka berada.

Sungguhpun demikian, umat Islam secara khususnya diminta berwaspada dan berhati-hati daripada terlibat dengan noda dan dosa saban hari. Ini dapat dilakukan misalnya dengan pemantauan ibu bapa terhadap kegiatan anak-anak terutama ketika melayari internet di rumah.

Amalan buruk seperti bersembang di internet tanpa mempedulikan solat mahupun tugasan yang dipertanggungjawabkan menyumbang kepada kemurkaan Allah SWT lagi ditegah oleh agama. Sedarlah juga betapa umur yang ada semakin meningkat setiap tahun sedangkan masa yang tinggal untuk memperbanyak amal semakin berkurangan.

Pastinya sukar untuk pihak berwajib mengharamkan akses kepada pelbagai laman sesawang termasuk laman sembang sosial, pornografi dan lain-lain secara total. Namun begitu setiap individu Muslim diseru sentiasa memuhasabah dan menilai diri sendiri dalam apa jua kegiatan yang dilakukan.

Ini penting bagi mengelak sesuatu yang memudaratkan berlaku ke atas pegangan akidah, amalan syariah dan akhlak umat Islam. Ia juga sangat bertepatan dengan objektif syariah yang bertujuan untuk memelihara kepentingan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia daripada diceroboh oleh anasir luaran yang merosakkan.

Penyalahgunaan Internet yang mula dibicarakan akhir-akhir ini jika tidak dibendung kemungkinan menyumbang pula kepada masalah-masalah lain yang lebih kronik jika tidak di atasi dengan segera. Mana tidaknya budaya fitnah-memfitnah, hasutan dan memburuk-burukkan sesama sendiri seakan-akan berkembang subur dan sukar dielakkan. Lebih membimbangkan lagi apabila rahsia-rahsia peribadi mula dijaja sana-sini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab guna untuk mengaibkan sesama sendiri.

Keburukan ini semakin terserlah apabila ada pihak yang terlibat menyebarkan berita-berita palsu menerusi internet tanpa menyedari betapa mereka boleh tergolong dalam kelompok golongan fasik yang dimurkai Tuhan.

Untuk itu berusahalah untuk memanfaatkan segala kemudahan yang ada untuk mengabdikan diri kepada-Nya dengan berhati-hati. Jika tidak ia bakal menjadi musuh dalam selimut yang boleh merosakkan keharmonian hidup manusia pada bila-bila masa dengan terlibat melakukan pelbagai dosa tanpa disedari.

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Kenderaan cermin gelap bermaharajalela !!


SAYA terpanggil untuk menceritakan apa yang saya lihat di negeri Terengganu pada hari ini. Aduan rakyat telah berjela-jela di akhbar dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu sendiri telah membuat pengumuman di dada akhbar dan TV berkaitan operasi kenderaan bercermin gelap yang menyalahi undang-undang.

Sebagai rakyat Malaysia yang mematuhi undang-undang, saya amat bangga dengan pengumuman sedemikian. Tetapi sayang, semuanya indah khabar dari rupa, cakap tidak serupa bikin. Hari ini, orang ramai semakin keliru dengan pengumuman yang dibuat oleh JPJ.

Untuk pengetahuan semua, hari ini sesiapapun yang datang ke Terengganu, jangan terkejut jika terpandang kereta bercermin gelap menguasai jalan raya, tidak kira apa jenis kereta seolah-olah berada di Thailand.

Semasa saya bersama rakan-rakan minum di bawah jambatan Simpang 3 Jln Hiliran berhampiran Ibu Pejabat JPJ, terdapat sekurang-kurangnya 43 buah kereta bercermin gelap yang jelas menyalahi undang-undang yang kami hitung dalam masa 30 minit.

Kami semua terfikir, kenapa boleh jadi begini? Mustahil JPJ tidak nampak memandangkan ibu pejabatnya terletak di persimpangan paling sibuk di Terengganu dan memiliki cawangan di semua daerah, selain kawalan 24 jam di setiap susur masuk dan keluar.

Tetapi kenapa bilangan kereta bercermin gelap kian bertambah? Jika undang-undang masih lagi berkuasa, kami menyimpulkan bahawa JPJ Terengganu gagal menjalankan amanah yang diberikan oleh jabatannya.

