terima kasih buat kalian semua..

Sunday, July 31, 2011

Suamiku gila judi !!!



KATA kawan-kawan jika pasangan kita ada ramai adik-beradik dan dikelilingi ipar duai hidup kita lebih menyulitkan, maklumlah ada antara mereka yang tak sukakan kita dan mempunyai perangai serta karakter yang menyilaukan mata. Namun berkahwin dengan suami yang tak ada adik beradik pun susah juga.

‘‘Biar saya perkenalkan diri saya sebagai Mas Alina. Masalah saya berkahwin dengan lelaki yang saya panggil ‘anak emak’, sebab dia anak tunggal. Walau pun hidup saya tidak ada masalah dengan ipar duai tetapi saya rimas, runsing dan kadang kala makan hati berulam jantung dengan perangai tiga beranak yang membelenggu hidup saya.’’ Itu cerita Mas Alina dalam emel dan ketika kami berbual di telefon baru-baru ini.

‘‘Saya tak salahkan dia kerana anak tunggal, tetapi yang memeningkan saya perangainya yang tak mahu bertanggungjawab dan jadi ketua keluarga sebenarnya. Sebab apa juga tindakannya masih bergantung pada emak ayahnya dalam semua hal.

‘‘Saya pun anak tunggal, tapi saya tak bergantung emak, malah saya yang memelihara emak. Puas saya nasihatkan suami saya Nazim supaya ubah perangai belajar berdikari, jangan suka minta duit emak, tetapi dia tak pakai cakap saya. Malah semakin teruk walaupun kami sudah berkahwin lebih 6 tahun dan ada 2 anak.

‘‘ Saya berkenalan dengan Nazim semasa sama-sama belajar di utara Semenanjung. Selepas tamat belajar beberapa tahun kemudian kami pun berkahwin. Ketika itu saya gembira sebab kami sama-sama anak tunggal, tentu tak ada masalah ipar duai seperti cerita yang pernah saya baca dan dengar selama ini.

‘‘Saya bersyukur sejak hamil dan mempunyai anak satu, masalah besar saya iaitu perangai panas baran dan cepat naik angin Nazim semakin berubah. Tetapi satu perkara yang jelas tak berubah sikapnya terhadap emak saya, semakin teruk. Dia seakan membenci emak saya. Sedangkan Nazim tahu sebelum kami kahwin lagi saya dah beritahu akan membawa emak saya tinggal bersama, kerana selain anak tunggal, emak saya pun ibu tunggal, dia tak ada tempat bergantung kecuali saya. Nazim setuju.

‘‘Dulu saya duduk dengan emak di pinggir bandar, arwah ayah tinggalkan sebuah rumah yang dibina atas tanahnya. Setelah ayah meninggal, pendapatan emak mengambil upah mengasuh anak jiran dan menyewakan tanah depan rumah kami kepada seorang pengusaha bengkel membaiki kereta. Hidup emak taklah susah.

‘‘Saya katakan pada Nazim daripada cari pembantu lebih baik bawa emak tinggal bersama, boleh juga emak jagakan anak kami dan saya boleh juga jaga emak kerana emak dah tua, lagi pun saya tak sampai hati tinggalkan emak sendirian.

‘‘Namun janji Nazim cuma boleh pakai sebelum kahwin saja. Bila dah serumah baru saya nampak perangainya. Nazim banyak membuat emak saya kecil hati. Dia tak suka bertegur sapa dengan emak saya apa lagi nak berbual. Dia bercakap dengan emak bila mahu bertanyakan ada benda hilang. Atau yang penting sahaja.

‘‘Walaupun ibu bapa mertua saya tinggal di kampung mereka selalu datang dan tinggal dia rumah kami berminggu-minggu lamanya untuk melepaskan rindu pada anak kesayangan mereka. Bila dah dekat Nazim selalu ‘pau’ duit emaknya ini yang membuatkan jiwa saya tertekan. Ada saja yang diperlukannya. Baiki motorlah dan macam-macam.

‘‘Setiap kali sebelum bersalin, dari anak pertama hingga anak kedua, mereka akan datang sebulan lebih awal, lepas tu tunggu sehingga saya habis pantang dua bulan barulah mereka balik kampung. Kalau rumah kami besar takpelah tetapi rumah kami kecil, keadaan ini membuatkan saya rasa amat tidak selesa.

‘‘Sebenarnya ketika dalam pantang saya suka emak saya jaga makan minum saya. Tapi kalau dah ramai dalam rumah yang kecil tentu ada segan silunya, maklum ada besan lelaki. Namun mertua saya tidak akan tinggalkan anak tunggal kesayangan. Akhirnya emak saya mengalah balik ke rumahnya.

Bertanya kabar

‘‘Dua bulan sekali kami balik kampung atau emaknya datang KL. Keadaan jadi lebih parah bila kami nak balik KL siap ada drama kisah anak beranak menangis nak berpisah. Emak Nazim menangis teresak-esak kerana sedih. Akhirnya emak ayahnya ikut kami balik KL. Mereka akan tinggal seminggu sebelum balik kampung dengan bas.

‘‘Masalahnya kereta kami kecil bukan MPV atau SUV, tentu sempit dan perjalanan jauh tentu memenatkan, tapi mereka tak kisah asal mereka pasti Nazim selamat sampai KL. Itu belum masuk bab Nazim demam atau batuk. Pagi dapat tahu Nazim demam petang mesti dah sampai KL. Begitulah sayang mereka pada Nazim.‘Punca Nazim tak berduit sebab dia gila berjudi. Ceritanya terbongkar bila dia ditahan polis, saya pergi jamin. Tetapi entah macam mana dia tak kena tindakan, taukeh kedai kena heret ke mahkamah. Puas saya nasihatkan dia jangan buat kerja bodoh tu lagi, tetapi orang dah ketagih judi memang tak makan nasihat.

‘‘Saya ceritakan pada emak dan ayah Nazim, mereka tak terkejut pun atau marahkan Nazim, sebaliknya emaknya tanya saya; ‘Betul ke? Macam tak percaya. Saya kata kalau emak dan ayah selalu bagi duit, dia akan lebih ligat berjudi.

‘‘Pada pandangan saya mereka tahu perangai Nazim, tetapi kerana sayang Nazim anak tunggal, mereka tak kisah. Saya kasihankan emak ayahnya sudah tua masih menoreh getah di samping mengupah orang lain menoreh semata-mata cari duit untuk Nazim. Saya kasihankan mereka sanggup berkorban untuk Nazim.

‘‘Masalah saya bila mereka duduk dengan kami, mereka manjakan anak-anak saya macam mereka jaga Nazim, segala kehendak anak-anak saya dituruti. Saya takut anak saya jadi macam Nazim. Kadang-kala saya terfikir Nazim gila judi kerana kesilapan emak ayahnya mendidiknya dengan penuh kasih sayang tanpa bimbingan yang betul.

‘‘Saya tak tahu sampai bila saya mesti bersabar. Sebab bukan saja Nazim bermasalah, emak ayahnya pun sama merosakkan hidup saya. Saya tak sanggup lihat kalau satu hari nanti Nazim masuk penjara kerana rasuah nak cari duit lebih untuk berjudi,’’ Itu cerita Mas Alina tentang masalah hidup yang dilaluinya.

Ubat paling mujarab...


SESUDAH penat bekerja seharian, menghadiri pelbagai mesyuarat dan lawatan tapak malah terpaksa pula berhempas pulas di dalam kesesakan lalu lintas, mungkin sama ada kita sedar atau tidak perkara yang paling bermakna ketika sampai di rumah adalah menerima senyuman paling manis daripada orang tersayang.

Mungkin ia hanya sekadar senyuman yang diukir sebagai tanda gembira kita selamat tiba di rumah namun setelah segala hiruk pikuk yang berlaku sepanjang hari, senyuman itulah yang menyejukkan hati sekaligus menenangkan jiwa yang kusut sebelumnya.

Begitu juga kebanyakan kita yang sering memulakan hari dengan muka masam mencuka, bersikap agresif tidak tentu pasal ataupun memarahi pekerja bawahan tanpa kesalahan yang nyata sekaligus membuatkan perkara kecil pun menjadi satu isu besar.

Keadaan pasti berbeza jika perkara sebaliknya berlaku dan hanya dengan senyuman ikhlas mampu membuatkan masalah besar diselesaikan dengan muafakat.

Pasti ramai yang terlepas pandang betapa pentingnya peranan senyuman dalam hidup kita, mungkin kerana ia berlaku secara spontan dan percuma tanpa bayaran namun yang pasti nilainya begitu berharga tiada tandingan.

Kuasa

Namun itulah harga sebuah senyuman yang membuai perasaan gundah gulana kepada ketenteraman jiwa seolah-olah segala apa yang berlaku sebelumnya hanya sebuah mimpi buruk.

Tetapi episod kekusutan esoknya adalah sebuah cerita lain yang tidak mungkin akan terpadam namun hanya dengan kuasa senyuman ia memungkinkan kekusutan itu bertukar kepada kegembiraan yang menyenangkan walaupun hanya seketika.

Begitulah kuasa sebuah senyuman yang sering kita abaikan atau mungkin sengaja diketepikan kerana terlalu mengejar keasyikan dunia ataupun kerana terperangkap dengan keegoan manusia yang fanatik dengan pangkat dan kebendaan.

Akibatnya manusia sering saja menyalahkan orang lain yang kemudian menjurus kepada pertengkaran malah mungkin menjadi ibu kepada peperangan walhal kebanyakan masalah ini mampu diselesaikan melalui rundingan dan sedikit senyuman.

Contoh terbaik

Andai ada yang sinis dengan kenyataan ini, mungkin kita boleh melihat sendiri bagaimana keperibadian dan kesederhanaan junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad SAW yang senantiasa tersenyum walau dalam apa keadaan dan kesusahan sekalipun yang akhirnya menundukkan musuh-musuhnya dan melembutkan hati mereka yang berseteru dengan beliau.

