terima kasih buat kalian semua..

Saturday, February 25, 2012

Ibu baru pergi, ayah nak kahwin lagi !!!


TAKDIR yang berlaku ke atas hidup kita adalah ketentuan Allah. Tidak boleh dinafi dan harus diterima dengan rasa dada lapang walaupun ia pahit untuk ditelan.

Kematian orang yang dikasihi terutama ibu tentunya mengundang rasa sedih yang mendalam. Rindunya tentu sehingga ke akhir hayat. Namun hidup mesti diteruskan kerana yang pergi tetap pergi dan tidak akan kembali, kita yang hidup perlu terus menghadapi cabaran.

Akan tetapi bagaimana perasaan anda sekiranya tempat orang yang hilang itu diganti dalam masa yang singkat? Ibarat kata, kubur masih merah, mata sudah melilau cari pengganti.

Berkongsi kesedihan dengan Fatihah (bukan nama sebenar), saya paparkan kesedihan Fatihah apabila bapanya ingin berkahwin lagi walaupun ibunya baru tiga bulan meninggal dunia.

Begini cerita Fatihah:

"Saya tidak marah ayah hendak berkahwin lagi, tetapi tunggulah dulu. Ini tidak, ibu baru tiga bulan pergi, ayah sudah mahu cari pengganti. Kami masih meratapi pemergian ibu, ayah sudah pasang angan-angan nak naik pelamin.

"Saya juga amat kecewa sebab ayah mahu kahwin gadis berusia 25 tahun yang sebaya dengan saya, macam tidak ada wanita lain yang sebaya dengan ayah dan layak kami panggil ibu.

"Saya berusia 25 tahun, anak kedua daripada adik-beradik seramai empat orang, seorang kakak, seorang abang dan seorang adik lelaki. Kakak sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang anak. Abang masih bujang, adik di tingkatan lima dan saya sudah bekerja.

"Lima bulan lalu, ibu kami meninggal dunia kerana kanser rahim. Tiga tahun ibu menderita sakit tersebut. Sepanjang tempoh itu, kami adik-beradik bergilir-gilir menjaga ibu.

"Ayah macam biasa, ada dengan tidak sama sahaja. Sibuknya memanjang. Ayah seperti melepas tangan untuk mengambil berat tentang ibu. Tapi ibu penyabar dan tidak ambil hati dengan sikap ayah.

"Pertengahan tahun lalu keadaan ibu semakin uzur. Sakitnya menjadi-jadi sehinggakan hospital menjadi rumah kedua ibu. Kami anak-anaknya tetap menjaga kebajikan ibu dan mencurah kasih sayang seperti biasa kerana tidak mahu ibu bersedih dengan ketiadaan ayah yang lebih mengutamakan kerjayanya daripada menjaga ibu.

"Ketika ibu memerlukan, ayah selalu out station. Abang pernah menegur sikap ayah yang tidak peduli pada ibu tetapi ayah menafikan sikapnya itu dan berkata dia bekerja untuk menampung hidup kami adik-beradik dan ibu yang sedang sakit.

"Hingga saat ibu dimasukkan ke hospital dalam keadaan tenat, ayah masih bekerja dan tidak ambil kisah. Siang ayah kerja, malam pun tidak ada masa menjenguk ibu.

"Saudara-mara ramai yang perasan sikap ayah tetapi apabila nenek dan atuk tegur, ayah selalu memberi alasan. Sehingga ibu hampir menghembuskan nafas yang terakhir, baru ayah muncul di hospital, itu pun setelah abang berkali-kali menelefon dan meninggalkan pesanan supaya datang segera ke hospital.

"Saya tidak tahu kenapa ayah buat perangai macam itu, padahal ketika ibu sihat, ayah sangat sayang dan prihatin dengan ibu. Mereka seperti belangkas ke mana sahaja berdua. Saya perhatikan ayah berubah setelah ibu menghidap kanser rahim tahap empat.

"Perangai ayah amat mengecilkan hati kami adik-beradik terutama nenek sebelah ibu. Ini timbul pula isu ayah nak kahwin lagi dengan gadis berumur 25 tahun.

"Saya malu dengan kawan-kawan kerana ayah memilih gadis muda untuk menjadi isterinya, sedangkan ramai calon yang keluarga cadangkan kepada ayah dia tolak.

