terima kasih buat kalian semua..

Saturday, May 28, 2011

Suami kecewa isteri enggan membantu kongsi pendapatan...


SETIAP pasangan suami isteri mengharapkan kehidupan rumah tangga mereka akan sampai ke akhir hayat. Pun begitu, tidak semua yang dirancang menjadi seperti yang diharapkan.

Pertengkaran dan perselisihan faham tidak dapat dielakkan sekiranya tidak ada persefahaman dan tolak ansur dalam sebuah perhubungan. Selalunya masalah yang melanda berpunca daripada sikap ego pasangan suami isteri termasuk soal kewangan yang menjejaskan perjalanan rumah tangga.

Begitu mukadimah kisah yang dikirimkan kepada saya minggu ini untuk dikongsi dengan pembaca. Kisah Azmi (bukan nama sebenar) yang terlalu kecewa dengan sikap isterinya, Adila (bukan nama sebenar) yang sangat boros dan tidak mahu berubah sejak mereka mula kahwin sehingga kini.

Saban bulan, wangnya dibelanjakan kepada perkara yang tidak ada faedah terutama untuk bergaya, makan angin dan membeli perhiasan serta produk jenama.

Kita ikuti kisah lanjut seperti dikirimkan oleh Azmi.

"Saya telah bernikah dengan isteri saya sejak 15 tahun lalu dan dikurniakan tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki berusia 12, 10 dan lapan tahun.

"Kami bernikah atas dasar cinta sama cinta. Pada zaman muda, saya mengaku amat sukar untuk mendapatkan isteri saya sebab kecantikannya.

"Dia memang bergaya dan sehingga kini tubuhnya masih seperti anak dara. Sejak berkenalan dengannya, saya tahu dia suka berbelanja untuk mencantikkan dirinya. Semasa itu hati sedang suka, semua yang dibuat oleh kekasih tentu tidak akan ditegur.

"Selepas kahwin keadaan berterusan. Boleh dikatakan setiap bulan dia menghabiskan wang gaji untuk keperluan dirinya sahaja tanpa mempedulikan perbelanjaan rumah.

"Di peringkat awal perkahwinan tentunya tiada masalah sebab saya masih mampu. Harapan saya apabila telah ada anak, tentunya isteri akan berubah.

"Setelah mendapat anak pertama, keadaan tidak banyak beza. Adila terus dengan aktiviti membeli-belahnya dan saya terpaksa menanggung banyak perkara dalam rumah tangga kami.

"Susu anak, sewa rumah, ansuran kereta dan perbelanjaan lain 100 peratus saya yang keluarkan. Gaji dia hanya untuk dirinya sahaja.

"Apabila mendapat anak kedua, saya mula terasa bebannya. Wang banyak digunakan untuk keperluan anak-anak termasuk menghantar mereka ke nurseri, membeli susu, kelengkapan mereka dan makanan. Itu belum masuk ansuran rumah dan kereta serta perbelanjaan untuk orang tua di kampung.

"Apabila semakin tertekan saya ajak isteri berunding dan timbulkan isu ini. Harapan saya dia akan faham dan mahu membantu saya meringankan beban yang saya tanggung.

"Saya amat kecewa apabila dia enggan bertolak ansur dan mengatakan semua itu adalah tanggungjawab saya.

"Dia juga marah-marah dan berkata kenapa dari awal saya tidak berbincang tentang perkara itu. Dia tidak mahu mengeluarkan duit untuk menampung belanja anak-anak dan rumah tangga kami.

"Puas saya pujuk dan jelaskan tentang masalah yang saya hadapi, sayangnya dia tidak dapat terima. Dia mahu saya memikul semua tanggungjawab itu dan tidak mahu menggunakan duit gajinya untuk membantu saya.

"Saya berasa sedih atas sikap isteri yang begitu kerana sepatutnya dia faham masalah saya dan membantu.

Saya mengaku gaji saya cukup untuk menampung perbelanjaan kami tetapi apa salahnya dia bantu sedikit kerana dia juga berjawatan tinggi. Saya rasa tidak luak pun kalau dia turut sama memikul tanggungjawab dalam rumah tangga kami.

"Jika saya ungkit lagi, pasti akan berlaku pertengkaran. Saya tidak larat lagi nak bergaduh dengan dia.

"Apabila difikirkan kembali saya mengaku silap saya kerana tidak membimbing dia sejak kami kahwin dulu. Saya terlepas pandang perkara penting ini.

"Saya terlalu manjakan dia sehingga dia langsung tidak dapat merasakan kesulitan yang saya tanggung sekarang.

"Saya pelik kerana dalam dia berkira dengan saya soal wang, dia mampu pula untuk membeli-belah dengan kawan-kawannya.. Dia juga kerap melancong ke luar negara. Pada hal, apabila saya minta duit untuk membantu saya menyelesaikan hutang kereta atau rumah, dia akan memberontak dan berkata tidak ada duit.

"Pernah juga sekali dua saya pinjam duit dia untuk membayar sewa rumah dan ansuran kereta kerana terdesak. Belum sampai cukup bulan dia sudah meminta saya bayar balik kerana katanya itu pinjam.

"Bayangkan, isteri jenis apa itu namanya. Kalau dia membeli barang-barang dapur, saya juga kena pulangkan duitnya sebab dia akan letak resit di atas meja. Kalau tidak dibayar, pasti dia merungut dan marah-marah. Oleh sebab tidak mahu dia bermasam muka berterusan, saya terpaksa pulangkan semula duit dia.

"Saya hairan kenapa ada perempuan yang sanggup buat begitu dalam rumah tangga mereka. Apabila saya cerita dengan kawan-kawan, ada juga antara mereka yang menghadapi masalah yang sama.

"Saya membuat andaian, pada zaman sekarang, agaknya memang kebanyakan wanita berkira tentang wang ringgit mereka dengan suami. Jika tidak masakan mereka mampu membeli produk jenama, melancong dan membeli apa yang mereka ingini.

"Kalau isteri yang bertimbang rasa, saya pasti akan memberi sebahagian gaji mereka untuk membantu suami meringankan beban dalam perbelanjaan harian. Ini masalah isteri yang tidak bertimbang rasa. Duit kita duit dia, duit dia tetap duit dia.

"Apakah isteri sekarang memang berkira dengan suami atau menganggap semua perbelanjaan dalam rumah tanggungjawab suami sahaja? Kalau begitu, apa ertinya perkongsian hidup?

"Saya mengaku kesilapan saya tetapi saya berharap isteri akan berubah dan sedar kesilapannya. Saya bukan minta banyak tetapi sekurang-kurangnya membantu meringankan beban saya."

Begitu Azmi menamatkan ceritanya. Saya faham dan bersimpati dengan Azmi. Ini bukan pertama kali cerita begini dipanjangkan ke ruangan ini.

Pada saya, masih belum terlambat buat Azmi memujuk isterinya. Jangan putus asa dan cepat mengalah, kerana setiap usaha yang murni dan baik akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Harga minyak dan daya saing


SAMBIL pelbagai pihak membincangkan tentang keputusan kerajaan tidak menaikkan harga minyak, disel dan gas, ramai juga pakar ekonomi yang menyarankan pemotongan subsidi sepatutnya disegerakan kerana beban yang bakal ditanggung oleh kerajaan akan menaikkan lagi defisit negara.

Kita patut tanya mereka ini apakah rakyat biasa katakan di Kuala Tembeling atau Arau, Perlis faham apa erti defisit negara yang meningkat atau mereka lebih faham kalau harga minyak atau diesel dinaikkan.

Kenaikan harga minyak akan mendatangkan suatu impak yang menyeluruh kepada pelbagai jenis perkara daripada barang-barang makanan kepada pengangkutan dan lain-lain jenis perkhidmatan.

Lazimnya peniaga akan menaikkan harga barang-barang jauh lebih tinggi peratusannya daripada peratusan kenaikan harga tenaga. Kalau teh tarik dinaikkan daripada RM1.20 kepada RM1.50 suatu kenaikan sebanyak 40 peratus sedangkan harga satu tin susu pekat mungkin naik 10 sen daripada RM2.50, suatu kenaikan tak sampai 5 peratus.

Kita lihat perkara ini berlaku apabila harga gula dinaikkan, kuih yang tiga seringgit sudah jadi RM1.20 kenaikan sebanyak 20 peratus. Kenaikan yang meliputi pelbagai jenis keperluan rakyat sekiranya harga tenaga dinaikkan ini difahami oleh rakyat biasa.

Lagi pun kepada rakyat biasa, mereka melihat kerajaan mempunyai banyak sumber kewangan yang mendatangkan hasil kepadanya. Misalnya lihat sahaja berapa banyak syarikat milik kerajaan yang berderet di Bursa Malaysia dan yang tidak disenaraikan seperti Petronas.

Kebanyakan syarikat milik kerajaan ini membuat keuntungan dan selain daripada dividen yang diterima oleh kerajaan selaku hak miliknya, syarikat-syarikat ini juga membuat laba yang besar dan dividen hanya sebahagian kecil daripada keuntungan yang diumumkan syarikat.

Kerajaan juga dapat bahagiannya daripada cukai yang dibayar oleh syarikat. Selain itu ke mana pergi keuntungan syarikat tersebut. Mungkin sebahagian dilabur semula untuk perkembangan syarikat tetapi kalau kita ikuti laporan tahunan syarikat-syarikat, kita tahulah berapa banyak keuntungan keseluruhan syarikat milik kerajaan. Malangnya bagi yang tidak tersenarai kita tak tahu keuntungan atau kerugian mereka.

Suatu perkara lagi yang melemahkan hujah untuk memotong subsidi ialah golongan-golongan mewah yang sepatutnya tidak menikmati subsidi kerajaan. Ini termasuklah syarikat-syarikat seperti pengeluar tenaga bebas (IPP) yang tenaga yang dijana mereka tidak boleh digunakan tetapi Tenaga Nasional Berhad tetap kena membayar kepada mereka. Mereka ini juga mencatat keuntungan yang besar.

Mungkin perjanjian dengan mereka ini kena dikaji semula walaupun ada pihak-pihak tertentu yang mengatakan kita tidak patut melakukan sesuatu kepada pihak-pihak ini kerana kerajaan tidak akan dihormati kerana melanggar perjanjian yang dipersetujui, walaupun mungkin berat sebelah.

Sebarang rasionalisasi perlu memberi keutamaan kepada golongan pendapatan rendah termasuk petani dan nelayan.

Soal baja dan diesel dijual kepada orang lain selain daripada digunakan oleh pihak yang sepatutnya adalah soal penguatkuasaan dan kewujudan sesuatu sistem pengagihan dan pengedaran.

Apa jua barang yang kita bandingkan dengan negara-negara jiran kita semuanya harga di tempat kita jauh lebih rendah daripada di negara-negara jiran ini. Oleh itu keinginan pihak tertentu untuk menyeludup begitu tinggi. Mereka yang tertangkap ini tak usah didenda tetapi dimestikan masuk penjara kerana denda boleh dibayar oleh sesiapa tetapi penjara paling ditakuti.

