terima kasih buat kalian semua..

Saturday, June 16, 2012

Dibomoh saudara sendiri...


AMALAN menggunakan sihir atau ilmu hitam kepada seseorang kerana tidak berpuas hati melihat kebahagiaan mereka sering terjadi di kalangan masyarakat Melayu.

Antara tujuan sihir dilakukan adalah untuk memisahkan hubungan suami isteri dengan menimbulkan perasaan marah dan benci antara kedua-duanya.

Suryani (bukan nama sebenar), 45, tidak pernah berdendam mahupun bergaduh dengan jiran dan saudaranya, tetapi kerana terdapat manusia yang iri hati melihat kebahagiaan yang dimilikinya, mereka sekeluarga telah dibomohkan sehingga hari ini.

Sihir yang dikenakan kepadanya dan keluarga tidak langsung melemahkan diri malah menguatkan lagi hubungannya dengan sang pencipta.

Walaupun mereka sekeluarga dibomohkan, tetapi hidup mereka bahagia dan menerima dugaan itu sebagai ketentuan daripada Ilahi.

Bercerita lanjut pengalamannya dibomohkan, mereka sekeluarga terkena sihir sejak 10 tahun lalu. Akibat perbuatan itu menyebabkan perkahwinan anak perempuannya musnah dan tidak dapat diselamatkan.

“Hasil perkahwinan anak saya selama enam tahun telah dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki yang comel.

“Ilmu sihir yang digunakan itu terlalu kuat, mereka telah bercerai dan berpisah kerana masing-masing tidak lagi mempunyai persefahaman dan sukar untuk meneruskan hubungan tersebut.

“Apabila mereka bersua muka akan berlaku pergaduhan dan menyebabkan kedua-duanya bermasam muka walaupun hanya disebabkan perkara kecil," katanya.

Ujarnya, kerana masing-masing tidak lagi mempunyai persefahaman, mereka telah mengambil keputusan untuk berpisah selain faktor percaya bahawa perpisahan yang berlaku adalah ketentuan dari Allah.

Jelas beliau, bukan anaknya sahaja yang terkena sihir, malah dia juga tidak menyedari sihir itu juga telah meresap ke dalam dirinya.

“Saya mula menyedarinya apabila mendapat petanda mimpi didatangi dua orang perempuan yang tidak dikenali ke rumah. Dalam mimpi itu, mereka telah meniup muka saya dan memberi dua biji batu.

“Sebulan selepas itu, sebahagian badan dan muka terasa gatal dan bengkak. Setelah berjumpa doktor saya didapati tidak sakit dan doktor menyarankan supaya saya berubat secara tradisional," katanya.

Ujarnya, setelah berubat secara tradisional dengan seorang ustaz, beliau diberitahu telah dibomohkan oleh saudara terdekatnya.

“Selain sakit pada badan, ustaz juga memberitahu bahawa sihir itu dilakukan melalui calitan minyak ‘pelesit’ yang diletakkan pada bahagian dinding dan bilik di rumah mereka.

“Pada permulaan, saya tidak percaya dan sukar untuk menerima berita bahawa saya di sihir. Ditakuti kalau mempercayai perkara sebegitu akan berlaku syirik kepada Allah dan hukumnya berdosa besar," katanya.

Katanya, ketika terkena sihir tersebut, berlaku sedikit ketegangan hubungan antara beliau dan suami. Jika bertemu mereka terasa ingin bergaduh sahaja.

“Kerana tahu saya telah disihir, kami sentiasa berusaha mengingati Allah dan mengamalkan zikir dan ayat-ayat suci bertujuan melemahkan sihir yang meresap dalam badan," katanya.

Ujarnya lagi, dia sedikit terkilan kerana orang yang melakukan sihir kepada mereka sekeluarga adalah di kalangan saudara terdekat.

“Saya tidak rasa saudara itu saya menaruh perasaan dengki kepada kami kerana setiap kali berjumpa dia nampak mesra dan sentiasa berkunjung ke rumah.

“Setelah diselidiki mendapati tujuan dia melakukan sihir kepada kami adalah kerana cemburu melihat kejayaan anak-anak dan keluarga kami yang bahagia," katanya.

Tambahnya, beliau tidak sepatutnya cemburu melihat semua empat orang anak saya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan mendapat pekerjaan yang baik kerana itu adalah rezeki dari Allah.

“Selain itu, dia juga tidak dapat melihat kemesraan yang terjalin antara bapa mertua dengan saya dan anak-anak," katanya.

Katanya, sehingga hari ini mereka masih meneruskan rawatan tradisional dan berjumpa dengan ustaz yang berkebolehan untuk mencegah daripada terus berulang lagi.

Kesan dari pengalaman tersebut, Suryani hanya mampu berdoa semoga orang yang menyihir mereka sekeluarga menyedari kesilapan itu dan kembali bertaubat atas perbuatan yang dilakukan.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...