terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, September 28, 2011

Pengemis jalanan cemarkan ibu negara !!!


TANPA menghiraukan keselamatan diri apatah lagi risiko-risiko lain yang bakal dihadapi, kumpulan pengemis jalanan tegar kini menjalankan aktiviti harian mereka di beberapa kawasan tumpuan sekitar Lembah Klang.

Jika sebelum ini kita mungkin biasa melihat pengemis yang duduk di kaki-kaki lima bangunan, tetapi kini senarionya berbeza.

Bagi mereka yang biasa ke luar negara terutama Jakarta, Manila, Mumbai dan beberapa bandar besar di dunia ketiga yang yang lain, senario pengemis mengetuk cermin kereta ketika berhenti di lampu isyarat mungkin perkara biasa.

Tetapi, kini ia sudah menular ke negara ini. Sebenarnya, isu pengemis di negara ini tidak pernah selesai walaupun pelbagai usaha dan tindakan penguatkuasaan dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

Tetapi apa yang membimbangkan hari ini, aktiviti mengemis ini bukan semakin berkurangan bahkan 'berkembang' dan menukar operasinya dengan mengemis di jalanan terutama di sekitar persimpangan lampu isyarat.

Golongan ini dengan beraninya mendekati dan mengetuk pintu satu demi satu kenderaan yang berhenti ketika lampu merah bagi meminta sedekah dan sesetengahnya berselindung di sebalik aktiviti menjual pen dan ayat suci al-Quran.

Tidak kurang juga ada yang memancing simpati dengan menunjukkan kekurangan fizikal mereka seperti cedera atau kudung tangan dan kaki.

Daripada pemerhatian yang dilakukan di sekitar kawasan Batu 3, Shah Alam dan Sri Gombak, mendapati rata-rata pengemis jalanan ini adalah pendatang asing terutama dari Pakistan, Myanmar, Bangladesh dan sebagainya.

Kebanyakan mereka warga emas berusia dalam lingkungan 50 tahun ke atas, namun ada juga yang jauh lebih muda.

Begitupun daripada pemerhatian beberapa hari di kawasan Sri Gombak, Gombak, Selangor, baru-baru ini didapati terdapat sekurang-kurangnya tiga orang pengemis 'tetap' di kawasan tersebut.

Seperti bertukar-tukar 'syif', pada awalnya seorang lelaki tua berketayap meminta sedekah dengan melakukan 'drama jalanan' iaitu jalan terhincut-hincut sambil bertongkat meminta sedekah dengan mengetuk tingkap setiap kereta yang berhenti.

Usaha lelaki tua tersebut meraih simpati nyata berhasil apabila ada beberapa pengguna kenderaan menurunkan cermin tingkap dan menghulurkan wang.

Sehari selepas itu, tempat lelaki tua tadi diganti pula dengan seorang wanita tua bertudung.

Dengan memegang sekotak pen dan juga sepapan ubat, dia dilihat mampu memujuk pemandu-pemandu yang berhenti membeli pen yang dijualnya pada harga RM1 .

Sesetengahnya pula menghulurkan sejumlah wang tanpa mengambil pen yang dijual.

Ketika cuba mendekatinya untuk bertanyakan beberapa soalan, ternyata wanita lingkungan usia lewat 50-an itu bukan rakyat tempatan.

Malah ketika ditanya berasal dari mana dengan wajah terpinga-pinga serta seolah-olah tidak memahami apa yang diperkatakan, dia cuma berkata: "Pakistan, Pakistan."

Apabila ditanya mengenai ubat yang dipegangnya pula, dengan menggunakan bahasa isyarat, dia memberitahu ubat itu adalah kepunyaannya.

Setelah diasak dengan beberapa soalan lain, pengemis wanita itu memarahi penulis dalam bahasa yang tidak difahami.

Begitu juga apabila menyedari gambarnya dirakam oleh jurugambar, dia terus duduk di atas pembahagi jalan dengan muka yang masam.

Untuk seketika wanita tersebut menghentikan aktivitinya sehinggalah kami beredar.

Di satu persimpangan lain di Sri Gombak terdapat seorang lagi pengemis jalanan lelaki yang modus operandinya hampir serupa.

Dengan menjual ayat-ayat al-Quran, pengemis lelaki muda berketayap itu dilihat menjual barangannya setiap kali lampu isyarat bertukar merah.

Tetapi sebaik sahaja melihat kelibat jurugambar dan mengetahui gelagatnya diperhatikan, dia terus melarikan diri.

Tanpa disedari, dari jauh penulis memerhatikan sahaja gelagat mereka seawal pukul 10 pagi sebaik sahaja mereka memulakan 'tugasan' harian.

Daripada pemerhatian tersebut juga didapati mereka sanggup berpanas dan mengulangi perkara yang sama tanpa jemu sehingga ke petang.

Secara tidak langsung gelagat mereka ini sebenarnya turut mengundang kepada kesesakan lalu lintas selain mengganggu kelancaran perjalanan.

Walaupun tidak ada kawasan khusus yang menjadi tumpuan golongan itu untuk meraih simpati masyarakat tetapi pemerhatian mendapati jumlah mereka semakin meningkat di kawasan sekitar Lembah Klang seperti di Shah Alam, Klang, Keramat, Gombak dan juga sekitar pusat bandar.

Perkembangan negatif itu dilihat ada kaitan dengan sikap pemurah rakyat Malaysia yang sebenarnya menjadikan pengemis-pengemis ini semakin berani meneruskan kegiatan tersebut.

Ia ditambah dengan ketiadaan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Senario ini jika dibiarkan berterusan pasti akan mengubah wajah Kuala Lumpur dan ia bakal menjadi kota pengemis.

Ke mana-mana sahaja kita pergi sekarang ini, sama ada ketika makan bersama keluarga dan berhenti di lampu isyarat, kita akan di sapa oleh pengemis. Ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai 'lubuk rezeki' bagi peminta sedekah.

Tidak salah sekiranya ingin menghulurkan bantuan tetapi rasanya lebih elok jika disalurkan kepada pihak yang sesuai supaya wang yang dihulurkan itu benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
Gambar ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

Tuesday, September 27, 2011

Kisah benar seorang andartu terlampau dengan suami orang...


"SAYA tertarik sungguh dengan dua cerita ‘Andartu jangan jadi perosak’ dan ‘Bila selalu ke seberang’ dalam ruangan ini. Saya terasa seolah-olah menyindir saya. Itu pengakuan Farahaswani dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang di telefon selasa lalu.

‘‘Kerana gelaran andartu saya sering dicemuh, saya lebih suka dipanggil solo. Namun saya bertuah kerana ada kerja tetap dengan kerajaan, ada rumah, kereta, dan mampu hantar emak ayah ke Mekah, berbanding kawan-kawan lain, walaupun kami sama lulus universiti tetapi mereka tak ada kerja tetap hingga ada yang terpaksa jadi kerani atau terpaksa buka pusat jagaan anak-anak dan sebagainya.

‘‘Pada saya dah jadi lumrah kalau gadis solo dicemuh, kahwin awal pun dicerca, kahwin tak dapat anak disoal, kahwin duda dikutuk apa lagi jika kahwin suami orang, menjela-jela umpat keji mereka.

‘‘Sebagai kakitangan teknikal yang dimonopoli oleh kaum Adam, tugas mengajar saya jadi tegas dan matang dalam pergaulan. Kenalan saya 95 peratus lelaki. Keluar bekerja, shopping, sarapan, makan tengah hari, petang atau malam semua dengan lelaki. Hinggakan pemandu yang bawa saya ke merata tempat pun pernah disalah ertikan oleh isterinya kerana selalu balik jauh malam dari tapak projek.

‘‘Namun naluri kewanitaan saya tetap ada walaupun umur mencecah 30an. Ingin bekeluarga, disayangi, dibelai dan dimanja. Kerana itulah saya tertarik dengan Izhar seorang pengurus syarikat pembekal berusia awal 40an, sudah beisteri ada empat anak. Perkenalan bermula kerana tugas kami yang saling memerlukan.

‘‘Akhirnya saya terperangkap dengan cinta suami orang. Dia penyabar, lemah lembut, bertanggungjawab, hormat orang tua, termasuk mertua dan ipar duainya. Pendek kata dia memang ciri-ciri lelaki idaman wanita. Tetapi dia pendiam susah nak baca isi hatinya, namun lelaki tetap lelaki, nafsu tetap nombor satu

‘‘Seawal 7.30 kami akan bersms dan bertelefon. Kerana ketika itu isterinya sibuk, dia pendidik maka tugas hantar anak ke sekolah jadi tugasnya kerana ke sekolah sama. Manakala Izhar mengambil tugas menyiapkan dan menghantar anak kecil ke rumah pengasuh sebelum ke pejabat.

‘‘Diari hariannya semua dalam kepala saya. Manusia memang tidak boleh lari dari kesilapan. Selama tiga tahun jadi kekasih gelapnya, saya lupa diri dan jawatan yang dipikul hingga saya gunakan kedudukan saya memberi dia projek bernilai ratusan ribu ringgit, namun syarikatnya memang pun mampu dan sukar dipersoalkan.

‘‘Kerana ‘kebaikan’ itu saya berpeluang melancong ke luar negara bersamanya, menerima hadiah barangan berjenama, menginap di hotel besar dan makan angin ke KL sudah menjadi acara biasa kami.

‘‘Namun isterinya tercium aktiviti kami, dia hantar anaknya, adiknya jadi bodyguard Izhar kalau keluar malam, tapi Izhar bukan bodoh. Kerana cinta saya jadi buta. Tapi bangkai ditutup pun lama kelamaan berbau busuk jugak. Begitu juga dengan hubungan kami. Rakan sepejabat sudah tahu mereka nasihatkan saya kahwin di Siam ada juga yang nasihatkan saya putuskan hubungan. Bahaya kata mereka. Saya ikut nasihat suruh putus. Kata mereka ‘‘biar gelap seketika, lama kelamaan kita akan biasa dengan keadaan bergelap.’’

‘‘Rakan sepejabat banyak menolong saya bangkit dari masalah dan berjalan semula. Kalau dulunya saya seorang happy go lucky bertukar jadi seorang serius dengan kerja tapi sekarang saya boleh senyum semula.

