terima kasih buat kalian semua..

Saturday, June 30, 2012

Mulut kawan punca suami dingin dengan isteri...


APALAH ertinya hidup sebumbung jika tidak bertegur sapa. Apa gunanya berkongsi hidup kiranya semua yang dibuat tidak mendapat penghargaan suami.

Itulah lumrah berumah tangga, bagaikan lidah yang sering tergigit. Pun begitu ia bukan penyudah kepada sebuah kehidupan. Masih ada jalan keluar untuk memulihkan kebahagiaan yang pernah tercipta.

Sabar dan saling berusaha membaiki diri adalah jalan terbaik mengembalikan hubungan yang retak. Berkongsi pengalaman Sari (bukan nama sebenar) kisahnya elok dijadikan teladan untuk membina kembali kebahagiaan rumah tangga yang terjejas.

Kepada saya, Sari mencurahkan isi hatinya ekoran sikap suami Imran (bukan nama sebenar) yang berubah secara tiba-tiba.

Kita ikuti kisah Sati:

"Saya berusia 30 tahun seorang eksekutif di sebuah syarikat pengiklan. Suami berusia 34 tahun pegawai kanan sebuah bank.

"Kami sudah 7 tahun bernikah dan dikurniakan dua orang anak berusia 3 dan 6 tahun. Kehidupan kami bahagia namun bertukar dingin sejak setahun lalu.

"Saya tidak tahu kenapa suami menjadi dingin terhadap saya sehinggakan untuk memandang wajah saya juga dia tidak sudi. Malah dia tidak banyak cakap dan susah sangat untuk melemparkan senyuman kepada saya dan anak-anak.

"Sakit hati saya dengan perubahannya itu. Mula-mula dia bersikap begitu saya amat sedih dan kecewa. Saya menjadi stres sehingga urusan kerja dan rumah tangga sedikit terjejas.

"Bagaimanapun setelah setahun saya sudah dapat menerima kenyataan walaupun saya sedih yang amat sangat dengan sikap suami.

"Sesekali bila teringatkan keadaan itu saya menangis seorang diri.

"Saya tidak tahu puncanya tetapi saya dapat agak semuanya bermula dengan salah faham. Puncanya dia dapat tahu yang saya kononnya bercerita kepada kawan saya yang dia ada perempuan lain.

"Sebenarnya dia salah sangka. Suami seorang yang suka berahsia. Hati saya selalu berkata, dia ada sorokkan sesuatu daripada saya. Tetapi saya tidak tahu apa, hendak ditanya mesti dia tidak mengaku.

"Dia rapat dengan seorang staf perempuan di tempat kerjanya. Satu hari saya pinjam telefon bimbit dia untuk hantar satu mesej. Nak dijadikan cerita saya ternampak mesej daripada perempuan itu kepada dia.

"Saya ingatkan mereka ada hubungan istimewa. Secara kebetulan salah seorang staf di pejabat suami adalah kawan baik saya. Selepas dia berhenti kerja di syarikat itu dia bekerja di pejabat yang sama dengan saya.

"Kawan saya ini ada bercerita yang suami saya amat rapat dengan perempuan itu. Masa mendengar cerita itu memang hati saya sakit tapi saya sabar.

"Katanya mereka mula berkenalan di Facebook. Ketika itu kawan saya sedang bermain mesej dengan perempuan itu. Perempuan itu ada bertanya apa hubungan kawan saya itu dengan suami saya.

"Dengan niat membantu, kawan saya bertanya perempuan itu adakah dia tahu sama ada suami saya ada perempuan lain atau tidak. Seingat selepas kejadian itu suami berubah.

"Dia tidak bercakap dengan saya, tidak mahu pandang wajah saya malah langsung tidak mahu sentuh saya. Jika bercakap dia selalu meninggi suara dan menengking.

"Saya tidak tahu kenapa dia bersikap begitu sedangkan saya tidak pernah buat salah. Satu hari sebaik sampai di rumah dari pejabat saya nampak suami sedang berkemas pakaiannya dimasukkan ke dalam sebuah beg.

