terima kasih buat kalian semua..

Saturday, February 25, 2012

Hukum guna zakat isteri bayar hutang suami...


Saya seorang isteri yang berkerjaya dan pendapatan saya agak besar. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perniagaan suami saya merudum dan beliau menanggung rugi. Akibatnya, beliau hampir diisytiharkan muflis.

Setelah berbincang, saya mahu membantu beliau menyelesaikan masalah hutang piutang dengan cara menggunakan wang zakat saya yang dibayar in-advance.

Maksudnya, saya akan mengira jumlah zakat saya buat beberapa tahun ke hadapan dan saya akan menjelaskannya lebih awal kepada suami saya. Soalan saya, adakah syarak mengizinkan perbuatan ini?

JAWAPAN

Terima kasih kerana mahu bertanya sebelum melaksanakan keputusan perbincangan tersebut. Suka dinyatakan, seorang suami memang boleh menerima zakat daripada isterinya, kerana suami bukanlah tanggungan wajib si isteri.

Adapun, orang yang berhutang juga memang merupakan salah satu asnaf zakat, iaitu asnaf al-gharimin.

Islam juga memberikan keizinan kepada pembayar zakat untuk menunaikan zakatnya lebih awal dari waktu haul zakatnya, yakni mendahului tempoh wajibnya.

Maka, jika kita melihat secara sepintas lalu, secara asasnya tindakan puan untuk menyerahkan keseluruhan zakat puan kepada suami puan, langsung tidak bercanggah dengan kehendak syarak. Benarkah begitu?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, maka terlebih dahulu ada baiknya kita memahami dengan minda yang jernih tentang prinsip, matlamat dan roh zakat. Ini kerana, zakat adalah amalan ijtimai'e (kebajikan dan keadilan sosial) yang ruang lingkupnya amat luas.

Sungguhpun zahirnya kita tidak melanggar kehendak syarak, namun itu tidak bererti apa yang akan kita lakukan itu berbetulan dengan prinsip, matlamat dan roh zakat.

Dr. Yusuf al-Qaradawi telah pun membicarakan secara terperinci perihal ini di dalam kitabnya Hukum Zakat, pada halaman 877-885 dengan tajuk 'Tujuan zakat dan dampaknya dalam kehidupan masyarakat'.

Realitinya, prinsip, matlamat dan roh zakat amat jelas, iaitu menyantuni dan memenuhi keperluan umat Islam yang termasuk ke dalam kategori lapan asnaf zakat, iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil.

Maka, dalam hal ini, para fuqaha menyatakan secara jelas, seorang muzakki itu adalah tidak wajar hanya menyerahkan keseluruhan hartanya hanya kepada salah satu asnaf zakat sahaja.

Tindakan ini secara langsung telah menidakkan hak asnaf atau mustahiq lain yang juga berhak ke atas harta zakatnya.

Sebagai rujukan, pada pandangan Imam Syafie sendiri, zakat yang hendak diagihkan itu mestilah dibahagikan kepada setiap golongan yang telah disebutkan (kecuali asnaf amil). Seandainya kesemua golongan asnaf itu ada, maka zakat itu wajib diserahkan kepada semua asnaf dan tidak boleh dikecualikan walaupun satu golongan.

Cuma sebahagian fuqaha telah memberikan kelonggaran dengan tidak mewajibkan kesamarataan dalam pengagihan zakat.

Bahkan pada sisi Syafie, seseorang yang mahu mengagihkan sendiri zakatnya, maka mereka mestilah memberikannya kepada sekurang-kurangnya tiga orang daripada setiap golongan asnaf, sekiranya bilangan asnaf itu terlalu ramai.

Maknanya, asnaf fakir tiga orang, miskin tiga orang, mualaf tiga orang dan begitulah seterusnya sehingga memenuhi semua tujuh asnaf (di sini asnaf amil tidak dimasukkan sebagai penerima, kerana ia diagihkan sendiri oleh pemilik harta zakat). (Hukum Zakat, hal. 664).