Senyuman adalah satu perbuatan yang senantiasa terbit dari bibir mulia Rasulullah dalam setiap perilakunya. Beliau tersenyum ketika bertemu dengan sahabatnya, saat beliau menahan amarah mahupun ketika berada di majlis-majlis tertentu.

Diriwayatkan oleh Jabir r.a, “Sejak aku masuk Islam, Rasulullah tidak pernah menghindar dariku. Dan beliau tidak melihatku kecuali beliau pasti tersenyum kepadaku.” (Hadis riwayat Bukhari Muslim).

Sesungguhnya Rasulullah senantiasa mengukir senyum dari bibir yang lembut, mulia nan suci, sehinggalah ke detik-detik akhir hayat beliau.

Sesungguhnya wajah merupakan cermin yang tepat bagi menggambarkan perasaan hati seseorang. Wajah yang ceria, penuh senyuman tulus ikhlas adalah sebaik-baik perkara dalam mempengaruhi rakan selain senjata untuk mendapat kerjasama dengan pihak lain.

Terkenal

Di kalangan selebriti selain bakat lakonan/nyayian dan wajah cantik lawa, senyuman manis juga menjadi ukuran kejayaan mereka. Di kalangan selebriti Barat mereka yang tersenarai sebagai mempunyai senyuman paling manis menjadi idola di kalangan peminat.

Pelakon seksi Megan Fox disenaraikan sebagai pelakon mempunyai senyuman paling manis dituruti Jessica Alba, Scarlett Johansson, Halle Berry, Charlize Theron, Angelina Jolie, Jessica Biel dan beberapa lagi. Manakala bagi pelakon lelaki nama seperti Johhny Depp, Brad Pitt, Richard Gere, Tom Cruise dan beberapa lagi digilai kerana senyuman mereka yang menawan.

Di kalangan pemimpin negara pula Presiden Obama merupakan antara pemimpin yang paling banyak tersenyum selain bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela. Manakala Perdana Menteri Rusia Vladimir Putin pula terkenal sebagai seorang lelaki yang serius tetapi memikat ribuan wanita di negaranya bila beliau tersenyum. Bagi pemimpin wanita pula bakal Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra menarik perhatian dunia di atas senyumannya yang memikat selain ikon demokrasi Myanma,r Aung San Suu Kyi. Bekas Presiden Indonesia Sukarno, akan terus diingati sebagai The Smiling Presiden manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula merupakan seorang pemimpin yang sentiasa pemurah dengan senyuman.

Impak

Malah senyum juga lebih berharga jika dibandingkan pemberian mahal dan mewah yang dihadiahkan seorang lelaki kepada isteri atau teman wanitanya malah lebih mempesona dari lipstik dan solekan tebal yang menempel di wajah seorang wanita. Dalam erti kata lain senyum umpama bukti cinta tulus dalam percintaan mahupun persahabatan.

Mungkin kita sering saja terleka bahawa senyum itu hakikatnya tidak memerlukan belanja atau sebarang kos, namun ia membawa impak yang sangat luar biasa dalam kehidupan manusia.

Senyum juga tidak memerlukan waktu yang khusus untuk kita melakukannya malah ia akan memberi kesan yang akan diingati sehingga ke akhir hayat.

Perbuatan senyum juga adalah hak milik semua kerana darjat, pangkat dan kuasa tidak akan mampu membezakan keikhlasan seseorang itu setiap kali menguntumkan senyuman.

Berdasarkan kajian saintis Pusat Perubatan Universiti California, terdapat dua jenis tekanan emosi yang dilalui manusia iaitu tekanan baik dan tekanan tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai tekanan yang baik. Tekanan yang tidak baik akan memberi masalah kepada sistem ketahanan badan.

Penyembuhan

Selain itu senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Ini kerana banyak kajian membuktikan bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.

Berdasarkan kajian juga, senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, artritis dan ulser. Kajian oleh Pusat Perubatan Universiti Maryland yang menjalankan kajian ke atas 300 responden mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung adalah kerana kurang ketawa berbanding mereka yang sihat.

Senyuman dan ketawa juga antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan.

Strategi

Ketawa umpama ‘mengurut’ organ dalam abdomen serta menguatkan otot, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi selain membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.

Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekaligus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrien dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti mana kita bersenam untuk beberapa minit.

Berdasarkan kejayaan Barat dalam perniagaan, strategi utama yang dilaksanakan sejak 1900-an adalah melancarkan kempen “Service with smile”. Ini dilaksanakan setelah kajian mengesahkan bahawa melalui senyuman ia mampu meningkatkan persahabatan dan setiakawan sesama manusia.

Senyuman juga dikatakan akan mewujudkan apa yang dipanggil halo effect yang membolehkan manusia lebih mempercayai sekaligus meningkatkan kerjasama sesama mereka. Malah ia semakin berkesan kepada pekerja yang tertekan sebagai contoh apabila seorang pekerja restoran makanan segera menguntum senyuman ikhlas terhadap pelanggan yang tertekan serta menjadi pendengar yang baik. Ini membantu menghilangkan tekanan pelanggan tersebut selain menjadikan keadaan lebih menyenangkan sesama mereka serta memberi lebih keuntungan kepada restoran berkenaan.

Budaya

Perbezaan budaya juga turut memberi kesan tatkala seseorang tersenyum. Sebagai contoh masyarakat di Rusia menganggap seseorang yang senantiasa tersenyum di tempat awam sebagai pelik dan mencurigakan berbeza dengan penduduk di Amerika Syarikat yang mudah tersenyum kepada orang lain.

Bagi orang Jepun pula mereka dilihat masih mampu tersenyum walaupun berasa marah dan keliru. Bagi penduduk Vietnam pula mereka menguntum senyum untuk menyembunyikan penderitaan yang ditanggung. Manakala di kebanyakan negara Afrika pula terlalu banyak tersenyum akan dianggap sebagai mempunyai tujuan tersembunyi serta tidak jujur.

Waima apa pun keadaannya, benarlah bak kata pujangga bahawa senyum itu umpama kelopak dan ketawa itu pula seperti bunga yang sempurna kembangnya.

Oleh Hafizahril Hamid

Bicara al-Quran mengenai kurma...


BULAN Ramadan datang kembali menemui kita. Kedatangannya pada tahun ini seperti juga kedatangannya pada tahun-tahun lepas dengan membawa rahmat, keberkatan dan pengampunan daripada Allah SWT.

Kedatangan Ramadan juga tidak dapat lari daripada membawa pelbagai jenis makanan dan buah-buahan kepada kita.

Antara buah yang paling sinonim dengan Ramadan ialah buah kurma. Hakikatnya, kurma adalah sejenis buah yang sering diulang-ulang dalam al-Quran.

Setakat yang diketahui, perkataan yang memberi maksud pohon kurma atau buah kurma disebut lebih 20 kali di dalam al-Quran. Ia menggunakan beberapa lafaz iaitu al-Nakhl, al-Nakhlah, al-Nakhil, Rutab dan Linah.

Berbanding kalimah lain, kalimah al-Nakhl paling banyak disebut dalam al-Quran iaitu 11 kali, perkataan al-Nakhil pula diulang sebanyak tujuh kali, manakala perkataan Rutab dan Liinah pula masing-masing disebut sekali.

Secara umumnya, perkataan al-Nakhl memberi maksud pohon kurma. Perkataan al-Nakhlah digunakan untuk maksud sepohon kurma manakala al-Nakhil pula untuk memberi maksud pohon kurma yang banyak.

Perkataan Rutab pula memberi erti buah kurma yang masak, manakala perkataan Liinah pula mempunyai pelbagai tafsiran, antaranya pohon kurma yang tidak mengeluarkan 'ajwah atau kurma nabi dan ia adalah kurma yang paling bermutu.

Ada yang menafsirkan Liinah sebagai pohon kurma yang masih kecil dan sebahagian ulama mengatakan Nakhlah dan Liinah adalah dua nama yang mempunyai maksud yang sama.

Dalam al-Quran, Allah sering mengingatkan manusia bahawa pohon kurma yang tumbuh di bumi ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Oleh itu manusia hendaklah memerhatikan kekuasaan Allah itu dan mengakui keagungan-Nya. Contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu biji yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (al-An'am: 99)

Ayat di atas jelas menunjukkan kekuasaan Allah di dunia ini dengan menumbuhkan pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Antaranya kurma, anggur, zaitun dan tumbuhan lain. Semua kejadian itu menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT bagi orang-orang yang beriman.

Nikmat yang wajib disyukuri

Kebun kurma adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia yang semestinya disyukuri. Cara bersyukur adalah dengan cara menyedekahkan atau mengeluarkan zakat sebahagian daripada hasil buah kurma tersebut kepada fakir miskin.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (al-An'am: 141)

Dalam al-Quran, Allah SWT memberi perumpamaan terhadap pohon kurma dalam dua ayat iaitu surah al-Qamar ayat 20 dan surah al-Haqqah ayat 7.

Kedua-dua ayat itu menceritakan kisah kaum 'Ad yang dimusnahkan Allah kerana keingkaran dan kekufuran mereka dengan ribut yang sangat kuat.

Keadaan kemusnahan mereka itu diumpamakan seperti pohon-pohon kurma yang telah tumbang (Nakhlin mun'aqir) dan pohon-pohon kurma yang sudah usang (Nakhlin Khawiyah).

Dalam surah al-Baqarah ayat 266 pula Allah SWT memberi satu perumpamaan terhadap orang-orang yang menafkahkan hartanya dengan riak dan membangga-banggakan tentang pemberiannya kepada orang lain (tidak ikhlas), seperti seorang pemilik kebun kurma dan anggur yang luas namun ketika itu dia sudah tua, dia tidak dapat menjaga kebunnya dengan baik, sedangkan ketika itu juga anak-anaknya masih kecil.

Kemudian kebunnya itu musnah kerana terkena angin yang kencang dan terbakar oleh api marak. Maksudnya di sini adalah orang yang bersedekah tanpa keikhlasan tidak akan mendapatkan pahala di akhirat nanti seperti kebun kurma tersebut, meskipun luas dan subur tetapi kemudian terbiar, musnah dan terbakar.

