terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, June 28, 2011

Padah curangi suami !!!


PERCERAIAN menjadi jalan terakhir apabila tiada persefahaman antara pasangan suami isteri. Sesungguhnya tiada insan yang mahukan perceraian. Namun qada dan qadar Ilahi wajib dipercayai apabila bahtera perkahwinan terlerai atas sebab tertentu.
Namun, ada kalanya sesebuah perkahwinan itu berjalan begitu baik, tetapi disebabkan nafsu menghantui diri ia membawa kemusnahan. Terlajak perahu boleh berundur, namun terlajak perbuatan buruk padahnya.
Begitulah kisah dipaparkan minggu ini terhadap seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Su yang hilang segala-gala suami dan anak. Malah, bekas teman lelakinya juga menghilangkan diri, hanya tinggal dirinya terkontang-kanting dek kerana terlalu mengikuti gelora hatinya.

Su, berusia 32 tahun, setiausaha di sebuah syarikat swasta di utara menyesal apabila menuntut cerai daripada suami yang bergelar Zack. Semuanya bermula ketika Su menjalinkan semula cinta dengan bekas teman lelakinya. Hubungan Su dengan bekas kekasihnya yang dikenali sebagai Adam (bukan nama sebenar) tidak seindah yang diimpikan sebaik saja Zack menjatuhkan talak dua atas kemahuan Su sendiri.

“Saya hilang segala-galanya. Rupa-rupanya bekas kekasih tidak ikhlas dan hanya ingin membalas dendam kepada saya kerana dulu saya nodai cinta sucinya dan berkahwin dengan Zack.

“Silap saya menagih semula cinta bekas teman lelaki kerana sudah bosan dengan suami yang terlalu sibuk dengan kerjanya di pejabat dan kurang beri perhatian kepada saya serta anak. Malah, hubungan ‘intim’ kami sebagai suami isteri semakin muram kerana dia kurang bijak ‘beraksi’ seperti dulu. Saya jadikan seks sebagai alasan kami tidak lagi sefahaman,” luahnya yang dikurniakan sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan, masing-masing berusia lapan dan lima tahun ketika berkongsi hidup dengan Zack.
Mengimbas kisah silam, Su menyambung cerita, sebelum berkahwin mereka tinggal serumah selama dua tahun dan sering melakukan hubungan terlarang dan pada ketika itu kehidupan seks mereka sangat hebat dan tidak membosankan.

Katanya, kehangatan ‘bermesra’ menjadi semakin kendur selepas setahun berkahwin, mereka juga jarang ‘bersama’ mungkin disebabkan Zack terlalu sibuk dengan tugasnya di pejabat.

Berikutan itu, jiwa Su meracau dan mula menjalinkan semula hubungan dengan Adam yang lebih lapan tahun jarak usia dengannya.

“Sebelum bertemu Zack, saya pernah bercinta dengan Adam. Tetapi hubungan kami terputus selepas saya bertemu Zack. Sementara Adam pula berkahwin dengan dua perempuan lain dan kedua-duanya tidak kekal.

“Sejak bercerai Adam mula menghubungi saya dan sering bercerita mengenai kebenciannya terhadap kedua-dua bekas isterinya. Memang pada awalnya saya cuba mengelak berjumpa Adam, tetapi selepas beberapa kali keluar bersama, akhirnya hubungan menjadi semakin intim dan cinta berputik kembali,” katanya.

Perjalanan kisah cinta Su dan Adam berterusan dan semakin mekar tanpa pengetahuan Zack sehingga mereka terlanjur.

Pada masa sama, Su sering membezakan kehebatan Adam di ranjang berbanding Zack yang sering tewas lebih cepat ketika mengadakan hubungan kelamin. Akhirnya, Su mengambil keputusan untuk meminta cerai daripada Zack dan kerana ingin meneruskan hubungan dengan Adam.

“Bagaimanapun, lain pula yang berlaku, Adam sebenarnya bukan ingin menamatkan hubungan serius kami, sebaliknya dia hanya ingin membalas dendam kepada saya. Adam kemudian menghilangkan diri tanpa khabar berita dan langsung tidak menghubungi saya selepas seminggu di jatuhkan talak. Sudahlah hak penjagaan anak juga jatuh ke tangan suami, saya bagaikan hilang arah apabila dibiarkan Adam tanpa rasa kasihan,” katanya yang penuh kesal atas apa yang berlaku kerana menuntut cerai daripada suami demi Adam.

Sehingga kini Su tidak dapat lagi mencari Adam yang sudah menukar nombor telefon bimbit dan difahamkan berhijrah ke luar negara atas urusan kerja. Kini, kehidupan Su agak hambar dan lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan untuk mengurangkan tekanan

'Teman baharu rupanya madu saya' !!!


Membuka tirai sembang minggu ini, saya paparkan keluhan hati seorang isteri nun jauh di luar negara yang ingin berkongsi cerita kehidupannya yang sudah tiada ertinya lagi di sisi suami.

Melalui sepucuk surat dan kemudian panggilan telefon kepada saya dalam jarak beratus-ratus ribu batu jauhnya, wanita ini ternyata benar-benar sudah kecewa dan membawa diri untuk mengubat hatinya bersama anak-anak.

Biarlah saya namakan dia sebagai Samiha, berusia awal 50-an dan mempunyai dua orang anak lelaki. Kita ikuti cerita seterusnya mengenai rumah tangga Samiha.

"Kadang-kadang sungguh pun kita berusaha menjaga hati dan perasaan suami, tetapi suami masih mencari lain atau kahwin diam-diam tanpa pengetahuan kita.

"Namun sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah juga akhirnya. Rahsia saya dimadukan akhirnya terbongkar setelah 10 tahun saya ditipu suami.

"Saya berkahwin selama 20 tahun dengan seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan. Disebabkan anak belajar di luar negara, saya menyertai sebuah kelab wanita untuk menghilangkan rasa bosan. Tidak pula saya sangka, kehadiran saya di kelab itu telah menjadi tamparan hebat buat saya untuk terus hidup.

"Melalui kelab inilah, saya mengetahui suami telah menduakan saya tanpa pengetahuan saya.

"Semuanya bermula apabila ketua kelab ini menjemput seorang tetamu khas untuk mengajar kami membuat masakan Arab.

"Perempuan ini seorang yang bergaya, cantik dan bijak berbicara. Saya juga terpegun dengan penampilannya.

"Entah macam mana di antara ramai ahli, dia memilih saya sebagai teman rapatnya. Bukan sahaja di kelab, setiap kali bermain boling, dia akan dimasukkan di dalam pasukan saya.

"Hubungan kami tambah mesra dan setiap dua minggu sekali kami keluar bersama membeli-belah atau minum. Bagaimanapun, kami tidak pernah berkunjung ke rumah antara satu sama lain kerana dia tinggal di kawasan M dan saya pula di kawasan K.

"Satu hari kami ke sebuah restoran kuih muih tradisional di sebuah kompleks membeli-belah dan dia memesan beberapa jenis kuih tradisional untuk satu majlis katanya. Peliknya kuih tersebut sama seperti yang saya selalu beli untuk suami, kedai juga sama.

"Dia juga memberitahu, tidak menjemput ramai tetamu hanya lapan orang sahaja termasuk saya. Mujur pada hari dia menjemput ke rumahnya untuk majlis tersebut, saya ada urusan lain yang penting.

"Hendak dijadikan cerita pada petang yang sama, saya ke kediamannya untuk mengambil biskut Arab yang saya tempah. Itulah kali pertama saya ke rumahnya. Memang kondo itu sangat cantik dengan dekorasi yang kreatif. Secara kebetulan, petang itu hujan lebat. Semasa dia menyediakan kopi, saya ke beranda untuk melihat pemandangan Lembah Klang.

"Tiba-tiba saya ternampak tiga helai baju berjenama dan baju Melayu warna mustard tersidai di situ, semuanya warna yang terang.

"Saya membelek saiznya, di dalam hati berdetik, ini baju yang saya beli untuk suami. Saya cam sangat baju Melayu ini kerana ia memang baju kegemaran suami saya setiap kali dia hendak bersolat Jumaat.

"Saya yakin 100 peratus ia baju kepunyaan suami, kerana saya yang membelinya. Memandangkan saya masih di rumah orang, saya mengawal perasaan seperti tidak ada apa yang berlaku.

"Di dalam perbualan kami, dia memberitahu telah berkahwin 10 tahun dan merahsiakan perkahwinannya kerana tidak mahu popularitinya terjejas.

"Menurut cerita, suaminya seorang ahli perniagaan yang berjaya di utara dan hanya balik setiap dua minggu sekali, itu pun tidak tentu masa.

"Katanya lagi, tidak lama lagi genap usia suaminya 50 tahun. Itu sebab, dia hendak mengadakan majlis kecil-kecilan untuk suaminya.

"Saya pulang ke rumah dengan perasaan yang kecewa. Hati saya kosong mengenangkan apa yang berlaku. Mungkinkah dia madu saya? Hati saya tertanya-tanya.

"Apabila suami balik, saya buat seperti biasa dan bertanya di mana baju-bajunya. Jawab dia, tertinggal di rumah kakaknya dengan alasan senang apabila hendak solat Jumaat.

"Dia masih berlakon di hadapan saya setiap kali saya ajukan soalan. Bila dikenang kembali katanya yang tiap-tiap minggu dia berada di utara, hati saya menjadi hancur sebab selama ini rupanya dia berada di rumah teman saya yang kini telah sah menjadi madu saya.

"Lalu teringat saya kenapa dia minat sangat dengan drama TV sebab isterinya berlakon, begitu juga majalah, rupanya gambar isterinya ada terpampang di dalamnya.

"Memang orangnya cantik tidak dinafikan berbanding dengan saya, macam langit dengan bumi jauh berbeza.

"Bagi mengubat hati yang lara, saya bercuti ke luar negara. Saya amat sedih dan kecewa kerana telah ditipu suami selama 10 tahun. Saya tidak salahkan madu saya. Sungguhpun dia seorang selebriti, dia tidak tahu suaminya ada isteri dan anak.

