terima kasih buat kalian semua..

Monday, May 14, 2012

Berhati-hati dengan panggilan cuba perdaya pemegang kad kredit !!!



Saya telah tiga kali mengalami nasib yang sama sepertinya. Kali pertama daripada seorang perempuan yang mengatakan dia dari Pusat Mastercard dan ingin mengemas kini data peribadi saya dan mendapatkan pengesahan tentang butiran di dalam kad kredit untuk mengelakkan kad kredit itu menjadi mangsa penipuan pada masa akan datang.

Saya pada masa itu baru pertama kali mempunyai kad kredit dan baru dua kali membuat pembelian menggunakan kad tersebut telah memberikan tarikh luput kad dan nombor tiga digit terakhir kad kredit itu.

Setelah itu pemanggil mengatakan saya layak mendapat keahlian insurans kereta dan penginapan di hotel ternama dan dikenakan bayaran sebanyak RM500 dan akan dicajkan ke kad kredit saya.

Oleh kerana merasakan saya telah ditipu saya menyatakan hasrat tidak berminat dengan keahlian tersebut dan ingin membatalkannya tetapi dimaklumkan ia telah dicajkan ke kad kredit saya.

Saya terus menelefon pihak bank dan pihak bank menasihatkan saya supaya membatalkan kad tersebut serta-merta dan dikenakan RM50 untuk penggantian kad baru.

Oleh kerana saya telah membatalkan kad tersebut, pemanggil itu menelefon saya berulang kali tetapi saya tidak jawab dan akhirnya dia menelefon pula ke pejabat saya.

Walaupun berulang kali mengatakan saya tidak berminat, dia tetap menelefon dan saya telah meminta suami saya menjawab panggilan tersebut dengan mengatakan kami akan membuat laporan polis jika masih menerima panggilan daripadanya. Akhirnya dia berhenti menelefon saya.

Beberapa bulan selepas itu saya telah menggunakan kembali kad kredit yang telah diganti baru dan selepas satu transaksi pembelian di sebuah pasar raya besar, saya menerima lagi panggilan dari perempuan tersebut menawarkan kembali promosi yang pernah ditawarkan kepada saya. Sebelum dia meneruskan percakapan saya telah meletakkan telefon.

Dua minggu selepas itu seorang lelaki menggunakan taktik yang sama cuba mempengaruhi saya kononnya dia dari pusat kad sebuah bank dan ingin mengemas kini data peribadi saya.

Saya bertanya jika dia dari bank berkenaan, kenapa beliau menggunakan talian telefon bimbit peribadi.

Katanya untuk memudahkan urusan kerja. Sebelum dia menerangkan dengan lebih lanjut, saya mengatakan saya pernah ditipu dengan cara yang sama dan saya amat tidak berminat dengan taktik yang dilakukannya. Dia terus memohon maaf dan memutuskan panggilan.

Saya ingin berpesan kepada mereka yang baru menggunakan kad kredit seperti saya agar berhati-hati dengan panggilan sebegini dan jangan mudah terpengaruh.

Syarikat-syarikat sebegini tidak akan mengenal putus asa untuk mencari 'pelanggan'.

DEQ ILA
Kuantan.

1 comment:

  1. kalau dapt panggilan jgn jawab apa2 jaaa..suruh dia antar surat aja........

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...