"Bayangkan kalau ayah kahwin dengan budak umur 25 tahun, apa saya nak panggil dia, makcik, kakak atau panggil nama sahaja. Bagaimana dengan abang dan kakak?

"Abang telah menolak mentah-mentah calon ayah. Dia tidak merestui pernikahan ayah dengan gadis itu, begitu juga kakak. Kami malu dengan kawan-kawan dan saudara-mara.

"Saya telah menyuarakan bantahan kepada ayah tetapi ayah berkeras untuk melamar gadis itu. Setelah disiasat, saya dapat tahu ayah memang telah dilamun cinta dengan gadis itu sejak ibu menghidap kanser rahim. Padanlah ayah banyak berubah, rupa-rupanya dia gila bercinta dengan kekasih muda, sebab itu ibu diabaikan.

"Kami adik-beradik nekad tidak setuju dengan perkahwinan ayah jika dia memilih gadis muda itu. Ayah boleh kahwin dengan perempuan lain yang matang dan dapat menjaga dia apabila tua nanti. Bukan gadis muda yang saya rasa hanya akan membebankan hidup ayah.

"Saya juga pelik kenapa ayah terlalu gilakan gadis itu, sedangkan dia masih muda berbeza 30 tahun dari ayah. Apa istimewa ayah di mata dia pun kami tidak tahu. Ayah bukan orang kaya, tidak ada harta menggunung... macam mana dia boleh hidup dengan ayah nanti.

"Kami tidak pernah jumpa gadis itu walaupun ayah banyak kali ingin mengatur pertemuan kami dengan dia. Saya, abang dan kakak memang nekad tidak mahu campur urusan nikah ayah kalau dia hendak juga kahwin dengan budak perempuan itu. Dalam keadaan sekarang kami adik-beradik lebih memikirkan masa depan kami tanpa ibu tambahan pula dengan perangai ayah yang sudah tidak ingat dunia, anak-anak dan cucunya.

"Kami harap jika ayah terbaca catatan ini, dia boleh fikirkan semula niatnya bernikah dengan perempuan itu. Bukan kami bantah tetapi kami yakin, dia bukan calon terbaik untuk menggantikan tempat ibu. Harap ayah dapat berfikir dengan waras dan menimbang buruk baik hidupnya pada masa akan datang.

"Ayah mesti ingat, dia semakin tua. Sepatutnya ayah memikirkan bagaimana hendak mengatur hidup supaya selesa menghadapi hari tua, bukan bercinta dengan gadis 25 tahun macam orang muda. Apa pun sebagai anak, kami tentu ingin yang terbaik untuk ayah. Dan tentunya ayah boleh berfikir sendiri untuk menimbangnya. Sebab jika ayah tersilap percaturan, dia akan kehilangan kami semua," Fatihah menutup cerita dengan penuh sebak di dada.

Sesiapa pun yang berada di kedudukan Fatihah pasti akan mengalami perasaan yang sama, sedih dan kecewa. Pun begitu, sebagai anak, Fatihah juga harus ingat, buruk baik, dia tetap bapa yang perlu dihormati dan disayangi.

Saya percaya masih ada jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. Cadangan saya, minta keluarga yang lebih tua untuk berbincang tentang perkara ini dan memberi nasihat kepada bapa anda.

Saya akui, memang tidak ada orang yang boleh menggantikan tempat seorang ibu, tetapi jika jodoh bapa anda dengan gadis itu kuat, tidak ada siapa boleh menolak takdir.

Untuk sementara, jangan putus berdoa. Mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hati bapa anda untuk lebih memahami kehendak anak-anak dan kembali ke pangkal jalan.

Menutup kata, bergembiralah dengan kehidupan kerana ia sangat indah dan sarat dengan kebaikan jika kita selalu berfikiran positif. Ingatlah, jangan gelisah atas apa yang akan berlaku pada hari esok kerana penentunya adalah hari ini.

1 comment:

  1. salam..so skrang ape jadi ngan ayh fatihah?Jadi kawin ngan prmpuan tu?agak2, sya pham sgt rasa cmna bla jadi cmni..mmg xleh trima plak org tua kta blgak sperti org muda yg bru prtma kali nk kawin..smoga sgalanya brada dlm lindungan Illahi..amin

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...