terima kasih buat kalian semua..

Friday, December 30, 2011

Bayar zakat disebabkan nak dapat rebet cukai pendapatan..Boleh ke?? Dapat ke pahala???


ADAKAH salah andai saya meniatkan zakat pada akhir tahun ini untuk mendapatkan faedah dunia yang lain. Misalnya memperolehi rebat ke atas cukai pendapatan, mendapat hadiah atau cenderamata pembayaran daripada pihak institusi zakat dan sebagainya?

JAWAPAN:

Terima kasih kerana mengemukakan persoalan di atas. Tidak dapat dinafikan bahawa, sememangnya pada setiap tahun ada dua bulan yang menjadi 'bulan puncak' dalam kutipan zakat, iaitu pada bulan Ramadan dan juga bulan Disember.

Bulan Ramadan menjadi pilihan para pembayar zakat, justeru ramai orang ingin merebut pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala yang telah disediakan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang bersedekah dan berzakat pada bulan Ramadan.

Bulan Disember pula menjadi rebutan pembayar zakat kerana ia adalah waktu yang sesuai bagi menunaikan zakat dan memperolehi rebat atau pelarasan ke atas cukai pendapatan seseorang. Sebabnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hanya menerima pembayaran zakat yang dilakukan pada tahun semasa untuk rebat cukai pendapatan pada tahun berkenaan.

Seandainya seseorang terlewat menunaikan zakatnya sehingga masuk tahun hadapan (katakanlah 1 Januari 2012), maka ia sudah tidak boleh direbat lagi ke atas cukai pendapatan bagi tahun 2011.

Petikan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3): "Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib (zakat) dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu".

Dalam hal niat pula, sudah semestinya seseorang itu mestilah menjaga niat asalnya dalam berzakat hanya semata-mata sebagai memenuhi ibadah wajib lagi fardu kepada Allah SWT.

Apabila seseorang melakukan ibadah tetapi demi maksud atau atas niat yang lain daripada Allah SWT, hakikatnya dia telah meletakkan sesuatu yang lain lebih besar daripada Allah SWT. Sedangkan, perbuatan itu adalah ibadah. Hal ini pastilah menyalahi perintah agama.

Di dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari daripada amirul mukminin Saiyidina Umar al-Khattab r.a, Nabi Muhammad SAW pernah menegaskan: Sesungguhnya setiap amal perbuatan tergantung pada niat; dan setiap orang akan mendapat sesuai dengan apa yang dia niatkan.

Oleh itu, seandainya seseorang membayar zakat demi mendapatkan rebat cukainya semata-mata, maka hanya itu sahajalah dia akan memperolehinya. Sedangkan, sepatutnya dia juga turut memperolehi pahala yang bakal dibalas syurga di akhirat kelak. Inilah mafhum kepada hadis di atas.

Namun begitu, fuqaha memang ada membicarakan perihal niat dalam beramal. Di sisi Imam al-Ghazali menyatakan: "Jika seseorang melakukan amalan dan jika niat atau tujuan keduniaannya lebih menonjol, maka rosaklah pahala amal itu. Jika niatnya jelas untuk ibadah (ikhlas), maka amal itu diterima. Jika bercampur niat keduniaan dan niat ibadah dalam sesuatu amal, maka ia tidak memperolehi pahala".

Pada sisi Imam Abu Ja'afar at-Tobari pula: "Ia dilihat kepada permulaan ibadahnya atau amalnya. Jika pada permulaan amal ia niatkan ikhlas kerana Allah, maka amal itu tidak dirosakkan dengan percampuran niat selepas itu kerana niat dilihat pada permulaannya". (Fath al-Bari, cetakan al-Ahram Mesir, tahqiq Syeikh Sayyid Saqr Jilid 2/16)

Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa, sesuatu amalan itu hendaklah dilakukan dengan niat hanya semata-mata kepada Allah, khususnya pada awal perbuatannya.

Rebat cukai

Kemudian, jika ada niat sampingan yang lain - misalnya mendapat hadiah atau rebat cukai - maka ia hendaklah dikemudiankan. Berdasarkan pandangan ulama, ia tidak akan merosakkan amalan tersebut, melainkan jika seseorang itu lebih mengutamakan niat sampingan berbanding niat ibadah kepada Allah SWT.

Hal ini disamakan seperti seseorang yang mengamalkan puasa sunat dan dalam masa yang sama, mereka berniat atau berhajat mendapatkan kesihatan yang baik dan dapat menurunkan berat badannya.

Maka, selagi mana orang berkenaan mendahulukan Allah SWT, insya-Allah dia akan mendapat pahala di samping beroleh faedah dunia, yakni kesihatan yang baik dan badan yang ramping.

Walau bagaimanapun, hendaklah difahami bahawa di sisi agama Islam, zakat adalah amalan yang dikategorikan sebagai hukum taklifi. Ia adalah fardu dan wajib.

Amalan fardu lagi wajib ini, pengertiannya menurut syariah, apabila menunaikannya mendapat pahala dan jika meninggalkannya mendapat dosa.

Maka, sesiapa sahaja yang menunaikan zakat, sama ada atas niat mahu mendapatkan rebat cukai atau apa-apa sahaja, hakikatnya dia masih tertakluk kepada hukum asal zakat - yakni berpahala mengerjakannya dan berdosa meninggalkannya.

Namun, sama ada benar-benar mendapat pahala atau tidak, ia adalah urusan Allah SWT. Apa yang penting, jika ibadah zakat ditunaikan berbetulan dengan syarat dan rukunnya, ia tetap sah dan mudah-mudahan ia berpahala.

Oleh itu, adalah lebih molek sekiranya kita mengikhlaskan niatnya semata-mata kerana Allah. Sama ada terpaksa atau rela, ia adalah kewajipan kita. Maka, menunaikannya dengan niat sepenuh hati mentaati hukum dan perintah Allah SWT adalah lebih baik dan dipandang terpuji lagi mulia di sisi Allah SWT.

Seorang fuqaha pernah mengungkapkan: "Tiada siapa yang boleh memberitahuku sama ada semua amalan itu diterima pada timbangan amalanku, dan adakah ia diterima di sisi Tuhanku? Allah telah berfirman (yang bermaksud): Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa. (al-Maidah: 27)

Kesimpulannya, utamakan berzakat kerana mentaati perintah Allah, kemudian rebutlah segala manfaat sampingan yang ditawarkan.

Insya-Allah, kita akan beroleh pahala dan amalan itu sah di sisi Allah SWT. Wallahu a'lam

Thursday, December 29, 2011

Adakah anda mengalami masalah isteri lesu di ranjang????





Kenali punca anda hilang minat layan suami

TIDAK ghairah melihat suami? Atau anda berhubungan intim secara terpaksa kerana memikirkan ia adalah kewajipan perlu ditunaikan seseorang isteri terhadap suami?

Ini mungkin tidak menjadi masalah bagi isteri yang ‘sihat’ atau aktif perhubungan seksnya dengan suami, tetapi sebaliknya menjadi trauma atau fobia bagi mereka yang berasakan layanan di ranjang bukan lagi keutamaan.

Rasa dingin lebih menguasai diri berbanding pemikiran dan tanggapan bahawa ini adalah tanggungjawab dan antara faktor yang menghangatkan lagi rumah tangga pasangan itu. Malah, silap jika ada yang memandang ringan peranan hubungan di ranjang ini kerana ia bukan sekadar merangkumi aspek keseronokan fizikal, sebaliknya ‘kunci’ kemesraan suami isteri yang mempengaruhi hayat perhubungan itu. Tidak hairanlah jika ada yang berkata, dingin di ranjang boleh membawa dingin kepada perhubungan.

Wajarkan masalah itu dibiarkan saja?

Dingin seks pengaruhi emosi pasangan

Tahukah anda, apa juga punca dan masalah yang mengundang kepada masalah kedinginan seks, ia sebenarnya banyak dipengaruhi faktor emosi serta tekanan berikutan beban kerja harian.
Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik dan Ginekologi), Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Nik Hazlina Nik Hussain berkata, hubungan seks bagi seorang lelaki adalah persetubuhan manakala seorang isteri pula beranggapan, sentuhan dan belaian paling penting dalam berhubungan intim.

Jelasnya, hubungan seksual terbahagi kepada dua iaitu seksual ‘penetrative’ yang membabitkan hubungan seks (persetubuhan) dan ‘non-penetrative’ yang tidak membabitkan hubungan seks tetapi wujudnya sentuhan dan belaian.

“Fungsi dan kemahuan seksual bagi seseorang lelaki serta wanita amatlah berbeza. Justeru, penting bagi wanita mempelajari keinginan lelaki dan begitu juga sebaliknya bagi menjamin kejayaan hubungan.

“Bagaimanapun, organ paling utama mengawal kehendak seksual adalah otak. Jadi, perubahan emosi, tekanan di tempat kerja serta rumah tangga juga sebenarnya menyumbang kepada kedinginan seks di kalangan pasangan muda,” katanya.

Masyarakat Timur juga dikatakan cukup terbatas dalam membicarakan isu seks secara terbuka dan perkara itu sering kali dikaitkan dengan kekangan budaya serta agama.

Bagaimanapun, di antara lelaki dan wanita, keterbatasan itu jelas lebih membelenggu kaum Hawa biarpun pada masa dulu, golongan ini dikatakan lebih menonjol dalam menjaga hubungan intim.

“Masyarakat kita khususnya wanita segan berbicara mengenai isu seks apatah lagi di usia emas kerana ramai yang percaya, seks bukan sesuatu yang penting.

“Malah, ada wanita berusia terus meminggirkan hubungan seks biar pun hakikatnya ruang dan waktu untuk bersama pasangan terbuka luas selain tidak lagi ‘diganggu’ anak yang makin meningkat dewasa.

“Lantaran kekosongan waktu tidak diisi, kesunyian tidak dirawat menjadikan usia emas menjadi ‘titik’ permulaan kepada pasangan suami isteri memulakan hidup baru dengan memilih untuk bersendirian atau mencari teman baru,” katanya.

Bagaimanapun kata Dr Nik Hazlina, usia bukanlah faktor utama menyebabkan wanita dingin terhadap pasangan kerana masalah ini juga boleh berlaku di kalangan wanita lebih muda.

“Faktor psikologi paling penting dalam menentukan tahap keghairahan seksual seseorang kerana otak adalah organ utama yang mengawal pemikiran tersebut,” katanya.

Tambah Dr Nik Hazlina, apabila menopaus, wanita juga cenderung dingin seks kerana di kala itu berlakunya kekurangan aras hormon estrogen yang mengakibatkan kekeringan faraj.

“Keadaan itu menyebabkan kesakitan dan kerengsaan semasa hubungan seks tapi hakikatnya, seorang wanita menopaus boleh mengambil rawatan hormon estrogen dalam bentuk krim atau gel dikenali sebagai Premarin Cream dan Estrogel bagi menanganinya.

