terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, November 29, 2011

Mengambil Foto Pra-Perkahwinan Bagi Pasangan Islam Adalah Haram !!!


JAKARTA 28 Nov. - Foto pra-perkahwinan pasangan pengantin baru Islam yang merakamkan aksi intim sebelum majlis akad nikah, dikategorikan sebagai budaya haram di sisi Islam.

Kelaziman bakal pengantin beragama Islam merakamkan foto secara intim termasuk berpelukan dan berbaring di atas katil sebelum sah bergelar suami isteri daripada segi hukum adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Sehubungan itu, Institut Kebudayaan Melayu Jambi mengeluarkan kenyataan bahawa budaya berkenaan harus dicegah seiring dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) berhubung isu yang sama.

Menurut pengerusi bahagian kajian dan pembangunan institut berkenaan, Djunaidi T. Noer, amalan merakamkan foto pra-perkahwinan bukanlah budaya masyarakat Jambi dan tersasar daripada hukum Syariah.

"Kami menyeru agar semua pasangan yang bertunang dan pengantin beragama Islam supaya tidak merakamkan foto pra-perkahwinan seperti berpeluk, berbaring antara satu sama lain di katil dan sebagainya. Ia merupakan haram," tegas Djunaidi seperti dilaporkan akhbar The Jakarta Post, hari ini.

Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa pengambilan foto pra-perkahwinan tanpa aksi-aksi intim tidak menjadi masalah.

"Yang menjadi isu ialah sentuhan antara lelaki dan wanita yang belum berkahwin adalah haram kerana pasangan itu bukan muhrim kerana mereka belum sah dinikahkah," jelasnya

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA

Hanya "khunsa musykil" diharuskan tukar jantina..


Cadangan penganjuran program Seksualiti Malaysia 2011 pada 1 hingga 13 November lalu adalah satu lagi percubaan memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Alhamdulillah, penganjurnya setuju menghentikan program itu berikutan kecaman dan bantahan meluas pelbagai pihak termasuk wakil-wakil agama.

Bagaimanapun penganjur yang terdiri daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tetap mempertahankan tindakan mereka untuk memperjuangkan hak golongan LGBT di negara ini yang dianggap hak manusia sejagat.

Ini menjadi satu lagi cabaran yang perlu ditangani oleh umat Islam khususnya dan orang yang bernaluri fitrah atau normal. Sebab utama, ia bertentang dengan agama dan moral kemanusiaan.

Allah SWT yang Maha Kuasa dan Bijaksana menciptakan alam ini berpasang-pasangan. Siang pasangannya malam, tanah subur lawannya tandus dan lelaki pasangannya wanita.

Antara tujuan perkahwinan adalah memberi ketenangan kepada pasangan suami isteri dan seterusnya berkembang biaknya umat manusia di muka bumi ini.

Ini dijelaskan menerusi al-Quran yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah. (al-Rum: 21)

Kita maklum tentang kewujudan segelintir kecil golongan manusia yang diciptakan Allah SWT yang mempunyai permasalahan kecelaruan identiti gender kerana faktor biologikal, penderaan-penderaan fizikal, seksual, psikologi, emosi dan mental atau faktor-faktor persekitaran yang lain.

Namun, Islam telah menyediakan garis panduan yang seimbang dan sejahtera untuk mengurus dan mengatasi kecelaruan ini.

Justeru, mana-mana gerakan yang memperjuangkan LGBT terutama untuk diterima sebagai hak manusia sejagat adalah bertentangan dengan Islam.

Ahli Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, Islam hanya mengharuskan pembedahan jantina bagi mereka yang dilahirkan khunsa musykil.

Ini selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Kali ke-25 pada 13 Disember 1989.

Khunsa musykil adalah manusia yang dilahirkan dengan dua alat kelamin lelaki dan perempuan. Diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi mengikut keadaan yang sesuai.

Khunsa wadhih pula adalah mereka yang nyata mempunyai tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan dan dapat dibezakan jantinanya semasa bayi.

Jantina dikenal pasti dengan jelas berdasarkan alat mana yang lebih dominan berbanding yang kurang berfungsi. (al-Mughni oleh Ibn qudamah 7/114-115)

Kata Dr. Zulkifli, pertukaran jantina mereka yang bukan khunsa musykil sama ada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram di sisi syarak.

"Perlu kita ingat, orang yang dilahirkan lelaki hukumnya tetap lelaki walaupun dia berjaya menukar jantina melalui pembedahan. Begitulah sebaliknya bagi perempuan yang menukar jantina," tegas beliau.

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Menghukum anak hendaklah sepadan dengan kesalahan...


MEMANG sudah fitrah anak yang masih kecil terutama yang nakal dan hiperaktif ada kala amat menggusarkan ibu bapa. Maka timbul rasa kurang senang sehingga bertindak secara keterlaluan dalam menghukum.

Islam melalui panduan yang diperturunkan Rasulullah SAW banyak memberi gambaran jelas bagaimana kita boleh bertindak secara tepat dalam permasalahan menghukum anak

Diceritakan oleh Muawiyah bin Salih, ada lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, ahli keluargaku tidak taat kepadaku. Apakah yang patut aku gunakan untuk menghukum mereka? Lalu kata Baginda: Maafkanlah saja. Kemudian Rasulullah SAW menyebut hal yang sama pada kali kedua bahkan juga pada kali ketiganya. Seterusnya Baginda mengatakan: Jika kamu perlu menghukum, hukumlah mengikuti kadar kesalahan yang dilakukannya dan jauhilah dari memukul pada bahagian muka.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Seboleh-bolehnya gunakan pendekatan memaafkan kesalahan dilakukan ahli keluarga khususnya anak. Namun, Rasulullah SAW tidak melarang menggunakan kaedah hukuman. Bagaimanapun hukuman seharusnya sepadan dengan bentuk atau tahap kesalahan serta dilarang memukul bahagian muka.

Sebenarnya panduan Rasulullah SAW itu tersirat dua makna iaitu dari perspektif psikologi dan fisiologi. Ditinjau dari aspek psikologi, pendekatan memberikan kemaafan adalah kaedah berlemah lembut dalam memberi teguran.

Dengan cara demikian, perasaan anak yang masih kecil tidak akan terguris. Ini penting supaya jiwa anak tidak terkongkong yang kemungkinan akan menyebabkan terbantutnya perkembangan minda positif.

Zaman sekarang ini, banyak sudah terjadi anak yang bertindak lari dari rumah. Seharusnya ibu bapa mengambil berat isu ini. Salah satu penyebabnya, tindakan membabi buta dalam menghukum dan seterusnya jiwa anak berasa tertekan.
Selain itu, dari sudut ilmu psikologi juga pernah dinyatakan bahawa anak yang kerap dihukum akan menjadikan hatinya keras dan berkelakuan kasar semasa bergaul dengan rakan sebaya.

Untuk membimbing anak beristiqamah pada jalan benar dan menepati kehendak agama, tidak hanya terletak pada kaedah merotan dan memukul saja. Sebaliknya ibu bapa seharusnya mampu mempelbagai teknik khususnya teknik dorongan dalaman.

Mendidik anak perlu menggunakan kepelbagaian teknik yang berterusan contohnya dengan memberikan pemahaman jelas, tepat, pengajaran dan peringatan supaya akidah anak bertapak kukuh dalam jiwa mereka.

Kaedah secara kekerasan akan hanya mengundang rasa dendam kesumat dalam hati anak dan jika perasaan itu dibiarkan bersarang di jiwa mereka, akan menjadi sebati dengan diri. Keadaan itu sangat berisiko tinggi untuk menjerumuskan anak ke kancah yang negatif.

Rafi’ bin Amru al-Ghifari pernah menceritakan: “Saya seorang kanak-kanak yang sering membaling pokok tamar kepunyaan orang Ansar. Saya kemudian ditangkap lalu dibawa menemui Rasulullah SAW. Baginda SAW bertanya kepadaku: Kenapa kamu selalu membaling pokok tamar kepunyaan orang lain? Lalu saya jawab: Untuk memakan buahnya. Baginda SAW memberi nasihat kepadaku: Jangan baling pokok tamar kepunyaan orang lain. Kamu boleh makan setiap buah yang jatuh di bawahnya. Seterusnya Baginda Rasulullah SAW mengusap kepada saya sambil berkata: Ya Allah, Ya Tuhanku. Kenyangkanlah perutnya (dengan tamar yang gugur itu).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Lihatlah betapa halus dan lembutnya teknik pendidikan Rasulullah SAW. Kanak-kanak yang bersalah ditegur dengan pola psikologi sangat menyentuh jiwanya kerana disamping memberi nasihat Baginda juga menggunakan teknik sentuhan.

Sebenarnya, teknik sentuhan terhadap badan anak akan memautkan keakraban utuh seterusnya berkeupayaan menjana penyerapan fahaman terhadap apa yang diajar.

Bagaimanapun, Islam tidak pernah menghalang teknik menghukum tetapi dengan bersyarat hendaklah dilakukan pada masa bersesuaian. Ingatlah, kaedah pukulan tidak sesuai untuk semua anak, semua situasi atau semua kesalahan.

Kaedah menghukum dengan rotan misalnya digunakan selepas kaedah penjelasan pemahaman dan nasihat dilakukan terlebih dulu. Pesan Nabi SAW: “Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah jika berumur 10 tahun (jika tidak menunaikan solat juga) dan pisahkanlah tempat tidur anak (lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar


Cantik belum tentu menarik !!!!


ADAKAH pada zaman remaja anda sering dimomokkan dengan tanggapan tiada siapa yang akan 'berkenan' dengan anda dan apabila berada di kalangan khalayak, anda berprasangka tiada seorang pun perasan dengan kehadiran anda?

Mungkin juga anda sering berasa keseorangan dan berasa rendah diri disebabkan kekurangan dari segi fizikal berbanding rakan-rakan lain.

Sebenarnya, bukan semua daripada kita dilahirkan istimewa dengan memiliki wajah yang mempesona.

Namun, sekiranya difikirkan lebih mendalam, mungkin bagus dilahirkan 'kurang sempurna' dari segi penampilan wajah agar tidak terasa riak dengan kecantikan yang dianugerah Tuhan.

Siapa kata insan yang tidak dianugerahkan dengan raut wajah yang kurang sempurna tidak boleh menambat hati orang lain?

Apa yang pasti, setiap insan di bumi ini memiliki keistimewaan masing-masing.

Sesungguhnya tarikan kecantikan itu satu perkara yang subjektif. Cantik pada mata anda, mungkin tidak pada mata orang lain.