Keengganan masyarakat pelabur untuk melabur dalam negara dikatakan sebagai suatu sebab untuk memastikan defisit kita tidak meningkat. Sebenarnya kalau kita perhatikan Laporan Daya Saing Dunia yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia 2010/2011 yang mengambil kira prestasi 139 negara, kita duduk di tempat 26 jatuh daripada tangga 24 pada tahun lepas.

Faktor-faktor yang dikatakan menjadi masalah menjalankan perniagaan di negara kita ialah pertama birokrasi kerajaan yang kurang cekap, kedua kerumitan mendapatkan pembiayaan dan ketiga ialah dasar-dasar kerajaan. Selain daripada itu terdapat juga rasuah sebagai salah satu masalah yang dihadapi mereka yang berurusan dengan kita.

Untuk Laporan Daya Saing 2010/2011 yang diterbitkan oleh IMD, kedudukan kita jatuh daripada nombor 11 pada tahun lepas kepada nombor 16 tahun ini. Dalam huraiannya Prestasi Ekonomi naik daripada angka 8 kepada 7, malangnya Kecekapan Kerajaan jatuh daripada nombor 9 kepada 17 dan Kecekapan Perniagaan jatuh daripada nombor 4 kepada nombor 14. Kedua-dua faktor yang membuatkan penarafan kita jatuh sebanyak 6 tangga.

Terpulanglah kepada kita untuk terima atau tidak penarafan ini. Jangan bila kita naik, riuh sekampung bila kita jatuh, kita tidak mahu terima hakikat yang kita perlu berbuat sesuatu untuk membaiki prestasi kita.

Awam dan swasta adalah dua tunggak yang diperlukan untuk memastikan transformasi kita berjaya. Kalau sudah ada masalah dengan kedua-dua sektor, alamat kita akan berdepan dengan masalah mencapai hasrat untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Soal defisit bukan suatu masalah besar asalkan tidak sampai paras negara Greece!

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas

Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur

(kini Bursa Malaysia)

Kenapa Melayu terus jadi hamba dadah?


KES penyalahgunaan dadah di kalangan orang Melayu semakin membimbangkan. Sehinggakan seorang hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, baru-baru ini, melahirkan kesedihannya apabila melihat banyak kes dadah di negara ini membabitkan orang muda berketurunan Melayu dan beragama Islam. Hakim Datuk Abd Rahim Uda menegaskan orang Melayu dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam. “Masalahnya kita orang Islam, tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya,” katanya ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun, Fazizol Mohd Razali, 25, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang.
Apa yang diluahkan Hakim Abd Rahim seharusnya mendapat perhatian serius seluruh masyarakat Melayu. Malah, kita patut berasa bimbang kerana berdasarkan perangkaan, remaja dan belia Melayu adalah golongan paling ramai terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Mengikut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK), etnik Melayu adalah penagih paling ramai dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, iaitu 9,734 orang (80.59 peratus), berbanding Cina sebanyak 1,096 orang (9.07 peratus), India 926 orang (7.67 peratus), pribumi Sabah 238 orang (1.97 peratus), pribumi Sarawak 29 orang (0.24 peratus) dan etnik lain 56 (0.46 peratus). Keseluruhannya, penagih yang dikesan dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan sebanyak 361.91 peratus berbanding tempoh sama pada 2009

Menurut statistik Bukit Aman pula, 222 rakyat Malaysia berketurunan Melayu kini ditahan di penjara luar negara kerana kesalahan dadah sama ada dijadikan keldai dadah atau secara sedar. Dari sini, timbul persoalan mengapa orang Melayu mudah terpengaruh dan terjebak dalam kes penyalahgunaan dadah? Dalam perbualan dengan Presiden Pengasih Malaysia, Datuk Yunus Fathi, beliau mengemukakan beberapa faktor, termasuk berkait dengan soal budaya, perilaku, latar belakang keluarga dan tempat tinggal, pendidikan serta pengaruh luar.

“Taraf pendidikan orang Melayu pula secara umumnya masih rendah dan yang terbabit dalam dadah kebanyakannya daripada keluarga miskin. Selain itu, sistem kekeluargaan yang dulunya kuat, kini semakin rapuh menyebabkan anak terbiar dan tidak diberi perhatian,” katanya yang pernah menjadi penagih sebelum mengasaskan Pengasih – badan yang dianggotai bekas penagih dadah.

Sememangnya mengikut statistik ADK, majoriti penagih yang dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu menunjukkan 8,492 orang (78.40 peratus) adalah mereka yang sekurang-kurangnya mempunyai tahap pendidikan tamat Tingkatan Tiga, iaitu mempunyai sijil LCE/SRP/PMR. Bilangan penagih tertinggi juga dikesan pada mereka yang mempunyai sijil pada peringkat LCE/SRP/PMR, iaitu seramai 4,069 orang (37.56 peratus).

Persoalannya, kenapa kes penyalahgunaan dadah terus meningkat sedangkan banyak program dianjurkan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengekang gejala ini? Malah, pelbagai undang-undang digubal dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap kesalahan dadah, termasuk hukuman mati mandatori. Penguatkuasaan juga diperhebatkan dan mengikut statistik, rampasan beberapa jenis dadah, seperti heroin, ecstasy, candu dan kokain menunjukkan peningkatan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu. Namun, di sebalik kejayaan ini, isu dadah terus menghantui kita. Sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, penagih baru yang dikesan berjumlah 8,984 orang, meningkat 507.44 peratus berbanding 1,479 orang dalam tempoh sama tahun lalu, manakala penagih berulang seramai 3,095 orang, meningkat 172.45 peratus berbanding 1,136 tahun sebelumnya.
“Kita semua berisiko dan yang tidak mempunyai kekuatan diri lebih berisiko tinggi untuk mudah terjebak dalam penyalahgunaan dadah. Sebab itu, kempen kena bermula dari rumah dengan menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak mengenai bahaya dadah. Kita juga kena banyakkan aktiviti bagi meningkatkan jati diri serta pembangunan intelektual dan rohaniah anak. Malah, mengikut satu kajian, anak yang selalu bersukan bersama ibu bapa didapati jarang terbabit dalam dadah. Peranan pertubuhan komuniti seperti PIBG, JKK kampung, jawatankuasa kariah surau atau masjid juga penting bagi membantu memerangi gejala dadah,” katanya.

Mesej ini sepatutnya membuka mata seluruh masyarakat agar bersama-sama membantu pihak berkuasa membanteras kes penyalahgunaan dadah. Kita percaya rakyat sedar kes penyalahgunaan dadah ini serius, tetapi ramai yang cuma mengeluh, tetapi tidak membantu. Kita tidak boleh lagi melihat dan membiarkan saja apa yang berlaku di sekeliling kita. Mungkin ramai tidak ambil peduli kerana menganggap itu bukan masalah mereka atau tidak membabitkan anak atau ahli keluarga mereka. Barangkali ramai juga tahu anak jiran kita mengambil dadah, tetapi kita buat tak tahu kerana tidak mahu dianggap mencampuri hal orang lain. Ini bukan soal hendak jaga tepi kain orang, tetapi membabitkan masa depan generasi kita. Bersamalah membanteras dadah

Oleh Mahfar Ali


Apakah TV LED yang anda beli adalah benar2 LED atau hanya LCD... Hanya Sony yg ori..


TELEVISYEN diod pemancar cahaya (LED) tetapi bukan LED yang sebenarnya.

Walaupun sukar mempercayainya tetapi hakikatnya semua televisyen LED yang berada di pasaran tempatan pada masa ini bukan televisyen LED dalam erti kata yang sebenar.

Menurut Pengurus Kanan Kejuruteraan dan Servis, Toshiba Sales & Services Sdn. Bhd., Liew Ah Yoong, semua produk itu merupakan televisyen paparan cecair kristal (LCD) yang menggunakan cahaya belakang LED.

Namun, katanya, semua syarikat pengeluar memasarkannya sebagai televisyen LED mungkin kerana strategi pemasaran.

''Sehingga hari ini, hanya Sony mengeluarkan televisyen LED sebenar atau diod pemancar cahaya organik (OLED), itu pun hanya satu dua model dan mungkin hanya ada di Jepun.

''Saya sendiri tidak tahu bagaimana rupa televisyen LED kerana tidak pernah melihatnya,'' katanya pada prosiding Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Ah Yoong hadir sebagai saksi kepada syarikat Kim Seen Electronic Trading bagi memberitahu situasi sebenar terhadap tuntutan yang dikemukakan oleh Liew Moi Fah, 55.

Moi Fah menuntut supaya syarikat itu mengembalikan semula wangnya sebanyak RM5,350 kerana didakwa menjual televisyen LCD kepadanya, sedangkan dia mahu membeli televisyen LED.

Menurut Moi Fah, dia membeli televisyen tersebut pada Januari lalu dan mendapati ia bukan televisyen LED sebulan kemudiannya.

''Semasa berkumpul beramai-ramai sempena sambutan Tahun Baru Cina pada Februari lalu, anak saudara saya memberitahu bahawa televisyen itu bukan televisyen LED tetapi LCD 'kahwin' LED. Kes seperti ini banyak berlaku di Singapura.

''Saya juga dapati pada kad jaminan televisyen tersebut tertera LCD dan pemeriksaan pada laman web Toshiba tidak menjumpai sebarang produk televisyen LED,'' katanya.

Setelah mendengar penjelasan tersebut, Presiden TTPM, Maznah Haron memerintahkan supaya Kim Seen Electronic Trading yang diwakili oleh Tang Boh Leng mengambil semula televisyen itu dan mengembalikan RM4,235.42 kepada pihak yang menuntut.

Dalam hal ini, katanya, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memastikan pengguna tidak dikelirukan antara televisyen LED dan televisyen LCD yang menggunakan cahaya belakang LED.

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

Thursday, May 26, 2011

Terperangkap dalam tubuh lelaki... Sukar terima hakikat lahir sebagai lelaki..



TERPERANGKAP dalam tubuh yang salah - setidak-tidaknya itulah tanggapan golongan 'mak nyah' yang rata-rata percaya mereka adalah wanita tetapi terperangkap dalam tubuh lelaki.

Keadaan ini menjerumuskan golongan ini dalam dilema untuk meletakkan kedudukan diri mereka dalam masyarakat kerana secara fizikal mereka lahir sebagai lelaki tetapi memiliki keinginan, nafsu dan naluri wanita.

Kegagalan menempatkan diri dalam masyarakat membuatkan golongan ini berasa terasing atau mengasingkan diri lalu membentuk kelompok sendiri

Lebih malang apabila golongan ini rata-ratanya terbabit dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan sebagainya sehingga melekat sebagai stigma yang sukar untuk dikikis dalam masyarakat.

