terima kasih buat kalian semua..

Thursday, January 5, 2012

Rosnah Awang...idola terbaik para ibu..


SEHEBAT mana pun sesuatu anugerah itu mungkin tidak cukup untuk dibandingkan dengan kehebatan wanita ini.

Beliau cekal mengharungi dugaan dan cabaran sebagai ibu kepada lima anak yang tiga daripadanya mengalami kecacatan akibat penyakit saraf.

Malah dibantu dengan fikiran yang positif, dalam kepayahan mengurus anak-anaknya, Rosnah Awang mampu muncul sebagai kakitangan cemerlang sebagai ketua editor di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Walau kehidupannya mungkin 'jauh lebih mencabar' berbanding wanita lain, beliau membuktikan amanah yang diberikan berjaya dilaksanakan sebaik mungkin.

Tiada istilah 'mengambil kesempatan' atau 'mahukan simpati' bagi ibu ini, bahkan tetap gigih memastikan agar setiap amanah yang diberikan Allah SWT mendapat hak yang sewajarnya.

Rosnah berkhidmat di DBP sejak tahun 1982 lagi. Sebelum itu beliau sempat berkerja di Maktab Sandakan, Sabah, sebaik tamat sekolah.

Di situlah Rosnah berkenalan dengan Mohd. Mizan Mohd. Aris dan mereka langsung mendirikan rumah tangga lewat tahun 1984.

Pasangan itu kemudian sepakat untuk menetap di Kuala Lumpur selepas berkahwin.

Menurut Rosnah, kedua-belah belah keluarganya dan suami sempurna tidak mempunyai masalah kesihatan yang kronik dan tiada anak-anak yang cacat.

Malah, kesemua anak-anak pasangan itu lahir dan membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain sehinggalah usia mereka mencapai enam tahun.

"Selepas berkahwin saya meneruskan pengajian luar kampus. Ketika itu, anak sulung kami, Mohd. Firdaus Mohd. Mizan sudahpun masuk tadika, hinggalah pada satu hari dia mengadu tidak mahu ke sekolah kerana sakit kaki.

"Bermula dari hari itu cara berjalannya juga berubah, dia berjalan seperti berjengket. Kami memang minta nasihat doktor dan setahun selepas mendapatkan rawatan, doktor mengesahkan anak kami menghidap penyakit genetik yang diberi nama Heredity Spastic Paraplegia (HSP).

"Penyakit ini berkaitan urat pada saraf tunjang. Doktor mengatakan saraf tunjang anak saya telah mati dan doktor suruh saya bersedia secara mental kerana kesemua anak lelaki saya berkemungkinan menghidapi penyakit ini," ujarnya.

Menerima berita itu, air mata Rosnah berderai-derai, perasaannya bercampur baur, terkejut, malu dan langsung tidak bersedia untuk bercerita dengan sesiapapun masalah yang melanda anaknya.

"Doktor beritahu pada saya walaupun kes ini amat jarang tetapi ia pernah berlaku. Menurut doktor ia penyakit genetik dari sebelah keluarga saya.

" Saya cuba menolak fakta itu kerana setahu saya keturunan saya tidak ada yang menghidap penyakit tersebut, namun doktor berkata ia mungkin pernah terjadi pada zaman moyang saya yang terdahulu.

"Paling menyedihkan apabila doktor kata mereka tidak mempunyai ubat untuk penyakit genetik.

"Apa yang boleh dibuat hanya terapi dan senaman supaya kesihatan anak saya tidak merosot hari demi hari," jelas Rosnah yang berasal dari Selama, Perak.

Rosnah yang sedari awal menginginkan anak perempuan, namun kuasa Allah menentukan segalanya dengan menganugerahkan lima anak, kesemuanya lelaki.

Biarpun perubatan meramalkan bahawa kesemua anak lelakinya akan menghidapi HSP tapi dengan kuasa Allah jugalah ia tidak berlaku apabila hanya tiga daripada lima anaknya sahaja yang menghidapi penyakit tersebut.

