terima kasih buat kalian semua..

Sunday, August 28, 2011

Kahwin dekat vs Kahwin jauh..apa kaitannya dengan raya??? heheheh


HARI Raya Aidilfitri adalah satu-satunya hari dalam setahun yang mana seseorang tidak melalui kehidupan seharian seperti biasa.

Bagi kebanyakan orang Melayu di Malaysia, bila celik mata di pagi Hari Raya, mereka bukanlah di rumah masing-masing. Kebanyakannya tentulah di kampung halaman.

Bagi yang bernasib baik, pagi Hari Rayanya adalah di rumah ibu bapa sendiri, tempat di mana mereka dibesarkan.

Tetapi tidaklah semua orang bernasib baik seperti itu. Kebanyakan orang tidak akan dapat pergi lagi ke tempat rumah kelahiran mereka.

Mungkin rumah itu pun sudah tiada ataupun ibu bapa sudah pindah ke rumah yang lebih baik.

Bagaimanapun, bagi mereka yang terpaksa berhari raya di rumah mertua, apa yang boleh dikatakan ialah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Pada zaman ini, tahukah kalian bahawa banyak orang Melayu yang terpaksa duduk di rumah mertua mereka banyak hari semasa Hari Raya?

Ini kerana orang Melayu sekarang kahwin dengan orang jauh-jauh dan bukan lagi satu kampung.

Kalau dahulu, orang kahwin satu kampung atau sekurang-kurangnya satu daerah. Tetapi sekarang yang selatan kahwin dengan orang utara. Yang barat kahwin dengan orang timur. Malah tidak kurang pula yang Malaysia Barat kahwin dengan Malaysia Timur.

Maka kalau dahulu dalam masa Hari Raya, bolehlah bergilir-gilir tidur di rumah ibu bapa sendiri dan mertua, sebab kedudukannya tidak jauh. Sama ada satu kampung, mahupun satu daerah.

Tetapi jika rumah ibu bapa sendiri dan mertua jauh, beratus batu, maka tentulah menyambut hari raya perlu dibuat bergilir. Kalau tahun lalu di rumah ibu bapa sendiri, maka tahun ini terpaksalah mereka berhari raya di rumah mertua.

Ia juga bermakna mereka terpaksalah tinggal di rumah mertua berhari-hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah ibu bapa sendiri.

Gejala orang Melayu kahwin jauh-jauh ini adalah petanda pembangunan dan kemajuan negara.

Ia banyak berlaku hanya selepas merdeka apabila rakyat negara ini berhijrah ke tempat-tempat lain untuk belajar dan bekerja.

Umpamanya jika mereka belajar di Kuala Lumpur, maka akhirnya berkemungkinan jodoh mereka adalah orang yang jauh dari kampung halaman mereka.

Maka setelah 54 tahun merdeka, dapat disaksikan generasi anak-anak Melayu yang kahwin di luar negeri masing-masing.

Dari segi pengembangan baka, fenomena ini adalah baik. Ini kerana tidaklah orang hanya kahwin di negeri masing-masing. Apabila kahwin dengan orang jauh-jauh, baka yang dihasilkan akan lebih baik.

Tidakkah orang Melayu digalakkan supaya kahwin dengan orang di luar persaudaraan mereka? Kahwin sepupu walaupun dibenarkan tidak digalakkan. Sementara bagi mereka yang mengikut Adat Perpatih, kahwin satu suku pun tidak diizinkan.

Kini orang Melayu telah banyak kahwin di luar negeri masing-masing. Generasi yang ada sekarang dan akan datang tidak akan dikenali sebagai orang satu negeri, tetapi dua negeri. Negeri bapa dan ibu mereka berbeza.

Maka muncullah orang Melayu baru yang tidak dikaitkan dengan mana-mana negeri kerana ibu bapa mereka datang daripada negeri berlainan.

Ekoran daripada itu juga orang Melayu lebih pandai dan segak kerana kahwin berlainan negeri

Tetapi berkelana dan merantau adalah sifat rumpun Melayu di Nusantara. Dengan menaiki perahu dan kapal layar, mereka berhijrah ke seluruh pelosok kepulauan Asia Tenggara.

Setelah merantau jauh, mereka mencari rezeki dan bila Hari raya, mereka akan pulang ke kampung masing-masing, memperbaharui hubungan dengan sanak saudara dan jiran-jiran kampung.

Kalau dahulu mereka menyusur sungai-sungai untuk pulang ke kampung, kini mereka menggunakan pula lebuh raya.

Dengan melalui kesesakan yang bertambah buruk setiap tahun, sudah tentu menghadapi Hari Raya adalah berlainan daripada kehidupan seharian.

Semasa Hari raya ketika dalam gelak tawa dengan sanak saudara dan kemeriahan anak-anak kecil, lupalah sejenak segala masalah kehidupan seharian.

Kucing Jantan

"Balik kampung" ke "balik bandar" ???


SEBAGAIMANA biasa, ramai di kalangan mereka yang menetap di bandar balik kampung bagi menyambut Aidilfitri dijangka Selasa ini. Mereka balik kampung kerana keluarga mereka – ibu, ayah, datuk, nenek, abang, kakak, adik dan sanak saudara dana sahabat handai berada di kampung.

Semua keluarga mereka yang juga berhijrah, bersama-sama memilih untuk berada di kampung. Inilah kesempatan terbaik untuk mengadakan pertemuan serentak. Pertemuan serentak ini hanya berlaku setahun sekali pada hari raya atau bila ada kenduri kendara atau kematian. Itu pun kadangkala pulang dalam keadaan tergopoh-gapah.
Senario hari raya tahun ini juga adalah sama. Dalam kepesatan dan pembangunan negara hari ini, definisi balik kampung sudah banyak berubah. Balik kampung tidak semestinya lagi memberi gambaran mengenai pergerakan atau perjalanan seseorang dari bandar, di mana tempat mencari rezeki, pulang ke kampung asal mereka.
Istilah balik kampung dalam konteks hari raya atau hari kebesaran ialah pulang ke tempat ramai saudara mara berhimpun, tidak kira lah sama ia pihak suami atau isteri. Contohnya, jika sepasang suami isteri terus kekal di tempat mereka menetap sehingga berpencen dan terus tinggal Kuala Lumpur, kampung bagi anak-anak mereka adalah Kuala Lumpur
Ada orang yang pulang dari sebuah kampung lain di mana mereka meneruskan hidup bersama suami atau isteri, ke kampung tempat mereka dilahir dan dibesarkan. Begitu juga, umpamanya, seorang guru yang mengajar di sebuah kampung di pedalaman Sabah atau Sarawak pulang ke rumah keluarganya di sebuah taman perumahan di Johor Bahru.

Atau, ada juga yang pulang dari sebuah cawangan universiti di Perlis kerana meneruskan pelajarannya, pulang ke sebuah kampung di Tawau, Sabah. Dalam konteks balik kampung dalam masyarakat yang hidup berselerakan hari ini, kampung terletak di mana-mana saja. Status bandar besar atau ibu kota juga sudah menjadi kampung.

Mereka yang pulang berhari raya di Kuala Lumpur atau Putrajaya juga adalah balik kampung. Dari segi makna asalnya, kampung bermaksud sebuah kawasan penempatan sekumpulan penduduk yang mengamal kehidupan tradisi. Setelah penempatan itu dibuka, penghuninya bermastautin di kampung itu dari satu keturunan kepada satu keturunan yang lain dengan mengamalkan cara hidup mengikut budaya dan kepercayaan masing-masing.

Umumnya, penduduk kampung tinggal di rumah yang dibina secara ringkas dan sederhana. Cuma, kebelakangan ini, sudah banyak banglo dibina di kampung-kampung. Rumah di kampung pun sama cantik dengan rumah di kota. Keadaan kebanyakan kampung hari ini berbeza daripada keadaan 40 atau 50 tahun lalu. Rumah mewah sudah menjadi perkara biasa di kampung-kampung.
Biasanya, kebanyakan kampung mempunyai kemudahan asas seperti jalan raya, air, elektrik dan talian telefon. Mereka juga mempunyai tempat beribadat masing-masing mengikut penganut agama yang menetap di kampung berkenaan. Bagi umat Islam, setiap kampung mempunyai masjid atau setidak-tidaknya surau.

Kawasan tanah rancangan seperti FELDA, FELCRA dan RISDA juga adalah kampung bagi anak-anak peneroka yang menetap di tempat lain. Pada hari-hari biasa, kawa-
san perumahan tidak dianggap sebagai kampung. Ia mendapat gelaran kampung bila hari kebesaran.

Di bandar besar, pinggir bandar dan daerah sudah banyak taman-taman perumahan dengan pelbagai nama. Penghuninya menetap di rumah-rumah teres yang sama bentuknya antara satu dengan lain tetapi tidak mempunyai banyak ruang tanah untuk bercucuk tanam atau menternak ternakan seperti yang biasa di kampung-kampung.

Namun, ciri-ciri hidup tradisional di kampung masih wujud. Bagi anak-anak yang bermastautin di tempat lain pulang ke taman perumahan turut dipanggil 'balik kampung' walaupun kampung mereka itu adalah sebuah taman perumahan.

Penempatan rumah pangsa juga ada kampung bagi mereka yang pulang berhari raya di rumah ibu bapa mereka di rumah-rumah flet. Istilah kampung bukan terbatas kepada pulang ke kampung saja tetapi ia mungkin taman perumahan, kawasan mewah atau rumah pangsa.

Istilah balik kampung dalam konteks hari raya atau hari kebesaran ialah pulang ke tempat ramai saudara mara berhimpun, tidak kira lah sama ia pihak suami atau isteri.

Contohnya, jika sepasang suami isteri terus kekal di tempat mereka menetap sehingga berpencen dan terus tinggal Kuala Lumpur, kampung bagi anak-anak mereka ada lah Kuala Lumpur.

Jika kampung ayah mereka di Kelantan, manakala kampung ibu mereka di Kedah, tetapi mereka menetap di Kuala Lumpur, pada setiap hari raya, Kuala Lumpur tidak lagi sesunyi dulu.