Justeru, persoalan yang paling besar bermain di fikiran kami semua ialah bagaimana dan mampukah JPJ menjalankan tugas yang jauh lebih rumit dan halus penelitiannya?

Ini kerana kenderaan bercermin gelap kita boleh lihat kesalahannya dari jauh lagi walaupun mata rabun, dibandingkan dengan kesalahan pemalsuan cukai, lesen, nombor dan banyak lagi. Kesemuanya jelas memerlukan masa, kepakaran dan 'mata yang terang'.

Saya percaya jika masalah-masalah sebegini pun tidak dapat diatasi, orang ramai pasti makin keliru dengan undang-undang yang ada. Saya amat berharap pihak yang berwajib mengambil berat dan memandang serius aduan rakyat yang mematuhi undang-undang.

ADUAN RAKYAT,

Kuala Terengganu

Insurans: Jangan susahkan pemilik kenderaan 'tua' !!


UNDANG-UNDANG mewajibkan setiap kenderaan yang berada di jalan raya dilindungi oleh insurans. Lazimnya, kenderaan baru dilindungi oleh insurans komprehensif atau first party yang bukan sahaja menepati tuntutan pihak ketiga tetapi meliputi tuntutan kecurian kenderaan dan lain-lain. Bergantung kepada nilai yang diinsurankan, premiumnya mahal dan insurans komprehensif ini senang diperoleh.

Bagi kenderaan yang lama atau 'tua' yang berumur 10 tahun ke atas ia dilindungi oleh insurans pihak ketiga atau third party yang menyediakan perlindungan asas sahaja untuk menepati tuntutan oleh pihak ketiga. Premiumnya murah.

Insurans pihak ketiga ini sukar diperoleh kerana kebergantunganya kepada jumlah yang disediakan oleh Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) yang tidak mencukupi. Ini membuatkan pemilik-pemilik kenderaan 'tua' ini terpaksa ke hulu ke hilir mencarinya dan faktor inilah yang menjadi rungutan mereka.

Perkara seperti ini tidak harus berlaku. Tetapi ia berlaku kerana ketidaksediaan pemain-pemain insurans memberi perlindungan kepada kenderaan 'tua' yang mereka kategorikan sebagai berisiko tinggi untuk berada di jalan raya sedangkan premium yang dibayar tidak seberapa dan boleh menimbulkan kerugian dalam membayar tuntutan pihak ketiga.

Pada saya, persepsi bahawa kenderaan yang berumur 10 tahun ke atas berisiko tinggi ketika berada di jalan raya adalah kurang tepat. Kita lihat terdapat banyak kenderaan 'tua' dijaga oleh pemiliknya dan berada dalam keadaan baik dibandingkan dengan sesetengah kenderaan yang lebih baru atau 'muda'.

Tentang risiko, kenderaan baru juga mempunyai risikonya. Selain terlibat dalam kemalangan, risiko untuk dicuri adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan kenderaan 'tua'.

Difahamkan tahun hadapan premium insurans akan dinaikkan lagi secara beransur-ansur menjangkau masa empat tahun. Jika ini dibiarkan berlaku pasti akan mendatangkan kesusahan kepada pemilik kenderaan.

Ini kerana kos alat ganti kenderaan seperti tayar, bateri dan lain-lain yang telah lama naik harganya, begitu juga kos penyelenggaraan kenderaan yang juga tinggi. Kenaikan premium pasti akan mendatangkan kemudaratan kewangan kepada pemilik-pemilik kenderaan, terutama yang berpendapatan menengah rendah dan rendah.

Dalam apa jua keadaan sekali pun, pemilik kenderaan 'tua' pasti tidak akan berubah. Mereka akan terus berhempas-pulas mencari insurans pihak ketiga untuk kenderaan 'tua' milik mereka.

Sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, campur tangan menyelesaikan kemelut ini amat perlu. Ini bagi memastikan premium insurans berada di tahap mampu dimiliki rakyat dan insurans pihak ketiga senang diperoleh seperti dahulu di mana-mana sahaja.

Ini akan secara langsung menggalakkan rakyat berkereta yang bukan sahaja lebih selesa tetapi selamat jika dibandingkan dengan penggunaan motosikal yang banyak menyumbang kepada statistik kemalangan maut.

