terima kasih buat kalian semua..

Sunday, February 12, 2012

Jodoh tanpa restu ibu ayah, diri merana suami playboy !!!


SEPERTI juga kejayaan, kebahagiaan tidak datang bergolek malah harus dikejar setiap masa melalui persefahaman, tolak ansur serta saling sayang antara satu sama lain terutama dalam rumah tangga.

Kebahagiaan juga boleh menghancurkan masa depan bagi mereka yang mendirikan rumah tangga tanpa restu kedua-dua ibu bapa.

Terpanggil dengan isu ini saya ingin berkongsi cerita benar mengenai seorang isteri yang malu untuk balik kampung bertemu ayah dan ibunya selepas dicerai oleh suaminya.

Semuanya kerana dia telah berkahwin tanpa restu orang tuanya lapan tahun lalu dan sejak itu langsung tidak pernah menjenguk mereka sehingga di cerai oleh suami baru-baru ini.

Kini Farah (bukan nama sebenar), 33, berada dalam dilema sama ada mahu kembali ke pangkuan orang tua untuk meminta maaf atau terus menyepi diri bersama dua orang anaknya.

Kita ikuti kisah Farah seterusnya.

"Saya berumur 33 tahun, bekerja sebagai eksekutif di sebuah bank. Saya telah bernikah dengan suami, Fazlon, 35, (bukan nama sebenar) sejak lapan tahun lalu. Kami dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan berusia tujuh dan lima tahun.

"Saya bernikah dengan Fazlon tanpa restu orang tua kerana mereka tidak suka perangai suami yang menurut mereka tidak dapat membahagiakan saya kerana suka berlagak.

"Demi cinta saya ikutkan hati. Kami lari dan bernikah di sempadan. Setahun kemudian baru ibu bapa saya tahu kami telah bernikah. Mereka tidak mahu menerima suami saya.

"Akibatnya saya tidak pulang ke kampung sejak itu sehingga sekarang walaupun saya ada menghubungi adik-adik dan abang untuk memaklumkan keadaan saya dan keluarga setiap masa.

"Saya malu untuk balik kampung sebab memang perangai suami seperti yang ayah dan ibu katakan. Dia seorang yang sombong berlagak macam orang kaya dan suka berfoya-foya.

"Dua tahun bernikah dan setelah kami mempunyai seorang anak, baru saya nampak sikap sebenar suami. Selain suka berlagak dan berfoya-foya, dia juga ada ramai teman wanita.

"Hidupnya macam orang bujang, siang malam enjoy dan masa untuk saya dan anak-anak tidak pernah ada.

"Kerana sayang saya masih bertahan tambahan pula anak sudah bertambah. Suami melepaskan tanggungjawabnya terhadap anak-anak dan rumah tangga dan membiarkan saya seorang diri menguruskan perbelanjaan rumah, bayaran tadika anak dan perbelanjaan sekolah. Apabila saya minta duit, dia melenting.

"Saya juga telah banyak kali terserempak dia dengan teman wanitanya yang bertukar-tukar orang setiap masa. Ada ketikanya dia selalu out station, katanya urusan kerja sedangkan sebenarnya dia pergi bercuti dengan teman wanitanya.

"Lima tahun saya bersabar, akhirnya saya tidak tahan lagi dan bersemuka dengan suami untuk mendapatkan penjelasan. Dia mengaku semua perkara yang dia buat termasuk mempunyai ramai teman wanita.

"Saya tanya dia, kalau mereka boleh menghiburkan hati dia setiap masa, apa guna saya lagi dalam hidupnya? Dia menengking dan berkata saya mencabar kelakiannya. Saya sekadar mahukan penjelasan dan perhatian, itu sahaja dan tidak bermaksud untuk bertengkar dengan dia.

"Selepas itu suami asyik marah-marah dan menengking anak-anak tanpa sebab. Anak-anak juga mula takut dan menjauhkan diri daripada bapa mereka.

"Kemuncak kepada ketegangan hubungan kami ini berlaku dua bulan lalu. Secara tidak sengaja saya terbaca mesej yang dihantar oleh salah seorang teman wanitanya yang berbau lucah dan amat menyakitkan hati saya.

