terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 28, 2011

Mudahnya nak buat pengguguran bayi di Malaysia !! Ikuti kisahnya...


OK, di sini memang boleh buat pengguguran bayi, apa lagi soalan?'' Ini adalah sebahagian daripada perbualan antara penulis dengan seorang doktor di salah sebuah klinik swasta di ibu kota, baru-baru ini.

Daripada perbualan tersebut cukup untuk menggambarkan bahawa akses bagi melakukan pengguguran bayi di negara ini cukup mudah - janji individu itu mempunyai kekuatan diri dan paling penting ada duit, semua boleh dilakukan.

Apakah ini mungkin antara punca menyebabkan gejala pembuangan bayi di negara ini tidak berkesudahan? Malah, jika diteliti melalui laporan di dada-dada akhbar, sebahagian kes pembuangan bayi membabitkan janin-janin yang tidak cukup bulan.

Perkembangan ini juga sudah tentu satu tamparan hebat terhadap usaha-usaha membanteras gejala seks bebas termasuk pembuangan bayi terutama di kalangan golongan remaja.

Lazimnya, pengguguran bayi banyak dilakukan oleh gadis-gadis yang hamil di luar nikah dan ia dilakukan bagi mengelak kandungan mereka diketahui umum sekali gus memalukan keluarga.

Aktiviti ini turut dilakukan oleh wanita-wanita yang sudah berkahwin, yang mempunyai alasan tersendiri seperti belum bersedia menimang cahaya mata, mahu membina karier terlebih dahulu atau bimbang dengan bebanan hidup yang akan bertambah.

Masyarakat sekeliling terutama mereka yang beragama Islam seharusnya sedar bahawa pengguguran janin merupakan dosa besar yang dilaknat Allah SWT.

Ini kerana ia melibatkan pembunuhan satu nyawa manusia yang lain.

Baru-baru ini, kerana inginkan maklumat mengenai pengguguran bayi, penulis bersama seorang rakan telah menyamar sebagai pasangan kekasih yang 'terlanjur' mengunjungi klinik tersebut untuk 'menggugurkan' kandungan.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, ikuti perbualan antara penulis bersama doktor di klinik tersebut.

Penulis (P): Sini boleh buat gugur (bayi)?

Doktor (D): Kali pertama (gugur bayi)?

P: Kali pertama.

D: Kenapa nak gugur? Sudah kahwin?

P: Belum.

D: Berapa besar (bulan)?

P: Tak tahu.

D: Lewat berapa minggu?

P: Satu minggu.

D: Bagus.

P: Bagus?

D: Kenapa saya cakap bagus sebab lewat seminggu, kita menjangkakan ia tidak besar, biasanya dia masih kecil dan tidak ada jantung. Masih O.K lagi dan kalau sudah ada jantung kita berat hati sikit untuk buat (pengguguran). O.K. Soalannya boleh buat? Boleh. Seterusnya?

P: Kalau boleh buat, berapa harganya doktor?

D: Harganya biasa di sini ada dua cara, cara lama cuci atau cara baru makan ubat saja tak perlu cuci. Bezanya cara lama cepat tapi lebih berisiko.

P: Cara lama yang cuci?

D: Ya cara lama D&C ( prosedur yang dilakukan selepas keguguran bayi), masukkan alat ke dalam rahim boleh berlaku pendarahan, luka dan risiko jangka panjang manakala cara ubat pula hanya makan ubat untuk keluarkan tanpa perlu cuci apa-apa, dia jauh lebih selamat tapi ambil masa tiga hari.

P: Maksud doktor tiga hari macam mana?

D: Awak kena datang sekali, makan ubat. Lepas tiga hari datang lagi dan kita akan masukkan ubat ke tempat seks sahaja tanpa perlu kacau apa-apa. Ini cara baru.

P: Kalau makan ubat, dia (janin) keluar habis ke doktor?

Doktor: 97 peratus, ubat ini datang dari UK (United Kingdom) dan ubat ini memang khas untuk gugur. Selepas seminggu datang balik untuk check up.

P: Sakit tak?

Doktor: Sakit, macam period (datang haid).

P: Cara lama lagi sakit?

D: Dua-dua cara pun sakit, mustahil 'benda' nak keluar kamu tak sakit.

P: Kalau pandangan doktor?

Doktor: Pada saya awak berdua kena tentukan.

P: Harga (bayaran untuk proses pengguguran)?

D: Harga untuk kedua-dua cara sama. Dari A hingga Z sampai habis sampai check up RM1,000. Yang penting awak kena fikir apa yang awak lebih selesa.

P: Tak kisah berapa bulan?

D: Untuk kes bawah tiga bulan dan yang baru. Bincang elok-elok.

P: Adakah selepas ini saya akan sihat sepenuhnya dan tiada apa-apa kesan selepas itu?

D: Jangan susah hati, itu kerja saya. Saya akan pastikan anda sihat.

P: Bila waktu yang sesuai untuk saya datang?

D: Bila-bila tetapi lebih baik lagi cepat lagi bagus. Tetapi dinasihatkan agar telefon saya dahulu.

P: Adakah selepas itu saya perlu cuti?

D: Tak perlu, anda boleh bekerja atau melakukan aktiviti seperti biasa.

Daripada perbualan tersebut secara tidak langsung boleh diandaikan bahawa melakukan pengguguran amat mudah, bahkan boleh memilih cara mana yang disukai.

Walaupun begitu, doktor yang ditemui penulis ini begitu baik hati kerana selain menasihati penulis agar berhati-hati di kemudian hari, beliau turut mencadangkan beberapa kaedah untuk pencegahan.

Menurut doktor tersebut lagi, dia mempunyai pelaku tetap di mana sudah empat kali datang melakukan pengguguran.

Apa yang menyedihkan, katanya, rahim wanita tersebut hampir nak pecah akibat terlalu banyak membuat pengguguran.

Bagaimanapun, jelas doktor tersebut, kalau fikir duit memang dia suka tapi beliau turut menasihati agar kita berfikir apa yang dilakukan pasti ada akibatnya.

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Bersyukur dengan gaji diterima walau rendah...


SAYA ingin menyentuh mengenai isu 'gaji tinggi tetapi tidak mencukupi' yang sering menjadi keluhan segelintir masyarakat kita. Kenapakah gaji yang ada masih tidak mencukupi?

Saya adalah pekerja swasta berpendapatan kurang daripada RM1,500.00 sebulan. Inilah kenyataannya. Tetapi ramai yang menyangka apabila bekerja dengan sebuah syarikat swasta, gaji kita tentunya melebihi RM2,000.00 sebulan.

Selama saya bekerja, belum pernah lagi saya menerima gaji pokok melebihi RM2,000.00. Saya juga mempunyai kereta, rumah yang perlu saya bayar. Juga minyak kereta, api, air, makan dan minum saya. Kadang-kadang sampai naik pening kepala saya. Siapa yang tidak mengeluh? Saya juga mengeluh.

Tetapi saya sentiasa ingat pesan ibu bapa saya, walau banyak mana yang kita dapat pun jangan sesekali kita lupa kepada Tuhan. Alhamdulillah walaupun saya bergaji seperti seorang yang lepasan SPM, saya redha dan ikhlas. Sekarang ini pun saya dalam proses pembelian rumah walaupun bukan teres dua tingkat ataupun kondominium. Hanyalah sekadar flat biasa, tetapi cukup selesa.

Saya tidak nafikan keperluan sekarang melebihi daripada gaji yang kita peroleh. Perlulah kita lihat dan renung dari pelbagai aspek. Saya sendiri juga kadangkala terkejut dengan harga barang yang semakin melambung tinggi. Tetapi kepada yang mengeluh dan merungut, anda perlulah banyak-banyak bersyukur ke hadrat Ilahi.

Walaupun hidup kita dikelilingi prasarana kemodenan, namun masih ada lagi golongan orang-orang Melayu kita yang hidup dalam kedaifan dan kemiskinan. Juga masih ramai lagi yang berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan.

Saya amat terkejut mengapakah dengan gaji melebihi RM2,500 - RM3,000 sebulan masih dikatakan tidak mencukupi. Maka benarlah perumpamaan orang-orang dahulu kala 'Besar periuk, besar jugalah keraknya'. Mengapakah ini terjadi? Jawapannya hanya diri kita sendiri yang tahu.

Dalam apa juga keadaan, kita perlu merasa sedikit malu dengan orang-orang yang lebih tidak bernasib baik daripada kita. Seperti kita semua, mereka juga mempunyai tanggungjawab yang besar dengan bermacam-macam perbelanjaan lagi. Mereka ini juga tidak berpeluang pergi melancong walau dalam negara sendiri.

Saya mempunyai seorang kawan yang gajinya hanyalah RM900 sebulan. Selepas ditolak SOCSO dan KWSP berapa sangatlah yang tinggal. Suaminya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan yang mana gaji suami juga tidak seberapa. Tetapi dia tidak kisah jika tidak pergi melancong atau makan angin.

Apa yang penting asalkan anak-anak tidak kelaparan, cukup keperluan pelajaran dan sempurna kehidupan.

Jika ada rezeki anak-anak berjaya suatu hari kelak dan dapat pekerjaan yang baik, mungkin ada rezeki mereka untuk makan angin.

Jika kita sentiasa bersyukur dengan setiap pemberian Tuhan kepada kita, insya-Allah rezeki yang ada pasti mencukupi.

Kepada mereka yang sentiasa mengeluh, marilah kita sama-sama muhasabah diri. Jika ada kesempatan rajin-rajinlah bertanyakan pada mereka yang berpendapatan rendah, tetapi boleh menyara kaum keluarga dan anak-anak yang ramai sehinggakan ada anak-anak mereka belajar sampai ke menara gading.

Usahlah sentiasa mengeluh. Pucuk pangkal terletak pada diri kita sendiri bagaimana untuk mengatasi setiap kesulitan dan kesukaran yang ada. Sebelum mendirikan rumah tangga anda perlu tahu akan keperluan seharian.

INA
Shah Alam, Selangor.

Habis madu sepah dibuang ......Terjebak akibat pengaruh rakan..


PEPATAH ada mengatakan sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya. Untuk itu, apa jua yang hendak dilakukan perlulah difikirkan kebaikan serta keburukannya terlebih dahulu agar ia tidak mendatangkan kekesalan yang berpanjangan.

Bagaimanapun, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan segalanya.

Bagi Mimi, apa yang telah berlaku dalam kehidupannya hari ini bukanlah kehendaknya. Namun apakan daya, dia juga merupakan insan biasa.