‘‘Tiga tahun mengajar saya erti kehidupan, Izhar mengadu isteri tak beri layanan sibuk dengan tugasnya dan sibuk sambung belajar ambil ijazah, hinggakan lupa makan pakai suami, mungkin juga suami ‘tak cukup makan’. Tetapi si isteri jadi cemburu buta, sentiasa memeriksa kilometer perjalanan kerata suami. Menelefon suami setiap jam, suruh anak dan adik jadi spy, tak puas hati pergi check suami di tapak projek dan ke masjid kalau suami lambat balik.

‘‘Kepada Zamzalina atau isteri-isteri yang cemburu, kalau anda ingat anda pandai, suami lebih cerdik, kalau periksa kilometer kereta suami, dia guna kereta kawan. Kalau anda periksa telefon, awal-awal lagi dia delete semua call dan sms, bil pun dia buat summary dan dia pakai dua telefon. Untuk peribadi dia sorok tempat sulit, memang payah jumpa. Menginap di hotel, beli belah, dia tak pakai kad Kredit semua tunai. Bil penting di alamat ke pejabat. Saya tahu semua ini mereka yang pecah lubang.

‘‘Nasihat untuk isteri-isteri dan saya juga, jangan terlalu percaya dan terlalu kongkong suami. Biar dia jadi dirinya sendri jangan kita menjadi acuan dan mereka perlu di bentuk seperti anak kecil.

‘‘Sebenarnya bukan mudah saya lalui masa putus cinta, saya terpaksa minta tukar ke daerah lain, dan kini sambung belajar isi masa lapang nak jadi yang seorang terbaik. Dan pengalaman mendewasakan saya. Saya perlu hati-hati dengan kerjaya dan status saya.

‘‘Kini saya tanamkan falsafah yang jadi pegangan dan menyakinkan diri saya, bahawa ‘ Tidak semua yang kita hendak kita akan dapat’ dan ‘tidak semua yang kita dapat adalah perkara yang kita benar-benar hendak.

‘‘Bila saya mendalami kata-kata itu hati saya jadi lebih tenang, dan kalau boleh saya berharap perkataan andartu tidak digunakan gantikan dengan perkataan ‘Solo’ untuk golongan gadis seperti saya. Kerana ia lebih manis dan sedap telinga mendengar,’’ itu cerita Farahaswani tentang pengalaman pahit yang dilaluinya ketika jadi kekasih gelap suami orang. Hasratnya mencintai suami orang tidak akan berulang lagi. Namun dia tidak boleh melawan urusan Allah, kerana Dia menentukan segalanya.

Suami Isteri: Jangan bergaduh kerana wang !!


Dalam konteks kehidupan suami isteri sememangnya wang memainkan peranan yang penting. Cuba fikir sejenak agak-agaknya bila kali terakhir anda suami isteri bergaduh disebabkan wang?

Pertengkaran mengenai wang adalah sebahagian daripada asam garam dalam rumah tangga.

Apabila membincangkan tentang masalah kewangan ia seharusnya bukan dijadikan satu medan perdebatan untuk membuktikan siapa yang benar atau siapa yang salah.

Sebaliknya ia memerlukan perhatian suami isteri dalam menemukan jawapan yang sebenar berkaitan masalah kewangan tersebut.

Di ibu kota keadaan suami isteri bekerja adalah satu perkara yang lumrah. Memiliki lebih daripada satu sumber kewangan adalah salah satu cara untuk suami isteri menikmati kehidupan ini dengan lebih bermakna.

Walaupun usia perkahwinan anda menjangkau dua dekad, itu sebenarnya bukan jaminan anda telah mengenali pasangan anda 100 peratus dalam perkara berkaitan wang.

Mungkin adakalanya anda tersentak dengan kebiasaan atau pandangan pasangan mengenai wang yang amat berbeza antara anda dan pasangan.

Komunikasi yang baik antara suami isteri adalah faktor utama untuk berjaya menguruskan kewangan keluarga tanpa menimbulkan banyak masalah di kemudian hari.

Paling penting untuk menghindari sifat mahu menyembunyikan masalah kewangan yang anda hadapi daripada pasangan dan jangan pandang ringan atau menunda jalan penyelesaian terhadap masalah yang timbul membabitkan kewangan keluarga.

Dari mana mahu memulakannya? jawapannya sekarang! Anda berdua harus meluangkan masa berbicara dengan tenang masalah ini.

Sebaiknya masalah kewangan suami isteri dibincangkan secara intim kerana keterlibatan orang yang tidak bertauliah dalam perkara ini hanya akan mengusutkan keadaan sahaja.

Namun jika anda suami isteri telah berhadapan dengan jalan buntu, jangan risau kerana ada orang bertauliah seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) atau perancang kewangan yang layak memberikan anda jalan penyelesaian.

Tentang anda suami isteri, dari mana mahu memulakannya pertama sekali buat gambaran tentang kedudukan kewangan anda ketika ini.

Untuk tujuan tersebut buat catatan jumlah kewangan yang anda ada. Lihat risiko dan kemungkinan di masa hadapan.

Dengan cara ini anda berdua akan rasa bertanggungjawab untuk memelihara apa yang anda ada supaya ia tidak berkurangan di masa hadapan.

Tindakan kedua yang boleh diambil ialah membuat gambaran tentang sumber pendapatan dan pengeluaran anda berdua.

Catat atau kertas dan lihat adakah jumlah pendapatan mengatasi jumlah pengeluaran atau sebaliknya. Jika ada lebihan sebaiknya disimpan terlebih dahulu sebelum dibelanjakan.

Setelah semua punca kewangan dan harta anda telah dikenalpasti dan tahu perjalanannya setiap bulan barulah anda tentukan siapa yang akan bertanggung jawab untuk menguruskan hal-hal kewangan tersebut.

Boleh dilakukan bersama tapi lebih baik memberikan tugas masing-masing supaya senang.

Dengan ini apabila berlaku sesuatu kesalahan yang boleh menimbulkan masalah dalam kewangan keluarga adalah lebih mudah untuk mengenalpasti puncanya dan tidak menyalahkan satu sama lain hingga menjejaskan keharmonian rumah tangga anda berdua.

Susunan NOOR FAZRINA KAMAL

Memuji Nabi SAW...


SABDA Rasulullah SAW: "Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam".

Sebahagian orang memahami sabda Nabi SAW di atas dengan makna melarang daripada memuji baginda SAW. Mereka mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan yang melampau dan sikap berlebihan yang tercela dalam agama, yang boleh mengakibatkan syirik.

Mereka juga beranggapan, bahawa orang yang memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kedudukan Baginda SAW melebihi daripada manusia yang lain, menyanjungnya dan menyifatkan Baginda SAW dengan apa saja yang membezakannya daripada manusia yang lain, bererti melakukan bidaah dalam perkara agama dan menyanggah sunnah Penghulu segala Rasul SAW.

Ini adalah pemahaman yang salah dan buruk serta menunjukkan kecetekan pandangan orang yang menilainya. Maksud sebenar hadis adalah Nabi Muhammad SAW melarang memujinya secara keterlaluan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa a.s.

Mereka mengatakan bahawa Nabi Isa a.s itu adalah anak Allah. Adapun, orang yang memuji Nabi SAW dan menyifatkannya dengan sifat-sifat yang tidak terkeluar daripada hakikat kemanusiaan, di samping meyakini bahawa baginda SAW adalah hamba Allah dan utusan-Nya, dan menjauhi keyakinan dan kepercayaan kaum Nasrani, maka sesungguhnya dia tidak disyaki lagi merupakan orang yang paling sempurna tauhidnya.

Inilah yang ditegaskan oleh Imam Busiri dalam Qasidah Burdahnya yang masyhur: "Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa a.s). Ertinya: Jangan katakan Muhammad SAW itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan); Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji baginda SAW sesuka hati; Kerana keagungan Rasulullah SAW itu tiada had baginya, lalu lidah dapat mengungkapkan segala keistimewaannya dengan bahasa yang indah;

"Kemuncak pengetahuan mereka tentang dirinya mereka hanya mampu mengatakan bahawa Baginda SAW itu seorang manusia yang merupakan sebaik-baik makhluk Allah keseluruhannya".

Jika diperhatikan, perbuatan memuji Nabi SAW adalah sesuatu yang dilakukan oleh Allah SWT sendiri seperti firman-Nya: Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia. (al-Qalam: 4)

Allah juga memerintahkan supaya umat manusia sentiasa beradab bersama Nabi SAW. Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suaramu melebihi suara nabi. (al-Hujurat: 2)

Allah SWT juga melarang kita daripada berurusan dan bergaul dengan nabi SAW sebagaimana kita berurusan dan bergaul sesama manusia yang lain, atau memanggil baginda SAW sebagaimana cara kita memanggil sesama kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah SAW di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (al-Nur: 63)

Allah mencela orang-orang yang menyamakan Rasulullah SAW dengan yang lain dalam pergaulan dan tatatertib. Allah berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad!), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib). (al-Hujurat: 4)

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Tabiat buang sampah dari tingkap kereta sangat memudaratkan..


SUNGGUH ringan nampaknya tangan sesetengah pengguna jalan raya apabila membuang sampah melalui tingkap kenderaan yang sedang bergerak.

Perjalanan yang menyeronokkan boleh bertukar menjadi pengalaman pahit buat kita dan pengajaran buruk untuk anak-anak tatkala melihat pemandu dari dalam kenderaan di hadapan dengan selambanya mencampakkan objek keluar melalui tingkap mereka. Kononnya, merekalah orang yang pembersih kerana tidak boleh ada sampah sedikitpun dalam kenderaan, semuanya mesti dibuang walaupun ke tempat awam.

Kesan yang jelas ialah tabiat ini secara langsung mengotorkan alam sekitar. Bukankah kebersihan itu sebahagian daripada iman?

Sampah yang ringan jika dibuang akan berterbangan dan hinggap di cermin hadapan kenderaan di belakang, ia amat berbahaya. Apatah lagi jika ia mendarat di atas muka penunggang motosikal.

Apabila pandangan terganggu, justifikasi pemanduan akan turut terkesan. Lambat-laun, bertemulah dengan kemalangan. Hanya disebabkan sekeping plastik ringan, nyawa orang lain mungkin melayang.

Sampah seperti kulit buah, plastik bungkusan makanan merupakan antara bahan kegemaran untuk dibuang ke luar tingkap.