WMRAMLI

Ulu Klang, Selangor

Henti idea bina loji nuklear, empangan besar !!


BERDASARKAN apa yang berlaku di Jepun, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menghentikan dengan segera idea untuk membina loji nuklear dan empangan besar untuk menangani krisis tenaga.

Pada masa ini, jumlah penggunaan elektrik Malaysia adalah dianggarkan 14,000 megawatt (MW) tetapi kita mempunyai kapasiti bekalan sebanyak 23,000 MW. Ini memberikan Malaysia margin yang amat selesa memandangkan sasaran kerajaan hanya 20 peratus

Tragedi yang melanda Jepun menunjukkan bahawa malapetaka boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Meskipun Malaysia tidak terletak dalam Lingkaran Api Pasifik atau Alpide Belt, ia tidak bermakna bahawa kita selamat daripada bencana alam

Plat tektonik sentiasa bergerak dan kemungkinan akan tiba masanya pada masa hadapan Malaysia turut mengalami malapetaka semula jadi. Kita perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lepas dunia yang menunjukkan kesengsaraan dan penderitaan yang dialami akibat bencana alam.

Daripada semua teknologi penjanaan elektrik, tenaga nuklear adalah salah satu yang mampu mengakibatkan malapetaka kemalangan. Mana-mana negara dengan aspirasi nuklear perlu menimbang risiko bencana kemalangan sebagai sumbangan negatif utama teknologi ini.

Adakah Malaysia mempunyai kemampuan untuk menangani keadaan malapetaka seperti kebocoran reaktor atau kebakaran loji dan kesannya yang mungkin melampaui ruang dan masa? Adakah orang ramai sanggup menerima risiko ini, sedangkan masih ada alternatif tenaga yang lebih murah dan selamat?

Di seluruh dunia, orang ramai menyedari bahawa terdapat alternatif kepada nuklear dan empangan besar yang lebih selamat, murah dan boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin.
Bagaimanapun, potensi Tenaga Diperbaharui (Renewable Energy – RE) sebagai sumber tenaga yang mapan di Malaysia ditolak berulang kali oleh penyokong tenaga nuklear berdasarkan analisis berat sebelah dan terpilih di pihak mereka.

Kami percaya dengan rangka kerja peraturan yang berkesan dan sempurna dan fiskal yang betul untuk RE, ia boleh menyumbang dengan berkesan kepada rizab tenaga Malaysia, seterusnya menyangkal keperluan untuk melabur dalam tenaga yang kotor, berbahaya dan mahal seperti nuklear.

Satu cara lagi untuk mengurangkan penggunaan tenaga ialah dengan memperbaiki kecekapan tenaga (Energy Efficiency – EE) dalam semua sektor. Pada hakikatnya, EE adalah salah satu objektif Dasar Tenaga Negara yang sepatutnya dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kelapan.

Usaha oleh kerajaan untuk menggalakkan kecekapan tenaga perlu dipertingkatkan kerana ia bergerak terlalu perlahan.

Di samping itu, tenaga mampu diri adalah jaminan terbaik sekuriti tenaga. Ini boleh dicapai dengan mempelbagaikan tenaga boleh diperbaharui yang mapan pada skala penjanaan mikro, kecil dan sederhana, menurut sumber tempatan yang diperolehi, supaya tenaga digunakan pada titik penjanaan, menjimatkan sehingga 69 peratus daripada tenaga yang hilang melalui pengaliran elektrik jarak jauh dari loji tenaga berpusat besar dan pengeluaran karbon berkaitan.

Akhir sekali, menggabungkan langkah kecekapan tenaga (EE) dan tenaga diperbaharui (RE) untuk memenuhi permintaan tenaga akan menghapuskan sebarang justifikasi bagi tenaga nuklear dan empangan besar.

Kami menggesa kerajaan membatalkan rancangan untuk memajukan tenaga nuklear dan pembinaan empangan besar.

S M MOHAMED IDRIS,
Presiden Sahabat Alam
Malaysia (SAM) dan
Persatuan Pengguna
Pulau Pinang (CAP)

Friday, March 18, 2011

Pelajar membuli wajar dibuang !!


semalam (17 Mac 20110), akhbar telah melaporkan kira-kira 20 ibu bapa pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi, Kubang Pasu, Kedah, yang dikenakan tindakan buang sekolah melahirkan rasa tidak puas hati. Kononnya mereka tidak dibawa berbincang sebelum tindakan berkenaan diambil ke atas anak mereka.