"Buat sementara, perkara ini saya diamkan saja, tetapi apabila ke Malaysia nanti, saya akan membuat keputusan. Tuhan saja yang tahu bagaimana pedihnya hati saya dengan sikap suami. Walaupun pedih, hidup mesti diteruskan. Saya tidak akan membiarkan kelukaan ini menghancurkan hidup dan masa depan saya. Doakan agar saya sentiasa tenang dan damai," Begitu Samiha menamatkan ceritanya.

Ketika membaca surat kiriman Samiha saya amat terkejut dan terkedu seketika. Tidak saya duga akan menerima cerita benar ini yang biasanya hanya ditonton menerusi televisyen.

Akan tetapi, itulah realiti hidup. Segala yang berlaku tidak pernah dirancang manusia. Dunia ini sebenarnya amat kecil dan Tuhan telah menemukan Samiha dengan wanita yang menjadi madunya untuk menunjukkan sikap sebenar suaminya itu

Beri peluang golongan muda Melayu miliki rumah di lokasi elit Prima !!


KAWASAN segi tiga emas Kuala Lumpur yang melibatkan Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak, Jalan Tuanku Abdul Rahman pesat dengan pertumbuhan bangunan pencakar langit dan kondominium mewah.

Kawasan itu menjadi tumpuan kediaman untuk golongan kaya. Sekarang kawasan perumahan kerajaan di Jalan Davis dan Jalan Cochrane pun sedang bertukar wajah.

Jadi, kakitangan kerajaan dan golongan sederhana sudah berpindah ke kawasan pinggir Kuala Lumpur seperti Hulu Langat, Kajang, Puchong dan Sungai Buloh.

Paling ramai yang memulakan kehidupan baru di kawasan pinggir itu ialah Melayu. Kawasan orang Melayu di Kuala Lumpur hanya tinggal di Ampang Hulu Klang, Gombak dan Kampung Pandan.

Banyak kawasan yang dimajukan kini diisi oleh bukan Melayu. Sebabnya kita sendiri maklum – harga rumah yang melambung tinggi.

Dengan bekerja makan gaji dan berpendapatan RM3,000 sebulan pun belum tentu mampu memiliki sebuah rumah dua tingkat di Kuala Lumpur sekarang. Tidak ada harga rumah sekitar RM100,000 hingga RM250,000 seperti sepuluh tahun lalu. Dengan nilai sekarang RM400,000 hingga jutaan ringgit, tidak banyak Melayu mampu membelinya.

Sebab itu, banyak orang Melayu kini bertumpu di pinggir-pinggir Kuala Lumpur kerana harga rumah yang sederhana.

Kalau yang dapat terus tinggal di Kuala Lumpur ialah mereka yang dahulunya tinggal di kawasan setinggan. Mereka yang membina rumah haram akhirnya dipindahkan ke kawasan Projek Perumahan Rakyat - ada yang menyewa dan membelinya.

Bertuah golongan ini kerana dapat tinggal di dalam ibu kota. Kurang bernasib baik pula kepada mereka yang terpaksa membeli rumah berharga sederhana di luar Kuala Lumpur.

Masih ramai warga yang bekerja di ibu kota dahagakan rumah mampu milik. Oleh itu, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mentransfom (mengubah) sebahagian tanah Pangkalan Tentera Udara Sungai Besi untuk dibangunkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima) sangat dialu-alukan.

Kadang kala kerajaan kena memikirkan soal tempat tinggal rakyat dan bukan terus melayan pemaju kompleks komersial, bangunan pejabat dan kondominium apabila mengambil kawasan tanah seperti tanah KTMB di Brickfield, Flat Pekeliling dan beberapa lokasi lain.

Cadangan membina perumahan rakyat itu sekurang-kurangnya mengembalikan harapan untuk golongan muda memiliki rumah yang berdekatan dengan pusat ibu kota.

Kepada syarikat perumahan yang telah dirundingi oleh kerajaan seperti SP Setia, Sime Darby dan Perbadanan Putrajaya kita mengharapkan jangan memikirkan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Mereka juga perlu memikirkan hasrat dan nama projek itu atas nama 1Malaysia. Jadi, pastikan projek perumahan ini mampu dibeli oleh semua kaum. Keseimbangan pembeli juga penting dalam projek ini supaya ia tidak berat sebelah kepada kaum tertentu sahaja.

Saya amat berharap pembangunan Prima berkonsepkan kondominium mampu milik dengan harga setiap unit kira-kira RM220,000 ke bawah untuk golongan muda yang berpendapatan kurang RM3,000 boleh menjadi kenyataan.

Hasrat untuk melihat golongan muda pelbagai kaum tinggal dan bercampur gaul di kawasan bekas pangkalan TUDM ini tidak patut disabotaj oleh sikap sempit sesetengah pihak yang mahu membolot kawasan strategik ini.

Pihak bank jangan terlalu cerewet dalam meluluskan pinjaman jika syarat pinjaman dipenuhi. Agensi hartanah jangan dibenar membeli walau satu unit pun kerana mereka akan memanipulasi harga pasaran rumah tersebut.

Mungkin kuota pembeli mengikut komposisi kaum dibenarkan kerana kawasan majoriti Melayu di Kuala Lumpur kini semakin kurang. Elok juga jika mana-mana kawasan pembangunan baru di Kuala Lumpur tidak dibolot dan dikuasai hanya satu-satu kaum sahaja

Oleh Azman Anuar

Harga rumah di Putrajaya terlalu mahal !!!


SEMAKAN terhadap harga rumah yang dijual di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya didapati mahal berbanding di tempat lain. Penjawat awam sepanjang perkhidmatannya boleh membeli rumah melalui pinjaman kerajaan bergantung kepada gaji bulanan, faktor usia, serta baki tempoh perkhidmatan.

Kadar pinjaman mereka adalah antara RM60,000 sehingga RM350,000 tertakluk kepada terma dan beberapa syarat lain. Tempoh pinjaman yang dibenarkan adalah sehingga 25 tahun dengan kadar empat peratus setahun.
Tinjauan yang dibuat terhadap harga rumah di Putrajaya adalah antara RM450,000 hingga RM1 juta bagi rumah teres dan berkembar. Bagi rumah kediaman enam bilik pula harganya melebihi RM1 juta. Harga itu dianggap mahal dan tidak mampu dibeli oleh kakitangan awam berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.
Justeru, adalah dicadang supaya kerajaan dapat membuat kawalan harga rumah di Putrajaya dengan membina rumah di bawah harga RM220,000 dan memberi keutamaan kepada penjawat awam yang belum memiliki rumah sendiri.

YOSRI ABU MAHSIN,
Putrajaya

Ijazah pertama wajar dibuat dalam negara..


KEBELAKANGAN ini isu pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang hangat diperkatakan. Selaku seorang mahasiswa dan juga antara penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), saya terpanggil untuk menyuarakan sedikit pendapat dan pandangan daripada kaca mata saya berkaitan permasalahan ini.

Menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini, antara elemen yang diberi perhatian serius ialah pengantarabangsaan di mana pihak kementerian menyasarkan untuk memiliki sekitar 200,000 mahasiswa antarabangsa menuntut di Malaysia.
Menurut maklumat yang dikeluarkan, Malaysia kini menduduki tangga ke-11 dalam pilihan pengajian tinggi dunia dan memiliki sekitar 86,000 mahasiswa antarabangsa yang menuntut di sini. Ini membuktikan kualiti yang dimiliki oleh institusi pengajian tinggi di Malaysia. Oleh itu, saya berasakan kualiti kecemerlangan daripada mahasiswa kita harus diteruskan dan dikembangkan dalam negara terlebih dahulu. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan dan melonjakkan lagi institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

Justeru, saya ingin menyarankan agar pelajar cemerlang menyambung ijazah pertama mereka di dalam negara. Namun, sekiranya mereka mendapat tawaran daripada universiti terkemuka di luar negara seperti Universiti Harvard dan Cambridge serta bidang kepakaran yang tiada di Malaysia barulah mereka dihantar ke luar negara. Saya berpendapat melanjutkan pelajaran di luar negara amat sesuai untuk program sarjana dan doktor falsafah. Dengan kaedah ini, kita dapat mengekalkan pelajar cemerlang dalam negara sekali gus meningkatkan imej dan kualiti IPT tempatan.

Persoalan bagaimana jumlah penerima biasiswa dapat ditingkatkan boleh dirungkai dengan mengekalkan pelajar cemerlang di dalam negara. Seperti yang diketahui, kos menghantar pelajar ke luar negara amat tinggi. Dengan mengehadkan jumlah pelajar, kos yang sedia ada boleh digunakan untuk menampung lebih ramai pelajar di dalam negara.

Penambahan jumlah penerima biasiswa dapat menyokong pembangunan berterusan pelajar cemerlang. Secara tidak langsung dapat menyokong budaya mengejar kecemerlangan yang diterapkan kepada anak-anak seawal tiga tahun melalui prasekolah.
Sekiranya berasakan pelajar cemerlang ini harus diberi pendedahan maka saya menyarankan agar hanya satu atau dua semester saja mereka dihantar ke universiti terkemuka luar negara untuk mengikuti program penukaran pelajar. Ini juga secara tidak langsung tidak membebankan jumlah perbelanjaan yang harus ditampung oleh pihak penaja dan pada masa yang sama mereka juga beroleh pendedahan yang setimpal.

WAN AHMAD HAZMAN WAN DAUD,
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan

Friday, June 24, 2011

Duit makan berbuka puasa di hotel mewah elok dijadikan sedekah jaga bayi di JKM !!!


RAMADAN akan tiba tidak lama lagi. Kebanyakan hotel lima bintang sudah mula mengiklankan promosi berbuka puasa dalam anggaran RM100 seorang. Ada sesetengah organisasi menjemput sehingga 1,000 orang tetamu untuk majlis sebegini. Menurut Jabatan Pendaftaran Negara, negara ini sedang mengalami kenaikan kelahiran bayi luar nikah dengan catatan 234,674 kes sejak 2006 hingga 2010.
Keadaan ini amat membimbangkan menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Alwi Ibrahim. Pada tahun lalu saja, 52,982 kanak-kanak didaftarkan sebagai kelahiran luar nikah daripada 510,462 keseluruhan kelahiran. Dari 2001 hingga 2005, Jabatan Kebajikan Masyarakat menerima 315 bayi yang dibuang.
Pihak polis pula menganggarkan 100 bayi dibuang setiap bulan. Bagaimanakah masa depan kanak-kanak malang ini? Pihak kerajaan tidak mampu membela nasib kanak-kanak ini. Bolehkah pihak tertentu menyumbangkan pembiayaan kanak-kanak ini daripada menganjurkan majlis makan di hotel? Ramadan adalah bulan mulia, bolehkah kita berkorban untuk kanak-kanak ini? KHALILAH ABDULLAH, Kolej Perubatan Manipal, Melaka

Pesakit jantung diugut di hospital kerajaan !!!