Hari ini, selain berendam air mata menyesali apa yang berlaku Mimi hanya mampu berserah kepada Tuhan selain bertaubat memohon keampunan daripada-Nya.

Mendapat didikan agama yang sempurna daripada kedua ibu bapanya, masih belum cukup untuk menjamin Mimi menjadi seorang anak yang baik.

Menurut Mimi, walaupun diberi pendidikan yang secukupnya, dia 'kalah' dengan godaan kawan-kawan apatah lagi ketika itu dia tinggal berjauhan dengan keluarga.

Daripada seorang anak gadis yang bertudung, akhirnya Mimi menjadi remaja liar.

Bukan setakat tudungnya 'hilang', bahkan dia mula pandai mengunjungi kelab-kelab malam.

Tetapi Tuhan masih menyayanginya dan dia kembali ke pangkal jalan dan menjadi anak yang solehah.

Menyingkap kisah lalu dan bercerita bagaimana dirinya yang kini hamil, menurut Mimi, setelah tamat pengajian, dia telah diterima bekerja di ibu kota.

Dari situ kawan-kawan lamanya (kawan perempuan) mula mencarinya. Akibat pujukan dan ingin merasai kehidupan yang bebas, akhirnya Mimi diperangkap sendiri oleh kawan baik tersebut.

''Akibat tersalah pilih kawan, beginilah akhirnya. Saya menyesal dengan apa yang telah terjadi tetapi apakan daya, tidak guna menyesali apa yang telah terjadi.

''Saya sesungguhnya tidak menyangka, kawan baik sendiri sanggup berbuat begitu dan saya tahu segala-galanya telah dirancang.

''Bermula dengan ajakan keluar kemudian ikut balik ke rumah dan akhirnya saya 'terkulai' di tangan lelaki yang tidak saya kenali,'' ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.

Pada peringkat awal Mimi berjaya menyembunyikannya daripada keluarga.

Tetapi apabila usia kandungan itu mencecah empat bulan ia sudah tidak mampu disembunyi dan keluarga mula mengetahui.

Bagaimanapun Mimi bersyukur kerana keluarga masih menyokong dan tidak menyisihkannya.

Namun, dia tetap berhadapan dengan dilema sama ada ingin terus membela anak yang dikandung atau berikan kepada orang selepas dilahirkan.

Menurut Mimi, sebagai seorang ibu, dia tidak sampai hati tetapi menyerahkan segala-galanya kepada ibu bapanya.

"Kalau ikutkan hati, saya ingin menjaga anak ini tetapi apabila memikirkan masa depannya, hati saya berbelah bahagi.

"Buat masa ini saya belum membuat keputusan tetapi setelah anak ini lahir, barulah keputusan sama ada ingin terus menjaga atau menyerahkan kepada keluarga angkat akan diputuskan.

"Cukuplah saya menyusahkan keluarga dan menghancurkan hati mereka,'' jelasnya.

Apabila ditanya mengapa tidak menggugurkan sahaja kandungan tersebut, jelas Mimi, walaupun dia tidak mengetahui siapa bapa kepada anaknya, dia masih lagi mempunyai hati dan perasaan kerana bayi yang dikandungnya itu tetap darah dagingnya sendiri.

Ketika ditanya mengapa dia tidak membuat laporan polis sahaja sekiranya betul dia dirogol, ujarnya sudah pasti tiada siapa yang akan mempercayai kata-katanya kerana sebelum ini dia memang seorang remaja liar.

Mengenai perancangan masa depannya selepas melahirkan anak, ujar Mimi, perkara pertama yang akan dilakukan ialah mencari pekerjaan untuk membantu keluarga.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertaubat dan telah berjanji dengan dirinya tidak akan menyusahkan keluarga.

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Kenapa sekat jualan nasi lemak di sekolah?


KENYATAAN akhbar Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini amat mengelirukan dan seperti mempunyai agenda tersembunyi yang tidak pasti dari mana maklumat beliau perolehi sehinggakan nasi lemak tiba-tiba menjadi 'musuh negara'.

Tidak dinafikan kandungan dalam sajian nasi lemak yang dipelbagaikan bagi menambah keenakannya telah menimbulkan banyak sebab-musabab penyakit sehingga dikatakan 'ia' sebagai pembunuh senyap bagi penduduk di Malaysia. Apakah benar hanya nasi lemak yang menjadi hidangan wajib di waktu pagi rakyat Malaysia dilabelkan amat berbahaya? Bagaimana dengan roti canai, mi goreng yang ada dijual di sekolah tidak berbahaya dan kurang cepat 'memanggil' penyakit?

Kerajaan seharusnya membuat kajian terperinci terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan di media kerana setiap kenyataan yang dikeluarkan terutama oleh Kementerian Kesihatan boleh mendatangkan spekulasi yang lebih buruk.

Yang bermain di fikiran kebanyakan orang awam ialah, apakah kerajaan melalui Kementerian Kesihatan telah membuat kajian menyeluruh terhadap bahayanya memakan nasi lemak? Apakah kajian telah dibuat di setiap sekolah di negara ini?

Yang menjadi kemusykilan, kenapa Kementerian Kesihatan tidak menyekat semua jenis makanan ringan (atau jajan) yang digemari kanak-kanak daripada dijual di negara ini? Adakah kerana pengusaha makanan ringan tersebut daripada kaum bukan Melayu?

Cubalah Menteri Kesihatan mengeluarkan kenyataan pengharaman untuk semua jenis makanan ringan daripada dijual di sekolah, pasti beliau dihentam dari segala sudut oleh masyarakat bukan Melayu.

Harus diingat, jika ingin mencegah sesuatu penyakit mestilah dibuat secara menyeluruh dan bukan hanya menyalahkan satu jenis punca sahaja.

Jika Kementerian Kesihatan boleh mengarahkan setiap kotak rokok wajib meletak gambar-gambar mengerikan akibat menghisap rokok, maka tidak salah jika diletakkan amaran pada bungkusan makanan ringan akibat kekerapan memakan makanan tersebut.

Iklan-iklan di akhbar atau di media elektronik juga harus disyaratkan meletakkan perkara yang sama iaitu memaklum bahayanya memakan makanan ringan ataupun mengharamkan sebarang pengiklanan makanan ringan agar kanak-kanak tidak terpengaruh dengan jenis makanan tersebut.

Saya bukan hendak membela penjual nasi lemak atau pengusaha kantin sekolah tetapi cara kerajaan menangani masalah ini tidak tepat dan hanya mewujudkan 'kambing hitam' sahaja. Sedangkan punca-punca kegemukan tidak datang daripada satu sebab dan hendaklah dibincang bersama dengan pakar-pakar pemakanan secara lebih kerap dan diumumkan hasil kajian itu kepada rakyat. Barulah rakyat boleh menilai dari mana punca kegemukan kanak-kanak sekolah.

Bukan dengan tiba-tiba hanya nasi lemak dijadikan 'ukuran' punca kegemukan kanak-kanak sekolah. Cukupkah kandungan nasi lemak yang dimakan lima kali seminggu pada setiap pagi, boleh menyebabkan kegemukan? Apakah kanak-kanak tidak makan di rumah selepas balik dari sekolah?

Rakyat Malaysia sudah selalu tertipu dengan kajian yang dibuat pihak tertentu misalnya dahulu heboh isu pemakanan gula-gula getah, setelah hampir berbelas tahun memakannya barulah diumumkan berbahaya jika dimakan berterusan. Kenapa setiap makanan yang dijual tidak dibuat kajian lebih mendalam sebelum dibenarkan dijual?

Pesanan saya, jangan terlalu tergesa-gesa menyekat sesuatu. Kalau ingin mengharamkan sesuatu makanan atau minuman, haramkan dahulu minuman dalam tin dan botol serta teh tarik kerana ia memang secara terang mempunyai kandungan gula yang amat tinggi yang boleh mengakibatkan banyak penyakit.

Nasi lemak elakkan murid lapar waktu belajar...


SAYA sebagai bekas pelajar sekolah ingin menyentuh sedikit mengenai isu cadangan larangan penjualan makanan ringan dan nasi lemak di sekolah. Jika dilihat daripada segi tujuan, memang amat baik cadangan tersebut. Tetapi adakah kerajaan terfikir tentang kesannya terhadap pelajar?

Semasa saya bersekolah dahulu, dari darjah satu sehinggalah ke tingkatan lima, masalah kami sebagai pelajar adalah kekurangan makanan di kantin. Pihak pengurusan kantin tidak menyediakan makanan yang secukupnya bagi menampung keperluan pelajar-pelajar.

Namun kami sebagai pelajar tidak menyalahkan pihak pengurusan kantin. Kami faham faktor masa adalah punca pihak kantin tidak dapat menyediakan makanan yang lebih banyak.

Oleh itu, bagi mengelakkan pelajar kelaparan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran, maka koperasi sekolah menjadi sasaran kami bagi mendapatkan makanan ringan untuk mengalas perut.

Jadi, pada pandangan saya adalah tidak patut jika cadangan larangan penjualan nasi lemak dan makanan ringan dilaksanakan. Sanggupkah kerajaan membiarkan pelajar- pelajar meneruskan sesi pembelajaran dengan perut kosong?

Jika ada sesetengah pihak mengatakan nasi lemak menjadi punca obesiti dalam kalangan pelajar sekolah, saya sama sekali tidak bersetuju. Adakah jaminan makanan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka tidak menyebabkan anak-anak mereka menjadi obes?

Daripada pemerhatian saya, ibu bapa kini lebih gemar memasak makanan segera atau sekadar makan di luar lantaran kesibukan dan komitmen yang tinggi terhadap kerjaya mereka.

Jika tidak dibenarkan penjualan nasi lemak, lantas apa hidangan lain yang disediakan? Adakah nasi ayam, mi bandung, nasi goreng Pattaya atau hidangan-hidangan lain yang pastinya lebih mahal harganya berbanding nasi lemak?

Inikah tujuannya, menyebabkan pelajar perlu meminta duit belanja yang lebih daripada ibu bapa lantas meningkatkan lagi kos perbelanjaan sesebuah keluarga?

Sedarkah juga cadangan ini boleh menjejaskan peniaga Melayu yang pasti akan terasa kesan larangan ini kerana sebahagian besar mereka yang terlibat dalam perniagaan nasi lemak dan makanan ringan ini adalah orang Melayu?

Batas-batas bergurau..


AGAMA Islam menggalakkan umatnya mengeratkan silaturahim sesama manusia agar kehidupan ini penuh dengan kasih sayang, perpaduan dan harmoni.

