terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, May 2, 2012

Suami Lena main kayu tiga...


APA lebihnya wanita-wanita itu dan apa kurangnya saya?" Ungkapan pertama berbentuk pertanyaan dilontarkan wanita ini ketika berbicara.

Dalam mata yang berkaca amat sukar untuk diduga kepingan hatinya sama ada sedih atau puaskah dia tatkala bercerita melahirkan dendam kesumat terhadap insan yang dibenci dalam hidupnya.

Insan itu sudah tentu bekas suaminya yang telah banyak kali merobek dan melukakan hatinya, meninggalkan dirinya bersama dua orang anak terkapai-kapai meneruskan kehidupan.

''Saya sebenarnya bukanlah seorang mata duitan. Kebahagiaan bagi saya bukanlah diukur dengan wang ringgit. Justeru saya terima dia seadanya pada awal perkenalan kami.

''Setelah beberapa bulan berkenalan saya pun mendirikan rumah tangga dengan lelaki ini. Maklumlah usia masih muda, awal 20-an ketika itu dan rasa sayang yang keterlaluan terhadap lelaki ini menyebabkan saya tidak mengendahkan kata-kata ibu bapa, keluarga dan meneruskan perkahwinan," kata anak sulung daripada lima adik-beradik berasal dari Pahang ini.

Apa yang dikatakan wanita ini pasti ada kebenarannya, sementelah lelaki yang dikahwininya itu hanya sekadar bekerja sebagai budak penghantar surat - Lena, biarpun tidak berjawatan tinggi, namun pendapatannya tetap dan melebihi daripada apa yang diterima bekas suaminya setiap bulan.

Dek kerana sayang, Lena (bukan nama sebenar) tidak kisah berkongsi apa sahaja dengan suaminya untuk meneruskan kehidupan di alam rumah tangga, biarpun terpaksa berdikit.

''Saya tanggung segalanya. Semua kerja rumah saya buat. Namun bekas suami saya pada waktu itu tidak menang tangan. Berlagak seperti dia masih bujang. Bermotor ke sana dan ke sini dan pada waktu malam baru saya boleh berjumpa dengannya apabila dia balik ke rumah sewa kami.

''Saya mengharapkan kelahiran anak akan menginsafkannya dan membuatkan dia lebih matang dan bertanggungjawab. Namun telahan saya tidak tepat.

''Dia langsung tidak mahu melihat atau menyentuh anaknya. Dia juga sudah pandai menyakiti saya. Tangan dan kakinya sentiasa sahaja singgah di tubuh saya kalau ada perkara yang dia tidak berkenan dengan diri saya," kata Lena yang ditemui di sebuah restoran di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lena berkata, setelah kelahiran anak keduanya, dia mula mendengar kata-kata jiran mengenai suaminya yang sudah mula membawa pelbagai jenis perempuan pulang ke rumah sewa mereka apabila Lena keluar bekerja.

Pada mulanya Lena tidak mengendahkan kata-kata jiran dan menganggapnya sebagai satu fitnah, kerana Lena tahu suaminya keluar untuk pergi bekerja atau mungkin juga dia enggan atau takut mengakui hakikat ia adalah satu kebenaran.

''Memandangkan saudara saya sendiri telah mula mempersoalkan mengenai hubungan kami suami isteri, saya pun mula tekad untuk menyiasat. Saya mengambil keputusan untuk pulang awal ke rumah dari tempat kerja secara senyap pada satu hari itu," katanya.

Anak-anak pula dihantar ke rumah jiran untuk dijaga sementara dia keluar bekerja.

Sesampainya di rumah, Lena melihat kasut suaminya dan kasut wanita di pintu luar rumah sewanya yang bertutup kemas. Di sebelah pagar tersadai motor suaminya berserta beberapa keping surat pejabat yang sepatutnya dia hantarkan.

Menggunakan kunci yang dipegangnya, Lena memasuki rumah secara diam-diam dan melihat suaminya bersama seorang wanita di dalam bilik tidur mereka - tanpa seurat benang.

''Hancurnya hati saya ketika itu Tuhan sahaja yang tahu. Apabila suami saya menyedari kehadiran saya dia bingkas bangun dari katil dan mencapai penyangkut baju di tepi katil dan memukul saya.

''Wanita itu pula hanya melihat saja tanpa berbuat apa-apa. Selepas puas memukul saya, suami dan wanita itu bergegas keluar dari rumah, menghidupkan motosikal dan berlalu pergi," kata Lena sayu.

Sejak hari itu, suaminya tidak balik ke rumah lagi. Lena membuat keputusan untuk meminta fasakh dan kemudian berpindah membawa bersama anak-anaknya.

''Mujurlah ibu bapa saya memahami. Mereka yang banyak memberikan bantuan dan sokongan moral. Masalahnya ibu bapa mentua langsung tidak mahu masuk campur dan enggan menyalahkan anaknya itu atas setiap perbuatan yang dilakukan," jelasnya.

Lena berkata, lima tahun usia perkahwinan mereka dan sampai ke saat itu dia masih mampu bersabar dan bertahan dengan sikap suaminya. Namun apabila dia menyedari suaminya meniduri wanita lain, itu memang tidak boleh dimaafkan lagi.

Bagi Lena biarpun tujuh tahun telah berlalu sejak usia perceraian mereka, namun peristiwa itu tetap berbekas di hatinya sampai ke saat ini sehinggakan dia takut untuk berumahtangga lagi sedangkan ada yang cuba mengetuk pintu hatinya.

"Apa yang penting saya fokus dengan kerja untuk menyara anak-anak yang masih tidak mengerti apa-apa itu.

"Alhamdulillah, kini saya berjaya dan mungkin kejayaan ini tidak saya kecapi sekiranya terus hidup bersama dia," katanya.

Lena memang patut berbangga dengan dirinya. Kini dia merupakan seorang yang bergelar pengarah syarikat dan menguruskan pelbagai perniagaan sampingan lain.

''Saya kini meneruskan kehidupan dengan anak-anak dengan tabah. Saya juga sudah menyimpan sedikit harta untuk bekalan anak dan usia tua saya. Anak-anak pun tidak pernah bertanyakan di manakah ayah mereka sekarang.

''Apa yang saya dengar dia pun sudah diberhentikan kerja kerana sikapnya yang asyik ponteng," katanya yang menyedari bekas suaminya itu adalah seorang kasanova.

Oleh ROSMAH DAIN

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...