Kuala Lumpur juga sudah menjadi kampung bagi anak-anak yang dilahir dan dibesarkan di banda raya ini. Keadaan ini berlaku terutama ayah dan ibu mereka tidak lagi pulang berhari raya di kampung halaman mereka setelah kedua-dua ibu mereka sudah tidak ada lagi.

Jika pulang ke kampung asal mereka pun, hanyalah untuk menziarah kubur keluarga dan berkunjung ke rumah adik beradik, saudara mara dan kenalan lama yang masih ada di kampung. Balik kampung itu sendiri boleh dianggap sebagai satu pesta yang berlaku pada sebelum dan selepas perayaan hari raya sebenar.

Jika menggunakan lebuh raya, kenderaan bersesak-sesak hinggakan perjalanan yang biasanya mengambil masa tiga jam menjadi berbelas-belas jam. Jika menaiki kereta api, bas atau teksi, mereka juga akan berasakan kesesakannya.

Apa pun, balik kampung adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh ramai penduduk negara ini.

Oleh Mior Kamarul Shahid


Rangsangan berahi boleh batal puasa...


USTAZ, ada banyak rancangan di televisyen yang memaparkan wanita yang tidak menutup aurat, termasuk pada Ramadan. Dan kita, tanpa sedar, turut menontonnya. Persoalannya, adakah perkara ini akan mengurangkan pahala puasa?

Haji Muhammad,Perak.


Jawapan:

RASULULLAH SAW bersabda dalam satu hadis riwayat. Sudah jelas bahawa membuka atau mempertontonkan bahagian tubuh yang dapat menimbulkan rangsangan berahi adalah perbuatan yang haram dan haram pula untuk dilihat sama ada sengaja atau tidak sengaja.

Sememangnya melihat aurat perempuan sekiranya itu pandangan pertama atau pandangan awal, tidaklah berdosa, tetapi pandangan kedua iaitu melihatnya secara sedar atau sengaja iaitu dengan niat melihatnya, itulah yang diharamkan.

Justeru, duduk di hadapan TV atau menonton gambar hidup lainnya yang mengandungi tayangan yang menonjolkan aurat, meskipun tidak sepenuhnya sama ada dengan melihatnya dalam bentuk yang nyata di hadapan mata, namun menonton TV yang mengandungi aksi yang mendatangkan keghairahan atau menonjol aurat adalah perkara buruk yang seharusnya dihindari atau dijauhi.
Kalau kita melihat kepada takrif puasa iaitu menahan nafsu makan, minum, bersetubuh dan perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari yang disertai. Apatah lagi perkara yang haram.

Menonton tayangan yang menonjolkan aurat atau yang menimbulkan rangsangan bertentangan dengan makna puasa, walaupun ia tidak membatalkan puasa.
Perkara yang membatalkan puasa dari segi hukum antaranya makan, minum dan melakukan hubungan seks pada siang puasa. Namun demikian, oleh kerana ia bertentang dengan makna puasa, sudah tentu ia mengurangkan pahala puasa.

Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tahap iaitu puasa umum, puasa al-Khusus dan puasa khusus al-Khusus.

Tahap pertama adalah tahap puasa orang awam iaitu menahan perut dan kemaluan dari mengikut kehendak syahwat.

Tahap kedua, puasa orang khusus iaitu orang yang menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota daripada perkara-perkara dosa. Tahap ketiga adalah puasa kalangan Nabi, as-Shiddiqin, orang salih dan seumpamanya.

Puasa mereka adalah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain Allah SWT secara sepenuhnya.

Puasa akan terbatal pada tahap ini disebabkan memikirkan perkara-perkara selain Allah SWT dan Hari Akhirat.

Puasa tahap ketiga inilah puasa yang paling khusus kerana mereka bukan saja memelihara diri daripada daripada perkara membatalkan puasa tetapi juga yang membatalkan pahala puasa.

Rasulullah SAW bersabda: “Banyak orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh dari puasanya selain dari rasa lapar dan dahaga. Akhirnya, mari bertanya pada diri, apakah menonton tayangan TV itu benar-benar tidak sedar atau tidak tahu bahawa ia perkara yang dilarang atau sebenarnya ia sedar dan memang sengaja menontonnya?

Jawapan disediakan oleh Ustaz Zahazan


Sambut raya dengan makna..


DUA hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut 1 Syawal. Di Malaysia bahang hari raya mula dirasa sejak sebelum berpuasa lagi. Iklan raya di sana-sini. Kadang-kadang terasa umpama raya dulu baru berpuasa.

Lagu-lagu raya berkumandang sebelum masanya. Maka apabila tiba hari raya, seri serta maknanya tidak begitu ketara.

Perkara paling penting bagi kebanyakan orang dalam menyambut hari raya adalah menyusun atur cara. Bermula dengan balik kampung. Bagi orang bujang tidak ada masalah. Yang sudah berumah tangga maka diingatkan raya tahun lepas kampung siapa yang dituju. Biar pun telah bersetuju, namun ada juga yang merajuk atau tidak berpuas hati apabila tiba giliran balik di kampung isteri atau suami.

Selamat sampai di kampung halaman, apa pula perancangan? Di kampung, malam raya dimeriahkan dengan bacaan takbir dari rumah ke rumah. Itu seni hari raya yang mengundang suasana sayu dan sarat dengan pengertian. Kalimah puji-pujian kepada Yang Maha Pencipta selain mengungkap rasa syukur kepada limpahan nikmat-Nya juga mengingatkan kita kepada mereka yang telah pergi.

Ada ibu terkenang anak yang mendahuluinya bertemu Ilahi, begitu juga si suami atau isteri yang kehilangan pasangan. Selain sahabat terpaksa melihat jenazah sahabatnya diusung dalam keadaan persahabatan erat terjalin, begitu juga pasangan kekasih yang tidak sempat bersatu di alam rumah tangga. Apatah lagi jika episod sedih dan menyayat hati itu berlaku sepanjang Ramadan, tentunya hari raya umpama tidak membawa sebarang makna lantaran imbauan senyum, tangis dan tawa mereka yang pergi meninggalkan kita itu masih segar bermain di ingatan.

Saat itu juga ada yang cuba menyelam perasaan anak-anak yatim. Apa agaknya catatan rasa nun di sudut hati mereka terutamanya yang kehilangan ibu dan bapa sekali gus. Bagaimana pula saudara seagama di negara-negara yang ditimpa bencana. Adakah hari raya mereka semeriah kita sedangkan untuk mengisi perut setiap hari pun belum tentu mereka mampu. Lihat saudara kita di Somalia, Palestin, Afghanistan, Iraq - merempat dan kelaparan di negara sendiri.

Kesemua perasaan itu terungkai sebaik mendengar tahmid memuji kebesaran Allah sambil memikirkan apakah akan ada lagi hari raya untuk kita pada tahun hadapan atau ini yang terakhir.

Keindahan takbir bersambung ke pagi Syawal. Umat Islam berduyun-duyun ke masjid bagi menyempurnakan sembahyang sunat Aidilfitri. Berpakaian baru meraikan kehadiran Syawal menyerlahkan suasana hari raya yang tidak dapat dilihat pada hari-hari lain. Sembahyang raya selain menjadi ibadat merupakan peluang untuk merapatkan silaturrahim.

Masjid menjadi medan pertemuan mungkin dengan insan yang tidak ditemui bertahun-tahun lamanya. Ketika itu kehangatan Syawal amat terasa. Sekali lagi takbir dan tahmid berkumandang. Khutbah hari raya selalunya mengingatkan manusia tentang saudara seagama yang dilanda bencana serta sengsara.

Selesai solat hari raya, langkah diatur ke pusara. Bacaan ayat-ayat suci al-Quran disedekahkan kepada kaum keluarga yang telah pergi. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman.

Nisan

Tidak mustahil dalam setahun, ada kubur yang dikunjungi hanya sekali iaitu pada hari raya. Ada yang tercari-cari lantaran terlupa di mana letaknya kubur orang yang dikasihi. Lantaran terlalu lama tidak dikunjungi ada batu nisan tenggelam akibat hakisan hujan. Apabila tenggelam dan kali terakhir dikunjungi adalah pada hari raya tahun lepas maka tentulah sukar dikenal pasti. Ada juga kubur yang rumput menjalar di sana-sini, menunjukkan tiada siapa ambil peduli. Seolah-olah kubur menjadi tempat buangan yang hanya diingati apabila tiba hari raya. Biar pun ada yang berkata mengunjungi pusara tidak penting sebaliknya doa adalah lebih afdal, namun tentu ada hikmahnya apabila setiap kematian berakhir di tanah perkuburan.

Tentu ada sebabnya mengapa kematian selalu diletakkan tanda - yang pasti antara lain supaya orang yang hidup dapat lihat, fikir dan ingat bahawa tidak diketahui bila, akan ada nisan baru yang mungkin tertera nama kita. Sebab itu pada hari raya, kubur yang sentiasa sunyi sepi menjadi `hidup’ kerana dikunjungi para waris biar pun setahun hanya sekali. Ini kerana yang sekali itu mungkin akan menyuntik rasa insaf bahawa hidup ini terlalu singkat untuk kita melupakan bahawa manusia tidak pernah tahu di mana tanah kuburnya dan adakah akan ada anak atau cucu atau sahabat yang akan mengunjungi pusara kita kelak?

Selesai solat raya dan mengunjungi pusara, ada yang mula tidak selesa berbaju Melayu, menyarung baju T untuk menikmati juadah. Ketupat, lemang, rendang, lontong, kuih-muih bukan lagi makanan istimewa hari raya. Dahulu hidangan tersebut hanya boleh ditemui pada Syawal atau Zulhijjah sesekali semasa kenduri-kendara, itu pun jarang sekali. Sebab itu apabila tiba hari raya keterujaan untuk menikmati hidangan seperti itu amat terserlah. Tetapi kini ketupat, lontong, dodol, bahulu dan banyak lagi menjadi makanan sepanjang tahun. Kesemuanya boleh dinikmati pada bila-bila masa dan di mana-mana. Cuma bezanya juadah itu menjadi istimewa kerana dinikmati pada hari yang istimewa juga. Maka hidangan yang biasa menjadi luar biasa terutamanya apabila dinikmati bersama keluarga dan sanak-saudara.