“Penting juga bagi suami memahami masalah tersebut dan sama-sama mempelajari kaedah meningkatkan nafsu terutama dengan pandai membelai si isteri.

“Malah, di usia menopaus juga masa tepat bagi wanita yang baru sedar telah lama mengetepikan kepentingan seksual kerana di kala inilah hubungan seks boleh berlangsung secara aman, dalam keadaan tidak terburu-buru atau berhati-hati,” katanya.

Bagi menangani masalah kedinginan seksual, wanita boleh mengamalkan rutin senaman misalnya aerobik kerana regangan dilakukan dapat memberi kesan positif kepada tubuh badan malah setiap pergerakan senaman itu mempraktikkan pengamalan pengecutan otot faraj atau dikenali juga sebagai ‘Kegel exercise’.

Ia menjauhkan wanita daripada penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, hiperkolesterolemia dan lain-lain penyakit lagi malah dapat membantu mengekalkan stamina di ranjang.

“Senaman sebegini dapat membantu menguatkan otot di pelvik justeru, cengkaman otot ini menjadi kuat sekali gus dapat memberi kesan orgasma yang amat memuaskan kepada pasangan serta wanita itu sendiri.

“Malah, senaman ini juga dapat menghalang dari berlakunya ‘prolaps rahim’ dan juga mengelakkan daripada berlakunya kebocoran kencing biasa dialami wanita pernah hamil dan berusia,” katanya.

Makanan 'bangkit' selera intim

MENGIKUT kajian antarabangsa, lebih 40 peratus wanita merungut tidak berminat mengadakan seks pada tahap-tahap tertentu usia mereka. Bagaimanapun, ramai penyelidik mengakui betapa sukarnya untuk mengukur apakah yang disifatkan nafsu yang normal dan sebaliknya.

Andai si isteri mahukan hubungan intim kurang kerap daripada keinginan suami, hakikatnya tiada seorang pun daripada mereka berada di luar tahap normal jika mengambil kira faktor usia. Malah, ia juga berbeza dari seorang wanita kepada wanita yang lain.

Bagaimanapun, bilakah masanya kita harus berjumpa doktor? Ini bergantung kepada tahap keinginan untuk mengadakan hubungan intim - sama ada anda amat jarang melakukan hubungan seks atau kerap melakukannya. Sebelum bertemu doktor, anda perlu menyiapkan catatan kekerapan hubungan, maklumat perubatan, jenis ubat, vitamin dan makanan tambahan yang diambil.

Namun, apakah cara lain untuk mengatasi masalah lesu di ranjang ini?

Berikut antara makanan yang seperti dilaporkan media antarabangsa dan didakwa boleh mencetuskan ‘selera’ di ranjang, baik untuk isteri mahu pun suami:

  • Batang sadri (celery)
    Ia dikatakan sumber terbaik bagi mencetuskan atau memberi rangsangan seks kerana mengandungi androsterone - hormon tanpa bau yang dirembeskan menerusi peluh lelaki dan dapat membangkitkan keinginan isteri. Cara terbaik menikmati sadri adalah dimakan mentah.

  • Tiram
    Antara makanan klasik bagi pembangkit nafsu. Ia kaya zink atau zat besi yang meningkatkan penghasilan sperma dan hormon testosteron.

  • Pisang
    Mengandungi enzim bromelain yang dapat meningkatkan keinginan untuk berasmara. Pada masa sama, pisang juga sumber baik potasium dan vitamin B seperti riboflavin yang dapat meningkatkan tenaga badan.

  • Koko
    Makanan ini dalam bentuk coklat mengandungi theobromine dan bahan kimia phenylethylamine yang boleh mencetuskan ‘perasaan’ asyik atau seperti seronok. Justeru apabila ada wanita menyatakan betapa hebatnya nikmat coklat, maka percayalah ia bukan sekadar pengucapan sebaliknya fakta. Coklat juga kaya antioksidan yang bagus untuk kesihatan dan sistem imun badan.

  • Buah avocado
    Buah ini kaya asid folik yang berperanan penting bagi keperluan protein, sekali gus meningkatkan tenaga. Ia juga mengandungi potasium (membantu melancarkan kelenjar tiroid wanita) dan vitamin B6 (nutrien bagi membantu penghasilan hormon lelaki) - dua perkara penting bagi membangkitkan nafsu suami isteri.

  • Badam
    Sumber utama asid lemak yang penting bagi badan. Jika bau badam dapat membangkitkan ‘selera’ wanita, kekacang ini juga penting bagi penghasilan hormon lelaki.

  • Mangga, peach dan strawberi
    Buah-buahan ini selain penting dari segi rasanya yang manis dan enak, ia juga penting sebagai makanan sebelum tidur. Suami atau isteri boleh menjadikannya elemen membangkitkan rasa dengan saling menyuap pasangan.

  • Telur
    Biarpun bukan kategori makanan paling penting untuk membangkitkan keinginan bersama, telur kaya vitamin B6 dan B5 yang bukan saja menseimbangkan hormon, tetapi dapat menangani stres atau tekanan. Ini sekali gus meningkatkan keinginan untuk berasmara dan memaksimumkan tahap tenaga.

  • Bawang putih
    Mungkin baunya tidak enak, tetapi bawang putih mengandungi allicin yang dikatakan dapat meningkatkan pengaliran darah ke organ seksual. Jika anda tidak tahan dengan bau untuk dimakan secara mentah, cuba ambil dalam bentuk kapsul.

    INFO: Antara punca dingin seks
  • Masalah emosi - kemurungan, keresahan (mengenai seks atau perkara lain), tekanan, kemarahan dan rasa bersalah semua boleh menjejaskan fungsi seksual wanita.
  • Rangsangan yang tidak mencukupi - kurang pengetahuan mengenai rangsangan seksual dan tindak balas boleh menghalang wanita daripada mencapai satu pengalaman yang memuaskan.
  • Beberapa gangguan pelvis boleh menyebabkan kesakitan dalam persetubuhan dan seterusnya mengurangkan kepuasan.
  • Kekejangan yang menyakitkan otot yang mengelilingi pembukaan faraj yang menyebabkan pembukaan faraj "mengetatkan" dan hubungan yang menyakitkan. Kecederaan atau parut akibat pembedahan, penyalahgunaan atau melahirkan anak.
    *
  • Penyakit kelamin - Seperti ketuat di alat kelamin, sifilis adalah antara penyakit berjangkit yang disebarkan oleh hubungan seks. Ini menyebabkan perubahan dalam alat kelamin yang menjadikan seks tidak selesa ataupun sakit.
  • Vaginitis - Bengkak dan kerengsaan tisu faraj yang disebabkan oleh jangkitan atau sebab lain boleh membuat persetubuhan tidak selesa atau sakit.
  • Penyakit radang pada tulang punggung (pelvis) - Ini adalah jangkitan faraj yang bergerak ke dalam serviks, uterus dan ovari. Ia boleh sangat menyakitkan sendiri dan membuat persetubuhan amat menyakitkan.
  • Keletihan
  • Penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, penyakit hati, penyakit buah pinggang
  • Pengambilan ubat-ubatan - Ia boleh mengurangkan keinginan nafsu seks. Salah satu yang terkenal kumpulan ubat-ubatan yang mempunyai kesan ini terpilih serotonin reuptake perencat (SSRI) kumpulan ubat antikemurungan, ubat-ubatan kemoterapi tertentu, ubat-ubatan untuk tekanan darah tinggi.
  • Lain-lain rawatan perubatan - rawatan seperti terapi radiasi untuk kanser jenis tertentu boleh mengurangkan pelinciran vagina.
  • Sejarah penderaan - wanita yang mengalami penderaan seksual atau lain-lain mungkin mempunyai masalah untuk mempercayai pasangannya, timbul perasaan takut, rasa bersalah atau kebencian dengan pengalaman ngeri.
  • Masalah peribadi - seperti tidak ada keharmonian dalam rumah tangga, tekanan akibat bebanan tugas di tempat kerja dan menjaga anak atau kesempitan wang.
  • Tiada komunikasi dengan pasangan, tidak mesra, tidak percaya

    Tip hangatkan semula hubungan:
  • Bangkitkan rasa yakin mengenai kemampuan di ranjang.
  • Maklumkan kepada pasangan keinginan anda.
  • Bersikap terbuka dengan suami mengenai seks supaya sebarang masalah dapat dibincangkan bersama.
  • Anggap hubungan intim satu keinginan, keseronokan bersama daripada sekadar menunaikan tanggungjawab untuk suami.
  • Pelbagai kaedah supaya hubungan itu lebih menyeronokkan, bukan bebanan atau tekanan.
  • Terima hakikat yang hubungan di ranjang adalah satu anugerah untuk melengkapkan diri sebagai wanita, isteri dan pasangan kepada suami.

  • Oleh Siti Nur Almizan Aripin


    Pelanggan pusat servis Proton Melaka kecewa !!


    SUNGGUH mengecewakan, itu sahaja gambaran saya tentang Pusat Servis EON Melaka. Ceritanya bermula apabila saya membuat temu janji untuk menghantar kereta Proton saya untuk servis. Bercakap melalui telefon, saya dan pegawai di hujung talian sudah bersetuju untuk memberikan slot yang sesuai untuk saya.

    Setibanya di sana pada jam 8.40 pada 27 Disember 2011, prosedur biasa seperti berhubung dengan pegawai berkenaan dilakukan. Saya lalu meninggalkan kereta untuk pergi bersarapan. Saya kembali pada jam 10 pagi dan hanya terkejut ketika melihat kereta saya masih lagi di tempat yang sama dan tidak dimasukkan ke dalam tempat servis kereta walaupun sudah lebih kurang sejam setengah dari masa urusan saya di kaunter pusat servis tersebut. Saya lantas bertanyakan kepada salah seorang pegawai mereka dan tindakan diambil.

    Sedang menunggu, kelihatan ramai mekanik EON secara segerombolan keluar dengan teriakan "Jom minum!". Ketika itu jam 10.30 pagi. Saya terpinga-pinga dan terus menjenguk ke tempat servis tersebut. Kereta-kereta ditinggalkan tanpa pengawasan dan saya rasa sedikit hampa.

    Mereka dengan senang hati meninggalkan kereta di bawah jagaan mereka dan lebih teruk membiarkan tuan punya kereta menunggu.

    Inikah cara mereka menunjukkan moto baru Proton We are committed to improve? Saya terfikir, jika di tempat servis lain yang pelanggan menjadi sumber utama perniagaan mereka, pasti sahaja mereka membungkus makanan dan minuman supaya pelanggan tidak menunggu.

    Saya terus menunggu. Ada juga cakap-cakap pelanggan lain yang merungut ada beberapa kereta yang lambat dapat masuk awal untuk diservis walaupun tiada temu janji dibuat. Kawan kenal kawan mungkin? Atau pegawai bertanggungjawab terlepas pandang?

