terima kasih buat kalian semua..

Monday, July 23, 2012

Isteri lebih tua 15 tahun: Hubungan tak direstu ibu bapa...membawa porak peranda !!!


KEPUTUSAN Hakimi, (bukan nama sebenar), 27, berkahwin pada usia muda bukanlah satu langkah yang baik buat dirinya.

Ini kerana ketika mengambil keputusan untuk berkahwin, dia baru berusia 19 tahun. Manakala wanita pilihannya seorang janda Tasha (bukan nama sebenar) jauh lebih berusia daripadanya.

Tasha yang ketika itu berusia 34 tahun, selain pernah gagal dalam perkahwinan merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata dan bekerja di sebuah syarikat swasta terletak di bandar.

Bercerita lanjut detik perkenalan mereka, kata Hakimi, ketika pertama kali berjumpa dengan Tasha umurnya masih muda iaitu 17 tahun.

"Mula -mula hubungan kami seperti kakak dan adik. Sehinggalah selepas itu kami mula rapat dan serius menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih.

"Walaupun saya tahu Tasha adalah seorang janda dan mempunyai anak, namun kerana sifatnya yang penyayang dan pandai melayan kerenah saya yang masih remaja ketika itu membuatkan perasaan sayang makin mendalam padannya.

"Selepas dua tahun berkawan, Tasha ingin hubungan kami sah sebagai suami isteri. akhirnya kami mengambil keputusan berkahwin.

"Namun, kami terpaksa berkahwin secara rahsia kerana tidak mahu keluarga saya mengetahui sekali gus akan membuatkan mereka bersedih.

"Saya tahu, kalau beritahu kepada keluarga mereka tidak dapat menerima keadaan tersebut. Tambahan wanita yang saya kahwini 15 tahun lebih tua dan saya pula masih muda remaja," kata Hakimi.

Katanya, selepas berkahwin mereka hidup bahagia dan menjalankan kehidupan suami isteri seperti biasa.

"Selepas berkahwin saya telah diterima bekerja secara kontrak dengan sebuah syarikat milik kerajaan. Dengan gaji tersebut saya menyara isteri dan anak-anak tiri saya.

"Namun, dalam tempoh tersebut juga, saya terpaksa menipu keluarga mengenai perkahwinan kami dan saya masih tinggal di rumah keluarga.

"Ada kalanya saya terpaksa berbohong dengan keluarga bahawa ada kerja luar jika tidak pulang ke rumah semata-mata untuk bermalam di rumah Tasha," katanya.

Namun, dalam masa yang sama , Hakimi juga mendapat tekanan dari Tasha yang mendesak agar berterus-terang dengan keluarganya.

"Kerana saya berdegil menyembunyikan perkahwinan kami daripada pengetahuan keluarga, akhirnya Tasha bertindak mengunjungi sendiri keluarga saya di kampung.

"Ketika itu, saya bekerja di luar daerah. Tasha datang ke rumah jumpa keluarga dan tunjukkan gambar perkahwinan kami.

"Selepas mereka mengetahui kami telah berkahwin, keluarga tidak dapat menerima keadaan tersebut kerana saya sanggup membelakangkan keluarga," kata Hakimi.

Ternyata perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu mendapat tentangan hebat daripada keluarga Hakimi sehingga mereka mendesak agar berpisah dengan Tasha.

"Keadaan semakin teruk apabila pada suatu hari datang seorang lelaki kenalan kepada ayah mengaku bahawa dia kenal Tasha dan Tasha telah menjadi perempuan simpanannya sebelum kami berkahwin.

"Pengakuan tersebut menambahkan lagi kebencian keluarga saya kepada Tasha. Begitu pun saya langsung tidak percaya apa yang diceritakan oleh kenalan ayah itu. Sepanjang kenal Tasha saya tahu dia bukan perempuan yang sebegitu.

"Namun desakan keluarga supaya saya berpisah dengan Tasha semakin kuat," katanya.

Dalam tempoh dugaan tersebut, Hakimi juga telah bertukar tempat kerja baru sebagai pemandu lori.

Dijadikan cerita, pekerjaan baru tersebut telah menemukan dia dengan seorang gadis liar bernama Sara.

"Kehadiran Sara bagaikan tepat pada masanya kerana waktu itu saya memerlukan seseorang yang dapat meluahkan perasaan.

"Perkenalan saya dengan Sara di sebuah hotel membuatkan hubungan kami bertambah serius walaupun saya tidak mencintainya," katanya.

Menurut Hakimi, Sara bukan sahaja seorang gadis liar tetapi dia juga merupakan seorang pengedar dadah.

Keadaan itu memudahkan lagi Hakimi mendapatkan bekalan dadah dengan harga yang murah.

"Sebenarnya saya terjebak dengan ketagihan najis dadah sejak sebelum berkahwin dengan Tasha lagi. Namun, sama ada Tasha mahupun ahli keluarga saya, langsung tabiat ini," katanya.

Berkawan dengan Sara membuatkan Hakimi semakin jarang pulang ke rumah sekali gus menimbulkan syak kepada Tasha, apatah lagi apabila dia sering curi-curi menelefon wanita itu.

"Tasha berjaya menghidu hubungan kami. Suatu hari dia mengekori dan 'menangkap' saya dan Sara yang sedang khayal di bawah pengaruh dadah.

"Selepas kejadian itu, bukan setakat Tasha bahkan seluruh ahli keluarga tahu saya penagih dadah.

"Ibu bapa saya bertambah berang dan menyalahkan Tasha jadi punca saya menagih dadah. Mereka mengugut agar saya menceraikannya kerana jika tidak tidak saya bukan lagi anak mereka.

"Tidak tahan dengan tekanan daripada keluarga, akhirnya saya ceraikan Tasha walaupun apa yang berlaku pada saya bukan kesalahannya dan kami masih sayangkan satu sama lain," ujarnya.

Kembali hidup membujang, sekarang ini Hakimi sedang berusaha untuk memulihkan diri daripada ketagihan najis dadah dan memulakan hidup baru.

Dalam masa yang sama juga dia juga telah menemui pengganti dan akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat ini.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...