BULAN lepas sewaktu saya sedang menjalani rawatan angiogram (rawatan memeriksa saluran jantung) di Hospital Serdang, doktor yang bertugas menyatakan salah satu saluran jantung saya tersumbat.

Walaupun ia boleh menggunakan belon, namun atas nasihat pakar, beliau mengesyorkan penggunaan alat stent buatan Perancis lebih praktikal, dengan kos RM5,500.

Persoalannya, kenapa sewaktu dalam operasi begini, ketika seorang pesakit sedang memperjuangkan nyawa, soal jawab yang membabitkan wang diajukan oleh doktor tersebut kepada saya, sedangkan sebarang kemungkinan akan berlaku pada saya yang menyebabkan komplikasi.

Hampir satu jam di bilik pembedahan, dalam situasi cemas dan gelisah, akhirnya operasi memasukkan tiub di saluran jantung selamat dijalankan melalui paha kanan tanpa pembedahan, kemudian katil saya diasingkan di satu sudut.

Tidak sampai lima minit, tiba-tiba saja datang seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ejen pembekal stent (tiub), lantas menyuruh saya menandatangani satu borang.

Sedangkan bilik pembedahan kardiologi ini tidak membenarkan sesiapa pun masuk, walau keluarga terdekat sekalipun.

Tertanya di fikiran saya, kenapa beliau bebas memasuki bilik pembedahan ini? Dan kenapa cepat sekali ejen tersebut boleh sampai kepada saya?

Dalam keadaan separuh kewarasan, keletihan akibat kekurangan darah dan berpuasa hampir 24 jam, sebagai warga tua (53 tahun) saya masih sempat membaca dokumen tersebut. Sistem pembayarannya adalah berperingkat sehingga akhir tahun ini, tanpa syarat-syarat lain. Akhirnya, saya menyetujui prasyarat tersebut.

Tetapi, selepas tiga hari saya keluar dengan kesihatan jantung semakin pulih, rupanya tidak berpanjangan, kini jantung saya 'kembali sesak', ejen tersebut sudah mula memanggil saya bertanyakan pembayaran. Walaupun alasan saya untuk membayarnya dalam masa sebulan lagi (selepas saya benar-benar sihat) namun ugutan diberikan amat memeranjatkan.

Menurutnya, beliau akan mengenakan 10 peratus cas tambahan bagi setiap bulan atas kelewatan (semua kenyataan ugutan SMSnya dalam simpanan saya).

Seminggu kemudian, ejen tersebut menghubungi saya lagi, kali ini jika saya tidak membuat sebarang bayaran dalam seminggu, nama saya akan disenaraihitamkan oleh Hospital Serdang. Kini fikiran saya benar-benar terganggu akibat kejadian ini.

Untuk pengetahuan pihak Kementerian Kesihatan, sahabat yang satu wad dengan saya ketika di hospital, terpaksa menjual kereta Kancil dengan harga RM16,500, untuk membeli tiga stent, demi tiga saluran jantungnya yang tersumbat.

Walaupun kereta itu terlalu penting untuk beliau berniaga. Ini disebabkan pihak ejen bertali arus memanggil beliau untuk membuat bayaran.

Sebagai warga tua yang telah berjasa kepada pembangunan Malaysia, melalui penulisan dan produksi dokumentari, saya rasa kejadian ini amat mendukacitakan.

Sebahagian dari umur ini masih lagi berkhidmat dalam dunia kewartawanan demi menyokong cita-cita kerajaan, tapi terasa satu penghinaan oleh pihak hospital kerajaan juga.

Walaupun isteri saya seorang kakitangan kerajaan (guru), namun saya tidak memerlukan surat sokongan untuk mengurangkan ataupun melupuskan bayaran ini.

Sebagai seorang individu yang boleh bekerja lagi, bayaran ini akan saya lunaskan daripada titik peluh saya, masih banyak pesakit lain yang memerlukan peruntukan kewangan sebanyak itu (RM5,500).

Di sini saya ingin penjelasan dari pihak pengurusan Hospital Serdang, khasnya Menteri Kesihatan, di manakah slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan?

Di manakah hak hospital sehinggakan pihak ejen tersebut berhak 'menyenarai hitam' pesakit? Apakah pihak Kementerian Kesihatan peka tentang kejadian ini, sehingga ada pihak luar mendominasikan situasi ini?

Harapan saya, kelemahan ini dapat diperbaiki demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi saat-saat mautnya di mana-mana hospital kerajaan.

WARGA TUA
Puchong

Salah faham mengenai gangguan mental...


KITA sering mendapati di kalangan umat Islam Melayu di negara ini yang menghidapi penyakit mental akan pergi mendapatkan rawatan daripada mana-mana individu yang mereka lihat mempunyai kuasa, hubungan atau pegangan kepercayaannya yang kuat terhadap perkara berkaitan supernatural.

Kepercayaan supernatural atau supranatural berlaku apabila seseorang itu mempercayai akan wujudnya satu sumber kuasa atau tenaga yang berada di dalam dunia ghaib atau luar biasa selain daripada dunia nyata tetapi mempunyai pengaruh dan kesan amat kuat dalam kehidupan manusia.

Dalam konteks artikel ini, supernatural itu dirujuk kepada kepercayaan terhadap kekuatan makhluk halus di alam ghaib seperti jin, syaitan dan iblis yang mempunyai kuasa mempengaruhi umat manusia.

Walaupun hakikatnya bahawa ia satu sumber kuasa atau tenaga yang berada di luar dari tanggapan hukum tabi'i, kepercayaan bahawa ia mempunyai kuasa kuat dalam menentu atau memberi kesan langsung dalam susun atur kehidupan di alam nyata manusia adalah satu perkara yang masih mengelirukan dan seringkali menjadi perbincangan, malahan perdebatan di kalangan para pengkaji dan ilmuwan dari pelbagai latarbelakang disiplin ilmu.

Dalam konteks agama Islam, memang terdapat ajaran yang turut mengandungi pelbagai unsur berkaitan alam ghaib yang di luar dari alam tabi'i, sebahagian besarnya menjurus kepada apa yang dikenali sebagai perkara Sam'iyyat.

Ia merupakan perkara yang wajib dipercayai dan menjadi asas kepada dasar-dasar akidah umat Islam. Ia juga sebagai perkara yang tidak boleh sama sekali dipertikaikan akan kewujudan atau kebenarannya. Malahan ia merupakan sumber kekuatan yang memberi kesanspiritual dan psikologikal kepada individu muslim.

Namun di sebalik perkara ini, terselit beberapa perkara berkaitan unsur-unsur mistik yang mendasari kepercayaan khurafat dan dikhuatiri boleh menjejaskan nilai-nilai keimanan seseorang individu muslim.

Kekurangan maklumat dan fakta berkaitan dengannya merupakan perkara-perkara yang seringkali tidak jelas kedudukannya, malah menjadi sumber kekeliruan di kalangan umat Islam dalam melihat sesuatu fenomena, khususnya yang berkaitan dengan gangguan kejiwaan atau pun penyakit mental.

Jika berdasarkan kepada satu laporan akhbar iaitu pada 17 Jun lalu bahawa wujud di kalangan masyarakat Melayu Islam yang berusaha mendapatkan rawatan daripada pengamal kebomohan akibat penyakit mental yang dialami sejak empat tahun lalu, tetapi membawa kematian, ia adalah kejadian yang amat tragis dan malang.

Berdasarkan apa yang dilaporkan itu, menunjukkan bahawa kepercayaan terjadinya sesuatu penyakit akibat daripada pengaruh dunia halus masih lagi wujud, menebal dan kukuh di kalangan umat Islam negara ini.

Peristiwa itu memang sukar diterima jika didasarkan kepada pemikiran logik, atau diungkap dari perspektif saintifik, tetapi tidak dinafikan akan kewujudannya. Walaupun ajaran dalam Islam mengakui akan kewujudan makhluk halus, tetapi kepercayaan seperti itu perlu ada batasnya.

Umat Islam perlu berhati-hati terhadap kepercayaan bahawa makhluk halus memiliki kuasa luar biasa dalam mendatangkan sesuatu penyakit, atau kuasa yang boleh menyembuhkan penyakit, apatah lagi mempercayai bahawa makhluk halus boleh mencabut nyawa seseorang.

Walhal hanya Allah sahaja yang berhak disembah dan diyakini sebagai Kuasa yang memberi penyakit dan juga memberi penawar kepada mana-mana penyakit. Tidak ada selain Dia, apatah lagi jika mempercayai bahawa makhluk halus dari alam mistik juga mempunyai kuasa atau kekuatan yang sama.

Umat Islam perlu difahamkan bahawa makhluk halus dan alam mistik sememangnya wujud, namun mereka tidak mampu mempengaruhi kehidupan manusia walau dalam apa cara atau keadaan sekalipun selagi kita semua sentiasa berdoa memohon perlindungan dari-Nya.

Apatah lagi bersahabat dengan makhluk halus dan menjadi tuan kepadanya serta mengamalkan sihir sudah pasti membawa kepada kekufuran.

Apakah kecenderungan untuk mentafsirkan sesuatu penyakit yang dialami seseorang sebagai akibat oleh satu kuasa makhluk halus dari dunia mistik digalakkan atau dibenarkan dalam Islam?

Adakah ia boleh menjejaskan akidah dan keimanan seseorang muslim kelak? Apakah makhluk halus dari dunia mistik kini telah mendapat tempatnya yang wajar di kalangan umat Islam Melayu negara ini sebagai satu sumber baru mencari rezeki, populariti atau pun kemewahan?

Islam memang menuntut umatnya agar melakukan pelbagai usaha mencari ubat dan penawar bagi segala penyakit.