    Saya terus-terusan menunggu. Saya juga membuat permintaan agar bahagian kereta saya yang lain dilakukan. Mereka ambil tindakan tetapi lama untuk menyiapkannya kerana saya memerhatikan mekanik tersebut melakukannya sehingga selesai dan dalam fikiran saya, "kalau dia fokus, tak berjalan sana sini, boleh siap awal ni?"

    Mata saya juga tertarik dengan beberapa sijil yang tergantung di dinding tempat menunggu berkenaan. Pusat Servis EON Melaka telah dianugerahkan dua sijil untuk tahun 2010/11 sebagai best productivity - technicians dan 1st place for service. Saya betul-betul tertarik. Adakah membiarkan pelanggan menunggu dikira sebagai best service (perkhidmatan terbaik)? Ataupun mereka benar bagus, namun apabila dianugerahkan penghargaan sebegitu, perasaan bangga menjatuhkan prestasi mereka secara keseluruhannya?

    Setelah 4 jam setengah menunggu, akhirnya kereta saya siap. Tiada penerangan oleh pegawai di kaunter tentang apa yang ditukar semasa kereta saya diservis dilakukan, seperti mana yang dilakukan oleh pusat servis Proton yang pernah saya masuki sebelum ini. Saya terus berlalu dengan perasaan cukup kecewa dan marah.

    Urusan ke hospital, LHDN dan yang lain terus juga tergendala dek masa yang dimakan ketika kereta saya diservis.

    Sekali lagi saya kecewa. Kata pepatah Inggeris Time is of essence". Mereka mungkin tiada frasa tersebut kerana pusat servis itu adalah tempat kerja mereka, jadi mereka bukan orang yang terkesan daripada tindakan sedemikian. Sikap dan tindak laku oleh orang bawahan sebegini yang menyebabkan rakyat terus hilang percaya, apatah lagi melihat moto baru Proton We are committed to improve. Benarkah mereka benar-benar komited?

    INSAN KECEWA
    Cheng, Melaka.

    Sebagai negara Islam, hotel2 di Malaysia sepatutnya Muslim friendly....kenapa mesti pakai bikini kalau nak mandi pool????



    INDUSTRI perhotelan negara semakin berkembang seiring dengan pertumbuhan produktiviti pelancongan negara. Statistik Kementerian Pelancongan mencatatkan peningkatan kemasukan pelancong asing dari 10.2 juta (tahun 2000) kepada 24.6 juta orang (2010). Malah, jumlah ini sangat ketara di kalangan pelancong negara-negara Islam, terutama Timur Tengah iaitu peningkatan hampir empat kali ganda dalam tempoh enam tahun pada 2010.

    Walaupun begitu, penawaran tempat penginapan terutamanya hotel yang mesra pengguna Muslim agak berkurangan. Isu-isu sensitif umat Islam seperti tanda arah kiblat, makanan halal, minuman keras, aktiviti pelacuran, perjudian, bilik persalinan, kolam renang terbuka dan sebagainya sering tidak dititik berat oleh pihak yang bertanggung jawab.

    Justeru, sebagai panduan untuk mewujudkan hotel yang lebih mesra pelanggan Muslim, kita seharusnya kembali merujuk kepada al-Quran dan hadis yang cahaya panduan dalam setiap aspek kehidupan manusia. Walaupun bukan secara terus, namun suruhan, larangan dan pedoman wahyu menjadikan kita tidak hilang idea dalam perkara ini.

    Reka bentuk dan ruang bilik air dan tandas, sama ada di kawasan hotel atau dalam bilik penginapan adalah suatu yang penting untuk diteliti. Secara asas, Rasulullah SAW melarang membuang air kecil atau besar dengan menghadap ke arah kiblat.

    Justeru, hotel yang bercirikan Islam sepatutnya merancang lokasi dan pelan bilik air dan tandas supaya pelanggan tidak menghadap kiblat ketika qada' hajat.

    Kemudahan bilik air seperti paip air untuk berwuduk atau beristinjak mestilah ada dan bukannya hanya diletakkan tisu semata-mata. Kelengkapan lain seperti kain basahan, peralatan kecil lain seperti berus gigi, ubat gigi halal dan seumpamanya disyorkan diwujudkan.

    Ini secara langsung membantu pelanggan supaya mematuhi galakan mandi tidak berbogel dan sunnah sentiasa bersiwak.

    Pihak hotel juga boleh menyediakan ruangan ibadah khas dalam bilik penginapan. Ruangan ini boleh dilengkapi dengan waktu solat, tikar, sejadah, telekung, ketayap, tasbih dan sebagainya bagi memudahkan pelanggan menunaikan ibadah. Selain itu, tanda arah kiblat adalah suatu kemestian selain disediakan naskah al-Quran dan terjemahannya untuk setiap bilik.

    Suasana di sekeliling bilik penginapan, terutamanya ruangan solat janganlah dipenuhi dengan gambar-gambar yang boleh mengganggu konsentrasi solat.

    Malah, Rasulullah SAW mengingatkan bilik dan ruang yang mempunyai gambar haiwan atau patung tidak akan dimasuki oleh malaikat rahmat.

    Solat adalah wajib ditunaikan, terutama pada awal waktu dan dilakukan secara berjemaah. Justeru, pihak hotel perlu menyediakan surau atau bilik khas yang dijadikan musalla (tempat solat) dan lengkap dengan tempat wuduk. Ini sebagai langkah mesra Muslim bagi memberi kemudahan kepada pekerja dan pelanggan menunaikan solat lima waktu secara berjemaah.

    Lebih baik lagi jika pihak hotel menyediakan imam, bilal dan siak yang bertugas setiap hari. Laungan azan pula bolehlah dikumandangkan pada setiap waktu solat. Malah, rutin hotel begini juga boleh mengelakkan jin jahat daripada berlindung kerana syaitan takut kepada azan.

    Lokasi surau

    Selain itu, papan tanda dan arah hendaklah jelas selain lokasi surau itu sendiri berada di tempat yang strategik untuk disinggahi oleh pelanggan. Surau atau musalla ini juga hendaklah sentiasa bersih, terjaga dan wangi.

    Ruang dapur perlu diberi perhatian dalam industri hotel kerana salah satu piawai penilaian hotel adalah pada tahap kebersihannya. Makanan pula mestilah berkualiti, materialnya halal dan daripada sumber yang halal. Dalam hal ini, kebersihan ruang dapur dan kehalalan dan kualiti makanan amat perlu dititik beratkan.

    Imam al-Ghazali menganggap aspek pemakanan adalah sebahagian daripada urusan agama. Ini juga selaras dengan pesanan al-Quran dan hadis yang sering menggandingkan istilah halal dan tayyib (baik).

    Ia sebagai mana Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia, makanlah apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah mengikuti langkah-langkah syaitan; ia adalah musuh yang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

    Oleh itu, setiap hotel yang bercirikan Islam hendaklah memenuhi piawai halal yang ditetapkan dalam negara seperti garis panduan makanan dan minuman halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan piawai Standard Malaysia MS 1500:2009 (Makanan Halal : Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan - Garis Panduan Umum) Jabatan Standard Malaysia (DSM) di samping selari dengan Akta Perihal Dagangan 1972, GHP (Amalan Kebersihan Baik) dan sebagainya. Hotel dan dapur hotel bercirikan Islam juga mesti mendapat sijil halal.

    Pihak hotel juga disyor memberi nilai tambah kepada ciri keislaman dengan menyediakan minuman dan makanan pencuci mulut daripada makanan yang disebut dalam al-Quran dan hadis seperti madu, zaitun, tin, delima, kurma, kismis dan habbatul sauda'.

    Makanan atau minuman yang haram seperti arak tidak boleh disajikan kepada pelanggan. Restoran atau ruang makanan seperti di koridor bilik seminar atau dewan juga disyorkan mempunyai kerusi yang memadai untuk pelanggan. Ini bagi mengelakkan pelanggan makan dan minum secara berdiri yang bukan suatu yang digalakkan dalam sunnah Rasulullah SAW.

    Industri perhotelan mempunyai struktur organisasi yang ramai, iaitu daripada pengurus hinggalah kepada tukang sapu. Namun, realitinya pihak hotel tidak menyediakan jawatan yang terlibat dalam urusan keagamaan.

    Justeru, hotel bercirikan Islam sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya seorang Pegawai Agama yang boleh memberi justifikasi kepada sebarang perkara berkaitan hukum hakam. Pegawai Agama dan stafnya juga boleh berperanan melaksanakan dakwah dan amar makruf nahi munkar.

    Justeru, pihak hotel perlu mengambil inisiatif mewujudkan Majlis Penasihat Syariah seperti dalam industri perbankan dan takaful negara. Ia boleh berfungsi menasihati, memantau serta mengenal pasti pelaksanaan urusan sama ada dari segi fizikal, makanan dan persekitaran sentiasa berada dalam piawaian syariah.

    Hotel mesra Muslim juga wajib mempunyai kod pakaian yang selari dengan Islam. Para pekerja hotel dan rumah penginapan juga perlu menjaga etika ketika bertugas, mengawal pergaulan, personaliti selain bersikap prihatin dan jujur terhadap pelanggan.

    Hotel yang bercirikan Islam juga bertanggung jawab ke atas perilaku dan aktiviti pelanggan. Justeru, hotel perlu memastikan pasangan lelaki dan perempuan yang menginap adalah pelanggan yang sah daripada segi hubungan syarak. Mereka yang belum berkahwin dan bukan mahram tidak boleh menginap dalam satu bilik.

    Oleh itu, hotel sewajarnya meletakkan peringatan dalam pamplet, risalah, papan tanda dan seumpamanya tentang larangan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

    Selain itu, segala aktiviti dan makanan serta minuman haram seperti arak perlu disekat daripada dibawa masuk oleh pelanggan.

    Industri perhotelan biasanya menyediakan pelbagai kemudahan sampingan kepada pelanggan seperti televisyen, kelab, kolam mandi, akhbar dan sebagainya. Sebagai hotel mesra Muslim, perkara ini juga perlu diberi pertimbangan supaya selari dengan syariah.

    Justeru, televisyen sepatutnya mempunyai saluran informasi Islam dan hanya melanggan saluran bersesuaian seperti pendidikan, selain mengelak melanggan saluran yang tidak bermanfaat. Jadual waktu solat, senarai masjid dan restoran halal berdekatan hotel harus disediakan di kaunter hadapan untuk rujukan pelanggan

    Kelab, pusat hiburan, pusat urut dan sebagainya sewajarnya dipisahkan antara lelaki dan perempuan selain tiada ruang untuk pergaulan bebas dan dalam suasana gelap.

    Kolam renang pula wajib dipisahkan lelaki dengan perempuan di samping ingatan penggunaan pemakaian yang sesuai dengan syarak.

    Selain itu, pihak hotel juga boleh mengadakan program keilmuan Islam dari masa ke semasa. Risalah dan pelekat peringatan seperti doa harian perlu diedar dan ditampal di tempat strategik serta berkaitan.

