terima kasih buat kalian semua..

Saturday, January 7, 2012

"Saya telah buktikan saya tidak mandul" !!!


PASANGAN yang mendirikan rumah tangga tentu inginkan anak sebagai penyeri dan pengikat kasih sayang dalam rumah tangga. Namun tidak semua impian itu akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat kerana semuanya ketentuan Allah.

Soal zuriat bagi pasangan yang bernikah tentu menjadi perkara sensitif jika tidak kena gaya terutama kala bertandang ke rumah mentua.

Inilah kisah yang ingin dikongsi oleh Aiza (bukan nama sebenar) dengan anda semua. Dalam tulisan yang panjang lebar, Aiza menceritakan kekecewaannya dituduh mandul oleh mentua, sedangkan hakikatnya anaknya sendiri yang mandul.

Kita ikuti kisah Aiza:

"Saya berusia lewat 20-an, bernikah dengan teman lelaki yang saya kenali sejak di kolej bernama Aiman (bukan nama sebenar) setelah menjalin hubungan selama enam tahun.

"Tamat belajar dan setelah mendapat kerja, kami bernikah dan direstui keluarga masing-masing.

"Dua tahun bernikah saya masih belum mengandung.

"Mentua mula kecoh, bising-bising dan mengatakan saya merancang tidak mahu anak, pada hal mana ada perempuan yang tidak mahu melahirkan anak.

"Saya tidak merancang, tidak makan apa-apa ubat mencegah hamil. Tuhan belum mahu memberi kami rezeki dan zuriat.

"Setiap hari selesai solat saya berdoa minta Tuhan berikan kami zuriat. Saya tidak pernah kecewa sebab saya tahu, saya tidak ada masalah untuk mengandung sebab saya sudah buat pemeriksaan terperinci untuk mengetahui tahap kesuburan saya.

"Apabila saya ajak suami, dia enggan dengan alasan dia tidak mandul dan dalam sejarah keluarganya tidak ada yang mandul.

"Satu hari saya diberitahu suami yang dia ingin membawa saya bercuti ke sebuah pulau. Alasannya untuk meraikan ulang tahun perkahwinan kami yang ketiga.

"Seronok kerana merasa diri dihargai, saya setuju tanpa mengetahui tujuan di sebalik ajakan suami saya. Sampai di sana, saya lihat suami sangat gelisah. Dia asyik menjawab telefon, entah dari siapa saya tidak tahu. Tapi saya tidak kisah dan tidak mahu merosakkan percutian kami itu.

"Saya tidak mahu berprasangka buruk kepada suami. Malam kedua di pulau itu ketika kami sedang makan malam, suami berterus terang meminta izin untuk bernikah lagi seorang. Seperti saya duga alasannya sebab dia mahukan anak dan kerana desakan ibunya.

"Saya berhenti makan, macam hendak pecah dada saya dibuatnya. Air mata saya mengalir laju membasahi pipi. Saya amat sedih, tergamak dia buat saya macam ini.

"Saya tinggalkan makanan dan terus balik ke bilik hotel. Di bilik suami mencurah semua yang terbuku di hatinya. Dia ingin bernikah lagi seorang kerana mahu membuktikan kepada keluarga dan kawan-kawan yang dia tidak mandul.

"Lama juga kami bertengkar. Rupa-rupanya yang suami sibuk menelefon itu adalah ibunya yang bertanya sama ada dia sudah berterus terang dengan saya atau belum.

" Saya mula merasakan hubungan kami akan menjadi renggang selepas ini terutama apabila mentua masuk campur. Kepercayaan saya kepadanya sudah pudar, malah hilang ditelan malam yang gelap gelita.

"Dalam tangisan yang tidak ada hentinya, saya memberi dia izin untuk bernikah lagi dengan syarat saya dilepaskan sebab saya tidak sanggup hidup bermadu. Saya tidak mahu berkongsi kasih dengan perempuan lain hanya kerana saya tidak ada anak.