Bagaimanapun, daripada peristiwa yang baru berlaku itu, usaha mendapatkan rawatan dan ubatan mengikut kaedah yang digunakan sebagaimana yang dilaporkan itu memang tidak dapat diterima, khususnya daripada pendekatan perubatan moden yang bersifat saintifik.

Peristiwa ini sebenarnya menggambarkan masih lagi wujud salah faham dan salah tanggapan umat Islam, bukan sahaja terhadap punca terjadinya gangguan mental, tetapi salah faham dalam mendapatkan rawatan berkaitan penyakit mental yang dialami.

Jika kita berfikir secara logik pun, kita akan tahu bahawa bentuk rawatan seperti meminum bergelen-gelen air untuk memulihkan penyakit memang tidak dapat diterima oleh fikiran yang waras, malah bentuk rawatan yang dinyatakan itu amat tidak berperikemanusiaan dan menyalahi bentuk rawatan yang sah dan dibenarkan.

Inilah akibat daripada salah tanggapan terhadap penyakit mental dan kesilapan mendapatkan rawatan dari mereka yang tidak ada kewibawaan dalam menyediakan penjagaan kesihatan mental yang baik untuk masyarakat.

PENULIS ialah Fellow di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Pengguna kesal mutu alat ganti Proton berkualiti rendah...


SAYA memandu Proton Perdana baru yang dibeli kira-kira tiga tahun lalu. Baru-baru ini, saya menghadapi masalah kotak gear sehingga terpaksa ditukar. Ia tidak kira lagi aksesorinya yang tidak berkualiti.

Baru pakai beberapa bulan barangan plastik tertanggal. Tudung penutup lighter tercabut kerana pemegangnya terlalu halus. Sampai sekarang lighter itu tiada penutup.

Tingkap elektrik tidak perlu cakap. Sudah beberapa kali ditukar. Ada yang ditukar semasa jaminan dan sudah habis jaminan.

Stereng nampak cantik, tapi apabila dicekak dengan kunci stereng, ia retak dan akhirnya pecah. Sampai sekarang bahagian atas stereng saya pecah atau berlubang. Mahu tukar harganya kira-kira RM800.

Bumper yang tidak kukuh dan pelbagai masalah lain.

Saya berharap Proton dapat tingkatkan kualiti 'kereta rakyat' sebagaimana mutu yang dieksport ke luar negara.

PERDANA SYARIKAT
Shah Alam

Thursday, June 23, 2011

Ketaatan isteri mesti berpada !!!


APABILA ketaatan isteri menjadi debat yang panjang, penulis tertarik dengan pelbagai pandangan awam diutarakan, antaranya isteri harus membuktikan medan ranjang mereka tidak mampu ditawan sesiapa, melainkan mereka suami isteri. Ada yang yakin mengikut kata suami lambang ketaatan, sekali gus menafikan kepentingan syura dalam rumah tangga. Isteri kurang arif perintah agama menganggap setiap suruhan dan tindak tanduk suami adalah perintah Allah dan Rasul, hatta maksiat pun ditaati.
Setiap isteri akan cuba sedaya upaya menjadi isteri yang taat kerana mereka tidak mahu meredah jalan sukar menuju ke syurga. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, mentaati suami dan menjaga kehormatannya, maka dikatakan padanya: Masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang kamu kehendaki.” (Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani)
Antara ketaatan isteri terhadap suami yang dimaksudkan hadis Rasulullah SAW ialah tidak berpuasa sunnah tanpa izin suami, tidak membenarkan tetamu memasuki rumah tanpa izin suami dan tidak berinfak harta tanpa izin suami. Ketaatan kepada suami tidak semudah yang dinyatakan semua orang. Ia bermula seawal kesediaan menjadi isteri. Ramai tidak mampu menunjukkan rasa hormat lantaran mereka tidak menganggap suami sebagai pemimpin rumah tangga yang fungsinya menyediakan ilmu, keperluan rohani dan jasmani kepada setiap ahli keluarga. Puncanya kerana suami tidak menjalankan tanggungjawab diamanahkan Allah sehingga menyebabkan isteri dan anak mengabaikan amanah masing-masing. Dalam Islam, isteri wajib taat selagi suami tidak melanggar perintah Allah dan Rasul. Memang setiap isteri salihah berusaha memberi layanan terbaik buat suaminya. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Tidak dibolehkan seseorang sujud kepada sesama manusia. Jika dibolehkan sujud kepada sesama manusia, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suaminya, kerana besarnya hak suami atas isterinya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Bazzar) Hadis itu menekankan hak suami yang banyak membuatkan isteri wajib mentaati suami. Namun, hak itu hanya layak dituntut suami jika menunaikan tanggungjawab sebagai pelindung dalam rumah tangga. Hak dalam Islam hanya menjadi milik sah seseorang jika ia tidak mengabaikan tanggungjawab yang harus ditunaikan kepada orang lain. Prinsip sama terpakai dalam hubungan suami isteri dan perlu difahami dengan jujur, bukan hanya menjadikan perumpamaan perintah bersujud kepada suami sebagai alat memperdaya isteri. Jika suami tidak menunaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak, isteri dibenarkan menggunakan harta suami tanpa pengetahuan dengan jumlah secukupnya dan dengan cara baik. Hal ini bukan bermakna isteri tidak taat, kerana apa dilakukan isteri sekadar mengambil haknya yang tidak ditunaikan suami dan dibenarkan Rasulullah SAW. Setiap isteri harus menjadi matang dalam menerajui rumah tangga. Tidak dapat dinafikan isteri yang bijaksana akan menyumbang kepada keharmonian rumah tangga bersama suami salih. Tetapi jika wanita bersuamikan orang yang tidak mematuhi syariat, ia tidak bermakna jalan keluar hanya perceraian. Isteri salihah akan membantu suami mencari cinta Ilahi, bersabar menyiram kasih mengikut panduan agama sehingga ia subur di halaman rumah tangga. Ibnul Jauzi, seorang faqih menukilkan kisah dalam kitabnya Ahkamun Nisa, mengenai lelaki salih, rajin berpuasa dan bersolat malam bernama Syu’aib bin Harb. Ketika menikahi seorang wanita, Syu’aib berkata kepada wanita itu beliau lelaki yang buruk akhlaknya. Dengan penuh santun, wanita itu menjawab, orang yang lebih buruk akhlaknya darimu ialah orang menjadikan akhlakmu seperti itu. Hanya dengan jawapan itu, Syu’aib menyedari wanita bakal dinikahinya ialah wanita matang dan bijaksana. Justeru, beliau yakin wanita itu layak mendampinginya. Kisah itu menunjukkan wanita cenderung mentaati suami mempunyai minda cemerlang dan tidak menjadikan masalah dalam rumah tangga sebagai sebab berselisih faham, sebaliknya menekuni kekeruhan dengan bijaksana.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

Kemelut Spratlys... kekacauan masa depan...


TIADA siapa dapat mempertikaikan bahawa kepulauan Spratlys akan menjadi pusat kekacauan pada masa depan. Kawasan laut itu kini dianggap oleh pemerhati politik sebagai sebuah kolam peliharaan yang ada kehidupan di dalamnya yang sentiasa aman damai. Suasana damai ini hanya di bawah permukaan air kerana di paras laut keadaannya sangat berbeza. Negara yang menuntut iaitu Brunei, China, Filipina, Malaysia, dan Vietnam menggunakan pelbagai strategi untuk melayakkan tuntutan kewilayahan mereka ke atas Spratlys.
Kepulauan Spratlys terdiri daripada sejumlah 750 terumbu, pulau dan batu laut dengan kawasan tanah hanya lima kilometer persegi. Walau bagaimanapun, keluasan samudera lebih kurang 425,000 km persegi dilingkungi oleh Vietnam, Filipina, Malaysia dan Brunei.
Tuntutan ke atas Spratlys bermula sejak 1930. Setakat ini, sebanyak 45 pulau dan terumbu Spratlys diduduki oleh China, Filipina, Malaysia, Taiwan dan Vietnam. Sebarang pendudukan tentera memberi kelebihan kepada sesebuah negara untuk menuntut kedaulatan dan kewilayahan, di samping menuntut zon ekonomi eksklusif (EEZ) yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982. Spratlys ialah satu laluan laut yang amat strategik yang kedua sibuknya di dunia. Kawasan ini membawa 25 peratus perjalanan minyak dunia ke Timur Jauh dan Pasifik serta 90 peratus minyak dari Asia Barat ke Jepun dan Korea. Sejumlah 80 peratus perdagangan Timur Jauh melalui laut Spratlys. Sebagai antara pelantar benua terbesar di dunia, Spratlys mempunyai banyak sumber minyak, gas dan galian. Sejak 1950, negara yang menuntut sudah membina lebih 30 telaga minyak dan lima telaga gas. Malah satu kajian China menunjukkan simpanan minyak dan gas di Spratlys melebihi simpanan minyak dan gas Kuwait. Spratlys mempunyai 17.7 bilion tan, manakala Kuwait mempunyai 13 bilion tan minyak dan gas. Di samping sumber minyak dan gas, Spratlys terkenal dengan kehidupan marin yang mana kepulauan itu menghasilkan ribuan tan ikan setahun. Spratlys juga mempunyai banyak habitat laut lain. Spratlys terkenal dengan terumbu karang yang berjumlah 600 semuanya. Kawasan yang ada permukaan tanah subur ditanam dengan kelapa, betik dan pisang. Selain itu, hutan liar seperti hutan tropika, bakau dan pokok pesisir pantai. Kawasan Spratlys juga menjadi bahan tarikan pelancong kerana ia mempunyai potensi aktiviti sukan laut seperti skuba, pasir bersih, pelayaran dan chalet untuk penginapan. Pelancong dapat menikmati suasana kehidupan samudera bersama bayu laut dengan suara burung dan pukulan ombak. Keupayaan tentera adalah mustahak bagi negara yang menuntut oleh kerana kawasan Spratlys adalah luas. Tidak hairanlah kawasan itu mempunyai tiga pelabuhan perikanan, beberapa dermaga, tiga lapangan helikopter, pejabat wilayah, 10 lapangan terbang, menara telekomunikasi, pejabat pos, balai polis, kediaman awam dan berek tentera. Pada 1992, persetujuan dicapai antara ASEAN dan China berhubung pengwujudan kod kelakuan yang mana semua negara yang menuntut bersetuju membekukan sebarang tindakan ketenteraan di Spratlys. Mereka juga bersetuju untuk tidak membuat sebarang pendudukan terbaru. China seterusnya mengadakan kontrak cari gali dengan firma Amerika Crestone Energy Corp pada 1992, diikuti Vietnam pada 1994 mengadakan kontrak cari gali dengan Exxon di utara Pulau Natuna dan pada 1996, Vietnam mengadakan kontrak cari gali dengan firma minyak Amerika Conoco. Bagaimanapun, pada 1992, tentera Vietnam dan China bertempur yang mana China menduduki terumbu Da Lac yang dikuasai Vietnam. China, pula pada 1995, menduduki terumbu Mischief yang dituntut Filipina. Pertempuran ini menyebabkan kod damai yang dipersetujui di antara ASEAN dan China pada 1992 dipertikaikan. Sesebuah pulau atau terumbu itu dianggap diduduki apabila ada anggota tentera di atasnya atau ada rakyat sesebuah negara yang mendudukinya secara tetap. Selain itu, sesebuah negara itu dianggap menduduki sebuah pulau atau terumbu yang berada dalam jarak sembilan kilometer dari pulau yang didudukinya. Jumlah pendudukan setakat ini ialah tujuh bagi China, Filipina (9), Malaysia (5), Taiwan (1) dan Vietnam (21) pulau atau terumbu. Pada 2002, ASEAN dan China sekali lagi bersetuju di Phnom Penh untuk menyelesaikan isu Spratlys secara aman tanpa menggunakan kekerasan dan mengelakkan daripada membuat sebarang pendudukan baru. Kod kelakuan sebenarnya satu persefahaman saja kerana ia tidak mempunyai sebarang pegangan undang-undang. Situasi di Spratlys mengundang ‘campur tangan’ Amerika apabila Setiausaha Negara, Hillary Clinton pada 2010 menyatakan Amerika mempunyai kepentingan untuk menentukan kawasan Spratlys dalam keadaan aman. Pada sidang keselamatan Asia di Singapura tahun ini, Setiausaha Pertahanan Amerika, Robert Gates pula menyatakan rasa bimbang mengenai kedudukan di Spratlys masa kini. Ada tiga cara penyelesaian terbaik ketika ini. Pertama, mengantarabangsakan isu Spratlys menerusi satu debat dalam PBB, kedua, bersetuju supaya isu Spratlys dibawa ke Mahkamah Dunia dan ketiga mengadakan usaha cari gali bersama di kawasan Spratlys tanpa menghiraukan status kewilayahan atau kedaulatan.