Banyak kajian menunjukkan biarpun golongan lelaki dikatakan makhluk yang akan tertarik dengan kecantikan fizikal, namun bukan semata-mata itu saja yang memikat hati mereka.

Ini dibuktikan apabila ramai pasangan yang berkahwin dengan pasangan mereka yang sama cantik tetapi akhirnya bercerai dan sebaliknya berlaku.

Percayalah, biarpun ramai di kalangan manusia yang cantik ini digemari dalam kehidupan mereka, namun mereka selalunya tidak bertuah dalam cinta.

Rahsia di sebalik kata orang bijak dahulu kala ialah dalam setiap perhubungan, ia bukan bagaimana cara anda kelihatan (kecantikan) tapi bagaimana lelaki itu rasa terhadap anda, itu yang penting.

Kecantikan sebenar lahir dari dalam diri biarpun seseorang itu hanya dilihat sebagai gadis biasa dan tidak glamor.

Panduan-panduan ini mungkin boleh menjadikan anda seorang wanita yang dapat menambat hati lelaki:

Beri perhatian penuh

Golongan lelaki sukakan wanita yang sering memberi perhatian penuh kepadanya, mendengar cita-cita dan impiannya, keraguannya, hatinya dan selalu memberinya keyakinan.

Anda penghibur yang baik

Ramai di kalangan wanita yang kehilangan cinta mereka kerana membawa terlalu banyak akses bagasi beremosi selain ada agenda yang tersembunyi dan perengus. Jadilah individu yang menyenangkan pandangan pasangan anda dan melembutkan jiwanya.

Boleh memasak biarpun sedikit

Memang benar, memikat lelaki menerusi perutnya. Ambil kelas memasak atau bertanyakan kepada ahli keluarga mengenai hidangan masakan kegemarannya.

Boleh masuk dalam semua keadaan

Sekiranya anda boleh menyesuaikan diri dalam setiap kegemarannya, mempunyai bakat dan boleh pula bergaul dengan semua orang termasuk rakan-rakan si dia tanpa masalah, ini lebih bagus. Menjadi seorang rakan kongsi kepada si dia bukannya seperti tunggul yang tiada berfungsi.

Jadi seorang yang 'pandai'

Lelaki sebenarnya sukakan wanita yang cerdik dan pandai menguruskan diri dan adakalanya mereka akan kagum dengan anda namun janganlah anda berlagak, meninggikan diri dan sering bercakap besar dengan kebolehan anda itu.

Jadi diri anda sendiri dan jangan jadi orang lain ketika bersama golongan ini serta anda perlu baik dengan semua insan penting bagi dirinya seperti ibunya, adiknya, kawan-kawan dan sebagainya. Sekiranya anda seorang perempuan, jadilah seorang perempuan yang feminin dan bukannya maskulin.

Cari persamaan

Persamaan itu menimbulkan tarikan. Apabila anda berjaya menampakkan diri anda sebagai wanita yang mempunyai banyak persamaan dengannya, ini akan menjadikan si dia tertarik untuk mendekati dan mengenali anda dengan lebih mendalam.

Hampir dengannya

Orang yang paling hampir dengan kita, selalu berada dekat dengan kita, adakah kita mudah melupakannya? Mungkin tidak. Selain persamaan, ahli psikologi menjelaskan bahawa kita mudah tertarik dengan orang yang berada dekat atau hampir dengan kita. Jadi, usahakanlah agar anda selalu berada hampir dengannya.

Monday, November 28, 2011

Suami lupa diri bila dah kaya !!!


BENAR kata nenek, suami tak boleh banyak duit, nanti dia ada banyak rancangan. Bukan nak senangkan anak bini, tetapi untuk keseronokan sendiri.

"Saya bercakap daripada pengalaman sendiri. Dulu masa kami sama susah, suami saya Manaf bukan main baik, maklum waktu itu dia kerja budak pejabat dan saya kerani. Jadi dia sedar diri kalau tak ada ikan, telur goreng hari-hari pun tak apa," kata Norzalina dalam surat yang dikirimnya dan ketika kami berbual panjang di telefon.

"Dulu masa baru kahwin, lebih 20 tahun lalu, memang gaji saya lebih daripada dia. Dia minta saya bagi RM150 sebulan untuk hantar kepada mak dia, minyak motor dan makan ketika bekerja.

"Bila saya dapat kerja jabatan kerajaan di negeri lain Manaf suruh saya terima, dia kata bukan senang dapat kerja kerajaan. Bila duduk jauh saya tinggalkan anak dengan mak di kampung. Saya tumpang rumah mak angkat. Kerana sedar hidup susah saya berjimat simpan duit sikit-sikit.

"Kebetulan di tempat kerja ada kempen pinjam ASN daripada bank, saya masuk. Nak jadi cerita tahun 1990 saya bernasib baik. Ramai kawan melompat bila simpanan ASN bertukar ke ASB dan nilai keuntungannya meningkat berkali ganda. Tapi bila saya berduit pandai pula suami nak pinjam beli motor baru secara tunai. Tak sampai lima bulan dia jual motor beli kereta senang nak ke pejabat. Waktu itu saya dapat tukar kerja dekat pejabat suami.

"Bila dah ada kereta, langkah suami makin panjang. Ramailah kawan nak tumpang. Bila duit dah banyak, teman wanita pun ramai, peliknya semuanya isteri orang. Mulanya saya tak tahu, hinggalah terbongkar rahsia. Kami duduk pekan kecil ada orang nampak dan beritahu saya. Biasalah bila saya tanya dia nafi. Sanggup junjung Quran.

"Satu hari telefonnya tertinggal, saya pun selidiklah. Sah dia pasang ramai kekasih, macam-macam nama dan pelbagai nombor telefon. Bila tanya dia nafikan. Kerana tak tahan gangguan saya katanya, dia minta tukar ke pejabat tanah lain yang jauhnya lebih kurang 40 km dari rumah kami. Semakin jauh semakin hebat dia bercinta dengan isteri orang.

"Dia terkejut bila saya tahu setiap nama wanita yang jadi kekasihnya, sebab dia dah padam. Tapi dia tak padam send items. Jadi saya baca semua SMS yang dia hantar kepada kekasihnya. Kalaulah anak-anak saya terbaca SMS itu tentu mereka terkejut. Pelbagai perkataan lucah dibualkan termasuklah hubungan haram dengan isteri-steri orang.

"Satu hari kerana tak tahan kelakuannya saya pergi ke pejabatnya bukan nak buat kecoh, tapi nak kenal wanita tersebut. Tapi ada kawan bagi tahu, Manaf segera heret saya keluar suruh balik, sampai di rumah kami bukan saja bertengkar tetapi berperang, dia pukul dan tampar saya hingga jatuh dan berdarah. Ini bukan kali pertama saya dipukul. Bila saya nak ke hospital dia sembah saya jangan buat aduan polis, dia tak mahu masuk penjara.

Mahkamah

"Katanya kalau dia ke mahkamah, saya dan anak-anak juga akan malu, jadi dia merayu saya supaya mengaku luka di muka dan kaki saya itu kerana terjatuh. Tapi doktor lagi faham. Namun bila polis tanya saya terpaksa berbohong, bukan kerana sayangkan dia tetapi tak mahu anak-anak malu. Mereka dah remaja.

"Setelah dia terselamat dari ditangkap, saya fikir tentu dia bertaubat seperti yang dia janji dan akan pergi kaunseling ke pejabat agama, tetapi semuanya bohong. Dia tetap teruskan hobi bercinta dengan isteri orang, termasuklah di pejabat tanah yang baru.

"Saya memang tak ada peluang mendekati kawan-kawan pejabatnya, sebab mereka tak layan saya, mereka sanjung dan sokong Manaf macam bos, sebab Manaf diberi banyak kerja luar agaknya kalau ada untung mereka kongsi sama. Bab makan minum memang mewah. Mereka bekerja macam satu pasukan. Patutlah menang banyak hadiah cemerlang. Dan mereka tolong antara satu sama lain lebih daripada keluarga.

"Yang saya rasa sedih, bab belanja keluarga dia buat sambil lewa. Dia akan kerah saya masak setiap hari makanan yang dia suka. Lepas tu puji melangit supaya saya masak lagi. Agaknya dia suka saya sibuk di dapur lepas balik pejabat supaya tak fikir apa dia buat di pejabat setiap hari, lambat masak dia bising. Alasannya nak makan masakan saya.

"Pernah saya tanya pada dia mengapa dia suka buat hubungan haram dengan isteri orang, jawapannya: '' Dia suka kita suka kayuhlah.''

"Bab solat memang tak pernah buat kecuali hari Jumaat, sebab malu semua orang solat dia tak. Jadi dia solat kerana malu pada manusia dan menunjuk- nunjuk kepada orang.

"Apa yang saya lebih pelik, yang bini orang tu pun tak sedar diri. Anak berderet di rumah, tapi sanggup bergelumang dosa. Setiap hari telefon dan SMS Manaf mengadu macam-macam hal, sakit nak duit pergi kliniklah, nak pinjam duitlah, nak beli alat mekap, minta belikan minyak wangi dan macam-macam, hinggakan sakit kaki pun bagi tahu Manaf, apa pasal tak mengadu kepada suami sendiri?

"Baru-baru ini sekali lagi saya perangkap Manaf dia mengamuk bila dapat tahu saya telefon kekasihnya.

"Mula-mula tuduh menuduh akhirnya bertengkar. Tangan dia pun cepat hinggap ke muka saya. Tak cukup dipukul dia cekik leher saya. Dia tarik rambut saya bila saya nak lari keluar bilik. Saya sempat menjerit minta tolong pada anak yang kebetulan ada di rumah. Kerana malu pada anak dia lepaskan saya.

"Lepas pukul dan cekik dia dengan muka tak tau malu pujuk saya menyembah jangan buat aduan polis. Kini saya ada tiga laporan dari doktor tentang kecederaan teruk yang saya alami. Jika sekali lagi dipukul saya tak akan maafkan Manaf.

"Kalau pembaca kata saya bodoh, memang saya bodoh tak mahu teruskan tindakan. Tapi saya fikirkan anak-anak, saya tak mahu mereka malu. Namun kini saya sedang berfikir apakah cara lebih baik untuk saya sedarkan dia.''

Demikian cerita Norzalina.

Bahasa Melayu dipersenda di Maybank?


PADA 24 November 2011 anak saya menghadiri temu duga jawatan kerani di Maybank Seksyen 14, Shah Alam. Temu duga tersebut dikendalikan oleh dua orang pegawai bank.