Golongan yang ingkar

Dalam surah al-Israk ayat 91, Allah menceritakan kisah orang-orang kafir Mekah yang tidak mampu menandingi al-Quran, meskipun mereka adalah sasterawan yang hebat. Oleh kerana tidak mahu beriman, maka mereka mencari pelbagai alasan lain untuk menolak dakwah Nabi SAW.

Mereka turut mencabar agar nabi menunjukkan kemukjizatan-kemukjizatan baginda. Antara permintaannya adalah nabi membuat kebun kurma dan anggur yang mengalir di tengahnya sungai-sungai.

Dalam surah Taha ayat 71 pula diceritakan kemarahan Firaun kepada tukang-tukang sihirnya, selepas mereka beriman kepada Nabi Musa.

Firaun mengancam bahawa dia akan memotong tangan dan kaki tukang-tukang sihirnya yang beriman secara bersilang, dan dia akan menyalib mereka pada pangkal pohon kurma supaya orang ramai melihat keadaan mereka.

Dalam surah al-Kahfi ayat 32 pula Allah SWT menceritakan kisah dua orang lelaki yang seorangnya mukmin dan seorangnya kafir. Lelaki yang kafir ini mendapat nikmat yang banyak daripada Allah dengan dianugerahi kebun anggur dan kurma yang luas. Yang tidak mahu bersyukur dan tidak meyakini hari kiamat, kebunnya kurmanya di dimusnahkan Allah SWT sebagai hukuman di atas kesombongannya.

Kisah Maryam

Ayat ke 23 hingga 25 dalam surah Maryam menceritakan keadaan Maryam semasa hendak melahirkan Nabi Isa. Ketika itu Maryam merasa amat sakit sehingga dia bersandar pada pangkal sebatang pohon kurma. Semasa sakit tersebut dia mengadu kepada Allah dengan mengatakan alangkah baiknya sekiranya dia mati sebelum ini.

Namun Allah memberi khabar gembira kepadanya melalui malaikat Jibril agar jangan bersedih kerana Allah telah menciptakan aliran air di bawahnya dan memerintahkannya untuk menggoyangkan pangkal pohon kurma yang berada berhampirannya dan pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadanya.

Dia kemudiannya meminum air dan memakan buah kurma yang jatuh tersebut untuk mengembalikan kekuatan tubuhnya.

Sungguhpun prinsip umum dalam peperangan mengikut etika Islam ialah larangan daripada memusnahkan tanaman termasuklah kurma. Namun semasa memerangi orang kafir, tentera Islam diharuskan menebangkan pohon kurma sekiranya ada maslahat dan keperluan untuk melakukannya.

Hal ini dirakamkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat lima.

Kurma sama ada pohon dan buahnya sering diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran lebih daripada 20 kali.

Ini memberi gambaran bahawa pohon ini amat dekat di hati masyarakat ketika itu apatah lagi ia mempunyai nilai khasiat yang besar kepada kesihatan manusia. Nabi SAW sendiri menjelaskan kelebihan buah kurma dalam beberapa hadis baginda malahan perkara ini turut diakui oleh kajian sains moden.

Kelebihan-kelebihan kerana kandungan gizinya menjadikan ia salah satu juadah yang sangat sederhana namun sangat berkhasiat baik semasa berbuka maupun ketika sahur.

Jika kita memilih untuk berbuka dan bersahur dengan kurma maka semaikan pengajaran bagi diri dan seluruh kaum keluarga kita bahwa bahawa kurma itu sesungguhnya adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT jua.

Oleh DR. MOHD. ASMADI YAKOB

Kenyataan klise artis kita...


SEBENARNYA kalau kita kumpul semua kenyataan artis-artis kita di akhbar atau majalah, tak banyak kenyataan baru yang diperkatakan. Kebanyakannya klise, ulang yang entah berapa puluh kali artis lain katakan. Mereka ulang lagi sampai Siti boleh hafal kenyataan yang keluar dari mulut mereka. Mustahil artis-artis kita terkena sumpahan burung kakak tua yang suka mengajuk orang bercakap.

Siti pasti banyak yang setuju antara kenyataan klise paling banyak diulang ialah “tak mahu mengejar glamor.” Dah berpuluh malah beratus artis cakap kenyataan yang sama, tetap juga ada yang mengulangnya. Tapi kata saja tak nak mengejar glamor, yang dia selalu sangat dalam majalah dan surat khabar tu apa bendanya?.

Siti pasti kita semua selalu juga baca kenyataan, “Biarlah apa orang nak kata, yang penting niat.” Begitulah lebih kurang ayat-ayat yang di kitar semula oleh berpuluh artis sejak dulu hingga kini. Pesan Siti, janganlah cakap pasal niat. Orang bercakap tentang apa yang dipertontonkan kepada umum secara percuma. Kalau dah pakai macam bogel, niat baik apa ke bendanya? Kalau macam itu senanglah, bila polis tangkap perompak, dia cakap kepada polis, “Yang tuan tengok jahat saja tapi niat saya baik.”

Apabila ditawarkan berlakon, selalu sangat artis kita bagi kenyataan, “Saya hadapi cabaran besar sebab watak lakonan saya bukan seperti saya.” Ini satu kenyataan hampir sasau namanya. Kalau sudah dinamakan berlakon, mestilah melakon bukan dirinya sendiri. Tapi pelakon kita, berlakon watak bertentangan dengan dirinya adalah cabaran besar. Sebab itulah agaknya lakonan mereka macam batang pisang bergerak.

Kalau yang bercinta bertahun-tahun dan tambah tahun-tahun lagi, bila orang tanya kenapa tak kahwin, mereka pun keluarkan kenyataan klise, “Ala kami sibuk sangat, sampai tak ada masa nak fikir soal kahwin.” Tapi Siti dapat tau pada masa yang sama tak ada tawaran apa pun. Jadi peminat pun kagum teramat sangat dengan artis pujaan mereka. Punyalah banyak tawaran hingga nak kahwin pun tak sempat. Ini sebenarnya adalah cerita-cerita yang tak diceritakan.

Jangan lupa artis juga kerap menyebut perjuangan misalnya, “Kami terus memperjuangkan irama bla bla bla.” Sebenarnya tak perjuangkan apa-apa pun, syarikat rakaman yang tentukan lagu apa yang mereka kena menyanyi. Satu lagi yang Siti tak boleh terima, bila penyanyi menerbitkan album, mereka selalu kata, “Ini adalah hadiah kepada peminat yang menyokong saya selama ini.” Kelentonglah. Mana ada hadiah, mereka jual, mahal pula tu. Sejak bila penyanyi kita baik sangat nak bagi album percuma? Tapi itulah kenyataan klise yang diulang-ulang sejak dulu, kini dan mungkin selamanya.

Oleh Siti Jarum

Saturday, July 30, 2011

Apabila Melayu tidak mahu bela bangsanya ...


“SAYA dan isteri ingin menghadiri majlis konvokesyen anak kami di United Kingdom, jadi kalau saudara ingin saya luluskan overdraf ini, kenalah saudara bagi bahagian perbelanjaan untuk dua orang ke London,” begitulah bunyi kata-kata seorang pengurus bank cawangan yang saya berurusan dulu.

Ketika itu saya perlu menghantar wang pengajian untuk anak saya di Amerika Syarikat yang tiada biasiswa. Tanpa segan silu pengurus bank itu melakukan rasuah. Begitulah keadaannya sekarang dengan rasuah.

Orang Melayu tidak lagi segan silu melakukan atau menerima rasuah. Ramai orang sedar rasuah di negara kita tetapi tidak mahu bercakap tentangnya.

Macam juga pelacuran yang berleluasa. Diserbu berpuluh kali sekali pun bapak-bapak ayam akan terus menjalankan urusan mereka. Sebelum diserbu mereka sudah tahu.

Kita melihat mereka yang dituduh melakukan rasuah kebanyakannya orang Melayu dan ada yang berpangkat tinggi dalam kerajaan.

Sikap ingin mencari jalan pintas kekayaan ini memang jelas kerana “kalau saya tak lakukan orang lain pun akan lakukan” menjadi sikap utama mereka ini. Kalau kos projek digandakan sudah menjadi lumrah.

Seperkara lagi yang kerap juga berlaku kepada mereka yang menghantar cadangan projek mereka ‘diculik’ oleh orang lain termasuk di peringkat atasan.Telan sajalah air liur.

Pada bulan Ramadan, kita tahu ketua-ketua industri akan menghilangkan diri kerana mereka akan dikepung untuk mendapatkan duit raya yang bukan sikit-sikit. Tengok pangkat orang yang meminta. Jadi ramailah kapten industri ini yang pergi melakukan umrah di bulan puasa.

Pada bulan Ramadan juga orang Melayu berpusu-pusu berbuka puasa di hotel-hotel yang tidak tentu halal haramnya. Diberitakan daripada 2,000 hotel di bandar raya Kuala Lumpur, hanya dua peratus (2%) saja yang diberi taraf halal oleh Jakim – bermakna hanya empat hotel saja yang halal.

Tapi orang Melayu tak kira itu semua. Janji seronok walaupun kena bayar berpuluh-puluh ringgit. Kedai mamak dan kopitiam pun tak dijamin halalnya.

Seperkara lagi pada Ramadan ini maka keluarlah kelulusan untuk berniaga gerai di merata tempat. Semua orang tahu ada yang dapat kebenaran menjalankan warung menjual permit berniaga kepada orang lain untuk membuat untung. Yang asal RM200 boleh jadi RM20,000 dan ramai yang juga sanggup kerana pendapatan satu bulan di bulan puasa boleh mengatasi pendapatan 11 bulan yang lain.

Begitulah juga keadaannya dengan lain-lain lesen yang diberikan kepada orang Melayu. Contohnya di pasar Chow Kit kita tahu yang mengendalikan gerai-gerai di situ semuanya orang asing sedangkan lesen dikeluarkan kepada orang Melayu sini.

Kalau ada pemeriksaan, tuan punya akan mengaku yang berjual itu pekerja mereka. Semuanya hendak mencari jalan pintas untuk kaya cepat.