Malah, ada sesetengah golongan ini bertindak keterlaluan apabila mengambil keputusan untuk menukar jantina dengan melakukan pembedahan.

Sudahlah berperwatakan menyerupai wanita hukumnya haram dan dikutuk oleh agama, inikan pula mengubah kejadian Allah tanpa ada sebarang alasan yang dibenarkan oleh Islam.

Berpeluang mendekati golongan ini baru-baru ini ternyata mereka mempunyai cara kehidupan tersendiri selain mempunyai kerjaya tetap untuk meneruskan kehidupan.

Yang pasti, walaupun selesa dengan cara masing-masing, mereka sebenarnya perlu dibantu untuk keluar daripada kepompong seterusnya menjalani kehidupan seperti insan-insan lain di dunia ini iaitu sebagai seorang lelaki sejati.

Apa yang menarik hendak dipaparkan kali ini ialah dilema mereka sebagai seorang mak nyah dan apakah faktor yang menyebabkan mereka menjadi demikian.

Tidak pernah terfikir apatah lagi merancang untuk melakukan pembedahan menukar jantina, tetapi segala-galanya berlaku dengan tiba-tiba.

Itulah yang terjadi kepada Amy (bukan nama sebenar) di mana dia tidak pernah menyangka satu hari nanti dia bukan sahaja merupakan seorang mak nyah yang berperwatakan seperti seorang wanita tetapi turut mempunyai alat kelamin perempuan.

Malah, katanya, walaupun (alat kelamin) tidak boleh berfungsi sepenuhnya seperti mengandung dan melahirkan anak, dia tidak menyesal dengan apa yang telah berlaku malah amat berbangga dengan keadaan dirinya hari ini.

"Pembedahan pertukaran jantina telah dilakukan 15 tahun lalu dan ketika itu saya berumur sekitar awal 30-an.

"Secara jujur saya nyatakan bahawa saya tidak pernah merancang apatah lagi terfikir untuk menukar jantina waktu itu.

"Tetapi segala-galanya berlaku dalam sekelip mata di mana satu hari tiba-tiba sahaja terlintas di fikiran 'saya nak mati sebagai seorang perempuan' dan tidak sampai seminggu segala-galanya berubah,'' ujarnya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai pembedahan yang dilakukan, Amy menerangkan bahawa ia hanya mengambil masa beberapa jam dan tidak sakit seperti yang diuar-uarkan.

Ini kerana, katanya, keesokan hari dia sudah disuruh berjalan oleh doktor dan hari keempat selepas pembedahan dia dibenarkan pulang.

Dia hanya kelihatan pucat dan letih mungkin disebabkan kehilangan banyak darah ketika melakukan pembedahan.

Beberapa bulan selepas pembedahan dilakukan, Amy turut memberitahu bahawa dia juga tidak mengalami sebarang jangkitan kuman di kawasan pembedahan dan sembuh seperti orang lain yang menjalani apa jua pembedahan.

"Di sini saya hendak memberitahu bahawa mereka (mak nyah) yang melakukan pembedahan dan memberitahu bahawa ia sakit macam nak mati adalah bohong semata-mata.

"Saya rasa orang itu tak buat pembedahan sebab saya tidak pula mengalami sakit sedemikian. Malah saya dibenarkan pulang selepas empat hari tinggal di hospital,'' katanya lagi.

Mengimbas kembali detik-detik awal dirinya terpesong menjadi mak nyah, Amy memberitahu segala-galanya bermula sewaktu di alam kanak-kanak.

Menegaskan bahawa dia tidak dipengaruhi oleh adik beradik perempuannya yang lain mahupun keadaan sekeliling, sebaliknya berpunca daripada diri sendiri.

Ini kerana dia memang suka bergaya dan ingin kelihatan cantik seperti seorang wanita termasuk bermain dengan permainan wanita seperti anak patung dan masak-masak.

Bagaimanapun, jelas Amy, pernah terdetik di hatinya sampai bilakah dia akan menjadi sedemikian.

Dia pernah mencuba untuk menjadi lelaki sejati tetapi tidak berjaya.

Ini kerana menurutnya, dia tidak boleh menipu diri sendiri selain hatinya memberontak.

Akhirnya, dia meneruskan kata hati sehinggalah membuat keputusan untuk melakukan pembedahan pertukaran jantina.

Hari ini, Amy bukan sahaja merupakan seorang insan yang berjaya dengan kerjayanya malah dia juga gembira di samping keluarga tersayang.

Amy sememangnya merupakan seorang individu yang amat bertuah kerana walaupun di awal perubahan dirinya ia ditentang hebat oleh keluarga tetapi hari ini dia sudah boleh diterima malah dia juga sudah 'berkahwin'.

"SAYA mula mengambil pil hormon wanita selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusan tersebut dibuat kerana mahu mengubah bentuk badan.

"Bagaimanapun buat masa sekarang saya tidak terfikir lagi untuk melakukan pembedahan menukar jantina,'' ujar Niza (bukan nama sebenar) ketika ditemui baru-baru ini.

Jika melihat daripada fizikalnya, ternyata Niza telah berjaya mengubahnya tetapi tidaklah secara pembedahan.

Katanya, dia hanya mengambil pil hormon untuk membentuk buah dada dan tidak untuk pembentukan punggungnya.

Begitupun, jangan pandang rendah padanya kerana selain merupakan seorang pelajar yang cemerlang, Niza juga mempunyai kerjaya tetap.

Apabila ditanya bagaimanakah dia boleh 'terbabas' hingga tekad tidak akan menoleh ke belakang lagi, ulas Niza, ibunya memang inginkan seorang anak perempuan dan sehingga saat dia dilahirkan, namanya juga menyerupai perempuan.

Bercerita lanjut mengenai perihalnya, Niza juga tidak menolak kemungkinan faktor genetik yang dakwa diwarisi daripada keluarga datuk dan neneknya.

Tetapi dia turut memberitahu keinginan dan kegemarannya memakai pakaian perempuan serta 'memenuhkan' mukanya dengan solekan sedikit sebanyak memainkan peranan penting kenapa dia ingin menjadi perempuan.

Hari ini, Niza amat bahagia dan gembira dengan apa yang dilakukan di samping dapat memenuhi kehendak nalurinya.

Berbual lanjut bersamanya, ternyata anak kelahiran selatan tanah air ini bijak berbicara termasuk hal-hal agama.

Ini secara tidak langsung membuatkan penulis terfikir, jika dia tahu segala hukum-hukum agama kenapa hatinya boleh dipesongkan menjadi sedemikian rupa.

Mungkin Tuhan mengujinya dan melihat sejauh mana Niza hendak mengikut kata hatinya.

Tetapi apa yang diperoleh daripada Niza, dia memberitahu satu ketika dahulu dia pernah mencuba untuk berubah tetapi segala usaha sia-sia kerana ia tidak dapat bertahan lama.

Ini kerana, selain hati memberontak, dia juga tidak dapat menerima hakikat bahawa dirinya dilahirkan sebagai seorang lelaki.

"Walaupun diri saya begini, saya tetap menjalankan kewajipan sebagai seorang muslim di mana saya tetap mengerjakan ibadat solat dengan cara seorang lelaki Islam yang bersolat.

"Saya ingin sekali mengerjakan solat Jumaat bersama jemaah lain tetapi disebabkan penampilan saya begini saya tidak berani tetapi masih melakukannya di rumah.

"Sama ada ia diterima oleh Allah atau tidak itu antara saya dengan-Nya. Jadi orang lain tidak perlu bersusah payah untuk memikirkannya,'' katanya tegas sebelum mengakhiri perbualan.

Ternyata, dalam kedua-dua kes ini, baik Amy mahupun Niza, mereka amat nekad dengan apa yang telah dilakukan.

Begitupun, apabila ditanya mengenai saat menemui ajal, Amy yang pada awalnya menyatakan ingin mati sebagai seorang perempuan menyerahkan segala-galanya kepada mereka yang hidup untuk menguruskan jenazahnya sama ada sebagai seorang lelaki atau perempuan.

Tetapi berlainan pula dengan Niza di mana ia tidak mahu memikirkan saat kematian kerana dia tidak pernah terfikir akan hal tersebut.

Oleh mariatul qatiah zakaria

Subsidi petrol kena ikut cc kereta..


MALAYSIA adalah antara negara yang memberi subsidi minyak petrol paling tinggi jika dibandingkan dengan negara serantau.

Pemberian subsidi petrol secara berterusan ini boleh menjerumuskan negara ke kancah hutang membabitkan berbilion ringgit. Hal ini kerana nilai tanggungan subsidi terus meningkat saban tahun.
Untuk rekod, pada tahun lalu saja, negara memperuntukkan RM8 bilion bagi menyalurkan subsidi ke atas minyak petrol saja. Angka ini dijangka meningkat sekali ganda pada tahun akan datang.
Sehubungan itu, kerajaan perlu memikirkan langkah proaktif bagi menangani masalah ini. Ini kerana, fungsi subsidi bertujuan membantu golongan sasar yang berpendapatan di bawah paras tertentu.

Oleh itu, saya berpendapat subsidi petrol wajar diperinci semula dengan mengekalkan subsidi RON95 dan RON97 untuk kenderaan berkapasiti 2000cc dan ke bawah.

Bagi kenderaan berkapasiti 2000cc ke atas, subsidi petrol itu wajar dikaji semula dan diselaraskan. Secara logiknya, kenderaan berkapasiti 2000cc ke atas boleh dikategorikan sebagai kenderaan mewah kerana kebanyakannya berharga RM100,000 ke atas.

Oleh itu, tidak menjadi masalah apabila subsidi itu dikaji semula. Jika diteliti, perincian semula subsidi minyak dapat menggalakkan aliran pembelian kereta tempatan yang berkapasiti 2000cc ke bawah.
Diharapkan cadangan ini dapat diperhalusi agar subsidi petrol dapat dinikmati mereka yang berpendapatan rendah.

MOHD SAIPUDDIN SULIMAN,
Shah Alam, Selangor

Antara Naif di Dubai dan Chow Kit di Kuala Lumpur...


Dari New York saya singgah di bandar raya mega ini untuk beberapa hari. Kebetulan tiada penerbangan terus ke Malaysia dari New York. Dulu ada, kini tiada lagi. Rakyat Malaysia yang mahu ke New York misalnya terpaksa transit di beberapa lokasi negara lain sebelum ke negara tersebut.

Dubai ialah salah satu lokasi transitnya. Ia adalah salah sebuah emiriah dalam Emiriah Arab Bersatu atau juga dikenali sebagi UAE. Enam emiriah lain ialah Abu Dhabi (ibu negara dan pusat pentadbiran kerajaan), Sharjah, Ajman, Umm Al Quwain, Ras Al Khaimah dan Fujairah.

