terima kasih buat kalian semua..

Friday, June 8, 2012

Apabila cinta tidak dipupuk dalam perkahwinan...


PERBINCANGAN kali ini ialah mengenai sebab-sebab kenapa pasangan bercerai. Sebenarnya, ada banyak sebab berlaku perceraian. Ada pasangan memberi alasan mudah bahawa mereka sudah tiada persefahaman, namun ramai juga yang tercari-cari alasan.

Daripada data saya sendiri alasan atau sebab-sebab perceraian adalah: (1) Tiada persefahaman (2) Ada orang ketiga/curang (3) Campur tangan keluarga (4) Kewangan (5) hilang kasih sayang. Alasan yang saya berikan bukan mengikut keutamaan. Saya akan sentuh alasan pertama dan kedua.

Pasangan yang ingin bercerai sering memberi alasan tiada persefahaman dalam borang permohonan cerai mereka. Persoalannya apakah yang menyebabkan dua insan yang saling menyintai ini tiba-tiba menjadi sebegini? Adakah mereka bergaduh sejak berkahwin hingga menyebabkan mereka yakin bahawa perkahwinan mereka tidak boleh diselamatkan lagi.

Sebenarnya apabila diselidiki, alasan ini adalah alasan paling remeh boleh difikirkan namun jika perkara remeh dikumpul bertahun lamanya, ia akan menjadi gunung dan meletup. Ketidaksefahaman ini mudah disebutkan tetapi apabila diteliti ia bukan alasan yang kukuh. Antara contoh ketidaksefahaman ialah soal di mana pasangan perlu berhari raya, pembelian barang rumah atau kereta hingga kepada soal makanan dan hiasan. Ada juga pasangan bercerai kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dengan baik mengenai hal kekeluargaan. Banyak isu tiada kesefahaman ini bermula sebelum pasangan berkahwin.

Sebenarnya semasa bercinta, ketidaksefahaman tersebut telah ada, namun pasangan cuba untuk tidak menanganinya atau berharap ia akan hilang apabila berkahwin.

Misalnya A semasa berkenalan dengan B tahu, B sangat rapat dengan ibunya dan berharap hubungan ibu anak itu akan berkurangan apabila mereka berkahwin dan mempunya anak. A sentiasa mendahului keluarganya dalam semua hal, malah semasa bercinta lagi ia sudah berlaku.

Semakin hari hubungan A dengan keluarganya semakin rapat, sehinggakan A akan balik kampung segera kerana hal keluarga. B mulai bosan dengan perangai A dan akhirnya B memohon cerai kerana merasakan dia tidak dihargai.

A tidak pernah merasakan dia mengabaikan B namun tiada siapa dapat menyedarkan dia bahawa dia juga perlu memberi keutamaan kepada isterinya dalam keadaan tertentu dan tidak mendahulukan keluarganya sepanjang masa.

Dalam kes A dan B ini, pasangan sentiasa berhari raya pertama di rumah A kerana A anak lelaki sulung. B bersabar selama lima tahun namun kesabarannya juga mulai luntur.

Ada pasangan yang tidak dapat mencapai kesefahaman dalam hal-hal seperti makanan dan pakaian. Dalam perkahwinan mesti ada yang mengalah dan berkorban. Pada kebiasaannya isteri sentiasa mengalah atau memberi lalui kepada kehendak suami. Setahun dua isteri bersedia mengalah atau berkorban tetapi lama-kelamaan dia menjadi korban. Dia mengorbankan perasaannya sehingga dia hilang identiti dirinya kerana semua perkara mengikut kehendak suami.

Tentunya hasrat isteri mahu menjadi isteri solehah namun ia tidak datang daripada hatinya tetapi kerana keterpaksaan atas asas cinta. Apabila cinta tidak dipupuk dengan kuat dalam perkahwinan, isteri merasa dirinya terpedaya dan terkorban. Dia akhirnya hilang kesabaran dan menuntut haknya.