    Program berkala seperti ceramah, kuliah dan bentuk tazkirah bukan lisan seperti di papan notis, banner dan sebagainya juga perlu diberi perhatian.

    Penawaran mengikut kuasa pelanggan. Jika ramai pelanggan yang berkehendakkan begitu, pasti pengusaha hotel akan menawarkannya.

    Oleh NAJAHUDIN BIN LATEH

    Kisah wanita cantik, ceria, cergas, cerdik...





    WANITA dan kecantikan bagaikan aur dengan tebing, memang tidak boleh dipisahkan, jika dipisahkan, pincanglah lagu, pincanglah irama.

    Begitulah perumpamaan yang mengaitkan wanita dengan kecantikan. Laporan yang mengatakan wanita menghabiskan sebahagian besar gaji untuk membeli kosmetik dan memberi fokus yang istimewa terhadap diri untuk kelihatan cantik bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

    Sebagai wanita, kita akan lebih terkejut jika ada wanita yang tidak memberikan perhatian terhadap kecantikan mereka dan sangat terkejut jika ada wanita yang langsung tidak tahu bagaimana hendak mencantikkan diri.

    Kecantikan adalah salah satu antara kuasa wanita selain kelembutan dan sifat keibuan wanita. Lelaki mana yang tidak tertarik dengan wanita cantik, tanyalah mana-mana lelaki, sudah pasti jawapannya jelas dan spesifik, mereka sukakan wanita yang memiliki 4C iaitu CANTIK, CERIA, CERGAS DAN CERDIK, kerana itulah sebenarnya yang dikatakan cantik luar dan cantik dalam yang merangkumi aspek mental, fizikal, sosial dan spiritual.

    Mengapa wanita obses dan sukakan kecantikan sampai sanggup berhabis duit untuk cantik.

    Ada yang hendak cantik dengan sanggup melakukan pelbagai cara 7S: Susuk yang dimasukkan ke dalam badan; Suntik pada bahagian-bahagian yang boleh mempertingkatkan keyakinan diri wanita iaitu kawasan 5P, pinggang, punggung, perut, pipi dan payu dara; Senam habis-habisan; Sekat makan hingga kurang makan; Sapu krim putih muka dan kawal jeragat, jerawat; Sental badan untuk buang daki badan dan cerah kulit dan Surgeri kosmetik pada muka dan seluruh badan.

    Semua usaha 7S sanggup dilakukan bagi wanita yang obses untuk cantik dan ada akses untuk jayakannya, tapi soal fulusnya perlulah difikirkan dengan tulus!

    Kerana nak cantik, kosnya juga bukan sedikit, duit yang membukit, lama-lama jadi sikit, badan sihat cari duit, lama-lama jadi sakit kerana kuat cari duit, tapi semuanya wanita sanggup lakukan hanya kerana hendak Cantik dan Menarik, untuk menjadi perhatian dan anganan serta igauan kaum lelaki khususnya dan kecemburuan wanita lain yang menjadikan wanita cantik idola kerana kecantikan tubuh badan macam biola!

    Mengapa wanita obses dan sanggup melakukan apa saja untuk cantik? Jawapannya terletak kepada perkataan Cantik itu sendiri. Cuba kita fahami satu persatu:

    C - Cemerlangnya wanita itu sering dikaitkan dengan cantik dan intelek yang memiliki semua sifat wanita cemerlang iaitu Cantik, Ceria, Cergas dan Cerdik.

    A - Aspirasi kepada kaum lelaki apabila berdampingan dan memiliki wanita cantik yang akan mempertingkatkan lagi semangat dan jati diri lelaki.

    N - Nilai-nilai positif wanita yang disenangi seperti sikap kemanjaan, kemesraan dan keibuan banyak dikaitkan dengan wanita cantik.

    T - Takluk dunia dengan kecantikan dan sejarah telah membuktikannya dengan kecantikan Cleopatra telah melemahkan pahlawan ternama Mark Anthony, bagaimana Majnun menjadi gila kerana kecantikan Laila!

    I - Inspirasi wanita cantik juga menjadi dambaan lelaki dan tidak dinafikan bahawa cantik itu sebagai penyalur idea dan ilham yang memberi inspirasi kepada lelaki. Wanita-wanita Malaysia yang cantik antaranya Siti Norhaliza, Norfazura menjadi sumber inspirasi kepada wanita-wanita lain untuk kekal cantik dan menarik.

    K - Kejayaan juga dikaitkan dengan kecantikan kerana wanita-wanita yang ternama dan berjaya ramai terdiri daripada wanita-wanita cantik, menarik dan bergaya.

    Dengan tagline beauty is the sign of success menjadikan wanita sanggup beratur inline dan online untuk membeli kosmetik untuk cantik! Hingga wang merekapun offline!

    PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON
    Kolej Pengajian Siswazah UNITEN, Kampus Putrajaya.

    Antara zakat pendapatan dan cukai pendapatan....


    DI dalam mengelolakan ruangan Bicara Zakat di akhbar Utusan Malaysia, antara persoalan yang perlu saya kupas demi kebaikan semua orang ialah, mengenai pelarasan zakat dan cukai yang akan dinikmati oleh seseorang individu muslim yang menunaikan zakat.

    Soalannya mudah sahaja, misalnya sejauh manakah seseorang itu berhak mendapat rebat atau pengurangan cukai implikasi zakat yang ditunaikan?

    Sebahagian daripada jumlah cukai atau sepenuhnya atau ada peratusan tertentu yang layak? Bagaimana pula mekanisme pelarasan dilaksanakan?

    Apakah pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengiktiraf pelarasan ini dan bagaimana mereka tahu seseorang itu sudah berzakat? Berapa tahun kebelakangkah atau tempoh masa yang diizinkan? Dan banyak lagi soalan yang konotasinya hanya satu: Saya menginginkan rebat ke atas cukai saya hasil zakat yang saya lunaskan. Sebelum saya mengupas isu ini secara terperinci, berikut dipaparkan petikan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3):

    "Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis".

    Baiklah, selanjutnya sejauh manakah seseorang berhak mendapatkan rebat ke atas cukainya? Dalam hal ini, sesuatu yang wajib diketahui, pembayaran zakat hanya diberikan rebat oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar di dalam tahun taksiran cukai pendapatan.

    Ia bermakna, jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2009, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan sahaja. Tiada istilah boleh patah-balik bagi mengira zakat yang telah dilunasi pada tahun-tahun terdahulu.

    Oleh itu, apa yang penting ialah tarikh zakat dibayar; bukannya tarikh haul. Jika tarikh haul seseorang sudah berlalu, katakanlah seseorang itu membayar zakat bagi haul tahun 2008 (dalam tahun 2009), maka di atas resit akan tertulis 'haul zakat 2008'; namun ia sebenarnya hanya akan dikira untuk rebat pada tahun 2009 sahaja.

    Seterusnya, berapakah jumlah yang diizinkan oleh pihak LHDN untuk dibuat potongan atau rebat? Menurut ACP 1967, Seksyen 6A (3) di atas, tidak disebutkan jumlah amaun yang tertentu atau batas amaun yang tertentu.

    Ini bermakna, selagi mana pembayaran itu dibuat atas nama pembayaran yang wajib di sisi agama - dalam konteks ini ialah zakat - maka ia masih dikira layak untuk memperoleh rebat ke atas cukai. Jelasnya, tiada sebarang limitasi ke atas pembayaran zakat ini.

    Walau bagaimanapun, timbul isu apabila seseorang memberikan zakat dalam amaun yang besar berbanding pendapatannya. Harus diingat, kadar zakat hanyalah dalam batas 2.5 peratus sahaja (atau 1/40).

    Maka seandainya seseorang itu memberikan jumlah zakat yang lebih besar, maka akan timbul pertanyaan di pihak LHDN, adakah sebenarnya pendapatan seseorang itu adalah lebih besar berbanding apa yang diisytiharkan di dalam borang taksiran cukai (BE).

    Maka, di sini pihak pembayar zakat sewajarnya bijaksana menggunakan keluwesan akta yang meletakkan 'bayaran wajib' bagi menunaikan lain-lain zakat dan tidak semestinya hanya terbatas kepada zakat pendapatan sahaja.

    Mereka boleh misalnya menunaikan zakat harta yang lain seperti zakat emas, saham, wang simpanan, zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja hatta qada zakat terdahulu ke dalam bayaran zakat menerusi 'potongan zakat pendapatan' semasa. Ini semua adalah bayaran wajib yang melayakkan mereka memperolehi rebat ke atas cukai pendapatan mereka.

    Di samping itu, apabila seseorang itu sudah menunaikan zakat maka mereka perlu menyimpan dengan baik dan selamat segala bukti pembayaran zakat, sama ada resit bayaran zakat fitrah mahu pun penyata zakat tahunan.

    Ini adalah bukti yang wajib dikemukakan kepada pihak LHDN kelak, apabila diminta berbuat demikian. Kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan masalah, kerana deklarasi yang dibuat tidak dapat dibuktikan.

    Walau bagaimanapun, seandainya resit sudah rosak, maka pembayar zakat masih boleh memohon salinan baharu daripada pihak institusi zakat.

    Contoh rebat ke atas cukai pendapatan Encik X pada tahun 2009:

    l Cukai patut dibayar RM5,000

    l Zakat pendapatan RM1,200

    l Zakat wang simpanan RM1,800

    l Qada Zakat RM1,000

    lBaki cukai perlu dibayar RM1,000

    Sekarang, mari kita lihat pula apakah kesan pelarasan zakat dan cukai, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam Potongan Cukai Berjadual (PCB).

    Mengikut Warta Kerajaan bertarikh 1 Januari 2001 berkenaan dengan kaedah-kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) (Pindaan) 2000 dan berkuatkuasa mulai Januari 2001, apabila seseorang pekerja telah membuat bayaran zakat kepada pihak berkuasa zakat, maka majikan boleh membuat penyesuaian (pelarasan) kepada PCB yang harus dipotong setelah melihat bukti tentang bayaran zakat tersebut.

    Keputusan ini memberi implikasi yang sangat besar kepada amalan zakat di Malaysia, kerana setiap orang Islam yang menunaikan zakat khususnya menerusi Skim Potongan Gaji (SPG) dan mereka juga dikenakan PCB, maka mereka berhak mendapatkan pelarasan ini secara automatik.

    Contoh 1: Kesan pelarasan PCB - Zakat (SPG) Encik Y bagi Januari 2009

    lPCB bagi Januari 2009 RM100

    lSPG bagi Januari 2009 RM70

    lBaki PCB yang perlu dipotong RM30

    Contoh 2: Kesan pelarasan PCB - Zakat (SPG) Encik Z bagi Februari 2009

    lPCB bagi Februari 2009 RM100

    lSPG bagi Februari 2009 RM60

    lBaki PCB yang perlu dipotong RM40

    Apa yang lebih menarik, dalam kes Contoh 2 di atas, lebihan zakat (SPG) sebanyak RM40 berhak untuk dibawa ke bulan hadapan. Bagaimanapun, pelarasan sedemikian hanya tertakluk kepada tahun semasa sahaja, yakni tidak boleh dibawa sehingga melewati ke tahun berikutnya.

