terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, March 20, 2012

Tak peduli anak gadis sendiri berkahwin !!


TIDAK semua anak bahagia bersama keluarga masing-masing, ada juga kalangan mereka yang terpaksa hidup menumpang dengan orang lain kerana ibu bapa amat sibuk dengan urusan dunia.

Maka membesarlah anak itu dengan orang yang diberi tanggungjawab mendidik mereka sehingga menjadi manusia walaupun orang yang mendidik adalah nenek sendiri.

Begitulah mukadimah kisah minggu ini, luahan hati seorang nenek mengenangkan nasib cucu sulungnya yang tidak dipedulikan ibu bapa sendiri.

Sehingga ke saat anak hendak diijabkabulkan, mereka masih berlagak macam orang asing, sehinggakan pada hari pernikahannya, si nenek menitiskan air mata kerana anak dan menantunya hanya datang sebagai tetamu,'' demikian cerita Makcik Lina kepada saya.

Untuk teladan dan iktibar, kita ikuti cerita seterusnya sebagaimana yang diceritakan oleh Makcik Lina.

"Saya berusia lewat 50-an, bekas pesara guru. Saya mempunyai tiga orang anak yang telah mempunyai kehidupan mereka sendiri. Anak sulung saya lelaki, dan dua anak perempuan.

"Sebagai anak sulung, tentunya dia memikul tanggungjawab berat untuk menjaga kebajikan saya dan suami, adik-adik serta anak-anaknya seramai empat orang.

"Anak sulung saya mempunyai tiga orang anak. Yang sulung perempuan, berusia 21 tahun, anak lelaki berusia 17 tahun dan yang bongsu, anak perempuan berusia 14 tahun.

"Ketika mereka berkahwin dulu, anak lelaki saya masih terkapai-kapai untuk hidup. Sama seperti anak saya, isterinya juga berkelulusan universiti. Secara umum memang saya bangga mempunyai anak dan menantu berkelulusan tinggi.

"Setelah enam bulan bernikah, menantu saya disahkan mengandung. Tentu seluruh keluarga amat gembira, lebih-lebih lagi saya dan suami kerana status saya akan bertukar menjadi nenek.

"Mereka dikurniakan anak perempuan yang diberi nama Amira. Saya amat gembira dengan kelahiran Amira. Walaupun sibuk mengajar, saya masih ada masa untuk mendidik dan mengajar Amira sehingga dia berjaya dalam pelajaran.

"Sebagai ibu, tentunya saya kasihan melihat anak dan menantu terkejar ke sana sini, mana hendak ke pejabat dan mana hendak menguruskan Amira. Akhirnya saya menawar diri untuk menjaga Amira sementara mereka mencari orang gaji atau pengasuh.

"Kegembiraan saya berganda apabila Amira tinggal bersama saya. Ketika itu, anak perempuan kedua saya belum berkahwin, dia turut membantu menguruskan Amira.

"Belum pun Amira berusia dua tahun, dia sudah ada adik, begitulah seterusnya sehingga anak ketiga mereka lahir, Amira seperti tidak ada dalam kehidupan ibu bapanya.

"Setiap kali saya ajukan pertanyaan bila hendak ambil Amira, anak lelaki saya akan berkata, tunggu dulu, tunggu dulu. Sehinggalah Amira masuk sekolah, tidak ada tanda-tanda mereka akan mengambilnya untuk dijaga. Akhirnya saya nekad tidak akan bertanya lagi sebab saya tidak mahu hubungan anak dan menantu menjadi renggang disebabkan saya mendesak mereka mengambil Amira.

"Saya pernah suarakan pandangan supaya mereka mengambil Amira semula tetapi jawapannya tetap sama, dia selamat bersama saya.

" Sepanjang tempoh itu, Amira tidak pernah mengeluh dan tetap menghormati ibu bapanya seperti tidak ada apa-apa berlaku.

