terima kasih buat kalian semua..

Sunday, February 19, 2012

Mentua atur hidup kami !!!


PERKAHWINAN sepatutnya mendekatkan pasangan suami isteri dengan mentua yang perlu dianggap seperti keluarga kandung, malah setaraf dengan ibu bapa kandung.

Ramai pasangan suami isteri tidak sehaluan dengan mentua kerana pelbagai sebab. Ada yang langsung tidak bertegur sapa, ada yang sekadar berlakon dan ada juga yang mesranya seperti anak kandung.

Tapi bagaimana agaknya reaksi anda jika mentua pula yang terlebih ego dan merasakan dia seorang sahaja yang betul dan anak menantu mesti mendengar cakapnya.

Inilah dilema yang dihadapi oleh Adila (bukan nama sebenar), ibu muda yang menghadapi masalah dengan mentuanya yang suka mengatur kehidupannya dan suami.

Sejak mula kahwin hingga sekarang, Adila terpaksa mengikut telunjuk mentuanya kerana suami tidak berani membantah.

Kepada saya, Adila berkongsi cerita untuk tatapan pembaca semua.

"Kalau bercerita tentang masalah ini, tentu orang akan kata saya menantu yang tidak baik dan bukan pilihan mentua. Bagaimanapun kepada mereka yang pernah mengalami masalah yang sama dengan saya, tentu akan tahu bagaimana rasanya menjadi seperti kerbau dicucuk hidung oleh mentua.

"Saya berusia 28 tahun, baru empat tahun berkahwin dengan suami, Fazli (bukan nama sebenar) dan mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun. Kami berkahwin kerana cinta setelah enam tahun bercinta di kampus.

"Pernikahan kami direstui keluarga kedua-dua pihak. Ibu mentua saya di peringkat awal seorang yang ramah, baik hati dan sangat penyayang. Tapi itu hanya untuk sementara. Setelah saya bernikah dengan anaknya, tembelang mentua dan perangai sebenarnya mula kelihatan.

"Nak tahu kenapa? Dia seorang wanita dan ibu yang amat cerewet dan ego. Kata dia saja yang betul, pandangan orang lain semuanya salah belaka. Saya nampak perubahan ini setelah enam bulan tinggal sebumbung dengannya kerana suami anak bongsu.

"Mentua saya selalu mengongkong pergerakan kami terutama suami. Perbelanjaan rumah, pengurusan wang ringgit dan makan pakai kami, dia yang tentukan. Pada mulanya, saya tidak perasan akan sikap buruknya itu sehingga lama-kelamaan saya merasakan seperti kerbau dicucuk hidung.

"Setiap bulan kami dimestikan memberi sejumlah wang kepadanya untuk disimpan. Sejumlah lagi untuk belanja dapur, bayar bil dan lain-lain. Bayangkan, jika sebulan separuh daripada gaji kami suami isteri perlu diberikan kepada mentua, apa yang tinggal untuk kami.

"Saya juga ada ibu bapa, adik-adik yang perlu ditanggung. Saya juga mahu wang belanja untuk diri sendiri jika teringin berbelanja.

Sikap ibu mentua menjadikan saya panas hati.

"Jika kami suami isteri hendak ke mana-mana, dia yang akan tentukan sama ada boleh atau tidak. Paling meluat lagi dia selalu hendak mengikut kami walaupun pelbagai alasan suami dan saya berikan.

"Sikapnya menjadikan kami suami isteri tidak ada privacy langsung. Pernah saya memberitahu suami supaya berterus terang dengan ibunya tentang perasaan saya tetapi suami takut ibunya kecil hati.

"Saya pelik kenapa suami tidak boleh bercakap dari hati ke hati dengan ibunya, sedangkan dia tahu perangai ibunya yang melampau itu. Yang saya marah lagi sebab dengan anak-anak lain, dia tidak buat peraturan seperti itu.

" Sepatutnya suami fikirkan juga masa depan saya sebagai isteri dan anak kami, bukan mendengar cakap ibunya sahaja. Kemuncak kemarahan saya berlaku awal bulan lalu apabila suami memberitahu ibunya meminta dia membuat pinjaman bank untuk membesarkan rumah.