Negara ini ialah ahli Majlis Kerjasama Teluk Arab (GCC), sebuah perkumpulan ekonomi yang terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Oman, Arab Saudi dan Qatar. UAE mempunyai simpanan minyak keenam terbesar dunia dan mempunyai ekonomi termaju di Asia Barat, rakyatnya mempunyai kuasa beli tertinggi di Asia. Juga menikmati pendapatan perkapita AS$47,407 dan ditakrif oleh IMF sebagai negara sedang membangun berpendapatan tinggi.

Kali terakhir saya di Dubai ialah kira-kira 15 tahun lalu. Itu pun transit dalam tempoh sehari sahaja. Kini Dubai sudah berubah. Ia berubah 1,000 kali ganda sejak itu.

Di Dubai saya menginap berhampiran dengan Burj Khalifah, menara tertinggi di dunia, yang jika mahu tengok cucur atapnya setinggi 828 meter dari tepi menara itu, kita terpaksa mendongak 90 darjah ke langit. Kawasan penginapan saya di sini adalah sama seperti kawasan di sekitar KLCC, menara berkembar yang menjadi kemegahan semua rakyat Malaysia. Rata-ratanya dihuni oleh rakyat asing dan pegawai dagang yang sama-sama membangunkan negara ini.

Begitu juga rakyat Dubai, mereka juga cukup berbangga dengan menara itu. Barat juga cemburu dengan Dubai yang dapat membangunkan emiriah ini dengan cukup berjaya. Sehinggakan pada tahun lepas apabila ekonomi dunia merudum, Dubai dikatakan oleh Barat antara kawasan yang akan jatuh bankrap dahulu kerana kepesatan infrastrukturnya yang terlalu rancak. Mereka meramalkan Dubai akan menjadi bandar hantu. Tapi ia meleset.

Banyak musuh yang mahu melihat wilayah ini jatuh terduduk. Perlu diingat wilayah Arab kini sedang menghadapi satu keadaan yang paling getir dalam sejarah sosio-politiknya apabila kebangkitan rakyat tercetus satu persatu. Di kalangan negara Teluk yang terkena ialah Bahrain, yang paling hampir ialah Yemen, setelah Mesir dan Libya. Mereka mahu menjatuhkan pemerintahannya.

Kita tidak pasti apakah ia ada unsur-unsur luaran, atau faktor dalaman semata-mata. Tapi dalam politik dunia kini, macam-macam boleh berlaku. Salah satu rangkaian televisyen satelit Barat kelmarin menyiarkan satu forum bertajuk Arabvolusi. Atau revolusi yang sedang melanda Arab.

Barat mahu supaya rejim-rejim yang ada ditukar mengikut acuan demokrasi mereka. Ia termasuklah rejim-rejim yang didakwa mereka sebagai diktator, autoritarian, diraja dan pelbagai istilah lagi.

Mereka masih mahu terus membincangkan isu kebangkitan itu walaupun Palestin kini begitu beria-ia melobi kuat untuk menuntut kemerdekaan.

Namun, berbalik kepada Dubai. Saya berani katakan ia kini adalah sebuah negara maju dalam lingkungan Arab, mahu pun Asia yang lain. Bukan sahaja bangunan fizikalnya yang hebat-hebat, namun mentaliti rakyatnya dan para pekerjanya yang terdiri daripada orang asing, cukup tertib.

Bandar raya ini amat bersih. Tandas-tandas awamnya jauh lebih baik dari Malaysia. Pintu-pintu tandasnya cukup tegap, bukan kayu plywood atau plastik murah yang dipasang di tandas-tandas awam kita. Tiada contengan-contengan lucah dalam tandas awamnya. Kunci bilik tandasnya juga standard negara Barat.

Orang berkata, jika mahu melihat orangnya, lihatlah tandasnya. Kerana itulah saya membuat perbandingan itu kerana tandas melambangkan mentaliti masyarakatnya.

Sementara itu, jika mahu melihat mentaliti penduduk kotanya pula, lihatlah pemandu teksinya. Di sini pemandu teksinya terdiri daripada – sama ada – India, Bangladesh, Pakistan dan rakyat negara Arab yang lain. Mereka semua makan gaji dengan Pihak Berkuasa Pengangkutan Jalan Dubai (RTA), yang mengendalikan semua jenis pengangkutan awam – termasuk bot-bot teksi dikenali sebagai abra yang menyeberangi sungai di Dubai Creek.

Pemandu teksi di sini tidak cakap politik. Mereka bekerja ala pemandu kepada tuan. Kita duduk belakang, dia pandu dan sesekali beramah mesra. Sesekali terfikir lebih baik pemandu teksi kita hanya makan gaji dan terdiri daripada rakyat asing. Di New York juga pemandu teksinya adalah rakyat asing dari Pakistan, India, Arab, Cina dan lain-lain. Tiada insiden tipu pelanggan atau enggan pakai meter yang kedengaran. Semua teksi dilengkapi dengan mesin resit.

Jalan-jalannya di Dubai ini berkilat. Tiada langsung nampak tinggi rendah, dan lubang-lubang bercompang-camping. Bagi yang banyak berjalan, Dubai kini bukan lagi Dubai dulu, tapi mulai mengatasi banyak bandar raya ternama di Asia.

Saya sempat ke sebelah bandar Dubai lama yang menempatkan kawasan membeli-belah murah iaitu di Naif. Ia sama seperti Jalan Chow Kit. Tapi keadaannya cukup bersih. Walaupun ada kesan berkarat ludahan air pinang di tepi-tepi dinding, tapi lantai-lantainya bersih. Susah hendak cari sampah atau sisa-sisa makanan yang busuk yang tidak diangkat oleh ‘Alam Flora’ mereka.

Kita sanggup makan di kedai-kedai makan yang dikendalikan oleh orang Pakistan atau Afghanistan tanpa rasa was-was di situ. Pengendalian restorannya tertib. Kertas tisunya tersusun – bukan kertas tandas, dan bilik airnya bersih.

Kuala Lumpur harus mencontohi Dubai, walaupun difahamkan oleh orang di sini bahawa pembangunan Dubai baru, antaranya mengambil contoh pembangunan Putrajaya, salah satu mercu tanda bijak Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun ia kini lebih matang daripada Putrajaya.

Dubai terus berkembang. Sekarang pun pembangunannya sedang rancak. Kren-kren pembinaan tidak henti-henti bergerak di sekeliling daerah yang menempatkan Burj Khalifa dan Burj Al Arab di Jumeirah.

Jika dulu pembangkang kita mengkritik pembinaan Menara Berkembar Petronas KLCC yang dikatakan membazir, kini cuba lihat di sekeliling garis pusat 5 kilometer darinya, pembangunan mewah (kecuali Kampung Baru) tumbuh bagai cendawan, dan apabila dibuka untuk jualan ia habis direbut orang.

Begitu juga di Burj ini, bangunan sekelilingnya habis terjual. Burj menjadi pusat tarikan kerana keunikannya dan keagungan seni bina yang tiada tandingannya.

Saya sewa kereta dan memandu merentas lebuh raya gurun ke Abu Dhabi, kira-kira 100 kilometer dari sini, yang menjadi ibu kota UAE. Ia juga sama hebat dengan Dubai. Bangunan-bangunan pencakar langitnya juga cukup hebat. Namun, lebih penting ia mempunyai nilai estetika tersendiri yang sama seperti bandar raya utama yang lain.

Sebuah bandar raya yang baik harus mempunyai nilai-nilai budaya dan estetika yang tinggi. Ia bukan sekadar tempat untuk melihat bangunan-bangunan pencakar langit, tapi isi bandar itu dan orangnya.

Souk atau pasar-pasar tradisi di Dubai inilah yang mahu dilihat pelancong. Chow Kit, misalnya juga seharusnya sejak dulu lagi sudah menjadi salah satu tempat tarikan pelancong. Bas-bas lompat naik, lompat turun yang membawa pelancong harus berhenti di Chow Kit dan sekitar Jalan Raja Alang. Tapi syaratnya tandas-tandasnya, lorong-lorongnya haruslah sesuai.

Jika dulu, Chow Kit ada pasar malam ala Bangkok yang menjadi tarikan pelancong asing, kini ia susah mahu digambarkan. Toko-toko jamu, bakso dan apatah lagi sudah menguasai kawasan itu tanpa perancangan (?). Dan pasar basahnya juga sama seperti puluhan tahun dulu, belum berubah. Sampah-sarapnya juga seperti dulu. Saya tidak pasti adakah itu nilai unik dan estetika bagi Chow Kit, atau Kampung Baru dan lain-lain?

Namun, Dubai, New York mahupun kota rayaku, Kuala Lumpur tetap mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Mana yang baik kita ambil, yang buruk kita tinggalkan dan perbaiki.

Zaini Hassan

Tuesday, May 24, 2011

Letak saja UDA di bawah Mara...


APAKAH zaman emas ini telah kembali setelah Lembaga Kemajuan Bandar (UDA) dimiliknegarakan? Jelas, polisi dan pelaksanaannya tidak seiring.

Faktor keuntungan kini mengatasi agenda sosial dalam membina masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputra. Adakah ini satu polisi baru UDA atau adakah ini polisi baru kerajaan yang diterjemahkan oleh tindakan UDA?

UDA harus ingat kepada hasrat penubuhannya dan kenapa ia dimiliknegarakan dan mendapat tanah pada premium yang rendah. Sebagai contoh, tanah kampung Melayu Tanjong Tokong di Pulau Pinang diberi secara percuma kepada UDA dengan bayaran nominal RM1. Pemberian tanah ini berdasarkan dengan amanah Allahyarham Tun Abdul Razak yang melawat dan meninjau keadaan kampung tersebut pada 1972.

Setelah mendengar ucapan pemimpin kampung mengenai sejarah kampung, dengan pesanan Tun Abdul Razak "sejarah biarlah tinggal kenangan, marilah menuju pembangunan", kampung yang berusia lebih 100 tahun diamanahkan kepada UDA. Janji Tun Abdul Razak adalah untuk membangunkan persekitaran perumahan yang selesa untuk penduduk kampung itu supaya taraf sosio-ekonomi penduduk ditingkatkan.

Namun, perumahan yang dibangunkan oleh UDA dan kesan pembangunan adalah amat menyedihkan sekali. Kawasan tersebut menjadi high rise slum. Pembangunan yang dibuat adalah berdasarkan takrifan sempit konsep perumahan. Penempatan semula penduduk kampung dibuat tanpa melihat kepada sosio budaya penduduk dan kesan daripada pembangunan tidak mesra.

Janji Tun Abdul Razak masih tidak tertunai. Jelas sekali, penempatan semula penduduk kampung yang telah dibuat tidak mencapai objektifnya.

Adalah tidak hairan jika penduduk kampung mempunyai pandangan yang amat sinis pada UDA.

Kini, pembangunan kedua akan dijalankan di kampung tersebut. Diuar-uarkan bahawa tanah kampung itu milik UDA, dan penduduk pula mendudukinya tanah secara haram. Apakah hukum apabila pihak yang diberi amanah, lupa kepada amanahnya, dan menganggap harta yang diamanahkan sebagai hakmiliknya.