Dalam sesi temu duga tersebut saya pasti anak saya tidak berjaya dan saya akur dengan keputusannya kerana rezeki seseorang ditentukan oleh Allah SWT bukannya penemuduga tersebut.

Saya pasti anak saya tidak terpilih atau berjaya kerana peserta yang berjaya telah diarahkan membuat pemeriksaan kesihatan pada hari yang sama.

Apa yang dikesalkan adalah sikap pegawai perempuan tersebut yang telah memperli, menghina anak saya kerana bercakap dalam bahasa Melayu, menurutnya, semua bank berurusan dalam bahasa Inggeris dan menghina anak saya iaitu ‘kamu mempunyai diploma, takkan tak boleh bercakap bahasa Inggeris, kamu expect kita nak bercakap Melayu ke depan kamu?

Persoalan yang timbul dalam perkara ini adalah:

1. Adakah orang yang bercakap bahasa Melayu terlalu hina dan tidak berpeluang menjawat jawatan di Maybank atau di mana-mana institusi kewangan?

2. Adakah bahasa Melayu tidak diterima pakai dalam semua urusan harian di Malaysia?

3. Mengapakah kita tidak boleh mencontohi negara seperti Perancis, Portugal, Indonesia, Jepun dan lain- lain negara dalam dunia ini yang sentiasa memartabatkan bahasa ibundanya.

Harapan saya agar pengawai berkenaan diberikan khidmat kaunseling.

Ingatlah Allah SWT sentiasa menerima doa hamba-Nya walau dalam apa bahasa pun.

Walau apa pun saya sangat berterima kasih kepada pegawai penemu duga lelaki itu yang sungguh berbudi bahasa.

YANG KECEWA

Persiaran Kayangan, Shah Alam

Cuti, hotel mahal, indah khabar dari rupa...



MUSIM cuti sekolah akhir tahun adalah masa ibu bapa mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga tersayang sama ada ke luar negara dan juga ramai yang melancong di dalam negara sahaja.

Tempat idaman sudah tentunya ke pulau-pulau seperti Pulau Tioman, Pulau Pangkor, Pulau Pinang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan tempat tumpuan pelancong yang popular seperti Melaka Bandaraya Bersejarah, Kuala Lumpur, Kuala Terengganu dan Kota Bharu yang sentiasa penuh sesak dan bilik-bilik hotel serta resort dan inap desa begitu mendapat sambutan yang sentiasa penuh ditempah hingga akhir bulan Disember.

Di sini tampak betapa rakyat Malaysia bukan sahaja mampu berjalan makan angin bersama seluruh keluarga yang menunjukkan kemakmuran penduduknya tetapi juga berpeluang melihat keindahan negara sendiri.

Dalam pada itu, mengapakah pihak pengurusan hotel dan resort seolah-olah mengambil kesempatan menaikkan harga sewaan biliknya sedangkan percutian cuti sekolah akhir tahun yang panjang ini adalah memberi peluang kepada rakyat kita sendiri bercuti bersama keluarga dan sepatutnya harga bilik dikurangkan lagi, bukan dinaikkan kadangkala sekali ganda daripada harga biasa.

Di manakah keprihatinan pengusaha-penguasa tempatan yang melaungkan semangat kenegaraan dan rasa kekitaan bertanggungjawab serta ada rasa tolak ansur sesama kita.

Begitu juga ada di antara pelancong tempatan terkilan seolah-olah tertipu kerana bilik yang ditempah di beberapa hotel terutama berhampiran dengan pantai melalui Internet itu 'indah khabar dari rupa'. Apabila melihat gambar Internet, rupa biliknya cantik dan kemas tetapi apabila tinggal di sana didapati bukan sahaja ada yang bocor sana sini, ada yang mengeluh alat penghawa dingin gagal berfungsi dan sebagainya.

Diharap pengusaha hotel dan resort hendaklah sentiasa memantau dan bukannya kerana ingin mengaut untung berlebihan seolah-olah adanya rasa tamak tanpa memperdulikan hak pelanggan dan malangnya pelanggan itu pula adalah rakyat tempatan sendiri.

Ambil iktibar di setengah-setengah negara, harga sewaan bilik hotelnya ditawarkan harga jauh lebih murah kepada rakyat mereka sendiri daripada pelancong luar kerana semangat cintakan negara dan sudah tentu penduduk tempatan diberikan keutamaan dahulu.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
AMPANGAN SEREMBAN.

Thursday, November 24, 2011

Saya Dirogol !!!


SAYA berusia 27 tahun, merupakan anak kedua daripada tujuh beradik. Bakal berumahtangga tidak lama lagi bersama jejaka yang cukup budiman yang mana sedia menerima keadaan diri saya yang ibarat mawar pudar warna. Kemiskinan dan hati yang tekad untuk membantu meringankan beban orang tua membesarkan adik-adik membawa saya merantau.

Namun kenaifan saya mencari rezeki sehingga larut malam menyiapkan tugasan pejabat akhirnya menjadi perangkap buat saya sendiri. Rupa-rupanya majikan telah memasukkan sesuatu ke dalam minuman saya dan akhirnya mahkota diri saya tergadai tanpa rela saya. Walaupun peristiwa ini sudah lebih lima tahun berlalu, namun memori pahit ini tidak pernah padam.

Malah di saat semakin hampir ke hari bahagia ini, ada ketikanya saya sendiri berasa amat tertekan dan berkecamuk seakan-akan peristiwa hitam ini baru berlaku semalam dan ia terus menghantui saya. Bantu saya, bagaimanakah cara terbaik untuk saya menikmati hati yang tenang dan sejahtera lebih-lebih lagi dalam menyiapkan diri untuk melayari kehidupan berumahtangga. Segala maklum balas saya dahulukan ucapan terima kasih.

AMALINA

Ipoh

TERIMA kasih kepada Amalina (bukan nama sebenar) atas e-mel yang dikirimkan. Warna-warni kehidupan yang dilalui dalam perjalanan ini adakalanya indah berseri-seri, adakalanya suram, mendung diiringi dentuman guruh, petir, kilat sabung menyabung yang akhirnya membawa kepada ketenangan dan keharuman aroma yang tersendiri.

Sesungguhnya begitulah juga ibaratnya kehidupan ini selepas hujan yang lebat, bumi pasti berada di dalam damai dan cukup menenangkan, sering kelihatan awan bersih membiru menghiasi langit Tuhan. Namun harus bagaimana sebagai hamba-Nya yang teruji melewati ketakutan, kebimbangan, kesengsaraan, kesedihan dan kekecewaan ini mampu menikmati kehidupan yang dihadiahkan Tuhan selepas hujan?

Jawapan yang paling mudah adalah Amalina harus belajar iaitu memaafkan kealpaan dan kenaifan diri Amalina lima tahun dahulu atas peristiwa yang berlaku. Kedua, Amalina harus dengan reda dan berlapang dada menerima apa yang terjadi serta seterusnya bersedia memaafkan individu yang telah menganiaya kehidupan Amalina.

Hanya dengan jalan kemaafan iaitu memaafkan diri Amalina dan individu tersebut, insya-Allah Amalina akan bertemu dengan titik sejahtera dan pembuka jalan kepada lorong-lorong bahagia, kebahagiaan dan ketenangan serta kesejahteraan diri yang jujur dan tulen. Lakukanlah solat sunat taubat memohon keampunan kepada Allah, mohon juga agar dilupuskan segala kekecewaan dan kesalan silam ini dan digantikan dengan kelapangan hati dan kesembuhan jiwa agar seterusnya Amalina mampu mengorak langkah ke hadapan dengan lebih harmoni, yakin dan bahagia.

Ingatlah, Amalina peristiwa hitam yang berlaku hanyalah lipatan sejarah silam yang tidak mampu Amalina ubah. Ia telah berakhir dan tidak sepatutnya lagi ia mengganggu Amalina. Ia tidak mampu untuk memudarat atau merosakkan Amalina lagi, yang hadir hanya mainan ilusi memori serta emosi yang kesakitan.

Insya-Allah dengan keberanian, Amalina berhadapan dengan kenyataan dan menerobos kehidupan baru yang Amalina impikan. Insya-Allah masa akan merawat segalanya. Semua ini bermula dari dalam diri Amalina untuk bangkit, sembuh, memaafkan dan terus melangkah gagah penuh bergaya mengecapi kehidupan yang Amalina impikan sebagai seorang wanita iaitu berumahtangga, mempunyai zuriat dan keluarga yang sempurna.

Sesungguhnya Amalina sangat bertuah dengan kasih Allah, jodoh Amalina dipertemukan dengan insan yang bakal bergelar suami tidak lama lagi. Mudah-mudahan ikatan suci perkahwinan Amalina akan berkekalan hingga ke hujung nyawa, moga setiap inci perjalanan yang dilewati terus diberkati. Insya-Allah.

Apabila suami mengugut jatuhkan talak !!


PERNIKAHAN antara seorang lelaki dan wanita adalah untuk seumur hidup, bukan sehari dua. Oleh itu persefahaman dan keikhlasan hidup sebagai suami isteri sangat penting.

Ada masanya si isteri akan merajuk dan mengambil keputusan kembali ke rumah ibu dan bapanya. Tetapi sampai bila?

Inilah masalah yang dilalui oleh Azlan (bukan nama sebenar) dengan sikap isterinya yang suka meminta cerai setiap kali mereka bergaduh.

Untuk cerita lebih lanjut, ikuti luahan perasaan Azlan untuk dikongsi dengan anda semua.

"Saya bernikah dengan Humairah (juga bukan nama sebenar) sejak lima tahun lalu. Kami sebaya, awal 30-an.

"Perkahwinan kami atas dasar suka sama suka dan mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak. Sayangnya kami belum dikurniakan anak. Pelbagai cara sudah dilakukan untuk mendapat cahaya mata, tetapi belum berhasil.

"Akibat rasa sunyi ditinggalkan seorang diri di rumah dan mungkin tekanan perasaan yang teringinkan anak, Humairah sering mencari kesalahan saya.

"Ada sahaja yang tidak enak di matanya terutama apabila saya pulang lambat dari tempat kerja.

"Macam-macam dituduhnya saya tetapi kerana faham dengan tabiat isteri, maka saya jarang menjawab. Kalau ditegur Humairah akan merajuk dan terus membawa pakaiannya pulang ke rumah orang tuanya.

"Begitu juga jika saya menegurnya tentang sesuatu perkara yang tidak diingininya pasti dia akan mengamuk dan menuntut supaya dia diceraikan.

"Apabila berlaku perkara seperti itu, saya akan pergi mengambilnya semula untuk dibawa pulang ke rumah bagi mengelak masalah itu berlarutan .