Kita juga digalakkan untuk menyenangkan hati sesama saudara kita. Salah satu cara untuk menyenangkan hati itu ialah dengan bergurau senda.

Adapun gurau senda itu suatu yang diharuskan dalam Islam kerana naluri dan fitrah manusia memerlukan hiburan untuk memperoleh ketenangan dan kesejahteraan. Bahkan boleh membebaskan diri daripada keresahan dan ketegangan.

Nabi Muhammad menjalankan kehidupan bersama para sahabat dan ahli kerabat baginda seperti manusia biasa. Baginda berkongsi kesedihan, kesusahan dan musibah dan baginda juga pernah bergurau senda.

Antara senda gurauan Rasulullah ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Al-Hasan: "Seorang perempuan tua telah datang kepada Nabi Muhammad, lalu berkata 'wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah SWT supaya aku dapat masuk syurga."

Maka Rasulullah bersabda: "Wahai ibu polan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga."

Lalu menangislah si perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah bersabda: "Khabarkan kepada perempuan itu bahawa sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua."

Lalu dibacakan firman Allah yang tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta Kami jadikan mereka sentiasa dara, yang tetap menjadi jodohnya serta yang sebaya umurnya.

Dalam senda gurauan Rasulullah yang lain lagi ialah sebagaimana dalam sebuah hadis yang maksudnya: "Daripada Anas bin Malik, bahawa seorang lelaki meminta kenderaan Rasulullah lalu baginda bersabda: Sesungguhnya aku akan membawamu di atas anak unta betina. Lalu orang itu berkata: Apa yang dapat saya buat di atas anak unta betina? Baginda menjawab: Bukankah yang melahirkan Al-Ibbal (unta jantan tua) itu hanya unta betina iaitu ibunya dan unta jantan tua itu ialah anaknya". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Daripada kisah-kisah tersebut dapat kita lihat bagaimana Rasulullah bergurau tetapi dalam perkara yang benar, bukan perkara yang dusta.

Bahkan ia adalah disunatkan untuk menyenangkan hati orang lain. Walau bagaimanapun Islam melarang kita daripada bergurau terhadap perkara yang sia-sia kerana gurauan itu membuat orang ketawa berlebihan dan boleh menyebabkan keras hati serta melalaikan daripada mengingati Allah.

Nabi Muhammad berpesan dalam sebuah hadis maksudnya: "Daripada Abi Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Berkata Imam Al-Nawawi: "Gurauan yang ditegah itu ialah gurauan yang melampaui batas dan sering dilakukan sehingga melalaikan daripada mengingati Allah."

Sesungguhnya jika gurauan kita itu bermaksud untuk menyenangkan hati orang lain terutama mereka yang dalam kesusahan, maka Allah SWT akan memberi ganjaran kepada mereka.

Bagaimanapun, jika gurauan itu boleh membawa kemudaratan, kesusahan atau mengakibatkan perkara buruk kepada orang lain, kita akan mendapat dosa.

Oleh yang demikian, berwaspadalah dengan senda gurauan yang melampaui batas atau berlebihan. Janganlah dalam gurauan itu ada unsur-unsur menghina, mencerca, mengolok-olokkan dan menyakiti orang lain kerana ia boleh mencetuskan permusuhan dan kemarahan sehingga menyebabkan terputus silaturrahim.

Jangan juga dijadikan senda gurauan itu suatu kebiasaan atau amalan kerana kesan yang tidak baik daripada gurauan itu mungkin akan terjadi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula sesuatu puak daripada daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Hujurat: 11)

Wednesday, April 27, 2011

Penduduk flat tak prihatin kebersihan !!!


MENJALANI kehidupan di tengah kesibukan kota yang pesat membangun ini kadangkala merunsingkan kita. Ini akibat pencemaran bunyi dari kawasan pembinaan dan juga asap kenderaan yang dikeluarkan ke udara membuatkan kita kurang selesa.

Paling merunsingkan adalah keadaan sampah yang bersepah di tepi jalan daripada puntung rokok sehinggalah plastik sampah yang dibuang dan dibiarkan di tempat yang tidak sepatutnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab

Ini memberikan satu pemandangan menjelikkan dengan buangan lampin bayi yang mengeluarkan bau busuk serta sisa makanan seperti tulang ayam, ikan yang dihurung lalat dan serangga, amat memalukan rakyat di negara ini.
Masalah pembuangan sampah ini adalah masalah agak serius apabila kita berada di kawasan perumahan flat atau rumah kos rendah.

Jika dikatakan tiada kemudahan seperti tempat pembuangan sampah, ia adalah mustahil kerana hampir di setiap sudut flat mempunyai rumah sampah yang agak besar untuk menampung sampah yang dibuang oleh penduduk kawasan terbabit.

Terdapat juga golongan penduduk flat ini membiarkan saja sampah mereka di pekarangan laluan orang ramai seperti tangga dan koridor jalan. Situasi ini amat mengecewakan kerana mereka tiada sikap bertanggungjawab dan tidak malu dan prihatin serta bertoleransi terhadap penghuni lain.

Keadaan ini semakin teruk apabila haiwan seperti kucing atau anjing dan burung menghurung sampah itu dan seterusnya mengakibatkan plastik sampah terburai. Apabila terjadinya situasi begini, tiada siapa sanggup membersihkan isi sampah berkenaan.
Apabila perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini ditegur, mereka memberi seribu satu alasan antaranya, tempat pembuangan sampah jauh, atau pun, mereka hanya mahu meletakkan sampah sebentar di koridor itu kerana mahu keluar rumah kemudian.

Ada juga yang memberi alasan, apa guna membayar duit penyelenggaraan setiap bulan, jika tempat dijaga bersih oleh pemilik sendiri.

Terdapat juga keadaan di mana apabila penduduk bising kerana bau busuk dari rumah sampah berikutan kelewatan lori sampah mengutip sampah, sesetengah daripada mereka menyalahkan pihak pengurusan di atas kelewatan itu.

Alasan yang diberi mereka kebanyakannya adalah kurang munasabah dengan hanya menuding jari kepada orang lain. Jika tiada kesedaran untuk menjaga kebersihan dengan menjaga kawasan rumah sendiri, siapa lagi yang akan menjaga kawasan tersebut untuk kita?

RITA SYAMSURI,
Shah Alam

Ke mana penjaja "junk food" nak bawa diri !!


IZINKAN saya memberikan pandangan berhubung perkembangan terbaru di sekolah iaitu perihal larangan menjual makanan dan minuman ringan di kawasan sekolah. Tujuan larangan penjualan tersebut kepada murid sekolah adalah bagi mengelakkan obesiti.

Namun, apa yang ingin saya utarakan ialah implikasi kepada peniaga-peniaga kecil yang sekian lama bergantung sumber pendapatan melalui aktiviti menjaja di kawasan luar sekolah. Barangan yang dilarang adalah merupakan makanan ringan dan minuman berkarbonat yang mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Melarang kanak-kanak sekolah daripada membeli bahan jualan boleh dilaksanakan, tetapi melarang peniaga menjaja agak keterlaluan. Pastinya, ia memberi kesan kepada kaum Melayu yang sedang belajar berniaga kecil-kecilan. Sudah hebatkah kaum Melayu kita dalam perniagaan masa kini? Bayangkan sekiranya seluruh negara mempunyai penjaja kecil mencari makan di kawasan luar sekolah. Bukankah banyak jumlahnya?

Bagaimana pula dengan premis perniagaan di bawah pihak berkuasa tempatan yang kebetulan terletak di lokasi hadapan sekolah? Sejauh mana keberkesanan penguatkuasaan dapat dijalankan? Berapa banyakkah penjaja kecil yang berkecil hati dan terluka perasaan apabila petugas atau guru melakukan penguatkuasaan di premis berkaitan sewaktu diserbu kanak-kanak sekolah?

Saya adalah peniaga di salah sebuah pusat pelancongan di Kedah. Pengalaman saya beberapa kali berhadapan dengan 'keegoan' guru-guru petugas yang tanpa mempedulikan perasaan peniaga kecil memarahi murid-murid di bawah jagaannya kerana membeli barangan di premis saya.

Premis saya punyai lesen perniagaan yang sah. Namun, amalan ketegasan membuta tuli melalui penggunaan alat pembesar suara di tempat umum melarang kanak-kanak membeli dengan alasan menghindarkan keracunan, amat menghiris hati saya dan peniaga lain. Sedangkan terpampang pelabelan Jabatan Kesihatan yang secara berkala mengesahkan premis saya telah diperiksa dan selamat untuk dikunjungi.

Aktiviti rombongan dan riadah sekolah rendah ke lokasi perkelahan dan program motivasi jati diri merupakan 'kuasa membeli' kepada penjaja kecil. Justeru, ketegasan mengongkong peserta rombongan amat merugikan peniaga kecil.

Siapa lagi yang harus membantu penjaja kecil jika peluang untuk membantu dinyahkan melalui penguatkuasaan keterlaluan oleh ketua rombongan atau guru bertugas? Di sini dan ketika inilah kebijaksanaan amat diperlukan dalam mencegah kemudaratan peserta rombongan, dan pada masa sama membantu peniaga kecil dengan sumber yang ada.

Saya tidak memprotes langkah 'pengharaman' membeli. Saya cuma mengharapkan kaedah menguatkuasa dan melaksanakan langkah pencegahan biarlah berhemah. Tidak perlulah menggunakan pendekatan keterlaluan atas nama menjaga amanah ibu bapa. Berpesan-pesan secara diam dan berkesan. Tidak perlulah mengenakan hukuman ketuk ketampi kepada murid di hadapan pemilik premis kerana ia cukup menyayat hati penjaja kecil.

Saya juga tertanya-tanya bagaimana pula dengan kanak-kanak yang berdekad-dekad lamanya mengunjungi kedai-kedai runcit yang menjual barangan yang dilarang dijual di kawasan sekolah? Bagaimana pula dengan pusat-pusat membeli belah yang penuh kepelbagaian makanan segera?

Langkah menegah penjualan makanan dan minuman ringan di kawasan sekolah memang boleh dianggap proaktif. Tetapi fikirkanlah sama implikasinya kepada orang lain.

ZUL
Yan, Kedah.

Hukum simpanan di bank...


HAMPIR semua rakyat di Malaysia mempunyai akaun simpanan di bank. Akaun simpanan telah menjadi satu keperluan yang mesti dimiliki oleh semua lapisan masyarakat. Antara kelebihan membuat simpanan di bank ialah ia memberi keselamatan kepada wang yang dimiliki dan memudahkan urusan transaksi pemindahan wang, pembelian atau pembayaran yang melibatkan jumlah wang yang besar.