Sementara itu, alasan wujud orang ketiga atau pasangan curang adalah alasan paling banyak diberikan oleh pasangan yang bercerai. Pada kebiasaannya suamilah yang sering menjalin hubungan dengan wanita lain yang menyebabkan isteri merasa amat kecewa kerana suami curang. Dalam kebanyakan kes, isteri yang datang mengadu untuk memohon cerai, ada yang percaya suami telah berkahwin baru atau menyimpan perempuan.

Poligami adalah isu sensitif bagi seorang isteri maka tidak hairanlah ramai isteri yang memohon cerai sebaik sahaja mengetahui suaminya berkahwin baru. Bagi seorang wanita, ia isu kesetiaan dan kasih sayang. Maka jika suami yang berani menduakan isterinya dia akan terpaksa menghadapi masalah isterinya memohon cerai.

Namun pada abad ke-21 ini, tidak kurang juga isteri yang curang kerana telah bosan dengan suami. Memang dunia dah berubah. Jika dahulu pelanggan saya semuanya wanita, hari ini sudah ada kaum lelaki. Ini bermakna masih ada lelaki yang setia di dunia yang moden ini!

Berbalik kepada isu orang ketiga ini, kes yang stereotaip ialah suami selepas beberapa tahun berkahwin (dalam rekod saya suami mula mencari lain selepas 5 tahun kahwin). Ada disebabkan kelahiran anak, di mana isteri memberi terlalu banyak tumpuan kepada anak sehingga suami terasa terabai. Keadaan bertambah buruk apabila ada insan lain yang memberi perhatian kepada suami, terutama di pejabat.

Di sini akan bermula episod baru buat suami dan kadang-kadang isteri sangat tidak menyangka suami sanggup meninggalkannya atau menceraikannya untuk berkahwin baru.

Ramai suami yang mempunyai tabiat buruk di mana setiap kali isteri mengandung, dia menjalin hubungan dengan wanita lain. Ini berlaku kerana dia terasa tidak dilayan atau isteri terlalu uzur, kerana mengandung yang menyebabkan dia tidak dapat melayan suami, zahir dan batin.

Dalam kes seperti ini, suami akan menceraikan isterinya untuk berkahwin dengan yang baru.

Tidak kurang juga isteri memohon untuk diceraikan kerana tidak mahu dimadukan atau rasa ditipu.

Kategori kedua, suami pada usia lewat 40-an mahu merasa sesuatu yang baru (excitement). Ia dimulakan dengan aktiviti bersembang dengan kawan-kawan di kedai kopi atau main boling atau golf atau apa saja di luar rumah. Secara suka-suka suami mula melayan wanita muda untuk memastikan dia masih relevan atau 'laku' setanding lelaki muda. Wanita muda pula suka pada lelaki berumur yang stabil dari segi ekonomi.

Ini boleh dikategorikan dalam kumpulan sindrom 40-an yang mana suami mula merasa ingin menjadi orang bujang dan melalui zaman remajanya semula.

Bagi kes isteri yang curang pula, pada kebiasaannya isteri menjalin hubungan dengan lelaki lain ditempat kerja. Ia sering berlaku di kalangan wanita muda yang sentiasa mahu dilayan dan dibelai kekasih atau suami.

Ia juga berlaku apabila isteri merasa 'kecewa' dengan alam rumah tangga kerana suaminya tidak seperti yang diharapkannya atau suami terlalu sibuk dengan kerja. Akhirnya isteri melayan lelaki lain kerana dahagakan kasih sayang dan belaian.

Hari ini, isteri tidak hanya mencari pasangan untuk berlaku curang di tempat kerja tetapi melalui laman sosial seperti facebook dan twitter. Semusim dahulu, isteri-isteri seperti ini mencari pasangan di laman sembang atas talian. Mulanya hanya suka-suka, kemudian mereka berani berjumpa, sekadar menonton wayang dan akhirnya mengadakan hubungan seks.

Isteri curang lebih sukar diperangkap kerana mereka pandai main kayu tiga dan kebanyakan suami yang terlalu sibuk sehinggakan tidak dapat menghidu perangai isteri kecuali diberitahu oleh orang lain.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...