terima kasih buat kalian semua..

Friday, March 30, 2012

Wanita gemuk lebih seksi !!!


BAGAIMANAKAH mentakrif kecantikan? Sesetengah individu berpendapat tubuh yang ramping, pipi pauh dilayang, hidung bak seludang dan rambut ikal mayang sebagai ukuran kecantikan.

Apa pun kecantikan sememangnya sesuatu yang subjektif dan wanita di seluruh dunia mempunyai tafsiran sendiri mengenainya.

Namun apabila menyelak muka surat majalah-majalah fesyen, rata-ratanya menilai kecantikan melalui tubuh secantik Jennifer Lopez atau wajah sesempurna Aishwarya Rai.

Maaf bukan niat memperlekeh kecantikan plastik wanita, itu realiti yang telah lama bertapak dalam mentaliti masyarakat seluruh dunia biarpun ia agak tipikal tetapi tiada siapa yang menafikannya.

Dihargai kerana gemuk

Mendedahkan apa yang dianggap cantik di negara mereka dan bagaimana wanita di seluruh dunia mentakrifkan kecantikan yang menjadi ukuran bagi mencapai tahap kesempurnaan.

Wanita di seluruh dunia mempunyai pendapat yang berbeza-beza dari segi nilai tradisi sesuatu bangsa itu sendiri.

Di Mauritania, seperti negara lain dalam dunia, kecantikan wanita di sana dihargai tetapi dengan cara yang berbeza.

Terletak di antara Maghribi dan Afrika Barat, Mauritania merupakan sebuah negara yang dibentuk di atas permukaan padang pasir Sahara.

Bandar terbesarnya dikenali sebagai Nouakchott yang dibina berdekatan dengan pantai Atlantik.

Menariknya, di negara ini nilai kecantikan mereka terletak pada individu gemuk kerana bagi mereka kegemukan merupakan kecantikan yang sejati.

Sejak beratus tahun, wanita mudanya dipaksa untuk mengamalkan amalan tradisi yang dikenali sebagai leblouh (dipaksa makan).

Kanak-kanak perempuan dipaksa makan berlebihan semuda usia lima tahun sehingga menampakkan lemak-lemak di sekitar perut, lengan dan paha.

Proses penggemukan itu dikatakan boleh meningkatkan berat kanak-kanak berumur 12 tahun kepada 80 kilogram.

Rata-rata wanita di sana berpendapat, lebih berat timbangan badan mereka maka peluang untuk mencari calon suami lebih tinggi berbanding mereka yang berbadan langsing.

Walaupun kaedah paksaan ini tidak disokong oleh pihak kerajaan, tabiat lama atau amalan tradisi itu amat sukar diubah lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan terpencil.

Di negara tersebut, boleh dikatakan rata-rata gadis muda meluangkan masa sehari suntuk untuk makan. Jika mereka tidak mahu, tetap akan dipaksa atau disumbat dengan pelbagai makanan berkalori tinggi seperti susu unta dan mentega sehingga muntah.

Lebih menghairankan lagi, wanita di negara itu sanggup berbelanja ribuan wang ringgit semata-mata untuk membeli produk-produk kecantikan di pasaran gelap.

Bagaimanapun, produk yang dimaksudkan itu berbeza dengan produk yang dibeli wanita dari benua lain kerana mereka membeli produk untuk menaikkan berat badan yang kebanyakan ubatan itu diguna pakai pada haiwan.

Menurut Houda, seorang wanita yang membesar di Mauritania, bapanya merupakan seorang doktor yang sering berhadapan dengan pelbagai kes kesihatan kesan daripada amalan wanitanya menggemukkan diri kerana ingin kelihatan cantik.

"Ayah saya sentiasa berhadapan dengan wanita yang sering mempunyai masalah kesihatan yang serius seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan kegagalan jantung berfungsi," katanya.

Walaupun masalah-masalah ini dikaitkan dengan obesiti, penyakit tersebut tidak menghalang Houda dan wanita lain untuk berhasrat menambah berat badan ke tahap maksimum.

"Wanita kurus dianggap berpenyakit atau ada yang tidak kena dengannya manakala wanita gemuk benar-benar hidup gembira.

"Berbadan gempal dengan lengan dan punggung yang besar dianggap sebagai bahagian-bahagian badan paling cantik buat wanita Mauritania.

"Malah jika mereka mempunyai lemak yang berlebihan di bahagian perut, anda tidak perlu bimbang kerana lelaki di Mauritania sukakannya," jelas Houda.

Tambahnya, bukan sahaja berat badan yang berlebihan dianggap seksi dan mengghairahkan malah jika seorang janda ia merupakan mata tambahan untuk mencari calon suami.

"Di Mauritania, jika seseorang wanita itu bercerai, mereka akan diraikan dengan jamuan selain ia akan menjadikan wanita tersebut lebih menggoda.

"Itu adalah cara terbaik untuk para wanita digilai ramai lelaki lebih-lebih lagi jika mereka berbadan gempal," katanya.

Obesiti lambang kekayaan

Bagi masyarakat yang tinggal di Mauritania, mereka yang mempunyai badan kurus atau langsing dikaitkan dengan kemiskinan manakala gemuk dijadikan lambang kekayaan seseorang.

Para pengkaji sejarah mengatakan leblouh ini diamalkan sejak zaman mereka hidup secara nomad.

Sepanjang tempoh ini, ibu dan nenek dalam keluarga masing-masing merupakan orang penting yang memulakan proses memberi makanan secara paksaan kepada anak atau cucu mereka.

Wanita di Mauritania dipandang sebagai harta lelaki dan lebih gemuk wanita itu, lebih kaya golongan lelaki itu dilihat.

Susunan AHMED SYAHRIL ZULKEPLY

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...