"Lama-kelamaan jika selalu meminta cerai dan asyik pulang ke rumah orang tuanya setiap kali bergaduh, saya merasakan sudah sampai masanya saya bertindak tegas terhadapnya.

"Suatu hari kami bergaduh besar kerana saya marah dia selalu ke rumah jiran dan tidak memasak dan mengemas," Humairah memberitahu yang dia terpaksa berbuat demikian kerana terlalu sunyi di rumah.

"Saya faham tetapi jangan sampai mengabaikan urusan rumah tangga. Apabila saya balik rumah tidak berkemas, dapur tidak berasap. Sekali dua saya tidak kisah, tapi kalau dalam seminggu dua kali hendak makan air tangan isteri pun susah, saya terpaksa bertindak dan menegurnya.

"Teguran itu rupanya menimbulkan kemarahan Humairah, dia terus meminta cerai dan mengemas pakaiannya. Tanpa meminta izin dia melangkah keluar untuk meninggalkan rumah.

"Saya tidak sabar lagi dengan kerenahnya dan berkata, jika dia keluar juga dari rumah maka akan jatuh talak satu ke atasnya.

"Mendengar kata-kata saya itu, langkah Humairah terhenti. Biasanya saya tidak pernah menghalangnya tetapi malam itu saya memang hilang sabar.

"Kalau keluar juga, jatuh talak," saya mengulangi kata-kata saya dengan serius sambil merenung tepat ke wajahnya.

"Dia sebaliknya bertanya saya, sama ada saya serius dengan kata-kata itu atau hanya bergurau. Dia macam tidak percaya saya sanggup berkata demikian.

"Saya tidak menjawab soalannya tetapi mengangguk beberapa kali. Kemudian saya berkata, kali ini abang serius. Abang tidak tahan lagi dengan kerenah Humairah.

" Tegur sikit, merajuk. Tegur sikit, lari balik rumah mak. Humairah langsung tidak hormatkan abang sebagai suami. Abang sudah lama bersabar. Sekarang abang harus berkeras dengan Humairah.

"Jika Humairah keluar juga dari rumah hari ini, abang ceraikan Humairah dengan talak satu, dia memandang wajah saya.

"Hatinya terguris dengan kata-kata saya itu. Air matanya mula membasahi pipinya, dia tidak sangka saya tergamak mengeluarkan ugutan itu kepadanya.

"Saya beritahu dia, saya faham yang dia sunyi tetapi saya minta dia bersabar sebab belum ada rezeki untuk kami mempunyai anak.

"Saya pernah mencadangkan dia pergi belajar menjahit dan sebagainya, dia tidak mahu.

"Banyak kerja lain yang boleh dia buat bukan bertandang ke rumah jiran bergosip dan berbual kosong.

"Saya bagi tahu dia jika dia tidak mahu berubah dan mendengar nasihat dan hormat saya sebagai suami, saya tidak ada pilihan melainkan bernikah satu lagi untuk mendapatkan anak.

"Mendengar sahaja kata-kata kahwin lagi satu, Humairah semakin kuat menangis. Dia memegang lutut saya sambil meminta maaf. Berjurai-jurai air matanya berlinangan ke pipi.

"Selama ini saya selalu mengikut kehendak dia, manjakan dia. Saya tidak pernah mengungkit soal anak sebab saya tahu kami berdua tidak ada masalah untuk mendapatkan zuriat.

"Melihat sikap saya yang tegas, Humairah berjanji akan mengubah perangainya. Dia memilih untuk menghadiri kelas masakan dan jahitan bagi mengisi masa lapangnya.

"Dia juga meminta maaf kepada saya dan mengaku salah atas perbuatannya selama ini. Sebagai suami saya amat bersyukur dengan perubahannya itu dan berdoa semoga Allah memberi kami yang terbaik untuk masa depan.

"Dia juga berjanji akan selalu bersama saya dan tidak akan balik ke rumah ibunya kecuali bersama saya. Saya tahu mentua saya juga risau melihat keadaan kami sebab Humairah selalu balik ke rumah mereka apabila kami bergaduh.

"Apa yang berlaku benar-benar pengajaran buat saya dan Humairah. Sedih pun ada, gembira pun ada. Dalam hati saya bersyukur isteri sudah sedar dan mahu berubah.

"Kepada isteri saya katakan apa yang saya buat semua untuk kebahagiaan kami. Saya tidak pernah putus asa untuk mendapatkan zuriat. Semoga Allah pelihara rumah tangga kami selepas ini dan menghadiahkan kami cahaya mata,'' Azlan menamatkan ceritanya.

Kepada pasangan suami isteri yang menghadapi situasi demikian elok diadakan perbincangan supaya segala kekusutan dapat diselesaikan dengan baik tanpa merobohkan masjid yang telah dibina.

Perselisihan faham antara suami isteri adalah lumrah dalam rumah tangga. Semuanya memerlukan toleransi antara satu sama lain.

Saya kagum dengan sikap Azlan yang bertindak tegas terhadap isterinya.

Pada saya Azlan telah melakukan satu tanggungjawab untuk mendidik Humairah supaya menjadi isteri yang baik dan solehah. Alhamdulillah.

Kepada pasangan suami isteri berhati-hatilah dalam tindakan. Cerai jangan dijadikan barang gurauan kerana bimbang ia akan memudaratkan hubungan.

Mengakhiri catatan, pesanan telus saya, jadikanlah rumah tanggamu sebagai syurga yang penuh dengan ketenangan dan keindahan sebagai pelengkap sebuah kehidupan.

Salam

Kisah gadis kecil mengemis untuk sara keluarga..


Pertemuan dengan Yong Mae, seorang pengemis kanak-kanak yang cacat kaki tangannya mengingatkan penulis kepada babak-babak menyayat hati tentang kehidupan pengemis kanak-kanak yang digarap oleh pengarah terkenal, Danny Boyle dalam filem Slumdog Millionaire.

Babak-babak dalam filem tersebut memang masih segar dalam kotak fikiran biar sudah beberapa tahun ditonton dan tidak sangka pula senario sama juga wujud di Malaysia - sebuah negara yang begitu pesat membangun.

Pasar malam Rabu di Bukit Belimbing, Seri Kembangan, Selangor menjadi medan Yong Mae menagih simpati orang yang lalu lalang. Hujan lebat sejak dari petang sudah mula renyai-renyai, lantas kesempatan yang ada tidak dilepaskan untuk menghampiri kanak-kanak tersebut.

Dia kelihatan tidak selesa apabila dihampiri apatah lagi melihatkan jurukamera yang lebih lima kali lalu-lalang di situ sambil menghalakan lensa kamera ke arahnya.

"Boleh cakap Melayu?," tanya penulis yang disambut dengan anggukan perlahan daripada kanak-kanak tersebut.

"(Kaki) Kena potong oleh sindiket ke?," soal penulis lagi.

Yong Mae sedikit gelisah dengan soalan penulis, namun masih mampu memberikan senyuman kelat sebelum mula membuka mulut.

Sejak usianya sembilan tahun dia telah merantau ke negara orang, namun pengembaraannya bukanlah seperti pelancong yang bercuti riang bersama keluarga.

Sebaliknya dia membawa bersama harapan agar nasib diri dan keluarga berubah menjadi lebih baik berbanding ketika berada di negara sendiri.

Itulah erti kehidupan bagi kanak-kanak semuda Yong Mae, yang dia sendiri tidak pasti berapakah usianya lantaran tidak memiliki dokumen kelahiran yang sah.

Kecacatan pada kaki dan tangan telah menjadikan 'kerjaya' peminta sedekah selayaknya untuk kanak-kanak ini.

Wajah Yong Mae memang cantik, dengan kulit kuning langsat dan air muka lembut yang mampu meruntun hati insan melihatnya.

Tambahan pula, kedua-dua belah kaki gadis sunti ini kudung dan jari-jemari tangannya pula tidak tumbuh sempurna seperti manusia normal, yang pasti mengundang belas pengunjung pasar malam untuk menyumbang ke dalam raga kecil tadahan Yong Mae.

"Ini kudung sejak lahir kak....," pantas Yong Mae memberitahu ketika mata saya meliar melihat kecacatan yang ada pada tangan dan kakinya.

Tutur kata Yong Mae tetap dipengaruhi loghat negara asalnya, Kemboja.

Negara yang mempunyai 13 juta penduduk ini beribu negara di Phnom Penh, merupakan antara negara termiskin di rantau ini.

Kanak-kanak itu telah menetap di Malaysia sejak sembilan tahun lalu dan mempunyai rakan sekampung dari kalangan orang Melayu membuatkan dia fasih bertutur bahasa Melayu.

Mudahlah kami berbual dan banyak juga cerita yang ingin diluahkan oleh anak itu.

Anak sulung daripada enam beradik tersebut adalah punca sumber pendapatan utama ibunya yang menghidap penyakit kencing manis.

"Bapa sudah ikut perempuan lain... ibu dan adik di rumah dan kami semua tak sekolah.

"Duit yang saya dapat ini buat belanja kami makan dan ibu untuk beli ubat kencing manis," tutur Yong Mae yang bibir mulusnya sesekali menguntum senyum.

Bagi penulis susah untuk tidak berfikiran negatif dengan membuat tafsiran sendiri sama ada anak itu menyatakan kebenaran atau tidak.

Hakikatnya dia membesar dalam keadaan yang tidak sempurna seperti remaja lain.

Haknya untuk mendapat ilmu dan kemudahan memang sudah pasti diketepikan kerana dia bukanlah warga tempatan. Kehadirannya yang boleh diterima oleh penduduk negara ini umpama rahmat besar dalam diri ahli keluarganya yang lain.

Bila ditanya kenapa berhijrah ke Malaysia, Yong Mae berkata, kerana di negaranya dia tidak mendapat makanan.

"Sana miskin, tak ada duit, tak ada makan, semua susah, mak tak kerja, bapa ikut perempuan lain, adik ramai," katanya.

Memang jawapan yang agak klise, namun agaknya inilah hakikat kehidupan mereka yang mungkin sukar untuk diselami dan difahami oleh mereka yang hidup jauh lebih bernasib baik.

Apabila ditanya apa yang dimahukan dalam hidup, Yong Mae berkata: "Saya mahu pakaian yang cantik!"

Maka fikirkanlah, jika kanak-kanak semuda Yong Mae juga mahukan pakaian yang cantik, makan minum dan tempat tinggal sempurna, apalah erti hidup jika berterusan bergelar peminta sedekah?

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar WAN NAQIUDDIN WAN YAACOB

Guru empat kali mohon bertukar masih gagal !!!