Simpanan di akaun bank juga dapat menggalakkan pelaburan dan aktiviti urusniaga apabila pihak bank boleh menggunakan deposit yang disimpan itu untuk tujuan kegiatan ekonomi. Ini seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memperbanyakkan lagi peluang-peluang pekerjaan dalam sektor yang pelbagai.

Untuk menarik minat para pelanggan meletakkan deposit mereka, pihak bank biasanya akan menawarkan hadiah, insentif atau manfaat tertentu. Di samping perkhidmatan yang cekap, pantas dan berkesan, pihak bank juga akan mempromosikan akaun simpanan di bank dengan pelbagai manfaat yang menarik seperti dividen, pakej pelancongan, wang tunai dan sebagainya.

Namun, kita sebagai pelanggan kepada bank perlu sedar bahawa manfaat-manfaat ini boleh menjurus kepada perkara yang haram sekiranya tidak dikendalikan mengikut Syariah.

Dalam dunia perbankan Islam, simpanan disebut sebagai wadiah. Konsep ini lazimnya diguna pakai di dalam aktiviti penyimpanan deposit, khidmat pemegang amanah dan peti simpanan deposit. Di antara produk yang popular ialah Wadiah Saving Account. Pelanggan atau pendeposit akan membuat simpanan ke dalam akaun ini yang berasaskan kontrak Wadi'ah.

Pendeposit akan bertindak sebagai Muwaddi' (orang yang mengamanahkan) dan bank akan dilantik sebagai Wadi' (orang yang diamanahkan). Pihak bank biasanya akan menggunakan duit yang disimpan oleh pendeposit-pendeposit dengan kebenaran mereka.

Bank akan menggunakannya untuk membuat pelaburan yang mempunyai risiko yang agak rendah (low risk investment) atau pihak bank akan menggunakannya untuk menyediakan pembiayaan kepada pelanggan-pelanggan yang memerlukan pembiayaan.

Oleh kerana bank telah menggunakan deposit pelanggan tersebut, maka bank perlu menjamin deposit tersebut. Ini bermakna, walaupun bank menggunakan duit tersebut, pelanggan tetap dapat mengeluarkan simpanannya pada bila-bila masa.

Bagi menghargai pihak pelanggan, bank akan memberikan hibah sekiranya pihak bank mendapat keuntungan. Namun, ia tidak boleh dijanji atau ditetapkan dalam kontrak kerana ia adalah riba. Hibah tersebut hanya boleh ditentukan mengikut budi bicara bank berdasarkan pertimbangan prestasi keuntungan.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (MPS) pada mesyuarat ke-35 bertarikh 22 Mei 2003 telah memutuskan bahawa amalan pemberian hibah oleh institusi perbankan Islam kepada pendeposit wadiah adalah dibenarkan.

Walau bagaimanapun, pemberian hibah tersebut tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai 'urf yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadiah.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMANdan AHMAD TERMIZI MOHAMED

Tahukah anda taktik perang Rasulullah????


SEBAGAI Ketua Tentera, baginda telah menyedari taktik untuk menyerbu dan menyerang tentera Islam yang seperti itu. Lalu baginda membalas serangan secara barisan yang berlapis-lapis.

Apabila barisan pertama bertempur dengan musuh yang datang menyerbu, barisan kedua tentera Islam pula menyerbu musuh yang sedang bertempur dengan barisan pertama itu. Ini diikuti dengan barisan ketiga akan membantu barisan pertama dan kedua untuk mengalahkan serangan pertama pihak musuh itu.

Begitulah taktik peperangan yang Nabi perkenalkan.

Sambil menyerang, tentera-tentera Islam akan melaung-laungkan "Amit! Amit!" (bunuh! bunuh!) dengan begitu bersemangat sekali untuk mengalahkan musuh.

Taktik seperti ini berjaya menggemparkan dan mengharu-birukan pihak musuh. Ramai anggota tentera musuh yang mati kerana tidak mampu mempertahankan diri daripada serangan tentera Islam yang datang berlapis-lapis dan bertubi-tubi itu. Akhirnya bendera atau panji Quraisy yang dibawa tidak sahaja bertukar tangan kerana setiap kali ia cuba dipertahankan maka setiap kali itu juga tentera Islam akan memanah si pemegang dengan tepat mahupun akan memenggal tangan sehingga putus. Sehinggalah bendera itu itu sendiri jatuh melayang menyembah bumi dan semakin ramailah juga tentera kafir Quraisy yang bertempiaran lari.

Abu Dujanah sendiri dengan serban merah yang sangat menggerunkan itu benar-benar menunaikan hak pedang yang dipinjamkan daripada Rasulullah itu.

Antara yang dilaungkan oleh Abu Dujanah yang turut menimbulkan gerun di hati semua orang; "Akulah orangnya yang dijanjikan kekasihku.

Tatkala kami di As Safah di rimbunan pohon kurma

Bahawa selamanya aku tidak akan berundur ke belakang

Aku melibas milik Allah dan Rasul akan sebilah tajamnya pedang!"

Abu Dujanah benar-benar mengkucar-kacirkan barisan tentera Musyrikin.

Malah jika bertemu buku dengan ruas, sama kuat dan sama gagah maka kepintaran lebih memberikannya peluang untuk mengalahkan musuh. Sekalipun perisainya dapat menahan serangan musuh, saat itu jugalah Abu Dujanah membalas sepantas kilat dia membunuh.

Abu Dujanah sentiasa mampu mara ke hadapan umpama musuh yang menjadi semak samun berjaya ditebas dan memberikan satu lorong baru untuk beliau lalui.

Sehinggalah Abu Dujanah sampai ke barisan musuh yang dianggotai oleh tentera perempuan.

Saat itu, Abu Dujanah tidak menyedari bahawa yang di hadapannya kini adalah seorang perempuan dan hampir-hampir sahaja beliau hendak terus menyerang dan sekali gus membunuhnya.

"Aku melihat seorang dari pihak musuh sedang mencakar-cakar dan mengherdik orang lain. Lalu aku pun menuju kepadanya untuk kutamatkan riwayatnya.

"Maka apabila aku telah mengangkat pedangku untuk menghabiskan riwayatnya, ia pun berpaling dan alangkah terkejutnya apabila mendapati bahawa dia adalah seorang wanita. Maka aku menghormati pedang Rasulullah ini agar tidak digunakan untuk menetak wanita," kata Abu Dujanah.

Abu Dujanah sebenarnya terserempak dengan Hindun itu sendiri dan sebagaimana yang diceritakan oleh Az Zubair bin Al Awwam pula; "Aku melihat Abu Dujanah telah mengangkat pedangnya untuk menetak ke leher Hindun binti Utbah, kemudian ditarik balik pedangnya, lalu aku berkata; Allah dan Rasulnya lebih mengetahui mengapa Abu Dujanah tidak jadi membunuhnya."

Rasulullah perangi bapa mentua di Perang Uhud..


DALAM mana-mana peperangan sebelum ini, Abu Dujanah sangat terkenal sebagai panglima perang yang begitu menggerunkan pihak musuh. Apabila beliau mula melilitkan serban merah di kepala semua orang tahu kerana ia menandakan dirinya siap bertempur sampai mati.

Maka ia terkenal dengan jolokan Ashabatul Hamra atau Ashabatul Maut bermakna Si Ikat Kepala Merah atau Ikat Kepala Maut!

Abu Dujanah seorang yang sangat berani. Laksana harimau keluar daripada semak belukar, beliau akan maju menyerang musuh dan membunuh siapa saja dari kaum musyrikin yang berani mendekatinya.

(Nama Abu Dujanah menjadi satu lambang perjuangan sehinggalah ia menjadi satu nama gelaran kepada seorang anggota kepimpinan Jemaah Islamiah (JI) Indonesia, Ainul Bahri, 43 yang dipercayai kini sedang menjalani tempoh penjara 15 tahun. Pada tahun 2008 dia di dapati bersalah terlibat dalam pelbagai kegiatan keganasan)

Dalam sebuah riwayat yang terkenal, selepas mendapat pedang daripada Rasulullah itu, Abu Dujanah pun berjalan dengan megahnya di tengahtengah barisan tentera. Kelihatan seperti seorang yang sombong atau meninggi diri sehingga baginda pun berkata; "Sesungguhnya gaya berjalan seperti itu dimurkai Allah kecuali di dalam suasana perang seperti ini."

Tetapi anda tahu bahawa Abu Dujanah benar-benar seorang pahlawan apabila dalam Perang Uhud itu entah berapa ramai musuh yang tumpas dan maut dek penangan libasan pedangnya.

Di pihak musyrikin Mekah yang diketuai oleh Abu Suffian bin Harb yang tidak kurang hebat mengatur strategi peperangan walaupun dengan jumlah 3,000 anggota tentera beliau sudah menempah kemenangan dengan mudah.

Namun tahukah anda bahawa pada masa ini Abu Suffian sebenarnya bukan orang lain kepada Rasulullah, bahkan merupakan bapa mertua atau dengan lain perkataan bahawa baginda merupakan menantu kepada Abu Suffian.

Ini apabila baginda mengahwini anak perempuan Abu Suffian, Ramlah atau lebih dikenali sebagai Ummu Habibah.

Namun demi menegakkan kebenaran dan kesucian Islam, baginda terpaksa juga bertempur dengan Abu Suffian.

Bukit Uhud kemudiannya menyaksikan kedua-dua belah pihak memulakan peperangan dengan perlawanan satu lawan satu pun bermula. Ini apabila pihak tentera-tentera musyrik mula mencabar pihak tentera Islam.

Ini dimulai oleh Thalhah bin Abi Thalhah al Abdari, salah seorang anggota pasukan berkuda Quraisy yang paling berani maju ke hadapan dan mencabar untuk berlawan dengan mana-mana pahlawan Islam.

Thalhah sememangnya pahlawan Quraisy yang digeruni kerana itu beliau sering digelar "Kambing Jantan Tentera Quraisy." Tetapi beliau langsung tidak diberi peluang untuk beraksi dan mempamerkan kehebatan apabila sahabat baginda, Az Zubair dengan tangkas melompat ke arah Thalhah dan menarik pahlawan Quraisy itu terus menyembam ke bumi dan dipancung lehernya oleh pahlawan Islam itu.

Menyaksikan kemenangan pertama itu, baginda pun bersama-sama tentera Islam yang lain terus bertakbir bagi menyemarakkan lagi semangat di saat terlalu lebar jurang antara jumlah tentera Islam dan tentera Quraisy itu; Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Kata Rasulullah dengan penuh semangat; "Setiap Nabi memiliki pengikut-pengikut yang setia (hawari) dan pengikut setiaku adalah Az Zubair!"

