terima kasih buat kalian semua..

Friday, June 8, 2012

Berbohong untuk selamatkan maruah..


Ibu out station nak, lambat lagi ibu nak balik," pujuk si bapa setiap kali anak sulungnya bertanyakan ibunya, yang sudah lama tidak pulang ke rumah.

Bukan niat mahu berbohong pada si anak tetapi itu saja jawapan terbaik yang mampu difikirkan bagi menyembunyikan hakikat sebenar.

Bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad itu merupakan antara sebahagian ahli keluarga yang hadir pada sambutan Hari Ibu yang berlangsung di pekarangan Pejabat Pentadbiran Penjara Wanita, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Ahmad datang bersama anak keduanya untuk bertemu isteri yang sedang menjalani hukuman tiga tahun penjara atas kesalahan pecah amanah.

Baginya, pertemuan itu amat bermakna bagi memberi semangat kepada isterinya supaya terus tabah meneruskan kehidupan di penjara.

"Saya tidak mahu dia berasa dipinggirkan keluarga. Hari ini saya cuma bawa anak kedua kerana anak sulung masih tidak tahu ibunya ada di sini. Saya terpaksa menyembunyikan hal sebenar atas sebab tertentu dan kerana saya mahu menjaga hatinya.

"Anak sulung saya ingin sangat berjumpa dengan ibunya pada Hari Ibu sebab katanya dia amat rindu. Sejak ibunya dipenjara, dia cuma dapat bercakap melalui telefon," ujarnya yang mempunyai tiga cahaya mata masing-masing berusia 13 tahun, lima tahun dan tujuh bulan.

Isterinya, Azie (bukan nama sebenar), 39, yang sudah menghabiskan setahun tiga bulan menghuni sel berjeriji besi itu, adalah antara 10 penghuni yang terpilih untuk bertemu dengan ahli keluarga mereka pada majlis tersebut.

"Saya berasa sangat terharu dan bertuah apabila terpilih untuk dipertemukan dengan keluarga. Hari ini saya berpeluang bersua muka dengan mereka buat buat kali pertama selepas masuk ke sini. Sebelum ini saya hanya berpeluang bercakap melalui telefon yang dikhaskan oleh pihak penjara.

"Melihat wajah anak rasa kesal dan bersalah terhadap perbuatan lampau memang tak terucap. Anak-anak turut menanggung 'hukuman' terhadap dosa-dosa yang saya lakukan," katanya.

Apa yang lebih membuat Azie terharu apabila melihat suaminya masih lagi setia menunggu hari-hari dia akan dibebaskan dan terpaksa memikul tanggungjawab menjaga anak-anak bersendirian.

"Sekarang ini dialah ayah dialah ibu," kata Azie dengan linangan air mata .

Menurut Azie, anak ketiganya dilahirkan dipenjara kerana ketika dijatuhi hukuman dia sedang sarat mengandung.

Kepayahan melalui tempoh kehamilan tanpa suami di sisi amat dirasai tetapi dia tempuhi dengan penuh kesabaran.

Begitupun dia bersyukur kerana melalui bantuan kakitangan penjara dia dapat melahirkan bayinya dengan selamat. Malah berpeluang menyusukan bayinya di penjara untuk beberapa bulan sebelum diserahkan kepada keluarga.

Azie yang mengakui dipenjarakan akibat melakukan pecah amanah sebanyak RM40,000 ketika bekerja sebagai seorang setiausaha akauntan di sebuah syarikat menasihatkan kepada semua supaya jangan terlalu percayakan rakan.

"Apa yang terjadi ini amat saya sesalkan. Saya rasa adalah bijak sekiranya kita semua berfikir dahulu sebelum melakukan apa-apa yang memudaratkan," katanya yang banyak mempelajari erti kehidupan di penjara bersama penghuni lain.

Oleh NOOR HAMIZAH ABU BAKAR

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...