Oleh Abdul Halim Saad

Penulis ialah pensyarah jemputan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Nasihat berjimat menjelang Ramadan.....


HANYA lebih kurang sebulan lagi umat Islam di seluruh dunia akan mengerjakan ibadah yang ketiga daripada Rukun Islam yang lima iaitu berpuasa di bulan Ramadan yang penuh dengan berakah.

Pada bulan itu pintu langit akan dibuka seluas-luasnya bagi memberi peluang kepada hamba-hamba Allah untuk memohon ampun dan memanjatkan doa masing-masing serta mencari pahala sebanyak mungkin dan keredaan-Nya untuk bekalan di akhirat kelak.

Tujuan puasa adalah untuk mendidik hati dan jiwa serta mengawal nafsu sebaik yang mungkin dan dalam masa yang sama adalah untuk mengabdikan diri kepada Maha Yang Esa serta akan merasa insaf tetapi nampaknya di bulan-bulan puasa pada tahun-tahun berlalu umat Islam di negara ini lebih mementingkan apa hidangan yang lazat-lazat untuk dijamah, persediaan berbuka dengan lauk pauk berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.

Setiap tahun harga ikan, udang, sotong, ketam, kelapa, gula dan sayuran akan naik dengan mendadak hanya kerana permintaan bahan-bahan mentah itu terlalu tinggi atas kehendak umat Islam itu sendiri.

Kalau sekarang harga ikan kembung mencecah RM12 sekilogram dan sotong, udang serta ketam telah mencecah RM20 bagaimana nanti di musim bulan Ramadan? Bagaimana pula harga daging dan ayam di masa itu?

Wang RM50 di tangan kini hanya mampu membeli dua atau tiga jenis bahan makanan apabila kita pergi ke pasar dan itu pun kalau mempunyai ahli keluarga yang kecil sahaja.

Oleh yang demikian mahu atau tidak mahu di bulan Ramadan ini kita hendaklah berbelanja mengikut kemampuan dan jangan terlalu boros kerana Hari Raya Aidilfitri pula akan menjelma untuk kita membuat persediaan dan jangan lupa tidak lama selepas itu persediaan akhir tahun pula menanti untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak sudah pasti menunggu.

Ibu bapa yang bertanggungjawab tidak akan membazir sewenang-wenangnya dan nasihat saya lagi jauhi daripada hutang sekadar untuk membeli peralatan atau hiasan rumah kerana potongan gaji bulanan dengan harga yang dikenakan berlipat kali ganda.

Adalah lebih bijak jika kita kumpulkan duit sebelum membelinya dengan harga tunai.

Entah apa sebabnya umat Islam di negara kita ini begitu unik sekali kalau di negara lain mereka sambut Hari Raya Aidilfitri hanya sehari atau dua hari tetapi mengapa kita sampai sebulan?

Walau apapun yang sebenarnya kita telah tersimpang jauh daripada makna berpuasa itu sendiri sekiranya sikap boros dan berbelanja ikut nafsu tidak dikekang sebagaimana yang dituntut oleh agama.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAILAmpangan Seremban

Gores dan menang serang Kota Bharu !!


BARU-baru ini saya ke Pantai Timur (Kelantan) kerana mengikuti suami yang berkursus selama tiga hari dan peluang cuti hujung minggu kami gunakan untuk melawat beberapa tempat menarik termasuk singgah di beberapa buah pasar raya yang terdapat di sana.

Saya agak terkejut kerana hampir setiap lokasi pasar raya yang saya singgah pasti kami disambut dengan pelawaan lebih 10 remaja yang menawarkan kupon, baucer dan cenderahati seperti gelas. Mereka menjalankan modus operandi yang sama - kegiatan gores dan menang.

Lebih mengejutkan, di setiap lokasi berbeza, pasti ada individu terpengaruh mendengar penerangan mengena barangan elektronik yang ditawarkan.

Saya hampir tidak percaya, walaupun berkali-kali pihak media menghebahkan mengenai kegiatan menipu gores dan menang tetapi masih ada individu yang terpengaruh meskipun dari segi luarannya mereka terpelajar atau mempunyai kerjaya profesional.

Saya mengagak mereka ini berduit orangnya, malangnya mereka seperti dipukau oleh drama-drama lakonan pekerja di dalam kedai itu. Agak menyeramkan juga sebenarnya apabila selama sesi pujukan itu berlangsung, gerak-geri pekerja seolah-olah diperhatikan oleh beberapa individu yang mungkin juga kakitangan atasan.

Agak menyedihkan apabila kebanyakan pekerja yang terdiri di kalangan golongan remaja Melayu dalam lingkungan usia awal 20-an ini seperti direkrut oleh pihak majikan melakukan ‘drama bersiri’ terhadap mangsa di kalangan bangsa yang sama.

Saya juga ada menerima sehelai baucer di sebuah pasar raya yang bersambung dengan hotel tempat saya menginap. Saya diajak ke sebuah kedai yang dipenuhi barangan elektronik. Dua remaja Melayu kemudian meminta saya mengisi borang biodata diri dan bermulalah drama yang dilakonkan oleh kakitangan kedai terbabit.

Ternyata, modus operandi mereka serupa, sama ada di pasar raya A, B, C atau D. Strategi pekerja di kedai barangan elektronik itu tidak berubah walau di mana lokasi ia dilakukan.

Selepas mengisi borang, mereka memberi dua kupon dan meminta saya membukanya. Satu kupon saya mendapat baucer bernilai RM200 untuk barangan bernilai hampir RM1,000 dan boleh digunakan untuk tempoh dua bulan.

Menariknya, sebaik sahaja membuka kupon kedua, seorang pekerja tiba-tiba berlakon menjerit keriangan dan mengucapkan tahniah sambil menghulurkan tangan. Mereka buat-buat terkejut kononnya saya memenangi kupon bertuah yang menawarkan baucer RM100 dan dua barangan tajaan atau percuma iaitu sebuah penapis air dan dapur elektrik bernilai hampir RM6,500.

Umumnya tidak akan ada individu yang menolak mendapat barangan percuma itu apatah lagi liciknya mereka berdrama apabila salah seorang pekerja menghubungi seorang lelaki yang mengaku pengurus. Pengurus itu bercakap dengan saya melalui telefon untuk mengesahkan kupon dan hadiah yang akan diserahkan kepada saya itu adalah sah.

Di sinilah berlaku penganiayaan apabila untuk mendapatkan dua hadiah percuma itu saya ‘dipaksa’ membeli sebuah barangan lain berharga RM3,200 dan pendirian pun mudah rapuh apabila ditawarkan sebuah lagi produk bernilai RM1,000 jika memilih untuk membayar secara tunai.

Saya tahu mereka sedang melakukan provokasi terhadap mangsa seperti saya dan terpulang kepada bijak atau sebaliknya kita menangani situasi tersebut. Jika gelap mata dan terpesona dengan pujukan mereka, sementelah duit pula ada dalam simpanan memang kita akur dan tewas.

Sebenarnya empat barangan yang bakal saya peroleh itu tidak berbaloi dengan wang RM3,200 yang akan dibayar tetapi pelanggan sering terpedaya dengan perangkap yang telah dipasang. Lebih mengecewakan apabila pekerja di sana tanpa rasa bersalah terus menerus mendesak saya mengeluarkan wang atau gunakan apa sahaja cara termasuk kad visa, kad kredit atau bayaran ansuran asalkan saya bersetuju.

Persoalannya, bagaimana mereka (kedai) jenis perniagaan begini mendapat kelulusan lesen perniagaan malah beroperasi di pasar raya besar dan ternama.