"Saya tanya hendak ke mana, jawabnya balik kampung. Saya sedih sebab dia tak cakap yang dia hendak balik kampung. Sayu hati saya bila dia hanya cium anak-anak dan terus keluar rumah.

"Saya macam tidak wujud dalam hidup dia. Saya mesej tak balas, saya telefon dia tidak angkat. Berkali-kali saya telefon akhirnya dia angkat tetapi marah-marah.

"Saya tanya kenapa dia berubah katanya sebab saya tanya kawan-kawan dia sama ada dia ada perempuan lain. Lalu saya teringatkan peristiwa itu.

"Saya sudah cuba selesaikan masalah ini dan minta maaf kepadanya tapi nampaknya dia macam tidak boleh terima. Selalu apabila bergaduh saya akan mengalah walaupun bukan saya yang salah.

"Sekarang apa saya buat semua tidak kena. Saya sudah tidak tahu hendak buat apa lagi. Suami pula hari-hari kerja, kalau cuti dia lebih banyak habiskan masa bersama kawan-kawannya pergi melancong ke pulau.

"Dia banyak habiskan masa dengan kawan-kawan menyebabkan saya selalu berasa terasing. Kalau saya tegur dia marah. Saya selalu berdoa agar suami berubah. Masakan masalah kecil macam itu hendak dijadikan besar dan mendera perasaan saya.

"Saya sudah minta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Kalau betul dia jujur dan tidak ada hubungan dengan wanita itu kenapa mesti marah dan bersikap dingin terhadap saya.

"Saya harap jika suami terbaca ruangan ini harap maafkan saya. Saya tidak bermaksud untuk menguris hatinya. Saya tidak mahu masalah ini berlarutan dan mengganggu tumpuan saya di tempat kerja.

"Anak-anak perlukan ayahnya. Mereka selalu bertanya kenapa ayah asyik marah-marah sekarang. Saya harap semua ini akan berakhir segera. Teman baik saya juga berjanji untuk menolong. Saya harap semuanya akan selesai dengan cara baik. Doakan saya," pinta Sari penuh harap sebelum menamatkan perbualan kami.

Perkara begini adalah lumrah dalam rumah tangga. Nasihat saya, cuba ajak suami berbincang dari hati ke hati. Pujuk dia secara perlahan-lahan.

Saya setuju bahawa masalah ini berpunca dari salah faham sahaja. Itu yang bahayanya kalau selalu rujuk dan bertanya dengan kawan-kawan tentang masalah rumah tangga.

Kiranya tidak berhasil, minta bantuan saudara terdekat untuk selesaikan. Bimbang juga jika dibiarkan terlalu lama ia akan membawa padah.

Sari mesti faham, orang lelaki terutama suami pantang dituduh ada hubungan dengan wanita lain sebab mereka akan merasa tercabar.

Sebagai isteri kita perlu banyak mengalah, mulut jangan terlalu lancang dan jangan sesekali meninggikan suara. Layanan lemah lembut dan bahasa yang sopan boleh mencairkan hati mereka.

Mengakhiri catatan pesanan saya, petiklah sekuntum bunga itu sebelum ia gugur ditiup angin.

1 comment:

  1. puan sgt bersikap kebudak-budakkan, tk perlu tanya pada kwn, apa yg suami kita buat di pejabat. sebelum nk ubah sikap suami tu,puan sendiri yg perlu berubah. buangkan sikap cemburu buta. berlemah-lembut bercakap dgn suami, bila di rumah pasang badan, pakai cantik2, wangi2. apa yg nk berlaku di office suami tu, jgn fikir. yg penting, puan di rmh dh main peranan sebagai isteri mitsali, yang menyenangkan hati suami. dan akhir sekali, berdoa kepada Allah agar suami memaafkan kita. dekatkan diri dgn Allah. barulah hati akan menjadi tenang.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...