Terbaru, Timbalan Perdana Menteri mengatakan pasar tersebut akan dibangunkan semula. Patut pun selepas lebih 50 tahun keadaan kotor dan serabut pasar tersebut dibersihkan.

Tahun 1994 dulu, 100 lesen untuk pengurusan aset dikeluarkan. Modal berbayar diperlukan ialah RM2 juta. Ramai yang belum mula operasi pun sudah hendak menjual lesen mereka dengan syarikat sekali berkali ganda pula walaupun sehari pun belum beroperasi.

Sejak kejayaan Dasar Ekonomi Baru menaikkan taraf orang Melayu kepada kelas menengah, maka ramailah anak Melayu yang berpeluang mendapat pengajian tinggi di luar negara dan ramailah yang menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan dan dalam swasta.

Yang peliknya ada sesetengah daripada mereka ini sudah menganggap membela orang Melayu sudah tidak lagi fashionable baik dalam sektor awam mahupun sektor swasta.

Rata-rata apabila ada perjumpaan atau majlis makan malam di kalangan orang bukan Melayu dan orang asing, mereka akan mengatakan penghalang kepada usaha pentadbiran Najib untuk melakukan transformasi ialah tuntutan orang Melayu oleh kumpulan tertentu.

Mereka lupa kalau dikira perbelanjaan untuk Rancangan Malaysia Pertama sehingga Kesembilan tiap-tiap satu sebanyak RM200 juta darab untuk 9 kali maka berjumlah RM1.8 trilion. Siapa yang meraih keuntungan daripada jumlah tersebut, tentu sekali bukan orang Melayu. Hak milik saham pun setakat 21.8 peratus saja.

Sedar tak sedar tanah milik Melayu pun berkurangan. Di pihak kerajaan negeri misalnya banyak usahasama dengan bukan Melayu dilakukan untuk memajukan sesuatu kawasan yang bernilai tinggi.

Apabila perumahan siap, yang membeli dan menduduki pangsapuri atau rumah tersebut bukannya orang Melayu kerana orang Melayu tidak mampu membeli rumah tersebut kerana mahal. Jadi tanah yang dulunya milik kerajaan kini dimiliki oleh individu bukan Melayu.

Tanah milik Melayu diberikan status tanah rizab Melayu dan nilainya lebih rendah daripada tanah bukan Melayu. Kalau dimajukan orang Melayu akan mendapat nilai yang lebih rendah.

Tetapi jangan hairanlah kalau tanah rizab Melayu atau tanah khas untuk orang Melayu boleh jatuh ke tangan orang bukan Melayu seperti di Kelantan yang dulunya ketat dengan undang-undang menjual tanah kepada bukan Melayu.

Di mana-mana kawasan yang telah digariskan sebagai kawasan pembangunan ekonomi serantau, nilai tanah sekeliling kawasan pembangunan tersebut seperti Iskandar dengan sendirinya akan naik. Maka orang Melayu yang milik tanah di kawasan tersebut akan menjual tanah mereka. Inilah keadaan yang berlaku sekarang.

Sepatutnya suatu pangkalan maklumat yang kerap dikemaskinikan tentang tanah milik Melayu seluruh negara ini perlu diwujudkan supaya jangan sampai tergadai tanah Melayu. Kalau orang Melayu hendak menjual tanah mereka, biarlah yang membelinya orang Melayu.

Orang Melayu yang kaya raya patut mempertahankan tanah orang Melayu ini. Jangan pula orang bukan Melayu guna orang Melayu. Itu namanya tidak bermaruah.

DATUK SALLEH MAJID ialah bekas

Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur

Peminat bola sepak usah sampai meluat..


MITOS ada menceritakan Singapura pernah dilanggar todak. Jalan cerita lisan itu itu diharap dapat dijelmakan pada perlawanan bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin. Peminat bola sepak tempatan mahu melihat pemain negara mengamuk dan menjaringkan banyak gol untuk menterbalikkan defisit dua gol hasil kekalahan 3-5 di Stadium Jalan Besar di republik itu tempoh hari.

Seperti yang diketahui, impian besar barisan Harimau Malaya untuk mengukir sejarah mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014 buat kali pertama, akhirnya tidak kesampaian selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan musuh tradisi itu.
Keputusan itu yang berakhir dengan agregat memihak Singapura 6-4, menyaksikan negara republik itu buat kali kedua berturut-turut, mara dalam kelompok 20 pasukan elit Asia yang akan bersaing dalam pusingan ketiga.

Dalam meratapi kekalahan di tangan pasukan dari seberang tambak itu, kita harus menerima hakikat bahawa perjalanan bola sepak negara yang mula menunjukkan kebangkitan selepas memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF Suzuki tahun lalu, masih belum mampu menjanjikan apa-apa di pentas lebih tinggi.

Kegagalan malam kelmarin bukan menandakan nasib pasukan kebangsaan sudah sampai ke penamatnya. Kini sudah nampak ombak kebangkitan semula pasukan bola sepak kebangsaan. Pelbagai petanda positif sudah mula kelihatan dan mampu menyemarakkan semula bola sepak negara, terutama barisan Harimau Malaya yang kini memiliki kesungguhan dan komitmen tinggi setiap kali turun untuk meraih kejayaan, sekali gus berkibarnya Jalur Gemilang dan berkumandangnya lagu keramat, Negaraku di medan perlawanan baik di tempat lawan atau di depan ribuan penonton sendiri.

Walaupun ketinggalan dengan defisit dua gol dan lawan dibarisi lima pemain naturalisasi, semangat juang yang dipamerkan barisan dilatih Datuk K Rajagobal, hingga ke wisel penamat harus dipuji kerana inilah pasukan yang akan terus mengibarkan Jalur Gemilang untuk beberapa tahun akan datang kerana majoriti pemain masih di bawah usia 25 tahun.

Perkara positif yang paling ketara ialah sokongan peminat bola sepak yang kembali memenuhi setiap tempat duduk penonton apabila 85,000 tiket habis dijual dalam tempoh 48 jam, macam pisang goreng panas.
Bukan rahsia ada dalam kalangan peminat yang kecewa kerana gagal mendapatkan tiket, malah ada juga yang sanggup membeli tiket perlawanan daripada ‘ulat’ dengan harga mencecah RM300 walaupun harga asal hanya RM30 sekeping.

Senario yang berlaku ini adalah satu fenomena baru kerana ketika Harimau Malaya beraksi dalam final pertama Piala AFF menentang Indonesia di gelanggang yang sama, tiket yang dijual kurang laku.

Satu perkara lagi yang menarik, kehadiran penyokong berbilang bangsa yang menggamatkan Stadium Nasional dengan memakai jersi kebangsaan sambil bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku dengan penuh semangat, membuktikan hakikat sukan, terutama bola sepak mampu menjadi medium penyatuan kaum di negara ini.

Jadi, kehadiran semula penyokong memberi sokongan harus diberi perhatian, bukan saja pemain dan pengurusan pasukan, tetapi juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya terus memperkasakan skuad Harimau Malaya ini – dengan sasaran utama layak ke Piala Asia 2015.

Apa yang penting, mereka harus terus memikat dan membina kepercayaan penyokong dengan memperagakan aksi menarik dalam setiap perlawanan supaya peminat terus setia di belakang pasukan kerana sesungguhnya, ‘pemain ke-12’ adalah penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah pasukan.

Oleh Hussain Said


Mana penguat kuasa undang-undang!!!


SAYA baru mendiami kawasan Ampang Jaya, tapi yang menjadi masalah dan timbul tanda tanya, kenapa semakin ramai warga asing berkeliaran di kawasan ini terutamanya di kawasan Apartment Permai Puteri?

Terlalu ramai warga Afrika dan Iran bersadai di kawasan ini. Jika dikatakan pelajar, saya lihat ramai warga Afrika ini bertubuh teramat sasa dan tidak ubah seperti samseng jalanan.

Ke mana pergi pihak imegresen dan polis yang sepatutnya memantau mereka ini dengan serius dan ketat? Pihak imegresen patut dan amat wajib sekali menjalankan operasi kerana jumlah mereka sangat ramai kini.

Selain imigresen dan polis, MPAJ juga patut diheret sekali di sini. Dulu kawasan ini agak bersih, tapi sekarang di tepi jalan di luar sekolah Taman Dato Ahmad Razali atau lebih tepat lagi betul-betul di papan tanda sekolah berkenaan peniaga tumbuh di sana sini.

Kawasan itu telah menjadi kotor dengan sampah sarap dan lalat. Pada waktu petang, jalan menjadi sesak kerana ramai berhenti untuk membeli di gerai-gerai itu sehingga berlaku kesesakan.

MPAJ harus bertindak sekarang sebelum kawasan itu menjadi terlalu sesak dengan gerai haram. Saya pernah menelefon dan seperti biasa, pegawai MPAJ setakat ambil laporan sahaja.

PUTRAHAKIM

Selangor

Tak perlu publisiti perkahwinan Norman - Memey !!


SAYA rasa terpanggil untuk memberi pandangan ke atas publisiti yang diberikan kepada pasangan selebriti yang akan melangsungkan majlis resepsi perkahwinan mereka tidak lama lagi. Kedua-dua selebriti ini pernah ditangkap khalwat.

Saya berpendapat tidak perlulah diberi banyak publisiti kepada mereka.

Baru-baru ini diberitakan sebahagian aktiviti majlis resepsi mereka akan ditaja oleh pelbagai pihak dengan kos berjuta ringgit.Alangkah bagusnya pihak-pihak berkenaan menaja pasangan lain.

Saya tidak bermaksud perkahwinan mereka tidak disokong tetapi tidak perlu diberi sokongan berlebih-lebihan.

PURA CENDANA
Taman Melawati, Kuala Lumpur

Punca pelajar Matrikulasi gagal masuki IPTA


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ingin merujuk kepada aduan Jelaskan Punca Pelajar Matrikulasi Tercicir yang tersiar dalam ruangan ini bertarikh 25 Julai 2011 oleh Pedang Bertuah, Kuala Lumpur dan Ke Mana Arah Tujuan Pelajar Matrikulasi Yang Gagal Ke IPTA bertarikh 18 Julai 2011 oleh Ibu Prihatin, Pasir Gudang, Johor Bahru.