    Dalam kes pelarasan di antara SPG dan PCB ini, para pekerja muslim sebenarnya berhak memohon pelarasan agar dilakukan oleh pihak majikan, sama ada majikan awam ataupun swasta. Namun, ia tertakluk kepada kesediaan majikan itu sendiri.

    Pelaksanaan pelarasan ini juga amat memudahkan mereka, kerana tidak lagi perlu menunggu sehingga ke tahun berikutnya bagi memperolehi pelarasan di antara cukai dan zakat daripada LHDN.

    Untuk kemudahan, institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) membina gerbang khas bagi semua pembayar zakat dan juga majikan yang menjalankan pembayaran zakat termasuklah melalui potongan gaji, bagi tujuan semakan dan sebagainya. Hanya klik di www.e-zakat.com.my/ (klik banner e-zakat pay dan seterusnya klik sama ada e-majikan atau e-zakatonline) bagi memperoleh perkhidmatan berkenaan.

    Kesimpulannya, pindaan pelarasan di atas hakikatnya adalah satu rahmat kepada orang Islam khususnya mereka yang memang terlibat dengan cukai pendapatan.

    Yang lebih penting, pematuhan syariat Allah SWT akan terlaksana tanpa menidakkan undang-undang negara. Inilah namanya, syariat Allah dijunjung dan undang-undang negara dikelek. Wallahu a'lam.

    Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

    Wednesday, December 28, 2011

    Skim gaji baru ditawarkan perkhidmatan awam keliru, kurang menarik !!


    BEBERAPA bulan lalu, kami kakitangan awam berasa sangat gembira apabila skim gaji baru diumumkan Perdana Menteri yang membabitkan kenaikan antara tujuh peratus hingga 13 peratus berkuat kuasa 1 Januari 2012.

    Andaian kami sudah pasti kakitangan kerajaan pada gred paling rendah akan menikmati kenaikan 13 peratus sementara gred paling tinggi iaitu Kumpulan Pengurusan dan Profesional akan mendapat kenaikan tujuh peratus

    Namun sangkaan ini meleset apabila melihat kepada Tawaran Opsyen dikemukakan Jabatan Perkhidmatan Awam. Kami diarahkan untuk membuat opsyen dalam keadaan sangat tergesa-gesa tanpa mendapat penjelasan mengenai skim gaji baru itu daripada ketua jabatan. Apabila mendapat surat opsyen berkenaan, kami diarahkan untuk menurunkan tandatangan pada borang opsyen pada masa itu juga.
    Sebagai ketua jabatan di sebuah bandar kecil di Pahang, saya agak terkejut apabila melihat skim baru itu. Kenaikan dikatakan itu hanyalah omong kosong daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

    Sebagai contoh tawaran yang diberi kepada pegawai bawahan saya yang berada pada gred paling rendah dalam kerajaan iaitu untuk jawatan Pekerja Awam Gred R1 yang dulunya dipanggil `buruh` yang berkhidmat selama 15 tahun bergaji pokok RM1242.09 hanya mendapat kenaikan RM88 saja. Berbanding jika dihitung naik 13 peratus, beliau sepatutnya mendapat RM161.47. Sebaliknya jumlah kenaikan diperoleh itu hanya lebih kurang tujuh peratus. Begitu juga dengan kerani yang berjawatan Pembantu Tadbir Gred N17 yang sudah berkhidmat selama lebih kurang sembilan tahun bergaji pokok RM1,369.39. Beliau hanya mendapat kenaikan RM61 iaitu tidak sampai pun lima peratus. Begitu juga saya yang berada dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional hanya mendapat tidak sampai enam peratus, walaupun diumumkan kenaikan paling rendah tujuh peratus. Saya bukan daripada kumpulan pengurusan tertinggi tetapi di Gred 41 iaitu gred yang paling rendah dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional. Pengalaman saya sebelum ini, biasanya kenaikan gaji baru ialah paling kurang 10 peratus tetapi kali ini ternyata paling rendah.

    Adakah kami tersalah pandang atau ada kesilapan dalam tawaran dibuat JPA?

    PEGAWAI KERAJAAN, Raub, Pahang.

    Jangan beri ruang Malaysia jadi syurga si penipu !!!


    APABILA membuka sahaja setiap helaian surat khabar atau mendengar berita-berita daripada media eletronik, cerita yang tidak pernah tertinggal ialah cerita rakyat Malaysia kena tipu oleh rakyat asing.

    Berita yang dipaparkan pada muka hadapan Mingguan Malaysia 18 Disember lalu menyatakan bagaimana seorang warga Afrika hidup mewah menjadi jutawan hasil daripada kegiatan menipu yang dilakukan terhadap 'dermawan Malaysia' yang 'suka menderma tidak bertempat.'

    Apabila kaki-kaki penipu ini balik ke negara asal mereka dan menguar-uarkan kehebatan mereka menipu dan jadi kaya kerana menipu, menjadikan sahabat-sahabat handai mereka berduyun-duyun datang ke Malaysia untuk menjalankan kegiatan utama mereka iaitu 'menipu.'

    Sudah tertanam dalam kotak fikiran mereka bahawa Malaysia adalah 'negara syurga' bagi mereka yang menjadikan aktiviti menipu sebagai profesion utama mereka.

    Bila fikir-fikirkan balik, sedih juga rasa hati dengan keadaan ini dengan memikirkan mengapa begitu mudah rakyat kita ditipu khususnya wanita.

    Malah berita warga emas wanita kena tipu berjuta ringgit dan puluhan wanita ditipu secara maya dengan memasukkan duit belasan dan ribuan ringgit ke akaun warga asing yang menyamar, dalam hati sering tertanya-tanya 'mengapakah semudah itu wanita Malaysia kena tipu.'

    Tidak pernahkah terfikir oleh mereka akan risiko yang mereka hadapi kerana sikap 'cepat terpesona dan terpana' dengan warga asing tersebut hingga akhirnya mereka merana dan menderita tergadai body dan harta serta harga diri!

    Pelbagai telahan, tekaan dan terjahan yang dibuat oleh pelbagai peringkat masyarakat mengenai mengapa wanita Malaysia mudah terperangkap dan diperangkap oleh warga asing dari Afrika, Indonesia, Bangladesh dan pelbagai negara lain.

    Mengapa dan di mana silapnya? Saya sendiri juga tidak dapat membuat jangkaan dan tekaan yang tepat kerana hanya mereka yang telah melaluinya sahaja yang tahu melalui susah senangnya proses, kejadian dan kesudahan dengan lebih jelas.

    Walau bagaimanapun untuk peringatan kepada anak-anak perempuan dan juga seluruh wanita Malaysia yang terkenal dengan personaliti yang cantik, cerdik, ceria dan cergas ini agar memegang nasihat dan panduan ini supaya tidak kena tipu atau menjadi mangsa pemerdagangan diri dan emosi oleh warga asing.

    1. Jangan mengikut kata hati, nanti mati, selayaknya difikirkan dengan cukup mendalam oleh wanita Malaysia. Janganlah terlalu merasa 'syok sendiri' dengan godaan, manjaan dan belaian warga asing ini seperti warga Afrika yang dikatakan hebat dalam melayan kekasih.

    Ingatlah! Warga asing yang hebat melayan teman wanitanya dengan layanan first class ini adalah 'penipu world class', akhirnya maruah dan harta tergadai dan hidup hancur berderai!

    2. Ukur baju dibadan sendiri, juga sesuai untuk renungan wanita Malaysia, kita mempunyai adat resam, sosio budaya dan agama yang perlu dijunjung dan dipelihara. Jadi janganlah menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara dengan bersekongkol, bersubahat dan bersahabat dengan warga asing kaki penipu ini.

    Berwaspadalah dan carilah pasangan, sahabat, teman lelaki dari anak bangsa sendiri dengan restu dan reda ibu bapa.

    3. Jangan sekali bermain api, kelak membakar diri, boleh menjadi ingatan dan teladan pada wanita Malaysia mengenai keganasan warga Afrika yang membunuh dan menyiksa anak teman wanita mereka, merompak, memukul dan merogol serta menipu yang banyak tersiar di akhbar dan pengakuan mangsa-mangsa.

    Jangan main tutup mata dan berfikir 'itu nasib mereka, mungkin nasib aku lebih baik kalau bersama warga Afrika ini' dan dengan kata-kata inilah yang menjadikan mereka hidup sengsara dan terbakar dalam api neraka dunia.

    Jadi, dengarlah nasihat dan jauhilah warga asing yang hanya menjadikan wanita Malaysia ini untuk hidup 'menumpang dan menjadi dedalu kepada habitatnya.'

    Kembalilah ke jalan hidup yang mempunyai landasan yang benar dan kukuh agar warga asing khususnya Afrika ini tidak lagi menipu anak bangsa kita. Jangan jadikan Malaysia negara 'syurga bagi penipu' dan 'neraka bagi rakyat kita yang ditipu'! Rakyat Malaysia perlu hidup dengan aman sejahtera dan bermaruah demi agama, bangsa dan negara tercinta.

    PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON
    Kolej Pengajian Siswazah
    UNITEN, Kampus Putrajaya, Bangi.

    Fashionista: Topi pelengkap gaya...





    KAPAL terbang dicipta pasangan adik beradik, Orville Wright dan Wilbur Wright, pada 1903, John Logie Baird, pula mencipta televisyen. Namun tidak ramai yang tahu siapa pencetus fesyen bertopi

    Seperti koleksi pakaian yang dipermodenkan mengikut peredaran zaman, topi juga begitu. Jika disoroti sejarah asal, pemakaian topi bermula apabila seorang lelaki dikenali sebagai John Hetherington dari London, United Kingdom (UK), menghadapi masalah benjolan tinggi dan berkilat di kepalanya hingga menimbulkan ketakutan kepada orang ramai.
    Kemunculan Hetherington dengan kekurangan dirinya, pada Januari 1797 dikatakan turut menyebabkan ada wanita pengsan melihatnya, kanak-kanak menangis dan anjing pula menyalak. Malah, seorang kanak-kanak yang takut melihatnya menggigit tangan lelaki berkenaan sehingga berlakunya huru-hara. Hetherington kemudian ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengganggu ketenteraman awam.

    Ketika hadir di mahkamah, Hetherington dikatakan memakai topi jenis tinggi iaitu top hat. Kehadiran beliau dengan bucket hat itu menjadi ikutan dan semakin menjadi popular selain diterima lelaki. Lama kelamaan menjadi popular di kalangan golongan bangsawan.