Takrifan sempit perumahan masih lagi digunapakai. Penduduk kampung dirasakan harus bersyukur kerana UDA akan mengamalkan konsep ganti rumah secara percuma. Apakah pelan UDA untuk keseluruhan tanah kampong tersebut. Apakah dibuat perumahan dan persekitarannya yang bakal meningkatkan kualiti hidup penduduk kampung? Ataupun pembangunannya juga termasuk pusat komersial dan lain-lain bagi menjana keuntungan?

Pada masa dulu, anak-anak kampung bermain layang-layang mahupun berenang di tepi laut. Ibu-ibu pula beriadah mencari siput remis atau melihat anak-anak bermain layang layang ditepi pantai. Sekarang, pantai telah hilang disebabkan oleh tebusguna tanah sebanyak 1,000 ekar di hadapan kampung.

Projek perumahan mewah dan pusat membeli belah dibina di tanah tebusguna di hadapan kampung ini. Pantai tempat rekreasi penduduk telah hilang dan digantikan dengan kawasan perumahan eksklusif untuk pihak lain. Oleh itu, pembangunan ini untuk siapa? Sebahagian kampung ini terdiri atas tanah tebusguna yang dibuat pada 1950an sebelum kemerdekaan.

Di atas tanah tebusguna inilah dibina perumahan untuk penduduk kampung. Rumah-rumah itu dijual dengan harga RM1,500 pada 1956 kepada penduduk jati kampong tersebut. Tetapi selepas kemerdekaan lain pula berlaku.

Selepas memegang tampuk pemerintahan pada 2008, antara langkah awal yang dibuat oleh ketua menteri yang baru adalah melawat kampong tersebut. Beliau disambut dengan harapan kerajaan negeri yang baru ini dapat menyelesaikan permasalahan kampung melayu tertua yang merupakan antara saki baki kampung melayu yang masih wujud di kawasan pulau di Pulau Pinang.

Namun, dikatakan pula selepas itu, projek kampong ini adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat. Agak menghairankan pendirian kerajaan negeri sebegitu memandangkan kelulusan projek pembangunan adalah di bawah bidang kuasa majlis perbandaran yang sememangnya di bawah kawalan kerajaan negeri.

Kini beberapa kali banjir berlaku di kampung ini, terutama selepas adanya projek mewah di hadapan kampung. Walaupun permasaalahan banjir dan nyamuk yang disebabkan oleh rumah yang dirobohkan tidak dibersihkan di bawa kepada ADUN dan EXCO yang bertanggungjawab, ia masih tidak diatasi.

Dengan rumah pangsa yang dibina, tempat rekreasi tiada, di manakah kanak-kanak dan remaja kampung akan pergi? Melepak di pusat membeli belah? Perumahan dan persekitarannya mempunyai implikasi kepada tahap pelajaran dan kualiti hidup dan keadaan sosial sesebuah komuniti. Perumahan bukan hanya menyediakan dinding dan bumbung sebagai tempat berteduh sahaja. Persekitaran perumahan adalah amat penting.

Pembangunan perumahan di kampung itu seharusnya untuk memperbaiki kualiti hidup tanpa memusnahkan alam sekitar selaras dengan tujuan tanah diberi kepada UDA dan juga polisi perumahan negara.

UDA telah mengalami pelbagai transformasi. Daripada sebuah perbadanan bertukar menjadi syarikat dan kemudiannya dimiliknegarakan. Namun, posisi UDA masih sama, masih terdapat kesamaran dan kekaburan dalam menjalankan program tindakan dalam menterjemahkan polisi kerajaan menstruktur masyarakat melalui pembangunan perbandaran.

Polisi yang dirangka dan tindakan terjemahan adalah tidak seiring. Apakah masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera dapat dilahirkan apabila objektif pembangunan di kawasan strategik adalah menyediakan ruang niaga mahupun perumahan untuk bumiputera yang kaya?

Apakah ini dikatakan keadilan sosial dan membantu bumiputra yang sepatutnya dibantu? Adakah tujuan untuk melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera telah lebur dan digantikan dengan masyarakat pelabur hartanah bumiputera? Apakah sasaran pemilikan ditingkatkan dengan cara pelaburan melalui skim hartanah kerajaan sahaja?

Untuk memastikan pemilikan hartanah bumiputera kekal, Pengerusi UDA menyarankan agar dirizabkan hartanah Melayu. Untuk memastikan peningkatan dalam peratus pemilikan hartanah Melayu di kawasan bandar, yang kini pada tahap rendah, dan seterusnya menjanakan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera, UDA patut diletakkan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Tambahan pula, dengan cara ini usaha untuk membangunkan masyarakat pedagang dan perindustrian bumiputra dapat di koordinasi dengan lebih sempurna. Salah satu permasalahan berkaitan pelaksanaan agenda bumiputera ini adalah pelbagai agensi yang bertanggungjawab, jadi timbul kelemahan dalam koordinasi mahupun perselisihan tugas dan tanggungjawab antara agensi-agensi ini.

Pihak manakah yang memantau pelaksanaan agenda ini dan pencapaiannya? Siapakah akhirnya bertanggungjawab atas pencapaian sasaran ini?

Oleh itu, dengan adanya UDA di bawah Mara, koordinasi dapat dibuat dan juga Mara menjadi satu badan one stop center untuk pembangunan usahawan bumiputera.

Mara pada asalnya berperanan menjana pembangunan bumiputera di kawasan luar bandar sedangkan UDA pula di kawasan bandar. Adalah lebih baik pembangunan bumiputera sama ada di bandar ataupun di luar bandar disatukan.

Tambahan pula, penyusunan semula Mara lebih tertumpu kepada usaha membantu golongan usahawan bumiputera dari segi pengisian modal insan dan tidak lagi dilihat dari aspek membina bangunan semata-mata.

Dengan adanya UDA sebagai sebuah unit di bawah Mara, keseluruhan rantaian pelaksanaan dapat dinilai dan tindakan pembetulan dapat dibuat dengan lebih pantas. Lebih-lebih lagi, dengan cara ini, peranan Mara dapat dimantapkan.

Oleh itu, UDA patut diletakkan di bawah Mara supaya tujuannya adalah jelas. UDA ditubuhkan bukan untuk kepentingan UDA meraih keuntungan semata-mata. Jika tidak, bubarkan sahaja UDA.

Oleh DR. SITI NABIHA ABDUL KHALID
DR. SITI NABIHA ABDUL KHALID ialah pensyarah di Universiti Sains Malaysia

Sunday, May 22, 2011

Perempuan memang mudah lentuk bila dipuji !!


BRO dah bosan apabila membaca berita semakin ramai perempuan kena perdaya dek 'Awang Hitam' atau Bro panggil 'mat-mat hitam'.

Bila Bro baca berita-berita seumpama itu, Bro tak rasa simpati langsung malah kalau boleh Bro nak kata padan muka aje kepada mereka yang menjadi mangsa.

Ini kerana dah buih orang nak nasihat hati-hati dengan puak-puak macam tu tetapi perempuan kalau dah berkenan mak bapak pun mereka tolak ke tepi.

Hanya kerana sedikit dipuji dan terlalu taksub hendak hidup mewah maka mereka sanggup lakukan apa sahaja yang disuruh oleh lelaki asing terutamanya dari benua Afrika.

Baru-baru ini seorang kawan Bro ceritakan bagaimana kawan-kawan perempuannya begitu teruja menceritakan bagaimana hebatnya hubungan mereka dengan 'mat-mat hitam' tu.

Kononnya 'mat-mat hitam' tersebut lebih romantik berbanding lelaki Melayu dan pandai melayan mereka.

Bro hanya senyum mendengarnya kerana Bro tahu ramai perempuan yang suka dipuji. Kena puji sikit mulalah lentuk tak tentu fasal, kalau boleh hendak terkeluar air liur akibat khayal dipuji.

Akhirnya ada antara mereka bukan sahaja kehilangan wang ringgit, malah ada antaranya tubuh menjadi 'hidangan' kepada 'mat-mat hitam'.

Bro memang faham sangat perangai perempuan mudah sangat terpengaruh dengan lelaki yang memuji mereka dan satu lagi mudah tertarik kepada lelaki yang pandai bercakap.

Terperangkap

Kesudahannya apabila terperangkap dengan lelaki hidung belang barulah nak menyesal tetapi Bro tak salah lelaki tersebut kerana itulah kehebatan lelaki, tetapi yang perempuan gatal-gatal cari fasal tu apa hal?

Tak payahlah nak salahkan lelaki kalau sudah menjadi mangsa, salahkan diri sendiri. Sebagai contoh Bro nak ceritakan bagaimana satu hari Bro terserempak dengan sekumpulan gadis yang sedang melepak di sebuah restoran teh tarik.

Sudahlah pakai tak senonoh di mana ada antaranya memakai seluar pendek dan 'bahagian atas' baju hampir 'memuntahkan isinya', berbual pula seolah-olah restoran tu 'bapak mereka yang punya'.

Langsung tidak ada hormat kepada pelanggan-pelanggan lain, kalau ketawa bagaikan kuntilanak menggilai waktu malam.

Bila Bro perhatikan dengan cara berpakaian mereka, Bro kata patutlah ramai perempuan kena rogol atau diambil kesempatan oleh kekasih mereka.

Habis tu cara mereka berpakaian pun dah cukup boleh menarik lelaki bernafsu cuba memikat mereka, apatah lagi bila 'mat-mat hitam' tengok.

Apabila menjadi mangsa mulalah hendak terpekik terlolong salahkan lelaki tetapi yang mereka pakai baju menjolok mata tu apa hal!

Satu lagi, Bro tahu perempuan ini kalau 'kena ayat' sikit dengan lelaki mulalah 'bernafsu' satu badan, dia lupa dunia sehingga akhirnya menjadi mangsa pemuas nafsu sahaja.

Bila kena tinggal dek lelaki yang sebelum ini dianggap teman lelaki mulalah nak nangis tiga hari tiga malam.

Tetapi kenapa dia tak mahu fikir bahawa lelaki yang memuji itu sebenarnya tidak ikhlas sebaliknya hanya hadir untuk mengambil kesempatan sahaja.

Lelaki yang baik ialah macam Bro ni yang menegur bila tengok perempuan pakai tak senonoh. Kalau betul lelaki tu nak buat seseorang wanita itu seorang isteri, dia akan memberikan nasihat dan tunjuk ajar, bukan biarkan aje teman wanitanya pakai baik sikit daripada tidak bogel aje?

Salahkan

Jadi perempuan jangan dok salahkan lelaki memanjang sedangkan di kalangan mereka sendiri ramai yang pendek akal.

Begitulah juga yang menjadi mangsa kepada 'mat-mat hitam', mereka bukan tak tahu bahaya yang menanti. Bukankah beribu-ribu kali peringatan diberikan dan ratusan kes sudah berlaku?