Hubungan baik sesama ahli keluarga dan suasana positif di rumah amat penting serta perlu diberi perhatian kerana ia boleh mempengaruhi produktiviti penjawat awam dalam pekerjaan mereka. Demikian kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dilaporkan oleh akhbar. Tetapi sejauh mana ucapan ini dihayati oleh kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?

Saya amat berharap agar KPM dapat menyelesaikan isu pertukaran guru antara negeri. Adik saya adalah salah seorang mangsa ketidakadilan dan ketidaktelusan dalam proses pertukaran guru. Ada guru yang baharu berkhidmat di Sarawak telah berjaya dalam permohonan pertukaran ke Semenanjung.

Adik saya, seorang guru yang sedang berkhidmat di Kuching, Sarawak telah empat kali memohon untuk bertukar ke sekolah di kawasan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pekan, Pahang tetapi masih gagal.

Walaupun rayuan demi rayuan dibuat termasuk berjumpa dengan pegawai Bahagian Sekolah KPM, permohonan ditolak. Adik saya telah memohon pertukaran ke Pekan, Pahang untuk dipertimbangkan pada 01/01/2012. No.Permohonan: Y20121344. Sekali lagi permohonan beliau ditolak. Saya berasa amat sedih, kecewa dan terkilan. Mungkin pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan KPM terlepas pandang atau tidak tengok langsung borang permohonan pertukaran.

Berikut saya senaraikan sebab permohonan pertukaran beliau:

* Mengikut suami, seorang anggota tentera yang kini berkhidmat di Kem Sri Kuantan, Pekan, Pahang.

* Telah berkhidmat sebagai guru di Kuching, Sarawak melebihi lima tahun (81 bulan). Syarat minimum hanya tiga tahun sahaja.

* Menghidap penyakit corneal ulcer dan masih memerlukan rawatan susulan. Beliau pernah dimasukkan ke Hospital Umum Kuching beberapa minggu. Beliau menghadapi kesukaran memandu untuk jarak jauh dan memandu waktu malam (sebelah matanya telah rosak kerana penyakit tersebut).

* Beliau kini hanya ditemani oleh dua anak yang masih kecil. (Anak sulung berusia dua tahun dan anak kedua berusia dua bulan).

* Kesihatan ibu saya yang menghidap penyakit kanser usus semakin merosot kerana tertekan akibat terlalu risaukan keadaan adik saya yang bersendirian di Kuching.

Sebab-sebab yang disenaraikan di atas telah memenuhi kriteria untuk permohonan pertukaran guru. Sememangnya KPM mempunyai dasar mengutamakan kepentingan perkhidmatan. Namun, usah ketepikan budi bicara dan perikemanusiaan sesama insan. Guru juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.

'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Usah biarkan slogan ini hanya tinggal slogan sahaja. Kepada pihak yang berkenaan, bertindaklah dengan wajar.

SAFINA ABDULLAH
Kampar, Perak.

SBP: Utamakan pelajar di luar bandar...


KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2011 sudah pun diumumkan dengan 46,012 pelajar mendapat keputusan cemerlang dengan 5A.

Tahniah dan syabas kepada mereka yang berjaya dan bagi pelajar yang kurang berjaya masih ada masa untuk memperbaiki diri apabila berada disekolah menengah nanti.

Adalah menjadi tradisi setiap tahun bagi setiap keluarga apabila keputusan cemerlang diperoleh anak-anak mereka begitu mengharapkan sangat untuk mendapatkan tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sedangkan lazimnya hanya lebih kurang 5,000 sahaja pelajar boleh diambil setiap tahun.

Bermakna hanya lebih kurang 10 peratus sahaja boleh menampung pelajar melanjutkan persekolahan mereka di SBP.

Untuk berlaku adil kepada semua adalah dicadangkan kenapa tidak 90 peratus daripada pelajar cemerlang dari luar bandar terutama sekali mereka yang tinggal jauh di daerah pendalaman diberikan keutamaan serta istimewaan dan 10 peratus pula untuk pelajar bandar yang miskin ditawarkan tempat.

Ini adalah kerana pelajar di bandar mempunyai kemudahan serba lengkap yang tidak menjadi masalah untuk pelajar yang sudah cemerlang ini menjadi lebih cemerlang.

Sebaliknya bagi pelajar cemerlang jauh di pedalaman mereka terpaksa berjalan kaki dan kadangkala menaiki sampan berpuluh kilometer jaraknya dari rumah ke sekolah dan wajar sekali mereka ini diberikan tempat di SBP.

PAK SYED
Seremban

Program Matrikulasi perlu transformasi !!!


FENOMENA pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk menyambung pengajian pada peringkat diploma di universiti tempatan menjadi lumrah sejak akhir-akhir ini. Ini berbeza dengan keadaan 10 tahun yang lalu di mana pelajar cemerlang berlumba lumba dan lebih cenderung menyambung pengajian di pusat matrikulasi yang dikendalikan sendiri universiti tempatan.

Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas daripada penurunan bilangan calon yang memohon untuk menyambung pengajian pada peringkat matrikulasi. Tahun demi tahun, bilangannya menurun. Saya berpendapat faktor penyumbang kepada fenomena ini ialah program diploma memberi lebih jaminan kepada pelajar untuk memasuki universiti dan mendapat program yang diminati.
Ini berbeza dengan program matrikulasi di mana pelajar terpaksa bersaing semula untuk memasuki universiti dan program yang diminati. Hanya selepas tamat program matrikulasi pelajar akan tahu universiti mana dan program apa yang berjaya diikuti. Unsur ketidakpastian mengenai tempat pengajian dan program yang akan diikuti wujud di sini.
Kesan daripada fenomena ini menyebabkan terdapat keluhan mengenai kualiti lepasan matrikulasi kerana proses pengajaran dan pembelajaran tidak seperti 10 tahun yang lalu. Proses pengajaran dan pembelajaran terpaksa diubahsuai untuk dipadankan dengan tahap keupayaan pelajar yang masuk. Sebagai contoh, jika dilihat secara jujur, kualiti soalan peperiksaan matrikulasi tidak seperti dulu lagi. Soalan peperiksaan yang disediakan oleh universiti ketika program matrikulasi berada di bawah universiti jauh lebih berkualiti dan sesuai dengan peringkat pengajian. Hari ini, kualiti soalannya menurun dan kadangkala tidak sepadan dengan tahap pengajian di peringkat matrikulasi.

Kementerian Pelajaran perlu melihat isu ini dengan lebih serius dan memikirkan langkah tuntas untuk mengatasinya. Keunikan program matrikulasi perlu dicari bagi membolehkan program matrikulasi mendapat tempat semula di hati pelajar cemerlang lepasan SPM. Antara langkah yang boleh difikirkan ialah pelajar diberikan program dan universiti yang diminati ketika mereka ditawarkan tempat di matrikulasi.

Ini boleh dibuat jika perbincangan lanjut dibuat di antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Ia boleh menjadi realiti jika diusahakan bersungguh-sungguh. Penyelesaian terakhir ialah menyerahkan semula pelaksanaan program matrikulasi kepada universiti tempatan.

AMIN ALI, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perakaunan Universiti Utara Malaysia

Penjelasan tentang kiamat...


FIRMAN Allah SWT: Hari kiamat. Apakah hari kiamat itu? Dan tahukah kamu apakah hari kiamat itu? Kaum Tsamud dan 'Ad telah mendustakan Hari Kiamat. Adapun kaum Tsamud, maka mereka telah dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa.

Adapun kaum 'Ad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang. Yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus menerus, maka kamu lihat kaum 'Ad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk). Maka kamu tidak melihat seorangpun yang tinggal di antara mereka. Dan telah datang Firaun dan orang-orang yang sebelumnya dan (penduduk) negeri-negeri yang dijungkir balikkan kerana kesalahan yang besar. Maka (masing-masing) mereka menderhakai Rasul Tuhan mereka, lalu Allah menyiksa mereka dengan seksaan yang sangat keras. Sesungguhnya Kami, tatkala air telah naik (sampai ke gunung) kami bawa (nenek moyang) kamu, ke dalam bahtera. Agar kami jadikan peristiwa itu peringatan bagi kamu dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar. (al-Haqqah: 1-12)

Surah ini diturunkan selepas surah al-Mulk. Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya:

* Dalam surah Nun ada disebutkan tentang hari kiamat secara umum. Dalam surah ini pula diterangkan berita tentang kiamat secara terperinci.

* Dalam surah yang lepas ada diceritakan tentang pendustaan terhadap al-Quran dan ancamannya sedangkan surah ini disebutkan pula keadaan umat yang mendustakan para rasul dan apa yang berlaku kepada mereka. Ini supaya para pendusta yang sezaman dengan Nabi SAW tidak lagi mendustakannya.

Firman Allah SWT: Hari kiamat. Apakah hari kiamat itu?

Ibn Kathir berkata: Al-Haqqah adalah salah satu daripada nama-nama hari kiamat. Ini kerana berlaku tahqiq kepadanya janji baik dan buruk. Atas asas inilah Allah membesarkan hal dan hari tersebut.

Al-Maghari berkata: Perbincangan ini bagi menunjukkan tujuan sebenar yang mahu disampaikan. Apakah keadaan dan sifatnya masih tidak lengkap serta hakikatnya masih belum dapat digambarkan?

Selanjutnya Allah SWT menjelaskan lagi betapa dahsyatnya peristiwa kiamat, keadaannya yang huru-hara dan betapa ngerinya.

Firman Allah SWT: Dan tahukah kamu apakah hari kiamat itu?

Al-Farra' berkata: Sesungguhnya disebut haqqah kerana padanya semua perkara akan dihitung.

Al-Zajjaj pula berkata: Dinamakan haqqah kerana setiap orang akan mendapat balasan amalannya sama ada baik atau buruk.

Syed Qutub berkata: Kiamat dengan pemandangan dan peristiwa memenuhi ruang pembicaraan yang terbanyak dalam surah ini kerana ia dimulakan dengan nama kiamat iaitu al-Haqqah.

Ia adalah perkataan yang dipilih khusus kerana nadanya dan ertinya yang membayangkan kesungguhan sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.

Ia bermaksud hari kiamat yang tetap dan pasti berlaku atau hukuman ke atas manusia dan pernyataan kebenaran. Semuanya mengandungi makna yang tersendiri.

Perkataan al-Haqqah seperti yang telah dijelaskan mempunyai makna yang tertentu. Ia melahirkan suasana hebat di samping membayangkan balasan kepada orang yang mendustakan agama dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT: Kaum Tsamud dan 'Ad telah mendustakan hari kiamat. Adapun kaum Tsamud, maka mereka dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa.