Pertempuran satu lawan satu ini berlarutan sehingga seramai 12 pahlawan Quraisy mati kesemuanya di tangan pahlawan-pahlawan Islam yang gagah perkasa terutamanya Ali bin Abi Talib, Hamzah bin Abdul Mutalib, Zubair bin Awwam, Saad bin Abi Waqas dan lain-lain lagi.

Sebagai ketua perang di pihak Quraisy, Abu Suffian sangat marah dan kecewa apabila satu demi satu pahlawannya tumbang dan beliau sendiri akhirnya melaungkan suara dengan kuat mengisytiharkan perang untuk menyerang tentera Islam.

Kesemua anggota tenteranya serta merta bangkit dengan begitu bersemangat dan terus menyerbu tentera Islam.

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Tuesday, April 26, 2011

Berkumpul untuk hisap darah !!!


KETIKA beratus-ratus orang berkumpul di sekeliling khemah di atas sebuah padang, orang ramai yang lalu-lalang menganggap mereka sedang menunggu konsert rock bermula.

Tetapi sebenarnya, mereka bukan berkumpul untuk menyaksikan konsert atau ada upacara keagamaan. Mereka merupakan ahli kumpulan puntianak yang mengadakan pertemuan bagi menghisap darah antara satu sama lain.

Agak memeranjat kerana terdapat kira-kira 3,000 orang di United Kingdom yang secara rasmi menjadi pergerakan bawah tanah kumpulan puntianak ini.

Setiap bulan mereka akan berkumpul untuk upacara minum darah - secara terus dari badan masing-masing.

Seorang jurutera pusat panggilan, Pyretta Blaze, 24, mendedahkan, setiap bulan mereka akan mengadakan pertemuan yang diselia oleh Ketua Puntianak dikenali sebagai Elders.

Pyretta berkata, pertemuan setiap bulan itu memang sesuatu yang dinanti-nantikan supaya dia boleh minum darah dan memenuhi dahaganya selama sebulan.

"Ia satu pengalaman yang berbeza di mana saya rasa seperti dilahirkan semula dan begitu bertenaga," katanya.

Pyretta mendakwa mereka yang menyertai perhimpunan pelik itu diberikan ujian psikologi oleh Elders, yang akan mengawasi kesihatan mental para puntianak separuh masa itu.

"Hidup sebagai puntianak memerlukan komitmen yang serius. Elders perlu tahu bahawa mereka yang datang ke perjumpaan itu bukan golongan yang obses dengan filem.

"Kami semua amat serius dengan cara hidup kami dan ritual yang kami libatkan diri ini. Menjadi puntianak memerlukan komitmen seumur hidup," jelasnya.

Menurutnya, ramai daripada mereka pergi ke perjumpaan puntianak bersama teman yang komited dan hanya akan minum darah. Ada juga yang datang bersendirian.

Malah Pyretta sendiri mempunyai teman wanita yang dia benarkan meminum darahnya ketika parti tersebut.

"Saya seronok benarkan dia menghisap darah saya dan dia juga suka. Ia adalah selamat sebab setiap orang yang hadir perlu menjalani ujian kesihatan termasuk hepatitis dan HIV.

"Terdapat juga doktor dan jururawat pada setiap pertemuan yang merupakan sebahagian daripada cara hidup puntianak," katanya.

Pada pertemuan yang diadakan pada musim panas itu, khemah didirikan di ladang milik persendirian.

Terdapat dua khemah. Satu dikenali sebagai khemah pembersihan, di mana peralatan yang akan digunakan untuk mengeluarkan darah seperti pisau, pisau cukur dan benda-benda tajam akan disteril.

Satu lagi ialah khemah jamuan. Tempat mereka menikmati darah rakan-rakan yang hadir.

Pada musim sejuk pula, pertemuan itu akan diadakan di dalam rumah.

Menurut Pyretta, agak mengejutkan kerana terdapat golongan atasan di Britain yang turut terlibat dalam kehidupan sebagai puntianak itu.

"Setiap majlis adalah majlis peribadi di mana kami selamat untuk meluahkan kehidupan kami sebagai puntianak.

"Jika seseorang yang hadir itu tidak mempunyai teman, terdapat satu lagi khemah di mana Elders akan memperkenalkan rakan untuk menghisap darah kepada satu sama lain," ujar Pyretta.

Elders yang akan memakai topeng supaya identitinya tidak terdedah akan memberikan tunjuk ajar tentang di mana dan bagaimana untuk mengeluarkan darah dengan selamat.

Pyretta yang berasal dari Swansea berkata, biasanya dia akan menghidap darah rakannya dari bahagian leher, dada, bahu, tangan atau kaki.

"Saya akan masukkan taring tajam untuk menghisap darah dari teman saya. Ia membuatkan saya rasa seperti puntianak yang sebenar.

"Elders akan mengajar kami bagaimana untuk memotong kulit agar tidak tinggalkan parut dan kami diajar bagaimana menghisap tanpa menyebabkan kerosakan pada kulit.

"Barang siapa yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan akan disingkirkan seumur hidup," katanya. - The Sun UK.

Kejam !! Kes di HKL: Kereta OKU pun korang clamp !!


ISU kemudahan Khas Untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) bukanlah isu baru.

Dalam usaha untuk mendidik masyarakat tentang kemudahan bagi OKU, kita acap kali mendengar dan melihat melalui media massa, aktiviti-aktiviti kerajaan malah NGO juga mengenai perlunya kita menyediakan kemudahan-kemudahan utama seperti pengangkutan awam, tandas, tempat letak kereta dan lain-lain lagi.

Matlamatnya agar golongan ini diberi perhatian serta membuat mereka berasa dihargai, dihormati dan meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih prihatin kepada isu-isu berkaitan golongan tersebut.

Ini kerana dari masa ke masa, bilangan OKU makin meningkat.

Peristiwa yang telah saya alami pada 21 April 2011 di Hospital Besar Kuala Lumpur baru-baru ini adalah corat-coret tentang kurangnya kesedaran masyarakat terhadap golongan OKU.

Saya telah mengalami kecederaan patah tulang kaki dan memerlukan tongkat untuk bergerak.

Kesan daripada kemalangan itu, saya telah diberikan MC selama hampir setahun.

Saya cuma mengharapkan bantuan Perkeso untuk menyara kehidupan saya. Saya perlu membuat rawatan susulan di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Oleh kerana tempat letak kenderaan di hospital yang sudah penuh, saya terpaksa berlegar-legar bagi mencari tempat letak kereta.

Akhirnya saya menjumpai satu tempat kosong untuk OKU dan saya mengambil keputusan untuk parkir di situ walaupun lokasi tersebut agak jauh dari tempat rawatan yang perlu saya kunjungi.

Setelah selesai rawatan, saya mendapati tayar kereta saya telah dikunci. Apabila menghubungi Pengurusan Parking, saya telah diminta untuk menjelaskan bayaran clamping sebanyak RM50 untuk membuka kunci kerana saya tidak mempunyai pelekat OKU.

Ironinya, tempat parkir tersebut cuma terdapat papan tanda OKU sahaja, tidak pula mengatakan perlu mempunyai pelekat.

Apabila saya katakan bahawa kaki saya patah, salah seorang pekerjanya dengan nada bersahaja mengatakan kaki saya nampak elok.

Acap kali sebelum ini, saya pernah meletakkan kenderaan ditempat yang sama.

Malah, anggota Polis Bantuan yang bertugas membenarkan saya meletakkan kenderaan saya di situ tanpa banyak soal.

Jangan kerana ingin mengejar keuntungan maka kes-kes seperti saya diumpamakan seperti melepaskan batuk di tangga bagi mencapai matlamat pengurusan untuk meningkatkan keuntungan syarikat.

PATAH HATI Kuala Lumpur

Lihatlah betapa kasihnya para sahabat kepada Rasulullah...


ABU Ayyub Al-Ansari atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib berasal (berketurunan) daripada Bani An-Najjar.

Beliau mendapat penghormatan Rasulullah SAW apabila baginda mendiami rumah beliau selepas baginda memasuki Madinah, berhijrah dari Mekah.

Ketika Rasulullah SAW memasuki Madinah, setiap orang daripada kalangan kaum Ansar bercita-cita (berkeinginan) supaya Rasulullah SAW turun daripada unta baginda dan berhenti di rumah mereka.

Mereka menghalang perjalanan unta Nabi SAW secara silih berganti supaya unta baginda menghala ke rumah mereka, kemudian Nabi bersabda kepada mereka: "Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan." Lalu unta tersebut terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub al-Ansari r.a.

Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut, lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah SAW, menyambut kedatangan baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa amat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi SAW seolah-olah beliau membawa khazanah yang begitu bernilai, kemudian terus masuk ke rumahnya.

Rumah Abu Ayyub r.a terdiri daripada dua tingkat. Nabi SAW memilih tingkat bawah supaya baginda boleh berjumpa para sahabat di mana mereka dapat masuk dan keluar dengan mudah. Tetapi keadaan tersebut menyebabkan Abu Ayyub tidak dapat tidur di tingkat atas, malah beliau tidak dapat tidur sedikit pun pada malam tersebut sehingga menjelang waktu pagi.

Lalu beliau datang berjumpa Rasulullah SAW dan mengadu kepada baginda mengenai keadaan tersebut, kemudian beliau meminta agar baginda berpindah ke tingkat atas.

Pada masa itu juga muka baginda kelihatan ceria, lantas baginda berkata: "Janganlah kamu menyusahkan diri kamu, wahai Abu Ayyub. Sesungguhnya kami lebih sesuai berada di tingkat bawah kerana ramai orang datang berjumpa kami."

Lalu Abu Ayyub mengisahkan peristiwa tersebut: "Aku melaksanakan perintah Rasulullah SAW tersebut sehinggalah berlaku pada suatu malam yang sangat sejuk, kendi kami pecah menyebabkan airnya tumpah ke atas lantai di tingkat atas.

Lalu aku dan Ummu Ayyub (isteriku) terus bergegas ke tempat air yang tumpah tersebut sedangkan pada masa tersebut kami tidak memiliki apa-apa kecuali sehelai kain baldu yang kami jadikan sebagai selimut.

Kami menggunakan kain tersebut untuk mengelap air yang tumpah kerana bimbang air tersebut menitis ke tingkat bawah tempat Rasulullah SAW berada. Pada keesokan paginya aku berjumpa Rasulullah SAW, kemudian aku berkata: Demi bapaku, kamu dan ibuku! Aku tidak suka berada di atas kamu sedangkan kamu berada di bawahku. Setelah itu aku ceritakan berita mengenai kendi tersebut.

