terima kasih buat kalian semua..

Sunday, February 12, 2012

Bersabarlah didik isteri...


Saya ingin bertanya apa yang harus saya buat jika isteri minta diceraikan. Saya berkahwin empat tahun yang lepas dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tiga tahun.

Masalah yang timbul disini isteri tidak mendengar cakap saya. Contohnya, saya minta dia berubah sikap sebab isteri sering pulang kerja lewat kerana keluar minum dengan kawan-kawan.

Mutakhir, keadaan semakin teruk apabila dia tinggal di rumah sewa apabila hujung minggu. Apakah yang perlu saya lakukan. Saya bimbang menjadi suami dayus.

Jawapan:

Isteri dan anak adalah amanah yang perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. Kedua-dua amanah ini akan ditanya di hadapan Allah SWT.

Saudara teruskan usaha mendidik isteri, banyakkan berdoa agar Allah membuka pintu hatinya untuk berubah. Dalam keadaan sekarang saudara berhak melepaskan dia kerana keenganannya mentaati saudara. Lebih-Lebih lagi keenganan dia mentaati Allah SWT.

Dalam syariah, saudara ada peruntukan untuk melepaskan si isteri yang enggan taat kepada Allah SWT. Namun, tindakan demikian tidak banyak menyelesaikan masalah.

Mungkin saudara dapat menahan diri daripada terus tertekan perasaan kerana sikap isteri yang degil, tapi kedegilan wanita tidak kemana kalau kena cara memujuk dan mendidiknya.

Melainkan saudara telah cuba macam-macam cara untuk betulkan isteri tapi tetap gagal, pada masa itu saya serahkan Kepada Saudara untuk membuat keputusan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ....Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 228)

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi kamu (lelaki) ada hak dari isteri kamu dan isteri kamu ada hak dari kamu". (riwayat Tirmidzi)

Maksudnya kedua belah pihak ada hak masing-masing. Suami wajib menunaikan hak-hak isterinya, manakala isteri juga berkewajipan menunaikan hak suaminya.

Hal ini termateri dengan ijab kabul yang berlangsung antara seorang lelaki dan seorang perempuan. Sebab itu perkahwinan adalah bermulanya tanggungjawab yang lebih berat.

Lebih-Lebih lagi apabila telah bergelar suami, tanggungjawab bukan sekadar keatas dirinya malah keatas isterinya. Kegagalan dalam memastikan isteri taat kepada perintah Allah SWT juga akan menjadi tanggungjawab si suami.

Sebabnya, suami bertanggungjawab mendidik isterinya menjadi isteri solehah yang kelak melahirkan zuriatnya sekali gus mentarbiah anak-anaknya ke jalan yang diredai Allah SWT.

Hadis Baginda SAW yang bermaksud: Seseorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartawannya dia, kerana berketurunan baiknya dia, kerana cantiknya dia, kerana beragamanya dia, Akan tetapi carilah yang beragama nescaya selamat kamu (wahai lelaki). (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Awal-awal lagi Rasulullah SAW telah berpesan kepada kaum lelaki supaya dalam mencari jodoh agar memberi penekanan kepada soal agama, kerana harta dan kecantikan tidak ada kekalnya, kalau ada pun bagaimana nak diurus tanpa agama.

Walaupun baginda SAW menyebut agama dalam perkara keempat, ini tidak bermaksud yang terakhir.

Malangnya hari ini, dan sebelum-sebelum ini kebanyakan lelaki utamakan kecantikan semata-mata. Jangankan lelaki, emak lelaki pun sama mencari menantu cantik untuk dibanggakan dikhalayak ramai.

Memanglah sukar untuk mencari yang sempurna, biar kurang cantik tetapi jangan kurang agamanya. Saya tulis demikian supaya apa yang berlaku dalam kehidupan saudara tidak berlaku pada yang lain.

Wanita itu sifatnya sangat unik. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok selama-lamanya. Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan). (riwayat Muslim )

Melalui hadis ini bukan tulang bengkok yang dibicarakan, tetapi fizikal tulang bengkok, serta komplikasi membiarkan tulang itu terus membengkok.

Dalam kata yang lain, baginda SAW ingin mengajak umatnya daripada kaum lelaki mengambil perhatian yang serius dalam mendidik para isteri.

Pastinya bukan mudah meluruskan tulang yang bengkok dan tidak elok dibiarkan terus bengkok. Maksudnya, Kaum Adam kena tahu cara terbaik untuk mendidik isteri. Proses mendidik pula memakan masa yang panjang, mungkin juga bergantung kepada fizikal emosi si isteri yang bersedia untuk dididik. Adakalanya isteri melihat mereka lebih baik berbanding suami.

Kebahagiaan rumahtangga dapat diraih apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri.

Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling.

Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.

1 comment:

  1. sabar , sabar , sabar . . semuanya tentu melalui proses , tidak seperti membalik telapak tangan ,dekatkan diri dengan Allah dan mohonkanlah kepada-Nya untuk membukakan hati isteri buat merubah sikapnya , dekap dan kasihilah isteri jangan biarkan ianya berketerusan dalam kesalahannya , peluklah ia dengan nyanyian yang menggugah rasa . . .

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...