terima kasih buat kalian semua..

Sunday, January 8, 2012

Lebih baik bercerai saja...


TERTARIK cerita di akhbar Utusan baru-baru ini yang mendakwa ramai pasangan muda bercerai pada awal perkahwinan. Pelbagai alasan diberikan. Namun sebagai orang yang berpengalaman saya rasa perempuan kini bukan seperti kita yang berusia 40-an dan 50-an.

Kita bersabar kerana takut bergelar janda dan tak berani berdikari.

''Berbeza dengan wanita kini, mereka bekerja, ada rancangan masa depan dan tidak suka simpan masalah. Mereka sedar masalah rumahtangga macam barah, jika tidak dibuang ia akan merebak dan tidak boleh diubati.'' Itu pandangan Jamatulhasni dalam e-melnya.

''Macam nasib saya, suami buat hal ketika baru ada seorang anak. Dia gilakan teman pejabat yang baru masuk kerja, masih muda. Lepas rahsia terbongkar dia minta maaf, tapi buat hal lagi ketika saya melahirkan anak ketiga, kini kami sudah berusia 40-an ada empat anak remaja, tapi dia masih miang bercinta. Saya pernah minta cerai, dia tak mahu, dia minta maaf, insaf. Sampai bila saya mesti sabar?

''Kalau saya fikir kembali, sebaiknya saya tinggalkan dia dan bercerai ketika ada seorang anak, hati tak sakit, tanggungjawab tak banyak seperti sekarang.

''Masalahnya dia bukan sahaja cuai dalam memberikan nafkah anak, sebaliknya dia meletakkan semua tanggungjawab ke bahu saya. Percaya tak kalau saya katakan dia cuma bayar bil elektik, air. Sebulan sekali dia pergi supermarket beli barang keperluan dapur, beras 10 kg, ikan sardin lima tin, seekor ayam, ikan kembung dua kg. Kalau anak ikut dia beli roti dan aiskrim, tak lebih!

''Apa dia fikir cukup beras 10 kg sebulan. Sekali goreng ikan kembung sekilo, seekor ayam masak kurma yang dia suka sekali makan habis. Habis tu 29 hari lagi kami nak makan apa? Bila saya tanya dia buat pekak.

''Itu baru bab makan, macam mana dengan tambang bas, pakaian sekolah, buku sekolah, sewa rumah. Siapa nak siapkan kalau bukan saya?

''Dia tak mahu ceraikan saya sebab takut gajinya kena potong. Kalau tak bercerai dia tak bagi anak makan tak siapa tahu? Hakikatnya memang dia kedekut, lebih pentingkan diri sendiri.

''Saya tak suka bising malu pada jiran. Ini membuat dia semakin gembira. Berapa lama saya mesti sabar?

''Apa yang saya bimbangkan anak perempuan saya yang sudah dara sunti melihat semua kelakuan ayahnya. Budak sekarang bukan macam zaman saya dulu, takut ayah, anak hari ini melihat sikap dan perbuatan ayahnya membuat dia meluat.

''Tak akan salah dugaan saya kalau ditakdirkan satu hari nanti dia berkahwin dan dapat suami macam ayahnya, pasti dia bercerai lebih awal, sebab dia tak mahu nasibnya jadi macam saya!

''Lebih drastik jika dia bertindak seperti kebanyakan gadis langsung tak mahu berkahwin, takut berkahwin dengan lelaki yang bersikap lepas tangan. Wanita hari ini tak mahu jadi bodoh dan diperbodohkan.

''Saya terkejut bila dia beritahu di sekolahnya ada kawannya yang ibu bapa mereka bercerai. Tetapi mereka hidup macam biasa, tak ada masalah, malah lebih gembira.

''Mula dulu saya marah tetapi bila dah selalu dia bercerita saya tanya mengapa. Katanya, bila dah bercerai baru ayah mereka berebut jaga anak, belikan baju anak, bawa anak makan kat restoran.

''Berbeza ketika ibu bapa masih tinggal sebumbung.

''Mulanya saya tak faham apa anak saya cuba cerita, tetapi setelah beberapa lama, baru saya dapat tangkap, anak saya lebih suka kami bercerai.

''Kata anak lagi nama aja ayah ada kereta, tetapi nak berjalan sebulan sekali pun susah. Berjalan cuma balik kampung setahun sekali ketika raya.

''Kalau nak ikutkan hati memang saya nak tinggalkan dia. Saya boleh hidup dengan anak-anak, mereka tak bimbang. Apa yang hendak saya harapkan, hingga kini rumah flat pun tak ada. Orang lain baru kahwin dah beli rumah. Kami yang dah dekat 20 tahun kahwin masih menyewa.

''Ada kereta baru dan cantik, bukan untuk kami tetapi untuk dia seorang, sebab dia suka bergaya, malu pakai kereta terpakai atau kereta kecil. Macam mana nak ushar anak gadis orang.

''Itu baru bab kereta belum masuk pakaian. Semua berjenama. Nak harap rupa tak lawa mana, badan tak segagah mana. Sebab itu dia melabur pada penampilan, wangian dan kereta.

''Sebenarnya dia simpan saya bukan kerana kasih, cinta dan sayang, tetapi perancangan masa depan. Dia harapkan saya untuk menumpang ketika tua, dia tahu sebagai kakitangan kerajaan saya ada pencen dan dia tak perlu bekerja.

''Saya bukan mereka cerita, dia pernah beritahu, katanya dia bukan bodoh nak ceraikan saya. Tetapi dia ingatkan saya, jangan mimpi dia akan beri saya duit KWSP-nya. Itu duit dia. Untuk apa lagi saya tunggu kalau niatnya memang hendak gunakan saya untuk hari tuanya. Kini saya tunggu dia buat silap, saya pasti akan ucapkan selamat tinggal, kerana saya tak takut jadi janda.''

Demikian cerita Jamatulhasni mengapa ramai wanita lebih senang jadi janda daripada bersuami jika bersuami seperti suaminya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...