Kementerian prihatin terhadap masa depan pelajar bagi memenuhi cita-cita dan impian hidup untuk berjaya. Pemilihan program pengajian yang tepat mengikut cita-cita, minat dan hasrat pelajar, ibu bapa dan masyarakat mestilah seiring dengan pencapaian akademik serta kokurikulum.

KPT melaksanakan prinsip meritokrasi yang mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. Pemohon juga perlu memenuhi Syarat Am, Syarat Khas Program dan kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan. Pemilihan kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah berasaskan pilihan pelajar serta bilangan tempat yang disediakan mengikut program pengajian di IPTA.

Kejayaan calon untuk memperoleh tempat bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di IPTA yang dipohon. Jika merit mereka tidak begitu tinggi dan memohon lapan (8) pilihan dalam program pengajian kompetitif, kemungkinan besar mereka tidak terpilih untuk tawaran program pengajian yang dipohon.

Begitu juga jika mereka memohon hanya di IPTA yang popular, mereka mungkin menghadapi persaingan tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada IPTA berkenaan.

Namun begitu, calon diberi pilihan untuk memilih sama ada bersetuju atau tidak untuk menerima tawaran selain daripada lapan (8) pilihan program pengajian yang dimohon. Jika calon ada menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran selain daripada lapan (8) pilihan semasa mengemukakan permohonan, maka calon akan dipertimbangkan ke program pengajian di IPTA yang masih ada kekosongan selaras dengan bidang pengajian yang dipohon tanpa mengira IPTA pilihan.

Justeru calon yang memperoleh merit yang tinggi tetapi tidak mendapat tempat, pihak UPU akan menawarkan program pengajian di luar pilihan calon yang mirip dengan pilihan mereka di IPTA yang terdapat kekosongan.

Sekiranya calon memilih tidak bersetuju, pihak KPT tidak akan mempertimbangkan sekiranya masih ada kekosongan pada program pengajian yang lain.

Dimaklumkan, berdasarkan rekod permohonan yang diterima oleh UPU bagi Sesi Akademik 2011/2012, sejumlah 1,977 pemohon Lepasan Matrikulasi/ Asasi 2010 yang layak telah menyatakan 'Tdak Setuju' menerima tawaran di luar lapan (8) pilihan program pengajian yang telah dimohon. Justeru semua calon ini tidak akan dipertimbangkan tawaran ke program pengajian lain walaupun layak kerana menghormati keputusan pemohon.

Dasar pemilihan rayuan pula adalah untuk mengisi kekosongan tempat yang berlaku selepas pendaftaran pelajar baharu pada awal September 2011. Justeru semua calon yang mengemukakan rayuan akan dipertimbangkan berdasarkan kekosongan tempat bagi program pengajian yang ada sahaja.

KPT memohon kepada Ibu Prihatin, Pasir Gudang, Johor dan Pedang Bertuah, Kuala Lumpur untuk menghubungi pihak kementerian dan memberikan Nombor Kad Pengenalan pemohon untuk UPU memberikan penjelasan yang tepat, telus dan adil serta sebab calon tidak terpilih ke program pengajian di IPTA.

BAHAGIAN PENGURUSAN Kemasukan Pelajar
Jabatan Pengajian Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi

Sukarnya mendapatkan bantuan pinjaman...


SAYA adalah seorang usahawan wanita tulen bumiputera yang telah berkecimpung di dalam perniagaan lebih daripada 10 tahun. Mempunyai pejabat pengurusan sendiri dan kaki tangan.

Selama ini saya menyambut seruan kerajaan untuk tidak bergantung kepada projek-projek kerajaan dan bantuan daripada mana-mana institusi kewangan ataupun dana-dana kerajaan.

Disebabkan perniagaan saya semakin berkembang dan atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan (tidak dapat dinyatakan secara terperinci kerana melibatkan jabatan kerajaan) maka saya terpaksa untuk memohon dana daripada kerajaan melalui Credit Guarantee Corporation (CGC) atau Perbadanan Jaminan Kredit.

Tetapi malangnya permohonan saya ditolak atas sebab tidak memenuhi syarat yang terlalu ketat dan kerenah birokrasi.

Mengikut pegawai yang memproses permohonan pada dasarnya tiada sebab permohonan saya ditolak. Hanya disebabkan satu garis panduan yang tidak munasabah.

Di sini saya ingin mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamad Yaacob di akhbar pada 21 Julai 2011.

Beliau menyatakan bahawa usahawan bumiputera gagal memanfaat peruntukan Skim Jaminan Modal Kerja (WCGS). Menurutnya, hanya RM300 juta daripada RM1.5 bilion diguna.

Saya ingin bertanya, kriteria bagaimana yang melayakkan usahawan seperti kami untuk mendapat bantuan? Adakah dengan adanya simpanan yang banyak barulah permohonan kami diluluskan? Ataupun disebabkan saya tidak mempunyai 'kabel' yang kuat?

Sejak dari dahulu kini dan selamanya saya sentiasa menyokong kerajaan. Hanya saya tidak mempunyai kepentingan politik. Sepatutnya usahawan seperti kamilah yang patut dibantu bukannya usahawan yang telah berjaya dan kaya raya.

Oleh itu saya harap pihak yang berkenaan dapat mengambil perhatian ke atas perkara ini. Bukannya saya sahaja yang mengalami nasib begini, malah ramai lagi usahawan bumiputera yang senasib dengan saya di luar sana.

USAHAWAN KECEWA
Seremban, Negeri Sembilan

Lagu patriotik di Mid Valley


JARANG-JARANG kompleks beli-belah terkenal di ibu kota menyiarkan lagu-lagu berunsur patriotik. Lama juga saya tidak mendengar lagu-lagu seumpama ini disiarkan di dalam kompleks beli-belah. Rasa bersemangat apabila saya menjamu selera di Mid Valley sambil mendengar lagu-lagu tersebut.

Langkah pihak pengurusan Mid Valley menyiarkan lagu patriotik bersempena menjelang Bulan Kemerdekaan minggu depan wajar diberi pujian.

Saya cadangkan supaya kompleks beli-belah yang lain turut menyiarkan lagu-lagu patriotik.

Bukan susah dan mahal untuk mencari koleksi lagu-lagu patriotik. Yang penting pihak berkenaan ada semangat untuk menyemarakkan lagi Bulan Kemerdekaan sempena Hari Kemerdekaan Ke-54.


SENANG HATI,
Kuala Lumpur

Friday, July 29, 2011

Persiapan menyambut Ramadan...


TINGGAL lebih kurang 2 hari sahaja lagi umat Islam di seluruh dunia akan mula melaksanakan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan. Ia merupakan tuntutan agama yang wajib dilakukan setahun sekali oleh setiap orang Islam yang baligh, berakal serta berkemampuan untuk melaksanakannya.

Hanya golongan tertentu seperti orang tua yang sudah uzur ataupun sakit yang tiada harapan sembuh juga wanita yang dalam keadaan haid dan nifas sahaja dikecualikan daripada berpuasa. Bagaimanapun golongan ini tertakluk kepada kewajipan untuk membayar fidyah ataupun menggantikan puasa pada bulan-bulan yang lain.

Perlu juga difahami betapa ketibaan Ramadan merupakan sebahagian daripada nikmat kurniaan Ilahi yang perlu disyukuri kerana hanya diberikan kepada insan-insan terpilih.

Terdapat di kalangan kerabat, jiran tetangga dan sahabat handai yang pada tahun lalu sama-sama berpuasa dan berhari raya kini telah pergi selama-lamanya menyahut seruan Ilahi sekali gus tidak lagi diberi keistimewaan oleh Allah SWT untuk menikmati anugerah Ramadan.

Justeru peluang keemasan yang datang setahun sekali ini tidak patut dipersiakan dan berlalu pergi begitu sahaja tanpa berusaha untuk melipatgandakan ketaatan.

Tentunya suatu kerugian yang amat besar apabila seseorang ditakdirkan melalui Ramadan hingga kepenghujungnya tetapi tidak beroleh pengampunan dan pembebasan api neraka sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Untuk tujuan itu juga, persiapan rapi bagi menyambut ketibaan Ramadan perlu dilakukan seiring dengan persiapan menjelang hari raya yang terkadang menjadi tujuan utama berpuasa.

Oleh itu setiap umat Islam perlu membersihkan jiwa dan raga daripada pelbagai penyakit mazmumah sebagai persediaan beroleh ganjaran yang tiada tolok bandingnya di bulan Ramadan.

Betulkan niat dan tujuan berpuasa agar menjadi motivasi untuk mempertingkat amal dan kebajikan.

Selain daripada itu persediaan mental dan fizikal turut diperlukan bagi mengharungi jadual padat yang telah ditetapkan. Bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari seseorang perlu menahan diri daripada makan dan minum juga semua perkara yang membatalkan puasa.

Malah bagi mencapai tingkatan puasa khusus seseorang perlu mempastikan seluruh pancaindera terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Begitu juga seseorang yang hanya berpuasa tetapi tidak melaksanakan kewajipan solat dan menutup aurat juga dikhuatiri gagal memperoleh kesempurnaan berpuasa seperti yang diharap-harapkan.

Selain beribadah dengan modal kesihatan umat Islam turut boleh beribadah dengan modal wang ringgit. Kewajipan menunaikan zakat fitrah, memberi sedekah kepada golongan miskin dan memerlukan, memberi makan dan minum untuk orang yang berpuasa semuanya merupakan ibadah yang bersifat materilistik.

Tanpa kemahiran mengurus sumber kewangan yang terhad seseorang mungkin terlepas peluang untuk beribadah menggunakan wang ringgit. Apatah lagi menjelang musim perayaan banyak wang yang akan digunakan untuk tujuan tersebut.