"Saya amat marah dengan permintaan itu kerana rumah yang sedia ada sudah cukup besar. Kalau berkumpul anak cucu masih ada ruang untuk tidur dan berehat. Tidak ada sebab untuk membesarkan rumah itu lagi.

"Yang paling saya marah sebab mentua minta suami saya buat pinjaman bank. Cuba bayangkan, bukankah lebih baik suami pinjam bank untuk beli rumah untuk kami sekeluarga daripada pinjam bank untuk membesarkan rumah ibunya.

"Saya tidak membantah niat mentua untuk besarkan rumah jika ada duit simpanan, ini tidak kena pinjam bank pula pada hal dia ada banyak duit dalam simpanan, kenapa tidak digunakan.

"Bila saya tegur, suami merajuk dan mengatakan saya berkira dengan ibunya, pada hal saya telah empat tahun beralah dan menahan perasaan dengan kerenahnya itu.

"Kali ini, saya nekad tidak akan tunduk lagi kepada tekanan mentua. Saya pasrah apa akan berlaku. Saya telah maklumkan kepada suami, saya hendak berpindah dan tinggal sendiri.

"Saya mahu kami menghadapi hidup tanpa dibayangi mentua lagi. Saya mahu bebas daripada belenggu mentua yang mengatur hidup kami. Saya ada ibu bapa dan keluarga. Mereka juga ingin datang ke rumah saya sekali sekala. Sekarang mereka tidak dapat berbuat demikian sebab saya tinggal bersama mentua.

"Walaupun suami marah dengan tindakan saya tapi saya tahu dia akan mendengar cakap saya demi kebaikan masa depan kami. Saya minta maaf kepada mentua kerana terpaksa melakukan ini. Tapi saya rasa inilah tindakan paling baik yang perlu saya lakukan untuk menjaga keharmonian rumah tangga saya.

"Mentua mengamuk sakan apabila suami maklumkan kepadanya tentang hasrat kami hendak berpindah. Sepanjang hari dia membebel dan mengatakan kami tidak bersyukur dengan apa yang dia buat untuk kami.

"Pada hari kami hendak berpindah, mentua tidak ada di rumah. Dia pergi ke rumah anaknya yang lain. Mungkin dia sengaja berbuat demikian kerana tidak mahu melihat kami keluar dari rumahnya. Tapi saya dan suami nekad, jika tidak dilakukan, saya tidak tahu sampai bila kami akan terus hidup di bawah telunjuknya.

"Sehingga kini, sudah tiga bulan kami berpindah, mentua saya sekalipun tidak pernah datang ke rumah kami walaupun kami ada bertandang ke rumahnya untuk bertanya khabar.

"Sambutannya dingin, dia berkurung dalam bilik dan tidak mahu berjumpa saya. Saya tidak kecil hati kerana saya tahu satu hari nanti, dia akan faham kenapa saya bertindak demikian.

"Saya sayang mentua macam ibu kandung saya tetapi saya minta maaf sebab tidak dapat terus mengikut telunjuknya kerana saya ada hala tuju hidup saya sendiri bersama suami dan anak kami. Sekarang saya faham kenapa ipar-ipar saya tidak mahu tinggal bersama ibu mereka.

"Semoga Allah ampunkan dosa saya dan membuka pintu hati mentua untuk menerima dan memahami tindakan kami demi mencari kebahagiaan masa depan,'' kata Adila menamatkan cerita.

Sikap berani Adila dalam membuat keputusan demi masa depan rumah tangganya amat dipuji. Itulah yang terbaik dilakukan oleh seorang isteri dalam menangani isu dengan mentua.

Adila tahu apa yang dia buat, syukur juga kerana suaminya tidak terpengaruh dengan sikap ibunya seperti mana yang biasa berlaku dalam rumah tangga.

Nasihat saya, biar apa pun yang terjadi, pelihara rasa hormat dan sayangkan mentua. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Saya berdoa satu hari nanti, mentua Adila akan sedar kesilapannya dan akan menerimanya semula.

Orang tua kadang kala hanya ingin menjadi pelindung, niatnya baik tetapi tersalah cara. Ini yang anak menantu mesti faham.

Menutup catatan, jika anda mengalami hari yang menyedihkan, jangan bersedih kerana ia sebenarnya adalah satu permulaan ke arah hari yang lebih menggembirakan pada masa depan.

Salam

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...