terima kasih buat kalian semua..

Friday, June 8, 2012

Tension bila sering dipersalahkan mertua..


SETIAP wanita mengimpikan rumah tangga yang di bina bersama insan tersayang bahagia dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Namun, bukan semua akan melalui saat bahagia itu kerana setiap perhubungan pasti ada dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi.

Terselit perasaan pilu oleh seorang wanita jika perhubungan suci sebuah perkahwinan itu tidak mampu diteruskan atas faktor-faktor tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Selalunya, selain masalah yang dihadapi oleh pasangan itu sendiri, campur tangan orang luar seperti ibu mertua juga antara punca kepada keruntuhan rumah tangga yang dibina.

Dilema inilah yang perlu dilalui oleh Marli (bukan nama sebenar), 28 , walaupun usia perkahwinan belum memasuki setahun rumah tangganya telah diuji dan kini hampir berada di ambang keruntuhan.

Akuinya, perhubungan yang terjalin selama lapan tahun sebelum mereka mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun lepas bukanlah jaminan untuk mencapai kebahagiaan

"Kami mula berkenalan ketika sama-sama belajar di universiti. Suami seorang yang baik dan bertanggungjawab. Hubungan kami rapat dan saling menyayangi.

"Ternyata dugaan yang terpaksa ditanggung selepas berkahwin lagi berat. Tambahan faktor dari ibu mertua yang inginkan setiap menantu yang sempurna untuk anak-anaknya," katanya.

Kata Marli, selepas beberapa bulan berkahwin, mereka suami isteri terpaksa tinggal berasingan buat sementara waktu kerana urusan kerja masing-masing.

"Atas arahan syarikat suami saya, dia dikehendaki berpindah ke India dan berkhidmat di sana selama lima tahun.

"Suami menerima keputusan kerana peluang yang datang hanya sekali selain gaji yang diterima lebih lumayan," katanya.

Ujarnya, pada permulaan memang terasa susah untuk berpisah dan tinggal berasingan, namun apabila memikirkan masa depan keluarga dia akur dengan keputusan tersebut.

"Dalam tempoh pertukaran tersebut, kami teruji apabila terpaksa bercinta dalam jarak jauh namun perhubungan masih seperti biasa dan tidak timbul masalah kerana saling percaya antara satu sama lain," kata Marli.

Menurutnya lagi, ketika suami berpindah ke India, dia telah mengambil keputusan untuk tinggal bersama-sama dengan mertuanya.

Tujuannya untuk mengeratkan hubungan antara mereka berdua walaupun jarak rumah dan tempat kerja jauh.

"Namun, mertua sering mempertikaikan tindakan saya tidak mengikut suami ke India sebagai seorang yang pentingkan diri dan tidak menghormati anaknya.

"Ketika tinggal bersama ibu mertua, pelbagai cara saya lakukan untuk mengambil hatinya selain belajar untuk menjadi menantu yang baik tetapi kehadiran saya tetap tidak disenangi.

"Saya mempunyai alasan tersendiri tidak mengikut suami kerana kami telah berjanji untuk tinggal bersama apabila memperoleh anak nanti," ujarnya,

Setelah terpaksa tinggal berasingan, dia sekali lagi diuji apabila suaminya telah menghidap strok dan koma selama tiga bulan ketika berada di India.

"Ketika itu, hidup saya terasa kosong mengenangkan keadaan yang menimpa suami tambahan dia berada jauh dengan saya.

"Bagi memudahkan saya menjaga dan sentiasa berada di sampingnya, kami telah memohon suami dibawa pulang untuk dirawat di sini.

"Setelah lima bulan terlantar di hospital, akhirnya dia kembali pulih dan sihat seperti biasa," katanya.

Katanya, setelah suaminya sembuh daripada penyakit, berlaku sedikit perubahan pada tingkahlaku dan perangainya. Dia berubah daripada seorang yang bertanggungjawab kepada sebaliknya.

"Kalau dahulu suami terkenal dengan sikap yang penyabar, tetapi selepas sembuh suami cepat panas baran. Dia akan bertindak memukul dan memaki saya walaupun hanya berlaku sedikit salah faham," katanya.

Ujarnya, kerana tidak tahan dengan keadaan yang menimpanya, dia pernah membuat laporan polis demi menghindarkan berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

Selain itu, segala perbelanjaan rumah juga kini dia yang menanggung sendirian kerana suami berhenti bekerja.

"Sekarang saya juga menghadapi tekanan kerana ibu mertua sering menyalahkan saya atas apa yang berlaku kepada anaknya. Dia menganggap kehadiran saya dalam keluarganya hanya membawa sial.

"Saya sendiri tidak tahu selama mana saya mampu bertahan menghadapi dugaan ini. Kadang-kadang saya rindukan suami saya yang dulu ," katanya sambil merenung jauh bagai melihat masa depannya yang kian suram.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...