Bagi kenderaan beroda empat, mungkin gangguan permukaan tidaklah ketara. Apa akan terjadi jika sebuah motosikal yang bergerak di atas sampah ini, lebih-lebih lagi jika di tempat selekoh.

Lebih menyedihkan apabila ada anak kecil membuang sampah setelah mereka 'diajar' oleh penjaga mereka agar tidak membuang sampah di dalam kenderaan, tetapi mencampakkannya sahaja keluar.

Sesungguhnya telah zahir kerosakan di muka bumi ini angkara tangan-tangan manusia sebegitu. Sebesar-besar pembungkus minuman, sekecil-kecil puntung rokok, seberat-berat kotak minuman hatta seringan-ringan tisu segalanya menjadi habuan untuk jalan raya yang terpaksa menelan tindakan manusia kurang pertimbangan ini.

Walaupun ia nampak seperti isu kecil, implikasinya terhadap masyarakat dan alam amatlah besar.

DR. IRFAN MOHAMAD
USM

Saturday, September 24, 2011

Ibu risau gaya hidup menantu...


BERTUAH mereka yang ada menantu berilmu, beragama dan berbudi bahasa, ke mana pergi sentiasa dipuji orang.Namun bagi yang sebaliknya, tentu perasaan kecewa tidak dapat dielak, malah rasa malu kepada keluarga, jiran tetangga dan kawan-kawan turut mengganggu fikiran.

Hendak salahkan anak pun tidak kena sebab jodoh pertemuan, semuanya ketentuan Allah.

Inilah persoalan yang bermain di fikiran Mama Yati (bukan nama sebenar) yang sedih dengan sikap anak menantunya yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga urusan rumah tangga diabaikan.

Pertemuan di satu majlis baru-baru ini membolehkan Mama Yati berkongsi rasa terkilan dan sedih dengan sikap anak menantunya itu walaupun nasihat dan teguran telah diberikan.

"Saya sudah muak untuk menegur dan menasihati mereka, tidak ada perubahan, macam itu juga," keluh Mama Yati.

Kita ikuti kisah Mama Yati.

"Anak lelaki saya, Rizal (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an telah berkahwin dengan Efa (bukan nama sebenar), seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat ternama di ibu kota.

"Perkahwinan empat tahun itu telah dikurniakan seorang anak lelaki berusia 2 tahun, saya jaga sejak lahir hingga kini.

"Memang saya faham tugas seorang pegawai pemasaran, sibuk sepanjang masa termasuk juga anak lelaki saya itu, yang bekerja di sebuah bank.

"Dalam sibuk-sibuk bekerja, saya pasti jika bijak membahagikan masa tentu tidak ada masalah yang timbul. Ini berlainan dengan hidup anak dan menantu saya ini.

"Kami tinggal berdekata, jadi saya tawar diri untuk menjaga cucu saya kerana saya tidak bekerja. Lagipun saya masih sihat untuk berbuat demikian.

"Malangnya, mereka mengambil kesempatan di atas kebaikan saya untuk tidak mengambil berat tentang anak lelaki mereka itu. Semua diletakkan di atas bahu saya walaupun setiap bulan mereka memberi wang untuk perbelanjaan anaknya kepada saya.

"Sejak berkahwin, saya tidak pernah nampak mereka duduk semeja makan bersama setiap kali saya ke rumah mereka, selalunya salah seorang mesti tidak ada.

"Isteri atau suami outstation dan suami atau isteri jumpa klien itu adalah jawapan standard yang selalu diberikan kepada saya. Itu juga saya boleh faham.

"Telah lama saya perhatikan keadaan ini. Sibuknya mereka mengalahkan menteri. Hari bekerja sibuk, hujung minggu sibuk, sehingga hendak bawa anak bersiar-siar sekali skala pun tidak ada masa.

"Malah sejak lahir hingga sekarang mereka langsung tidak tunjuk rasa tanggungjawab terhadap anak kecil itu kerana merasa budak itu selamat dalam penjagaan saya. Memang betul anak mereka selamat. Tapi di mana rasa kasih sayang dan ambil berat mereka terhadap zuriat mereka itu. Sudah banyak kali saya beritahu perkara ini kepada mereka, nasihat dan teguran memang selalu, tetapi tindakan tidak ada.

"Saya pelik juga sebab ibu bapa lain kalau berpisah dengan anak terasa rindu, tapi anak menantu saya ini tidak pula. Kalau saya cakap banyak, kata saya merungut dan ugut nak ambil anak mereka, tapi tak ambil juga sampai sekarang.

"Saya kasihan kepada cucu saya sebab tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa. Budak itu semakin membesar, sampai bila dia harus tinggal dengan saya. Dia perlukan ibu bapanya.

"Baru-baru ini saya telah meluahkan semua perkara yang telah lama saya simpan kepada mereka berdua. Bagaimana kecewanya saya kerana ada anak menantu seperti mereka yang tidak menghargai anak dan tidak pedulikan perkara lain, selain kerja.

"Saya ralat sebab saya tahu mereka hanya pentingkan duit dan kerja. Amal ibadat, solat dan kerja kebajikan entah ke mana. Hubungan dengan jiran dan saudara mara langsung tidak ada.

"Gaya hidup mereka terlalu sosial. Ke sana sini bergaul dengan lelaki, perempuan tanpa batas sebab tugas. Siang malam, pagi petang tidak tahu hendak balik rumah. Pakaian sudah macam orang putih, baju kurung, tudung langsung tidak pandang.

"Saya malu dengan saudara mara apabila mereka asyik bercerita tentang menantu saya yang macam mat salleh celup itu. Macam sudah hilang Melayunya.

"Yang buatkan saya semakin sedih kerana anak saya tidak dapat menjadi ketua keluarga yang baik, mendidik dan membawa isterinya ke jalan Allah.

"Apa guna ada isteri berpelajaran tinggi dan cantik kalau tidak ada iman, budi bahasa dan tidak tahu hormat orang tua serta tidak tahu tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.

"Orang lain pun kerja juga tetapi tidaklah sampai lupa tanggungjawab dan anak. Bukan saya tidak boleh jaga anak mereka, tapi sampai bila saya kena korban? Mereka perlu tahu tanggungjawab mereka terhadap anak tersebut, sebab itu anak mereka.

"Adik-adik saya marah sebab saya terlalu berlembut dengan mereka, tapi kalau saya berkeras pula, takut mereka akan pergi jauh dari saya.

"Sebagai ibu tentu saya rasa sedih. Tidak tahu di mana silap saya. Pelajaran, didikan agama rasanya cukup saya bagi, tetapi kenapa jadi begitu.

"Saya berdoa agar anak menantu saya itu akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Ini baru anak seorang sudah kalut, bagaimana kalau sudah ramai nanti.

"Saya tidak kisah jaga cucu tapi saya sedih sebab dia tidak dapat kasih sayang daripada ibu dan bapanya yang sibuk mengejar dunia, saham akhirat langsung tidak fikir.

"Semua orang kerja, semua orang sibuk tetapi sebagai manusia, isteri, suami dan ibu bapa, kita mesti ada fokus dalam hidup. Seimbangkan peranan antara kerjaya dan rumah tangga.

"Mentang-mentang saya boleh jaga anak, jangan ambil kesempatan. Fikir juga tentang masa depan anak. Setakat datang bawa mainan, baju mahal dan makanan mewah saja, tidak cukup. Kasih sayang dan kebajikan anak itu penting.

"Wang ringgit juga bukan ukuran dan jaminan membahagiakan anak. Tidak bagi duit pun saya boleh bagi makan cucu saya. Saya harap apa yang saya cakap kepada mereka akan mereka dengar.

"Saya bukan mengungkit tetapi mahu mereka berubah dan menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab. Masih belum terlambat untuk mereka sedar. Kalau boleh saya mahu mereka ambil anak mereka dan jaga sendiri. Bukan saya tidak mahu jaga tapi saya rasa sudah sampai masa mereka berdikari. Pasangan suami isteri lain pun buat macam itu, tidak susahkan orang tua.

"Saya harap mereka faham dan tidak ambil hati. Saya berdoa semoga mereka boleh fikir dan mengubah gaya hidup mereka secara lebih positif. Saya reda dengan apa yang akan mereka lakukan, sebab apa yang saya buat adalah untuk kebaikan mereka.

"Kepada ibu-ibu di luar sana yang mungkin menghadapi masalah seperti saya tapi takut hendak berterus terang dengan anak menantu adalah cara terbaik agar kita tidak terus memendam rasa dengan kerenah anak menantu," Mama Yati berpesan sebelum menamatkan ceritanya.

Itulah kisahnya yang ingin Mama Yati kongsi dengan pembaca. Benar juga katanya, di peringkat awal seorang ibu hanya membantu meringankan beban anak menantu. Tidak sangka pula akhirnya menjadi tanggungjawab.

Buat pasangan suami isteri yang kalut mengejar kemewahan hidup dan mementingkan kerjaya, cubalah membahagikan masa agar rumah tangga terus terpelihara, anak-anak tidak terbiar dan ibu tidak dibebankan dengan tanggungjawab sebagai pengasuh.

Kepada Mama Yati, mudah-mudahan kemelut yang dilaluinya akan segera berlalu. Berdoalah minta diberi kesejahteraan kepada anak menantu dan cucu. Doa seorang ibu, insya-Allah akan dimakbulkan Allah.

Menutup kata, terimalah segala masalah itu dengan rasa tenang, insya-Allah kebahagiaan itu akan menjadi milik kamu.

Salam

Panduan sebelum membeli kereta..



SELEPAS mengenal kebaikan dan keburukan kad kredit pada isu yang lalu, kali ini kita melangkah ke bab baru mengenai pembelian kereta.
Sudah tentu sebaik saja anda mula bekerja, salah satu keputusan penting yang anda akan ambil ialah membeli sebuah kereta. Walaupun kereta adalah kaedah pengangkutan selesa, perlu diketahui bahawa memiliki sebuah kereta bukan setakat membayar ansuran bulanan saja.
Ia juga membabitkan kos lain seperti petrol, bayaran tol, parking, cukai jalan, insuran, kos penyelenggaraan serta kos membaiki apabila kereta anda rosak.

Seandainya anda boleh membayar segala kos yang disebutkan tadi dengan selesa, anda masih perlu tanya diri anda sama ada kereta itu suatu keperluan atau kehendak.

Kereta baru atau kereta terpakai? Apabila kereta adalah keperluan, anda perlu membuat keputusan sama ada ingin membeli kereta baru atau kereta terpakai.

