terima kasih buat kalian semua..

Sunday, February 5, 2012

Tersepit cinta suami orang !!


SAYA berusia 22 tahun dan baru putus tunang kira-kira lima bulan lalu. Saat ini, saya terjebak dengan cinta bersama majikan saya. Saya tidak berhasrat untuk bercinta kembali setelah apa yang berlaku tetapi layanan dan juga keprihatinan majikan saya yang jauh lebih berusia membuatkan saya terjerat.

Lebih merumitkan, majikan saya adalah suami orang dan beliau dan isterinya kini berjauhan. Memang ujian yang sangat besar untuk saya kerana ramai rakan-rakan sekerja memandang serong serta bercakap di belakang kami atau lebih tepat lagi 'bergossip'.

Saya keliru, apakah yang perlu saya lakukan dalam keadaan begini kerana majikan saya masih tidak teguh pendirian untuk mengambil saya sebagai isteri kerana takutkan isterinya, tetapi dalam masa yang sama, perasaan sayang saya makin dalam. Terima kasih atas keprihatinan menjawab e-mel ini.

ZARINA

Perlis

TERIMA kasih untuk kiriman e-mel ini. Selagi hidup selagi itu ada cabaran. Yang pasti di sebalik ujian ini pasti ada hikmah yang tersembunyi untuk Zarina teladani. Dalam berhadapan dengan cabaran mahupun ujian, sebagai individu kita punya pilihan sama ada untuk membenarkan diri kita larut dalam konflik mahupun masalah atau bertindak membawa diri keluar daripada masalah tersebut ataupun melakukan pengubahsuaian atau lebih tepat lagi menyesuaikan diri di dalam keadaan konflik yang dijalani. Maka di sinilah menuntut kebijaksanaan, kejujuran dan keberanian diri Zarina selaku individu yang waras, matang dan bertanggungjawab.

Tidak salah rasanya untuk menjalani hidup berpoligami tetapi harus melihat dengan siapa tempat untuk Zarina sandarkan harapan dan kepercayaan. Jika dahan untuk berpaut itu pun tidak kuat, goyah dan rapuh, akibatnya dikhuatiri pilihan mahupun tindakan Zarina ini hanya akan memakan diri. Sebelum menyayangi insan lain sayangilah diri Zarina terlebih dahulu. Maka di sini yang paling berhak untuk membantu Zarina membuat keputusan sama ada ingin meneruskan hubungan atau menamatkannya adalah diri Zarina sendiri. Mohonlah pimpinan Ilahi dan juga restu ayah dan bonda, mudah-mudahan bimbingan serta nasihat mereka, Zarina akan lebih berani dan yakin dengan keputusan yang Zarina ambil.

Bukan apa, takut-takut cinta kalian cinta pelarian yang mana majikan Zarina kesepian dan kesunyian bilamana isterinya jauh di mata lantas mencari ruang untuk diisi. Manakala Zarina pula baru sahaja diuji dengan putus tunang , masing-masing berada di dalam fasa emosi yang teruji. Berikan sedikit ruang untuk melihat ke dalam diri apakah wajar hubungan ini diteruskan atau sebaliknya. Mudah-mudahan Zarina akan bertemu jawapan yang Zarina cari.

Semoga Zarina terus cekal dan tabah hati menempuh rencana Ilahi. Ketahuilah, Allah tidak akan turunkan ujian jika Zarina tidak mampu untuk menjalaninya. Pasti ada sesuatu yang indah untuk dipelajari di sebalik ujian yang hadir ini. Semoga Zarina akan lebih berhati-hati dalam memilih dan bijak agar kebahagiaan yang luhur dan jujur akan Zarina temui akhirnya. Insya-Allah.

Salam rahmat

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...