terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, May 23, 2012

Kecewa sikap pegawai KTMB !!!


PERJALANAN saya ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2012) pada 5 Mei 2012 dengan menaiki kereta api dari Taiping bersama isteri dan anak berusia setahun terganggu dengan sikap cuai dan tiada budi bahasa pegawai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Ia bermula apabila seorang warga emas mencari tempat duduknya yang saya baca ialah di gerabak L4 kelas ekonomi. Tetapi apabila saya minta dia ke gerabak tersebut dia memaklumkan ada yang mengarahkan beliau untuk ke gerabak yang saya berada iaitu L6X nombor kerusi 14 dan 15. Dia setuju untuk ke gerabak yang saya nyatakan.

Sudah menjadi kebiasaan saya apabila menaiki kereta api, saya akan membaca dan menulis sesuatu (faktor utama KTM menjadi pilihan). Maka saya pun meninggalkan isteri yang menyusukan anak untuk ke gerabak kantin membeli minuman panas sambil memperbaiki manuskrip yang dibawa bersama.

Apabila saya kembali ke tempat duduk, isteri memaklumkan pegawai KTMB telah meminta anak saya yang sedang lena dibangunkan kerana didakwa tempat duduk tersebut ialah milik warga emas tadi yang masih belum bertemu tempat duduk dan diminta duduk di kerusi saya!

Suara 'sombong' pegawai tersebut menyebabkan penumpang lain terjaga dan kehairanan. Saya cuba mendapatkan penjelasan tetapi tidak berpeluang bertemu pegawai tersebut dan difahamkan oleh seorang pemeriksa tiket pegawai tersebut ialah pegawai audit. Persoalannya mengapa seorang berpangkat pegawai boleh mengabaikan kepentingan budi bahasa dan bersikap cuai serta sombong?

Peristiwa ini mungkin terpinggir dan bukan suatu isu yang besar. Tetapi sekiranya perkara asas dalam mutu perkhidmatan diabaikan maka adalah dibimbangi KTMB akan gagal mendokong hasrat dan matlamat transformasi yang disarankan oleh pimpinan negara. Adalah diharapkan pihak pengurusan KTMB menyiasat pegawai berkenaan dan memohon maaf secara terbuka.

Hargailah pelanggan setia KTMB. Saya membayar harga tiket Kelas 2 tetapi perkhidmatan yang diterima menyerupai Kelas 3. Ini diakui oleh penumpang yang duduk di sebelah kami yang juga kali pertama menaiki keretapi membawa isteri dan anak berusia dua tahun yang juga akan ke PWTC.

PENUMPANG SETIA KTM
Taiping, Perak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...