Ramai orang beranggapan bahawa membeli kereta baru adalah lebih baik kerana kos penyelenggaraannya lebih rendah tetapi pada hakikatnya, memiliki kereta baru juga ada kelemahannya.
Ketika memutuskan jenis kereta yang diperlukan, anda hendaklah terlebih dulu menilai kemampuan anda. Jika didapati membeli kereta baru boleh membebankan, belilah kereta terpakai yang masih berkeadaan baik.

Lagipun, kereta hanya sebuah kenderaan yang membawa anda bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain.

Bagaimana membiayai kereta anda? Lazimnya, orang akan membeli kereta dengan menggunakan pinjaman sewa beli. Sewa beli adalah penyewaan barangan dengan pilihan untuk membelinya pada akhir tempoh pinjaman.

Dengan mengambil pinjaman sewa beli, anda akan dikenali sebagai penyewa dan institusi kewangan yang memberi pembiayaan sebagai pemilik kenderaan.

Sebagai penyewa, anda perlu membuat bayaran ansuran berdasarkan terma dan syarat yang sudah dipersetujui di bawah perjanjian sewa beli.

Selepas semua bayaran ansuran dijelaskan, hak milik kereta tersebut akan dipindahkan kepada anda.

INFO: Panduan bijak beli kereta

  • Buat perbandingan untuk mendapatkan kereta yang boleh diharapkan dan memenuhi keperluan anda. Ada baiknya jika meminta nasihat dari ahli keluarga atau sahabat.

  • Jika anda ingin membeli kereta terpakai, dapatkan khidmat mekanik yang boleh dipercayai atau lakukan pemeriksaan PUSPAKOM ke atas kereta berkenaan.

  • Pertimbangkan harga jualan semula atau nilai tukar beli kereta sekiranya anda bercadang untuk menukarnya kelak.

  • Sekiranya anda mengambil keputusan untuk memohon pinjaman kereta, cari pakej terbaik berdasarkan kemampuan anda. Dapatkan maklumat mengenai kadar faedah efektif yang akan dikenakan.

  • Rangka bajet mengikut pendapatan anda. Ambil kira ansuran bulanan kereta dan lain-lain kos seperti kos petrol, bayaran tol, parking, perbelanjaan lain termasuk cukai jalan, insurans dan servis biasa.

  • Cuba tingkatkan tabungan untuk bayaran pendahuluan supaya pinjaman yang diambil lebih rendah dengan tempoh pembayaran yang lebih singkat. Perlu diingat bahawa semakin panjang tempoh pinjaman, semakin banyak faedah yang anda perlu bayar.

  • Jangan gunakan kad kredit untuk membuat bayaran pendahuluan kerana anda akan terikat dengan pinjaman pada kadar faedah yang sangat tinggi.

  • Bersedia untuk menanggung perbelanjaan di luar dugaan seperti membaiki kereta sekiranya berlaku kerosakan atau kemalangan. Ada baiknya untuk mengetahui mengenai kemudahan mendapat alat ganti serta kos untuk menggantikannya.

  • Pastikan kereta anda mempunyai perlindungan insurans komprehensif yang mencukupi atau sekurang-kurangnya mempunyai perlindungan insurans pihak ketiga

  • Oleh Alzahrin Alias

    Wednesday, September 21, 2011

    Guru merungut program SAPS lebih sukar dari manual !!


    Sistem kumpul data murid guna komputer tidak semudah seperti diuar-uarkan

    SISTEM Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) diperkenalkan baru-baru ini bagi membolehkan tugas pengumpulan data dilakukan dengan secara lebih sistematik dan praktikal berkaitan data mata pelajaran, enrolmen murid, data guru mata pelajaran dan profil sekolah.
    Semua guru sekolah rendah dan menengah termasuk sekolah berasrama penuh perlu mengisi markah ujian Mac, peperiksaan pertengahan tahun, peperiksaan percubaan atau ujian Ogos dan peperiksaan akhir tahun di SAPS ini. Untuk menjadikan sistem ini lebih sistematik, tempoh masa ditetapkan dan guru perlu mematuhinya.
    Kebaikan sistem ini ialah selepas guru memasukkan data dan markah pelajar, ia akan secara automatik membuat analisis dalam pelbagai aspek, sekali gus menjimatkan banyak masa guru yang mungkin pada sedekad dulu terpaksa membuat pengiraan analisis secara manual.

    Tekan mesin pengira setiap kali mahu mencari peratusan dan purata. Berpinar mata mencari berapa jumlah A yang murid peroleh dan pelbagai lagi.

    Malah, dulu guru kelas terpaksa meminta markah setiap mata pelajaran daripada guru yang mengajar dan mengisinya secara manual dalam borang khas. Semua perkiraan dilakukan secara manual dan diisi pula dalam buku laporan kemajuan murid. Sistem dalam talian diakui lebih memudahkan dan lebih sistematik serta menjimatkan banyak masa.

    Namun, sistem yang sebenarnya dicipta untuk memudahkan mereka akhirnya menyebabkan lebih ramai yang terseksa. Ada guru terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi semata-mata untuk mengisi markah pelajar dan ada pula yang menghadapi masalah kerana tidak mempunyai komputer atau talian internet di rumah.
    Namun selepas menggunakan SAPS buat seketika, ramai guru merungut dan melepaskan kemarahan mereka dalam blog dan menulis surat kepada akhbar.

    Antaranya, yang dipetik daripada blog adalah seperti berikut:

    “Idea mewujudkan sistem ini memang baik tetapi program berkenaan susah untuk dicapai dan selalu terkeluar daripada talian dan ada banyak masalah lain.

    “Sebagai guru yang terbabit dengan SAPS, saya sudah beberapa kali membuka sistem ini untuk memasukkan markah tetapi setiap kali markah mahu disimpan, sistem ini akan terkeluar daripada talian. Saya terpaksa mengisi semula markah dan ini ia berlaku beberapa kali.

    “Kami terpaksa menunggu sehingga pagi semata-mata untuk mengisi markah ujian satu, peperiksaan pertengahan tahun, menentukan nilai letak kerja (TOV) dan jangkaan hasil sasaran akhiran (ETR) setiap pelajar. Bayangkan, jika ada enam kelas yang markah pelajarnya perlu diisi dan setiap satu kelas pula ada 40 pelajar.

    “Yang peliknya dalam taklimat kami diberitahu ketika menggunakan SAPS, kami tidak boleh menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci kerana akan mengganggu sistem. Ini adalah kali pertama saya mendengar satu sistem yang direka akan rosak jika tertekan butang ‘enter’.

    “Masalah lain yang dihadapi ialah ada pelajar yang tiada dalam senarai kelas tetapi apabila didaftar, jawapan yang diterima ialah ‘pelajar telah didaftarkan’ tetapi jika telah didaftarkan kenapa nama pelajar tiada dalam senarai?”

    Di mana silapnya? Apakah sengaja kementerian mencipta satu sistem untuk menyusahkan guru sedangkan perlu diakui guru sudah terlalu banyak dibebankan. Rasanya bukan itu alasannya kerana yang paling tepat ialah sistem itu masih terlalu mentah dan perancangan untuknya tidak mengambil kira banyak perkara.

    Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Razak Hamdan, berkata kebanyakan sistem dalam talian (online) di negara ini tidak stabil pada peringkat permulaan dan menyebabkan masalah kepada pengguna, namun ia akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

    “Kebanyakan sistem dibangunkan menggunakan teknologi sedia ada dan dirasakan memadai untuk kegunaan pada masa itu tetapi selepas digunakan secara meluas, ia tidak mampu menampung keperluan semasa dan perlu peningkatan.
    Masalahnya, untuk mempertingkatkannya memerlukan kos tinggi dan itu yang menjadi halangan banyak pihak.

    “Kita rujuk kepada sejarah Unit Pusat Universiti (UPU) pun pada mulanya ada masalah. Selalu tidak stabil tetapi selepas dipertingkatkan, ia sudah semakin baik dan stabil. Ia membabitkan sistem itu sendiri dan talian komunikasi. Jika salah satu tidak stabil atau lembab, ia akan menyusahkan pengguna.

    “Kebanyakan sistem menggunakan talian terbuka (public). Jika ia sudah ditentukan untuk menerima sebanyak dua megabait (MB), tetapi yang menggunakannya melebihi jumlah itu, ia pasti akan menyebabkan sistem itu perlahan.
    “Setiap sistem juga ada had penggunaan pada satu masa. Jika dihadkan sebanyak 1,000 pengguna tetapi pada satu masa pengguna melebihi jumlah itu, ia juga akan menyebabkan sistem menjadi lembab.

    “Selalunya, pembangun sistem akan membuat anggaran berapa ramai pengguna akan gunakan sistem itu terutama pada waktu puncak dan menetapkan jumlah tertentu. Penetapan ini perlu kerana semakin besar ruang penggunaannya, semakin mahal sistem itu untuk dibangunkan. Malangnya, ada ketika berlaku, ramalan mereka tidak tepat dan pengguna melebihi anggaran,” katanya.

    Beliau berkata, ada sistem yang menggunakan kaedah ‘server balancing’ iaitu membolehkan ia dipindahkan ke pelayan lain jika kuota dalam satu pelayan sudah penuh. Ia membolehkan sistem tidak perlahan jika melebihi kuota yang sudah ditetapkan tetapi membabitkan kos yang tinggi.

    Masalahnya, katanya, kebanyakan pengguna akan menggunakan sistem itu secara maksimum pada waktu puncak terutama ketika tarikh tamat tempoh semakin dekat. Ia pasti menyebabkan sistem itu tidak mampu menampung penggunaannya yang banyak. Justeru, pemantauan pada waktu itu perlu dipertingkatkan.

    “Selalunya, masalah utama bermula daripada sistem komunikasi. Jika talian internet yang digunakan perlahan, ia juga akan memberi kesan. Masalah lain ialah kebanyakan pembangun sistem salah membuat perkiraan jumlah pengguna. Mereka boleh tinggikan had pengguna asalkan mampu memperuntukkan kos yang tinggi.

    “Dalam kes ini, sewajarnya mereka buat percubaan tekanan (stress test) sebelum dilancarkan. Pastikan ia mampu menangani seramai mungkin pengguna termasuk guru terutama ketika waktu puncak. Perlu buat perkiraan secara tepat berapa banyak had diperlukan untuk menangani seberapa ramai guru dan sekolah.