Ibn Abbas berkata: Perkataan qari'ah memberi maksud nama daripada nama-nama hari kiamat.

Muqatil berkata: Ini kerana Allah menetapkan hukuman kepada musuh-musuhnya dengan azab.

Ibn Qutaibah berkata: Qari'ah merupakan hari kiamat kerana ia menggerunkan.

Sedangkan perkataan taghiah pula ada beberapa tafsiran:

* Kerana mereka melampau dan kufur. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid, Muqatil dan Ibn Qutaibah.

* Iaitu dengan tempikan taghiah (yang kuat). Inilah pendapat Qatadah. Ini kerana ia melebihi daripada kadar sorakan biasa. Justeru, dapat membinasakan dengan bunyi yang amat kuat.

* Iaitu yang menyembelih unta. Inilah pendapat Ibn Zaid.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Saturday, November 19, 2011

Dilema isteri kedua.........


SETIAP wanita mahu bergelar isteri. Bahagia sebagai satu-satunya isteri ternyata berbeza jika dibandingkan kebahagiaan menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat.
Kebanyakan wanita juga tidak rela berpoligami dan ada yang sanggup meminta cerai, asalkan bebas daripada hidup bermadu untuk mengelak haknya dikongsi, bermasam muka dan berperang sesama isteri lain. Dalam situasi lain, ada suami berjaya mendamaikan kesemua isteri yang dikahwini dan mampu hidup bahagia dengan saling hormat-menghormati.
Banyak juga kes, lelaki berkahwin lagi tanpa pengetahuan isteri atas alasan tersendiri. Bagi wanita yang dikahwini itu pula, rela berkongsi suami dan sedia berkompromi dalam segala hal termasuk menjadi isteri hanya pada waktu siang.

Malah dalam kes ini, wanita dan lelaki berkenaan tidak mendedahkan cerita perkahwinan itu kepada pengetahuan umum dan masing-masing saling memahami dan mengetahui mengenai kedudukan masing-masing.

Justeru, isteri kedua yang dikahwini tanpa pengetahuan isteri pertama akan sentiasa makan hati dan kehidupan seperti masa bersama suami terpaksa dibahagi-bahagi. Ada juga isteri yang mengakui hidup bagaikan tidak bersuami apabila suami pulang ke rumah isteri pertama malah lebih sengsara apabila tidak lagi diendahkan.

Ini diakui seorang setiausaha Juliza (bukan nama sebenar) yang berkahwin dengan suami orang, sejak lebih 10 tahun lalu, walaupun bahagia pada dua dan tiga tahun pertama, namun ia tidak berpanjangan apabila suaminya lebih memberi perhatian kepada keluarga isteri pertama.
“Suami ‘menyimpan’ saya selama beberapa tahun daripada pengetahuan isteri pertama dan keluarganya bimbang berlaku perkara tidak diingini. Saya yang memendam rasa, selalu fikiran tidak keruan sebab jarang bertemu suami. Setiap kali tiada, saya kebosanan dan rasa seperti tidak bersuami.

“Walaupun pada awalnya kami sama-sama bersetuju tidak memaklumkan mengenai perkahwinan kepada pengetahuan umum, tetapi saya sudah mula bosan sampai bila perkara ini ingin disorokkan dari pengetahuan luar. Apatah lagi jika ada majlis keraian, suami akan hanya membawa isteri pertamanya manakala saya tidak dapat mendedahkan siapa suami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini untuk berkongsi cerita,” katanya.

Juliza yang berkulit sawo matang, menjelaskan saat paling sedih setiap kali menjelang raya, suami tidak dapat beraya bersama kerana perlu pulang ke kampungnya.

Selepas hidup bagaikan tidak menentu, akhirnya suami akur, memperkenalkan Juliza kepada keluarganya sebagai isteri kedua.

“Isteri pertama terpaksa pasrah dengan apa yang berlaku namun keluarga mentua saya tidak dapat menerima malah saya sering diherdik dan dipinggirkan,” katanya.

Justeru, Juliza berpesan kepada wanita lain supaya tidak terjebak dengan cinta suami orang kerana bukan senang nak berkongsi kasih dan mungkin gagal menemui kebahagiaan seperti diharapkan.

Sementara itu, pelajar kolej swasta menjadi isteri kedua kepada seorang lelaki kacukan Arab, Rita (bukan nama sebenar) ketika ini selesa dengan cara kehidupan sebagai isteri kedua.

Suami yang bertugas jauh di luar ibu kota, selalunya akan pulang beberapa hari lebih awal setiap kali cuti bermula. Ketika itu, suami yang dipanggil Abang akan meluangkan masa bersama Rita sebelum pulang ke rumah isteri pertama.

Namun, Rita tidak begitu tertekan kerana masa banyak dihabiskan di kolej dan meluangkan masa dengan rakan.

Rita menjelaskan, suaminya memiliki empat cahaya mata berusia antara empat hingga 12 tahun kerana bimbang dan risau diketahui hubungan mereka, perkahwinan mereka dirahsiakan, cuma segelintir ahli keluarga terdekat diberitahu.

“Perkahwinan mereka berjalan lancar. Malah, setiap kali ingin pulang ke kampung, suami akan menghantar saya,” katanya.

Mungkin kedudukan Rita sebagai isteri kedua agak selamat apabila suaminya sering mengadu kehidupannya dengan isteri pertama tidak begitu bahagia, kurang bersosial, tidak pandai menjaga hatinya serta melayan ibu bapanya.

Diakui suami, meskipun Rita masih belajar, tetapi mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri termasuk memasak dan lebih bijak bergaul dengan keluarga mentua.

Selepas lebih tiga tahun, hubungan Rita dan suaminya masih dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

“Saya selalu berdoa supaya tidak berhadapan dengan masalah dalam rumah tangga. Setakat ini, saya bahagia dengan cara kami. Saya tidak kesal walaupun berkongsi suami,” katanya.

Oleh Hidayah Mohammad


"Hari ni Sabtu encik, tiada beg plastik. Tapi kalau encik nak boleh beli, satu 20 sen."


"Hari ni Sabtu encik, tiada beg plastik. Tapi kalau encik nak boleh beli, satu 20 sen." Inilah ayat paling popular diluahkan oleh juruwang kompleks beli-belah atau pasar raya besar setiap hari Sabtu sempena hari tiada beg plastik di negara kita.

Namun perkara ini membuat saya terfikir adakah syarikat-syarikat berkenaan benar-benar serius? Ini kerana nampaknya perniagaan beg plastik setiap Sabtu amat menguntungkan. Bayangkan jika seorang pelanggan membeli lima beg plastik, bermakna RM1 telah masuk kocek syarikat tersebut. Bayangkan berapa ramai pengunjung kompleks beli-belah atau pasar raya setiap hari.

Mungkin penyertaan dalam kempen tanpa beg plastik ini adalah secara sukarela. Tetapi apabila ia dijadikan bisnes sampingan, nilai etika dalam keikhlasan hilang sepenuhnya.

Bukan hendak membebankan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), tetapi rasanya perkara ini perlu dipandang serius. Yang tertipu secara halus ialah pengguna, kerajaan dan bumi kita ini.

Apakah alasan yang boleh diterima dalam perkara ini sedangkan mereka telah berjanji bahawa setiap Sabtu penggunaan beg plastik tidak digalakkan?

Sekiranya wang berkenaan disalurkan kepada badan-badan kebajikan adalah lebih bagus. Tetapi ia juga bermakna kempen berkenaan gagal sepenuhnya kerana beg plastik tetap dibekalkan kepada pengguna dengan dikenakan bayaran.

Kita sebagai pengguna janganlah mengambil mudah perkara ini kerana bumi makin tenat dengan pencemaran akibat perbuatan kita sendiri. Biarlah anak cucu, generasi masa hadapan dapat menikmati alam seperti mana kita sekarang.

Kita mungkin akan hidup dalam tempoh 30-40 tahun lagi. Tetapi selepas kita tiada, apakah bentuk peninggalan bumi ini kepada generasi masa depan? Kita sendiri harus memulakan langkah, setiap seorang dari kita. Bak kata Neil Armstrong masa menjejakkan kaki ke bulan; "Satu langkah kecil manusia di sini adalah satu langkah yang besar untuk generasi kita.''

Saya sendiri kadangkala terlupa membawa beg sendiri semasa membeli-belah hari Sabtu, tetapi tidak sesekali saya pernah membeli beg plastik yang ditawarkan di kaunter juruwang berkenaan.

Saya lebih sanggup berulang-alik menaiki tangga apartment mengangkut barang demi menyahut kempen kerajaan yang walaupun kurang sambutan tetapi ada perasaan puas di jiwa kerana saya termasuk dalam golongan yang cuba mengurangkan pencemaran bumi. Pesanan saya, janganlah terlampau selesa, kelak kita lupa dan akan menderita.

SAYANG
Nilai, Negeri Sembilan.

Senario di Jalan TAR memalukan !!!


LAPORAN mengenai longgokan warga asing yang menjadi peniaga benar-benar menecewakan saya. Saya amat malu kerana pihak berwajib hanya membiarkan sahaja perkara ini berlarutan sehingga menjejaskan mata pencarian anak Malaysia sendiri.

Bukan sahaja di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) malahan kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur juga menjadi tumpuan warga asing sehingga saya kadang-kadang berasa berada di negara luar.

Kita kena tegakkan nasib kaum bumiputera di Malaysia. Jangan kerana dek rasuah habis negara tergadai.

Peniaga dari Pakistan dan negara- negara lain dikatakan mempunyai sejumlah wang modal yang besar dan tidak hairanlah sekiranya ada pihak- pihak yang tidak bertanggungjawab meminta duit daripada warga asing ini sebagai perlindungan untuk mereka berniaga.

Mungkin juga disebabkan terlalu asyik meminta duit kopi sehingga pihak-pihak tertentu tidak sedar yang perniagaan di Jalan TAR, Kuala Lumpur itu sudah dimonopoli oleh warga asing.

Kita telah 'mengadaikan Jalan TAR' dan membiarkan jalan ini dijajah oleh warga asing.

Seperti yang kita sedia maklum, berniaga merupakan salah satu cara untuk menaikkan taraf ekonomi seseorang dan ia juga boleh merapatkan jurang ekonomi serta menaikkan taraf hidup keluarga. Tetapi adakah masih ada peluang dan masihkah relevan untuk kaum bumiputera berniaga di kalangan warga asing?

