terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 11, 2012

Jadi andartu pun bahagia !!!


“SAYA tidak pernah peduli kalau ada orang kata wanita yang tak berkahwin tak bahagia hidupnya. Namun sebagai andartu, saya rasa paling bahagia. Saya boleh lakukan apa yang saya suka asalkan tidak melanggar hukum agama dan adat. Tidak menyusahkan hidup orang lain, malah mereka yang menyusahkan hidup saya.

‘‘Saya tak peduli dua orang adik perempuan saya sudah berkahwin dan ada anak begitu juga adik lelaki saya. Mungkin mereka bahagia, malangnya hingga kini merekalah yang banyak menyusahkan saya sering meminta bantuan.‘‘ Itu cerita Norazlinda dalam e-melnya.

‘‘Pada pandangan saya berkahwin tak boleh dipandang ringan, kerana ia satu tanggungjawab, jika terlalai bermakna kelancaran perjalanan sesebuah keluarga itu akan kucar kacir. Dulu pernah emak nasihatkan saya supaya segera kahwin. Tetapi apabila saya katakan emak jangan berbohong dengan hidup emak sebenar, lepas itu emak tak nasihat saya lagi.

‘‘Saya tanya emak apakah emak bahagia setelah lebih 50 tahun berkahwin dengan ayah, emak terdiam, sebab saya tahu memang emak tak bahagia. Kekal jodoh emak dengan ayah bukan kerana mereka bahagia, tetapi kerana emak terlalu sabar, semua masalah emak simpan dalam hati hingga emak dapat penyakit jantung dan darah tinggi.

‘‘Sejak kahwin, ayah memang kaki minum. Habis perangai mabuk ayah jadi tahi judi, hinggakan belanja makan minum dalam rumah terpaksa disekat. Abang berhenti sekolah habis tingkatan tiga nak cari kerja untuk bantu emak. Tetapi baik perangai abang cuma bertahan tiga tahun, lepas itu abang pula ketagih judi macam ayah. Anak beranak kaki main ekor.

‘‘Emak tak boleh nasihat abang sebab ayah pun saya, nak nasihat ayah emak tak berani takut kena pukul, akhirnya emak tutup mulut. Nasib baik kakak dapat kerja jadi kerani dan kakaklah yang banyak bantu emak dan saya boleh bersekolah.

‘‘Saya sering lihat emak menangis kerana perangai ayah. Tetapi bila saya tanya, emak tak pernah bercakap benar. Saya tahu emak sedih. Ketika emak paksa saya supaya segera kahwin terus terang saya beritahu emak, saya tak yakin saya boleh bahagia, kerana saya takut dapat suami macam perangai ayah dan abang, saya tak sanggup membisu, menanggung biawak hidup apa lagi jadi hamba.

‘‘Pada pandangan saya daripada saya buat banyak dosa lebih baik jangan kahwin, sebaliknya saya boleh bantu emak dan adik-beradik lain yang memerlukan bantuan, terutama kakak yang banyak bantu saya semasa saya belajar dulu.

Hamba

‘‘Sekarang kakak pula hadapi masalah yang sama, suaminya bukan sahaja kaki judi malah kami perempuan. Selalu tak pulang rumah jarang bagi nafkah anak-anak. Tetapi emak suruh kakak bersabar, kata emak dosa melawan suami. Habis sekarang siapa yang jadi kuli dan hamba rumahtangga bagi makan anak-anak? sudah pasti kakak!

‘‘Setelah mengimbau semua masalah ini saya rasa lebih baik saya tak payah kahwin. Bukan sahaja menyusahkan diri, malah kalau tidak bernasib baik terpaksa jadi hamba kepada suami yang tak tahu tanggungjawab.

‘‘Saya percaya hidup emak tak pernah bahagia bersama ayah, sebab dari muda hingga usia tuanya emak terpaksa mengharungi perangai buruk ayah. Kalau pasangan lain ada rumah untuk berteduh bila dah tua dan berhenti kerja, tetapi emak terpaksa balik kampung menumpang tinggal di rumah usang nenek.

‘‘Namun saya bersyukur dapat belikan mereka sebuah rumah kecil untuk tinggal di bandar. Dulu saya fikir mungkin saya kena tanggung emak dan ayah, tetapi sekarang tiga orang anak abang turut menumpang . Abang terus lepas tangan bila saya dan adik membantu.

‘‘Gaji saya dan adik sebagai pegawai lulusan diploma bukan tinggi sangat, kami terpaksa bayar ansuran rumah, duit ubat ayah yang sering sakit, makan minum mereka semua selain duit sekolah anak-anak saudara. Dalam pada itu saya dan adik juga terpaksa berbelanja untuk hidup sendiri di bandar. Macam mana kami nak tahan!

‘‘Dulu ketika banyak duit setelah berhenti kerja kerana dapat duit KWSP, ayah langsung tak beringat untuk beli rumah apa lagi untuk simpanan hari tua, habis dia guna untuk berjudi.

‘‘Emak tak berani bantah sebab takutkan ayah yang suka pukul. Perangai emak mendiamkan diri bukan sahaja menyusahkan dirinya, malah kami anak-anaknya, yang sering kesempitan hidup di bandar.

‘‘Akhirnya, untuk jalan keluar, kami belikan barang keperluan makanan untuk rumah emak. Tapi ayah lagi bijak entah macam mana dia boleh kelentong tauke kedai itu. Dan di kedai itu pula ayah buat hutang. Alasannya kami akan bayar bila balik nanti.

‘‘Kerana masalah seperti ayah inilah akhirnya emak tak berani lagi paksa saya segera kahwin. Terus terang saya katakan pada emak saya tak mahu jadi kuli dan hamba macam emak. Cukuplah kakak seorang ikut jejak emak . Terus terang saya bukan seorang penyabar dan saya tak sanggup jadi kuli kepada suami yang tak bertanggungjawab. Lebih baik tak kahwin daripada ber dosa memaki hamun serta menyumpah seranah suami dalam diam.

‘‘Kesimpulannya selama lebih 50 tahun usia perkahwinan emak dengan ayah, emak memang tak bahagia. Dulu mereka kekal sebagai suami isteri kerana emak seorang penyabar..

‘‘Itu hidup ibu kami zaman dahulu, yang kebanyakan anak perempuan tidak berpelajaran, bukan wanita zaman ini yang berpelajaran, berilmu, berkerja dan luas pengalamannya. Kerana itu jangan terkejut kalau zaman ini ramai wanita lebih suka jadi andartu daripada bergelar isteri. Malah mereka lebih rela jadi ibu tunggal daripada bergelar isteri yang hidupnya terseksa dan ditindas.’’ Itu cerita Norazlinda dalam e-melnya yang menarik untuk dibincangkan.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...