    “Selain itu, tidak semua sistem sesuai digunakan bagi semua negeri dengan kapasiti yang sama. Sudah pasti tidak sama jumlah pengguna di Perlis dan Selangor. Pelayan yang digunakan perlu stabil.

    “Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah adalah untuk memasukkan data. Ia sewajarnya gunakan sistem simpanan secara automatik (autosave). Maksudnya, setiap kali data dimasukkan, ia disimpan secara automatik dan tidak hilang jika tiba-tiba berlaku masalah talian. Kosnya tinggi tetapi perlu dalam kes pengendalian data,” katanya lagi.

    “Kelemahan utama kebanyakan sistem di negara ini ialah ambil mudah dan jadikan pengguna sebagai bahan ujian. Asalkan ia nampak berkesan di sesetengah kementerian, ia secara mudah digunakan pula di kementerian yang lain. Cara ini salah kerana tidak semuanya sama,” katanya.

    Justeru, adalah wajar kementerian lebih peka dalam hal ini dan memastikan apa saja sistem yang mahu dibangunkan tidak menjadi beban kepada pengguna, sekali gus menambahkan tekanan mereka

    Oleh Azrul Affandi Sobri


    Golongan muda perlu dibela


    PELBAGAI usaha sudah dilakukan kerajaan bagi membantu semua lapisan masyarakat di negara ini. Namun, banyak lagi hal yang menghimpit anak muda perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya.

    Pertama, keperluan golongan muda untuk memiliki rumah yang selesa. Melihatkan harga rumah kediaman hari ini yang sudah menjangkau sejuta ringgit amat meresahkan.
    Jika mereka yang dalam kelompok berpendapatan rendah diberi bantuan rumah kos rendah, bagaimana pula nasib mereka daripada berpendapatan sederhana?
    Anak muda yang berusia dalam lingkungan akhir 20-an dan awal 30-an berdepan dengan pelbagai tekanan kos sara hidup yang tinggi. Hajat hati mahu berkeluarga tetapi apakan daya wang sentiasa mengalir seperti air.

    Tidak hairan apabila ramai eksekutif muda diisytihar muflis. Pada ketika mereka sedang berjuang untuk membina kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang pastinya hati tertanya-tanya dengan apa yang berlaku di sekitar mereka.

    Apa gunanya pihak berkuasa tempatan termasuk DBKL menukarkan status tanah kediaman kepada komersial selain merobohkan bangunan sedia ada lalu dibangunkan dengan apartmen mewah berpuluh-puluh tingkat?

    Situasi ini boleh saja kita lihat sekitar kawasan Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam sehinggalah nama kawasan pun mahu dinaiktaraf menjadi Bangsar South City.
    Rakusnya pembangunan hingga ada pihak tutup mata bahawa apa yang dibuat pada hari ini hasilnya akan dituai satu dekad daripada sekarang.

    Bayangkan apabila pemilikan hartanah didominasi oleh satu kaum saja. Tentulah itu petanda yang buruk kepada ciri demografi penduduk dan kestabilan sosio-budaya masyarakat kita kelak.

    Oleh itu, kerajaan melalui agensi atau jabatan berkaitan perlu peka dengan tuntutan dan keperluan jangka panjang generasi muda khususnya kemampuan golongan berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah.

    MAHU TINDAKAN
    Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur

    Tuesday, September 20, 2011

    Jadikan golf sukan untuk rakyat...



    SETIAP tahun yuran main golf sentiasa naik. Malah ada padang naik yuran dua kali tahun ini. 1 Januari naik yuran. 1 September naik yuran. Sebenarnya saya tidak kisah sangat pasal kenaikan yuran. Macam kenaikan harga rokok, orang ramai masih menghisap rokok.

    Tiada tanda-tanda bilangan penghisap rokok jatuh merudum.

    Kita mahu permainan golf untuk semua lapisan masyarakat. Golongan berpendapatan rendah juga seperti mekanik, pemandu teksi, kerani, cikgu dan anggota tentera mahu main golf macam kelas menengah.

    Bukan sekadar dimonopoli oleh kelas menengah sahaja. Kita tidak mahu golf dikaitkan dengan orang kaya sahaja.

    Golf bukan sahaja dikaitkan dengan yuran padang dan buggy sahaja. Sesetengah padang golf mewajibkan tenaga kedi ditip RM40 seorang sekali main. Dalam keadaan tertentu kena bayar tip RM50 seorang. Kadang-kadang kedi macam-macam perangai, pandai demanding, minta tip lebih.

    Bukanlah nak mengata, 85 peratus kedi tidak pandai langsung baca line.

    Kira-kira 60 peratus golfer berusia 50 tahun ke atas, pesara kerajaan dan warga emas. Maka tidak hairanlah ada warga emas tidak senang duduk kalau digoda oleh kedi. Mungkin tidak ramai yang melakukannya, namun seekor kerbau membawa lumpur, semua kerbau terpalit.

    Yuran juga berbeza mengikut hari. Hari kerja bayaran agak sederhana. Sabtu, Ahad dan cuti umum harga yuran hampir sekali ganda.

    Tidak adil bagi pesara dan warga emas. Ada padang beri potongan harga istimewa untuk pesara dan warga emas, tetapi tidak merata. Sudah tiba masanya semua padang golf memberi potongan harga istimewa untuk pesara dan warga emas.

    Semua pemain golf tahu harga makanan di kafe kelab agak tinggi. Purata sepinggan mi goreng dan sebotol air harganya hampir RM20 seorang. Kena fikir 10 kali sebelum makan bagi mereka yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

    Purata setiap golfer terpaksa membelanjakan hampir RM200 untuk membayar yuran padang, sewa buggy, yuran kedi, tip kedi dan makan di kafe.

    Bagi mereka dari kelas menengah tidak menjadi masalah besar. Dengan adanya harga patut sudah tentu lebih ramai yang mampu bermain golf. Kita mahu menggalakkan lebih ramai rakyat bersukan tanpa mengira kelas sosial. Sudah tiba masanya kita kena kikis main golf untuk kelas menengah dan orang kaya sahaja.

    AWANG SEMBILANG
    Ampang

    Monday, September 19, 2011

    Pengorbanan seorang isteri yang sia-sia !!


    CERITA isteri kena tipu memang biasa, tetapi kisah saya lain sikit sebab suami saya Faiz punyalah muka alim tunjuk baik, tak akan ada siapa percaya dia ada kekasih, hinggakan emak mertua dan adik-beradiknya tuduh saya gila, cemburu buta, garang, suka burukkan suami.

    ''Saya dah kahwin lebih 26 tahun, selama ini tak pernah saya tuduh Faiz gatal depan orang, tetapi sejak tiga tahun lalu, bila kesnya terbongkar saya beritahu emaknya minta nasihatkan anaknya, mereka pulak tuduh saya mereka-reka cerita burukkan suami, adake patut?'' demikian cerita Salimah ketika kami berbual di telefon awal minggu lalu.

    ''Saya rasa mereka tahu kes Faiz, sebab kami duduk di pekan kecil, tetapi saya ini yang bodoh terlalu sayang dan percayakan cakap suami. Emaknya tuduh saya tak layan makan minum Faiz, tapi Faiz tak suka sarapan kat rumah, katanya dah sejuk bila dia bangun. Sebab saya buat sarapan jam 5.30 pagi, keluar rumah jam 6.15 pagi, terkejar-kejar hantar anak-anak sekolah dan terus ke tempat kerja yang jauhnya 75 km dari rumah.

    ''Faiz masuk kerja 9 pagi dia sarapan kat pejabat dengan kawan. Begitu juga makan tengah hari, kecuali makan malam. Saya rasa itulah gaya hidup orang bekerja. Malam pulak kadang makan, kadang tidak sebab jumpa kawan. Saya jam 10 atau 11 malam dah tidur, dia jam 1 baru balik. Itulah rutin hidupnya selain mengadap komputer hingga 2 pagi .

    ''Di sebabkan sibuk dengan rumah, anak sekolah dan bekerja, Faiz ambil kesempatan. Skandal dia dengan gadis di pejabat satu pejabat dah tau. Cuma saya tak tahu. Sebab itu Faiz tak suka bawa saya ke sebarang majlis pejabatnya.

    ''Saya tak bantah jika tak diajak, tetapi setelah rahsianya pecah, saya beranikan diri pergi ke pejabat jumpa ketuanya di situlah tembelangnya terlondeh. Rupanya setiap pagi dia sarapan dan makan dengan kekasihnya berusia 21 lebih muda dari anaknya. Mereka bersuap-suapan, makan sepinggan, minum segelas.

    ''Bila saya buat kecoh gadis itu ditukarkan ke tempat lain. Itulah punca dia bencikan saya. Dia lancarkan perang dingin tak mahu cakap dengan saya. Kalau dulu dalam seminggu adalah sehari dua dia bercakap dengan saya, sekarang sebulan sekali pun susah nak bertegur.

    ''Kisah cintanya mula terbongkar bila dia sering dapat panggilan telefon dan SMS yang datang tak tentu masa, jam 4 pagi pun ada. Itu membuatkan saya ingin tahu. Satu hari bulan Disember tahun lepas saya beranikan diri buka telefonnya, apa lagi berderet SMS nya saya jumpa.

    ''Bila Faiz buat hal dua bulan saya jadi macam orang gila, hingga terlibat dalam kemalangan kereta dan sakit terlantar di hospital, tapi Faiz tak pedulikan pun. Saya pernah larikan keretanya ugut nak tolak masuk gaung, tapi Faiz kata kalau saya nak mati pun matilah, tapi pulangkan keretanya, sebab keretanya masih baru, dalam kereta ada duit RM3,000 jadi tolong pulangkan. Dia tak kisah kalau saya mati, emak dia boleh jaga anak-anak.

    ''Mei lalu kerana dah tak tahan dengan perangai Faiz saya telefon kekasihnya ajak jumpa. Saya tak marah, saya suruh dia kahwin dengan Faiz biar mertua saya percaya cerita saya. Lagi pun dia banyak habiskan duit Faiz.

    ''Tapi dia tolak katanya, ''Saya tak ingin kahwin suami makcik, dah tua buat apa. Bukan saya gilakan dia, dia yang gilakan saya, saya tak minta hadiah dia yang beri macam-macam. Dia banyak duit, sebab dapat keluar duit EPF lebih RM60,000 lepas umur 50 tahun.'' Sakitnya hati saya.