Janganlah sampai nanti orang akan tanya, apakah Malaysia ni sudah kekurangan sangat lelaki Melayu yang baik sampai perempuan kat negara ni kena merayu cinta daripada 'mat-mat hitam' ini yang sudah tentu tidak ikhlas dalam menjalin hubungan?

Justeru Bro hendak nasihatkan kepada semua perempuan, cukup-cukuplah kena main dek 'mat-mat hitam' sama ada melalui alam nyata mahupun alam siber.

Bila dah kena meraung tiga hari tiga malam pun tak guna. Sejahat-jahat lelaki kita mungkin sekadar putus hubungan saja sebab jumpa orang lain tetapi mereka tidak akan tergamak menganiaya perempuan sampai ke tahap berhadapan dengan hukuman mati di negara orang.

Oleh itu janganlah menggatal lebih-lebih sangat dengan 'mat-mat hitam' atau mudah sangat terpengaruh dengan pujian kerana ingatlah pujian yang melampau daripada seorang lelaki adalah bisikan syaitan yang akan menjurus mereka ke arah kejahatan.

Begitulah juga kes-kes yang melibatkan 'mat-mat hitam'. Sebahagian mereka adalah syaitan yang bertopengkan manusia sebab itulah mereka berjaya mempengaruhi kaum perempuan yang kita tahu memang kelompok yang lemah dulu dan kini dan selamatnya, biarpun Allah SWT menggunakan akal untuk mereka berfikir

Jerat percintaan buat ramai gadis merana !!!


Mimpi indah bertukar ngeri selepas hati ibu sudah dirobek

CINTA membuatkan dunia berputar. Cinta juga boleh membuatkan orang hilang akal. Biasalah apabila rindu dendam mencengkam perasaan hidup memang tak keruan. Lebih parah apabila cinta tak berbalas, mata terkebil-kebil bagaikan pungguk merindui bulan. Tempat paling tinggi pungguk boleh hinggap atas dahan pun ada hati nak rindu bulan yang jauh beribu batu. Tetapi itu pungguk, jenis unggas yang otaknya mungkin sebesar biji jagung.
Manusia otaknya besar juga. Tetapi acap kali kita pun tak boleh fikir panjang apabila sedang mabuk cinta. Lalu macam-macam kita buat atas nama cinta. Penyanyi Indonesia, Krisdayanti dan kekasihnya ketika itu, Raul Lemos bercium mulut di depan sekumpulan wartawan kerana cinta sedang membara

Episod pahitnya, beberapa hari lalu di Alor Setar, timbul cerita tukang masak berusia 50-an sanggup menikam seorang jurutera gara-gara berang kerana mangsa mahu memutuskan hubungan. Dalam kejadian itu, graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ratna Suffizahriyanti Omar dan lelaki itu dikatakan bertengkar sebelum suspek bertindak menikam mangsa di dada dan tangan bertubi-tubi.

Hancur luluh hati ibu bapa dan keluarga mendengar tragedi sebegitu. Tidak mustahil arwah Ratna adalah harapan keluarga kerana bukan calang-calang kerjanya. Memang sedih kerana gara-gara cinta orang mudah hilang pertimbangan. Namun masa tengah asyik mahsyuk, jangan cuba-cuba lontar nasihat satu atau dua. Reaksinya macam boleh tercetus perang dunia ketiga. Begitulah juga kes sesetengah anak gadis yang sanggup buang emak, buang saudara dan buang segala-galanya gara-gara cintakan pemuda asing.

Bukan lagi rahsia, ada anak gadis yang menjalin hubungan dengan rakyat Afrika, diri sendiri yang sengsara. Berkenalan di laman sosial Facebook akhirnya menjerat diri sendiri apabila mereka dijadikan ‘keldai dadah’. Dek cintalah mereka hilang akal tak boleh berfikir panjang bahawa berurusan dengan dadah memang mengundang padah.

Awal minggu, kita dipaparkan dengan kisah gembira bukan kepalang seorang ibu apabila anaknya yang sudah 13 tahun berkahwin dan tinggal di Lombok, akhirnya mengambil keputusan untuk kembali menjenguk keluarga. Nooriah Abdullah, 30, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Mat Sirat jam 11 malam Ahad lalu daripada Surabaya. Tolak campur, Nooriah ketika nekad tinggalkan keluarga, baru saja berumur 17 tahun.
Maka gugurlah air mata ibunya, Mak Dayah (Dayah Sibun) tatkala menyambutnya di lapangan terbang. Teman faham sangatlah hati seorang ibu macam Mak Dayah. Nooriah ketika hilang masih anak dara, apabila pulang 13 tahun kemudian sudah jadi isteri orang dan sudah beranak, bukan satu tetapi dua. Teman dan barangkali orang lain yang membaca turut berkongsi rasa sebak dan terharu. Macam-macam bersarang di hati dan minda.

Al-kisah, Nooriah hilang selepas kononnya hadir majlis kenduri. Rupa-rupanya dia lari mengikut seorang pemuda Lombok. Kisah yang berlaku terhadap keluarga Mak Dayah bukan kes terpinggir. Mengikut statistik organisasi sukarela Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat (Migrant Care), kira-kira 600 wanita negara ini kahwin lari dan kini berada di Lombok. Maklumat Pergerakan Puteri Umno pula mendedahkan lebih 500 wanita dilarikan ke daerah itu.

Ceritanya sama saja – jatuh cinta tak kiralah pandangan pertama atau kali ke seribunya dengan pemuda Lombok. Tetapi cinta dihalang keluarga kerana barangkali kata ibu bapa, belum masa untuk mendirikan rumah tangga. Tetapi itulah... rasa cinta mengatasi segala-galanya. Namun ada juga laporan yang berkata, ada anak gadis yang bagaikan sudah dipukau dan bertindak macam kerbau dicucuk hidung. Ada juga yang mengaitkan kejadian ini kerana adat turun temurun orang Lombok. Macam kes Nooriah, dia mengambil masa 13 tahun untuk kembali menjenguk bonda dan ahli keluarga yang lain.

Ada kes korban cinta Lombok, tahap kesabaran mangsa sekadar sebulan dua saja. Kalau sudah saban hari asyik makan nasi dengan garam bersulamkan air yang belum tentu masaknya, rasa cinta hangat membara boleh sejuk bedi. Ketika itu baru sedar langit tinggi rendah.

Terbaru berlaku pula kepada keluarga Pak Azmi (Azmi Sulaiman). Anaknya Azlina berkahwin dengan pemuda Lombok tiga tahun lalu. Tiga bulan pertama melayari kehidupan sebagai isteri di Lombok, peritnya mula terasa. Hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada yang tak sempat nak kais-kais lagi, lalu ada hari tak dapat makan. Hidup lebih tertekan apabila sudah beranak pinak lalu Azlina kerap menghubungi keluarga untuk berkongsi sengsara.

Begitulah rona kehidupan kita yang penuh rencah seperti juga akhbar Berita Minggu yang semakin berwarna-warni dengan kisah kehidupan manusia yang melangkaui semua benua. Manis, masin, kelat dan pahit pasti ditelan tetapi yang penting, kita belajar daripada setiap pengalaman. Orang kata, pengalaman itulah mendewasakan kita semua.

Sudahlah tu... jangan lagi dirobekkan sekeping hati seorang ibu, yang kasihnya memang tiada noktah, gara-gara cinta gila. Hakikatnya siapalah kita tanpa seorang wanita yang ‘berkorban nyawa’ untuk melahirkan kita ke dunia dan membesarkan kita daripada tapak kaki sebesar dua jari sehingga kini. Mereka tak minta dibalas segala jasa dan pengorbanan kerana cinta ibu tiada syaratnya. Memadailah dengan menghormati dan mengerti perasaan mereka. Hargailah ibu selagi hayat dikandung badan kerana hidup kita bukan untuk menongkat dunia.

Oleh Hanizam Abdullah


Batal wuduk jika tidur time khutbah Jumaat?


Saya faham jika sudah berwuduk tetapi tertidur yang tetap punggung itu tidak membatalkan wuduk. Soalnya, saya selalu melihat sebilangan jemaah yang tidur semasa khutbah Jumaat. Walaupun kelihatan tetap punggung tidurnya kelihatan lena sampai berdengkur.

Adakah keadaan begini juga tidak membatalkan solat. Bagaimana pula dengan tuntutan mendengar khutbah yang dikatakan sebagai menggantikan dua rakaat solat?

JAWAPAN

Safwan bin 'Assal r.a. berkata yang bermaksud: "Rasulullah SAW memerintahkan kami agar tidak mencabut kasut ketika musafir selama tiga hari tiga malam kecuali jika berjunub, buang air besar, air kecil atau tidur". (riwayat Ahmad, al-Nasaai dan al-Tirmizi. Al-Tirmizi mensahihkannya).

Bagi menjawab persoalan ini, ada beberapa hadis sahih yang menjelaskan bahawa tidur yang lena dan tetap punggungnya tidak perlu berwuduk semula.

Anas r.a berkata yang bermaksud: Suatu ketika, para sahabat Rasulullah SAW menunggu solat isyak sehingga tersengguk-sengguk kepala mereka kerana nabi SAW melewatkannya. Setelah baginda bersiap untuk menunaikan solat, mereka bersolat tanpa memperbaharui wuduk. (riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Ibn 'Abbas r.a berkata yang bermaksud: Aku telah bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah (isteri nabi). Rasulullah SAW bangun untuk menunaikan solat malam. Lalu, aku bangun berdiri di sebelah kirinya. Kemudian, baginda menarik tanganku hingga aku berada di sebelah kanannya. Setiap kali kepalaku tersengguk kerana mengantuk, baginda akan menarik telingaku. Baginda melakukan solat itu sebanyak 11 rakaat. (riwayat Muslim).

Mengikut pandangan Imam al-Syafie r.a apabila seseorang tidak tidur dalam posisi duduk dan punggungnya tidak menempel dengan mantap pada posisi tempat duduknya.

Jika seseorang yang mempunyai wuduk tidur dengan posisi di atas sisi badannya (menyamping) atau dengan posisi terlentang, atau juga ada celah di antara punggungnya dengan tempat duduknya, maka wuduknya batal.

Wuduk tidak menjadi batal disebabkan mengantuk. Mengantuk adalah keadaan di mana seseorang merasa berat kepalanya, di mana dia masih dapat mendengar perkataan orang-orang yang ada di sekitarnya, walaupun tidak memahaminya.

Menurut pendapat paling sahih, termasuk pandangan dalam mazhab al-Syafie, apabila seseorang tidur tetapi tetap punggungnya di bumi tetap terletak di lantai, wuduknya tidak terbatal berdasarkan beberapa hadis di atas. Namun, yang afdalnya adalah berwuduk apabila tertidur berdasarkan maksud hadis secara umum.

Khutbah Jumaat

Mendengar khutbah Jumaat dan solat dua rakaat fardu Jumaat adalah ganti kepada solat zuhur. Kedua-duanya sama penting dan sama wajib dipenuhi.