Susunan jadual hari raya sepatutnya bersambung kepada acara kunjung-mengunjungi. Bagi kanak-kanak inilah masanya mengumpul duit raya. Semakin ramai saudara-mara dikunjungi, semakin `lebatlah’ sampul duit yang diperoleh. Memberi duit raya terutama kepada kanak-kanak menjadi tradisi turun temurun. Bukan bermakna mengajar kanak-kanak menjadikan duit sebagai motif beraya dari rumah ke rumah, sebaliknya memberi sedekah mensyukuri nikmat yang dianugerah Allah sepanjang setahun.

Silaturrahim

Bagi anak-anak yang membesar di bandar dan pulang ke kampung kerana mengikut ibu dan bapa, maka sesi kunjung-mengunjungi sememangnya ditunggu-tunggu. Inilah masanya bertemu sanak-saudara, mengeratkan silaturrahim sambil bertanya `yang ini anak siapa’ dan `yang itu anak siapa pula’.

Namun tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan amalan kunjung-mengunjungi baik di kampung mahu pun di bandar semakin tidak mendapat tempat. Sebab utama kerana tidak mahu terlepas menonton program-program menarik di kaca televisyen yang telah diuar-uarkan dua minggu sebelum raya. Maka jadual hari pertama hari raya yang sepatutnya diisi dengan ziarah sanak-saudara selepas solat kini ditukar kepada berkumpul di ruang tamu menonton satu demi satu program menarik. Lebih menarik lagi adakalanya program tersebut bukan bersifat tempatan. Cerita dan dokumentari yang diimport turut mewarnai hari raya malah isi kandungannnya dan mesej yang hendak disampaikan juga tidak diketahui sama ada relevan dengan hari raya atau sebaliknya.

Justeru, boleh saja dirumuskan bahawa hari raya kini hanya berkisar kepada jalan raya sesak kerana semua orang berpusu-pusu meninggalkan kota untuk balik ke kampung halaman. Selepas itu, sama-sama bertakbir, menunaikan solat hari raya, saling bermaafan, mengunjungi pusara dan menikmati juadah hari raya. Apa sebenarnya matlamat hari raya dan di mana kita sepatutnya berada semasa hari raya juga menjadi semakin kabur. Semangat untuk menyemarakkan kampung halaman semacam tidak mendapat perhatian. Yang penting hanya hari pertama raya. Hari-hari lain sama seperti mengisi cuti tahunan. Melancong, mengunjungi pusat beli-belah kini menjadi sebahagian daripada agenda hari raya. Ada juga umat Islam yang tidak kisah jika tidak berhari raya. Bukan kerana terpaksa bekerja, tetapi kerana makna hari raya itu semakin tidak dihayati.

Oleh Noraini Abd. Razak

Saturday, August 27, 2011

Pentadbiran UPSI tunggang-langgang, sistem peperiksaan tak telus !!!


SAYA salah seorang dari ratusan guru yang mengikuti Program Pengsiswazahan Guru (PPG) ambilan Mac 2011 yang lalu dan ditempatkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebelum ini saya amat berbangga sekali walaupun hanya mendengar nama universiti ini yang melahirkan ramai guru berwibawa. Tetapi persepsi ini semakin hari semakin pudar apabila saya sendiri dan mungkin ramai rakan guru yang lain kecewa dengan tenaga pengajar dan pengurusan pihak kampus.

Pertama sekali saya mendaftar ke kampus ini sedikit terkejut kerana pelajar UPSI juga yang menguruskan segala pendaftaran PPG KPM 2011. Di dalam diri saya berkata mungkin itu hanya latihan untuk mengajar pelajar ini untuk menguruskan apabila bakal menjadi guru kelak. Amat mengejutkan apabila taklimat dan penerangan mengenai UPSI dan laman webnya juga diterangkan oleh pelajarnya.
Tidak cukup dengan itu, pengurusan mendapatkan jadual kuliah juga amat mengecewakan kerana boleh dikatakan ia cukup tunggang langgang. Pertama kali kami menghadiri kuliah dan kelas dengan semangat untuk belajar luntur sedikit apabila salah seorang pensyarah memarahi kami kerana dia tidak tahu jadualnya sendiri. Sikap ini tidak harus ada pada tenaga pengajar walaupun dia dipanggil gelaran doktor sedangkan Julai lalu guru sibuk mengulang kaji kerana bakal menduduki peperiksaan semester.
Tidak cukup dengan itu saya amat pelik dengan sistem pengurusan peperiksaan. Apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan saya amat musykil. Ada bekas guru keluaran UPSI ini mendakwa markah diambil kira adalah daripada peperiksaan semata-mata.

Ternyata dakwaan ini benar kerana saya sendiri mengalaminya. Cukup kecewa apabila dapati rakan yang lain tidak pernah melayari perbincangan secara atas talian dan tidak menghantar tugasan mendapat markah lebih tinggi berbanding rakan guru yang lain.

Sekali lagi berita yang lebih mengejutkan yang diterima pihak UPSI boleh mengubah keputusan peperiksaan yang dikeluarkan? Saya amat berharap supaya Kementerian Pelajaran mengambil berat hal ini kerana UPSI sebuah institut perguruan tertua di Malaysia dan jangan dicemarkan namanya dengan orang bekerja sambil lewa.

BAKAL GRADUAN UPSI, Tanjung Malim

Hafal punca pelajar tak kreatif berfikir..


KETIKA Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 baru-baru ini, Perdana Menteri ada menyatakan pelajar sekolah pada hari ini perlu dielakkan daripada belajar secara menghafal atau rote learning.

Golongan guru pula perlu memiliki kebolehan tinggi dalam soal adaptasi dan melakukan penambahbaikan dalam tugas supaya pelajar tidak menjadi bosan dalam proses pembelajaran lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini.
Sebagai ahli akademik, saya amat bersetuju dengan saranan Datuk Seri Najib Razak dan saya melihat belajar secara menghafal mendatangkan banyak kesan negatif kepada pelajar.
Belajar secara menghafal ini kebiasaannya sesuai dipraktikkan kepada kanak-kanak yang mindanya masih dalam proses perkembangan. Mereka menghafal tanpa memahami apa sebenar dihafalnya.

Lazimnya, kanak-kanak ini lebih ke hadapan berbanding rakan sebaya mereka yang tidak belajar langsung disebabkan maklumat yang disimpan dalam minda kesan daripada hafalan.

Bagaimanapun, cara ini tidak sesuai dipraktikkan di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Ia meminta pelajar mengingat sesuatu fakta secara berulangan.

Impaknya, pelajar malas berfikir dan tidak memahami apa sebenar dihafalnya. Sedangkan kebanyakan sukatan pelajaran begitu menekankan proses berfikir. Contohnya matlamat pelajaran Matematik umpamanya melahirkan pelajar berkebolehan berfikir secara matematik dan mampu mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam penyelesaian masalah dan membuat keputusan.
Justeru, apabila kaedah belajar secara hafalan ini terus diaplikasikan, sistem pendidikan pada hari ini akan terus melahirkan generasi pelajar tidak berpengetahuan.

Ada beberapa kajian lepas yang menunjukkan pelajar yang mengamalkan kaedah belajar secara hafalan menghadapi masalah pada peringkat universiti. Ini disebabkan segala maklumat yang dihafal pelajar disimpan dalam ruang ingatan jangka pendek dan tidak bertahan untuk jangka panjang.

Kaedah belajar secara menghafal juga membosankan pelajar kerana tidak diberi peluang meneroka sendiri konsep itu. kehadiran pelbagai teknologi pendidikan boleh digunakan dalam bilik darjah untuk mengelak belajar secara menghafal.

ABDUL HALIM ABDULLAH,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia

Friday, August 26, 2011

Waktu diskaun kadar tol tak seiring kempen PLUS...





SEBAGAI rakyat Malaysia yang berpegang kepada Rakyat Di Dahulukan Pencapaian Di Utamakan amat gembira dengan pengumuman kadar tol di lebuh raya yang diberi diskaun 20 peratus bagi perjalanan di antara jam 12 tengah malam hingga 7 pagi.

Hari ini pula PLUS mengeluarkan waktu cadangan perjalanan ke semua destinasi bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya.
Sehubungan itu kadar diskaun ditawarkan kepada bayaran tol tidak akan dinikmati oleh pengguna lebuh raya yang mengikuti cadangan berkenaan.
Kajian perlu dibuat untuk memberi diskaun kepada pengguna lebuh raya mengenai tempoh waktu. Kita berkempen supaya jangan memandu ketika mengantuk, tetapi menawarkan diskaun pada waktu sepatutnya rehat dan tidur. Perjalanan waktu malam amat berbahaya.

Jika pemandu mahu menikmati diskaun, mereka terpaksa bersengkang mata memandu pada waktu malam. Berikan diskaun pada waktu perjalanan siang agar ia memberi keselesaan kepada pengguna.

PEMANDU CEPAT MENGANTUK,
Jitra, Kedah

Mendidik diri bersederhana meraikan Syawal..


ALHAMDULILLAH pada hari ini umat Islam telah pun memasuki fasa terakhir bulan Ramadan. Ini bermakna seluruh umat Islam akan meraikan kedatangan bulan Syawal iaitu Hari Raya Aidilfitri beberapa hari saja lagi.

Tentunya kita selaku umat Islam berasa seronok dan gembira dengan kedatangannya dan berasa sedih untuk berpisah dengan bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat dan keberkatannya.

Di saat inilah umat Islam patut merebut peluang terakhir untuk mempertingkatkan lagi amal ibadah untuk memperoleh ganjaran yang berlipat kali ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT. Ini kerana kita tidak tahu sama ada kita akan dipertemukan lagi dengan bulan Ramadan yang akan datang ataupun tidak.

Dalam meraikan kedatangan Syawal sudah tentu pada ketika ini sebahagian besar di antara kita sibuk membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri, antaranya persiapan untuk pulang berhari raya di kampung halaman, persiapan menyediakan keperluan seperti pakaian baru, menghias rumah, menyediakan kuih-muih dan sebagainya. Semua ini adalah semata-mata untuk meraikan hari raya agar disambut dalam suasana gembira.

Dalam keseronokan kita meraikan Syawal yang bakal menjelang, satu aspek yang tidak kurang pentingnya untuk dihayati adalah menyambutnya dengan cara mendidik diri bersederhana.