    ''Kerana kurang yakin, dia bagi saya dengar panggilan telefon dari Faiz yang kebetulan memanggilnya ketika kami berbual. ''Hah! makcik dengarlah siapa yang pujuk siapa, siapa yang goda siapa? Saya tak goda dia, saya cuma balas panggilan telefon atau SMS yang dia hantar. Kalau tak jawab, dia ganggu saya sampai tak boleh tidur.''

    ''Dalam kes ini memang Faiz gatal menggoda gadis lebih muda dari anaknya. Tapi gadis itu pun suka layan Faiz sebab dapat hadiah dan duit untuk membiayai hidupnya. Dia baru bekerja tapi ingin hidup mewah dan bergaya, sedangkan gaji tak sebanyak mana, jadi dia layan godaan Faiz untuk mengejar cita-citanya.

    ''Sebenarnya sejak 26 tahun kahwin sudah empat kali saya kena tipu. Kali pertama ketika dalam pantang anak sulung, tapi hubungan mereka putus setelah gadis tu kahwin. Kekasihnya yang ketiga lebih hebat. Ketika itu dia pergi kursus enam bulan ke Terengganu. Bila balik dia usung kekasih ke hulu ke hilir. Sibuk nak kahwin.

    ''Nak jadikan cerita lima orang kawannya yang sama pergi kursus semuanya kahwin dua setelah balik. Cuma Faiz terlambat. Sebab kawan-kawannya ramai kena serang dengan isteri masing-masing bila rahsia terbongkar. Entah macam mana Faiz tak jadi kahwin. Kini bila saya suruh kahwin dengan gadis tersebut dia marah-marah, agaknya termalu sebab gadis itu lebih muda dari anak sulung kami. Kini walaupun berjauhan, tapi mereka masih berjumpa dan Faiz sanggup sponsor hidup gadis itu.

    ''Saya lebih suka mereka cepat kahwin, tahulah saya apa nak buat, tetapi Faiz yang tangguh, agaknya dia fikir dia dekat nak bersara. Sanggupkah dia kahwin lari kalau pinangan di tolak. Dan nak bagi makan apa bila berhenti kerja nanti, dia tak ada pencen, duit EPF tak banyak mana, tambah teruk bila dapat anak. Kalau sakit pening nanti sapa nak jaga, isteri muda mahu ke jaga kerana dia sibuk bekerja?

    ''Sebenarnya dalam kes ini saya yang bersalah, terlalu sayang suami, percaya cakap dan janji suami, sanggup berhabis bantu suami, dengan keyakinan suami simpan duit untuk hari tua kami. Akhirnya ditipu. Saya yakin ramai wanita di luar sana senasib dengan saya. '' Demikian cerita dan nasihat Salimah panjang lebar. Malangnya wanita kalau sayang suami, nasihat ibu ayah atau siapa pun mereka tolak tepi.

    Hati-hati kejar ranking universiti..


    Saya mengucapkan setinggi tahniah kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang telah mengingatkan supaya universiti tempatan tidak terlalu taksub dengan University Ranking.

    Katanya lagi, universiti sebaliknya "hendaklah terus berusaha memenuhi sasaran penubuhannya dengan menumpukan perhatian kepada keperluan penuntut dan kerajaan. Kita tidak boleh bersaing untuk sistem ranking ini kerana ia memerlukan kos yang banyak, tetapi apa yang penting kita akan turut terlibat bagi menetukan kedudukan universiti samaada sesuai serta relevant dengan pembangunan Negara"(Utusan Malaysia, 12 Sep 2011).

    Pendekatan ini adalah untuk mensejahterakan rakyat. Apabila sesebuah universiti itu telah dapat memenuhi kehendak negara dan rakyatnya maka jadilah universiti itu sebuah universiti bertaraf dunia.

    Perlumbaan untuk mendapatkan nombor semata-mata dalam ranking universiti yang menggunakan kriteria yang tidak sesuai tentunya tidak boleh dipakai sama sekali. Apatah lagi kalau badan ranking itu adalah yang berpaksikan perniagaan semata-mata. Dua kriteria daripada enam yang dikenakan oleh QS Ranking ialah pemberatan yang diberikan kepada jumlah kakitangan akademik dan jumlah pelajar asing yang menuntut di sesebuah universiti: Lebih ramai kakitangan akademik dan pelajar asing maka lebih tinggilah markah yang didapati oleh sesebuah universiti itu. Ini akan menaikkan ranking universiti itu berbanding dengan yang tiada atau kurang jumlah orang-orang asing.

    Di sini saya berikan dua contoh:

    1. Pada tahun 2004 Universiti Malaya telah menduduki tangga 89 mengikut ranking THE-QS. Mengapakah kedudukan Universiti Malaya sebegitu tinggi pada tahun itu? Sebabnya ialah kerana semua kakitangan akademik dan pelajar warganegara Malaysia yang berbangsa Cina dan India di Universiti Malaya pada tahun itu telah disalahtafsirkan oleh THE-QS University Ranking sebagai warganegara asing. Maka melambung naiklah markah di dalam kategori ini bagi Universiti Malaya.

    Tetapi pada tahun 2005, hanya setahun kemudiannya Universiti Malaya telah menurun ke tangga 169, kerana semua warganegara Malaysia Cina dan India yang bekerja di UM telah tidak lagi disalahtafsirkan sebagai warganegara asing. Di manakah letaknya kewibawaan badan ranking yang membuat kesilapan besar seperti ini?

    2. Pada tahun 2007, Universiti Malaya menduduki tangga 246 dengan skor indikator sebanyak 48.56. Pada tahun 2011 Universiti Malaya menduduki tangga 167 dengan skor indikator 49.92. Bezanya ialah hanya 1.36 sahaja setelah lima tahun berlalu. Apakah kriteria yang telah menyumbang kepada kenaikan skor indikator yang sedikit dan remeh ini? Mengikut maklumat, jawapannya ialah serupa dengan contoh pertama tadi, iaitu kenaikan skor melalui kakitangan dan pelajar asing ke dalam UM (skor kakitangan akademik asing tahun 2007>62.6, tahun 2011>76.8; skor pelajar asing tahun 2007>40.6, tahun 2011>71.3).

    Walaupun bagi kriteria lecturer/students score ratio (skor nisbah pensyarah/pelajar, 2007>37.7, 2011>76.4) naik begitu banyak, tetapi ini ialah kerana Universiti Malaya telah mengurangkan jumlah kemasukan pelajar ijazah dasarnya atas alasan universiti itu telah dinaikkan status universiti penyelidikan. Dengan mengurangkan jumlah pelajar dasar, maka kuranglah pelajar baru dapat memasuki Universiti Malaya.

    Kriteria-kriteria yang lain seperti peer review score (skor penilain akademik sejawatan, 2007>65.8, 2011>37.9), employer review score (skor penilain majikan, 2007>65.8, 2011>37.9) dan citation score (skor sitasi penerbitan, 2007>14.4, 2011>4.6) bagi tahun 2011 semuanya menurun berbanding dengan 2007.

    Nampaknya jelas bahawa kenaikan kedudukan UM dalam ranking QS itu hanya bergantung kepada jumlah bilangan pensyarah dan pelajar antarabangsa. Walau berapa banyak pun UM telah berusaha untuk menaikkan jumlah penerbitan, hasilnya tidak berkesan.

    Khalid Nordin telah menyatakan bahawa kita tidak perlu taksub dengan sistem ranking "kerana salah satu daripada kriteria dalam sistem ranking adalah usaha menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi yang memerlukan peruntukan besar".

    Universiti Malaya dalam tempoh atau 2-3 tahun akan datang turut memerlukan kira-kira RM0.5 bilion untuk membuat penyelidikan berkenaan.

    Berbanding universiti terkemuka di luar negara seperti Universiti Harvard mempunyai tabung sebanyak RM30-40 bilion disumbangkan oleh alumni mereka dan boleh digunakan untuk tujuan berkenaan" (Utusan Malaysia 12 Sep 2011).

    Benarlah kata-kata Menteri Pengajian Tinggi ini, bahawa kita tidak akan dapat bertanding dengan negara-negara maju dalam bidang penyelidikan, kerana kita tidak mempunyai dana penyelidikan sebanyak mereka.

    Kalau kita hendak mengejar kedudukan ranking, tetapi hakikatnya adalah melalui penambahan pensyarah asing dan pelajar asing sahaja, maka hasrat kerajaan untuk memenuhi keperluan penuntut, rakyat dan kerajaan tidak akan tercapai. Ramailah nanti tersingkir rakyat kita sendiri untuk berada di universiti. Perumpamaan kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan hendaklah jangan terjadi.

    Bayangkan betapa besarnya Negara Rusia yang handal didalam serba serbi itu, termasuklah melatih angkasawan Sheikh Muzaffar, tetapi dalam ranking universiti QS pada tahun 2011, hanya satu sahaja universiti negara itu tersenarai dalam kedudukan 200 universiti terbaik! Mereka tak sibuk pun.

    Prof. Zakri Abdul Hamid, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Malaysia dan juga Pengerusi Majlis Profesor Negara dengan jelas telah berkata "let us ignore the irrelevant rankings of world universities, re-examine our fundamentals, and strive to be relevant to the pressing problems close to home in our increasingly challenging world" (terjemahan: "Marilah kita lupakan ranking universiti dunia yang tidak sesuai itu, hayatilah kembali keperluan asasi kita, dan berusaha untuk menangani masaalah negara yang ketara dalam dunia yang semakin mencabar"(NST 27 Ogos 2010).

    Eloklah difikirkan pendapat beliau yang bijak lagi pandai ini.

    DATO' PROF DR. HASHIM YAACOB
    Bekas Naib Canselor Universiti Malaya

    Lambakan warga asing gusarkan rakyat..


    MALAYSIA mempunyai taraf ekonomi memberangsangkan jika dibandingkan negara jiran walau realitinya, kita masih jauh ketinggalan daripada Singapura. Tahun demi tahun berlalu dan semakin ramai rakyat mempunyai tahap pendidikan dan pekerjaan yang baik.

