terima kasih buat kalian semua..

Friday, August 3, 2012

Kaut untung atas angin pada bulan Ramadan..


HARI ini hampir dua minggu sudah kita berpuasa. Sekurang-kurangnya mungkin anda sudah mengunjungi satu, dua atau setiap hari ke bazar Ramadan. Selepas pukul 5 petang kawasan bazar itu agak sesak dengan orang ramai mencari juadah berbuka puasa.

Dalam keseronokan melihat peniaga-peniaga di bazar berniaga, masih timbul lagi isu menjual tapak bazar Ramadan oleh peniaga kepada peniaga lain pada harga yang tinggi pada tahun ini.

Ini mungkin kerana permintaan yang terlalu tinggi untuk tapak bazar Ramadan.

Macam mana peniaga musim Ramadan hendak dapat peluang berniaga jika ibu bapa, anak-beranak dan saudara mara semua datang untuk memohon tapak bazar. Bila sudah dapat tapak, dijualnya pula kepada orang lain yang ingin berniaga.

Perkara ini tambah sistematik apabila wujud sindiket penganjur tapak bazar terutama di ibu negara. Sudah macam-macam dakwaan kita baca.

Perkara penjualan tapak bazar Ramadan boleh dikatakan berlaku saban tahun. Ada sahaja pihak tidak berpuas hati soal agihan tapak bazar itu.

Aduan kepada pihak polis, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang meluluskan permit dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pun sudah dikemukakan.

Tetapi sehingga sekarang, belum kita terdengar tangkapan mereka yang menyeleweng pemberian tapak bazar itu.

Mana mungkin dapat menemui bukti kerana penjual dan pembeli tapak sudah tentu berpakat dan merahsiakan perkara itu. Ia hanya boleh terbongkar kalau ada pihak yang rugi. Tapi berniaga di bazar Ramadan, belum terdengar peniaganya rugi. Kalau rugi pun mungkin sebab mereka sendiri malas berusaha.

Agak tidak enak didengar apabila satu sindiket menawarkan petak-petak bazar Ramadan yang mengaut keuntungan sehingga mencecah jutaan ringgit dikesan berlaku di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Bayangkan keuntungan berganda-ganda dikaut oleh mereka terhadap peniaga. Jika satu tapak bazar di Kuala Lumpur hanya dikenakan lesen dan caj perkhidmatan sebanyak RM156-RM672 (tapak diundi) dan RM163-RM282 satu petak yang diuruskan oleh persatuan. Kiralah bagaimana untungnya niaga tapak kosong bazar di Jalan Masjid India jika lokasi petak VIP yang strategik boleh dijual mencecah RM15,000 hingga RM28,000 setiap satu petak.

Entahlah setiap kali bulan Ramadan, cerita perniagaan atas angin ini juga yang berulang kali berlaku.

Semua ini berlaku sebab peniaga atas angin ini mahu menumpang sama keuntungan yang diraih oleh peniaga di bazar Ramadan. Mereka sudah dengar cerita keuntungan berpuluh-puluh ribu yang diraih peniaga hanya dalam satu bulan sahaja.

Jadi inilah peluang untuk mereka ‘menekan’ peniaga. Dan peniaga pula tidak berasa bersalah menggalakkan aktiviti negatif ini asalkan mereka dapat tapak berniaga.

Penjualan tapak bazar tidak beretika ini tidak berlaku jika orang dalam PBT ‘mencantas’ awal perbuatan itu. Namun orang kita mudah gelap mata bila melihat timbunan wang maka berlakulah penjualan tapak yang menyakitkan hati sesetengah pihak lain.

Bukan sahaja segelintir orang PBT, malah peniaga, individu tertentu dalam persatuan-persatuan penjaja dan pertubuhan bukan kerajaan pun sama sahaja terlibat.

Inilah sikap orang kita semasa menjelang dan tibanya bulan Ramadan. Kita lupa akan sifat-sifat amanah kerana dirasuk keuntungan yang jarang-jarang dapat pada bulan lain.

Usahlah pilih jalan senang dengan mendapatkan keuntungan atas angin begini. Jika begini sikap segelintir orang Melayu/Islam, sampai bila pun kita tidak akan maju

Oleh Azman Anuar

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...