terima kasih buat kalian semua..

Saturday, June 16, 2012

Derita ke akhir hayat...


APA yang ingin saya ceritakan bukan tentang saya, tetapi pengalaman pahit kawan baik saya. Derita hidupnya amat menyentuh perasaan, bermula ketika kecil hingga usia melebihi 40 tahun.'' Itu cerita Ayuni dalam e-mel dan ketika kami berbual di telefon.

''Norisha kawan baik saya sejak kecil, hidup keluarganya cukup sederhana, tetapi bertambah susah setelah ibunya meninggal dunia ketika melahirkan adiknya dan ayahnya kahwin baru, sejak itu dia tak pernah bertemu ayahnya.

''Walaupun kami telah berkeluarga, tetapi hubungan baik kami tetap baik, kalau saya tak sempat ke rumahnya, kerana tinggal jauh mengikut suami, kami sentiasa berhubung bila lapang.

''Setelah ibunya meninggal dunia, ayah menyerahkan dia dan adik kepada datuk dan nenek untuk dipelihara, kerana ayah nak kahwin.

''Sejak kecil hidupnya berhadapan pelbagai masalah, maklum hidup serba kekurangan ditambah datuk dan nenek sudah tua. Bersekolah setakat termampu dan setelah tamat belajar, Norisha terpaksa mencari pekerjaan untuk membantu datuk dan nenek juga adiknya.

''Walaupun kami sama remaja, tetapi kehidupan kami amat berbeza, dia pandai berdikari, tetapi saya di bawah tanggungan ibu bapa dan belum mengenal erti kesusahan. Saya tahu dia susah, tetapi waktu itu saya tak dapat gambarkan susahnya.

''Namun tuah menyebelahinya apabila dia berkahwin dengan seorang anggota tentera unit komando. Saya kira selepas itu hidupnya berubah sebab ada orang menjaganya dunia dan akhirat.

''Ketika baru berkahwin kami sering berhubung tetapi kemudian hubungan sering terputus sebab saya berpindah mengikut suami jauh di kota.

''Setelah berkahwin saya sangka dia senang dan bahagia tetapi setelah tujuh tahun berkahwin dengan dua anak, suaminya sering sakit. Sejak itu hidup Norisha tak keharuan kerana sering berulang alik ke hospital. Penyakitnya tak jelas ketika itu.

''Saya rasa itulah ujian dan dugaan besar terpaksa Norisha terima dari Allah. Ketika itu hospital menjadi rumah keduanya. Katanya, biarlah dia susah asalkan suaminya cepat sembuh dan boleh bekerja. Kerana hanya suami tempat dia bergantung setelah datuk dan nenek meninggal dunia.

''Dia takut melalui nasib serba susah seperti di zaman remaja. Dia tidak mahu anak-anak menerima nasib yang sama.

''Beberapa tahun kemudian saya menerima berita amat menyedihkan, suami Norisha menghidapi barah otak. Norisha pasrah tetapi dalam hati hanya Allah tahu betapa takut dia menghadapi masa depan yang belum pasti.

''Menurut cerita Norisha, sebelum mereka tahu tentang penyakit suaminya, tempoh perkhidmatan suaminya dalam tentera hampir tamat, dan suaminya mahu perkhidmatannya di sambung. Disebabkan sering berulang ke hospital, urusan berkenaan tidak dapat diuruskan dengan sempurna. Walaupun dia ada beritahu ketuanya.

''Kata Norisha tidak ada sesiapa yang menguruskannya sebab suaminya lemah bila penyakitnya serius. Jadi urusannya tidak dibereskan dengan lancar walaupun ada ketika suaminya datang bekerja.

''Dipendekkan cerita setelah lebih lima tahun menderita, akhirnya suaminya meninggal dunia. Sebelum itu kata Norisha dia pernah bertanyakan pihak tertentu status permohonan suaminya, semuanya beritahu akan diuruskan.

''Norisha amat mengharapkan duit pencen suaminya untuk membesarkan anak-anak, malangnya pihak bertanggungjawab memberitahu ada kesilapan teknik, akibatnya Norisha tidak mendapat pencen suaminya.

''Puas dia naik turun pejabat pegawai tentera bertanyakan masalah pencen suaminya, semua kata ada kesilapan teknik sedangkan dia terpaksa menyara anak-anak sementara dirinya tidak bekerja.

''Lulur hati saya mendengar rintihannya, sudahlah tak bekerja tetap dia terpaksa menanggung anak-anak masih belajar. Dia pernah dihalau keluar rumah kerana tak bayar sewa. Namun beliau gigih berusaha dan kini tinggal di flat PPRT.

''Nasib malang Norisha tidak terhenti di situ, dia menghidap penyakit fibroid dan sering tumpah darah sehingga terlantar di hospital kerana kekurangan darah yang teruk. Di sebabkan inilah beliau tidak dapat kerja tetap kerana masalah kesihatan yang menyerang tidak menentu.

''Jika dua tahun lalu beliau berperang dengan penyakit fibroid yang serius, tahun ini doktor mengesahkan dia menghidapi kanser darah, namun beliau tidak merungut, cuma air mata mengalir di pipi, katanya inilah suratan nasibnya.

''Saya amat sedih sudahlah dari kecil hidupnya ditimpa malang, dah tua pun nasib malang sentiasa memburunya. Namun Norisha hadapi ujian Allah dengan tenang.

''Kepada saya Norisha melahirkan kebimbangan apa akan jadi kepada anak-anak jika dia tidak bekerja kerana mereka masih belajar. Cuma harapannya jika ada pihak pegawai tinggi tentera yang tahu kes arwah suaminya dapat membantu mendapatkan kemudahan perubatan dan pencen, bukan untuknya tetapi demi masa depan anak-anaknya.

''Saya tidak dapat bayangkan kalau saya di tempatnya. Saya dapat rasakan betapa sayangnya Allah kepadanya sehingga diduga sedemikian rupa. Saya ceritakan ini kepada pembaca agar mereka boleh membantu terutama pihak tentera yang bertanggungjawab kerana suaminya pernah berkhidmat sebagai komando tentera.

''Saya berharap ceritanya ini menjadi teladan pada semua wanita betapa tabahnya wanita ini menghadapi pelbagai dugaan dari kecil sehingga dewasa.

''Kalau anda pernah menonton filem kesusahan seorang wanita di televisyen dan layar perak, rasanya penderitaan Norisa lebih teruk lagi.

''Kepada pihak pemerintah yang terkenal dengan slogan 'rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, dahulukanlah bantuan kepada masalah Norisha.''

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...