    Namun, jika 10 tahun lalu, kita jarang melihat lambakan warga asing, tetapi sekarang mereka kian memenuhi setiap ruang tanah air. Hampir semua kilang dan kedai kecil di kampung mahupun di bandar di timur hingga selatan tanah air dipenuhi warga Bangladesh dan Indonesia. Di bandar besar termasuk Kuala Lumpur pula dibanjiri warga Bangladesh, Indonesia, Vietnam, Filipina, Nepal dan Afrika.
    Senario warga asing ini kian berkembang pesat kerana kurangnya pemantauan dari segi pengeluaran visa pelajar dan pekerjaan. Jika adanya pemantauan pihak imigresen sekalipun terhadap mereka yang menyalahgunakan visa ini, hanyalah secara bermusim.
    Lambakan warga asing ini memualkan memandangkan kebanyakan warga asing ini hanya mendatangkan pelbagai masalah sosial selain peningkatan statistik jenayah di negara ini.

    Saya mohon kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab memantau atau hentikan terus pengeluaran visa pelajar dan pekerjaan kepada warga negara dunia ketiga bagi mengelak masalah sosial dan jenayah terus berleluasa sehingga mencetuskan rasa takut dan cemas kepada rakyat negara ini.

    Berikanlah ruang kepada warga tempatan menjalankan pekerjaan dan kehidupan dengan cara yang sihat tanpa gangguan daripada warga asing. Jangan sampai rakyat tidak berasa selamat berada di negara sendiri kerana kebanjiran warga asing.

    Saya mohon kerajaan kasihanilah pembayar cukai yang sentiasa membayar cukai bagi membina sistem pengangkutan dan tempat riadah yang cantik dan selesa, namun kemudahan ini hanyalah untuk menyenangkan warga asing bersidai.
    BENGANG DAN BOSAN,
    Kuala Lumpur

    Sekolah Berasrama Penuh perlu selaras hukuman pelajar..


    SAYA berpendapat tindakan mengenakan hukuman ke atas pelajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) perlu diselaraskan kerana kini wujud ketidakseragaman dalam tindakan dikenakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan.

    Pelajar yang bersalah diarah keluar daripada asrama, dikenakan tindakan buang sekolah dan ada hanya digantung persekolahan.
    Tindakan mengenakan hukuman itu adalah tanggungjawab pengurusan sekolah terbabit, namun SBP perlu memberi perhatian jenis kesalahan yang dikategorikan. Baru-baru ini pengawas Tingkatan Lima dipertanggungjawabkan menjaga pelajar Tingkatan Satu di asrama SBP mengambil tindakan memukul dan membuang pakaian mereka.

    Perbuatan disedari waris dari sekolah itu dan maklumat mengenainya juga sampai ke pengetahuan SBP. Namun selepas ibu bapa pelajar berkenaan menghubungi pihak SBP, mereka dimaklumkan pengawas terbabit digantung persekolahan seminggu.

    Sementara tindakan terhadap pelajar yang dipukul terletak dalam bidang kuasa pengetua sekolah terbabit. Situasi itu bagaimanapun berbeza dengan sekolah lain di mana pelajar yang menjentik hidung dan melakukan kesalahan lain dibuang sekolah.

    Pelajar yang mengalami trauma dan takut untuk bersekolah selepas kejadian dipukul, sukar pula mendapat kelulusan dipindahkan ke SBP lain atas alasan ia adalah peraturan yang ditetapkan.
    Saya berharap pihak SBP dapat bertindak dengan adil dan sekiranya peraturan hendak dikuatkuasakan, ia hendaklah meliputi semua pihak termasuk guru, pengawas dan guru.

    Tindakan ini difikir perlu kerana pelajar yang mengalami trauma itu terpaksa ditukarkan ke sekolah harian biasa walaupun tidak bersalah.

    SAMSUDIN,
    Alor Setar

    Thursday, September 15, 2011

    Melayu tak yakin kehebatan bahasa sendiri ...


    TERPANGGIL saya untuk menulis selepas terbaca coretan 'Pemerhati PPSMI', Tun Inderapura, Jerantut, semalam. Saya amat bersetuju seratus peratus dengan kenyataan yang ditulis dan dibangkitkan beliau berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

    Keputusan Kabinet tidak meneruskan PPSMI adalah keputusan tepat. Dakwaan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) yang kononnya mewakili 54 peratus responden masih boleh dipertikaikan.
    Apakah 54 peratus itu mewakili keseluruhan penduduk sama ada di bandar mahupun luar bandar? Saya berkeyakinan penuh, kebanyakan menyokong PPSMI dan mewakili 54 peratus itu majoritinya penduduk bandar, terdedah dengan dunia luar, berjiwa korporat, mempunyai kepentingan tertentu dan taksub dengan budaya dan cita rasa Barat yang dianggap lebih terkehadapan dan bertamadun kerana kehebatan bahasa Inggeris.
    Itu hanya persepsi dan tanggapan manusia yang terlupa siapakah diri mereka dan asal usul mereka. Jangan dikorbankan sesuatu yang amat berharga untuk tamadun kita hanya kerana semata-mata mengejar kebaratan, kemajuan dan dilihat hebat!

    Kita lihat dan terbukti bagaimana di negara berkembang maju seperti China, Denmark, Jepun, Korea dan lain-lain negara lagi yang begitu hebat memartabat dan mempertahankan bahasa ibunda mereka tetapi mereka masih terus boleh maju, mengapa?

    Bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelajaran, mengapa pula masih ada golongan yang tidak sedar dan memperlekehkannya pula? Siapakah lagi yang akan mempertahankan dan terus memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa agung di dunia ini satu hari nanti jika tidak orang Melayu sendiri?

    Malangnya semakin ramai orang Melayu lupa diri dan menjadi semakin layu? Apakah golongan ini masih alpa atau buat-buat lupa, bagaimana pada satu masa dulu bertukar nama asal Tanah Melayu menjadi Malaysia?
    Banyak lagi nama dan istilah yang dulunya amat sinonim menggunakan nama ‘Melayu’ di bumi Malaysia ini tetapi kini dilihat sudah semakin terhakis dan pupus? Salah siapa? Bukankah bangsa Melayu itu sendiri?

    Sekarang, serpihan yang tinggal sebagai aset amat berharga untuk orang Melayu di Malaysia ialah bahasa Melayu. Itupun ada pula segelintir golongan Melayu yang cuba menjadi wira mempertikai dan memperlekehkan bahasa ibunda mereka sendiri.

    Lebih memalukan terdapat pula dari kalangan bukan Melayu yang lebih bersungguh untuk mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu daripada orang Melayu sendiri! Mengapa ini terjadi?

    Ke arah manakah untuk kita membawa hala tuju negara ini demi generasi seterusnya?

    MELAYU TAK LUPA,
    Kajang

    Wednesday, September 14, 2011

    Atasi nisbah tidak seimbang pelajar lelaki masuki IPT ..


    SABAN tahun negara akan dikejutkan dengan isu nisbah tidak seimbang apabila bermulanya sesi kemasukan mahasiswa baharu ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

    Hakikatnya, jumlah pelajar perempuan meneruskan pengajian di IPT jauh lebih ramai berbanding lelaki sudah menjadi fenomena sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, nisbah antara bilangan pelajar lelaki dan perempuan di beberapa universiti untuk kemasukan sesi ini adalah sebanyak 30:70 di Universiti Kebangsaan Malaysia dan 33:67 di Universiti Putra Malaysia.

    Walaupun terdapat pandangan yang mengatakan perkara ini tidak begitu membimbangkan, jurang tidak seimbang bilangan antara pelajar lelaki dan perempuan akan memberikan implikasi jangka masa panjang sekiranya langkah-langkah kawalan dan tindakan bersepadu semua pihak tidak dilaksanakan.

    Ke manakah perginya pelajar lelaki selepas mereka tamat menduduki Sijil Pelajaran Malasyia (SPM)? Tidak mustahil, majoriti pelajar lelaki ini berada dalam persimpangan selepas tamat alam persekolahan. Atau mereka ini mempunyai pertimbangan tersendiri dalam menentukan hala tuju sama ada terus menimba ilmu di 'menara gading' atau membiarkan diri mereka hilang 'ditelan arus kehidupan' tanpa mempunyai perancangan yang bersifat jangka masa panjang.

    Realiti hari ini di kampus, bagi pelajar lelaki yang mendapat keputusan yang baik dan diterima masuk ke IPT pasti akan mendapati diri mereka tenggelam di tengah ribuan pelajar perempuan.

    Justeru, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dengan kerjasama pihak universiti perlu melaksanakan kajian khusus dalam mencari punca dan mencari kaedah penyelesaian konkrit dalam menyelesaikan persoalan ke mana perginya pelajar lelaki lepasan alam persekolahan ini.

    Memang benar sesetengah daripada mereka mengambil jurusan vokasional dan teknikal, tetapi rata-rata mereka hanya sekadar mempunyai kelulusan sijil atau diploma.

    Malahan, terdapat juga sebahagian daripada golongan ini mengambil langkah memenuhi kekosongan tempat di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik atau Puspen (dahulunya dikenali Pusat Serenti) berbanding peluang yang diberikan kerajaan untuk memasuki dunia kampus dan tidak kurang juga yang terus memasuki pasaran buruh sebagai tenaga kerja tidak berkemahiran tinggi.

    Lebih malang lagi apabila golongan ini pada masa akan datang hanya kekal sebagai pekerja yang berpendapatan rendah kerana kegagalan mengambil walaupun kursus kemahiran atau separa professional secara sambilan walaupun peluang sentiasa terbuka.

    Sayugia, jika nisbah ini dibiarkan dan kehadiran 70 peratus pelajar perempuan di IPT ini berterusan saban tahun, ia pasti mendatangkan beberapa implikasi dan kesan buruk yang bersifat jangka panjang khususnya apabila golongan ini akan menguasai kerjaya profesional dan jawatan penting dalam sektor awam kelak. Dengan pendapatan yang lebih besar, keadaan tidak sekutu dalam alam rumah tangga juga akan berlaku dan akan menimbulkan konflik kekeluargaan.

    Justeru, langkah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merangka program untuk menarik lebih ramai pelajar lelaki meneruskan pengajian di universiti bagi merapatkan jurang dan membaiki aliran nisbah tidak seimbang wajar disokong dan didokong oleh kesemua pihak.

    AHMAD FAHMI MOHD SAMSUDIN
    Gombak, Selangor.

    Tuesday, September 13, 2011

    PROTON Saga FLX baru beli 14 hari dah bertakung air !!!