Menurut salah seorang ibu bapa kepada pelajar sekolah yang dibuang, selepas dibuang sekolah emosi anak-anak mereka terganggu dan bimbang pelajaran mereka terjejas.

Sebagai seorang bapa, saya menyokong penuh tindakan yang diambil oleh pihak sekolah berkenaan. Tindakan yang diambil oleh pihak sekolah bukanlah dibuat dengan sewenang-wenangnya. Mereka dikenakan tindakan tersebut kerana didapati telah membuli dua pelajar tingkatan empat di sekolah tersebut.

Kenapa mereka risaukan emosi anak mereka terganggu? Bagaimana dengan emosi pelajar yang menjadi mangsa buli serta emosi ibu bapa mangsa buli berkenaan? Tidakkah emosi mereka lebih teruk terganggu? Bayangkan seramai 20 pelajar membuli mereka dan sudah berapa lama perkara ini terjadi tidaklah kita ketahui.

Bayangkan betapa terjejasnya emosi pelajar berkenaan setiap kali melangkah ke sekolah yang sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk mereka, bukan sahaja selamat untuk belajar tetapi juga selamat untuk segala aktiviti seharian. Ini kerana asrama sekolah adalah rumah kedua bagi pelajar yang menuntut di sekolah berasrama penuh.

Lupakah kita apa yang berlaku kepada Allahyarham Adik Muhammad Farid Ibrahim pada tahun 2004 yang meninggal dunia akibat dipukul dan dipijak oleh lapan pelajar senior Sekolah Menengah Agama Dato Klana Petra Maamor (SMADKPM) Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan?

Jika kejadian tersebut telah berlaku kira-kira tujuh tahun yang lalu dan kita semua telah melupainya, maka lupakah kita kejadian yang berlaku pada tahun lepas di mana seorang pelajar Maktab Tentera DiRaja (MTD) mati dipercayai dibuli oleh pelajar senior?

Perilaku buli adalah kesalahan jenayah yang serius. Sebarang tindakan tegas yang diambil oleh pihak sekolah bagi menangani masalah ini perlu disokong oleh semua pihak. Saya amat berharap agar pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Kementerian Pelajaran turut tidak bertolak ansur dalam hal-hal sebegini.

Ibu bapa para pembuli boleh menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka kepada pihak media. Namun kesalahan yang dilakukan oleh anak mereka adalah amat serius dan seharusnya mendapat hukuman yang setimpal.

PRIHATIN MANGSA BULI

Dungun, Terengganu

Mestikah mempunyai loji nuklear untuk maju?


JEPUN adalah "rakan strategi" Amerika Syarikat (AS) paling setia di Asia sama seperti Jerman di Eropah. Mereka tertunduk kepada AS kerana bantuan Marshall Plan yang memulihkan dan membangunkan semula negara-negara itu oleh tangan yang menghancurkan mereka dalam Perang Dunia Kedua.

Bencana tsunami yang menimpa Jepun yang sedang berada dalam keadaan ekonomi yang lemah dibandingkan dengan China, tentunya telah menjejaskan lagi kekuatannya sebagai negara harapan AS dari segi keselamatan ekonomi dan pertahanan.

Jepun tidak dibenarkan membina senjata berat tetapi diizinkan oleh AS untuk mempunyai loji nuklear.

Suatu hal yang menarik bahawa bencana tsunami yang paling dahsyat menimpa Jepun dalam keadaan Asia Barat dan Afrika Utara digugat oleh revolusi rakyat yang diharapkan oleh AS akan meningkatkan taraf demokrasi sesuai dengan konsep globalisasinya.

Revolusi rakyat yang bermula di Tunisia telah menjalar ke Mesir, Yemen, Bahrain dan dalam keadaan terhalang di Libya. Tidak jelas 'tangan' AS dalam kebangkitan rakyat yang menuntut peletakan jawatan Presiden yang telah menjadi "Raja" dan Raja-raja yang menjadi Maharaja di dunia Arab.

Malah dalam kebangkitan ini, AS nampaknya tidak menjadi sasaran serangan rakyat. Tidak ada poster, pemidang atau pun jeritan slogan anti AS dalam tunjuk-tunjuk perasaan yang diadakan.