Cuma sindrom sesetengah kita adalah bila solat Jumaat, mereka ingat solat Jumaat yang wajib dihadiri manakala khutbah Jumaat tidak dengar pun tidak mengapa yang penting solat Jumaat. Ini adalah tanggapan yang salah.

Kefarduan solat Jumaat adalah untuk memberi peluang orang Islam berkunjung ke masjid mendengar pesanan agama dan wasiat iman yang disampaikan oleh para khatib.

Falsafahnya supaya dalam kehidupan seminggu seorang lelaki muslim akan ada catatan yang dipijak kakinya ke masjid melalui kefarduan solat Jumaat.

Bayangkan kalau solat Jumaat tidak difardukan ke atas orang lelaki Muslim, alamatnya hati-hati yang kering pasti tidak akan berkunjung melainkan untuk solat hari raya.

Allah SWT memfardukan Jumaat semoga dengan kefarduan tersebut terdidik jiwa hamba-hamba-Nya ke arah kebaikan dan amal soleh. Untuk beroleh manfaat solat Jumaat maka solat Jumaat hendaklah ditunai dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan, bukan kerana terpaksa.

Perhatikan dengan mata hati maksud firman Allah SWT ini: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat)... (al-Jumu'ah: 9).

Pergi untuk mengingati Allah SWT sama ada berzikir, membaca al-Quran sementara khatib naik mimbar. Bila khatib mula berkhutbah, berhenti zikir dan baca al-Quran, tumpukan perhatian pada khutbah.

Maksudnya ke masjid pada hari Jumaat bukan untuk tidur dalam masjid, sampai ada yang berdengkur malahan untuk mengingati Allah SWT. Ingat sesungguhnya Allah SWT telah memberi peringatan di dalam surah al-Jumu'ah.

Golongan Yahudi yang tidak beramal al-Taurat adalah umpama keldai yang membawa pikulan kitab-kitab yang tinggi nilainya tetapi si keldai tidak tahu apa yang dipukulnya. Ini adalah seburuk-buruk perumpamaan ke atas golongan yahudi.

Jika Yahudi ditempelak dek Allah SWT kerana mengabaikan isi al-Taurat, maka umat Muhammad juga akan menerima nasib yang sama kerana mengabaikan al-Quran.

Gemuk: Malaysia tertinggi di Asia Tenggara !!


Malaysia merupakan negara yang mempunyai paling ramai penduduk obes atau gemuk di Asia Tenggara, menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kajian yang dijalankan itu mendapati, sebanyak 16.3 peratus penduduk negara ini mengalami masalah obesiti.

Di peringkat Asia, Malaysia berada di kedudukan keenam di belakang Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait dan Jordan, yang merupakan negara-negara Asia Barat.

"Arab Saudi berada di tempat pertama dengan 35.6 peratus diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (33.7 peratus), Bahrain (28.9 peratus), Kuwait (28.8 peratus) dan Jordan (19.5 peratus).

"Hanya Malaysia negara dari Asia Tenggara yang berada di tempat keenam bagi seluruh Asia," katanya ketika dihubungi, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, WHO turut menyenaraikan 10 'negara paling gemuk' di dunia.

Negara-negara tersebut ialah Samoa iaitu 93.5 peratus daripada rakyatnya obes diikuti Kiribati (81.5 peratus), Amerika Syarikat (66.7 peratus), Jerman (66.5 peratus) dan Mesir (66 peratus).

Lima lagi negara ialah Bosnia-Herzegovina (62.9 peratus), New Zealand (62.7 peratus), Israel (61.9 peratus), Croatia (61.4 peratus) dan United Kingdom (61 peratus).

Menurut Rosnah, kedudukan obesiti sesebuah negara adalah petunjuk bagi trend pemakanan, kesihatan dan budaya bagi negara tersebut.

''Maklumat tentang pemakanan yang seimbang penting untuk diketahui oleh orang ramai bagi melahirkan masyarakat yang sihat,'' katanya.

Awasi riba dalam pembelian emas..


AKHIR-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam di negara ini untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya.

Situasi ini menyebabkan ada di kalangan mereka lupa akan batas-batas syariah berkaitan pembeliannya sehingga membawa kepada amalan riba yang diharamkan Islam.

Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah': 278-279)

Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam urus niaga sesuatu barangan atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.

Emas selaku komoditi bernilai merupakan salah satu barangan berunsurkan riba (ribawi) yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh 'Ubadah bin al-Samit : Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika asnaf-asnaf ini berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh). (riwayat Muslim)

Hadis ini menyenaraikan barangan ribawi yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu matawang seperti emas, perak, ringgit, dollar dan sebagainya serta makanan asasi seperti padi, gandum, barli, tamar dan garam.

Walaupun begitu, syarat ini tidak terpakai dalam urus niaga barangan ribawi yang berlainan kategori dan jenis, seperti membeli padi dengan menggunakan emas atau urus niaga barangan ribawi dengan barangan bukan ribawi seperti boleh membeli kereta dengan menggunakan emas atau matawang lain.

Urus niaga pembelian emas kini melibatkan pertukaran emas dengan matawang lain. Menurut muamalat Islam, pembelian atau pertukaran matawang dengan matawang seperti membeli emas dengan wang ringgit adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf (tukaran wang).

Justeru, pembelian emas mestilah mematuhi syarat kontrak tersebut, iaitu mestilah tunai serta-merta tanpa ditangguh atau diberi tempoh. Syarat serahan dan penerimaan barangan emas mestilah berlaku semasa akad pembelian sebelum berpisah.

Oleh itu, kita semua perlu mengawasi perkara ini demi mengelak diri daripada terkena najis riba yang kemudiannya akan terkena bakaran api neraka serta dilaknat Allah SWT. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Allah melaknat orang yang memberi dan menerima riba. (riwayat Muslim)

Oleh NAJAHUDIN LATEH

Saturday, May 21, 2011

Lambat dapat zuriat..Jgn sibuk2!! Tolong hormati rumah tangga orang !!


SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri hidup dan bukti kasih sayang. Paling penting sebagai penyambung zuriat.

Namun tidak semua yang dirancang akan dimakbulkan Allah SWT kerana setiap orang pasti akan diuji dengan pelbagai dugaan. Tidak terkecuali pasangan yang baru menempuh gerbang perkahwinan. Ada pasangan yang cepat dikurniakan zuriat dan ada juga yang bertahun-tahun menunggu tetapi belum diberi rezeki.

Itu semua kerja Tuhan, bukan kerja kita sebagai manusia. Yang penting kita harus terus berusaha dan berdoa. Jangan berputus asa dan kecewa kerana setiap orang ada rezeki yang telah ditentukan oleh Allah Yang Maha Esa.

Begitu mukadimah kisah yang ingin saya paparkan buat renungan pembaca minggu ini. Kisah ini dikirim oleh seorang wanita yang baru setahun bergelar isteri. Mahu dikenali sebagai Maria (bukan nama sebenar), beliau yang berumur 25 tahun melahirkan rasa geram dan marah dengan seorang rakannya yang suka sibuk dengan urusan hidupnya. Si kawan ini, kata Maria selalu membawa cerita tentang dia mandul dan tidak dapat melahirkan anak kerana telah lebih setahun berkahwin tetapi belum nampak tanda-tanda yang dia akan hamil.

Kita ikuti cerita Maria seterusnya:

"Saya baru setahun lebih mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang empat tahun lebih tua daripada saya atas dasar suka sama suka. Memang saya berhajat untuk mendapatkan anak secepat mungkin. Sayangnya masih belum ada rezeki.

"Di pejabat saya ada seorang rakan yang suka sibuk menjaga tepi kain orang. Dia yang saya namakan Kak Jee (bukan nama sebenar) memang kami panggil tukang karut sebab suka jaja cerita orang.

"Kalau dia dapat tahu ada kalangan kakitangan yang menghadapi masalah rumah tangga, maka dia akan buat sidang media. Kalau cerita itu ada 10 para, dia akan panjangkan jadi 20 para, begitu seterusnya.

"Seluruh pejabat tahu tentang perangai Kak Jee tetapi tidak siapa berani menegur kerana menghormati usianya yang lebih tua daripada kami. Ertinya kami menghormati dia sebagai senior di pejabat.

"Saya tidak marah dia menjaja cerita orang lain, itu dia punya hal sebab dosa dia yang tanggung. Yang saya marah dan tidak sedap hati sebab dia mula menjaja cerita saya tidak mengandung dan mandul.

"Mana dia dapat cerita saya mandul pun saya tidak tahu, pada hal saya baru setahun berkahwin.

"Paling saya sakit hati apabila dia memegang perut saya tanpa segan silu berkata, bila nak buncit ini?

"Bukankah itu biadab namanya? Sakitnya hati saya! Selama ini, saya menghormati dia sebagai kakak tetapi perbuatannya yang saya anggap biadab itu seperti mencabar kesabaran saya. Dia telah mengaibkan saya di khalayak, di hadapan teman-teman sekerja pula itu.

"Bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu. Malu sehinggakan tidak tahu mana hendak letak muka. Kalau ikutkan hati memang saya hendak tampar muka dia, tapi bila fikirkan dia orang tua saya pendamkan perasaan itu.

"Saya ingin nasihatkan bakal pengantin, ibu-ibu, mentua mahupun makcik-makcik di luar sana, supaya jangan jadikan isu tidak ada anak sebagai masalah besar dalam rumah tangga anak menantu mereka.

"Ini semua bukan urusan manusia, semua kerja Tuhan. Tolong faham perasaan dan hati seorang perempuan yang masih menunggu rezeki Allah. Maksud saya anak.

"Nasihat saya juga kepada semua bakal pengantin supaya bersedia dengan soalan-soalan seperti ini kerana memang akan ada golongan kepoh yang akan bertanyakan soalan ini. Mereka ini bukan tahu menjaga air muka orang, terutama di hadapan orang.

"Kadang-kadang saya kasihan dengan mereka ini, sedih apabila mengenangkan mereka tidak mungkin berubah kerana mulut mereka yang celupar dan suka mengguris perasaan orang. Orang yang bersikap begini bagi saya ada penyakit.

"Sebagai manusia saya juga percaya setiap orang ada hati dan perasaan mereka sendiri. Sebenarnya, bukan soalan yang diajukan menyakitkan hati tetapi bagaimana soalan itu dikemukakan juga satu masalah.

"Apa yang saya pelik, adakah kita ikhlas apabila bertanyakan soalan sensitif seperti itu kepada kawan-kawan, sedangkan mereka menganggapnya sebagai terlalu peribadi.

"Adakah kita ingin menguji mereka? Jika benar kenapa dengan cara yang menyakitkan hati? Saya amat sedih dengan sikap Kak Jee sehingga menyebabkan saya mula renggang dengan dia.