Lalu baginda menerima permintaan aku dan baginda bersetuju untuk naik ke tingkat atas, manakala aku dan Ummu Ayyub pula turun ke tingkat bawah."

Rasulullah SAW menetap di rumah Abu Ayyub selama lebih kurang tujuh bulan sehinggalah masjid baginda dibina, dilengkapi dengan bilik-bilik yang terdapat di sekeliling masjid yang kemudiannya baginda berpindah ke sana.

Abu Ayyub adalah seorang yang berhati lembut, terlalu sayang kepada Rasulullah SAW, sangat pemurah, suka memberi makan kepada orang lain dan beliau memiliki sebatang pokok kurma di mana beliau mengusahakannya untuk menampung kehidupannya dan keluarganya.

Selain itu, Abu Ayyub juga merupakan salah seorang pahlawan perang. Beliau menyertai kesemua peperangan yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, begitu juga dengan peperangan yang berlaku pada zaman pembukaan kawasan Islam, semuanya beliau sertai kecuali berlakunya beberapa peperangan dalam satu masa.

Abu Ayyub r.a tidak pernah ketinggalan turut serta dalam peperangan yang diikuti oleh umat Islam semenjak zaman Nabi SAW sehinggalah ke zaman Muawiyah.

Pada zaman pemerintahan Muawiyah, Muawiyah telah menghantar sepasukan tentera untuk membuka kota Constantinople di bawah pimpinan anaknya, Yazid.

Pada masa tersebut Abu Ayyub merupakan seorang yang telah tua. Umurnya menjangkau 80 tahun. Walau bagaimanapun, beliau tetap keluar bersama-sama dengan pasukan tentera dan menaiki pengangkutan laut.

Dalam pelayaran itu beliau jatuh sakit. Pada masa panglima tentera mengunjungi beliau, panglima bertanya kepadanya: "Wahai Abu Ayyub! Adakah kamu ingin meminta sesuatu?" Lantas beliau meminta daripada panglima supaya tentera mengusung beliau sekiranya beliau meninggal dunia, kemudian mengkebumikan beliau di bumi musuh - mengkebumikan beliau di pagar sempadan Constantinople. Ternyata beliau meninggal dunia pada masa tersebut.

Setelah peristiwa tersebut, tentera Islam berusaha menyerang musuh sedikit demi sedikit sehinggalah mereka berjaya sampai ke sempadan Constantinople dalam keadaan mereka mengusung jenazah Abu Ayyub bersama-sama mereka dan di sana mereka menggali sebuah kubur untuk Abu Ayyub, kemudian mengkebumikan beliau di pagar sempadan kota tersebut...

Monday, April 25, 2011

Kanak-kanak sekarang kurang aktiviti fizikal..Sebab tu la gemuk !!!


MASALAH obesiti di kalangan murid sekolah rendah yang dilihat membimbangkan tidak seharusnya dilihat dari perspektif pemakanan semata-mata.

Ketika saya masih bersekolah pada tahun 80an, nasi lemak, mi kari dan makanan rapu telah wujud di sekolah-sekolah. Malah mesin vending air berkabonat berharga 50 sen secawan turut tersedia.

Guru besar mengingatkan murid-murid supaya jangan membeli makanan rapu yang dijual oleh penjaja di luar pagar sekolah hanya berdasarkan fakta bahawa ia tidak berkhasiat. Pada zaman itu, fakta nutrisi juga belum diwajibkan pada paket-paket makanan rapu.

Menakjubkan apabila dalam 40 murid dalam sesebuah kelas ketika itu, hanya dua atau tiga dikira 'gemuk'.

Punca masalah obesiti kanak-kanak hari ini hakikatnya banyak berpunca dari kekurangan aktiviti fizikal kanak-kanak itu sendiri.

Jika dilihat pada fenomena ini, anak-anak di bandarlah yang berkemungkinan hidup sebagai orang gemuk di masa depan.

Jika di kampung-kampung, mereka ini mungkin masih berpeluang bermain di petang hari di kawasan lapang. Tetapi hakikatnya trend menghadap TV turut tersebar ke merata ceruk negara.

Malah trend menghadap komputer untuk berinternet dan bermain permainan turut melanda bandar-bandar dan kampung-kampung.

Di bandar-bandar, terutamanya di rumah-rumah pangsa, tempat untuk kanak-kanak peringkat sekolah rendah untuk bermain dan berlari bagaikan tiada.

Dahulu, di taman perumahan saya, kami mampu mewujudkan beberapa pasukan bola sepak berdasarkan kelompok geng dan konsisten bermain bola sepak setiap petang.

Hari ini, mana perginya kanak-kanak seperti kami dahulu di waktu petang atau di waktu pagi di hari cuti?

Sama ada prasarana atau kawasan lapang untuk mereka beriadah tidak ada, mereka juga mungkin lebih cenderung bermain 'play station', menonton DVD dan paling merunsingkan ibu bapa, aktiviti anak-anak mereka yang bertandang berjam-jam di kafe-kafe siber dalam hiruk pikuk yang tertutup kerana ketagihan permainan komputer.

Kafe-kafe siber menjadi 'padang permainan' kanak-kanak hari ini untuk bertemu dan beradu kehandalan menekan papan kekunci dan tetikus.

Maka tidak adil jika hanya corak pemakanan disalahkan kerana hakikatnya kanak-kanak sekolah rendah hari ini, hidup mereka jarang dibasahi peluh setiap petang seperti kanak-kanak 20 tahun lalu.

SYAMSYUL FADZLI MATPutrajaya

Bahan minuman plastik ancam kehidupan..


MANUSIA mempunyai set hormon yang dikenal pasti berbeza dengan jantina berlainan. Setiap manusia yang dilahirkan ditetapkan dengan sempurna sel dalam setiap tubuh badan seorang manusia agar dapat berfungsi dengan baik.

Sedikit perubahan kepada sel organ manusia kesan daripada terdedah kepada sinaran berbahaya radioaktif atau pengambilan ubat-ubatan kimia boleh membawa kepada ancaman kecacatan fizikal serta penyakit kritikal seperti kanser.

Baru-baru ini masyarakat didedahkan dengan bahaya molekul kimia di dalam bekas minuman plastik seperti botol susu bayi yang digunakan dalam pembuatan bekas minuman itu untuk menjadikannya kuat dan tidak mudah rapuh.
Saintis percaya dengan penyelidikan bertahun-tahun yang dijalankan demi menjaga alam sekitar secara gobal, ada dua jenis bahan yang terkandung dalam bekas minuman plastik yang mampu memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia, bahkan juga mampu menukarkan hormon di dalam badan manusia iaitu Bisphenol A (BPA) dan Nonyphenol.

Hal ini lebih memburukkan keadaan apabila kajian juga mendapati dua bahan kimia ini iaitu BPA dan Nonyphenol adalah berisiko tinggi terhadap golongan lelaki kerana ia boleh menukarkan ciri lelaki kepada ciri wanita.

Hal ini diperjelaskan oleh Profesor Madya Mohamad Pauzi Zakaria dari Jabatan Sains Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

Kenyatan ini lagi menyebut perubahan ke atas hormon terjadi disebabkan struktur molekul BPA dan Nonyphenol yang hampir menyerupai hormon yang ada dalam tubuh manusia. Hal ini sekali gus berupaya menukarkan ciri-ciri kelakian seseorang individu kepada ciri-ciri kewanitaan secara tidak langsung disebabkan dua bahan kimia ini yang mampu menghapuskan hormon manusia sedia ada.
Sebagai contoh yang boleh dilihat, jika seorang ibu menyusukan anak lelakinya yang sebelum itu meminum bahan yang mengandungi BPA dan Nonyphenol, bahan ini seterusnya akan berpindah ke dalam tubuh anak lelakinya dan mengancam tumbesarannya kepada ciri kewanitaan apabila dewasa kelak.

Ini dibuktikan dengan kajian demi kajian seperti perubahan seekor buaya jantan yang terdedah kepada kedua-dua bahan itu akibat pembuangan plastik di tasik berkenaan yang bertukar secara perlahan menjadi buaya betina dalam kajian di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, ada banyak faktor lain seperti pelbagai pencemaran air yang berupaya membawa ancaman kesihatan kepada manusia.

Oleh itu, kepentingan air terhadap organisma hidup tidak mampu disangkal lagi. Rawatan terperinci secara berperingkat ke atas air perlu giat dijalankan agar air yang disalurkan tulen dan berkhasiat kepada masyarakat.

Masyarakat juga perlu didedahkan kepada penghargaan terhadap alam sekitar agar lebih memelihara khazanah semula jadi yang tiada nilainya dan mampu memberi yang terbaik kepada generasi hadapan.

Perubahan gaya hidup yang lebih berasaskan kesihatan perlulah dititikberatkan agar mampu menjamin kesihatan dan kesejahteraan sekeluarga.

AZIERAH HANI ISMAIL,
Universiti Utara Malaysia
Sintok, Kedah

Saturday, April 23, 2011

Makan hati diabai isteri berpangkat !!!!


APABila difikir dan dikenang, benar juga kata pepatah, enggang dan pipit masakan dapat terbang bersama.

Dulu, semasa bercinta semua itu tidak diambil kira sebab sudah terlalu suka dan sayang. Kini setelah hidup bersama segala yang baik dulu mula menampakkan negatifnya.

Ketika ini apa lagi yang harus dilakukan, bertahan atau membuat keputusan untuk berpisah?

Begitu persoalan yang bermain di fikiran lelaki ini, yang menamakan dirinya sebagai Roy (bukan nama sebenar), berusia lewat 20-an.

Perkahwinan Roy dengan Ima (bukan nama sebenar) yang lima tahun lebih tua, mula menampakkan masalah setelah tiga tahun hidup bersama. Mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Saya bertemu Roy atas permintaannya kerana dia mahu meluahkan segala yang terbuku di hati secara berdepan. Pertemuan di sebuah kafe di Shah Alam membuatkan saya kagum ketelusan lelaki ini dalam mempertahankan rumah tangganya.

Sayangnya, kata Roy, hanya dia yang berusaha ke arah itu tetapi isterinya hanya seperti melepas batuk di tangga. Kita ikuti apa cerita Roy seterusnya.

"Saya tidak berpangkat besar, hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Isteri berkelulusan tinggi dari luar negara. Dia pegawai tinggi di sebuah agensi pemasaran yang popular.