"Saya bertanya dia dengan cara baik tentang kesemua mesej yang sempat saya baca. Apa lagi dia melenting dan menampar saya kerana katanya saya menjaga hal peribadinya.

"Kalau saya sebagai isteri tidak boleh ambil tahu, apa hak saya lagi di sisinya. Dia asyik mencari kesalahan saya sahaja sedangkan kesilapan dia tidak nampak. Kami bertengkar hebat dan tentunya tubuh saya menjadi sasaran kemarahannya.

"Akhirnya terkeluar perkataan aku ceraikan engkau dari mulutnya. Saya tergamam. Terkejut dengan ayat itu saya menangis. Walaupun tidak ada saksi, pada saya talak itu sudah jatuh.

"Dia juga terkejut dan tergamam. Kami tidak berkata apa-apa selepas itu. Saya terus menangis sambil memeluk kedua-dua anak kami. Saya tidak tahu apa hendak dikata lagi selepas perkataan itu terkeluar dari mulut suami.

"Setengah jam kemudian suami berkata kepada saya yang dia akan keluar dari rumah dan tidak akan balik lagi. Dia minta saya jaga anak-anak dan jumpa dia di mahkamah untuk urusan selanjutnya.

"Saya hanya mampu menangis kerana terlalu sedih, saya terima ini sebagai ujian Allah kepada saya. Saya sedar, mungkin inilah balasannya untuk saya kerana mengetepikan ibu bapa saya ketika bernikah dulu.

"Sekarang saya sedar dan mahu bertaubat. Saya mahu kembali ke kampung untuk berjumpa ayah dan ibu dan meminta maaf. Saya tidak akan merayu kepada suami untuk menerima saya kembali. Saya tahu hubungan kami tidak mungkin akan pulih seperti sedia kala sebab perangainya yang buruk itu, tambahan pula saya sudah tidak ada hati lagi untuk dia.

"Saya mahu melupakan semua perkara yang berlaku dan berharap ada cahaya baru dalam hidup masa depan saya. Mujur selepas bernikah dulu kami telah mendaftar perkahwinan itu di sini, jadi saya tidak ada masalah untuk meneruskan perceraian.

"Saya mahu kembali kepada keluarga, kepada ayah dan ibu yang amat saya rindu. Walau apa pun sambutan mereka terhadap saya dan anak-anak saya akan terima walaupun saya diusir kelak. Saya reda dengan apa yang akan berlaku dan telah bersiap sedia untuk menghadapinya.

"Doa saya agar ayah dan ibu memaafkan saya dan menerima saya dan anak-anak semula. Semoga Allah kabulkan permintaan saya.

"Nasihat saya kepada wanita di luar sana yang ingin bernikah, jangan ketepikan ayah ibu dan keluarga. Restu mereka penting untuk kebahagiaan rumah tangga kita agar bahagia berkekalan sehingga ke syurga.'' Farah menamatkan cerita.

Kisah Farah amat baik dijadikan teladan oleh pasangan yang ingin bernikah. Saya setuju dengan Farah, restu ibu bapa amat penting dalam hidup berumah tangga.

Saya faham perasaan Farah dan kagum dengan ketabahannya menerima tragedi ini. Nasihat saya sila maklumkan apa yang berlaku anda di pejabat agama agar segala kekusutan dapat dirungkai. Yang penting pengesahan perceraian itu perlu dilakukan mengikut peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.

Kemudian Farah boleh meneruskan tuntutan yang lain untuk mendapatkan haknya dan anak-anak. Mudah-mudahan Farah dapat menghadapinya dengan tenang dan bersikap positif dalam meneruskan hidupnya bersama anak-anak.

Doa saya semoga Allah lindungi hidup Farah dan anak-anak serta ditemukan jodoh dengan lelaki yang baik-baik untuk membimbing Farah menjadi isteri solehah.

Menamatkan catatan, sepatah kata daripada saya: Sedih tidak bererti kita perlu menangis. Gembira tidak bermakna kita harus ketawa. Kedua-duanya, sedih dan gembira apabila dicantumkan boleh menjadi penawar bagi melihat kelemahan diri kita yang perlu dibaiki.

Salam.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...