terima kasih buat kalian semua..

Saturday, February 25, 2012

Memilih bentuk akaun sesuai untuk suami isteri..



SAYA ingin bertanya bolehkan sesebuah bank mengeluarkan kad ATM untuk dua orang bagi satu akaun. Persoalan ini dibuat kerana saya dan isteri mempunyai simpanan yang dibuat atas nama saya. Bagi memudahkan pemeriksaan transaksi keluar masuk, bolehkah bank mengeluarkan dua kad atas nama saya dan isteri? - MOHIDEEN ABU BAKAR, Puchong

Anda tidak boleh memiliki lebih daripada satu kad ATM jika anda pemegang akaun tunggal. Ini hanya boleh dilakukan untuk akaun perniagaan (di mana bank memberikan kad ATM untuk perniagaan). Di samping itu, kami juga ingin menekankan bahawa anda tidak harus menyerahkan kad ATM dan/atau PIN anda kepada mana-mana pihak ketiga kerana pengendalian akaun anda adalah tanggungjawab anda sendiri. Pada zaman perbankan elektronik serta-merta masa kini, anda perlu berhati-hati agar mengambil segala langkah untuk melindungi kemudahan urus niaga yang disediakan kepada anda sebagai pemegang akaun. Dalam pertikaian membabitkan urus niaga dalam akaun anda, pemberian kad ATM dan/atau PIN kepada orang lain boleh dianggap sebagai kecuaian di pihak anda dan menyebabkan anda bertanggungjawab terhadap semua kerugian.

Alternatif yang lebih baik ialah membuka akaun bersama dengan isteri dan meminta dua kad ATM dikeluarkan. Sebaliknya, anda juga boleh memindahkan dana ini dalam akaun berasingan di bawah nama isteri anda. Ini merupakan topik yang memerlukan perbincangan antara suami isteri, malah ia merupakan sesuatu yang patut dilakukan. Adakalanya, perbincangan agak rumit kerana perbezaan dari segi gaji, keutamaan perbelanjaan dan amalan kewangan. Tidak ada satu penyelesaian yang sesuai untuk semua. Maka kami akan menerangkan kebaikan dan keburukan setiap satu daripadanya.

Kaedah pertama ialah membuka akaun berasingan. Ini memberikan budi-bicara kepada setiap seorang untuk menguruskan wang masing-masing. Dalam keadaan tertentu, pendekatan ini perlu diambil oleh mereka yang mendirikan rumah tangga kali kedua dan mempunyai tanggungan kewangan lain. Sesetengah yang lain pula mungkin mempunyai hutang sebelum berkahwin seperti hutang kad kredit atau pinjaman pelajar. Kelemahan kaedah ini ialah kerumitan untuk menentukan perbelanjaan yang dikongsi bersama. Pertikaian mungkin timbul dari segi siapa yang patut membayar bil seperti membaiki kereta, percutian dan hadiah keluarga.

Cara kedua ialah membuka akaun bersama. Kebaikan cara ini ialah suami isteri perlu berbincang tentang hal-ehwal kewangan dan memudahkan pengendalian perbelanjaan bersama. Pada asasnya ini nampak mudah, tetapi masing-masing mungkin mempunyai amalan kewangan berbeza. Contohnya salah seorang lebih berjimat-cermat daripada yang lain dan ini mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati. Di samping itu, cara ini tidak memberikan privasi dan kebebasan.

Kaedah terakhir ialah kombinasi akaun tunggal dan bersama. Pilihan ini mungkin paling sesuai kerana membolehkan anda berdua sebagai suami isteri untuk menggunakan pendekatan menguruskan wang bersama sambil mengekalkan kebebasan masing-masing. Perbincangan masih perlu dibuat tentang berapa yang patut dimasukkan ke dalam akaun bersama.

Anda juga perlu berunding tentang perbelanjaan yang boleh dibuat menerusi akaun bersama ini.

Diharapkan segala pilihan yang diterangkan di atas boleh membantu anda memilih kaedah pegangan akaun yang paling sesuai untuk anda dan isteri.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...