Persoalannya sekarang adalah sejauhmanakah usaha kita dalam menjalani ibadah puasa ini benar-benar mampu mendidik dan membawa perubahan dalam diri untuk bersederhana terutamanya dalam berbelanja? Adakah kita sudah kenal pasti perkara-perkara yang menjadi keperluan dalam bajet hari raya nanti?

Walaupun kita disunatkan berhias dan bergembira pada hari raya tetapi ia bukan bermakna kita boleh berlebih-lebihan melampaui batasan kemampuan diri, sebaliknya kita perlu bersederhana dan berbelanja mengikut kadar kemampuan masing-masing, berjimat cermat dan tidak boros.

Begitu juga, janganlah kita terlalu mengikut mood atau kehendak hawa nafsu dengan sikap ingin menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah, berbelanja melebihi keperluan sehingga kita sanggup berhutang.

Akhirnya kita dibebani hutang dan tidak mampu untuk membayarnya. Oleh itu, persiapan untuk menyambut hari mulia ini perlu dilakukan dengan perancangan yang betul agar kita tidak 'pening kepala' atau 'pokai' dalam menanggung hutang piutang selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Namun begitu, ada juga umat Islam yang sanggup berhutang untuk menyambut Syawal dengan alasan didorong oleh keseronokan menyambut Aidilfitri setahun sekali dan ada juga yang sanggup berhabis-habisan dengan bonus raya yang diberikan baru-baru ini demi untuk beraya sakan.

Tidak kurang juga yang sanggup berbelanja melebihi kemampuan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain terutama apabila pulang berhari raya di kampung tanpa memikirkan kesan kepada aspek kewangan kelak.

Sebagai umat Islam, tidak perlulah kita berlebih-lebihan atau bermegah-megah berbelanja sehingga membawa kepada sifat riak lebih-lebih lagi membawa kepada pembaziran. Allah SWT mengingatkan bahawa orang yang membazir itu adalah bersaudara dengan syaitan.

Firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 26-27 yang bermaksud, "Dan berikanlah kepada kaum kerabatmu, orang miskin serta orang musafir akan hak masing-masing. Janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Sebenarnya kita menyambut Hari Raya Aidilfitri adalah bertujuan meraikan kemenangan kita yang berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan.

Dalam hal ini Islam menggariskan panduan tentang cara bagaimana kita meraikan hari raya agar semua yang kita lakukan menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.

Misalnya, di malam Hari Raya Aidilfitri kita disunatkan menghidupkannya dengan memuji kebesaran Allah melaungkan kalimah-kalimah takbir, tahmid, bersolat tasbih, berdoa, berzikir dan sebagainya.

Kerana itu, janganlah kita merayakan malam hari raya tersebut dengan membazirkan wang dengan membakar mercun atau melakukan perkara-perkara yang merugikan diri yang boleh mendatangkan bahaya dan mengganggu ketenteraman orang ramai seperti berlumba di jalan raya dan sebagainya.

Manakala di hari raya pula kita disunatkan untuk bersederhana dengan memakai pakaian yang baharu, memakai bau-bauan harum, menunaikan sembahyang sunat hari raya diikuti dengan amalan ziarah menziarahi, kunjung-mengunjungi kaum keluarga, jiran-tetangga dan sahabat-handai sambil bermaaf-maafan demi mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Dalam masa sama, kita juga digalakkan bersederhana terutama dalam menjamu selera. Kita hendaklah berpada-pada dalam menjamah hidangan yang disediakan di rumah terbuka dan makan sekadar yang perlu sahaja.

Begitu juga sebagai tuan rumah kita juga perlu merancang apakah menu hidangan yang sesuai kepada tetamu agar hidangan itu tidak terlalu banyak sehingga berlaku pembaziran yang dibenci oleh Allah SWT.

Akhir sekali, moga dengan kedatangan Syawal tahun ini dapatlah kita mendidik diri dan ahli keluarga meraikannya dengan cara sederhana di samping terus mentaati apa yang diajarkan oleh agama Islam.

Didoakan juga agar kita semua diberi keberkatan dan keampunan serta dipanjangkan usia bertemu dengan Ramadan akan datang. Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri maaf zahir batin.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tragedi: Jangan salahkan takdir..


SAMBUTAN hari raya di kampung menjadi tradisi setiap tahun para perantau untuk pulang. Dalam keghairahan untuk pulang itu, persiapan mental dan fizikal menjadi sandaran agar perjalanan menjadi sesuatu yang tenang dan selamat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan para perantau yang bakal memenuhi jalan raya menuju ke kampung halaman supaya berhati-hati kerana potensi berlaku kemalangan adalah besar apabila terlalu banyak kenderaan.

Bahkan, pada hemat Perdana Menteri setiap pengguna hendaklah tidak menjadikan jalan raya itu sebagai pusara tanpa tanda. Sikap gopoh, hilang sabar dan pertimbangan fikiran yang goyah dikenal pasti sebagai punca kemalangan yang terbesar berbanding faktor mekanikal dan fizikal.

Saban tahun insiden kemalangan tidak banyak memberikan kita kesedaran, kerana ia terus meningkat terutamanya menjelang musim-musim perayaan. Kita juga kadangkala menerima kemalangan hanyalah sebagai takdir walhal sebahagian besarnya dapat kita elakkan jika merupakan pemandu yang sabar, disiplin, tidak mementingkan diri dan mengambil langkah berhati-hati.

Maklumlah dalam keadaan tertekan kerana jarak perjalanan yang jauh dan kesesakan kenderaan, kita akan menjadi lebih cepat marah. Kita marahkan sesiapa sahaja tetapi jarang pula kita menilai diri sendiri apakah corak pemanduan kita itu tidak mendatangkan keburukan atau bahaya kepada orang lain.

Dapatan kajian memberikan kesimpulan bahawa 80 peratus adalah disebabkan oleh faktor kecuaian manusia sendiri manakala 10 peratus adalah faktor fizikal dan selebihnya oleh faktor-faktor seperti jarak penglihatan yang rendah (disebabkan hujan) ataupun masalah kenderaan yang tidak diselenggarakan secara berkala.

Dari sudut pandangan Islam, berdasarkan keyakinan dan akidah sebenar, takdir bukan boleh disalahkan secara total. Sikap pesimis itu sebenarnya merupakan orang yang gagal menguruskan diri sendiri. Turut menjadi kegagalan ialah kerana tidak menggunakan kecerdikan akal membuat pilihan sedangkan kita sentiasa diminta agar bertindak secara bijaksana.

Atas kegagalan membuat pilihan secara bijaksana, kita sendiri sebenarnya telah memilih untuk mengundang tragedi atas kecuaian. Kita lebih banyak membuat kesimpulan, kalau sudah ditakdirkan kita mati secara begitu, walaupun telah melakukan tindakan pencegahan dengan begitu teliti, ia tetap juga berlaku kerana ia adalah kehendak Illahi. Jika segala langkah pencegahan telah kita mulakan dengan bersungguh-sungguh, maka konsep takdir boleh kita terima sebagai faktor tunggal.

Tetapi, kalau bukan menerusi langkah berhati-hati dan sentiasa beringat sebelum kena, maka menyalahkan takdir adalah sesuatu yang bertentangan dengan keyakinan agama. Kita telah membawa masuk nilai-nilai buruk dalam kehidupan kita sedangkan Islam sentiasa memberikan petunjuk, jauhkan sikap buruk kerana ia adalah sesuatu yang keji, jelek dan boleh memudaratkan nyawa kita sendiri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah SWT sukakan orang yang melakukan kebaikan" (Surah al-Baqarah ayat 195).

Tabiat manusia lebih cepat berubah. Perubahan itu biasanya menjuruskan kepada perkara-perkara yang buruk kerana tarikannya adalah lebih kuat berbanding dengan tabiat yang lebih baik. Nilai ego telah menguasai diri, dan keegoan itulah menjadikan manusia sering lupa diri, sombong, riak dan bertindak membabi buta sehingga tidak dapat memikirkan keselamatan orang lain.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, kita diberikan petunjuk dan panduan agar lebih berhati-hati dalam hidup, sentiasa beringat kerana malang itu tidak berbau.

Kita mesti memandu dalam suasana yang tenang, tidak mengikut perasaan. Cara itu boleh membantu kita mengambil tindakan bila sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Kita boleh mengawal kenderaan kita. Kita boleh menyelamatkan nyawa kita sendiri dan orang yang berada di sekeliling kita. Mereka juga memerlukan sokongan dan dokongan kita untuk hidup, kerana mereka adalah sebahagian dari diri kita.

Takdir adalah ketentuan terhadap sesuatu berdasarkan sistem yang ditetapkan-Nya. Siapa bersandar di tembok yang rapuh akan ditimpa runtuhannya, dan siapa yang menjauhi tembok itu akan terselamat. Kedua-dua ini adalah takdir-Nya, namun demikian manusia berpotensi untuk memilih dan berusaha menghindarinya.

Salah satu usaha tersebut adalah doa. Justeru kita dapat berkata bahawa ada ketetapan-Nya yang telah pasti dan ada pula yang bersyarat. Siapa tahu salah satu syarat itu adalah doa, sehingga apa yang diperolehi mereka yang berdoa, sudah tentu berbeza dengan apa yang dialami oleh mereka yang tidak berdoa.

Islam sentiasa menyuruh kita berhati-hati dan sentiasa mendoakan keselamatan. Antara doa lazim yang diajarkan kepada kita ialah "Innnallazi farada alaikal qurana laraduka ila ma'ad" (al-Quran surah Al qasas ayat 85). Menurut sesetengah riwayat sesiapa yang membaca ayat ini insya-Allah dirinya akan kembali ke tempat asal dengan selamat. Demikian juga perjalanan tersebut hendaklah dimulakan dengan doa yang selalu diajar antara lain ialah "subhana llazi sakhara lana haza wama kunna lahu muqrinin wainna ila rabbina lamunqalibun".

Menurut kata setengah ulama sesiapa yang membaca doa ini ketika hendak berlepas dari satu tempat, dia pasti akan dikembalikan ke tempat itu dengan selamat. Insya-Allah. Memandu dengan laju tanpa menghiraukan peraturan jalan raya sekiranya berlaku kematian, maka kematian itu adalah sebagai mati katak bukan syahid kemalangan.