HAMPIR JADI MANGSA

Pulau Pinang

Pencerobohan RSAF ke ruang udara Malaysia satu isu sensitif !!


RAKYAT Malaysia boleh dimaafkan jika timbul persepsi bahawa mereka tidak begitu mengambil endah mengenai berita pencerobohan ruang udara negara oleh tentera asing kerana pada dasarnya perkara itu jarang sekali berlaku.

Malah di kawasan tuntutan bertindih seperti Kepulauan Spratly dan kawasan perairan sebelah timur Sabah dalam Lembah Tarakan iaitu ND6 dan ND7, walaupun dianggap kawasan panas, isu pencerobohan jarang sekali kedengaran.

Tetapi agak memeranjatkan apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa sebanyak 2,508 pergerakan pesawat tentera udara Singapura (RSAF) dikesan menceroboh ruang udara negara sejak 2008. Sudah acap kali rupanya kedaulatan negara diceroboh dan paling menyedihkan setiap kali ia berlaku secara berkala dan sistematik.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pencerobohan jet pejuang RSAF ini berlaku kerana ruang udara republik itu begitu sempit yang menyebabkan jet tersebut terpaksa memasuki ruang udara Malaysia tetapi isunya adalah Kuala Lumpur tidak pernah memberi kebenaran untuk membolehkan jet RSAF memasuki ruang udara negara.

Tambahan pula, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura dianggap paling menarik dan istimewa kerana mempunyai ciri-ciri unik yang penuh dengan cabaran dan pantang larangnya tersendiri. Malah hubungan Malaysia dengan jiran terdekat lain seperti Thailand, Brunei, Filipina dan Indonesia tidak boleh diletakkan dalam kelas yang sama dengan Singapura.

Sebab itu, isu pencerobohan ruang udara oleh jet RSAF walaupun dianggap remeh oleh Singapura tetapi sebaliknya pula pada tanggapan rakyat Malaysia. Kali terakhir berita mengenai pencerobohan ruang udara berlaku pada Mac 2006 apabila pesawat tanpa pemandu (UAV) yang dipercayai milik RSAF didapati menceroboh ruang udara negara di Gelang Patah, Johor.

Peristiwa yang dianggap remeh menjadi panas apabila dihebahkan UAV Singapura tersebut menggunakan teknologi pengintipan Israel dan UAV dari jenis yang sama banyak digunakan oleh rejim tersebut untuk memantau pergerakan penduduk Palestin sama ada di Semenanjung Gaza atau Tebing Barat.

Tidak diketahui apakah motif sebenar pencerobohan di Gelang Patah tetapi daripada gaya penerbangan yang dilakukan berdekatan dengan sempadan Malaysia dan ditambah pula deruman bunyi bising, ia seolah-olah ingin menghebahkan kepada rakyat Malaysia akan kehadiran UAV pengintipan Singapura. Sukar untuk menafikan bahawa pencerobohan tersebut dilakukan dengan sengaja.

Sama juga dengan pencerobohan berkala oleh jet pejuang RSAF, persepsi rakyat Malaysia adalah ia sengaja dilakukan dan alasan ruang udara yang sempit hanyalah alasan yang diada-adakan untuk menutup niat sebenar tersirat.

Perlu diungkitkan bahawa Malaysia dan Singapura sebelum ini mempunyai perjanjian penggunaan ruang udara yang antara lain membenarkan jet pejuang RSAF yang berpangkalan di Paya Lebar menggunakan ruang udara Johor Selatan.

Perjanjian ini juga membenarkan jet pejuang RSAF yang berlepas dari Pangkalan Udara Tengah menggunakan ruang udara Johor. Ini adalah kerana reka bentuk landasan pangkalan itu membuatkan sukar bagi juruterbang jet RSAF yang baru berlepas untuk mengelak dari memasuki ruang udara Malaysia.

Tetapi apa yang lebih penting adalah perjanjian ini juga membenarkan jet pejuang RSAF menjalankan latihan dalam kawasan penerbangan rendah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Soal pencerobohan kedaulatan timbul apabila terdapat beberapa ketika jet pejuang RSAF mengambil kesempatan daripada perjanjian ini untuk melakukan penerbangan di luar kawasan yang telah ditetapkan.

Untuk menghindar ruang udara diceroboh sesuka hati, maka perjanjian itu ditamatkan pada 18 September 1998. Perjanjian tersebut hampir dihidupkan kembali pada 2004 apabila Perdana Menteri kita pada ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Kanan Singapura, Goh Chok Tong membincangkan mengenai isu- isu tertunggak di antara kedua-dua negara pada 13 Disember 2004. Tetapi oleh kerana mendapat bantahan rakyat Malaysia, hasrat untuk membenarkan penggunaan ruang udara kepada RSAF terpaksa dilupakan.

Peruntukan pertahanan RSAF adalah dianggap paling mewah jika hendak dibandingkan dengan organisasi angkatan tentera negara lain yang bukan sahaja membolehkan mereka memperolehi kelengkapan terbaik, malah mampu mendapatkan latihan yang terbaik dan ini termasuklah mendapatkan kemudahan ruang udara untuk tujuan latihan juruterbang mereka.

Singapura juga mempunyai berbagai kerjasama latihan dengan beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia dan Thailand. Latihan ketenteraan seperti Stardex dan Pitch Black yang dilaksanakan bersama-sama dengan AS dan Australia sudah melebihi daripada mencukupi apa yang diperlukan oleh juruterbang RSAF.

Malah juruterbang RSAF mempunyai latihan penerbangan yang terbaik kerana rata-rata juruterbang mereka membuat penerbangan sekitar 180 hingga 200 jam setiap tahun iaitu satu jangka masa penerbangan melebihi dari apa yang diperlukan.

Hakikatnya adalah Malaysia tidak perlu memberi kelonggaran penggunaan ruang udara negara kepada Singapura kerana RSAF telah mempunyai segala-galanya. Sikap sebegini tidak boleh dianggap sebagai satu penganiayaan atau tidak mahu bertolak ansur kerana Singapura mempunyai alternatif yang lebih baik.

Begitu juga dengan Singapura adalah tidak adil untuk menggunakan Malaysia hanya untuk kepentingan diri sendiri. Dengan peruntukan yang besar dan kepakaran sedia ada, Singapura sudah pasti dapat menyelesaikan masalah penggunaan ruang udara tanpa bergantung kepada Malaysia.

Menarik juga apabila Ahmad Zahid berkata, Malaysia tidak ‘berhajat’ untuk menimbulkan masalah dengan Singapura dan berharap negara jiran itu tiada agenda melakukan sebarang provokasi. “Kita merasakan negara terbaik adalah negara yang tidak menyebabkan jirannya menaruh prasangka. Kalau memaku dinding, perlu diingat, rumah sebelah turut mendengar bunyi bising? sindir beliau.

Azmi Hassan

PENULIS ialah GeoStrategis Institut

GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis

Profesor Negara.

Bersikap terbuka bicara soal seks dengan pasangan....


Fitrah manusia dianugerahkan dengan akal fikiran, perasaan, nafsu dan keinginan. Justeru perkahwinan dilihat sebagai satu saluran untuk memberi kedamaian dan ketenteraman dua jiwa antara lelaki dan wanita dalam memenuhi fitrah tersebut.

Dalam Islam, ia juga sebagai menghalalkan perhubungan kelamin supaya mendapat keberkatan daripada Allah.

Namun jika perhubungan intim suami isteri tidak menjadi seperti yang diharapkan pasti sedikit sebanyak memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga.

Sebab itu sering kedengararan bahawa seks dan meraih kepuasan daripadanya bukanlah perkara utama dalam perhubungan suami isteri.

Tetapi benarkah itu yang ada dalam hati mereka? Atau mereka sebenarnya malu dan tabu untuk membicarakan hal seks kerana tidak mahu disalah anggap sebagai bercerita hal dalam kelambu masing-masing?

Tetapi ramai yang tidak sedar atau lupa bahawa komunikasi adalah kunci utama bagi permasalahan seks suami isteri.

Ia nampak kecil. Tetapi sebenarnya ia ibarat bom jangka yang tidak mustahil akan meletuskan perbalahan lebih besar jika tidak ditangani.

Apabila membicarakan soal kepuasan seks dalam rumah tangga, apakah kunci atau ukuran sebenar kepuasan seksual dan keintiman antara lelaki dan perempuan?

Menerusi kaji selidik oleh syarikat farmasutikel terkenal, Pfizer, mendapati kebanyakan pasangan di Malaysia berpendapat tahap ketegangan merupakan kunci utama kepuasan seksual.

Bukti yang diperolehi menerusi hasil kaji selidik yang dinamakan Kajian Seks Ideal itu diadakan pada bulan Disember tahun lalu.

Ia melibatkan 3,282 responden lelaki dan wanita dari 10 buah negara Asia Pasifik termasuk Malaysia.

Kajian itu sememangnya amat diakui kepentingannya memandangkan ia satu isu yang agak tabu dan kurang dibicarakan secara terbuka oleh pasangan di negara ini.

Dalam pada itu ia juga perlu demi memahami pemikiran lelaki dan wanita dalam menentukan persekitaran yang ideal.

Ia turut merumuskan pandangan lelaki dan wanita tentang bentuk badan, kesihatan organ reproduktif, personaliti, gaya hidup yang diidamkan, hubungan seksual mengikut ukuran Erection Hardness Score (EHS).

Pakar Urologi dari Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. George Lee berkata, kualiti ketegangan atau ereksi bukan sahaja memberi kepuasan kepada kaum lelaki secara fizikal, psikologi dan emosi tetapi ia juga sama penting untuk pasangan mereka.

“Dalam penjagaan kesihatan khususnya, memang wujud diskriminasi. Cuba kita utarakan persoalan ini, antara lelaki dan wanita mana yang mudah jatuh sakit? Jika secara rambang, pasti jawapannya lelaki. Namun mengikut kajian, perempuan lebih mudah jatuh sakit dari lelaki.

