terima kasih buat kalian semua..

Friday, June 8, 2012

Arghhh !!! Tekanan bila berhutang..


BERHUTANG tidak salah, tetapi apabila ia di luar kawalan boleh menyebabkan tekanan perasaan, serangan penyakit jantung atau pergolakan rumah tangga. Ia juga boleh membuat seseorang membunuh diri.

Orang yang berhutang dianggap sebagai bermasalah sekiranya gagal membayar ansuran bulanan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.

Secara psikologi apabila seseorang melihat jumlah hutang di dalam penyata banknya semakin bertambah, satu isyarat 'bahaya' akan dihantar ke otak.

Ini akan menyebabkan gejala kerisauan. Si berhutang mulai mengira sama ada mempunyai wang yang cukup untuk membayar tunggakan hutang sewa beli atau pinjaman tersebut.

Kerisauan juga menyebabkan gangguan tidur. Orang yang banyak berhutang sukar melelapkan mata di malam hari kerana ingatan mereka lebih tertumpu kepada pelbagai komplikasi hutang.

Isu berkenaan wang ringgit sangat sensitif di rumah. Mereka mudah naik angin dan adakala memarahi anak atau isteri yang meminta duit belanja.

Bagaimanapun orang seperti ini biasanya masih waras dan akan menyesal keesokan hari apabila melihat anak telah pun pergi ke sekolah tanpa bersarapan atau membawa duit belanja.

Di tempat kerja pula, mereka gagal memberikan tumpuan dan sibuk dengan pelbagai aktiviti luar skop kerja seperti jualan langsung untuk menambahkan pendapatan sampingan.

Tunggakan hutang boleh menyebabkan seseorang dihantui perasaan takut. Mereka tidak menjawab panggilan telefon atau membuka surat kerana takut ia daripada syarikat pemungut hutang atau pejabat peguam.

Bagi peminjam ah long mereka tidak akan membuka pintu rumah apabila diketuk kerana takutkan pelbagai ancaman dan ugutan.

Semasa memandu pula, mereka takut sekiranya kenderaan mereka ditarik.

Masalah kemurungan kebanyakannya berlaku apabila ikhtiar terakhir mereka untuk mendapatkan wang musnah.

Ia termasuk mendapatkan wang dengan cara yang tidak betul. Mereka putus asa terhadap kehidupan dan hanya melihat kematian sebagai jalan penyelesaian.

Bagi yang tidak mempunyai polisi insurans nyawa mereka tergamak membunuh anak dan isteri bersama.

Panduan psikologi menguruskan hutang

Langkah pertama, analisis jumlah hutang, komitmen bulanan dan bandingkan dengan pendapatan anda. Lihat berapa yang kurang. Maafkan diri atas sebarang kesilapan yang menyebabkan anda berhutang. Jangan bersedih kerana ada ramai lagi orang seperti anda yang mempunyai masalah serupa.

Peruntukkan satu hari dalam sebulan untuk membuka semua surat penyata hutang anda. Tetapkan keazaman yang anda akan selesaikan semua hutang tersebut satu hari nanti. Percayalah apabila anda melihat jumlah hutang semakin berkurang, anda akan merasa gembira kerana ia adalah bukti kejayaan. Anggaplah ia satu saat indah yang perlu berlaku pada setiap bulan.

Kurangkan pemiutang anda. Anda mungkin berhutang kepada sepuluh buah bank pada satu masa. Pilih jumlah yang paling kecil dan bayar sepenuhnya. Anda akan merasa lebih selesa kerana jumlah pengutip hutang yang akan menghubungi anda semakin berkurang.

Atur semula sewa beli dan pinjaman. Utamakan pinjaman yang mempunyai kadar faedah paling tinggi. Berbincang dengan pihak bank berkenaan pembiayaan semula atau pembayaran separuh.

Perbetulkan perbelanjaan mengikut kemampuan. Jangan berbelanja untuk bermegah. Orang mungkin memuji, tetapi pujian tersebut tidak bermakna sekiranya anda terseksa untuk membayar ansuran bulanannya. Utamakan dahulu keperluan asas seperti makanan, bil utiliti rumah dan yuran sekolah anak-anak.

Berterus-terang dengan keluarga tentang masalah kewangan dan langkah berjimat cermat. Tidak ada salahnya walaupun anak kecil anda menawarkan duit syiling mereka untuk membantu. Ia menunjukkan pemahaman dan boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Banyakkan masa di rumah kerana ia boleh mengurangkan perbelanjaan di luar.

Jangan percaya dengan kaedah pantas mendapatkan wang seperti pinjaman ah long, skim cepat kaya atau judi kerana ia terbukti memudaratkan. Jangan melabur dalam sesuatu yang tidak pasti.

Apabila anda gagal menguruskan sendiri, jangan malu mendapatkan bantuan luar. Anda boleh berhubung dengan perunding hutang di bank atau agensi pengurusan kredit yang tidak berasaskan keuntungan untuk mengurangkan kadar faedah atau mengumpul kesemua komitmen bulanan dalam satu bayaran.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...