"Saya benar-benar tersinggung dan malu pada rakan lain. Pada hal saya dan suami telah disahkan tidak menghadapi masalah mendapatkan anak. Apabila mengenangkan sikapnya itu saya selalu menangis, sehinggakan suami memujuk dengan berkata, jangan ambil berat akan kata-kata Kak Jee, mungkin dia hanya bergurau.

"Bagi saya bergurau ada batasnya, kalau sampai mengaibkan orang itu bukan lagi bergurau, tetapi biadab!

"Setiap orang berbeza fikiran, terutama wanita. Ada yang suka diperlakukan apa sahaja, ada yang sensitif dan saya termasuk dalam golongan kedua. Saya mahu hak saya dihormati.

"Kepada Kak Jee jika terbaca catatan ini, pesanan saya, tolong hormati rumah tangga orang. Tidak semua orang suka dengan perlakuan anda, belajar menghormati hak orang lain, baru orang akan menghormati hak anda pula.

"Saya berharap, pada semua wanita yang mungkin berada di situasi seperti saya supaya cekalkan hati dengan dugaan orang seperti Kak Jee.

Bagi saya, kalau 10 pertanyaan ditukar kepada 10 doa, alangkah bahagianya!.

Thursday, May 19, 2011

Artikel wanita: Berapa kali anda KEMUT dalam sehari???


LUL jejas perhubungan seksual

DALAM sehari berapa kali anda 'terkucil'? Bagi yang kurang faham maksudnya, terkucil merujuk pada masalah kerap membuang air kecil. Jika anda mengalami keadaan ini, jangan ambil mudah, anda mungkin berhadapan keadaan inkontinens atau lemah kawalan pundi kencing (LUL).
Keadaan inkontinens terjadi apabila wujud masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Secara lazimnya, kebarangkalian untuk wanita mendapat masalah LUL adalah lebih tinggi, khususnya wanita berusia dan yang kerap melahirkan anak, disebabkan struktur tubuh wanita serta faktor melahirkan anak

Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Seri Suniza Sufian, berkata keadaan inkontinens terjadi apabila ada masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvik menjadi lemah dan tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar.

Pundi kencing menyimpan air kencing. Ia boleh mengembang untuk menampung 350 mililiter (ml) hingga 550 ml air kencing. Individu biasanya terasa hendak buang air kecil apabila kandungan pundi kencing lebih kurang 150 ml hingga 200 ml. Desakan buang air kecil meningkat apabila isi pundi kencing bertambah kepada 250 ml hingga 300 ml dan apabila ia mencapai 500 mililiter, pundi kencing perlu dikosongkan segera.

Pembuangan air kencing membabitkan dua peringkat iaitu pengisian serta penyimpanan air kencing dan peringkat kedua iaitu pengosongan pundi kencing.

Ketika pembuangan air kencing, otot yang 'memegang' pundi (dipanggil otot sphincter) dalam keadaan rehat, manakala otot pundi kencing pula mengecut supaya air kencing boleh ditolak keluar memasuki salur kencing (uretra).
“Untuk betul-betul mengosongkan pundi kencing, otot pundi dan spinchter perlu bertindak serentak. Kegagalan pada mana-mana bahagian, sama ada pada pundi, otot spinchter atau saraf, menyebabkan masalah ini dan bagi orang yang ada masalah lemah pundi kencing, kebocoran boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun pundi kencing tidak penuh,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pengenalan pelakon/pelawak tempatan, Sharifah Shahirah atau Shiera sebagai duta Poise. Turut hadir, Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia untuk Poise, Haniza Tahir.

Segelintir wanita mengambil jalan pintas untuk mengurangkan jumlah minum air atau mengambil makanan berair, supaya dapat membantu menangani masalah itu. Tetapi ia tidak banyak membantu sebaliknya menyebabkan air kencing menjadi lebih pekat iaitu penanda individu mengalami dehidrasi atau kekurangan air.

Kekurangan air juga boleh menjejaskan fungsi organ dalam badan menyebabkan pelbagai masalah lain berikutan badan akan cepat berasa letih, tidak bermaya.

“Masalah inkontinens bukan saja memalukan, tetapi membuatkan seseorang berasa rendah diri, tidak selesa, tertekan dan murung. Ia turut memberi kesan psikologi lebih besar kepada wanita sehingga ada yang perlu mengubah gaya hidup dan mengelak terbabit dalam kegiatan sosial kerana bimbang dan malu jika masalah mereka diketahui.

“Malah, menjadi isu penting dalam aspek kebersihan, terutama bagi wanita beragama Islam untuk beribadat,” katanya yang menyatakan faktor kesihatan termasuk obesiti, sembelit, kesan sampingan pelbagai ubat-ubatan dan menopaus boleh menjejaskan kekuatan fungsi otot.

Mengulas mengenai kemungkinan ia menjejaskan perhubungan seksual, Dr Seri Suniza tidak menafikan hal berkenaan berlaku lantaran tidak ramai lelaki yang faham mengenai masalah dihidapi wanita itu selain masalah itu tidak dibincang secara meluas dan terbuka.

Ketika proses bersama, isteri mungkin terkucil dan keadaan itu boleh menimbulkan rasa tidak selesa. Lebih daripada itu, ia sebenarnya menjurus kepada masalah lain, termasuk jangkitan ruam dan gatal kerana kawasan di situ selalu lembap.

Untuk menangani masalah itu, senaman menguatkan lantai pelvik dan otot pada pundi kencing iaitu senaman kegel atau kemut boleh dilakukan lima kali sehari dengan setiap sesi sebanyak 10 kemutan.

Paling penting, pesan Dr Seri Suniza, wanita tidak harus berasa malu dan menyembunyikan masalah berkenaan kerana keadaan boleh menjadi lebih teruk jika tidak mendapat rawatan ,termasuk berjumpa doktor. Pelbagai rawatan tersedia mengikut tahap masalah masing-masing bermula oral (pengambilan ubat-ubatan) hinggalah pembedahan kecil.

Bantu sebar pesanan

APABILA ditawarkan menjadi duta produk Poise, pelakon/pelawak tempatan, Sharifah Shahirah atau Shiera turut terfikir kemungkinan orang ramai mengaitkannya sebagai seorang pengidap LUL.

Tetapi apabila difikir-fikir semula, produk yang dicipta khusus untuk penghidap masalah itu, beliau merasakan ia sesuai dengan tuntutan kerjanya dan bertepatan dengan ‘sediakan payung sebelum hujan’.

“Saya bukan pengidap LUL tahap serius, tetapi menggunakannya sebagai persediaan, lantaran kerja. Berhadapan rakaman televisyen secara langsung kadangkala memerlukan saya ‘bertahan’. Begitu juga dilingkari rakan yang suka berjenaka dan membuatkan saya kerap ketawa besar, menjadikan kadangkala keadaan itu tidak dapat dielakkan.

“Pada saya, masalah ini tidak apa hendak dimalukan kerana kajian menunjukkan semakin ramai wanita muda menghadapinya dan apabila kita mengambil langkah menangani awal, lagi baik. Ketika hamil dulu saya turut menghadapi masalah ini, tidak tahu ke mana untuk dirujuk.

“Apabila isu sebegini ini dibincangkan lebih meluas, ia amat bagus kerana membolehkan penghidap, khususnya tahu ke mana nak dituju dan produk apa yang menjanjikan kesesuaian serta kebersihan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia untuk Poise, Haniza Tahir, berkata dalam dalam usaha membantu wanita menangani masalah berkenaan, pihaknya melancarkan kempen terbaru ‘Live and Laugh More with Poise’.

Kempen berkenaan bertujuan menyampaikan mesej bahawa masih ada peluang untuk menikmati kehidupan dengan penuh gelak ketawa dan keyakinan. Kempen itu merangkumi siri rencana pendidikan dan program senaman kegel di seluruh negara.

Katanya, kajian Poise juga menunjukkan produk seperti Poise, membantu memenuhi keperluan khusus bagi wanita yang mengalami LUL kerana ia menumpukan kepada setiap ciri yang diingini pengguna.

Jelasnya, kajian turut mendapati 24 peratus wanita mengalami LUL tidak mahu masalah berkenaan menjejaskan kehidupan mereka. Untuk maklumat lanjut, layari www.poise.com.my atau hubungi 1-800-82-1188.

INFO: Punca LUL
  • Kecacatan sejak lahir
  • Berlaku perubahan akibat penuaan
  • Selepas menopaus (akibat perubahan hormon)
  • Pernah menjalani pembedahan atau kecederaan pelvik
  • Menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, strok, Alzheimer atau Parkinson
  • Jangkitan saluran kencing
  • Kehamilan dan melahirkan anak
  • Jangkitan atau keradangan vagina

    Rawatan

  • Kurangkan berat badan jika terlalu gemuk
  • Jangan memakai korset kerana ia menekan lantai pelvik ke bawah
  • Elak pengambilan sesetengah jenis ubat dan minuman mengandungi kafein kerana ia merangsang pembuangan air kecil
  • Kurangkan aktiviti fizikal sehingga masalah dapat dikawal
  • Buat diari buang air kecil dan catatkan berapa banyak air diminum, jenis minuman, berapa kerap anda buang air kecil dan berapa banyak air kencing. Ia dapat membantu doktor meneliti masalah anda. Jangan tahan kencing. Jadikan amalan untuk pergi ke tandas setiap dua jam hingga tiga jam.

    INFO: Kajian Poise

  • Kajian membabitkan kira-kira 3,000 wanita mendapati 70 peratus wanita di negara ini mengalami masalah LUL dengan 30 peratus mengalami keadaan ‘terkucil’, sekurang-kurangnya sekali seminggu dan semakin ramai wanita muda pula menghidapinya.

  • 31 peratus wanita mula mengalami lemah kawalan kencing secara kerap ketika berusia antara 35 tahun dan 44 tahun, manakala 19 peratus lebih muda daripada usia 35 tahun, membuktikan tanggapan LUL dihidapi warga tua, meleset sama sekali.

  • Sikap malu membataskan mereka yang mengalami masalah ini membicarakannya secara terbuka.

  • Batuk menjadi pencetus utama berlaku keadaan itu membabitkan 69 peratus responden, diikuti bersin 66 peratus dan ketawa 55 peratus.

  • Kajian juga mendapati, wanita lebih risau dengan bau hancing (25 peratus) dan majoriti iaitu 85 peratus bergantung kepada liner dan tuala wanita biasa yang digunakan untuk haid.

  • Berdasarkan maklum balas, dua ciri utama yang dianggap amat penting bagi produk lemah kawalan kencing ialah penyerapan dan kawalan bau hancing.

  • Meskipun jumlah mereka yang mengalami LUL tinggi, amat kurang wanita mengambil langkah yang betul untuk menangani masalah ini secara berkesan. Hanya tiga peratus mempraktikkan senaman kegel yang dapat membantu memperkuatkan otot lantai pelvik dan mengurangkan masalah ‘terkucil’ manakala hanya segelintir menggunakan produk perlindungan yang betul

  • Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...