terima kasih buat kalian semua..

Saturday, June 16, 2012

Demi cinta rela kahwini wanita HIV...


“SAYA sanggup mengambil risiko walaupun tahu dia HIV-positif kerana mencintainya," kata Aris (bukan nama sebenar), seorang yang bebas HIV dan berkahwin dengan wanita disahkan HIV-positif sejak tujuh tahun lalu.

Aris, 45, berkata, dia mengenali Izzah, 34, (bukan nama sebenar) ketika wanita itu datang mendapatkan bantuan kaunseling ketika dia bertugas di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan HIV/AIDS pada 2008.

“Apabila disebut HIV atau AIDS, semua orang akan berfikiran negatif dan hanya fikirkan mati tetapi saya anggap ia sama dengan penyakit lain seperti diabetes, asalkan mereka menjalani kehidupan yang selamat, memeriksa kesihatan mengikut jadual serta sihat fizikal serta emosi, tidak ada mempunyai sebarang masalah," katanya.

Menurutnya, dia mengenali Izzah pada awal 2008 ketika isterinya itu sudah empat tahun disahkan HIV -positif dan tidak teragak-agak melamarnya walaupun pada mulanya wanita itu seperti tidak percaya akan hasratnya.

Perhubungan mereka mendapat sokongan daripada rakan-rakan lain yang tahu akan kisah dan niat murni mereka untuk melayari bahtera rumahtangga yang bahagia.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata berusia setahun dua bulan yang disahkan bebas daripada HIV selepas mengikuti prosedur pencegahan jangkitan HIV daripada ibu hamil ke kandungan yang disyorkan oleh pihak doktor.

Aris juga bebas daripada virus itu.

Aris berkata, dalam tempoh itu dia dan isteri harus melalui pelbagai prosedur yang diperlukan atas nasihat doktor.

‘‘Mungkin agak berlainan daripada prosedur pemeriksaan dan rawatan untuk wanita biasa yang mengandung, namun semua itu kami lalui dalam usaha untuk mendapatkan zuriat kami sendiri.

‘‘Apatah lagi kami berazam bukan sekadar zuriat tapi mestilah anak yang dikandung isteri saya itu sihat," katanya yang bersyukur kerana hasratnya dimakbulkan Tuhan dengan kelahiran anaknya itu.

Namun begitu, Aris sehingga kini belum bersedia berkongsi perkara itu dengan keluarganya serta sanak-saudaranya kerana berpendapat pendedahan mereka terhadap penyakit berkenaan masih rendah.

“Tetapi saya sedar adik-beradik saya mungkin syak sesuatu kerana di rumah saya banyak ubat. Apabila setiap kali mereka menziarahi kami, masakan daripada air tangan isteri saya tidak disentuh sebaliknya mereka akan masak sendiri juadah yang hendak dimakan.

“Memang saya rasa terkilan tetapi kita perlu hormat orang dulu sebelum orang lain menghormati kita, namun saya cuba dengan cara sedikit demi sedikit dalam memberi kesedaran kepada mereka sehingga benar-benar faham mengenai HIV," katanya.

Menurutnya, persepsi negatif, stigma dan diskriminasi daripada kebanyakan anggota masyarakat dan daripada ahli keluarga sendiri menyebabkan orang yang hidup dengan HIV hidup terpinggir, disisih dan ditakuti sehinggakan pernah suatu ketika dulu, jenazah mereka dilapik plastik ketika mahu dimandikan dan sebelum jenazah mereka dikebumikan.

“Malah kadang-kadang drama di televisyen juga menggambarkan mereka yang yang hidup dengan HIV ini sangat teruk umpamanya berkudis di seluruh badan sedangkan ia tidak akan berlaku selagi mereka menjalani kehidupan yang positif dan sihat.

“Paling penting emosi mereka mesti dijaga kerana tekanan dan sistem imunisasi badan yang rendah akan membuatkan jangkitan penyakit itu semakin teruk," katanya.

Aris berkata, terdapat beberapa perkara perlu dilakukan bagi mengelak penyakit itu berjangkit kepada anak umpamanya kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan caesarean selain tidak boleh menyusu badan.

“Kita perlu ada ilmu dan lengkapkan diri dengan maklumat yang tepat mengenai perkara ini terutamanya penjagaan dan rawatan bagi mengelak timbulnya ketakutan yang bukan-bukan terhadap orang yang hidup dengan HIV," katanya yang tidak mahu mengulas bagaimana isterinya mendapat virus berkenaan.

Sementara itu, Izzah berkata, apabila disahkan menghidap HIV pada 2004, doktor yang merawatnya meramalkan hayatnya hanya bertahan selama empat tahun saja.

“Hati siapa yang tidak remuk apabila diberitahu sedemikian, kehidupan saya gelap dan kosong malah sampai satu tahap, saya rasa hidup saya tidak mempunyai erti lagi dan dunia amat gelap dan seolah-olah lumpuh.

“Mujurlah saya mempunyai keluarga yang tetap menerima saya dan menyokong. Mereka yang memujuk saya mendapatkan khidmat nasihat daripada NGO dan siapa sangka, pada 2008 iaitu waktu saya diramalkan meninggal dunia bertukar sebaliknya apabila saya dapat memulakan hidup baru apabila bertemu jodoh," katanya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...