"Kami berkenalan dalam satu majlis. Kemudian berterusan di tempat kerja kerana syarikat tempat saya bekerja dan syarikat yang dia terajui mempunyai urusan bisnes yang agak besar.

"Tiga bulan berkawan, saya mula jatuh hati kepada Ima begitu juga dengan dia. Kami selalu keluar bersama dan Ima juga selalu meminta tolong saya jika dia ada masalah.

"Kemesraan itu berputik menjadi cinta dan akhirnya kami mengaku saling cinta mencintai dan tidak boleh berpisah lagi. Saya kemudian melamar Ima walaupun tahu kedudukan saya dan dia bagaikan pipit dengan enggang.

"Kata Ima dia tidak pandang itu semua asalkan saya sayang dan boleh menjaga dan membimbingnya apabila kami telah menjadi suami isteri.

"Keluarga saya mulanya menentang begitu juga keluarga Ima. Ima sudah tidak mempunyai ibu bapa kecuali seorang adik lelaki dan kakak yang telah mempunyai keluarga sendiri.

"Tahun pertama rumah tangga kami aman bahagia. Saya dinaikkan pangkat sebagai eksekutif hasil usaha saya untuk mencapai kejayaan agar tidak dikatakan menumpang kedudukan Ima.

"Begitu juga dengan Ima, rezekinya melimpah ruah selepas kami bernikah. Di sebalik kejayaan itu, Ima sering pula ke luar negara meninggalkan saya seorang diri. Ada masa sampai sebulan dua dia ke luar negara.

"Pada mulanya saya boleh tahan tetapi lama-kelamaan saya mula bosan kerana selalu ditinggalkan isteri. Selain bekerja di luar negara, Ima juga selalu bercuti dengan kawan-kawannya. Hujung minggu pula dia selalu tidak ada di rumah, aktiviti sosial pula katanya.

"Begitulah hidup saya sebagai suami. Sunyi sama seperti hidup semasa bujang. Namun sebagai suami saya juga selalu menegur dan menasihatinya supaya memberi ruang juga kepada rumah tangga kami.

"Apabila ditegur, dia melenting dan mengatakan saya mengongkong hidupnya. Ini bukan soal mengongkong tetapi tanggungjawab sebagai isteri terhadap rumah tangga. Saya juga teringin mengisi masa bersama isteri sama seperti pasangan suami isteri lain.

"Paling saya tidak tahan, sekarang Ima mula mengungkit tentang perkahwinan kami. Katanya kalau dia tidak terima saya, entah apa jadi dengan saya sekarang.

"Begitu juga dengan kemewahan yang saya kecapi sekarang, katanya semua kerana dia.

"Pada hal saya berusaha sendiri untuk berjaya seperti yang saya ada sekarang selepas kami berkahwin sebab saya tahu suatu hari nanti dia akan mengungkit. Sekarang perkara itu sudah menjadi kenyataan.

"Saya geram dengan sikapnya. Di rumah saya dilayan macam kawan-kawan. Makan minum, pakaian semuanya saya buat sendiri. Ibu bapa dan keluarga mula memulang paku buah keras kepada saya, itulah hendak sangat wanita berkerjaya yang hebat.

"Saya berharap rumah tangga saya dengan Ima masih boleh diselamatkan. Cinta saya kepadanya tidak pernah padam. Saya akui sebagai suami saya mungkin gagal membimbing Ima menjadi isteri yang baik tetapi tu tidak bermakna saya telah kecewa.

"Saya akan berusaha memulihkan hubungan kami. Pada saya ia bukan perkara mustahil sebab saya tahu Ima jadi begitu sebab terpengaruh dengan kawan-kawan. Saya akan berusaha memujuk dan menasihatinya supaya ingat janji kami dulu.

"Saya berdoa agar suatu hari nanti Ima akan sedar kesilapannya dan kembali ke pangkal jalan. Saya yakin dia boleh menjadi seorang isteri yang baik," kata Roy menutup cerita.

Itulah luahan hati seorang suami yang tercalar dek sikap isteri yang terlalu mementingkan kerjaya dan melupakan suami.

Saya beritahu Roy masih ada ruang untuk memulihkan keadaan. Cadangan saya, ajak Ima bercuti, pilihlah destinasi yang boleh membantu mengembalikan kenangan manis seperti zaman anda berdua bercinta dulu.

Kata orang, sekeras-keras kerak nasi, apabila dicurah air, akan lembut juga. Saya mendoakan rumah tangga Roy dan Ima akan kembali bahagia. Semoga segala urusan ke arah itu akan dipermudahkan Allah SWT.

Pesanan saya kepadanya, semalam adalah mimpi yang telah berlalu, esok adalah impian yang indah sementara hari ini adalah satu kenyataan. Salam.

Guru kaunseling sesuai pantau Projek Kantin Sekolah Sihat elak pelajar gemuk ...


SAYA ingin memberikan pendapat berhubung isu obesiti dan kesihatan pemakanan di kalangan pelajar. Kita sedia maklum, 'Projek Kantin Sekolah Sihat' yang diwujudkan Pusat Maklumat Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mempromosi pemakanan sihat di kalangan pelajar sekolah dilihat sebagai usaha yang bijak.

Projek itu bagi mencegah peningkatan pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, kardiovaskular dan hipertensi apabila mencapai usia dewasa. Seperti kita sedia maklum, perkara ini ditimbulkan berikutan perkhidmatan kantin yang tidak menekankan aspek kesihatan dalam penyediaan dan penjualan makanan kepada pelajar.

Berikutan itu, beberapa cadangan dikemukakan ibu bapa dan cendekiawan yang boleh diguna pakai oleh pihak berkaitan bagi menangani isu ini seperti mewujudkan pemantauan kesihatan oleh pihak berkaitan di sekolah.
Berkenaan cadangan menempatkan pegawai pemakanan di sekolah seperti diamalkan Jepun, ia dilihat sebagai usaha yang baik, namun pelaksanaan idea itu kurang praktikal di Malaysia.

Oleh itu, saya mencadangkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan bekerjasama bagi merealisasikan Projek Kantin Sekolah Sihat bagi menempatkan guru kaunseling sebagai pegawai pemantauan kesihatan di sekolah berbanding meletakkan pegawai yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan.

Ramai graduan yang mengikuti kursus pendidikan bimbingan dan kaunseling yang belum ditempatkan di sekolah dan juga terdapat lebihan guru kaunseling di sesetengah sekolah.

Dengan menempatkan guru kaunseling di sekolah sebagai pegawai pemantau kesihatan pelajar dan penasihat penyediaan pemakanan kantin sekolah, perkara ini sedikit sebanyak membantu projek terbabit dan boleh mengatasi lebihan graduan yang dikeluarkan setiap tahun dalam bidang berkaitan.
Sebagai permulaan, kaunselor yang mempelajari pendidikan kesihatan sebagai subjek minor di institusi pengajian tinggi boleh dilantik sebagai pegawai pendidikan kesihatan untuk merealisasikan cadangan ini dalam masa terdekat.

Guru kaunseling ialah penghubung antara pelajar, sekolah dan ibu bapa, mereka juga calon yang amat sesuai untuk memikul tanggungjawab ini.

Selain itu, Pusat Maklumat Pemakanan di bawah Kementerian Kesihatan boleh berhubung dengan pegawai terbabit bagi menjalankan kajian yang lebih bersifat saintifik.

MOHAMAD REEDUAN MUSTAPHA,
Ajil, Terengganu

Bandar Baru Selayang lubuk jenayah !!


MENAKUTKAN. Itu yang dapat digambarkan dengan jenayah yang semakin berleluasa terutama di kawasan perumahan berhampiran stadium Majlis Perbandaran Selayang. Saya sudah tinggal di sini lebih 10 tahun dan banyak kejadian jenayah seperti pecah rumah, samun, ragut berlaku di kawasan perumahan terbabit.

Rumah saya dua kali dipecah masuk dan banyak barang berharga lesap. Kereta yang diletakkan di luar rumah turut menjadi mangsa apabila penjenayah memecahkannya dan mengambil peralatan berharga. Pernah suatu petang ketika duduk di luar rumah, seorang wanita diragut depan mata saya. Peragut berjaya melarikan diri.
Baru-baru ini, kediaman jiran dipecah masuk pada waktu siang. Ironinya tiada siapa menyedari kejadian itu. Pada malam pula seorang lagi jiran hampir disamun selepas keluar dari kereta untuk membuka pintu pagar rumah.
Dua lelaki bermotosikal menghampirinya dan mengacukan pistol mainan sementara seorang lagi cuba melarikan keretanya. Mangsa bernasib baik kerana jeritannya didengari penduduk menyebabkan penjenayah melarikan diri.

Abang saya pernah menangkap pencuri yang cuba melarikan bateri kereta di laman rumah. Terbaru, kediaman jiran di hadapan rumah saya disamun empat lelaki dipercayai warga asing yang bersenjatakan parang. Dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang keselamatan keluarganya.

Keadaan ini membimbangkan penduduk di Bandar Baru Selayang. Apa yang mengecewakan, jarang saya lihat kereta polis melakukan rondaan di kawasan ini sehingga ada ura-ura penduduk terpaksa menubuhkan Rukun Tetangga untuk menghalang jenayah berleluasa.

Mohon polis lebih kerap melakukan rondaan khususnya di kawasan perumahan Bandar Baru Selayang jenayah yang berlaku amat membimbangkan penduduk. Kami berasa tidak selamat lagi.
MUHAMMAD HARIZ,
Bandar Baru Selayang

Friday, April 22, 2011

Sebuah kisah benar mak nyah berumur 52 tahun !! Dari normal jadi mak nyah...


JIKA setakat wajah, susuk tubuh dan penampilan pada hari wawancara ini dibuat, insan ini mungkin tidaklah seperti yang dikatakannya.

Kalau ada pun mungkin sedikit getar serta lenggok suaranya senada pengakuan yang dibuat.

Tanpa segan, tanpa silu, Roslan Hamzah, 52, atau lebih senang dikenali sebagai Atuk membuat pengakuan dia adalah seorang mak nyah.

"Sekarang pun masih mak nyah walaupun fizikal Atuk sudah berubah," katanya kepada penulis dalam satu wawancara yang tidak dirancang. Penulis ketika itu membuat liputan satu persidangan mengenai epidemik HIV dan Atuk adalah seorang daripada peserta persidangan tersebut.

Berasal dari Kajang, Selangor Atuk berkata, dia dilahirkan normal sebagai seorang lelaki, yang aktif bersukan hingga pernah mewakili sekolah di peringkat negeri Melaka dalam acara lari pecut.