Di sini kita perlu memahami konsep takdir yang sebenar kerana banyak salah faham berlaku di kalangan masyarakat yang menganggap takdir itu adalah kerja Allah SWT yang maha Esa tanpa sekutu dengan yang lain-lain.

Memang pada hakikatnya semua yang berlaku ini sama ada baik atau jahat sudah dalam pengetahuan ilmu Allah sejak dari azali lagi, sedangkan kita tahu ilmu-Nya tersebut bukan tugasnya menentukan berlaku sesuatu (baik atau buruk) kepada hamba-Nya.

Sesungguhnya manusia tidak boleh lari dari suatu ketetapan Allah kerana manusia tidak mampu keluar daripada keputusan dan takdir Allah selaras dengan ilmu pengetahuan-Nya yang meliputi sekalian makhluk ciptaannya. Tetapi manusia diberi daya usaha dan pilihan yang akan menentukan secara juzie. Justeru untuk memahami persoalan takdir ini sebenarnya ia amat sukar hendak diperjelaskan melainkan orang yang mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT. Manakala orang yang tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT dia akan mengikut fahaman Mazhab Jabariah.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Wednesday, August 24, 2011

Tiga sumber untuk pastikan kesahihan sesuatu hadis..



Pengkaji wajib teliti sanad kecuali daripada Bukhari, Muslim

KITA sering mendengar dan membaca teks hadis Rasulullah SAW sama ada di surau, masjid serta media massa. Penyampaian itu sama ada secara teks asal atau terjemahan sangat baik dan digalakkan.

Namun, suatu perkara yang selalu diambil ringan dalam proses penyampaian sesuatu hadis adalah berkaitan sumber dan kesahihannya daripada Nabi SAW. Oleh itu, sewajarnya penceramah, penulis atau pengkhutbah Islam berhati-hati dalam memilih dan menyebarkan hadis Rasulullah SAW.
Usaha menjadikan hadis sebagai sumber sandaran hujah amat dialu-alukan tetapi ada beberapa disiplin ilmu hadis diabaikan oleh mereka yang menggunakan hadis. Antaranya memastikan hukum hadis itu sahih atau tidak.
Ini boleh dilakukan dengan mengutip hukum klasifikasi hadis oleh pengarang, pengtahqiq (pengulas) atau melalui kajian sanad oleh pengguna hadis sendiri. Namun, ada beberapa perkara penting dalam membuat penilaian hukum hadis dalam sesuatu karya.

Mereka yang mengutip hadis dalam karya sahih al-Bukhari dan sahih Muslim tidak perlu membuat kajian sanad hadis itu kerana hukum semua hadis kedua-duanya adalah sahih. Al-Bukhari dan Muslim hanya meriwayatkan hadis sahih dengan sanad yang baik.

Kewujudan hadis dalam salah satu karya sahih itu sudah memadai untuk menghukum hadis sahih dan tidak perlu membuat kajian sanad lagi kerana matlamat kajian sanad adalah untuk mengetahui sahih atau tidak sesuatu hadis.

Al-Nawawi menjelaskan, perbezaan antara karya sahih (al-Bukhari dan Muslim) dengan karya lain adalah kedua-duanya tidak perlu diteliti lagi, bahkan wajib beramal dengan hadisnya. Karya lain perlu diteliti dan didapati memenuhi syarat sahih. Pendapat ini adalah mazhab ahli hadis, bahkan Ibn al-Salah menyatakan hadis dalam kedua-dua karya tersebut adalah sahih secara qat’i (muktamad).
Pengkaji hadis perlu menyatakan hukum hadis dalam karya selain sahih al-Bukhari dan sahih Muslim kerana hadis dalam karya lain ada yang sahih dan ada yang tidak.

Pernyataan hukum boleh dimasukkan daripada tiga sumber iaitu menyatakan hukum hadis yang dinyatakan oleh pengarangnya; menyatakan hukum hadis yang dinilai oleh pengtahqiq atau penilaian kendiri oleh pengguna hadis melalui pengkajian sanad.

Penyataan hukum hadis terutama dalam penulisan perlu kerana tidak semua karya hadis selain karya sahih al-Bukhari dan sahih Muslim mengandungi hadis sahih.
Adalah tidak memadai sesuatu hadis itu dikatakan sahih hanya semata-mata kewujudannya dalam kitab seperti Sunan Abi Dawud, Sunan al-Tirmidhi, Sunan al-Nasa’i kerana pengarang karya ini tidak meriwayatkan hadis sahih saja.

Justeru, menjadi kewajipan pengkaji hadis membuat penelitian sanad dan menghukum hadis dalam karya itu. Selain itu, hukum sesuatu hadis sama ada sahih atau daif (lemah) mempunyai pertalian yang rapat dengan perawi sanad.

Perlu diingatkan sesuatu hadis yang sanadnya dinilai sebagai daif tidak bermakna matan (teks) hadis itu juga daif. Kita jangan terlalu pantas menghukum sesuatu hadis itu sahih kerana semua perawi sanadnya sahih.

Daif sanad tidak bererti matannya juga daif. Hadis yang sanadnya daif boleh menjadi sahih dengan kewujudan sanad lain bagi matan itu. Begitu juga sanad sahih tidak bermakna hadis juga sahih kerana mungkin terdapat syadh (keganjilan) atau ‘illat dalam matan.

Satu aspek yang sering diperhatikan dalam kalangan pelajar dan pencinta hadis yang memberi hukum hadis berdasarkan pandangan seorang penulis karya biodata rawi.

Contohnya, oleh kerana perawi disebut daif dalam satu karya perawi, maka ia dianggap daif dan hadisnya ditolak. Kita perlu berhati-hati dan jangan lekas menghukum.

Al-Laknawi menjelaskan: “Wajib ke atas kamu untuk tidak tergesa-gesa menghukum jarh terhadap seorang perawi hanya semata-mata kerana penilaian sebahagian pengkritik sanad, melainkan engkau mesti meneliti kebenaran hal itu. Masalah ini amat penting dan banyak justifikasinya.

“Kamu tidak berhak menerima penilaian seluruh orang yang mengkritik terhadap perawi yang mana pun. Kerap kali terdapat suatu hal yang menghalang diterima suatu kritikan, antaranya pengkritik itu sendiri kadang-kadang seorang yang dikritik. Oleh yang demikian, penilaian pengkritik sanad tidak boleh diterima begitu saja sehingga terdapat penilaian yang sama daripada orang lain.”

Oleh kerana kelainan persepsi pengkritik sanad membicarakan seseorang perawi, pengkaji perawi hadis dianjur cermat dan tidak melulu menghukum seseorang perawi sebagai daif dengan hanya berpandukan kepada penilaian sesetengah ahli pengkritik sanad

Oleh Najahudin Lateh


Tuesday, August 23, 2011

Kedudukan betul menyusu baby anda....


BAGI ibu, detik terbaik untuk berkomunikasi dengan bayi adalah waktu menyusukan bayi kerana pada ketika itu, seolah wujud pertalian erat antara anak dan ibu walaupun si kecil belum pandai berkata-kata untuk meluahkan rasa kasih sayang mereka terhadap ibu yang melahirkan.

Sama ada menyusu badan atau menggunakan botol, ibu pastinya akan merenung dan menghayati detik demi detik si kecil menghabiskan susu di dalam botol atau ketika bibir mungil si kecil melekat di dada ibu.
Namun, dalam pada berjaga-jaga menghayati tumbesaran si kecil, ada juga berlaku kes si kecil tercekik susu, lantas membawa musibah kepada kematian walaupun ia mungkin boleh dihindari.
Sehubungan itu, ada banyak keadaan yang perlu diawasi ibu ketika bayi mereka menyusu. Sama ada menyusu dari badan sendiri atau menggunakan botol, pemerhatian perlu dilakukan supaya si kecil selamat menelan susu yang dihisap.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Perunding Laktasi, Rita Rahayu Omar, berkata apabila menyusu, posisi atau kedudukan bayi adalah penting bagi memastikan bayi selesa dan dapat menyusu dengan betul.

“Keselesaan dan keupayaan bayi melekap dengan betul adalah dua perkara penting yang sering diutamakan ketika menyusu. Sebenarnya, ibu boleh menggunakan sebarang kedudukan yang bersesuaian asalkan dirinya dan juga bayi selesa.

“Mendukung adalah keadaan paling biasa digunakan. Letakkan bayi berhadapan dengan perut. Muka dan lututnya pula perlu rapat ke tubuh anda. Kepalanya perlu menghadap payu dara anda dengan mulut menghala tepat ke puting anda. Cara sebegini memberi peluang kepada anda memangku bayi dengan selesa,” katanya ketika dihubungi melalui e-mel, baru-baru ini.
Rita Rahayu berkata, untuk keselesaan tambahan, ibu digalakkan menggunakan bantal menyusu kerana penggunaan bantal sedikit-sebanyak dapat mengurangkan rasa lenguh akibat terlalu lama memangku si kecil.

“Kaedah mendukung bersilang pula amat baik bagi yang mengalami masalah penyusuan, menyusukan bayi yang bersaiz kecil atau pramatang. Kedudukan bayi sama seperti ketika dia berada dalam posisi mendukung dan pastikan dia berada sama paras dengan payu dara dengan tubuhnya menghadap anda.

“Cara ini membolehkan ibu menggunakan tangan dengan lebih berkesan dengan memegang bahagian belakang kepala bayi sementara sebelah tangan lagi mengampu payu dara,” katanya.

Bagi ibu yang bersalin secara pembedahan (caesarean), memiliki bayi bersaiz kecil, payu dara bersaiz besar atau puting rata, kaedah ini sangat disarankan.

“Ibu boleh membaringkan bayi di sisi dengan kepalanya berada dalam tapak tangan ibu manakala bahagian belakangnya berada dalam lengan. Kepit kakinya menggunakan tangan. Kaedah begini sesuai diamalkan terutama ketika waktu tidur atau ketika ibu berehat.

“Perut bayi seharusnya menghadap perut ibu. Puting ibu pula perlu bertentangan dengan mulutnya. Jika bayi masih kecil, ibu boleh meletakkan gulungan tuala di bahagian belakangnya bagi mengelakkan bayi berguling,” katanya sambil menambah kaedah itu juga sesuai untuk ibu yang bersalin secara pembedahan.