    Apabila zaman berubah dari abad ke abad, selain pemakaian topi dilihat berfungsi sebagai penutup kepala, rekaannya juga dipelbagaikan mengikut fesyen pada era itu. Dengan aliran fesyen yang begitu pantas, pelbagai jenis koleksi fesyen topi tampil di pasaran.

    Salah seorang pemilik butik jualan topi, Hat Attack, Tam Chee Kheong, berkata pelbagai jenis topi dihasilkan dan setiap rekaan disediakan mengikut keperluan dan kesesuaian sesuatu acara.
    Jelasnya, antara yang biasa dilihat di pasaran ialah top hat, bucket hat, bowler hat, jacky, beach, fedora dan sebagainya, selain beberapa rekaan topi termasuk topi baseball, trucker, visor, beret, kangol, bucket atau untuk memancing dan topi koboi.

    “Topi ada pelbagai jenis fungsinya. Selain melindungi kepala dan wajah daripada pancaran sinaran lembayung (UV) yang boleh memberi kesan buruk pada kulit, topi juga sebagai aksesori tambahan dan pelengkap fesyen.

    “Lelaki ramai menggayakan topi sebagai salah satu cara melindungi rambut tanpa perlu berdandan. Bagaimanapun, wanita moden yang bertudung juga kini ada yang lebih selesa menggayakan koleksi topi rekaan terbaru sebagai menggantikan penutup kepala atau tudung,” katanya.

    Sejarah masih samar tetapi pemakai topi memilih aksesori ini untuk tampil penuh bergaya jika kena caranya. Jika wanita Islam menutup kepala dengan tudung pelbagai gaya dan warna, lelaki pula hanya boleh memakai topi dengan pelbagai jenis dan fungsi.

    Ada yang berpendapat lelaki memakai topi lebih awal daripada wanita. Dalam laman web vintagefashionguild.com menyatakan headwear dipakai wanita ketika Zaman Pertengahan apabila gereja menetapkan wanita perlu menutup rambut.

    Wanita ketika itu menutup kepala dengan tudung, sapu tangan dan hud tetapi mula memakai topi pada abad ke-16.

    Apabila wanita tidak bertudung menjaga mahkota (rambut) dengan berdandan mereka mungkin dikategorikan sebagai kurang berminat dengan pemakaian topi. Penggayaan itu bagaimanapun mengikut sesetengah acara dan majlis sukan.

    Kebanyakan wanita Inggeris golongan bangsawan, pada zaman dulu mahupun kerabat diraja akan mengenakan koleksi topi sebagai satu koleksi aksesori wajib apabila menghadiri acara tertentu seperti majlis perkahwinan atau pengebumian.

    Tam berkata, apabila fenomena muzik K-pop tercetus dengan kehadiran artis Korea yang bergaya dan verstail, remaja tempatan tetapi turut terpengaruh dengan budaya muzik malah gaya pemakaian artis penyanyi Korea itu.

    Ada yang tampil dengan koleksi topi pelbagai rekaan sekali gus permintaan terhadap rekaan topi juga semakin tinggi ketika ini.

    Memahami kehendak dan permintaan generasi baru terhadap pemakaian topi bagi meningkatkan penampilan, Tam membuka butik Hat Attack yang hanya mengkhususkan penawaran topi saja. Pelbagai jenis koleksi disediakan daripada pelbagai jenis fabrik yang sesuai digayakan di Malaysia termasuk berasakan fabrik kapas, bulu, benang kait, kulit, kulit sintetik, kulit mengkuang dan sebagainya.

    Sungguhpun Malaysia bukan negara empat musim (panas, bunga, luruh dan sejuk), namun Tam masih menawarkan koleksi topi untuk ke semua musim yang boleh boleh digayakan mengikut acara bersesuaian.

    Hat Attack dibuka sejak tiga tahun lalu dan mempunyai sembilan cawangan antaranya di Farenhiette88, Bukit Bintang; Subang Parade dan Berjaya Times Square. Lebih 200 jenis koleksi topi dihasilkan dengan 60 peratus daripada pelanggan terdiri daripada Melayu, 30 peratus (Cina) dan selebihnya lain-lain yang memilih topi sebagai gaya dan pengganti penutup kepala.

    Koleksi topi yang disediakan di Hat Attack pelbagai gaya, warna dan rekaan bermula pada harga antara RM29 hingga RM99.

    Jenis topi:

    Topi baseball
  • Penyanyi terkenal, Justin Beiber sering tampil dengan topi jenis ini.
  • Asalnya dipakai oleh pemain softball dan ia sebagai pelengkap seragam permainan itu.
  • Topi ini mempunyai paruh yang besar di depan dan perlu dipakai ikut muat dan ketat seolah membentuk kepala
  • Diperbuat daripada benang bulu atau kapas
  • Sesuai digayakan dengan baju T mengikut warna yang berpadanan selain digayakan dengan seluar jeans atau seluar pendek
  • Sesuai dipakai ketika bercuti dan melakukan aktiviti fizikal
  • Elak memakai ketika mengadakan temu janji atau tujuan perniagaan
  • Jika lelaki budiman, elakkan memakai secara terbalik.

    Topi Trucker
  • Ia seakan topi baseball
  • Sebahagian topi iaitu bahagian depan kepala diperbuat daripada fabrik dengan span nipis sementara bahagian belakang diperbuat daripada plastik dan berlubang-lubang.
  • Mempunyai pelaras saiz kepala dengan lubang kecil.
  • Nampak kasar tetapi bergaya jika dipakai dengan singlet putih, seluar kargo, jeans koyak untuk gaya lebih ranggi.
  • Sesuai digayakan pada acara santai atau parti.
  • Ramai pemain skateboard juga menggayakan topi ini

    Topi Visor
  • Topi ini menyerupai topi baseball dan trucker
  • Ia mempunyai paruh di depan tetapi tidak mempunyai penutup di bahagian atas kepala
  • Rekaan ini sesuai dipakai ketika cuaca panas untuk melakukan aktiviti sukan, seperti golf, tenis atau acara olah raga
  • Kasual dan acara santai tidak sesuai

    Topi Beret
  • Topi ini secara teknikalnya adalah topi lembut, ia jenis yang melepek rata dan luas. Mengikut sejarah ia adalah topi untuk golongan tentera. Topi jenis ini sesuai digayakan dengan pakaian kasual atau kemeja berbutang dan seluar slack.

    Topi rata kangol
  • Kangol seperti beret tetapi ia lebih trendy. Lereng (brim) topi juga kecil dan bahagian atasnya lembut. Ada juga yang berbutang bagi membolehkan bahagian atasnya bertaut kemas.

    Seperti beret, topi kangol juga sesuai dipakai dengan kemeja butang dan seluar slack. Kerana brimnya yang kecil, topi ini sesuai untuk digayakan ke depan, ke belakang mahupun ke tepi.

    Topi bucket/topi memancing
  • Topi ini sesuai untuk aktiviti luar. Rupanya seakan 'baldi' yang ditelangkupkan. Biasanya agak longgar, mempunyai crown yang tinggi serta berlereng topi sederhana lebarnya dan tidak keras.

    Ia kelihatan terbaik jika ditarik separas kening dan ia amat sesuai dipadankan dengan pakaian berwarna coklat, perang muda atau seluar bermuda dan baju T Polo.

    Topi koboi
  • Semua orang tahu bentuk topi ini. Apa yang mesti ada pada topi jenis ini ialah brim (lerengnya) yang lebar. Walaupun mungkin tidak sesuai dikenakan melainkan ketika menunggang kuda, namun jika seorang yang bijak bergaya, ia sesuai dipadankan dengan pakaian rugged seperti jaket denim atau kulit untuk aktiviti luar rumah.

  • Oleh Hidayah Mohammad


    Tuesday, December 27, 2011

    Ibu terkilan anak ditahan polis berjam-jam kerana naik motor...


    SEMUA mengetahui Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan antara polis terbaik di dunia. Akan tetapi, saya ingin menyuarakan rasa terkilan terhadap pihak polis kawasan Kota Damansara.

    Anak saya bekerja di pasar raya yang waktu kerjanya adalah dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

    Namun, perjalanan pulang yang hanya memakan masa 10 minit telah menjadi hingga 2 jam lebih gara-gara sekatan jalan raya yang mereka jalankan.

    Bukanlah niat saya untuk menidakkan tugas pihak polis, akan tetapi yang dipersoalkan di sini, mengapa perlu diambil kunci motor, cukai jalan dan kad pengenalan seterusnya dipegang oleh mereka sehingga beberapa jam?

    Saya faham, ini dilakukan kerana mereka ingin menyemak rekod andainya ada yang ditahan melakukan kesalahan jalan raya.

    Tetapi tidak perlulah sehingga berjam-jam kerana anak saya perlu bangun awal untuk ke tempat kerja keesokan paginya. Adalah lebih elok andainya penyemakan terus dilakukan tanpa menunggu sehingga sebegitu lama.

    Pada minggu lepas, selama tiga hari berturut-turut, dia ditahan hingga jam 4 pagi dan akibatnya tidak cukup tidur, bangun lewat ke tempat kerja dan ironinya anak saya demam panas selama dua hari.

    Hati ibu mana yang tidak sedih mengenangkan anak yang pergi kerja seawal jam 9 pagi dan pulang sekitar 4 pagi? Keadaan ini berlaku hampir setiap hari dan paling awal anak saya dibenarkan pulang sekitar 12 tengah malam atau 1 pagi.

    Mungkin inilah nasib kami selaku orang awam, namun negara demokrasi yang kita amalkan membenarkan kebebasan bersuara selagi ia tidak keterlaluan dan bertentangan dengan undang-undang.

    Di ruangan ini, sudilah kiranya pihak berkenaan mempertimbangkan keluhan kami yang hanya inginkan rasa timbang rasa untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.

    IBU TERKILAN
    Kota Damansara, Petaling Jaya.

    SBPA: Skim gaji perkhidmatan guru perlu diperbaiki


    SAYA mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA. SBPA secara umumnya memang mendatangkan banyak kebaikan kepada semua pihak. Contoh ketara ialah peningkatan gaji mati bagi guru iaitu antara 19.34% hingga 56.78%. Perkiraan ini adalah berasaskan gaji mati P1T3 @ P1T2 mana yang berkenaan di gred gaji SSM dengan gaji mati SBPA.

    Gaji mati SBPA ini berdasarkan kutipan maklumat dari blog-blog yang boleh dipercayai. Ini kerana laman web JPA setakat ini belum memaparkan jadual gaji SBPA. Namun maklumat ini sangat boleh dipercayai kerana berdasarkan pengalaman gaji saya sendiri yang diuar-uarkan di blog tersebut adalah sama dengan tawaran opsyen SBPA yang saya terima. Terima kasih kepada kerajaan dan syukur kepada Allah.

    Namun, disebabkan SBPA ialah sistem ciptaan manusia pasti terdapat beberapa kekurangan. Izinkan saya berkongsi perasaan dan pendapat bersama pembaca sambil mengharapkan mendapat respons positif daripada pihak-pihak yang berkenaan.