“Jika ditanya siapa umur lebih panjang? Wanita hidup lebih lama dari lelaki. Ini kerana lelaki dikaitkan dengan kuat merokok dan minum alkohol. Padahal yang sebenarnya lelaki susah mengakui yang mereka sedang sakit. Sehinggalah penyakit tersebut jadi kronik barulah mereka mahu merujuk kepada doktor,” jelasnya pada satu sesi perbincangan anjuran Pfizer di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Dr. Lee, bukan mudah mengubah tanggapan lelaki bahawa isu mati pucuk itu satu penyakit.

“Lelaki terlalu tabu untuk membicarakan tentang seks, terutama yang melibatkan kekurangan mereka.

Sekiranya seseorang lelaki mendapat ereksi optimum, dia mencapai kemampuan seksual yang lebih baik dan boleh memuaskan pasangannya.

“Dengan gaya kehidupan seksual yang membahagiakan, lelaki yang baik pada prestasi seksnya mempunyai imej diri dan keyakinan yang lebih baik. Mereka merasa lebih berjaya dari orang lain,” jelas Dr. Lee yang juga merupakan salah seorang panel pengkaji dalam Kajian Seks Ideal untuk Malaysia.

Selain daripada pengalaman seks yang ideal, kajian itu juga menunjukkan kaitan di antara kualiti ereksi lelaki dan kaitannya dengan status kesihatan mereka.

“Apa yang kebanyakan lelaki tidak tahu ialah kegagalan fungsi ereksi merupakan salah satu tanda awal bagi penyakit kardiovaskular. Lazimnya ia berlaku seiring dengan diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung.

“Akibat daripada kadar kolesterol dan diabetes yang tinggi, salur darah akan dihalang oleh pengumpulan lemak di sepanjang dinding arteri. Lama kelamaan salur darah ini akan mengeras dan menjadi sempit, mengakibatkan pengaliran darah tidak mencukupi ke organ-orang penting.

“Salur darah di bahagian kelamin lelaki lebih kecil berbanding tubuh lain. Jadi apabila bahagian ini bermasalah, bahagian tubuh lain turut terlibat terutama sekali jantung,” katanya.

Dr. Lee berkata, mengambil berat akan kualiti ereksi dan mendapat rawatan pencegahan melalui khidmat nasihat profesional bukan sahaja meningkatkan pengalaman seksual dan imej diri malahan ia boleh meningkatkan keseluruhan tahap kesihatan anda.

Kesimpulannya, amat baik pasangan berbincang dan mengambil bahagian dalam proses kaunseling bersama doktor. Tetapi, pasangan perlu pastikan komitmen mereka jika mahukan hasil yang berkesan.

Adakalanya, beberapa sesi kaunseling seksual berupaya membantu lelaki yang akan menjalani rawatan berkaitan mati pucuk.

Ia sekali gus menjadikan mereka bersedia dari segi minda dan mempunyai perasaan positif untuk menjalani kehidupan yang lebih baik selepas itu.

Saranan kaunselor juga mampu mendorong pasangan untuk memperbaiki komunikasi seksual dan hubungan cinta mereka.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

Wednesday, June 22, 2011

Maksiat undang bala !!


SEJARAH membuktikan umat terdahulu dibinasakan Allah SWT akibat maksiat yang dilakukan. Iblis diusir oleh Allah daripada syurga kerana maksiat yang dilakukan. Begitu juga kisah umat Nabi Nuh yang tenggelam dilanda banjir juga kerana maksiat.

Firman Allah yang bermaksud: Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan. (al-Qamar: 11 dan 12)

Allah menenggelamkan Firaun dan tentera-tenteranya juga kerana maksiat dan dosa-dosa yang dilakukan (rujuk ayat 40 surah al-Qasas).

Begitu juga yang berlaku terhadap kaum Lut yang mengingkari hukum dan ketetapan Allah. Orang lelaki dari kaum Lut mengamalkan seks songsang sesama lelaki iaitu liwat atau homoseksual. Perbuatan ini amat dilaknat oleh Allah.

Allah menghantar malaikat Jibrail kepada kaum Lut dan malaikat Jibrail menggunakan hujung sayapnya mengangkat perkampungan mereka dan menghempaskan kembali ke bumi (rujuk ayat 74 surah al-Hijr).

Selain itu, Allah juga telah melenyapkan Kaum Ad dan kota mereka yang hebat itu (rujuk ayat sembilan surah al-Ahzaab).

Selanjutnya adakah kita tidak mengambil iktibar terhadap musibah akibat maksiat yang dilakukan oleh kaum Bani Israel. Allah memberikan gambaran tentang hukuman yang dikenakan terhadap Bani Israel.

Allah berfirman yang bermaksud: Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di Segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (Sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. (al-Israk: 5).

Berdasarkan kisah-kisah umat yang telah dihukum oleh Allah, tentu sekali kita dapat menganalisis atau muhasabah diri tentang dosa-dosa atau maksiat yang telah dilakukan sama semalam, kelmarin atau dosa-dosa 100 tahun yang lalu.

Semuanya menjadi sebab musabab malapetaka yang perlu kita hadapi selagi kita keseluruhannya tidak memohon taubat kepada Allah.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bila terjadi maksiat di kalangan umatku, maka Allah akan memberikan azabnya untuk semua (riwayat Ahmad)."

Oleh yang demikian, sewajarnya kita merenung pengertian yang tersurat dan yang tersirat daripada hadis tersebut. Ini kerana secara realitinya memang berlaku terhadap umat yang terdahulu, kerana akibat dosa yang telah mereka lakukan mengakibatkan umat telah binasa dan dihukum oleh Allah.

Dalam satu kisah peperangan, setelah tentera Muslim menewaskan pasukan musuh dan menawan Qubrus dengan mengalahkan tentera Rumawi, keseluruhan tentera Islam bergembira merayakan kemenangan. Tetapi Abu Dardak seorang sahabat besar menangis.

Apabila ditanya mengapa beliau dalam kesedihan, Abu Dardak menjawab: "Aku menangisi umat yang telah melakukan kemaksiatan dan Allah telah meminggirkan mereka."

Oleh Dr. Burhanuddin Abdul Jalal

Tuesday, June 21, 2011

Ketahui penyakit Beguk boleh berjangkit....


BEGUK satu penyakit yang disebabkan oleh virus. Ia menyebabkan pembengkakan dan rasa sakit pada kelenjar parotid. Ia mudah berjangkit dan virus merebak melalui titisan daripada mulut, hidung serta tekak apabila mereka yang dijangkiti beguk mengalami batuk atau bersin. Ia boleh berjangkit tiga atau empat hari selepas pembengkakan bermula.
Sesetengah orang yang dijangkiti beguk tiada simptom awal, mereka mungkin menghadapi demam, sakit kepala, mulut kering dan hilang selera selain keletihan dan bengkak pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid Gejala ini biasanya hilang dalam masa 10 hari hingga 12 hari.
Beguk juga boleh dicegah dengan vaksin. Vaksin beguk ini diberi pada usia 12 bulan dan kemudian ketika berusia 7 tahun sebagai sebahagian daripada vaksin MMR iaitu (mumps, measles and rubella). Vaksin ini amat berkesan untuk mencegah beguk.

Walaupun beguk tidak dianggap bahaya kerana boleh pulih sepenuhnya, ia tidak harus dipandang ringan. Beguk boleh menyebabkan komplikasi:

  • Encephalitis (pembengkakan pada otak)
  • Meningitis (pembengkakan pada lapisan otak)
  • Panccreatitis (pembengkakan pada pankreas)
  • Orchitis (lebam pada testis) berlaku pada lelaki dewasa
  • Pekak

    Bagaimanakah ia dirawat?
    Tiada ubat yang khusus untuk beguk tetapi simptom yang dihadapi boleh dilegakan dengan:

  • Paracetamol untuk mengurangkan demam dan rasa sakit
  • Mengambil lebih minuman. Tetapi, elakkan jus yang berasid
  • Letakkan ais pada kelenjar parotid atau testis untuk melagakan kesakitan.
  • Orang yang dijangkiti hendaklah tinggal di rumah sehingga ia tidak boleh lagi berjangkit, iaitu sehingga sembilan hari selepas pembengkakan kelenjar saliva atau sehingga bengkak berkenaan hilang.

    Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


    Sumber: Kementerian Kesihatan
  • Pencari kerja kecewa..Semua nak yang boleh berbahasa Mandarin...



    SAYA kecewa bila sering melihat banyak penggunaan bahasa dan penulisan Mandarin diberi keutamaan bagi jawatan kerja di sektor swasta yang diiklankan dalam akhbar tempatan dan juga portal carian kerja.

    Di manakah peluang bagi kaum lain yang tidak menguasai bahasa tersebut untuk mendapat kerja terutama dalam sektor swasta? Apa yang dapat saya perhatikan di sektor swasta sekarang banyak peluang kerja diberikan kepada sesuatu kaum terutama bagi jawatan eksekutif dan ke atas.

    Kalau diikutkan, ramai dalam kalangan bangsa lain yang ada kemahiran untuk jawatan sama menganggur serta sukar mendapat peluang pekerjaan di sektor swasta.

    Sepatutnya di ruangan jawatan yang diiklankan tidak sepatutnya meletak bahasa Cina menjadi bahasa keutamaan melainkan jawatan tersebut memperuntukkan sebaliknya. Keutamaan tetap kepada bahasa Malaysia atau Inggeris.

    ANAK MALAYSIA

    Kuala Lumpur

    Sijil halal: Kerajaan perlu tegas !!


    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dan merasa bimbang dengan pendedahan mengenai pelbagai produk makanan yang digunakan dengan meluas oleh umat Islam mengandungi DNA babi.

    Terbaru pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendedahkan keputusan oleh Jabatan Kimia Malaysia yang menguji sampel produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce mengesahkan terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalamnya.

    Laporan akhbar hari ini menyatakan semua pemegang dan pemohon baru Sijil Halal Malaysia yang menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce diarah menukarkannya kepada produk lain yang memiliki sijil halal berikutan penemuan DNA babi dalam produk berkenaan.

    Bagi umat Islam, sebarang isu yang berkaitan persoalan halal dan haram perlu diambil serius kerana ia sesuatu yang amat sensitif kepada mereka.

    CAP juga menggesa pihak berkuasa bertindak tegas dengan menguji sampel produk berkaitan dengan sos selain daripada jenama berkenaan memandangkan begitu banyak sos yang dikeluarkan dalam negara atau pun dari luar negara.

    Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana sos digunakan di dalam banyak bahan masakan di rumah dan juga di kedai, restoran dan gerai-gerai makanan terutamanya dalam makanan ala Barat.

    Melalui pembangunan teknologi makanan, pemprosesan makanan menjadi semakin kompleks dan pengguna juga mempunyai pelbagai makanan yang diproses untuk dipilih dan keadaan inilah yang mendedahkan pengguna kepada pelbagai jenis makanan yang mungkin mengandungi bahan Haram.

    Oleh itu, CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya menarik balik dengan segera penjualan dua produk itu yang dijual di Malaysia.

    CAP menggesa rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan menghentikan segera pengambilan sos sehingga kandungannya disahkan halal oleh JAKIM.

    Pengguna juga perlu mengelak daripada mengambil produk Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage kerana Sijil Pengesahan Halal telah ditarik balik.

    Sehubungan itu, KPDNKK mestilah dengan segera mengambil tindakan untuk menarik balik sepenuhnya produk itu dari pasaran kerana ia sesuatu yang serius dan memerlukan tindakan segera.

    S. M. MOHAMED IDRIS

    Presiden Persatuan

    Pengguna Pulau Pinang

    Monday, June 20, 2011

    Bilakah Proton akan sedar mengenai kualiti keretanya????



    APABILA pelancaran kereta Proton Persona dibuat dan setelah mendengar pihak pengurusan Proton sendiri memberi jaminan yang kualiti kereta Proton banyak berubah dan dipertingkatkan.



    Justeru, saya membuat keputusan untuk membeli kereta Persona walaupun pernah melalui pengalaman pahit dengan kualiti kereta Waja yang dibeli sebelum ini.



    Tetapi malangnya, kereta Persona yang saya beli mengalami nasib sama. Kini hampir setiap kali apabila menghantar kereta Persona untuk diservis di pusat servis Proton, saya pasti mempunyai aduan yang kebanyakannya tentang masalah sama atau berulang.



    Selang beberapa bulan saya memandu kereta Persona saya, lampu gear level tidak berfungsi dan juga petrol cap lid patah. Saya terus pergi ke pusat servis Proton untuk membetulkannya. Tidak sampai dua minggu, masalah lampu gear berulang kembali.



    Rasa marah dan kecewa menyelubungi perasaan kerana terpaksa mengambil cuti dan pergi semula untuk membetulkannya di pusat servis Proton.



    Begitu juga dengan tinted film (cermin gelap) yang dipasang pada kereta saya.



    Memandangkan cuaca di negara kita ini yang sangat panas, saya membuat keputusan untuk membeli dengan pakej lengkap aksesori yang dipasang tinted dengan harapan dapat mengatasi masalah bahang kepanasan ketika memandu.



    Namun begitu, saya tidak dapat merasakan sebarang perbezaan yang ketara seperti yang diharapkan. Keadaan dalam kereta saya masih terasa panas terutamanya apabila saya memandu pada waktu tengah hari.



    Saya harus memasang penghawa dingin kereta pada kadar maksimum. Terdapat juga banyak gelembung-gelembung yang terbentuk pada cermin belakang.



    Setelah bertanya dan mendapatkan pandangan daripada kenalan yang memiliki kereta Proton, kebanyakan mereka juga menghadapi masalah serupa dan menukar tinted kereta mereka kepada yang lain.


    PELANGGAN KECEWA
    Seremban

    Poligami: Yang salah... lelaki !!!


    KISAH jangan hukum isteri kedua minggu lalu menerima banyak pandangan. kebanyakannya menyanggah pengalaman Azharina , namun saya paparkan tiga pandangan yang berbeza.

    Puan Lily yang menentang poligami dalam e-melnya berkata, kalau dah ambil laki orang tak payah tanya pandangan orang lain. Sememang jelas wanita tak ada wanita yang gembira dan suka apabila suaminya dirampas.

    ''Lagi satu, tak payah cakap pasal Qada dan Qadar, kalau semuanya pakai Qada dan Qadar tak payahlah ibu bapa bersusah payah didik anak-anak masing-masing untuk jadi manusia. Bbiarkan saja mereka membesar dan serahkan pada takdir sama ada mereka nak jadi penagih, pembunuh, perompak ataupun perogol. Tawakal saja pada Allah. Adakah itu cara yang Azharina mahu? '' kata Lily.

    Puan Sali pula dalam emelnya berkata, tidak ada manusia yang sama pandangan bila bercakap tentang poligami. Namun rata-rata semuanya memang tak suka.

    ''Saya sendiri tidak sanggup berpoligami. Bukan menentang, tetapi saya tau hati saya dan saya berhak untuk hidup bahagia, walaupun bukan bersama seorang lelaki dipanggil suami. Saya lebih rela berpisah daripada berkongsi. Tahniah wanita yang sanggup bermadu.

    ''Saya tidak bersetuju jika anda kata suami tak bahagia dengan isteri pertama. Bahagia adalah perasaan dalam diri sendiri. Jika tidak bahagia mengapa harus bersama lagi? Kalau alasannya kerana sayangkan anak-anak, itu alasan paling lemah. Bahagiakah anak-anak melihat ibu bapanya sentiasa bertengkar, bergaduh dan tidak bertegur sapa setiap hari?

    ''Ingat, anak-anak melihat semua itu, dan ia memberi impak negatif kepada mereka. Jadi lebih baik bercerai. Namun lepas cerai si ayah masih boleh menghubungi, melawat, memberi nafkah kepada anak-anak dan meluangkan masa bersama mereka, itu adalah lebih baik daripada memberikan mereka gambaran palsu dan berpura-pura bahagia sedangkan tidak. Lelaki yang beri alasan tak bercerai kerana anak adalah lelaki yang lemah, tidak berani menghadapi kenyataan.

    ''Jadi isteri kedua juga mesti bersedia mental dan fizikal. Jangan pula kata isteri pertama tidak faham serta tidak mahu berkorban untuk suami. Tidak cukupkah ketaatan yang dicurahkan, melahirkan anak, mengurus rumah, menjaga maruah suami dan sebagainya, tetapi masih dikatakan tidak bahagia?

    Rahsia

    ''Tidak salah kahwin suami orang, tetapi mesti terus terang, kenapa mesti ada rahsia dan minta orang lain menghormati anda dan jangan tuduh anda perampas. Tidak semua manusia itu sempurna dan sama pemikirannya.

    ''Memang jodoh pertemuan ketentuan Allah. Tetapi kita manusia ada akal yang Allah berikan jadi berfikirlah mana yang baik dan mana yang buruk, jika masih ingin berkongsi, teruskanlah dan terimalah risikonya dengan redha.

    ''Jangan terlalu memandang tinggi pada suami konon dia insan serba sempurna dan dianiaya isteri pertama, konon tidak pernah dapat hidup bahagia. Itu semua alasan dangkal,'' demikian kata Sali dalam emelnya yang menentang poligami.

    Sementara itu Puan Zee dalam emelnya berkata, dia tersenyum ketika membaca kisah Azharina, kerana dia juga isterfi kedua. Dia juga tidak pernah termimpi nak kahwin suami orang.

    ''Namun ketentuan Allah jua akhirnya pintu hati saya terbuka untuk menerimanya jadi suami. Tiga tahun lamanya kami merahsiakan perkahwinan dan selama itulah saya berkorban dalam banyak hal, pernah Uzir kenalkan saya sebagai stafnya jika berjumpa orang yang dia kenal.

    ''Selama ini Uzir sering memberitahu isteri pertamanya begitu sempurna. Saya tidak cemburu kalau dia puji kemahiran isterinya dalam banyak hal. Tapi lama kelamaan saya sedar betapa cinta, kasih dan sayangnya Uzir terhadap isterinya begitu mendalam, malah saya merasa saya tidak diperlakukan dengan adil dalam banyak hal.

    ''Hinggakan saya sering bertanya kenapa dia kahwini saya kalau sudah ada isteri yang sempurna. Jawapannya mudah, saya baik dan dia sayangkan saya. Jiwa saya sangat terdera bila rahsia perkahwinan kami terbongkar. Uzir bertindak mendiamkan diri mengabaikan perasaan saya yang tertekan ketika saya diserang oleh isterinya.

    ''Ketika isterinya memaki hamun tuduh saya perosak rumahtangga dan kami anak beranak jadi punca pergaduhan mereka, Uzir hanya berdiam diri seolah-olah saya memang layak dipersalahkan. Konon sayalah hendak berkahwin dengannya.

    ''Pelbagai kata-kata kesat sehingga menyamakan saya dengan binatang haram dan menuduh saya tamakkan harta Uzir, tetapi saya bersyukur saya masih waras dan menelan saja segala kata-kata nista tersebut dengan deraian airmata.

    ''Ketika itu saya terasa Uzir telah mengkhianati saya dan tepati janjinya, kerana dia langsung tidak membela saya malah mendiamkan diri. Dan Uzir meletakkan semua kesalahan ke atas bahu saya. Saya percaya Allah Maha Mengatahui dan Maha Adil atas setiap kejadian yang menimpa hambaNya kerana itu saya diam walaupun saya sering menitiskan airmata bila mengenangkan kembali saat-saat itu.

    ''Sedihnya ketika perniagaan Uzir berjaya dan bertambah mewah, hasil daripada apa saya usahakan hanya isteri dan anak-anaknya sahaja mengecapnya. Malah isterinya mendabik dada mendakwa kejayaan itu hasil pengorbanannya, sedangkan sayalah orang belakang tabir berkerja keras memastikan kejayaan syarikat. Saya bersyukur selama ini saya tidak pernah berharap atau mendoakan keruntuhan rumahtangga madu saya. Malah saya selalu doakan keberbahagiaan mereka.

    ''Dan mengapa wanita sering menyalahkan kaum wanita sahaja konon jadi perampas, sedangkan kaum lelakilah yang memulakan, menggoda, memujuk, merayu wanita jadi isterinya. Tetapi ketika mereka tersepit, mereka akan bertindak melepaskan diri sendiri, dan meletakkan kesalahan kepada orang lain. Apakah itu adil? Demikian cerita puan Zee tentang pengorbanannya menjadi isteri kedua.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...