Persaudaraan Islam di Mesir (Ikhwan Muslimin) dan Al-Qaeda juga bijak tidak mahu terperangkap dalam permainan AS yang mahu kelihatan "orang baik" ketika kebangkitan rakyat ini.

Adalah mustahil untuk menolak sama sekali ada tangan di sebalik suatu kebangkitan teratur yang berlaku hampir serentak. Apakah tidak ada pihak yang mengkoordinasikan?

Yang jelas menjadi korban dalam kebangkitan ini ialah orang Islam. Mereka bergaduh dan berbunuhan sesama sendiri untuk kepentingan demokrasi ala-AS. AS tidak mahu Presiden menjadi raja dan pemerintahan beraja terus kekal di Asia Barat.

Apakah kebangkitan ini tidak akan berlaku di Arab Saudi dan apakah Mekah akan kekal di bawah penguasaan Saudi?

Di Libya, rakyat yang berperang dengan Muammar Gaddafi adalah rakyat yang tidak terlatih dalam ketenteraan dan mudah untuk dibunuh oleh tentera Gaddafi. Orang ramai menonton di TV bagaimana penentang Gaddafi menembak ke arah tentera pemerintah seperti mainan perang sahaja.

AS jelas memihak kepada rakyat Libya dan memperalatkan mereka untuk menentang Gaddafi tetapi Barat juga takut kepada Gaddafi seperti mereka takut kepada Korea Utara.

Keadaan yang berlaku ini tidak dapat diimbangi oleh kuasa manusia tetapi oleh hanya kuasa Allah yang tidak diduga.

Kematian di Jepun adalah lebih besar daripada kematian dalam kebangkitan revolusi di Asia Barat. Ancaman nuklear ciptaan manusia tiba-tiba menjadi ancaman yang lebih besar kepada orang Jepun setelah tsunami. AS telah mempersenjatai mereka untuk membunuh diri sendiri.

Dalam keadaan ini, Republik Rakyat China pula kelihatan lebih mantap menapak sebagai kuasa besar ekonomi dunia ketika Jepun kini menghadapi kelumpuhan jentera ekonominya akibat tsunami. China akan bergerak lebih cepat lagi mencapai matlamatnya.

Mala petaka yang berlaku di Jepun ini harus menyedarkan Malaysia yang 'melulu' untuk meniru sistem dan strategi pembangunan ekonomi Barat. Jika mahu maju maka kita mesti mempunyai loji nuklear? Apakah ini masih benar pada pandangan para saintis dan pakar pembangunan Malaysia.

Sangat wajar bagi Malaysia untuk berfikir semula secara serius apakah wajar baginya untuk terus berkempen meyakinkan rakyat bahawa ia perlu mempunyai loji nuklear jika mahu menjadi negara maju atau mahu mencapai Wawasan 2020? Apakah kita tidak boleh membangun mengikut acuan sendiri tanpa loji nuklear?

Pembangunan Jepun yang begitu mengagumkan dunia berakhir dengan manusia seluruh dunia mengagumi kuasa Allah, meletakkan jutaan manusia Jepun dalam kemusnahan, kecemasan, ketakutan, kesengsaraan dan penderitaan yang belum diketahui penghujungnya.

Tidak seperti Acheh sebaik-baik sahaja dilanda tsunami, CNN terus menghebahkan beratus ribu orang telah terbunuh. Tetapi CNN cuba memperkecilkan jumlah kematian sebaik-baik sahaja tsunami melanda Jepun, dikatakan hanya beratus orang sahaja yang mati. Tidak dapat diterima oleh logik akal tetapi akhirnya CNN tidak dapat menyembunyikan keadaan sebenar. Harta benda dan manusia yang lenyap bersama tsunami di Jepun adalah lebih besar dari segi nilai materialisme Barat.

Sekalipun keruntuhan negara hamba setianya akan dapat diatasi tetapi moral dan semangat AS telah terjejas dan amat memedihkannya.

Belajarlah daripada petunjuk Allah sebelum rakyat atau generasi masa depan negara ini menjadi mangsa kegelojohan menghambat pembangunan yang tidak mementingkan nilai-nilai kemanusiaan.

Oleh TAN MELAKA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...