terima kasih buat kalian semua..

Saturday, January 21, 2012

Kerat kemaluan suami !!!


INGAT wanita bernama Lorena Bobbitt? Wanita tersebut menjadi terkenal pada 1993 kerana memotong kemaluan suaminya, John Wayne Bobbitt. Sejak itu, ada beberapa kes serupa didedahkan termasuk yang terbaharu melibatkan Catherine Kieu di Santa Ana, California pada pertengahan tahun lalu.

Pada awal tahun ini, wanita berusia 48 tahun dari Garden Grove itu dihadapkan semula ke mahkamah atas dua tuduhan menyeksa dan bertindak ganas terhadap suaminya dengan memotong kemaluannya selepas diikat di atas katil.

Ketika dihadapkan di hadapan Hakim Craig Robison di Orange County, kedua-dua tuduhan tersebut dibacakan semula kepadanya. Prosiding pendakwaan tersebut diadakan bertujuan mengetepikan keperluan untuk pra-perbicaraan bagi menguji bahan bukti, selain mempercepatkan perjalanan kes tersebut.

Namun nasib Kieu tidak banyak berubah. Dia kekal ditahan di penjara sejak ditangkap pada Julai tahun lalu kerana gagal membayar ikat jamin AS$1 juta (RM3.15 juta) sementara menunggu prosiding seterusnya pada 2 Februari ini.

Jika sabit bersalah, wanita itu berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan diberi parol.

Dalam kes tersebut, suaminya yang berusia 60 tahun memberitahu penyiasat, pada malam 11 Julai 2011, dia berasa tidak selesa selepas menikmati makan malam yang disediakan oleh Kieu. Dia kemudian terus masuk tidur.

Sewaktu lelaki itu tidur, wanita terbabit telah mengikat kedua-dua belah tangan dan kaki mangsa di setiap penjuru katil dengan tali nilon.

Apabila suaminya tersedar daripada tidur, wanita berkenaan terus memotong kemaluan lelaki itu dengan sebilah pisau. Wanita itu kemudian pergi ke dapur dan membuang alat kemaluan berkenaan ke dalam saluran pelupusan sampah.

Kieu yang berketurunan Vietnam kemudian membuat panggilan kecemasan 911.

Mengikut dokumen mahkamah, Kieu yang bekerja sebagai broker hartanah memberitahu anggota polis yang menemui lelaki itu terikat di katil dan berdarah di bahagian pangkal paha bahawa ‘‘Dia patut menerimanya (hukuman itu).”

Dilaporkan terdapat juga darah yang terpercik di kaki dan baju yang dipakai oleh wanita itu ketika pihak berkuasa datang ke rumahnya.

Pihak polis mendakwa, wanita itu menggunakan dadah atau bahan terlarang untuk diletakkan di dalam makanan lelaki itu bagi membuatkan mangsa mengantuk.

Selepas insiden itu, lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan UCI di Orange untuk pembedahan kecemasan. Kakitangan perubatan turut mengambil kemaluan mangsa di tempat pelupusan sampah tetapi pakar bedah gagal menyambung semula anggota badan berkenaan.

Pejabat Peguam Daerah pada asalnya tidak mendedahkan nama lelaki itu atau hubungan sebenarnya dengan Kieu. Bagaimanapun Pendaftar melaporkan bahawa pasangan itu telah berkahwin hampir satu setengah tahun. Namun lelaki itu memfailkan penceraian enam bulan sebelum serangan tersebut.

Sebelum kejadian, pasangan itu dipercayai bersengketa mengenai kunjungan rakan lelaki mangsa ke kediaman mereka. Mangsa sebaliknya memberitahu pihak polis bahawa dia percaya Kieu kecewa apabila dia memfailkan permohonan cerai tersebut.

Kejadian itu membangkitkan semula kes hampir serupa yang berlaku ke atas Bobbitt pada 1993. Dalam kes itu, kemaluan Bobbitt telah dipotong oleh isterinya, Lorena kerana mendakwa dia didera secara seksual selama bertahun-tahun oleh suaminya.

Lorena kemudian membuang organ kemaluan itu semasa memandu. Ia bagaimanapun berjaya ditemui dan disambung kembali. Ekoran kejadian itu, Bobbitt muncul dengan sebuah kumpulan muzik sebelum akhirnya beralih karier sebagai pelakon filem lucah.

Lorena dibebaskan atas tuduhan tidak waras.

Oleh AMIRUDDIN HARUN

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...