    SAYA adalah antara jutaan pengguna yang kagum dan terus bersama kenderaan buatan Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON). Kereta pertama saya miliki adalah PROTON Saga pada 1997, seterusnya Waja pada Julai 2003 dan terbaru, Saga FLX pada 24 Ogos lalu.

    Selepas memandu Saga FLX sehingga 1,800 kilometer, air daripada pendingin hawa didapati menitik di lantai penumpang depan. Keadaan semakin teruk dan air mula bertakung. Bimbang ia memberi kesan sampingan lebih kritikal, saya menghantar kereta berkenaan ke PROTON Edar Puchong di Bandar Puchong Jaya, pada 6 September lalu.
    Selepas diperiksa, saya dan suami dimaklumkan terdapat masalah pada saluran pendingin hawa. Pihak PROTON Edar Puchong menghubungi vendor peralatan dan Bahagian Jaminan PROTON untuk membuat penukaran pada karpet kereta dan span di bawah kerusi penumpang depan.
    Malangnya pihak PROTON memaklumkan kami, mereka tidak boleh menukarnya walaupun kereta itu hanya dipandu sejauh 1,800 kilometer dan hanya berusia 14 hari. Perkara paling mendukacitakan ialah cara pihak PROTON menyelesaikan masalah berkenaan dengan mengarahkan PROTON Edar Puchong untuk hanya membuka karpet serta span dan menjemurnya sehingga kering.

    Berikutan itu kami diminta meninggalkan kereta berkenaan di pusat itu selama tiga hari bagi proses pengeringan karpet dan span.

    Cara ejen PROTON menangani masalah ini adalah mendukacitakan. Besarlah harapan saya agar pihak ibu pejabatnya dapat meneliti perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya agar imej syarikat itu tidak terus dicalar oleh segelintir ejen yang mengambil mudah aspek perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggannya.

    WANI, Kajang

    Kaedah bedah cara batin haram !


    ISLAM mementingkan kebaikan dan kesihatan. Di samping itu Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila dijangkiti sebarang penyakit. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis berkaitan penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit.
    Malah ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian juga.” (Surah Al-Isra’, ayat 82)

    Amalan perubatan menggunakan doa atau bacaan ayat al-Quran adalah satu daripada cabang rawatan diakui syarak sebagai amalan mulia. Ia dipanggil ruqyah ataupun jampi bersesuaian syarak. Malah ia diamalkan pada zaman Rasulullah dan salafussoleh.

    Daripada Auf bin Malik katanya: “Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi SAW, Ya Rasulullah SAW apakah pandangan anda mengenai jampi? Lalu Baginda SAW meminta mereka memperdengarkan jampi digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda SAW menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik.” (Hadis riwayat Muslim)

    Kalangan masyarakat menamakan rawatan secara ruqyah saja dianggap perubatan Islam. Manakala rawatan secara saintifik di hospital adalah perubatan moden semata-mata. Hakikatnya perubatan moden sebahagian daripada perubatan Islam.

    Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah sendiri dalam kitabnya Tibb al-Nabawi dan Zaad al-Ma’ad menceritakan bagaimana Nabi SAW merawat menggunakan kaedah berbekam, penggunaan biji habbatussauda, madu dan bermacam lagi makanan kesihatan.
    Namun, sejak akhir-akhir ini ada kaedah rawatan mula menjadi tumpuan masyarakat iaitu pembedahan batin. Selepas meneliti unsur terdapat dalam pembedahan batin diamalkan sesetengah perawat maka beberapa nas hukum perlu diperjelaskan agar tidak memberi kecelaruan kepada masyarakat dalam menilai benar atau salah.

    Rawatan itu ada yang membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, perubatan jarak jauh dan seumpamanya.

    Penggunaan ayat al-Quran atau doa diharuskan tetapi jika disertai dengan sihir, iaitu membabitkan jin, perbuatan itu salah kerana amalan berkenaan termasuk dalam kategori dosa besar yang membinasakan iaitu sihir.

    Walaupun pengamal perubatan batin menyatakan ia berpegang kepada ayat al-Quran dan kaedah syarak, namun difikir secara logik, ternyata bukan mudah seseorang itu, terutama orang awam memastikan status amalan itu.

    Apabila sesuatu yang di luar adat kebiasaan itu dilazimi secara berterusan seperti upacara pembedahan batin, sekali gus jelas bagi kita ia sudah terkeluar dari kaedah asas perubatan yang diizinkan.

    Ia jauh daripada perubatan secara saintifik moden, ruqyah serta tibb al-Nabawi yang menepati syarak. Jelaslah kaedah perubatan secara pembedahan batin ini meminta bantuan jin kerana sesuatu yang magis dan di luar adat tidak boleh berlaku secara berterusan.

    Memang ada ulama membenarkan perubatan dengan meminta pertolongan jin antaranya Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawa dan ulama Saudi, Syeikh Ibn ‘Uthaimin dalam Fatawa al-Aqidah. Mereka mengharuskan khidmat jin dengan syarat penggunaan pada perkara diharuskan di samping wasilah juga diharuskan syarak.

    Ini bermakna rawatan menggunakan khidmat jin diharuskan dengan syarat wasilah adalah harus. Hujah mereka ialah kisah Nabi Sulaiman yang mendapatkan khidmat jin untuk memindahkan istana Puteri Balqis dari Yaman dan ini adalah kurniaan Allah SWT.

    Namun, ada pendapat menolak pandangan ini kerana peristiwa Nabi Sulaiman bukan syariat yang ditinggalkan kepada kita.

    Pendapat ini dihuraikan Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Dr Ahmad bin Nasir bin Mohd al-Hamd dan ramai lagi. Bahkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 pada 21 September 1995 juga memutuskan bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perubatan, mencari kekuatan dan kehebatan ditegah syarak dan haram.

    Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin. Umat harus memahami, setiap penyakit ada penawarnya tetapi setiap penawar tidak dijamin boleh menyembuhkan. Semoga Allah membebaskan kita dari segala penyakit dengan reda-Nya, bukan diberi kesihatan dengan kemurkaanNya.

    Oleh Muhammad Asyraf



    Penulis ialah juara Imam Muda musim pertama terbitan Astro Oasis

    Peristiwa 9/11 tidak seteruk dialami umat Islam Palestin ..


    BANYAK pihak masih berdebat soal kemerdekaan dan penjajahan. Ada yang mempertahankan hujah mengenai isu kedaulatan dan pejuang kemerdekaan. Tetapi kita lupa apakah minda kita sudah merdeka sepenuhnya?

    Ketepikan isu pengganas komunis yang bukan lagi menjadi idea pokok masa kini. Perang Dingin sudah lama berlalu dan komunisme hanya tinggalan zaman lampau kerana Soviet Union sudah lama hancur dan Tembok Berlin sudah lebur.
    Yang berlaku kini adalah tinggalan penjajah Barat yang masih kekal di kalangan kita. Pemikiran kita masih dijajah walaupun ada profesor yang mendakwa kita tidak pernah dijajah.

    Ketika dunia bagai merayakan 10 tahun kejadian 11 September 2001, minda penjajah masih menghantui kita untuk bersimpati kepada mangsa serangan di World Trade Center (WTC) di New York.

    Kita bagai spontan mengenang nasib keluarga mereka sedangkan pada masa sama kita bagai melupakan apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan dan Palestin. Media Barat berjaya menguasai minda kita untuk mengenang nasib mangsa serangan WTC, sedangkan setiap detik umat Islam diancam dengan pelbagai ugutan dan imej buruk.

    Kini bukan Iraq, Palestin dan Afghanistan yang menjadi mangsa. Libya, Mesir, Tunisia, Syria, Jordan dan banyak lagi negara Arab yang bakal terus menderita dengan ledakan bom dan tembakan. Imej sebagai pengganas sudah cukup untuk membawa ketakutan sejagat terhadap umat Islam.

    Media Barat berjaya menguasai pemikiran global. Kita di Malaysia pun tidak terkecuali menjadi mangsa penjajahan minda untuk lebih bercakap soal keganasan pejuang Islam, di samping melupakan helah dan tipu daya Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memanjangkan penjajahan bentuk baru.
    Memang diakui 3,000 nyawa terkorban ketika kejadian 11 September 2001, tetapi kematian umat Islam di merata tempat tidak dihebohkan.

    Bekas Presiden AS, George W Bush yang mengisytiharkan perang terhadap ‘pengganas’ sengaja melupakan fakta kematian 1.03 juta rakyat Iraq antara Mac 2003 hingga Ogos 2009. Operasi AS dan sekutu di Afghanistan berjaya membunuh hampir 20,000 orang awam antara 2001 dan 2009. Kita tidak didedahkan dengan kekejaman Barat di negara Islam kerana lebih terpengaruh dengan lakonan watak utama di Rumah Putih.

    Kita banyak terpedaya dengan helah media dunia yang menyelewengkan fakta. Ketika penyembelihan di Sabra dan Shatila (Chatila) di Beirut, Lubnan pada September 1982, media melaporkan kewajaran tindakan itu kerana ancaman berterusan samseng dan belia Palestin di penempatan Yahudi. Kematian 2,750 umat Islam dinafikan dengan laporan kejayaan rejim Zionis mempertahankan kedaulatan wilayah mereka.

    Kini setiap kali kita bercakap isu kemerdekaan, wajar juga kita merenung makna kebebasan minda kerana ancaman Barat terhadap dunia ketiga masih berterusan.
    Era selepas Perang Dingin bukan lagi memerlukan serangan bom atom dan pencerobohan sempadan. Peperangan memadai di hujung jari apabila media baru berjaya membentuk pemikiran umum.

    Sebelum rusuhan jalanan menjatuhkan Hosni Mubarak di Kaherah, rakyat Mesir sudah lama menduga kejatuhan diktator Arab itu menerusi portal berita dan laman sembang sosial.

    Jika tidak waspada, kita juga bakal menjadi mangsa kerana gejala penjajahan bentuk baru semakin menular di dunia ketiga.

    Selepas 10 tahun kejadian di WTC, dasar langit terbuka sudah cukup memberikan imej salah di ruang tamu rumah kita. Media baru, televisyen satelit dan bahan penerbitan mempunyai nawaitu tersendiri sebagai ejen gerak saraf yang amat menakutkan; bersediakah kita menangkisnya?

    Oleh Imlan Adabi


    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...