"Kini anak ketiga saya, Mohd. Farid Faiz, 20, dan anak bongsu, Mohd. Fazrul Faiz, 13, mula menunjukkan simptom penyakit tersebut.

"Farid sudah mula menggunakan tiub untuk menyalurkan susu dan Faiz masih boleh bergerak walaupun agak perlahan.

"Walaupun mereka kategori OKU (orang kelainan upaya) saya masih hantar mereka ke sekolah di Bandar Tasik Permaisuri supaya mereka dapat merasa menjadi seperti murid normal lain," ujarnya.

Rosnah menempuhi hari mendatang dengan penuh sabar. Mujur juga beliau mendapat suami yang penyabar dan memahami.

Mereka berdua sama-sama membesarkan anak dengan penuh kasih sayang.

Rosnah mengakui bukan mudah menjaga anak yang sakit, malah ada ketikanya beliau berasa seperti mahu lari dari segalanya.

Namun, alhamdulillah beliau diberi kekuatan oleh Allah dalam menempuhi ujian demi ujian pada anak-anak.

"Memang ada satu peringkat saya mengalami tekanan yang amat sangat dan saya redakan dengan pergi ke Mekah menunaikan ibadat haji

"Selama 44 hari di Mekah, saya banyak bermuhasabah diri, saya sedar saya pernah hilang sabar dengan kerenah anak sakit, namun itu bukan kehendak mereka, Allah menguji saya dengan kehadiran mereka," katanya tenang.

Rosnah turut bersyukur kerana dikurniakan adik beradik dan ipar duai yang begitu memahami dan banyak memberi sokongan.

Malah sehingga kini beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu, isteri dan pekerja di pejabat.

Lebih mengagumkan apabila dalam kesibukan mengurus anak-anak, Rosnah masih sempat menyambung pengajian ke peringkat sarjana atas nasihat bosnya sendiri.

"Dulu saya memang tidak mempunyai pembantu rumah, daripada menukar lampin, menyuap makanan hingga memandikan anak-anak semuanya saya buat sendiri hingga anak saya yang sulung itu berusia 13 tahun.

"Ketika Firdaus tidak lagi boleh bangun, barulah saya mendapat khidmat pembantu," ujar Rosnah yang setiap hari berdoa agar anaknya dipelihara dengan baik oleh pembantu rumahnya.

Rosnah turut mengubah suai kediamannya termasuk bilik air bagi memudahkan anak-anaknya yang tidak boleh bergerak sendiri.

Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pula umpama rumah kedua Rosnah dan ahli keluarganya.

Sehinggalah pada tarikh 19 Januari 2010, apabila Firdaus menemui pencipta-Nya.

Anak sulongnya itu nazak ketika Rosnah sedang bermesyuarat di pejabat dan bergegas beliau pulang apabila pembantu rumah memberitahu Firdaus mengalami kesukaran untuk bernafas.

"Pukul 3.19 pagi beliau meninggalkan kami buat selama-lama. Alhamdulillah pengurusan jenazahnya amat mudah," kata Rosnah dalam nada yang cukup sebak.

Dalam pada itu beliau bersyukur kerana anak kedua. Mohd. Farhan, 24, dan keempatnya, Mohd. Fariz Fitri, 16, bebas daripada penyakit genetik tersebut.

Malah Mohd. Farhan, berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang fisioterapi dan kini berkhidmat di sebuah hospital swasta di Ipoh, manakala Mohd Fariz Fitri seorang yang sangat aktif bersukan dan tahun ini memasuki tingkatan empat.

"Saya tidak pernah menetapkan kursus apa yang perlu diambil sebaliknya Farhan memilih sendiri kursus fisioterapi kerana dia mahu yang terbaik untuk abang dan adiknya yang menghidap penyakit saraf," katanya.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar WAHIDIN SALIM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...