"Yang saya sedih, ketika Amira dipinang orang, ibu bapanya tidak pulang meraikannya kerana berada di luar negara. Biarpun telah saya maklumkan tentang khabar gembira itu, dua minggu lebih awal, mereka tetap tidak ambil kisah dengan alasan tiket telah ditempah awal.

"Mereka hanya datang pada hari pernikahan kerana Amira perlukan wali. Pada hari persandingan, mereka datang sebagai tetamu. Terguris juga hati saya apabila mereka tidak tidur di rumah saya, sebaliknya menginap di hotel.

"Amira tidak ambil hati dengan sikap ibu bapanya itu sebab dia lebih sayangkan saya. Dia kata dia tidak peduli jika ibu bapanya tidak hadir, asalkan saya ada. Bayangkan anak yang sudah berusia 21 tahun berkata begitu setelah kehadirannya dalam usia itu seperti tidak wujud dalam diri ibu bapanya.

"Saya mengaku ia kesilapan saya di peringkat awal tetapi niat saya hanya untuk membantu meringankan hidup mereka. Tidak ada niat untuk memelihara Amira sehingga dia dewasa. Malangnya lain pula yang berlaku. Pada hari pernikahan Amira, saya katakan kepada anak saya (bapa Amira) yang saya amat sedih dan terkilan dengan sikapnya terhadap anaknya itu.

"Sepatutnya sebagai ibu bapa mereka ambil berat, tunjuk ajar, rasa gembira kerana anak akan melalui fasa baru dalam kehidupan. Ini tidak, mereka ingat sekadar bagi duit boleh mengubat hati saya dan Amira?

"Kalau mereka tidak bagi duit pun untuk urusan kenduri, saya boleh keluarkan duit sendiri. Anak-anak saya yang lain merungut dan marahkan abang mereka tetapi saya katakan kepada mereka, biarlah Allah yang tentukan apa yang terbaik untuk mereka.

"Amira dan anak-anak saya yang dua orang lagi memang rapat, ibu dan bapa saudaranya sangat sayang kepada Amira dan menjadi tulang belakang kepada majlis pernikahan tersebut.

"Saya sedih kerana keluarga mentua Amira tidak tahu akan nasib menantu mereka tetapi saya berharap jika mereka tahu sekalipun, biarlah Amira yang menceritakannya, bukan saya.

"Apa pun saya bersyukur kerana Amira telah selamat menjadi isteri orang. Semoga dia bahagia bersama suaminya walaupun saya akan kehilangannya dan akan merinduinya setiap waktu.

"Kepada ibu bapa di luar sana, jangan ketepikan anak-anak yang dipelihara oleh orang tua anda. Layan mereka seperti anak-anak lain walaupun anda tidak menjaga dan mendidiknya.

"Kepada ibu bapa pula, jangan terlalu simpati dengan kesusahan anak-anak, biarkan mereka berdikari dan belajar untuk hidup. Saya mengaku telah membuat kesilapan dan saya belajar daripada kesilapan itu dan berharap cucu-cucu saya tidak akan melakukan kesilapan yang sama. Mudah-mudahan Allah lindungi keluarga saya dunia dan akhirat,'' Makcik Lina menutup ceritanya.

Begitu cerita Makcik Lina. Saya faham kemelut yang dihadapi oleh Makcik Lina. Apa pun, tentunya Amira amat terhutang budi dengan neneknya itu. Saya puji sikap Amira yang tidak menyalahkan ibu bapanya, sebaliknya menerima takdir hidupnya dengan reda.

Semoga rumah tangga Amira akan kekal ke akhir hayat. Pesanan saya, jenguk-jenguklah ibu bapa bersama suami jika kelapangan dan jangan sekali mensia-siakan nenek yang telah mendidik anda sejak kecil hingga menjadi isteri orang.

Apa yang berlaku, anggap ia sebagai ujian untuk memberi kita yang terbaik dalam hidup ini.

Menutup catatan, jadikan rumah mu sebagai syurga yang diisi dengan ketenangan dan kasih sayang kerana dua perkara itu amat bernilai serta memancarkan cahaya yang di penghujungnya ada bahagia.

Salam

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...