RASANYA ramai wanita yang sanggup membodohkan diri apabila berlaku perceraian, sanggup tanggung anak-anak walaupun tak mampu. Tapi masih mengharapkan nafkah daripada bekas suami. Bila suami tak bagi nafkah mereka salahkan mahkamah syariah kerana tak mahu membantu.
"Saya minta maaf kalau apa juga pandangan yang hendak saya curahkan ini dan kata-kata yang saya lahirkan terasa pedas dan menyakitkan hati. Tetapi terimalah kenyataan dan sematkan di dalam hati bahawa kasih sayang antara ibu dengan anak-anak tidak akan putus dengan syarat sebagai ibu anda pandai memainkan peranan." Itu kenyataan keras Nurulaine dalam e-melnya dan ketika kami berbual di telefon.
"Sebagai orang Melayu beragama Islam kita mesti ingat bahawa kaum lelaki adakalanya tidak begitu memahami tugas dan tanggungjawab mereka sebagai seorang bapa. Walaupun bukan semua, tetapi jumlah yang segelintir ini memang keras kepala, ego dan tak takut pembalasan Allah. Mereka lebih takut pada isteri muda, di samping menyimpan dendam mendalam terhadap bekas isteri.
"Peliknya yang bercerai adalah antara mereka suami isteri, tetapi anak-anak dijadikan mangsa. Kadang-kala saya tabik dengan masyarakat bukan Islam di luar sana yang lebih tahu dan faham tentang tanggungjawab mereka kepada anak- anak.
"Sebilangan besar lelaki melepaskan tanggungjawab kepada isteri untuk membesarkan anak-anak. Bermula dengan memberi makan minum, menyediakan pakaian dan pelajaran, semua serah pada isteri. Seolah-olah itulah hukuman wajib isteri terima bila berlaku perceraian. Bermakna mereka tak tahu amanah yang diberikan oleh Allah ketika melafazkan akad nikah dahulu.
"Jadi jangan banyak cerita, jika berlaku perceraian, anda serahkan semua anak kepada suami biar dia besarkan, baru dia tahu betapa beratnya tanggungan yang dia terpaksa pikul. Kalau setakat RM100 seorang anak sebulan, jangan kata nak beli makan, nak bayar duit tambang bas atau van sekolah pun tak cukup. Di situ pun mahkamah syariah tak boleh faham?
"Lebih menyakitkan hati bila isteri minta tambah duit nafkah, mahkamah syariah pula nasihatkan si wanita supaya jangan minta banyak-banyak, terimalah jumlah yang bekas suami mampu bagi, sebab dia pun nak kahwin lagi, dan ada tanggungjawab.
"Sepatutnya sebelum nak kahwin baru si ayah wajib fikir bolehkah dia kahwin lagi kerana duitnya tak cukup nak bagi nafkah anak. Oleh sebab itu jangan bergaduh pasal nafkah, kalau rasa jumlah nafkah tak cukup serahkan saja anak-anak biar ayahnya tanggung.
"Masalahnya kaum wanita sendiri nak berebut jaga anak. Anak tak lari mana, dia tetap anak kita. Sebelum serahkan kepada ayahnya, cerita pada anak-anak mengapa anda terpaksa buat begitu. Semuanya demi masa depan mereka juga supaya dapat pelajaran secukupnya, kerana dengan pendapatan yang kecil anda memang tak mampu. Dan anak-anak boleh pulang ke rumah anda pada hujung minggu dan cuti sekolah, pakat dengan anak-anak biar mereka faham.
"Anda tak perlu bimbang keselamatan anak-anak, terutama yang sudah besar, mereka tahu jaga diri walaupun terpaksa duduk dengan mak tiri. Bila tak cukup duit minta saja dengan ayah jangan takut kalau ibu tiri mulut laser.
"Zaman sekarang anak-anak yang teraniaya boleh buat aduan di sekolah atau pun lari saja ke balai polis.
"Untuk memastikan anak-anak selamat buat tinjauan ke sekolah, bincang dengan guru untuk tolong memerhatikan gerak geri anak anda. Dan lihat jadual kedatangannya. Sejahat-jahat ayah tak akan bunuh anaknya sendiri, sekadar merotan dan memukul dengan tangan. Tapi kalau anak-anak dah besar dia pun takut ditahan polis kerana mendera.
"Saya berani katakan demikian sebab saya dah lakukan. Enam tahun lalu, ketika itu dua orang anak saya berumur 9 dan 11 tahun. Ayah mereka beri nafkah RM150 seorang sebulan, nak bayar tambang van pun tak cukup
"Puas saya merayu minta tambah dia buat pekak. Akhirnya saya pakat dengan anak-anak, dan mereka setuju duduk dengan ayahnya. Terkejut beruk ayahnya bila anak-anak bawa pakaian, dah sampai depan rumahnya. Dia cuba hantar anak-anak ke rumah saya, tapi anak-anak enggan balik. Mereka tetap nak duduk dengan ayahnya.
"Puas bekas suami saya pujuk suruh ambil anak-anak semula, tapi saya keraskan hati. Saya mahu dia belajar betapa beratnya tugas membesarkan anak-anak. Setahun lamanya anak-anak duduk dengan ayahnya dan tukar sekolah di sana. Akhirnya bekas suami saya mengalah. Sebab dia tak tahan dengan leteran isterinya yang tak suka anak-anak tiri duduk di rumahnya. Sebab bekas suami saya pun duduk di rumah pembelian isterinya.
"Akhirnya dia beri RM500 sebulan untuk nafkah anak-anak, tak termasuk tambang van sekolah, duit saku yang dia beri sendiri setiap minggu, setahun sekali yuran sekolah, pakaian seragam, kasut, duit tuisyen setiap bulan dan pakaian untuk hari raya. Mulanya saya enggan sebab takut itu cuma janji kosong, namun akhirnya saya terima dengan syarat anak-anak kembali duduk dengannya jika dia gagal tunai janjinya.
"Lepas itu hubungan kami baik semula demi anak-anak. Saya berterima kasih pada anak-anak kerana mereka faham mengapa saya hantar mereka ke rumah ayahnya. Bukan juga tujuan saya menganiaya bekas suami atau cemburu kerana kahwin baru, tak pernah terlintas di ha
"Kerana anak-anak juga saya masih tidak berkahwin hingga kini, bukan kerana tak laku, tetapi saya rasa cukuplah sekali saya lalui pengalaman yang amat pahit ini. Ia menjadi pengajaran yang berguna pada saya," demikian luahan hati Nurulaine panjang lebar daripada pengalamannya sendiri.





