Sekiranya anda pernah pergi ke Plaza Low Yat, Kuala Lumpur untuk membeli komputer riba, pasti anda juga perasan kehadiran warga Pakistan yang memonopoli bisnes ini dan paling menyedihkan apabila rakyat Malaysia menjadi pekerja kepada warga Pakistan. Fakta ini bukan sahaja menyedihkan tapi amat memalukan!

Isu warga asing mengambil alih ruang niaga ini bukan semata-mata tertumpu di Jalan TAR tapi di seluruh Malaysia.

Jangan sibuk berbicara pasal kemerdekaan jika hal sekecil ini masih tidak dapat kita uruskan.

Malaysia adalah untuk rakyat Malaysia, hak atas semua aktiviti ekonomi adalah untuk rakyat. Jangan menganaktirikan kaum bumiputera.

Saya mohon kerjasama pihak berwajib untuk turun padang dan lihat sendiri senario yang memalukan ini serta mengambil langkah untuk mengekang masalah ini agar persaingan ekonomi yang sihat dalam kalangan kaum bumiputera dapat diwujudkan.

GENERASI MUDA MU,
Kuala Lumpur.

Wednesday, November 16, 2011

Haramkan sedut lemak di salun !!!


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan rawatan menyedut lemak, mengempiskan perut, pembedahan sekitar mata dan suntikan botox di pusat-pusat kecantikan bagi mengelak kemudaratan kepada pelanggan termasuk kehilangan nyawa.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, penggunaan anestetik dalam rawatan di pusat kecantikan boleh diragui kerana premis berkenaan tidak dilesenkan sebagai klinik atau hospital perubatan.

“CAP juga menggesa Kementerian Kesihatan supaya meneliti segala prosedur yang dijalankan oleh salun kecantikan yang kelihatan lari daripada skop kepakaran sebenar.

“Salun ini tidak dilesenkan sebagai klinik atau hospital perubatan dan seharusnya terdapat had terhadap apa yang dibenarkan untuk diteruskan di pusat-pusat seperti ini.

“Prosedur seperti menyedut lemak, mengempiskan perut, pembedahan sekitar mata, suntikan botox dan lain-lain pembedahan atau yang melibatkan bahan kimia bahaya atau anestetik di salun kecantikan perlu diharamkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai cadangan Kementerian Kesihatan untuk memperkenalkan garis panduan bagi industri kecantikan, beliau memberitahu, ia tidak memadai.

Ini kerana, jelas beliau, garis panduan sering tidak dapat mengawal dengan berkesan.

Sebagai ganti, tambahnya, kementerian perlu menggubal undang-undang yang boleh memberi kuasa kepada mereka untuk mendakwa pengusaha salun yang cuai sehingga mendatangkan kemudaratan terhadap pelanggan.

“Jika terdapat hanya garis panduan, pengguna perlu mengambil tindakan undang-undang atau membawa kes mereka kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan hanya mendapat ganti rugi kewangan sahaja.

“Tambahan pula, TTPM tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa salun yang melakukan kesalahan. Adalah tidak munasabah untuk membebankan pengguna bagi masalah yang disebabkan oleh salun kecantikan,” ujarnya.

Oleh ZABRY MOHAMAD

Dibuang orang tersayang....


DALAM kehidupan ini tidak selamanya kita disayangi. Ada masanya kita perlu menerima hakikat bahawa kita 'dibuang' oleh orang yang kita sayang.

Perkara ini terjadi pada hampir semua orang dan bagi sesetengah orang menerimanya sebagai perasaan paling sedih pernah dialami seumur hidup.

Kehilangan seseorang yang dicintai meninggalkan kesan mendalam pada diri. Ia ibarat satu beban yang dipikul di dada dan jika tidak dilepaskan pasti mendatangkan kesakitan yang amat dalam.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang telah dibuang oleh pasangan terus meletakkan diri dalam kesedihan dan berharap pasangan mereka akan kembali dan kehidupan akan menjadi normal.

Lazimnya, golongan yang patah hati ini begitu yakin bahawa tiada siapa pun yang boleh menggantikan tempat pasangan yang meninggalkan mereka.

Ini pendapat yang amat mengarut, kerana kesedihan itu telah mempengaruhi fikiran untuk tidak memikirkan perkara-perkara positif.

Waktu itu antara yang bermain di fikiran mereka ialah, "hidup saya sudah berakhir", "saya tidak akan boleh cari penggantinya" dan "tidak akan ada sesiapa pun yang akan menyayangi saya lagi."

Sebenarnya, adalah suatu yang tidak betul jika anda mengatakan bahawa kehidupan romantik anda telah berakhir sekiranya berlaku perkara ini kepada anda dan hanya akan menambah kesedihan anda sendiri justeru,tip pertama, menerima keadaan itu seadanya.

Jadi bagaimana anda boleh membuang kesedihan yang melanda? Bagaimana untuk anda memulakan hidup baru? Bagaimana untuk anda meletakkan status 'solo' itu sebagai satu peluang baru dan bukannya sebagai hukuman?

Jadi apa yang anda perlu buat ialah dengan menerima keadaan baru itu sebaiknya.

Katakan pada diri anda bahawa pasangan anda itu sudah pergi dan tidak akan kembali lagi. Memang ini satu proses yang amat menyakitkan namun tanamkan dalam diri bahawa anda akan sembuh jua akhirnya.

Seterusnya apa yang anda boleh lakukan ialah bersembang dengan rakan-rakan anda tentang bekas pasangan anda.

Katalah apa sahaja tentang si dia pada kawan anda hingga anda tiada apa lagi hendak diperkatakan tentang dirinya.

Lama kelamaan anda akan sedar bahawa anda semakin boleh menerima kenyataan anda ditinggalkan kerana anda semakin bosan bercakap mengenainya.

Memang tidak dapat dinafikan bercakap lebih baik daripada memendam rasa. Bila kita meluahkan kepedihan hati yang dilalui kita akan sedar bahawa kita akan mendapat kekuatan sekali gus memulih kembali perasaan kita sendiri.

Dalam pada itu anda haruslah tidak mengabaikan keperluan diri. Pastikan anda ada rakan yang boleh menemani menikmati makanan yang sedap di restoran yang tenang, boleh ke spa, mencuba urutan aroma terapi untuk merehatkan minda dan diri.

Cara lain boleh juga mencuba senaman kerana ini boleh menaikkan mood kita. Senaman membantu merembeskan hormon endorfin ke otak dan juga menghantar mesej penting ke otak bahawa kita menjaga dan menyayangi tubuh ini.

Tapi situasi di atas memang boleh diaplikasi kepada wanita yang kecewa, bagaimana pula dengan lelaki yang ditinggalkan?

Golongan lelaki jarang mahu meluahkan kesedihan yang mereka alami, bila mereka dilanda kesedihan, pasti makin sakit dibuatnya.

Ada lelaki yang memilih rokok dan alkohol untuk melupakan kesedihan itu, pada hal ia salah sama sekali kerana tindakan itu hanya akan mendatangkan kemudaratan pada tubuh dan minda.

Rasa 'dibuang' memanglah amat teruk dan anda tidak mampu mengelaknya. Namun kehidupan adalah satu anugerah dan ia akan menjadi semakin baik, percayalah

Susunan NOOR FAZRINA KAMAL

Saturday, November 12, 2011

Kesan negatif tampar muka budak !!



SAYA tergerak untuk menulis berkenaan kesan menampar muka kanak-kanak sama ada anak kita ataupun murid sekolah. Kita mungkin menganggap menampar adalah tindakan yang tidak serius dan bukanlah isu besar, malah kita sendiri pun pernah ditampar pada satu ketika dulu.

Bagaimanapun tahukah perbuatan menampar itu boleh memberi kecederaan serius terutama ke atas kanak-kanak. Dari sudut perubatan, kita mengetahui kanak-kanak mempunyai organ yang masih berkembang dalam menjalani proses tumbesaran.
Organ ini juga rapuh, mudah cedera dan berpotensi menghadapi masalah kesan negatif jangka panjang. Organ di bahagian muka seperti mata, telinga, mulut, lidah, saraf tunjang leher dan juga otak ialah organ penting yang berpotensi tercedera jika bahagian muka dan kepala dijadikan tempat membuat pukulan atau tamparan.
Jika kita membaca mengenai kesan kecederaan muka dan kepala terutama ke atas kanak-kanak yang didera, kita dapati kebanyakan kecederaan disebabkan tindakan menampar ataupun menumbuk di bahagian muka.

Orang yang menampar mungkin memakai cincin atau gelang dan kesan yang diakibatkan oleh tangan ini tentu sekali lebih serius. Apabila melakukan tamparan terutama di dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, kita tidak dapat mengawal dan menentukan dengan tepat bahagian muka yang terkena tamparan.

Ini menyebabkan tamparan bahagian muka kadangkala boleh terkena leher, mata dan telinga. Tamparan yang kuat ke bahagian kepala boleh mencederakan tulang leher dan saraf tunjang kerana anjakan kepala yang mendadak dan cepat.

Anjakan cepat bahagian kepala ini juga boleh menggoncang otak dan ini boleh memecahkan salur darah, mengoyak selaput otak dan boleh berlaku pendarahan otak.
Pada waktu sama jika kepala terhentak ke dinding atau benda keras akibat momentum pergerakan kepala ketika ditampar, kecederaan yang berlaku boleh menjadi lebih serius dan mungkin boleh mengancam nyawa.

Jika tamparan tepat pada cuping telinga dan menutup lubang telinga, maka tekanan kuat akan disalurkan ke dalam rongga telinga dan sampai ke gegendang, gegendang telinga boleh pecah dan ini akan menyebabkan gangguan pendengaran yang kekal jika ia serius dan tidak dirawat dengan cepat.

Sebenarnya banyak lagi kesan fizikal akibat tamparan seperti lebam, bibir pecah, gigi patah dan lain-lain lagi. Apa yang penting ialah menampar bukan perbuatan yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai kaedah untuk menghukum.

Di samping kesan fizikal yang dialami oleh kanak-kanak atau pelajar yang ditampar, kesan psikologi ialah salah satu akibat yang tidak kurang seriusnya.

Menampar dikatakan satu kaedah yang boleh menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi jika ia dilakukan di hadapan khalayak. Saya menyeru kepada semua pihak supaya mengelakkan diri daripada menggunakan tamparan muka sebagai kaedah menghukum.

Kesimpulannya, apabila kita menghukum terutama ke atas anak-anak atau pelajar, hukumlah dengan kaedah sesuai serta berhikmah dengan tujuan mendidik dan penuh kasih sayang supaya ia dapat menjadi pengajaran berguna dan bertujuan menjadikan mereka seorang insan yang lebih baik di masa hadapan.

