terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 9, 2012

Kecewa KPM tak lulus isteri tukar !!


SAYA adalah seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah ditukarkan dari Mersing ke Lumut pada bulan Mei 2011. Isteri saya seorang guru.

Permohonan pertukaran isteri saya sebagai Guru Pendidikan Islam tidak diluluskan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ).

Permohonan pertukaran isteri saya telah dibuat sebanyak dua kali dan rayuan sebanyak tiga kali bagi Sesi Jun 2011 dan sesi Jan 2012.

Apa yang saya kesali ialah jawapan yang diberikan ialah tiada guru pengganti. Sampai bila KPM dan JPNJ hendak menunggu guru pengganti? Siapa guru yang sanggup menawarkan diri untuk mengajar di Daerah Mersing? Penduduk Mersing sendiri ada berkata, "Tiada orang yang nak datang ke Mersing ni kecuali Pak Malau, anaknya Sri Mersing dan Damak". Walaupun sinis bunyinya tetapi ada kebenarannya.

Adakah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian ingin meminta saya menunggu selama enam bulan lagi atau 12 bulan lagi sekiranya permohonan pada sesi Jun 2012 tidak diluluskan?

Isteri saya tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang beliau berkhidmat dalam profesion perguruan. Beliau memohon pertukaran kerana ingin mengikut suami dan saya telah memberikan alasan-alasan yang munasabah melalui surat Permohonan Pertukaran Guru Antara Bahagian/Negeri dan surat rayuan permohonan pertukaran bagi sesi Jun 2011 dan sesi Januari 2012. Pada masa yang sama ada kekosongan mata pelajaran yang diajar di Daerah Manjung.

Saya telah memberikan justifikasi dan alasan-alasan yang munasabah seperti berikut:

l Dari aspek hubungan kekeluargaan, saya kini sudah tujuh bulan berjauhan dengan isteri dan anak-anak yang kini menetap di Mersing, Johor. Saya akan berulang-alik setiap minggu dari Lumut ke Mersing/Mersing ke Lumut yang memakan masa 12 jam perjalanan dan RM 800 sebulan kos perbelanjaan pergi dan balik demi tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa kepada empat orang anak.

l Dari aspek kualiti kerja, sejak pertukaran saya ke Lumut, isteri terpaksa mengambil anak yang bersekolah tadika pada pukul 12 tengah hari sedangkan pada masa tersebut beliau mempunyai kelas. Kesannya, telah mengganggu masa pengajaran dan pembelajaran beliau. Bukan itu sahaja, anak terpaksa dibawa ke kelas sedangkan sebelum ini saya yang menguruskan anak yang bersekolah tadika.

l Dari aspek pengurusan masa, isteri saya kadang-kala lewat hadir ke sekolah kerana menguruskan anak-anak untuk hadir ke sekolah. Ini akan menjejaskan kualiti kerja beliau sebagai seorang guru. Perkara sedemikian tidak pernah berlaku sebelum saya bertukar tempat bertugas.

l Dari aspek keselamatan, isteri saya sekarang sedang sarat mengandung anak kelima. Pada 13 hingga 18 November 2011 yang lepas, beliau telah dimasukan ke wad Hospital Daerah Mersing.

Saya terpaksa mengambil cuti tahun bagi pengurusan keluarga dan anak-anak sekolah. Persoalannya sekarang bagaimana isteri saya terpaksa berhadapan situasi yang sama dengan ketiadaan saya untuk memandu kereta ke tempat kerja, pengurusan kerja dan anak-anak sehingga bulan Jun 2012?

Masalah juga timbul, apabila isteri saya dihantar berkursus selama tiga hingga empat hari di luar Daerah Mersing. Saya terpaksa mengambil cuti tahun walaupun pada ketika itu ketua jabatan tidak menyokong cuti tahun saya atas sebab-sebab tugas yang perlu dilaksanakan.

Adakah KPM dan JPNJ hendak menunggu berlakunya tragedi yang tidak diingini ke atas isteri saya? Walaupun KPM dan JPNJ ada 1001 alasan yang diberikan, sepatutnya KPM dan JPNJ memberikan keutamaan kepada kami warga tentera yang kerap bertukar ke pasukan baru.

Adakah KPM dan JPNJ hanya memikirkan pelajar yang ketiadaan guru sedangkan KPM dan JPNJ tidak memikirkan guru yang ketiadaan suami dan anak yang ketiadaan bapa?

Janganlah KPM dan JPN bersikap pilih bulu. Ada guru yang posting cukup mudah dengan alasan ingin pulang ke kampung dengan sebab 'ada yang dikenali'.

Saya mengharapkan isteri saya mempunyai azam dan semangat juang yang tinggi dan dapat memberi komitmen dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai seorang pendidik demi agama, bangsa dan negara sempena tahun baru 1433H dan 2012.

ADUAN RAKYAT
Lumut, Perak

1 comment:

  1. Saya bersimpati diatas apa yang berlaku. Kita mempunyai masalah yang sama. Tetapi saya seorang guru wanita yang bertugas di Sabah manakala suami pula bertugas di Kuala Lumpur. Saya sudah membuat dua kali permohonan atas alasan mengikut suami. Cuma apa yang mendukacitakan, bila ditanya berkaitan dengan perkhidmatan, pihak KPM tidak menerima alasan setahun setengah perkhidmatan saya. Sedangkan jika dinilai dari aspek yang sama, ramai guru-guru lain yang sebelum ini lebih singkat berkhidmat dari saya mudah je diluluskan permohonannya. Mungkin saya perlu akui dengan dasar itu. Tetapi bagaimana pun dengan lafaz taklik yang suami saya jatuhkan. Hukum Tuhan tak boleh dibuat main. Kita orang Islam sedia maklum apa yang termaktub dalam Al-Quran dan Al-Hadis. Bukan itu sahaja, nilai sejauhmana keberkesanan slogan-slogan yang diutarakan oleh pihak kerajaan.. "KELUARGA BAHAGIA" - Apa maksudnya.. Kalau dah tak boleh dipindahkan walau pun sebab alasan penceraian, baik ubah je kepada slogan "KELUARGA SEMENTARA" Tak pun apa maksud "
    1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Baik je pindahkan slogan tu "Pencapaian Diutamakan, Rakyat Dikemudiankan". Sb, potensi seseorang bekerja tu bergantung kepada situasi atau keadaan seseorang dari aspek fizikal dan mental. Kalau dah mental rasa tertekan je dengan masalah kesannya kepada fizikal. Jadi musnahlah pada pelajar.

    Azah

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...