"Saya juga tidak sanggup melihat perempuan lain yang berkongsi suami dengan saya mengandung dan melahirkan zuriat untuk suami saya.

"Akhirnya saya dilepaskan dengan talak satu. Saya merasa amat lega walaupun saya kecewa dan bersedih. Hampir dua bulan saya tidak dapat melupakan peristiwa tersebut.

"Dalam tempoh tersebut, bekas suami bernikah lain dengan gadis pilihan orang tuanya. Saya mendapat khabar daripada rakan sekerja suami yang juga teman baik saya semasa di kolej.

"Saya tidak berdendam dengan dia dan saya mendoakan agar dia bahagia dengan isteri barunya. Doa saya supaya kebenaran akan terbongkar. Saya mahu menebus maruah saya yang telah tercalar.

"Enam bulan setelah bergelar janda saya dilamar oleh kenalan abang, seorang duda yang baru balik dari bertugas di luar negara.

"Saya mengikut kata ibu dan abang kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Harapan saya agar rumah tangga kali ini akan berkekalan dan saya mampu memberi zuriat kepada suami.

" Alhamdulillah, dua bulan setelah bernikah saya disahkan mengandung. Tuhan telah makbulkan permintaan saya. Saya menangis dalam pelukan suami kerana teramat gembira.

"Ibu dan abang tentulah paling gembira kerana saya telah berjaya menebus maruah yang tercalar kerana dikatakan mandul oleh bekas suami dulu.

"Kebenaran telah terbukti. Saya juga hidup bahagia bersama suami baru yang menyayangi dan menghargai saya sepenuh jiwa.

"Mentua baru saya juga sangat penyayang dan melayan saya seperti anaknya sendiri. Saya sangat bersyukur.

"Kini usia anak saya sudah dua tahun tetapi bekas suami masih belum dikurniakan anak lagi. Siapa yang mandul sekarang? Kalau ikutkan hati mahu saya pergi ke rumah bekas mentua dan memulangkan paku buah keras kepadanya, tetapi saya bukan perempuan jenis itu.

"Biarpun mereka telah menyakiti hati dan perasaan saya tapi saya tetap menghormati mereka. Cuma saya harap mereka sedar dan insaf dengan perbuatan mereka itu.

"Jangan mudah menghina dan memperkecilkan orang kerana kekurangan dan kelemahan yang mereka ada. Tidak semua manusia lemah itu akan lemah selamanya kerana semua yang berlaku adalah dengan izin Allah.

"Saya gembira kerana dapat membersihkan nama saya dan menjadi seorang wanita, isteri dan ibu. Saya harap saya akan terus diberi kekuatan untuk membina hidup bersama suami dan anak kami dalam keadaan baik, sihat dan sejahtera selamanya.

" Saya sedar setiap yang berlaku ada hikmahnya dan kini saya sudah peroleh hikmah tersebut. Semoga Allah panjangkan jodoh saya, murahkan rezeki dan bahagiakan kami di dunia dan akhirat,'' kata Aiza menutup cerita.

Syabas Aiza kerana telah berjuang untuk menebus maruah anda sebagai wanita. Saya kagum dengan sikap anda yang tidak berdendam dengan bekas suami dan keluarga mentua walaupun mereka telah banyak melukakan hati anda.

Mudah-mudahan anda akan terus bahagia di samping suami dan anak yang menjadi pengikat kasih anda berdua. Didiklah dia menjadi anak yang soleh dan solehah dalam menempuh kehidupan mendatang.

Mengundur diri, kebahagiaan itu bukan sekadar rasa gembira dan kemewahan yang nampak di mata tetapi juga ketelusan yang terlahir dari dalam jiwa.

Salam

2 comments:

  1. kesian suami aiza..akibat membuat keputusan tanpa akal dan pertimbangan yang seadilnya..

    ReplyDelete
  2. syabas....saya suka semangat wanita yang seperti ini.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...