    Perkara pertama yang ingin saya kongsikan ialah perbezaan peratusan kenaikan gaji bagi guru di bawah SBPA yang sangat ketara. Kami guru DG44/ DG1-2 cuma mendapat kenaikan gaji sebanyak RM2.01 atau 0.07% iaitu dari RM2,982.99 ke RM1,985. Nilai ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan guru DG54/DG1-6 iaitu sebanyak RM1,857.46 bersamaan 35.94% iaitu dari RM5,167.64 ke RM7,025.00.

    Malah terdengar desas-desus peningkatan gaji JUSA dan kumpulan Premier pula lebih RM3,000 sebulan. Saya tidak dapat memastikan kesahihannya kerana JPA seolah-olah cuba menyembunyikan jadual gaji SBPA daripada menjadi tatapan umum.

    Untuk tujuan perbandingan tersebut, saya telah menggunakan kaedah yang sangat adil iaitu berdasarkan gaji permulaan bagi kedua-dua gred yang dibandingkan.

    Saya mengharapkan agar gaji permulaan SBPA bagi guru DG2-3, DG2-5, DG1-2 DG1-4 dan DG1-5 disemak semula. Jurangnya hendaklah dirapatkan. Kami mengharapkan sekurang-kurangnya 10% kenaikan.

    Perkara kedua ialah mengenai tempoh kenaikan pangkat secara time-based. Jika dihayati ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2012, tempoh guru DG41 (DG1-1) dinaikkan pangkat ke DG44 (DG1-2) adalah tahun ke-8 dan seterusnya tahun ke-16 dikira dari pelantikan DG41 akan dilantik ke DG48 (DG1-4).

    Tapi mengikut SBPA kami menunggu tahun ke-9 atau menggenapkan perkhidmatan selama 8 tahun di DG41/DG1-1 sebelum dinaikkan pangkat ke DG44/DG1-2 dan perlu menggenapkan 8 tahun perkhidmatan di DG1-2 sebelum layak dinaikkan pangkat secara time-based ke DG1-4.

    Formula 8+8+6+3. Tempoh Kenaikan Pangkat. Dipetik daripada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 tahun 2011. Jika diikutkan maksud ucapan PM, formula tersebut sepatutnya jadi 7+8+6+4. Kami sangat mengharapkan agar dasar ini dikaji semula.

    Perkara ketiga yang ingin saya utarakan juga berkaitan dengan perkara di atas. Sebahagian daripada guru siswazah adalah asalnya seorang guru bukan siswazah/lepasan diploma. Kami dinaikkan pangkat ke guru siswazah secara lantikan atau Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL).

    Dalam SBPA kaedah ini dikenali dengan nama Peningkatan Secara Lantikan (PSL). Jika mengikut SSM kami diberi formula 3+7 iaitu menggunakan tempoh perkhidmatan sebagai guru bukan siswazah untuk diambil kira sebagai tempoh perkhidmatan untuk proses kenaikan pangkat ke DG44 atau DG48.

    Formulanya ialah setiap tiga tahun perkhidmatan sebagai guru lepasan diploma sebagai setahun perkhidmatan sebagai guru siswazah dengan had maksimum yang boleh digunapakai ialah 9 tahun perkhidmatan bersamaan 3 tahun perkhidmatan guru siswazah.

    Di bawah SBPA kami tidak mendapat apa-apa maklumat mengenainya. Kami mengharapkan agar dasar tersebut dipanjangkan di bawah SBPA dengan diberi penambahbaikan iaitu dengan menghapuskan had maksimum 9 tahun perkhidmatan bersamaan 3 tahun perkhidmatan guru siswazah.

    Rasionalnya permintaan ini ialah, kebanyakan guru KPSL/PSL ini sudah berumur. Jika dihadkan kepada 9 tahun perkhidmatan sahaja yang diambil kira maka kebanyakan guru ini akan sentiasa ketinggalan dari segi insentif berbanding guru baru. Hargailah jasa guru lama ini.

    Perkara keempat adalah cadangan baru dari saya sendiri. Saya mencadangkan agar gred gaji guru KPSL/PSL diasingkan daripada guru lantikan pertama. Saya mencadangkan diwujudkan gred baru. Contohnya DG1-1A, DG1-2A, DG1-4, DG1-5A dan DG1-6A. Jumlah gajinya dicadangkan 10% lebih tinggi berbanding gaji DG1-1, DG1-2, DG1-4, DG1-5 dan DG1-6. Cadangan ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang dilantik pada Januari 2001 ke PPPS DG3/41 dengan mendapat kenaikan kurang daripada RM30.

    Pada Julai 2007 kerajaan memberikan kenaikan gaji sebanyak 15% kepada kumpulan pengurusan dan profesional manakala kumpulan sokongan 1 (iaitu kumpulan saya sebelum itu) diberi kenaikan 25%.

    Kesannya gaji saya lebih rendah berbanding dengan rakan saya yang sama-sama dilantik sebagai guru bukan siswazah dengan kelulusan SPM pada tahun 1990. Luahan kami tidak diambil tindakan yang sewajarnya.

    Jawapan standard daripada Pegawai Perhubungan Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia ialah tidak boleh membandingkan gaji PPPS DG41 dengan PPPLD DGA32 dan menyarankan kami membandingkan gaji PPPS DG41 dengan gaji PPPLD DGA29.

    Suka dimaklumkan PPPS DG41 yang membandingkan gaji mereka dengan gaji PPPLD DGA32 adalah guru KPSL@PSL yang mana jika kami tidak dilantik ke PPPSDG41 maka kami sepatutnya mendapat gaji sebagaimana PPPLD DGA32.

    Di sinilah wujudnya anomali iaitu di mana pegawai yang dinaikkan pangkat mendapat gaji yang kurang. Satu lagi hujah Pegawai Perhubungan Korporat KPM yang sangat kami benci mendengarnya ialah menyarankan kami melihat secara keseluruhan iaitu elaun-elaun yang diterima.

    Saya akui, jika diambil kira elaun yang diterima, jumlah emolumen yang kami terima adalah lebih berbanding PPPLD32 tapi ia masih tidak berbaloi. Perlu diambil ingatan, elaun tidak diambil kira dalam pembayaran pencen dan gratuiti.

    Saya sangat mengharapkan agar semua kesatuan guru mengambil tempoh lanjutan ini untuk mengadakan perbincangan dengan JPA supaya skim perkhidmatan perguruan diperbaiki.

    JAUHAR AJILI 64
    Hulu Terengganu.

    Adakan hotel bajet dalam hospital untuk kemudahan pelawat..


    MENJADI masalah orang awam sama ada untuk mendapat rawatan atau menziarah orang sakit di sekitar Lembah Klang terutama sekali Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Besar negeri-negeri lain ialah tempat parkir yang selalunya jauh daripada bangunan hospital dan parkir yang tidak dapat menampung ribuan pengunjung setiap hari.

    Sudah sampai masanya setiap hospital besar dan hospital lain membina sebuah bangunan khas bertingkat untuk parkir kereta dilengkapi dengan lif dan tempat pejalan kaki berbumbung untuk pergi dari satu bangunan ke bangunan yang lain atau sediakan bas-bas khas jika jauh daripada bangunan khas parkir tersebut.

    Dicadangkan juga kenapa tidak hospital seperti HKL membina hotel bajet yang moden di dalam kawasan hospital itu bagi memudahkan saudara mara pesakit yang datang dari jauh menginap di sana untuk memudahkan mereka melawat pesakit kronik yang perlukan bantuan asas daripada keluarga.

    Syarat untuk menginap di hotel bajet yang dicadangkan ini ialah mereka kena dapatkan surat mengesahan pesakit yang diwadkan itu.

    SYED ABDULLAH SYED OSMAN
    Ampangan, Seremban.

    Al-Quran bongkar rahsia pembinaan piramid...


    FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan berkatalah Firaun: Wahai kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi agar aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia (Musa) orang-orang pendusta. (al-Qasas: 38).

    Daripada penjelasan ayat al-Quran di atas jelaslah bahawa selama ini manusia menjadi hairan dan kagum bagaimanakah bangunan-bangunan yang dibinakan oleh Firaun iaitu piramid dapat berdiri megah dan perkasa di bumi Mesir pada zaman pemerintahannya hingga kini.

    Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid itu?

    Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu-batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah daripada tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

    Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

    Profesor Gilles Hug dan Dr. Michael Barsoum, menegaskan bahawa piramid yang paling besar di Giza, dibuat daripada dua jenis batuan yang terdiri daripada batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil daripada olahan tanah liat.

    Baru-baru ini majalah Journal of American Ceramic Society memaparkan artikel kajian mengenai bagaimanakah Firaun membina piramid di Mesir yang mengkagumkan itu sebagai peninggalan sejarah tamadun dunia.

    Kajian itu menegaskan, bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Justeru itu tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu besar dan berat ribuan kilogram. Seterusnya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi atau batu alam.

    Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki itu dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.

    Sehubungan itu, Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, beliau menegaskan bahawa batu itu diperbuat daripada lumpur. Selama ini tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam semula jadi dengan batu buatan manusia.

    Penemuan oleh Davidovits adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira 20 tahun. Sebelum kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, Piramid Matahari dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat daripada tanah liat. Ini memperkuatkan lagi keyakinan bahawa kaedah ini tersebar luas di masa yang lalu.

    Tanah liat

    Sebelum ini, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan daripada pembuatan batu besar yang tersergam di puncak-puncak piramid. Beliau berkata:, "Setelah bertahun-tahun melakukan kajian dan penyelidikan, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat."

    Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita bahawa bangunan-bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman silam, juga dibina daripada 'tanah liat'.

    Pembongkaran misteri piramid tersebut adalah hasil daripada mukjizat al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu sebelum para saintis dan ilmuan dunia menemukan rahsia tersebut.

    Hairan dan ajaib, sejak 1,400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad SAW dan beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun di Mesir, memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang megah dan tersohor itu yang dikenali sebagai piramid dengan menggunakan tanah liat.

    Jika ditinjau daripada kejadian Nabi Adam sebagai bapa manusia dan menjadi khalifah di bumi, adalah juga berasal daripada penciptaan tanah liat yang ditiupkan roh oleh Allah SWT dan wujudlah sebagai manusia yang pertama di permukaan bumi.

    Daripada pemaparan hakikat ayat al-Quran di atas, jelaslah membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT yang menciptakan Firaun dan menenggelamkan dia di Laut Merah bersama tenteranya.

    Malah Allah juga menyelamatkan Nabi Musa as daripada kekejaman Firaun menuju tanah dan bumi Palestin yang didambakan sampai sekarang dan seterusnya hari kemudian.

    Oleh IBRAHIM ABDULLAH

    Sunday, December 25, 2011

    Anda masih dikira sebagai golongan miskin jika berpendapatan 5 ribu sebulan di US !!!