Satu lagi kedudukan ialah posisi biologikal (biological nurturing), yang mana ibu berada dalam keadaan menyandar sedikit supaya graviti dapat membantu pengeluaran susu. Bayi diletakkan di atas dada ibu supaya ia akan merasa lebih stabil dan selamat.

Namun, katanya, bagi bayi yang menyusu botol, bayi digalakkan berada pada posisi separa duduk dan bukannya berbaring.

“Paras botol pula haruslah mendatar (horizontal) sama paras dengan kepala bayi yang mana bayi akan dapat mengawal pengambilan susu itu dengan hisapannya. Kaedah ini dipanggil paced bottle feeding,” katanya.

Bagaimanapun, sebaik-baik susu untuk tumbesaran si kecil adalah susu ibu kerana ia mengandungi seribu kebaikan selain meningkatkan tahap keintiman antara ibu dan bayi, seterusnya membentuk sahsiah bayi menjadi anak yang cergas dan sihat

Oleh Shaidah Shafie


Monday, August 22, 2011

Kalau dah belum sampai ajal !!! Ditikam lapan kali, namun masih hidup..


KUALA PILAH 21 Ogos - Meskipun ditikam sebanyak lapan kali dan dicampak ke dalam hutan di Jalan Bukit Putus di sini, nyawa seorang lelaki berusia 29 tahun ini masih panjang.

Dia yang dipercayai ditikam oleh dua lelaki dengan pisau kelmarin, hanya pengsan dan tersedar hari ini sebelum meminta bantuan orang ramai dalam keadaan berlumuran darah.

Lelaki yang dikenali sebagai Arman Shah itu ditemui di tepi jalan Jalan Seremban-Kuala Pilah kira-kira pukul 10 pagi ini.

Orang ramai yang menemui mangsa kemudian segera membawanya ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban. Kakitangan di wad kecemasan terkejut apabila mendapati lelaki itu masih hidup walaupun terdapat beberapa kesan tikaman di badannya.

Menurut sumber, lebih menghairankan lagi apabila mangsa sempat menceritakan bahawa dia tidak sedarkan diri selepas diserang dua lelaki yang dikenalinya dengan pisau pada petang Jumaat lalu di Bahau.

"Dia mendakwa ditikam empat kali di bahagian hadapan badan dan empat tikaman di belakang badan kemudian dibuang ke dalam hutan di Jalan Bukit Putus," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber itu memberitahu, kemungkinan lelaki yang menyerang mangsa berpendapat dia sudah meninggal dunia sebelum membuang 'mayatnya' di dalam hutan untuk menghapuskan bukti.

"Mangsa sedar dari pengsan tidak berapa lama selepas dicampak dan dia dikatakan berjalan kaki selama satu hari setengah untuk keluar dari hutan itu sebelum ditemui orang ramai.

"Lelaki itu masih bernyawa walaupun sudah tiga hari ditikam mungkin kerana tikaman itu tidak mengenai organ pentingnya," ujarnya.

Mangsa telah menjalani pembedahan selama beberapa jam untuk menjahit luka pada badannya dan kini ditempatkan di wad rawatan rapi untuk pemantauan lanjut.

Sunday, August 21, 2011

Pulang beraya, jangan beri isteri memandu !!


SELALUNYA lelaki akan cepat membuat kesimpulan jika ada kenderaan yang dipandu tidak konsisten, perlahan dan suka membrek, pastinya pemandunya adalah perempuan.

Bukan memperlekeh keupayaan wanita apabila berada di atas jalan raya, tapi itulah realitinya apabila kaum Hawa ini diberi kuasa mengawal kenderaan. Lihatlah kenderaan yang calar balar di sana sini tentunya dipandu perempuan.

Dari kaca mata lelaki, perempuan memang kurang cekap memandu. Mereka tidak berani mengambil risiko memandu dalam kelajuan yang konsisten, mengambil selekoh tajam atau memotong dua tiga kenderaan sekaligus.

Pemanduan mereka terlalu berhati-hati sehingga selalu teragak-agak dalam membuat keputusan termasuk membrek sebelum waktunya yang hanya membuatkan pemandu kenderaan di belakang naik angin. Kebanyakan orang akan mengelak mengekori kenderaan yang dipandu oleh wanita.

Contoh lain perbezaan cara pemanduan wanita dan lelaki ialah dalam bab menggerakkan pembersih cermin. Wanita biasanya akan terus menggerakkan pembersih cermin apabila hujan turun. Lelaki pula melakukannya hanya apabila air hujan terlihat sudah banyak.

Dengan kata lain, otak lelaki akan menunggu seketika sehingga sejumlah air hujan membasahi cermin berbanding wanita yang suka memberi respons terlalu awal.

Begitu juga dalam hal meletak kenderaan. Perempuan selalunya tidak suka meletakkan kenderaan selari atau secara masuk dari belakang. Mereka akan mencari parkir yang lebih mudah iaitu dari sisi.

Berjam-jamlah masa dibazirkan hanya untuk meletakkan kenderaan dengan betul. Dan jika ada pilihan, mereka lebih suka mencari ruang yang luas walaupun ia terletak jauh. Tak mengapalah kalau terpaksa jauh menapak.

Ini dibuktikan dalam satu kajian di Singapura yang mendapati 66 peratus lelaki dapat meletak kenderaan (secara masuk dari belakang) dengan tepat dan 68 peratus melakukannya dalam percubaan pertama. Berbanding wanita, hanya 19 peratus dapat melakukannya dengan tepat dan 12 peratus mampu melakukannya dalam percubaan pertama.

Tabiat

Mungkin sebab itu, lelaki akan cepat berbangga jika ada wanita yang tidak mempunyai tabiat pemanduan yang sebegitu. Reaksinya selalu ‘eh perempuanlah’ tanda bangga ada wanita mampu memandu setaraf orang lelaki.

Sebab itu juga orang selalu menasihatkan jangan sekali-kali mengajar isteri atau teman wanita memandu. Ia umpama memandu ke mahkamah perceraian!

Lazimnya, secara automatik lelaki akan bertukar menjadi pembebel dengan kecenderungan memberi arahan macam wanita itu tiada deria rasa. Tekan brek, beri signal, hati-hati kereta di depan, ada orang melintas dan bermacam lagi arahan yang akhirnya akan menyebabkan pertengkaran.

Kalau mahu belajar memandu, belajarnya daripada mereka yang pakar di kelas memandu. Jangan dengan suami atau kekasih. Parah jadinya.

Begitu juga apabila pulang ke kampung menyambut Aidilfitri ini. Bagi memastikan Aidilfitri yang mulia ini disambut dengan penuh keriangan dan kebahagiaan, elakkan isteri daripada memandu. Jangan ambil risiko. Elok-elok bergembira menyambut hari kemenangan ini di kampung halaman, kita suami isteri bermasam muka pula.

Kepada wanita, walaupun mereka selalu berfikir tujuan memandu ialah tiba dengan selamat ke destinasi tetapi elakkan terlalu kerap mengkritik pemanduan lelaki. Ini kerana dalam bab memandu, lelaki dibuktikan lebih baik berbanding wanita.

Wanita perlu bertenang walaupun dia berfikir cara pemanduan lelaki agak berbahaya. Asalkan lelaki itu tidak mempunyai rekod memandu yang buruk, berilah kebebasan kepada mereka untuk menjalankan peranannya. Biar saja dia memandu.

Pemanduan yang baik ini sebenarnya bergantung kepada kemampuan spatial (membaca ruang) yang berkaitan dengan persekitaran. Mungkin sudah ditakdirkan dalam hal spatial ini, otak lelaki berfungsi lebih baik. Ia menjadikan lelaki lebih cekap memandu, lelaki lebih cekap meletak kenderaan dan begitu juga lelaki lebih cakap membaca peta dan arah jalan.

Sebab itu jika terdesak mahu isteri memandu, strategi terbaik sebagai penumpang ialah menutup mata dan berhenti membuat komen. Biarkan isteri bebas dengan dunia pemanduan yang lazim dilakukannya.

Begitupun berita baiknya, walaupun tabiat pemanduan wanita dikategorikan teruk tetapi mereka cenderung memandu dengan lebih cermat.

Mereka pasti akan tiba ke destinasi dengan selamat walaupun mungkin mengambil masa lebih lama. Tak apalah sekurang-kurangnya suami dapat berehat supaya tenaganya nanti boleh digunakan untuk membakar lemang dan memasak ketupat.

Kucing Jantan

Kerana takut jadi andartu !!


KISAH yang saya paparkan ini bukan mengumpat tetapi ingin menasihatkan gadis seusia saya yang ramai di luar sana berfikir sejenak tentang keputusan mereka untuk berkahwin.

Kjika terburu-buru anda bakal tersalah pilih pasangan, akhirnya jadi seperti sepupu saya, bahagia yang dicari tak dapat, kecewa yang menjerat hidup mereka sepanjang hayat.’’ Demikian cerita Nuremeliya dalam emelnya.

‘‘Gadis berusia lebih 40 tahun akan diberikan pelbagai gelaran semata-mata kerana mereka belum berkahwin. Jadi sebelum mencapai usia tersebut ramai antara gadis seangkatan kami yang kelam kabut berusaha mencari pasangan hidup tanpa mengira siapa asalkan tidak dicap dengan gelaran yang menyakitkan hati.

‘‘Dipendekkan cerita saya dan sepupu saya Izan sering jadi mangsa umpatan sepupu kami serta saudara mara kerana tidak berkahwin, sedangkan mereka sudah ada anak remaja.Kami sering dituduh cerewat dan terlalu memilih jodoh.

‘‘Kerana tak tahan dikutuk 6 tahun lalu, Izan buat keputusan berkahwin dengan duda empat anak, berusia 50 tahun. Ketika itu usianya mencecah 43 tahun. Nak cari orang bujang bukan mudah. Dapat duda kira baguslah. Tetapi masalahnya perkahwinan Izan tidak disukai oleh anak-anak tirinya kerana banyak sebab.