Di samping itu, memang ada juga dalam kalangan ulama fikah lain yang membolehkan ia diserahkan walaupun hanya kepada satu golongan. Namun dalam hal ini, Imam Malik pula menegaskan: "(hendaklah) diserahkan (zakat itu) kepada yang paling memerlukan." (Fiqhul Manhaji al-Shafie, Jilid 1, hal. 466 - 467).

Apa yang dapat difahami di sini ialah, para fuqaha telah meletakkan keutamaan agar pengagihan zakat itu hendaklah berpandukan kepada pertunjuk ayat 60 dalam surah at-Taubah, iaitu mestilah diutamakan golongan fakir, miskin dan mualaf sebelum gharimin (orang berhutang).

Maka, apabila seseorang itu memberi zakatnya tanpa merujuk kepada hierarki keutamaan asnaf, sudah pasti berlaku 'ketempangan' di sini. Ia juga telah mencanggahi pandangan yang dikeluarkan oleh Imam as-Syafie sendiri.

Dalam pada itu, sungguh pun fuqaha menyatakan, adalah harus bagi seseorang muzakki itu untuk mendahulukan haul zakatnya, namun fuqaha juga menyatakan, ia hendaklah dengan syarat bahawa orang yang bakal menerima zakatnya itu, berkekalan dia sebagai mustahiq zakat sehinggalah tempoh yang sepatutnya.

Misalnya, jika puan mengeluarkan zakat bagi suami puan dari tahun 2010 sehingga tahun 2015, maka adakah puan pasti sehingga tahun 2015 itu, suami puan masih lagi seorang asnaf zakat?

Ini kerana, dalam perkiraan zakat, ia masih mengambil kira haul sebenar ketika mana zakat itu sepatutnya dikeluarkan. Seandainya ketika itu penerima sudah terkeluar dari kelompok mustahiq zakat, maka pemberian itu bukan lagi dianggap sebagai zakat (Fiqhul Manhaji al-Shafie, Jilid 1, hal. 458).

Maka, dalam mempertimbangkan pelbagai sudut agar zakat yang dikeluarkan itu benar-benar mencapai matlamat dan menepati rohnya, maka sayugianya dicadangkan agar puan tidak memberikan keseluruhan zakat puan itu hanya kepada satu sasaran sahaja.

Ini kerana, ia bukan sahaja akan menidakkan hak yang sepatutnya turut dimiliki oleh asnaf lain; bahkan dikhuatiri pertimbangan itu lebih kerana atas kepentingan peribadi dan individu.

Sebaik-baiknya, hendaklah puan membahagikan zakat itu kepada tiga bahagian dan menyerahkan dua bahagian kepada institusi zakat agar ia dapat dilestarikan kepada asnaf zakat yang lain dan hanya sepertiga yang puan serahkan kepada suami puan atas asnaf gharimin.

Ini kerana mengambil kira suami puan adalah orang yang rapat dengan puan, dan Islam juga menuntut agar seseorang itu mengambil kira faktor kekerabatan ini dalam memberikan sedekahnya.

Sementara jumlah sepertiga, kerana ia adalah jumlah minimum yang sesuai dan tidak dilihat berlebih-lebihan serta tidak pula terlalu kecil bagi menampung keperluan suami puan. Misalnya, jika zakat puan adalah RM1 juta, maka 1/3 adalah RM333,000.

Ingin saya nukilkan sedikit petikan kata-kata susunan al-'Allamah Sheikh Yusuf al-Qaradawi, iaitu: "Sesungguhnya keperluan (agihan zakat) itu adalah berbeza antara satu sama lain (dalam kalangan asnaf zakat). (Apa) yang penting adalah, kalaupun kelebihan itu ada, maka hendaknya (ia diberikan) berdasarkan sebab yang benar dan demi kemaslahatan, bukan berdasarkan hawa nafsu dan keinginan tertentu, dan dengan tidak merugikan sasaran (asnaf) atau peribadi yang lain." (Hukum Zakat, hal. 671). Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...