Justeru, asingkan sebahagian wang gaji yang diperoleh untuk terlibat sama menginfaqkan harta di bulan Ramadan yang cukup besar ertinya terutama bagi yang tiada. Malah doa golongan tersebut mampu memberi keberkatan dan kecukupan kepada rezeki yang sedia ada walaupun tampak sedikit di pandangan mata.

Demi untuk merealisasikan tuntutan ibadah pada bulan Ramadan setiap individu Muslim perlu menyediakan perancangan program ibadah sepanjang bulan.

Selain program pelaksanaan ibadah wajib seperti berpuasa di siang hari dan solat lima waktu, banyak ibadah sunat boleh dilakukan. Rancangkan berapa muka surat al-Quran mampu dibaca untuk dapat khatam pada penghujung Ramadan.

Rancangkan pula sejumlah bilangan zikir seperti tahlil, tahmid dan tasbih yang mampu di baca selama sebulan. Malah yang lebih utama persiapan untuk beroleh ganjaran beribadah di Malam Lailatulqadar yang boleh dilakukan dengan berusaha untuk solat tarawih setiap malam. Ini diikuti pula dengan kesanggupan untuk beribadah di sepuluh malam terakhir daripada Ramadan yang berkemungkinan besar berlaku peristiwa lailatulqadar.

Sesungguhnya kegembiraan bertemu Ramadan hanya dapat dirasai oleh individu yang tahu akan berbagai kelebihan yang khusus disediakan dalam bulan tersebut.

Adapun bagi golongan yang lalai dan lemah iman berbagai alasan dan helah mula direka hanya kerana enggan menunaikan kewajipan berpuasa.

Ibadah puasa bagi mereka umpama suatu penyiksaan batin yang tidak tertanggung sehingga tanpa segan silu makan di khayalak ramai tanpa sekelumit rasa berdosa. Seolah-olah mereka nekad ditangkap oleh penguatkuasa agama berbanding melaksanakan ibadah puasa sebagai manifestasi keimanan dan kepercayaan kepada Ilahi.

Marilah kita semua bergembira dengan ketibaan Ramadan al-Mubarak. Marilah kita semua berazam untuk menjadikan puasa tahun ini lebih berkualiti daripada tahun-tahun yang lalu. Ini kerana peluang yang ada semakin terhad berbanding umur dunia yang semakin deras menuju ke penghujungnya.

Malah kegembiraan dan kejayaan sebenar yang bakal dikecapi adalah berpunca daripada kesempurnaan ibadah puasa yang bakal dilakukan demi mencapai makam takwa kepada Allah SWT.

Oleh MOHD ALI MUHAMAD DON

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Wajarkah AirAsia pindahkan ibu pejabat ke Jakarta?


BERITA Ibu Pejabat AirAsia akan berpindah ke Jakarta (Utusan Malaysia 23 Julai 2011) menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan ramai.

Dari sudut geografi, Jakarta tidak berada di tengah-tengah rantau ASEAN. Sebaliknya, Kuala Lumpur berada di kedudukan yang lebih baik.

Kenyataan AirAsia yang menyebut mahu berada dekat dengan pejabat sekretariat ASEAN juga tidak munasabah kerana sekretariat itu akan bertukar tempat dari satu negara ke negara yang lain.

Jadi, apakah niat sebenar perpindahan ibu pejabat AirAsia ini? Tidak cukupkah bantuan yang diberi oleh kerajaan kepada mereka? Mahukan lapangan terbang LCCT baru, kerajaan sudah pun menunaikannya. Mahukan laluan yang menguntungkan juga kerajaan telah tunaikan. Adakah AirAsia sudah lupa di mana ia lahir?

Sekarang kita boleh lihat di mana kesetiaan sesebuah organisasi perniagaan yang objektifnya adalah keuntungan semata-mata dan tidak memikirkan di mana mereka bermula serta apa sumbangan yang boleh dibuat kepada negara.

Saya jangkakan apabila berlaku perpindahan ibu pejabat ini, maka pejabat di Kuala Lumpur akan menjadi lebih kecil dan ramai pekerja yang akan diberhentikan.

Nampaknya, Kuala Lumpur seolah-olah sudah tidak selesa lagi didiami oleh orang-orang besar dalam AirAsia selepas mereka memperoleh keuntungan.

Selepas ini, apa-apa dasar kerajaan harus memberi fokus kepada survival syarikat penerbangan negara seperti MAS, Firefly dan MASWing. Inilah syarikat milik rakyat yang mesti dibantu.

ESA ADAM
Bandar Sunway,
Selangor

Monday, July 25, 2011

Bila cerai jadi mainan !!!


SESIAPA lihat suami saya, Amin tentu jatuh hati kerana baik, lemah lembut, hormat orang tua, muka syurga, dua kali buat umrah dan bergelar haji, kalau saya cakap keburukan perangainya tak akan ada orang yang percaya.

‘‘Tetapi dia pantang tengok perempuan berduit dan berharta mulalah dia memancing. Saya perasankan kelakuannya setelah dapat dua anak. Bila terbongkar dia putuskan hubungan, katanya masih sayangkan saya.’’ Itu kata Norhidayah ketika kami bertemu Selasa lalu.

‘‘Sebelum kahwin saya kurang selidik perangai Amin. Namun saya pilih dia kerana dia baik, rajin solat dan jujur dengan saya. Tolak tepi dia pengawal keselamatan sedangkan saya pegawai lulusan universiti. Tapi saya ikhlas mungkin dah jodoh saya.

‘‘Lepas kahwin saya suruh dia belajar, tapi dia bengap, belajar tak sampai ke mana, tapi berkat usaha kami, dia dapat kerja jadi kerani rendah. Sejak kahwin semua urusan keluarga jadi tanggungjawab saya, dari sewa rumah, makan pakai dan susu anak, belanja dapur, tadika, sekolah, segalanya atas tengkuk saya. Dia sentiasa kata gajinya tak cukup.

‘‘Amin memang kaki perempuan, lepas satu, satu perempuan jadi mangsa, dan dia putuskan hubungan bila aktivitinya terbongkar konon takutkan saya. Dari awal lagi saya bagi tahu Amin saya tak tegah dia nak kahwin lagi, tetapi ceraikan saya, sebab dia tak mampu.

‘‘Walaupun saya menanggung keluarga tetapi saya tak pernah beritahu ibu bapa dan adik beradik saya, sebab ada antara mereka dari awal menasihatkan saya supaya fikir dua kali kahwin dengan Amin kerana perbezaan kedudukan dan gaji kami, tetapi saya redha.

‘‘Berkat kesabaran dan pengorbanan saya, Allah memberi saya jalan untuk kumpul duit dan saya dapat beli tiga buah rumah murah. Entah macam mana bodohnya saya, semua rumah tersebut saya gunakan namanya. Cuma terbaru saya beli guna dua nama. Bukan itu saja saya beli tanah juga atas namanya, begitu juga motorsikal dan kereta.

Rasuah

‘‘Saya tak pernah bercerita pada keluarga saya bila Amin digantung kerja oleh majikannya atas tuduhan rasuah. Malah saya keluar duit carikan peguam atas permintaannya. Saya lakukan kerana dia suami saya dan tak mahu anak-anak malu.

‘‘Anak-anak yang dah besar pernah tanya saya, ‘ayah tu kerja jaga, tapi sana sini bawa laptop?’’ Saya tak terfikir pulak. Namun anak-anak lebih bijak, mereka tahu ayahnya ada facebook ada emel dan mereka buka satu persatu. Mereka terjerit panggil saya tengok facebook ayahnya mendakwa dia duda kaya dah duatahun , ingin cari calon isteri, bekerja arkitek ada firma sendiri.

‘‘Sedihnya adik-beradik Amin bukan saja menambah masalah, tetapi turut menyusahkan saya. Mereka bukan sahaja kerap datang ke rumah, malah suka minta duit Amin. Mereka juga sesuka hati merancang buat kenduri di rumah saya tanpa berbincang dengan saya dulu.

‘‘Sepatutnya ketika Amin tak bekerja mereka bantu saya, bukan menyusahkan saya dengan berhutang kiri kanan. Mereka kata Amin kaya ada rumah sewa. Sedangkan saya tak pernah merasa sesen pun walaupun rumah itu saya beli, Amin yang kutip sewa.

‘‘Amin pernah ceraikan saya dua tahun lalu, tapi adik-beradiknya kelam-kabut suruh rujuk semula dan kami rujuk dua minggu kemudian.

‘‘Namun Allah Maha Adil, saya terjumpa draf dan dokumen tersebut dalam beg Farid, siap ada surat peguam lagi. Bila rahsia terbongkar adik-beradiknya tuduh saya kurang ajar nak rebut harta Amin. Siapa rebut harta siapa? Bukankah itu duit titik peluh saya, adiknya Pengawal Keselamatan, mana ada duit? Saya pertahankan hak anak-anak saya.

‘‘Saya ingin merujuk kembali kes perceraian pertama saya supaya pembaca faham. Saya diceraikan bulan Ramadan dua bulan selepas saya melahirkan anak. Amin lafazkan cerai secara lisan dan menulis surat yang dia tanda tangan sendiri. Sebab dia nak kahwin. Ketika itu saya baru habis solat. Bila saya kemukakan pada hakim, Amin mengaku dia tulis dan tandatangan surat tersebut, tetapi dia enggan mengaku dia ceraikan saya.

‘‘Bukti sudah cukup nyata, tetapi kerana Amin tidak mahu ceraikan saya (atas nasihat adik beradik) maka hakim cadangkan Amin angkat sumpah Istizhar bahawa dia tidak ceraikan saya. Amin ikut cakap hakim. Dan hakim tolak bukti yang saya kemukakan.

‘‘Masa itulah adik-beradiknya kelam kabut pujuk Amin dan saya rujuk semula. Kerana tak tahu kedudukan saya sama ada sah bercerai atau tidak maka saya terpaksa rujuk takut berdosa. Dalam tempoh sebulan selepas rujuk mereka tukarkan harta saya atas nama Amin kepada nama kakak mereka, seperti saya ceritakan tadi.