‘‘Pertama kerana semua anak tirinya masih belajar. Kedua mereka tuduh Izan hendak rampas harta peninggalan ibu mereka. Ketiga bimbang dan takut banglo milik arwah ibu mereka akan jadi miliki Izan nanti.

‘‘Perkahwinan yang dijanjikan baik dan direstui oleh anak-anak seperti pengakuan suaminya, semuanya omong belaka. Sebaliknya suami Izan mengharapkan Izan dapat membantunya mengurus anak-anaknya yang sukar dinasihati itu.

‘‘Tiga bulan lamanya Izan bersabar dengan kerenah anak-anak tiri yang boleh dikatakan kurang terdidik dan pemalas. Izan mengeluh dia tak pernah buat kerja rumah selain uruskan dirinya sendiri. Masak pun tak berapa pandai kerana dia lebih menumpukan perhatian kepada kerjayanya. Tetapi setelah berkahwin Izan berkorban masa dan tenaga berusaha untuk memuaskan hati mereka, tetapi tidak dipedulikan.

‘‘Izan ambil pembantu rumah untuk tapi pembantu cabut selepas sebulan. Izan terpaksa beli makanan siap dari pejabat ketika tak sempat masak. Tetapi tidak diminati oleh suaminya apa lagi anak-anak tirinya. Sudahlah duit habis beli makanan dia pula dituduh tak pandai memasak.

Susut

‘‘Setelah setahun berkahwin, Izan datang jumpa saya, katanya simpanannya mula susut sebab selain mengurus rumahtangga, beli barang makan, bayar gaji pembantu rumah yang sering bertukar, suaminya juga suka meminjam duitnya untuk membiayai pembelajaran anak-anaknya yang suka berbelanja besar. Termasuklah minyak kereta dan motor.

‘‘Ada suara kesal tentang keputusannya berkahwin dahulu. Tetapi dia terpaksa teruskan sebab kesiankan suaminya sering tak berduit. Oleh kerana dia tak lagi selesa tinggal di rumah besar, saya cadangkan dia pindah duduk di apartmen sendiri. Biarkan anak-anak tirinya yang sudah besar panjang itu menguruskan diri sendiri. Tetapi suaminya menolak.

‘‘Kata suaminya dia terpaksa uruskan anak-anaknya sebab mereka masih belajar, lainlah kalau sudah bekerja. Masuk tahun kedua anak yang kedua belajar di kolej sudah bekerja. Yang sulung masih mencari kerja yang sesuai dengannya. Fikir Izan tentu senang sikit hidup mereka. Malangnya lebih teruk lagi sebab makan minumnya mesti diuruskan.

‘‘Suaminya berjanji akan ikut dia pindah setelah semua anak bekerja. Bila dua orang anak tirinya bekerja cuma seorang lagi malas cari kerja, sentiasa berlengkar di rumah alasannya kerja tak sesuai dengannya.

‘‘Sekali lagi Izan ajak suaminya pindah sebab anak-anaknya sudah bekerja, tetapi suaminya beri alasan siapa nak jaga rumah anak-anaknya sibuk bekerja. Sekali lagi Izan merajuk. Dia tetap tak mahu pulang ke rumah suaminya. Malangnya suaminya pulak jatuh sakit dan Izan terpaksa pulang untuk merawat suaminya yang telah bersara itu.

‘‘Walaupun suaminya mendapat banyak wang ketika bersara, tetapi dia enggan berbelanja untuk rumahtangga dan anak-anaknya, dia masih harapkan Izan. Apa yang menyedihkan dan menyakitkan hati Izan sudahlah duitnya habis untuk makan minum mereka, anak-anak tirinya tuduh Izan kikis duit ayahnya.

‘‘Kini ketika Izan sibuk bekerja kerana semakin naik pangkat suaminya pula mengharapkan dia memberikan perhatian kepadanya kerana sering sakit-sakit. Suaminya pernah masuk hospital kerana darah tinggi dan jantung. Kerana itu Izan tak berani bantah kehendak suaminya apalagi ajak pindah, takut penyakitnya tambah teruk bila fikirannya terganggu. Kata Izan dia tidak pernah menduga menghadapi masalah begitu besar setelah berkahwin.

‘‘Dalam pada itu anak tiri perempuannya pula hendak berkahwin. Walaupun Izan tidak mengeluarkan belanja untuk perkahwinannya, tetapi jiwanya tak tenteram kerana bilangan isi rumah bertambah. Pengantin baru tak mahu pindah. Mereka selesa tinggal serumah sebab segala-galanya tersedia.

‘‘Kata Izan dia tak tahu berapa lama lagi dia sanggup berkorban untuk suami dan anak-anak tirinya yang tidak tahu berterima kasih itu. Falsafah mereka daripada duit ayah habis untuk ibu tiri lebih baik mereka tolong habiskan.

‘‘Kini Izan yang tersepit di tengah-tengah. Harapan Izan dahulu apabila berkahwin selesai masalah andartu atau andalusia, tetapi sebaliknya kini dia menghadapi masalah lebih besar, bertelagah dengan anak-anak tiri dan kedegilan suaminya.

Demikian cerita Nuremeliya.

Runtuhnya Ramadan dilanda tsunami Aidilfitri...


HARI ini 21 Ramadan 1432 Hijrah. Sudah masuk 10 hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa. Jika diibaratkan berlumba lari, kita kena memecut lebih laju untuk sampai dulu ke garisan penamat dan muncul juara.

Laju yang dimaksudkan ialah meningkatkan amal ibadat tambahan sama ada memperbanyakkan membaca dan menghafal al- Quran, bersedekah, solat sunat malam (tarawih, tahajud, tasbih). Rasulullah SAW beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan dan menjauhkan diri daripada menggauli isteri-isteri baginda.

Di Malaysia, adakah kita umat Islam meningkatkan ibadat pada 10 akhir berpuasa sebagaimana Rasulullah? Atau sudah masuk ke gear rendah dan memperlahankan amal pengabdian kepada Allah SWT?

Semua orang tahu jawapannya. Inilah masanya persiapan untuk menyambut Aidilfitri bertambah ligat. Gedung membeli-belah semakin penuh sendat. Jalan-jalan raya di pusat bandar besar semakin sesak. Bunyi mercun dan bunga api semakin gempita. Kerap kali ledakan mercun bola berhampiran surau memusnahkan kekhusyukkan jemaah yang sedang bersolat tarawih.

Sesungguhnya keghairahan mengimarahkan Ramadan yang amat ketara pada dua minggu pertama mulai lesu apabila Syawal semakin hampir. Lagu-lagu Aidilfitri yang berkumandang di radio dan di pusat-pusat beli-belah turut melonjakkan nafsu untuk beraya dan mengendurkan semangat beribadat yang begitu kental pada awal Ramadan.

Tambahan pula gaji awal dan bonus baru diperoleh. Makin ligatlah otak dan nafsu mencongak jumlah barang yang hendak dibeli. Bukan sekadar kuih-muih, pakaian dan gajet baru, malah ramai juga yang mengintai iklan-iklan kereta untuk pulang ke kampung dengan mobil baru yang mempamerkan peningkatan karier dan kejayaan hidup di kota.

Masing-masing juga telah lama meneliti kalendar, menghitung hari cuti yang layak dipohon. Kerani-kerani yang menjaga rekod cuti juga semakin sibuk melayani permohonan yang bertambah. Bos-bos yang tidak mengatur jadual cuti raya kakitangan mengikut giliran akan pening berhadapan dengan kerenah orang-orang bawah berebut cuti. Yang rambut beruban pun boleh bertukar perangai bagaikan kanak-kanak, sanggup bergaduh kerana berebut cuti.

Berapa orangkah yang memohon cuti untuk memberikan lebih tumpuan kepada ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan?

Tahap kesabaran juga mulai menurun bersama kehampiran Syawal. Bukan sahaja di jalan raya dan gedung beli-belah, malah di masjid juga terserlah perangai sebenar kebanyakan anak Adam.

Barisan saf jemaah solat tarawih mulai menipis. Imam-imam yang memimpin solat juga semakin kerap terlupa ayat al-Quran yang dibaca. Ramai juga yang mempercepatkan bacaan dan pergerakan solat tanpa mengambil kira kecergasan orang-orang tua yang menjadi jemaah setia.

Bersahutan

Makcik-makcik yang bertadarus juga mulai menggesa rakan-rakan mempercepatkan bacaan al-Quran supaya lebih lekas khatam. Ada juga yang mengingatkan rakan-rakan tadarus tentang kumpulan-kumpulan lain yang telah jauh meninggalkan mereka dengan menghabiskan lebih banyak juz. Ketergesaan mengambil tempat kesabaran.

Suasana syahdu menjelang subuh dengan suara-suara merdu bacaan Quran dan tahmid saling bersahutan melalui pembesar suara juga turut lesu bersama tsunami menjelang Aidilfitri. Ada kalanya kita terpaksa menengok jam untuk mendapatkan kepastian tentang waktu subuh kerana mikrofon di masjid dan surau masih membisu walaupun waktu imsak semakin hampir.

Aneh sungguh perangai manusia. Hendak dikatakan pengaruh syaitan, Rasulullah telah menegaskan bahawa syaitan-syaitan dirantai pada bulan Ramadan.

Bukan sahaja syaitan-syaitan di rantai, malah Allah SWT telah menyediakan insentif paling istimewa pada 10 akhir Ramadan, iaitu Lailatul Qadar atau malam penuh kemuliaan.

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. - Al Qadr 97: 1,2 dan 3

Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman bahawa Rasulullah SAW pada hari terakhir bulan Syaaban berkhutbah di hadapan para sahabat yang bermaksud:

Wahai manusia, sesungguhnya kmu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardu dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu'. Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa menunaikan suatu fardu di bulan Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardu di bulan yang lain.

Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu, pahalanya adalah syurga. Ramadan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin. Sesiapa memberi makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa, tanpa sedikitpun berkurang (pahala yang berpuasa).

Betapa keghairahan persiapan untuk menyambut Aidilfitri telah mengenepikan 'bonus besar' yang sepatutnya diperoleh setiap jiwa yang beriman di bulan Ramadan.

