terima kasih buat kalian semua..

Sunday, February 5, 2012

Rahsia cinta gelap 10 tahun terbongkar !! Berasmara dalam bilik server !!!


DISEBABKAN sakit mata melihat gelagat dua staf di pejabatnya yang menjalin hubungan cinta gelap, lelaki ini yang menamakan dirinya sebagai Jefri (bukan nama sebenar) mengirim e-mel kepada saya menceritakan kisah tersebut.

Beliau memohon agar tolong siarkan kisah ini kerana dia dan rakan-rakan sekerja lain tidak lagi mahu bersubahat dengan pasangan yang sudah kemaruk cinta itu.

Memenuhi permintaan Jefri dan kerana kisah ini molek saya catatkan kisah seterusnya seperti yang disampaikan Jefri kepada saya:

"Saya bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Port Dickson sejak 11 tahun lalu. Di pejabat saya, ada seorang pekerja bernama Norin (bukan nama sebenar) berusia 34 tahun.

"Dia masuk kerja di pejabat kami ketika umurnya 24 tahun. Ketuanya seorang lelaki bernama Jamil (bukan nama sebenar) berumur 51 tahun dan semasa Norin masuk kerja, Jamil berumur 41 tahun.

"Dia sudah berkahwin dan mempunyai lima orang anak. Sejak masuk kerja kami nampak ada kelainan pada kedua-dua mereka. Norin ternyata menerima cinta Jamil walaupun dia tahu lelaki itu sudah ada isteri dan anak.

"Tidak sampai seminggu masuk kerja, macam-macam hal mereka buat dalam pejabat termasuk bercumbu dalam bilik server dan stor apabila semua orang sudah pulang.

"Rahsia hubungan sulit mereka itu tidak siapa tahu pada mulanya, tetapi akhirnya terbongkar apabila isteri Jamil datang ke pejabat menyerang Norin.

"Diikuti pula dengan kedatangan bapa Norin ke pejabat mencari Jamil. Walaupun Jamil ada di pejabat ketika itu, Jamil terselamat sebab semua staf tidak memberitahu siapa dia Jamil kepada bapa Norin.

"Kecoh juga waktu itu. Tapi kami semua ambil jalan selamat dengan berkata tidak tahu menahu tentang hubungan mereka.

"Norin buat bodoh sahaja macam tidak ada apa yang berlaku walaupun ayahnya datang marah-marah. Selepas peristiwa itu, Norin tukar nombor telefon supaya mereka senang berhubung tanpa orang lain tahu.

"Mereka tukar taktik supaya orang tidak syak lagi, mungkin bimbang sebab isteri Jamil dan bapa Norin sudah tahu.

"Kami semua menyangka setelah kejadian itu, mereka akan berubah tetapi nampaknya semakin menjadi-jadi. Bukan setakat buat hal pada hari kerja tetapi hari Sabtu dan Ahad juga mereka sanggup datang ke pejabat untuk menghilangkan rindu dan berbuat maksiat di tempat mereka mencari rezeki. Norin pula pandai merahsiakan kegiatan buruknya itu daripada ayah dan ibunya.

"Bagaimanapun bos atasan kami dapat menghidu perkara ini dan memanggil kedua-dua mereka untuk diberi nasihat. Dia juga menasihatkan Norin supaya melupakan Jamil dan bertaubat serta kembali ke pangkal jalan, tetapi nasihat bos macam mencurah air ke daun keladi, sedikit pun tidak mereka peduli.

"Norin tetap dengan cintanya yang satu untuk Jamil. Malah semakin hebat aksi mereka sehingga berdua-duaan di luar tempat tinggal untuk memadu kasih.

"Pernah beberapa kali Jamil dihantar berkursus ke Kuala Lumpur, Norin ikut sekali, mereka tinggal di hotel berlagak macam suami isteri.

"Bukan itu sahaja, mereka juga selalu pergi bercuti bersama dengan alasan Jamil kepada isterinya, dia out station untuk urusan pejabat.

Begitulah kehidupan merpati dua sejoli ini. Hubungan ini telah berjalan sejak 10 tahun lalu. Hingga kini tidak nampak akan ada penamatnya.

Semua staf tahu kisah cinta gelap ini tetapi semua tidak berani membuka mulut.

"Norin pula pernah dilamar oleh beberapa lelaki tetapi dia menolak kerana dia cintakan Jamil. Ayah dan ibunya juga mengaturkan perkahwinannya dengan beberapa lelaki tetapi dia membantah.

"Kami juga pelik macam mana Norin boleh jatuh cinta dengan Jamil, sedangkan apabila dilihat dari segi usia, mereka seperti ayah dengan anak.

"Ayah dan ibu Norin juga pernah berusaha untuk memulihkan Norin supaya tinggalkan Jamil, sayangnya tidak berkesan.

"Saya dan rakan-rakan sepejabat juga tidak mahu lagi melihat sandiwara dua orang manusia ini berlarutan. Tetapi kami tidak tahu apa caranya dan bagaimana hendak menghentikan "drama'' hebat mereka ini.

"Tujuan saya berkongsi cerita ini kerana tidak mahu ia menjadi satu penyakit dalam masyarakat kita hari ini. Saya harap mereka berdua baca catatan ini dan bertaubat serta insaf dengan perbuatan mereka yang salah itu.

"Kalau sudah jatuh cinta sangat dan tidak boleh dipisahkan lagi, nikah sahaja, jangan terus buat dosa. Kami sekarang sedang menunggu masa sesuai untuk membuat tangkapan.

"Saya sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa tentang kes ini dan berharap tindakan akan dilakukan untuk menamatkan perbuatan terkutuk mereka ini.

"Semoga kejadian ini menjadi iktibar untuk kita semua," Jefri menamatkan ceritanya.

Kisah yang disampaikan oleh Jefri ini amat serius dan saya setuju dengan tindakan Jefri dan rakan-rakannya melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan agar tindakan dapat dilakukan.

Nasihat saya, adalah lebih baik Jefri dan rakan-rakannya berterus terang dengan ibu bapa Norin tentang perkara ini kerana ia membabitkan hukum agama.

Saya yakin apabila ibu bapanya tahu keadaan sebenar mereka tentu akan berusaha mencari penyelesaian, setidak-tidaknya meminta Jamil bertanggungjawab dengan perbuatannya itu dan menikahi Norin.

Saya juga tertanya-tanya kenapa setelah 10 tahun baru kisah ini didedahkan? Bagaimanapun saya berterima kasih kepada Jefri kerana berkongsi cerita ini dengan pembaca.

Mudah-mudahan Allah membuka pintu hati Norin dan Jamil untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Menutup catatan, sepatah kata buat renungan dalam membaiki kelemahan kita sebagai manusia. Sesungguhnya, menginsafi kesilapan dan dosa yang telah dilakukan ibarat menyuci hati dengan air mata kerana Allah amat mencintai orang-orang yang bertaubat dan mereka yang membersihkan diri.

Salam

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...