    WAJAH Dylan Burger, yang hanya berusia lapan tahun kelihatan gembira menari bersama rakannya di sebuah kelab kanak-kanak di Santa Monica, California.

    Namun kegembiraan wajahnya itu hanya sementara berikutan dalam usia semuda itu dia terbeban dalam realiti kemiskinan yang melanda keluarganya.

    Bapanya Tracy Burger, 45, dan ibunya Elizabeth, tidak dapat berselindung tentang kesusahan hidup setelah kini terpaksa tinggal di garaj rumah ibunya.

    Kedua mereka merupakan pekerja kolar putih dengan pendapatan digabungkan mencecah AS$100,000 juta (RM310,000) setahun.

    Namun akibat krisis sub prima, kedua mereka hilang pekerjaan, diikuti apartmen sebelum semua harta benda mereka yang lain dirampas.

    Itulah realiti yang berlaku di negara yang terkenal dengan jolokan Uncle Sam. Setelah dilanda kegawatan ekonomi yang berlanjutan sejak empat tahun lepas akibat krisis sub prima, nampaknya keadaan masih belum nampak sebarang perubahan.

    Kini tahun baru 2012 bakal menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Dan berdasarkan kajian pihak berkuasa AS, kedudukan ekonomi mereka masih jauh dari pulih malah kemiskinan dan kesengsaraan rakyatnya semakin ketara.

    Tertinggi

    Angka terbaru jumlah kemiskinan di AS berdasarkan Laporan Jabatan Perubahan dan Pembangunan Bandar AS, meningkat pada kedudukan tertinggi sebanyak 46.2 juta orang. Angka ini merupakan rekod tertinggi sejak jabatan itu mula mengumpul data mengenai keluarga miskin pada tahun 1959.

    Dari jumlah itu, dianggarkan 9.2 juta penduduk AS hidup bawah paras kemiskinan manakala hampir 700,000 rakyat negara itu tiada tempat tinggal.

    Kemiskinan di AS adalah berlandaskan dari pendapatan tahunan rakyatnya yang kurang daripada AS$22,314 (RM69,173) untuk keluarga dengan empat orang ahli atau AS$11,139 (RM34,350) bagi seorang.

    Melihat kepada statistik baru ini jumlah warga AS yang hidup di bawah garis kemiskinan ini meningkat dalam tempoh empat tahun berturut-turut.

    Data tersebut turut menyatakan warga kulit hitam dan Hispanik menduduki kedudukan pertama daftar kemiskinan tertinggi.

    Laporan itu mencatatkan 25.8 peratus warga kulit hitam hidup dalam kemiskinan, sementara keturunan Hispanis mencecah 25.3 peratus.

    Rata-rata pendapatan tahunan keluarga di sana berdasarkan laporan ini adalah sekitar AS$ 49,445 (RM153,279 ) menurun 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Angka kemiskinan di negara itu meningkat di atas 15 peratus, meningkat 0.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. Demikian juga halnya dengan angka pengangguran yang meningkat di atas 9 peratus.

    Sementara itu, warga Amerika yang tidak mempunyai insurans kesihatan tetap pada kedudukan kira-kira 50 juta orang.

    Melihat kepada keadaan semasa ini adalah tidak mengejutkan ramai di antara mereka terpaksa merempat di tepi jalan mahupun tinggal di kawasan saliran bawah tanah.

    Ini yang berlaku kepada pasangan kekasih, Steven dan Kathryn serta pasangan suami isteri, Amy dan JR yang memilih untuk menetap di bahagian bawah 'Kasino Ceaser Palace', iaitu di terowong saliran bawah tanah.

    Mereka telah menetap di situ sejak 2008 memandangkan kos hidup yang tinggi selain sukar mendapat pekerjaan.

    Ramai juga di antara mereka merupakan penagih dadah tegar dan memilih hidup di situ kerana polis jarang mengganggu mereka.

    Namun akibat kegawatan ekonomi yang mengakibatkan ramai di antara mereka hilang tempat tinggal, jumlah penduduk di terowong saliran bawah tanah meningkat sehingga lebih 700 orang.

    Hujan bukanlah sesuatu yang biasa berlaku di Vegas dan ini membolehkan mereka yang tinggal di dalam terowong ini selesa malah menganggap kediaman itu sebagai sesuatu yang memadai.

    "Namun apabila hujan lebat turun tanpa henti selama dua jam, ia menyedarkan kami bahawa kediaman ini sebenarnya sebuah terowong dan ia jauh daripada selesa kerana arus deras akan membawa pergi semua barang-barang kami," kata Amy.

    Oleh Hafizahril Hamid

    Inilah jawapan isteri kedua tentang poligami !!!


    SETIAP kali cerita tentang poligami disiarkan di ruangan ini, dada saya terasa sakit, benci dan meluat.

    ''Terus terang saya katakan cukup-cukuplah mengumpat isteri kedua. Seperti kisah minggu lalu, konon si suami banyak hutang semata-mata nak kahwin lagi. Jangan cepat mengecap orang berhutang kerana nak poligami, kerana mereka bukan buat keputusan sekelip mata untuk berkahwin. Mungkin kerana ada masalah keluarga yang lain, demikian tegas, Norsalimah dalam e-melnya kepada penulis.

    ''Memang kaum wanita tak suka dengar cerita suami berpoligami, malah bila ada janda atau anak dara duduk sebelah rumah pun mereka tak suka, takut suami kena kebas. Sebenarnya bukan semua wanita suka berkahwin dengan suami orang. Tetapi sebagai orang Islam kita kena bermuhasabah diri, ingat pada Allah, setiap ketentuan yang datang adalah kerana-Nya, jua bukan sesuka hati suami dan wanita terlibat.

    ''Anda sedarlah bukan semua lelaki suka berpoligami, ia hanya berlaku pada segelintir individu sahaja dan mungkin mewakili minoriti dalam masyarakat. Jadi mengapa mesti kita kaum wanita buat heboh bila suami hendak berpoligami?

    ''Tambah menghairankan saya mengapa isteri pertama sahaja di sanjung seratus peratus, konon dikatakan isteri yang teraniaya, sedangkan isteri kedua dan seterusnya di pandang serong. Pernahkah kita bertanya suami yang berkahwin baru adakah hidupnya selama ini bahagia, atau terabai dan teraniaya? Sebab itu dia mengorak langkah mencari kebahagiaan untuk kali keduanya. Adakah tindakannya itu salah?

    ''Seperkara lagi pembaca harus faham, poligami bukan budaya atau amalan semua lelaki, hanya lelaki yang Allah pilih sahaja yang dapat melaluinya. Kerana ada orang berani bercakap pasal poligami dan ingin berkahwin, tetapi tidak pernah dapat. Sebab itu saya katakan poligami untuk lelaki pilihan dan wanita yang sabar saja.

    ''Pembaca juga harus faham dimadukan pun bukan pilihan utama dan menjadi cita-cita semua kaum wanita. Lebih tegas bukan semua wanita mahupun gadis suka dan rela dipoligamikan.

    ''Jika difikirkan secara mendalam poligami itu banyak kebaikannya jika tidak manakan Allah halalkan sebagaimana tercatat dalam al-Quran. Malah Allah jadikan Nabi Muhamad SAW sebagai contoh berpoligami supaya jelas kepada manusia menjalaninya.

    ''Cuma yang terlihat dan menjadi buruk adalah disebabkan oleh pengamalnya, sudah pastilah para suami tidak menjalankan tanggungjawabnya seperti seharusnya, dan mereka telah menyalahgunakan kebenaran yang telah diberikan. Merekalah yang telah membuat persepsi buruk masyarakat khususnya para isteri takut dipoligamikan.

    Berkemampuan

    ''Tetapi sekiranya suami tadi berkemampuan dan dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan ditakdirkan dia hendak berpoligami mengapa harus di tentang oleh isteri dan anak-anaknya, mahupun ibunya.

    ''Alasan isteri kerana tidak mahu berkongsi suami dan menjadikan suaminya milik dia 100% pada saya itu adalah salah. Alasan pihak keluarga bimbang dia tidak boleh menyara hidup anak-anak dan isterinya terdahulu itu adalah tidak berasas sama sekali.

    ''Saya yang turut terlibat sebagai isteri kedua dan mana-mana isteri ketiga dan seterusnya, merasa amat terguris hati apabila kami dicap sebagai perampas suami orang, perempuan jahat, perempuan jalang dan sebagainya. Kami juga manusia dan ada perasaan.

    ''Saya ingin menekankan definisi perampas dalam konteks poligami, namun saya bukan berat sebelah kerana jadi isteri kedua, tetapi kita timbangkan definisi ini secara terbuka. Jika suami anda mampu zahir dan batin, bertanggungjawab dan berkeinginan untuk berpoligami mengapa isteri pertama dan anak-anaknya membantah? Bantah akan burukkan lagi keadaan.

    ''Dan anda juga harus ingat tidak semua hajat para suami ingin berpoligami dipermudahkan oleh Allah, hanya suami terpilih sahaja yang akan diuji oleh-Nya. Sepatutnya si isteri meminta suami tidak mengabaikan hidupnya dan anak-anak. Jika perasaan suami tidak diguris, pasti dia akan lebih bertimbang rasa kepada keluarganya.

    ''Adalah amat kejam jika isteri pertama mendesak suaminya supaya menceraikan isteri barunya. Lainlah kalau isteri baru meminta suami menceraikan isteri pertamanya. Maka isteri kedua jenis ini memang layak dipanggil perampas, kejam kerana merobohkan rumahtangga orang lain.

    ''Saya juga merasa amat kecewa jika poligami turut dirosakkan dengan ugutan seorang ibu yang tidak mahu mengaku anaknya, selagi si anak tidak menceraikan isteri keduanya. Bukankah doa ibu itu amat mustajab.

    ''Percayalah soal jodoh, rezeki dan maut itu memang ketentuan Allah. Tak percaya mengapa ada gadis baik dijodohkan dengan lelaki pembunuh, pengedar atau penagih dadah, kaki judi, kaki minum, pencuri dan sebagainya? Adakah wanita itu memintanya?

    ''Kepada isteri yang bermadu tak kira yang pertama, kedua atau seterusnya bermuhasabah diri banyak-banyak, cuba lihat hidup di dunia ini hanya sementara.

    ''Fikirkanlah kenapa isteri pertama dipilih Allah dam bakal mendapat Payung Emas di syurga? Kepada kaum suami yang diizinkan Allah berpoligami dan cuba buat yang terbaik, jangan jadikan nawaitu berpoligami untuk memuaskan nafsu dan dunia sahaja.

    ''Tanggungjawab suami adalah sebagai khalifah kecil dalam institusi kekeluargaan, dan jangan sesekali menjadikan kelebihan yang Allah berikan itu sebagai tiket untuk mempergunakan isteri.'' Itu permintaan Norsalimah kepada isteri pertama dan suami yang berpoligami.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...