DR MOHD RUSHDAN MD NOOR,
Hospital Sultanah Bahiyah,
Alor Setar, Kedah

Thursday, November 10, 2011

Murid sekolah tak sesuai pakai tali leher !!!


BAGI saya penggunaan tali leher di kalangan murid sekolah sama ada di peringkat rendah mahupun menengah adalah tidak sesuai sama sekali.

Seingat saya pada zaman persekolahan saya dahulu iaitu sekitar 1990-an, kami tidak memakai tali leher di sekolah malah dengan memakai pakaian yang kemas, kami kelihatan cukup segak dan selesa belajar di sekolah tanpa rasa panas.

Bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif pula, penggunaan tali leher menyebabkan ruam panas sering tumbuh di sekitar leher.

Bukan setakat masalah panas sahaja, bagi pelajar yang bermasalah disiplin, tali leher sering digunakan sebagai senjata untuk melilit leher rakan ketika bergaduh sesama sendiri. Keadaan ini sering terjadi di sekolah dan ia amat berbahaya.

IBU PRIHATIN
Kuching, Sarawak

Lima kanak-kanak hilang dalam sehari di pusat membeli belah...


"SAYA sanggup beri apa saja hatta nyawa saya sekali pun untuk mendapatkan kembali anak saya yang hilang."

Tragedi yang berlaku kira-kira enam tahun lalu menjadi memori yang pasti tidak akan dilupakan sepanjang hayat Zarina Yusof, 37, apabila anak ketiganya, Farhan Ikmal, yang ketika itu berusia tiga tahun hilang dari pandangannya.

"Bayangkan ketika itu kami berkunjung ke sebuah ekspo antarabangsa di Serdang. Jumlah pengunjungnya memang amat ramai, tempatnya pula terbuka dan Farhan hilang ketika kami sekeluarga sedang bersiar-siar melihat pelbagai jualan pada hari itu," cerita Zarina mengimbas memori yang disifatkan paling mengerikan pernah berlaku pada dirinya.

Ketika itu mereka sekeluarga ralit melihat pameran yang diadakan di ruang pameran dan tiba-tiba Farhan hilang daripada pegangan.

"Umur Farhan baru tiga tahun, dia merupakan anak keempat daripada enam beradik. Lemah lutut saya, mati akal tak tahu macam mana hendak mencarinya memandangkan ekspo itu terlalu besar.

"Waktu itu rasanya seperti mahu tercabut nyawa kerana teramat bimbang tidak bertemu dengan anak saya lagi," jelas Zarina yang masih lagi trauma apabila mengimbas kejadian tersebut.

Dalam keadaan cemas, bantuan pengawal keselamatan diminta serentak dengan pengumuman melalui sistem pembesar suara.

Lebih tiga jam usaha tersebut diteruskan namun Farhan masih gagal ditemui.

"Memang saya amat panik, namun Alhamdulillah akhirnya Farhan ditemui seorang pengawal keselamatan yang terus membawanya ke khemah urus setia.

"Menurut pengawal tersebut, Farhan terpinga-pinga pada satu pameran binatang. Peliknya dia tidak menangis, cuma ketakutan kerana tiada ahli keluarga bersamanya. Apa pun saya amat bersyukur dan mengambil iktibar atas kejadian tersebut," jelas Zarina lagi.

Pasti ramai yang mempunyai kisah tersendiri tentang anak hilang.

Tidak kiralah hilang seminit atau beberapa jam, impak paniknya tetap sama terutama bagi ibu bapa yang menghadapinya.

Nama kanak-kanak hilang yang dipaparkan di media seperti Nurin Jazlin, Sharlinie, Lee Xin Rue, Adam Shah dan ramai lagi adalah antara kisah sedih yang kalau boleh tidak mahu lagi kita dengar dan baca.

Memang sedih kehilangan cahaya mata namun apakah iktibar yang boleh diambil dari kisah segelintir kanak-kanak ini.

Ini hanya satu kisah di sebalik beribu-ribu kisah kanak-kanak hilang di negara ini.

Cuai! mungkin perkataan paling mudah dituding pada ibu bapa yang kehilangan anak di pusat membeli belah.

Namun hakikatnya sebagai manusia biasa, insiden sedemikian memang kadang kala sukar dielak. Dalam keadaan orang terlalu ramai dan membawa anak ramai pula, ibu bapa boleh terlepas pandang, biar pun antara suami dan isteri itu saling memerhatikan pergerakan anak mereka.

Tinjauan ke sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini, seorang pegawai khidmat pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Suhana Shahril, berkata dalam sehari sekurang-kurangnya lima kali pengumuman mengenai kes kehilangan anak ketika membeli-belah dibuat, khususnya di hujung minggu.

Katanya, antara sebab bukan saja ibu bapa leka malah kerana anak juga ralit melihat barangan menarik terutama di bahagian mainan hingga tidak sedar ibu bapa sudah bergerak jauh.

"Selalunya kami mempunyai pengawal keselamatan yang akan meronda. Kalau kami dapati anak kecil berkeliaran sendirian, menangis dan sebagainya, kami bawa mereka ke bahagian khidmat pelanggan untuk membuat pengumuman," jelas Suhana lagi.

Kejadian kanak-kanak hilang ketika bersama ibu bapa membeli-belah, kes terpencil tetapi perlu diambil serius.

Beberapa tahun lalu, kita pernah digemparkan dengan kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, (ketika itu berusia lima tahun) yang hilang ketika ibu bapanya membeli-belah di Kompleks membeli belah Sogo.

Yin hilang ketika bapanya mencuba pakaian di bilik persalinan dan ibu pula mengawasi adiknya. Yin dijumpai selepas dua minggu dan sepanjang kehilangannya itu, dia dipelihara keluarga pasangan Myanmar.

Akhbar tempatan juga pernah melaporkan bahawa secara purata 3.5 kes kanak-kanak hilang dilaporkan sehari pada tahun 2008 dan hampir 80 peratus kes tersebut membabitkan kanak-kanak perempuan.

Untuk tahun 2011 pula purata itu meningkat kepada empat kanak-kanak hilang sehari. Angka ini sudah tentu bukan sedikit kerana ia melibatkan satu kehilangan nyawa yang bukannya boleh ditukar ganti.

Memang mana-mana ibu bapa pun pasti tidak mahu anak mereka tergolong dalam statistik tersebut.

Justeru apakah yang boleh diambil sebagai usaha untuk mengelakkan kejadian seperti itu.

Salah satunya ialah dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat dan globalisasi.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar MOHD FARIZWAN HASBULLAH dan IZHAM JAAFAR

Awasi anak gadis anda !!!


Sifat tamak dan buta cinta menjadi antara faktor utama wanita Malaysia mudah diperbodohkan oleh sindiket warga Afrika yang menjalankan kegiatan penipuan kiriman bungkusan. Oleh itu, dalam hati tertanya-tanya di manakah silapnya sehingga wanita Malaysia dapat ditipu dengan mudah oleh sindiket berkenaan.

Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak perempuan remaja, cerita dan laporan seperti ini amat menggusarkan hati dan perasaan. Saya percaya ramai ibu lain turut peka dan prihatin dengan perkembangan semasa termasuk tentang kehidupan yang melingkari anak- anak remaja mereka terutamanya anak perempuan.

Sebagai ibu bapa sudah tentu mempunyai darjah kebimbangan dan kegusaran yang tinggi kerana anak yang kita tatang seperti "minyak yang penuh" jadi musnah masa depannya kerana permainan sindiket seperti ini.

Kita perlu mengambil langkah proaktif dalam menjaga keselamatan anak-anak gadis kita daripada terjebak dengan penipuan sindiket warga Afrika ini. Antaranya:

* Kukuhkan nilai hidup berkeluarga dengan ibu bapa sepenuh usaha membina kasih sayang dan mengasihi anak secara positif seperti dianjurkan oleh agama.

* Pastikan walaupun sibuk, ibu bapa dapat duduk semeja makan bersama, berbincang dan mendengar cerita dan rintihan hati anak-anak dan juga memberi dorongan dan sokongan kepada perkembangan mental dan fizikal.

Anak-anak akan rasa dikasihi dan dihargai. Dengan ini, mereka tidak akan mencari 'kasih sayang' di luar yang dicurahkan oleh sindiket-sindiket seperti ini yang sudah tentunya melihat kelemahan anak remaja perempuan dalam mencari kasih sayang dan perhatian.

* Ajaklah anak-anak solat berjemaah. Bermuzakarahlah dengan anak-anak serta memberi tazkirah dengan tunjuk ajar dan nasihat panduan hidup yang dibenarkan agama. Anak-anak merasa diri mereka diperhatikan, dijaga dan disokong kuat oleh ibu bapa dan kaum keluarga mereka. Ini akan menjadikan anak-anak khususnya, anak perempuan, kukuh jati diri dan keyakinan untuk berhadapan dengan anasir-anasir luar yang datang untuk memperdayakan mereka.

* Ibu bapa juga perlu berusaha sedaya upaya memastikan keselamatan diri anak gadis mereka. Ketika pergi dan pulang dari sekolah, pastikan ada yang mengambil dan menghantar. Kalau ada masa ibu atau bapa sendiri yang menghantar dan mengambil mereka dari sekolah atau jika mereka mahu keluar membeli-belah dan sebagainya, jika tidak berupaya dari segi masa, pastikan hanya mereka yang dipercayai sahaja yang menjalankan tugas untuk menghantar mengambil anak dari sekolah dan sebagainya.

* Pastikan kawan anak-anak gadis adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai status moral yang baik dan mempunyai contoh teladan untuk dilihat dan dicontohi oleh mereka.

* Jangan sesekali menyerahkan tugasan menjaga anak kepada orang lain dan hanya memastikan mereka cukup duit dan makan pakai malah dilimpahi kemewahan dan sebagainya kerana santapan rohani anak juga perlu diberi perhatian serius agar mereka dapat menilai baik buruk dan menjaga moral dan keperibadian mereka serta maruah keluarga.

Biarlah ibu bapa menangis dahulu dalam bersusah payah menjaga anak-anak sewaktu kecil hingga dewasa agar menjadi manusia berguna daripada bersikap bersenang-senang ketika ini dengan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah, sekolah dan masyarakat. Kita tidak mahu air mata kita tumpah di kemudian hari apabila melihat anak gadis kita diperangkap warga asing dan berada dalam penjara di luar negara!

PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON
Kolej Pengajian Siswazah
UNITEN, Kampus Putrajaya, Bangi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...