‘‘Kepada penegak keadilan saya ingin maklumkan kes cerai kali kedua yang suami saya failkan memakan masa hampir setahun dengan 13 sesi perbicaraan, namun keputusan tetap berpihak kepada Amin, walaupun Amin mengaku dia lafazkan cerai. Tetapi hakim tanya Amin mengapa dia failkan cerai? Biarkan isteri yang buat tuntutan cerai?

‘‘Dalam kes perceraian kedua ini saya habis lebih RM50,000, untuk peguam tapi Amin menang tanpa peguam bela, namun dia ditolong dan dinasihati oleh hakim yang memihak kepadanya. Adakah kerana Amin ada anak saudara jadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di situ, maka semua takut dan bantu dia? Adakah ini adil?

‘‘Hakim meminta saya bawa bukti, takkan saya nak bawa janda kaya dari Johor, pegawai Putrajaya, janda Gombak yang banyak rumah sewa, isteri orang yang kini hamil 5 bulan dan banyak lagi untuk jadi saksi, ataupun anak-anak saya melihat facebook ayahnya, naik mahkamah. Sedangkan saya sudah berjanji tidak akan aibkan mereka.

‘‘Tak cukupkah bukti yang saya kemukakan surat Amin ceraikan dan melafazkan cerai pada saya? Terbaru kerana Amin menang kes, dia jadi ego dan terus berzina. Anak-anak sendiri melihat bilik kami bersepah dengan pakaian, pewangi, baju tidur wanita yang tidak sempat disorokkannya ketika kami sampai. Adakah anak-anak saya juga berbohong? Atau ayahnya tidak bermaruah. Sama-samalah anda tolong fikirkan.’’

Itu cerita Norhidayah yang telah 20 tahun berkahwin dan akan memfailkan kes terbarunya untuk mendapatkan keadilan

Celaru jantina semakin menular...


SEJAK zaman awal para nabi lagi, telah diceritakan tentang manusia yang suka melakukan hubungan sesama jenis (jantina). Hakikatnya, gejala itu tidak pernah pudar walaupun selepas kaum Nabi Lut dimusnahkan.

Golongan gay, lesbian, pondan, mak nyah, pengkid dan bermacam-macam lagi gelaran untuk ‘cinta’ sejenis ini semakin menular berikutan menyalin budaya kuning Barat yang menghalalkan apa sahaja amalan kononnya atas dasar hak ‘peribadi individu’ dan ‘hak asasi manusia’.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada menghadapi gejala sedemikian sama ada melalui pengaruh media Barat, kawan yang ‘terlalu kebaratan’ ataupun berikutan masalah psikologi dan hormon.

Gejala kecelaruan jantina di negara ini dikesan semakin ketara sejak era disko dan hippies di Amerika Syarikat (AS) sekitar 1970-an lagi tetapi paling nyata sejak awal 1990-an.

Antara kemuncaknya adalah perkahwinan dua wanita pada 1990-an yang mana keluarga pengantin perempuan dikatakan ditipu ‘pengantin lelaki’.

Wanita yang menyamar sebagai pengantin lelaki itu bukan sahaja berjaya mengaburi mata para hadirin dan tok kadi sendiri malah, didakwa menggunakan alat kemaluan tiruan pada malam pertama bersama ‘isteri’.

Wanita yang menyamar itu akhirnya tertangkap dan kemudian dihantar untuk menjalani pemulihan psikologi serta diberi pendidikan agama.

Dengan liputan meluas media terhadap kisah golongan celaru jantina ini, semakin banyak kes dibongkar kepada umum, sama ada cinta antara lelaki atau sesama wanita.

Selang ke abad baru, satu lagi kes menarik perhatian rakyat dan dunia berlaku iaitu apabila Mohammed Fazdil Min Bahari atau lebih dikenali sebagai Fatine, 36, mengahwini seorang warga Britain, Ian Young, 30, pada penghujung 2009.

Walaupun perhatian umat Islam lebih tertumpu kepada pegangan agama Fatine yang berkahwin secara sivil dengan Young, dunia hanya melihat kepada kebimbangan mak nyah itu dikenakan tindakan jika dihantar pulang ke Malaysia.

Fatine yang mengambil hormon wanita sejak berumur 17 tahun akhirnya meninggalkan ‘suaminya’ itu pada April lalu atas alasan kecewa kerana tidak dilayan dengan baik sementara Young mendakwa ditinggalkan selepas menghabiskan 12,000 pound sterling (RM60,000) untuk membolehkan pasangannya itu tinggal di United Kingdom.

Berbanding Fatine yang tidak menjalani pembedahan menukar jantina, kes membabitkan Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, lebih unik kerana ia bukan sahaja melibatkan penukaran jantina tetapi juga memohon untuk menukar nama secara rasmi pada MyKad di mahkamah.

Selepas hampir dua tahun hidup dengan ‘alat kelamin baru’, permohonannya untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana Abd. Aziz ditolak Mahkamah Tinggi Terengganu awal minggu ini.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah mendapati pemohon tidak menepati empat faktor yang menyokong permohonan berkenaan iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin wanita, kewujudan organ dalaman wanita serta memiliki fizikal atau psikologi seorang wanita.

Sebaliknya, Mohd. Ashraf Hafiz dikatakan hanya memiliki satu daripada empat faktor itu iaitu fizikal dan psikologi seorang wanita sementara hakim turut bersetuju dengan hujahan bahawa permohonan tersebut tidak wajar diluluskan kerana pemohon bukanlah wanita tulen.

Tambahan pula, kata hakim, tiada peruntukan undang-undang negara ini yang membenarkan mana-mana pemohon untuk menukar atau mengubah status gender seks mereka dalam MyKad atau dokumen pengenalan diri yang lain.

Mohd. Ashraf Hafiz melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009 setelah disahkan layak dari segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai (PMC).

Laporan akhbar sebelum ini melaporkan Mohd. Ashraf Hafiz berhasrat menukar nama bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran sementara peguamnya, Horley Isaacs mendakwa anak guamnya itu mendapat sokongan penuh daripada ibu bapanya untuk berbuat demikian.

Mohd. Ashraf Hafiz yang tidak hadir pada hari penghakiman sebelum itu, hadir pada 25 Mei lalu dengan berbaju kurung merah putih dan bertudung merah jambu ketika penetapan tarikh.

Hakikatnya, masalah kecelaruan jantina bukan sesuatu yang baru di Malaysia dan masalah ini dilihat tidak akan hilang begitu sahaja.

Bilangan kes nyata semakin meningkat dengan beberapa kajian di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga menunjukkan ‘pelapis’ golongan itu semakin ramai dengan rata-rata daripada mereka adalah terdiri daripada anak-anak Melayu.

Walaupun tiada peruntukan undang-undang yang wujud ketika ini dapat mengekang gaya hidup songsang itu, namun kerajaan telah menegaskan negara ini tidak mengiktiraf hak individu yang menukar jantina termasuk perkahwinan sejenis.

Oleh NURUL ANUAR KARI

Sunday, July 24, 2011

Isteri ramping rahsia rumah tangga bahagia !!!


Kajian dapati lelaki puas hati jika pasangan jaga badan

TENNESSEE: Kajian selama empat tahun terhadap 169 pasangan yang baru berkahwin mendapati golongan suami berpuas hati pada awalnya, manakala golongan isteri akan lebih puas dari masa ke semasa apabila mereka mempunyai indeks jisim badan lebih rendah, merujuk kepada lemak badan.
Hasil kajian terbabit disiarkan dalam jurnal Social Psychological and Personality Science bagi bulan ini

“Wanita dalam masyarakat sekarang menghadapi banyak tekanan untuk memiliki badan kecil, sesuatu yang jarang dimiliki,” kata Andrea Meltzer, seorang calon profesor di Universiti Tennessee yang juga ketua penyelidikan itu.

“Mesej utama kajian kami adalah wanita sebarang saiz gembira dengan hubungan mereka dengan pasangan yang secocok. Ia berat relatif bukannya mutlak. Ini bukan bermakna mereka perlu menjadi lebih kecil.”

Bagaimana berat relatif memberi kesan kepada perkahwinan tidak jelas, tetapi Meltzer mempunyai teori.

“Satu pandangan ialah daya tarikan dan berat adalah lebih penting bagi lelaki. Ia mungkin sebab mengapa kita lihat ia wujud pada awal perkahwinan kepada si suami, dan suasana bahagia bagi isteri terjejas apabila suami mereka mula merasa tidak puas hati dalam hal itu selepas beberapa lama.”
Hasil kajian itu masih boleh dipegang walaupun apabila ada unsur tekanan lain terhadap perkahwinan seperti kemurungan dan tahap pendapatan, diketepikan. Pada masa sama, berat relatif bukan satu-satunya faktor yang menjejaskan kepuasan dalam perkahwinan, kata Meltzer.

“Jelas sekali banyak perkara bermain dalam kepuasan hubungan dan ini satu daripadanya. Ia bukan satu jaminan untuk menjadi gembira dalam sesebuah hubungan,” tegasnya.

“Lelaki dan wanita cenderung untuk gembira dalam sesuatu hubungan apabila lelaki terbabit lebih berkuasa dalam cara yang lebih lembut,” kata Susan Heitler, pakar terapi pasangan di Denver dan penulis PowerOfTwoMarriage.com.

“Berita baiknya ada pelbagai dimensi yang melambangkan kuasa lelaki,” katanya sambil merujuk kepada aspek ketinggian, berat badan, pendapatan, kecerdikan, tahap pendidikan, personaliti, malah senyuman lebar, kesemuanya memainkan peranan,” katanya.

Kesan perkahwinan terhadap berat badan dan begitu juga sebaliknya, adalah rumit untuk diperjelaskan.

Bagi wanita, rasa tidak puas hati selalunya boleh menyebabkan pertambahan berat badan – satu keadaan bahawa kedua-dua pasangan berasa tidak selesa bercakap mengenai. – Agensi

Majlis perkahwinan mewah beri impak negatif !!!


Perkahwinan yang menelan perbelanjaan melampau mencecah jutaan ringgit boleh memberikan impak sosial yang negatif jika ia dilaksanakan hanya semata-mata memenuhi elemen menunjuk-nunjuk hingga mengetepikan matlamat sebenar perkahwinan.