Cuma apabila prestasinya merosot kata-kata yang tidak enak mula singgah di cuping telinganya.

"Roslan mengapa awak berlari macam pondan! Roslan awak dah berlari macam pondan!" Menurut Atuk kata-kata yang merentap perasaannya itu dihamburkan oleh gurunya ketika dia di bangku sekolah rendah di Melaka.

"Siapa yang melihat realiti diri Atuk? Guru Atuk sendiri," katanya dan menambah bahawa ketika itu dia tinggal bersama ayah dan emak tiri.

Atuk berkata hidupnya mula tertekan apabila menjadi bahan ejekan pelajar dan menjadi mangsa serangan seksual ketika dalam tingkatan satu.

"Penyerang" Atuk boleh diibaratkan menepati pepatah Melayu harapkan pagar, pagar makan padi kerana dia bekerja dengan ayah Atuk seorang pegawai tentera.

Lelaki itu ditugaskan untuk mengambil anak tentera pulang dari sekolah.

"Atuk ada latihan sukan hari itu dan bila selesai, budak yang lain semua dah balik. Pemandu trak itu mengugut akan meninggalkan Atuk dalam ladang getah jika Atuk tak ikut kehendaknya.

"Dia adalah lelaki pertama yang merosakkan Atuk dan memperkenalkan Atuk dengan seks," ceritanya lagi.

Atuk tidak berdiam diri, sebaliknya menceritakan kisah hitam itu kepada ayah hingga membawa kepada bertukar sekolah dan tinggal di Petaling Jaya bersama emak.

Cuma Atuk tidak dapat bertahan lama di sekolah baru kerana diejek berikutan penampilan lembut hingga tiada kawan lelaki sebaliknya budak perempuan.

"Atuk menjadi semakin tertekan. Macam mana nak belajar kalau setiap hari diejek.

"Lagi pun Atuk terpaksa berpindah dan dipisahkan dari ayah dan emak tiri Atuk. Setiap kali bertengkar dengan emak Atuk akan minta dipulangkan kepada emak tiri.

Mangsa keadaan?

Dalam usia yang boleh dikatakan masih mentah ternyata Atuk melalui pelbagai tekanan. Bukan sahaja dibelenggu isu dengan keluarga dan isu diejek di sekolah, nalurinya terhadap lelaki turut melonjak terutama selepas menjadi mangsa serangan seksual.

Jalan penyelesaiannya? Lari dari rumah. Itulah yang Atuk lakukan. Bergelandangan di sekitar kawasan yang menjadi tempat tumpuan remaja.

Atuk juga mengaku melakukan aksi seksual dengan kawan-kawan yang bergelandangan.

"Kadang kala secara suka sama suka dan ada juga yang dipaksa," demikian pengakuan Atuk kepada Bernama.

Menurut Atuk, emak kandung ada mencarinya tetapi pertemuan mereka sering berakhir dengan pertengkaran.

Atuk juga berkenalan dengan seorang perempuan Melayu yang bekerja di bar di kawasan dia melepak.

"Umur Atuk masa itu sekitar 15 tahun. Atuk kenal satu perempuan di Petaling Jaya. Dia tengok Atuk lembut dan bawa Atuk balik ke rumahnya.

"Perempuan itu bagi Atuk duit, ajar Atuk ambil hormon dan Atuk mula simpan rambut panjang. Dia juga ajak atuk kerja di bar di mana dia bekerja. Atuk berpakaian seperti seorang wanita.

"Masa itu ayah sudah meninggal dunia dan hubungan Atuk dengan emak kandung terputus langsung. Memang emak ada cari tetapi Atuk pilih jalan hidup sendiri.

"Prinsip Atuk di mana ada kebahagiaan di situ Atuk cari. Usia Atuk masa tu masih muda, bila dapat kerja di pub itu satu kebahagiaa. Atuk juga mula mengenali Lorong Haji Taib," Atuk menyambung kisahnya.

Semakin tersasar

Melalui seorang mak nyah yang kerap berkunjung ke bar, Atuk mula berjinak-jinak menyusuri kelam Lorong Haji Taib, lorong yang tersohor dengan kegiatan memperdagangkan tubuh.

"Pergi sekali Atuk rasa seronok. Mengapa? Atuk dijaga dengan baik. Masa itu Atuk tak terfikir langsung dipergunakan dan mak nyah itu ialah ibu ayam," demikian pengakuan Atuk.

Bukan sahaja memperdagangkan diri, Atuk juga terjebak dengan penggunaan dadah.

Bisnes memperdagangkan tubuhnya bukan sahaja di sekitar Kuala Lumpur tetapi kemudian menjalar merentas Tambak Johor ke pulau republik Singapura.

"Ramai pelanggan, nak sikat rambut pun tak sempat. Terlampau banyak sangat duit, sampai komot simpan bawah kain. Balik ke Kuala Lumpur gosok dengan seterika.

"Satu malam boleh dapat antara 30 hingga 40 pelanggan terutamanya hujung minggu. Satu pelanggan boleh dapat 50 dolar," kata Atuk dengan berkata dia terjebak dalam lembah pelacuran selama hampir 20 tahun.— BERNAMA

Tingkatkan perkhidmatan kesihatan mental masyarakat..


SATU perkara yang merunsingkan kita semua apabila dianggarkan ramai penduduk di negara ini akan mengalami pelbagai bentuk gangguan berkaitan kesihatan mental menjelang tahun 2020.

Ini adalah anggaran yang telah dinyatakan oleh sebuah laporan akhbar pada 17 Ogos tahun 2005 di mana pada tahun 2020 itu nanti, penyakit mental dianggarkan akan menjadi penyakit nombor satu negara.

Negara kita telah melalui tempoh masa hampir 30 tahun sejak Kementerian Kesihatan memulakan satu kajian buat julung kali dikenali sebagai Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan iaitu bermula pada tahun 1986. Berdasarkan kepada hasil kajian berkaitan yang terkini iaitu yang ketiga pada tahun 2006, didapati trend gangguan kesihatan mental yang mengundang kepada pelbagai gejala penyakit mental di kalangan rakyat menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan.

Ia menjadi amat serius apabila diberitakan oleh satu laporan akhbar bertarikh 20 Mac 2011 di mana setiap seorang daripada lima rakyat Malaysia akan menjadi gila.

Jika benar dan andai gila itu dirujuk kepada skizofrenia, maka seorang dari lima individu negara ini akan menghidapi skizofrenia. Begitu juga jika gila itu ditakrifkan sebagai post partum depression (gila meroyan), maka akan ada seorang dari setiap lima orang wanita yang lepas bersalin itu akan gila meroyan.

Dan jumlah ini belum termasuk lagi bagi kategori gila judi, epilepsi (sawan atau juga gila babi) dan sebagainya. Memandangkan negara kita mempunyai 27 juta penduduk, ini bermakna di negara kita sekarang ini sudah sedia ada seramai 5 juta orang gila, sama ada gila skizofrenia, gila bipolar, gila kemurungan, gila meroyan, gila babi atau gila judi.

Walau apa jua jenis gila, terutamanya gila yang dikatakan berpunca akibat daripada stres atau tekanan, permasalahan hidup dan sebagainya, ia tetap mampu menjejaskan kesihatan mental dan akan semakin bertambah pada setiap masa. Sudah pasti apabila kestabilan kesihatan mental itu terjejas, maka risiko untuk menghidapi penyakit mental (full blown mental illness) juga akan turut meningkat.

Dari segi patologi penyakit mental, pada peringkat awalnya, ia lebih menjurus kepada keadaan yang dikenali sebagai gangguan kesihatan mental. Gangguan ini biasanya adalah kecil dan ringan sahaja, tidak mendatangkan kesakitan atau kepayahan yang ketara dalam kehidupan harian individu itu. Akibatnya ia seringkali diabaikan dan kurang diberi perhatian.

Namun ia sebenarnya mampu meningkatkan lagi risiko seseorang itu untuk menghidapi penyakit mental yang lebih serius jika rawatan awal tidak diberi. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes seperti ini, keputusan bagi mendapatkan rawatan penyakit mental biasanya adalah keputusan terakhir dan sudah terlewat serta apabila penyakit itu telah mencapai tahap serius. Akibatnya, usaha pemulihan menjadi lebih sukar.

Jika ditinjau lagi anggaran jumlah pesakit mental di negara ini berdasarkan kepada laporan akhbar tersebut yang mengatakan kini terdapat seramai 5 juta pesakit mental di negara ini, tetapi jumlah kes penyakit mental yang dirujuk untuk rawatan di hospital-hospital kelolaan Kementerian Kesihatan pula menunjukkan kepada kita bahawa tidak sampai suku juta pun.

Bagi mereka yang prihatin dalam isu kesihatan mental masyarakat, situasi ini sememangnya pasti akan mencetuskan kehairanan dan suatu tindakan yang bersungguh-sungguh serta agresif mesti dilakukan untuk memperbaiki keadaan.

Kajian dan pemerhatian perlu segera dijalankan bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Pendekatan tunggu dan lihat serta berdiam diri hanya akan memburukkan lagi keadaan dan akan menghalang sebarang usaha bagi mewujudkan penjagaan kesihatan mental yang sempurna kepada masyarakat.

Dalam beberapa kajian oleh negara-negara maju berhubung kurangnya masyarakat yang menggunakan perkhidmatan kesihatan mental mendapati ia berpunca dari stigma negatif terhadap penyakit dan pesakit mental. Malah, stigma negatif ini diwarisi dan tersebar ke seluruh pelosok dunia termasuklah di negara ini.

Persepsi negatif masyarakat ini merupakan punca utama betapa tegarnya masyarakat dalam menafikan hak mereka sendiri untuk memperbaiki keadaan kesihatan mental mereka.

Walaupun beberapa usaha untuk mengurangkan stigma dilakukan, seperti mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan mental ke dalam sistem penjagaan kesihatan utama negara telah dimulakan, namun keadaan yang serupa tidak berlaku di dalam sistem komuniti setempat.

Perlu ada usaha untuk mengintegrasikan sistem perkhidmatan kesihatan mental di peringkat komuniti yang diterajui oleh pihak berkaitan seperti Pihak Berkuasa dan Kerajaan Tempatan, Pusat Kesihatan Kecil atau Daerah, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Persatuan-persatuan Penduduk, NGO, dan sebagainya.

Mekanisme pelaksanaan usaha ini perlu difikirkan bersama di peringkat nasional agar integrasi sistem ini di dalam komuniti berjaya, bukan sahaja menjamin kesihatan mental yang baik masyarakat, tetapi juga mengurangkan stigma berkaitan.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...