terima kasih buat kalian semua..

Sunday, January 22, 2012

Suami muda dan isteri orang !!!


BARU-baru ini Bro terbaca satu kenyataan oleh seorang wanita yang mengatakan suami kalau lebih muda usianya daripada isteri mudah mendengar cakap.

Katanya, kalau suami tua daripada isteri, si suami hanya mahu isteri mendengar kata dia sahaja. Bro serahlah kepada pembaca untuk menilai apakah kenyataan itu benar atau tidak.

Apa yang Bro nak tegaskan di sini sama ada suami itu tua atau muda, selagi bernama suami maka si isteri kena patuh dan taat kepada perintahnya selagi si suami tidak menyuruh perkara yang bertentangan dengan perintah Allah SWT.

Masalahnya, perempuan zaman sekarang banyak yang degil, mereka hendak lelaki ikut cakap mereka sahaja dan lebih buruk lagi walaupun dah berkahwin tetapi ada perempuan yang buat perangai macam belum berkahwin.

Mereka tidak menjaga tata susila sebagai seorang isteri yang baik, perbuatan mereka di luar rumah masya-Allah kadang kala memalukan si suami.

Sepatutnya faham-fahamlah sendiri, kalau buat perangai bukan-bukan, yang akan malu bukannya diri mereka sahaja tetapi juga suami mereka. Tak kiralah dari segi pakaian, percakapan atau perbuatan, kalau sudah berkahwin buatlah perangai sebagai isteri orang, jangan main langgar saja.

Bro selalu tengok ramai perempuan yang dah berkahwin tidak menjaga tata susila mereka, kalau bersembang atau bergurau dengan lelaki macam orang tak kahwin, bertepuk tampar dan bersentuh-sentuhan. Bukanlah maksud Bro perempuan tak kahwin boleh buat benda macam tu tetapi tanggungjawab untuk menjaga tata susila ni lebih berat kepada perempuan yang dah berkahwin.

Seorang kawan Bro menceritakan bagaimana di pejabatnya, seorang perempuan yang dah berkahwin membuat hubungan dengan seorang lelaki bujang. Satu pejabat tahu perangai buruk mereka, yang kasihan si suamilah yang beri kebebasan kepada isteri bekerja tetapi tanpa dia ketahui si isteri membuat onar di luar.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada kes isteri orang beri alasan ada mesyuarat atau kursus di luar daerah tetapi hakikatnya nak pergi buat maksiat dengan kekasihnya. Masya-Allah, dia tak sedar ke setiap tapak perjalanannya itu dilaknat oleh Allah SWT.

Bro nak nasihatkan puak-puak perempuan yang macam ni, perbuatan berkenaan adalah haram di sisi agama dan satu pengkhianatan kepada si suami. Tak kiralah apa pun kerja kalian dan setinggi mana pun pangkat yang disandang, kalau sudah menjadi isteri orang tata susila perlu dijaga.

Bercinta

Mungkin akan ada yang berhujah, habis tu yang si lelaki pergi bercinta dengan isteri orang tu buat apa? Bro tak salah lelaki tersebut kerana yang silapnya perempuan berkenaan, yang dia pi layan tu buat apa, bertepuk tangan sebelah tak kan berbunyi, kecuali pi tepuk dinding atau lantai.

Begitu juga bila mereka bercakap, kena jaga tata tertib jangan ketawa mengilai macam pontianak nak kejar mat rempit balik tengah malam.

Dan yang paling Bro nak tekankan cara berpakaian, kalau nak tutup aurat, tutup betul-betul, jangan pakai baju atau seluar ‘yang telus’. Paling Bro menyampah tengok bila ada perempuan isteri orang pakai seluar ‘legging’, Bro tak payah cakap seluar tu bentuk macam mana, cukup kalau Bro kata seluar tu kalau tersilap pandang orang ingat perempuan tu tak pakai apa-apa.

Bagi Bro, seluar tu patut pakai untuk tidur saja atau masa untuk membasuh kain di rumah, malangnya sekarang ni dah ramai perempuan pakai seluar tu ke pejabat.

Sebab itu, Bro kata, pokok pangkalnya perempuan itu sendiri. Dia kena tahu batas-batas seorang isteri sebab itulah sebelum kahwin kena tahu hukum-hakam agama dan faham tanggungjawab serta penampilan sebagai seorang isteri.

Tetapi selalunya kebanyakan perempuan bila nak kahwin bukan fikir soal hendak mendalami ilmu agama agar rumah tangga diberkati Allah sampai akhir hayat tetapi dok fikir baju apa nak pakai, majlis semeriah mana nak buat, itu belum kiralah jenis-jenis barang hantaran yang perlu dihantar oleh pihak lelaki.

Perempuan ni bangga bila dapat hantaran tinggi seolah-olah mereka mahal sangat tetapi kalau dihitung perangai dengan jumlah hantaran itu tak berbaloi pun si lelaki nak beri.

Begitu juga bila buat kenduri, kalau boleh nak buat kat Stadium Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam supaya nak nampak besar, meriah dan penuh kemewahan tetapi mereka tak tahu semua tu tak boleh menjamin kebahagiaan rumah tangga.

Apa yang lebih mustahak bukan soal di mana kenduri dibuat atau sebanyak mana hantaran diberikan, apa yang penting sejauh manakah kita mematuhi perintah agama dalam soal perkahwinan dan sedalam mana kita memahami tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

Oleh itu kepada perempuan bergelar isteri, kehebatan anda bukannya dilihat apa yang anda lakukan di luar tetapi apa yang anda laksanakan sebagai isteri dan ibu di rumah.

Oleh: Kucing Jantan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...