Aidilfitri pertama yang berlangsung pada 1 Syawal tahun 2 Hijrah bergema dengan takbir di seluruh Madinah bagi merayakan kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah di Perang Badar. Pada hari-hari Aidilfitri seterusnya, takbir dilaungkan tanda kesyukuran atas kemenangan dalam jihad melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan.

Malangnya pada hari ini, ramai umat Islam terlebih tumpu kepada persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Anehnya peperangan melawan hawa nafsu belum habis, kita lebih sibuk dengan persiapan untuk kononnya merayakan hari kemenangan.

Kemenangan apa jika jihad perjuangan sudah kendur pada hari-hari terakhir Ramadan? Ibarat berlumba lari, kita memperlahankan langkah ketika hendak sampai ke garisan penamat setelah begitu pantas memecut pada awal perlumbaan.

Inilah fenomena umat Islam di Malaysia pada hari ini. Puasa sebulan, beraya pun sebulan. Hadiah kemenangan yang hakiki berupa rahmat dan keampunan daripada Allah belum tentu dapat, tetapi yang bertambah subur ialah nafsu yang dibajai untuk menyambut Aidilfitri.

Dan turut memeriahkan sambutan ialah budaya yang tidak kena mengena dengan syariat agama. Lagu-lagu raya berkumandang lebih lantang daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Bunyi mercun menjelang Aidilfitri lebih hebat daripada gema takbir. Pemberian 'angpau' seolah-olah jadi suatu perkara yang wajib.

Astaghfirullah! Marilah kita kembali kepada landasan yang betul. Berlari kencanglah dari awal hingga ke garisan penamat Ramadan. Pasti kita akan merasai betapa syahdunya takbir di ambang Aidilfitri. Hancur luluh jiwa dan perasaan melaungkan takbir mengagungkan nama Allah Yang Maha Agung. Itulah tanda kemenangan sejati.

Beginilah nasib orang melayu di bumi sendiri..Graduan Melayu, bumiputera terima gaji permulaan terkecil..


Para graduan Melayu dan bumiputera merupakan golongan terbesar yang menerima gaji permulaan terkecil sebaik sahaja memasuki pasaran kerja iaitu antara RM501 sehingga RM2,000 ke atas berbanding kumpulan etnik lain.

Timbalan Ketua Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mat Noor Nawi berkata, berdasarkan statistik 2009, sebanyak 24 peratus daripada golongan itu menerima gaji antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001-RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (24 peratus) dan hanya 19 peratus menerima gaji RM2,000 ke atas.

Katanya, ia berbeza dengan 70 peratus graduan berketurunan Cina yang mendapat gaji permulaan antara RM1,501 hingga RM2,00 ke atas; RM1,001-RM1,500 (21 peratus) dan lapan peratus daripada mereka menerima antara RM501 hingga RM1,000.

Bagi graduan berketurunan India pula katanya, sebanyak 14 peratus menerima gaji permulaan antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001 hingga RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (28 peratus) dan sebanyak 27 peratus daripada mereka menerima gaji melebihi RM2,000.

"Sementara penyertaan bumiputera sebagai (ahli) lembaga pengarah di syarikat-syarikat besar adalah tinggi tetapi bukan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

"Satu-satunya Ketua Pegawai Eksekutif bumiputera selain daripada di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah di Shell," katanya semasa membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Dalam pembentangan itu, Mat Noor memetik pelbagai kajian dan laporan bebas antaranya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi Bloomberg, Bursa Malaysia dan penyiasatan pendapatan isi rumah 2009.

Bagi kategori pendapatan purata bulanan isi rumah mengikut aktiviti dan kumpulan etnik pula katanya, masyarakat Melayu dan bumiputera yang bekerja sebagai majikan hanya memperoleh RM7,078 berbanding RM7,271 (India) dan RM8,559 yang diperolehi para majikan berketurunan Cina.

Menurutnya, untuk kategori pekerja sektor awam pula, kumpulan bumiputera memperoleh pendapatan bulanan purata sebanyak RM4,925; RM5,109 (India) dan RM6,288 bagi masyarakat Cina.

"Bagi yang bekerja sendiri, masyarakat bumiputera memperoleh RM2,487 diikuti India menerima RM3,717 dan Cina sebanyak RM4,561," jelasnya.

Saturday, August 20, 2011

Suami terlampau memanjakan adik perempuannya berbanding isteri sendiri!!!


SAYA pasti setiap isteri mengharapkan suami akan memberi sepenuh kasih sayang dan perlindungan kepadanya dalam melayari hidup berumah tangga.

Namun kadang kala suami alpa akan perkara ini dan meletakkan isteri di tempat kedua dengan melebihkan orang lain dalam banyak perkara.

Akibatnya, isteri kecewa, merajuk hati dan merasakan dia tidak dipeduli lantaran suami terlampau mengambil berat perihal adik kandungnya. Itulah luahan perasaan Hani (bukan nama sebenar), berusia 25 tahun kepada saya dalam pertemuan baru-baru ini.

Begini cerita Hani.

“Saya baru setahun berkahwin dengan suami, Rizal (bukan nama sebenar), seorang eksekutif di sebuah bank.

“Kami bernikah atas dasar suka sama suka setelah empat tahun bercinta di kampus. Suami mempunyai seorang adik lelaki dan yang bongsu seorang perempuan, Zila (bukan nama sebenar), dua tahun lebih muda daripada saya.

“Secara kebetulan setelah kami bernikah, Zila tinggal bersama kami kerana dia masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi.

“Saya tidak kisah tentang adiknya yang menumpang di rumah kami, sebab saya tahu tanggungjawab seorang abang menjaga kebajikan adiknya. Saya juga tidak ada masalah dengan ipar saya itu.

“Apa yang saya terkilan adalah sikap suami yang terlalu mengambil berat diri adiknya. Saya menyifatkan tindakannya itu sudah melampau sehingga saya merasakan diri saya diabaikan.

“Sebagai contoh, setiap hari, saya memandu sendiri ke pejabat walaupun pejabat kami berdekatan sebab suami terpaksa menghantarnya dahulu ke kampus.

“Petang, dia bergegas lagi ke kampus menjemput adiknya. Jika adiknya itu hendak ke mana-mana, dia juga akan menghantar dan menjemputnya.

“Setiap hari saya akan tiba dahulu di rumah, sedangkan suami balik lewat. Saya faham tanggungjawab suami melindungi adiknya tetapi berpada-padalah.

“Telah lama saya perhatikan keadaan ini. Pada mulanya saya sangka ia hanya untuk sementara tetapi nampaknya keadaan tetap begitu juga walaupun telah setahun kami menjadi suami isteri.

“Pernah juga saya lontarkan rasa tidak puas hati saya kepada suami, tetapi dia kata saya cemburu. Katanya lagi, tidak salah kalau dia memberi perlindungan kepada adiknya sebab dia perempuan, bimbang berlaku apa-apa.

“Saya faham tanggungjawabnya dan saya tidak cemburu. Saya kadang-kadang hendak juga ke pejabat bersama suami seperti orang lain, dihantar dan dijemput sesekali.

“Ini tidak, hujung minggu jika saya ajak ke mana-mana, dia akan beritahu sudah ada rancangan lain dengan adiknya. Siapa yang tidak kecewa dan sakit hati?

“Yang saya pelik, adiknya itu tidak pula rasa segan dan menghormati hak saya sebagai isteri kepada abangnya.

“Apa salah sekurang-kurangnya beritahu saya dahulu atau minta izin dan sebagainya. Kata orang manis mulut, sejuk sikit hati saya.

“Pernah juga sekali dua saya sindir-sindir tetapi tidak menjadi kudis langsung kepadanya. Saya tidak salahkan dia. Dia bertuah kerana ada abang yang sayang dan mengambil berat tentang dirinya.

“Sekarang ini bulan Ramadan. Baru tiga kali saya berbuka dengan suami, selebihnya dia berbuka bersama adiknya, alasan tidak sempat tiba di rumah.

“Memandangkan ini tahun pertama menyambut Ramadan sebagai suami isteri, tentu saya mahu selalu di samping suami, bersolat jemaah dan bertarawih bersama. Tapi impian saya tidak kesampaian sebab sikap suami.

“Saya juga pernah bercerita tentang perkara ini dengan ibu saya, nasihat dia supaya saya bersabar. Kata ibu, itu masalah kecil sahaja dan boleh diatasi. Pesan ibu lagi, ini baru permulaan dugaan dalam rumah tangga. Setiap hari ada ujian Allah untuk kita dalam rumah tangga.

“Kata-kata ibu memberi saya kekuatan untuk menghadapi masalah ini dengan tabah. Saya sebenarnya tidak tahu apa perasaan saya sekarang. Marah atau cemburu?

“Mungkin sebab saya belum menyelami suami secara mendalam setelah kami bernikah. Lagipun saya akui kami tidak ada privasi di rumah sebab ada Zila. Dia pula di mana ada abangnya, di situ dia ada. Sikit-sikit abang, sikit-sikit abang sehinggakan kadang kala saya naik menyampah.

“Saya bukan sengaja berkongsi cerita ini dengan pembaca tetapi saya yakin ramai yang berdepan masalah ini di luar sana.

“Kepada suami dan adik ipar saya, jika terbaca catatan ini, fikir-fikirkan perasaan orang lain juga. Jangan ingat apabila seseorang itu berdiam masalah telah selesai.

“Doa dan pinta saya, yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan. Saya berharap suami sedar sikapnya yang melukakan hati saya dan berubah untuk kebahagiaan masjid yang baru kami bina,” Hani menamatkan ceritanya.

Begitulah masalah dalam rumah tangga, sentiasa menguji kesabaran seorang isteri.

Saya harap Hani bersabar dengan apa yang dilaluinya, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Semua ini asam garam rumah tangga.

Cadangan saya, ajak suami berunding dari hati ke hati. Jika perlu ajak sama keluarga kedua-dua pihak untuk memberi pandangan, juga adik ipar anda itu.

Pendekatan yang boleh digunakan, buang yang keruh ambil yang jernih. Kata sepakat perlu agar tidak berlaku perkara lain yang boleh merenggangkan hubungan anda berdua.

Mengakhiri catatan pesanan saya, bertindaklah dengan bijaksana, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung pula tidak berselerak. Doa saya semoga semua akan kembali tenang dalam masa terdekat.

Selamat berpuasa!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...