Dari segi sosial pula, kebanyakan majlis perkahwinan mewah besar-besaran yang dianjurkan di negara ini sudah dicampur aduk dengan pelbagai elemen selain dimanipulasi sesetengah pihak bagi mendapat keuntungan khususnya membabitkan selebriti dalam memastikan barangan yang ditaja mendapat publisiti meluas.
Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata apa yang lebih membimbangkan adalah aliran berbelanja mewah akhirnya menjadi ikutan hingga ada pasangan sanggup berhutang bagi memastikan majlis berlangsung dengan gilang gemilang yang akhirnya memberikan kesan jangka masa panjang selepas perkahwinan.

“Ia juga tergelincir daripada matlamat sebenar perkahwinan yang sepatutnya dilaksanakan dengan cara sederhana. Bila rumah tangga dibina atas niat mahu popular hingga sanggup berhabis dan mengetepikan asas utama perkahwinan yang sepatutnya sederhana dan berteraskan agama, tidak mustahil ia boleh jadi faktor menyebabkan perceraian,” katanya.

Bekas Penasihat Agama Istana Negara yang juga pendakwah bebas, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, pula berkata kesan lebih buruk jika majlis itu lari daripada matlamat dan akhirnya mengakibatkan pembaziran, malah lebih teruk lagi ikatan yang dibina dengan perbelanjaan jutaan ringgit tidak mampu bertahan lama.

“Perkahwinan dalam Islam adalah sunnah Nabi yang sangat dituntut malah kenduri atau majlis itu harus dibuat hanya bagi mereka yang berkemampuan. Perkara paling penting jangan sampai majlis jadi perkara boleh menimbulkan riak (sifat menunjuk-nunjuk).

“Islam mengunjurkan pernikahan dalam suasana paling mudah dan ringkas kerana itu yang terbaik dan paling diberkati. Untuk apa kita melaksanakan majlis yang bermegah dan bermewah tetapi tidak mendatangkan keberkatan, kerana apa yang penting majlis diberkati,” katanya.
Semalam akhbar melaporkan majlis resepsi perkahwinan pasangan pelakon, Norman Hakim dan Memey Suhaiza pada 28 September ini di Hotel Crowne Plaza Mutiara, di sini yang mendapat tajaan Rafflesia The Pearl Centre dianggar menelan kos lebih RM12 juta.

Rafflesia turut memaklumkan akan menyediakan dua persalinan bertatahkan mutiara yang setiap satunya bernilai RM500,000, dua set barang kemas masing-masing bernilai RM2.8 juta berupa anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara.


Insken ibarat permata berharga hilang sinar..


MINGGU lalu saya banyak juga memperkatakan berkenaan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju). Teraju dalam kolum saya itu mendapat pelbagai reaksi. Bagi yang bertanggungjawab atau berada dalam kapal Teraju, sudah pasti senak perut sedikit dengan tulisan itu. Namun di pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) usahawan atau individu Melayu yang terlibat secara terus dengan ekonomi Melayu rata-ratanya bersetuju dengan apa yang saya kata.

Lebih menarik apabila ada yang menghubungi saya beberapa hari lalu yang meluahkan rasa kecewa menghadiri satu program Teraju di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dilihat tidak memberi harapan besar kepada pembangunan ekonomi orang Melayu seperti diharapkan.

Saya tidak hadir tetapi kata beberapa peserta tersebut apa yang dibuat oleh Teraju pada hari itu tiada beza dengan apa yang sudah dibuat oleh agensi-agensi lain terutama dalam program keusahawanan.

Tambah mereka, dengan mencelup program sedia ada di bawah agensi lain kemudian diuar-uarkan sebagai transformasi Teraju, ibarat sekadar menempel apa yang memang sudah ada dengan tersendiri.

Bagi mereka zaman menteri menyaksikan memorandum persefahaman dan menyaksikan penyerahan cek geran biarlah dibuat bersama menteri kementerian masing-masing. Lebih lucu kata mereka, sampaikan cek sumbangan korporat bantuan sekolah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri pun hendak dibuat pada majlis yang sama.

Akibatnya majlis ucapan keraian menteri sahaja sudah habis tiga suku majlis. Lebih kecewa, bila ada yang datang dari seluruh negara berdepan dengan masalah mendapatkan hotel di Kuala Lumpur kerana terlalu banyak aktiviti menjelang puasa tidak lama lagi. Akhirnya mereka berasakan program itu tiada istimewanya.

Walaupun banyak lagi keluhan, saya sekadar mendengar dan yakin dengan mereka kerana mereka ini adalah usahawan tulen yang sentiasa memikirkan perkara berfaedah dan menilai dengan perkiraan sen dan ringgit.

Tetapi saya terfikir selepas itu, bukankah agenda ekonomi bumiputera mempunyai skop isu yang lebih besar daripada itu? Kadang kala saya juga menasihati NGO dan usahawan Melayu bahawa isu Teraju dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) adalah sebahagian isu bumiputera. Bagaimana dengan lain-lain?

Saya percaya jika Teraju menerima semua cadangan NGO, ramai pihak yang akan puas hati. Tetapi selepas itu, apakah syor yang diputuskan kerajaan itu akan disambut dengan baik di peringkat agensi pelaksana?

Kali ini saya tidak mahu membincangkan skop yang luas terhadap pelaksanaan peringkat agensi tetapi ingin membawa satu contoh kajian kes iaitu Institut Keusahawanan Negara (Insken), di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Selepas Teraju, inilah antara agensi kerajaan yang menjadi buah mulut di kalangan usahawan Melayu sebagai permata usahawan Melayu yang sudah hilang cahayanya. Dalam satu pertemuan wakil-wakil persatuan dengan kerajaan baru-baru ini, kekecewaan itu bukan hanya dizahirkan oleh usahawan tetapi pegawai atasan kerajaan juga.

Manakan tidak. Jika sebelum ini, menara usahawan sentiasa berkelibut dengan pelbagai aktiviti keusahawanan, kini sudah malap macam hidup segan, mati tak mahu! Suatu ketika dahulu meriah di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti yang sedikit sebanyak dapat dirasai oleh usahawan, kini ibarat muzium iaitu ada pameran tetapi bahan mati yang diawet sebagai sejarah.

Banyak pertemuan telah dibuat oleh MITI yang dipengerusikan oleh menteri dan Insken tidak terlepas daripada hentaman tetapi nampaknya tiada hasil yang menyerlah. Menteri berkaitan ada membentangkan kepada Parlimen penubuhan Pusat Bimbingan Usahawan atau Business Adisory Centre (BAC), selepas asakan NGO untuk menggantikan peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD).

Selepas wujud BAC, beberapa pemimpin persatuan mencuba sendiri perkhidmatan BAC, ternyata masing-masing kecewa kerana sistem penyampaian sama ada secara teknikal atau khidmat nasihat amat lemah. Faktor lain pula ialah kakitangan yang dipertanggungjawabkan tidak cekap. Sudahlah lokasinya pun tidak strategik, ditambah pula promosi yang lemah menjadikan medan pameran Menara Usahawan sudah tidak meriah macam dulu.

Semasa Insken di bawah MeCD, aktiviti pembudayaan keusahawanan sangat menyerlah! Usahkan orang dewasa, pelajar sekolah pun kenal kerana banyak aktiviti dijalankan. Hari ini, sebut sahaja Insken, yang kenal pun akan bertanya: “ada lagi ke Insken?”

Bayangkan usahawan produk rozel di Sungai Petani, Kedah masih mengingati jasa Insken mempopularkan produk rozelnya suatu ketika dulu. Namun baru-baru ini beliau berasakan kekecewaan apabila hasratnya untuk berkembang luas bersama Insken tidak kesampaian. Malah abang dari Kedah ini lebih mengenali kakitangan Insken lama daripada yang ada pada masa kini.

Kisah di atas adalah satu contoh kelemahan kita sendiri. Setiap kali usahawan Melayu bising, maka wujudlah macam-macam agensi baru sedangkan yang lama pun tak jadi apa. Itu belum lagi jenama-jenama ad-hoc parti politik yang konon nak jadi hero juga. Pun akhirnya habuk pun tak ada.

Setelah bubarnya MeCD, Insken antara permata usahawan Melayu yang sempat masih hidup atau tidak berkubur bersama MeCD. Tetapi permata yang sepatutnya digilap untuk lebih bersinar dan lebih berharga, kini ibarat jasad yang sudah mati.

Insken perlu diterajui oleh mereka yang benar-benar berkaliber sebagai pegawai kerajaan, memahami kehendak sebenar usahawan dan mempunyai jati diri Melayu yang luar biasa. Tetapi sekadar mahu meletakkan ketua yang berasaskan senioriti dalam perkhidmatan awam, bukanlah di situ tempatnya.

Atau apakah menterinya yang sudah berkali-kali disuarakan isu Insken mempertahankan pegawai-pegawai atas politik tertentu terutama untuk menawan semula negeri pembangkang dan meletakkan kuota kakitangan dari negeri tertentu?

Apa yang pasti, angin protes usahawan bumiputera kembali bertiup kencang yang berkait rapat ketidakseimbangan Program Transformasi Ekonomi (ETP), krisis keyakinan Pemandu, Ketidakyakinan terhadap Teraju dan kelemahan agensi seperti Insken dikhabarkan menjadi rasa kurang senang.

Mereka kononnya hendak berhimpun lagi tetapi bukanlah dengan mood politik pembangkang tetapi mereka yang sayangkan kerajaan sedia ada supaya mahu ambil kira kehendak sebenar. Dengarnya juga mereka mahu mengadu kepada Raja-raja Melayu!

Cuma harapan saya yang sedang mengisi hari-hari pencen dengan pengalaman silam, bangsa Melayu perlu segera membetulkan diri dan melihat cara kejayaan orang lain bersepadu kerana pemimpin kita adalah Melayu, pegawai kerajaan Melayu dan kita semua rakyat Melayu. Di mana silapnya?

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas

Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...