terima kasih buat kalian semua..

Monday, July 23, 2012

Pelajar bawa telefon ke sekolah: Minta kaji semula !!


TIDAK dinafikan telefon bimbit atau seumpamanya sangat penting dalam dunia masa kini. Telefon bimbit sering dikaitkan dengan kemudahan untuk berhubung antara satu sama lain. Kini, telefon bimbit bukan hanya dimiliki oleh orang dewasa, malah pelajar-pelajar sekolah, termasuk pelajar sekolah rendah mahupun prasekolah. Begitulah pentingnya penggunaan telefon bimbit pada masa kini.

Namun, hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun 2013 adalah tidak sesuai, meskipun kita menyedari pentingnya penggunaan telefon bimbit. Ini kerana ia menimbulkan 1001 persoalan.

Jika alasan ibu bapa digunakan untuk memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan anak-anak berada di sekolah ia bukanlah satu alasan yang baik.

Hal ini kerana, saya yakin dan percaya sekolah sentiasa memaparkan nombor telefon yang boleh dihubungi oleh ibu bapa. Malah terdapat juga sekolah yang memberikan nombor telefon guru kelas kepada ibu bapa bagi memberi ruang dan peluang untuk ibu bapa bertanyakan tentang perkembangan anak-anak mereka di sekolah.

Malah, pelajar turut diberi kebenaran menggunakan telefon pejabat jika diperlukan.

Begitu juga jika alasan keselamatan diberikan sebagai cara untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah ia juga turut tidak relevan.

Sebabnya, selama ini, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa organisasi kerajaan, termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama pihak media sentiasa mengingatkan para pelajar tentang tindakan yang patut dilakukan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seperti didekati oleh individu tidak dikenali dan sebagainya.

Apa yang saya ingin saya utarakan di sini adalah kebenaran membawa telefon bimbit tersebut walaupun mempunyai draf undang-undang penggunaannya sewaktu di sekolah, namun saya yakin dan percaya ia sukar dikawal.

Saya sangat bimbang kebenaran itu akan memberi kesan negatif kepada pihak sekolah sama ada daripada segi penguatkuasaan disiplin, malah lebih memburukkan ia mengganggu proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah.

Ia juga akan menggagalkan pihak sekolah mengesan masalah disiplin dalam kalangan pelajar kerana pelajar-pelajar lain akan menghubungi rakan-rakan yang lain bagi mengelak daripada dikenakan tindakan oleh pihak sekolah.

Lebih membimbangkan gambar-gambar guru akan dirakam malah kawasan larangan sekolah seperti bilik kebal, pejabat dan sebagainya yang menjadi kawasan larangan pelajar akan tersebar di Internet.

Saya sekali lagi menyeru pihak KPM menarik balik kebenaran penggunaan telefon bimbit di sekolah bagi mengelakkan perilaku negatif dalam kalangan pelajar menjadi lebih buruk.

RAKYAT PRIHATIN
Taiping

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...