terima kasih buat kalian semua..

Friday, August 3, 2012

Rela bercerai di usia emas !!


PEPATAH lama berpesan, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Ia cukup tepat menggambarkan kehidupan saya. Siapa sangka setelah hampir 30 tahun berkahwin tiba-tiba ombak ganas menghempas ranap rumahtangga saya.

''Lebih memalukan perceraian kami berlaku ketika masing-masing sudah lanjut usia dan masuk golongan warga emas. Bukan sahaja saya malu, malah anak-anak dan cucu turut menerima kesannya.'' Luah Aina dalam e-mel ringkas yang dihantar melalui anaknya. Dia minta dihubungi dan kami berbual panjang di telefon.

''Sebenarnya saya malu nak bercerita, tetapi saya tak boleh sabar lagi apabila baca banyak cerita lelaki yang suka berpoligami. Bukan saya marah, itu hak mereka, tetapi sebelum bertindak menyakitkan hati isteri, fikirkan buruk baiknya, lihat sama pengorbanan isteri selama ini.

''Saya berkahwin awal, ada empat anak, kesemua mereka sudah bekerja dan berkeluarga. Anak sulung 27 tahun. Suami bekerja dengan jabatan kerajaan. Dulu saya pun bekerja, tetapi bila anak dah ramai, suami suruh berhenti, jaga anak sebab dia selalu kerja luar daerah, susah nak uruskan anak kalau saya bekerja.

''Oleh kerana pertukaran kerjanya biasanya tidak memakan masa panjang, paling lama dua tahun, dia tak mahu saya ikut dia pindah, katanya susah nak tukar sekolah anak-anak dan tak mahu ganggu pelajaran mereka.

''Saya yakin ada kebenarannya. Jadi biasanya suami akan pulang ke rumah hujung minggu kalau dia tak banyak kerja, paling tidak dua minggu sekali dia wajib balik. Saya tidak pernah syak apa-apa kerana dia menunjukkan tanda-tanda seorang ayah yang baik.

''Pertukaran yang lama ketika duduk di Selangor inilah dan kami betah duduk di sini. Kami beli rumah dan kekallah saya tidak mengikut suami kalau dia bekerja negeri lain. Cuma bila cuti sekolah, kami anak beranak akan pergi ke tempat suami saya bertugas. Demikianlah amannya hidup kami hingga anak-anak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

''Satu hari saya terlihat keanehan dalam diri suami. Dia tukar kereta lebih mahal, katanya senang nak balik rumah. Peliknya saya jumpa beberapa helai tudung wanita. Dia kata milik kawan-kawan pejabat yang tertinggal ketika dia hantar mereka bersukan, dan seminar atas arahan majikan.

''Saya percaya ceritanya sebab suami saya jujur dan baik orangnya.

''Ketika kenduri kahwin anak sulung kami, memang ramai rakan suami datang. Ada gadis, isteri orang dan tak kurang juga ibu tunggal. Saya langsung tak nampak kelainan kelakuan suami.

''Tapi bila kenduri kahwin anak kedua, saya cuak melihat kemesraan suami dengan seorang ibu tunggal. Anak ketiga saya juga perasan.

Kata anak saya; "lain macam sikit kawan perempuan ayah tu. Kenapa anaknya, dia suruh ayah dukung. Tak malu sungguh!'' Memang saya nampak, kawan baik saya pun nampak, tapi kami diam. Takkan nak buat gempar masa majlis kahwin anak.

''Habis kenduri saya tanya suami siapa wanita itu dan mengapa dukung anaknya? Jawapan suami mudah, ''alah kawan pejabat apa salahnya, budak tu biasa datang ke pejabat!''

Soalan saya merunsingkan fikirannya. Dia tak mahu saya salah faham. Namun saya nasihatkan dia supaya hati-hati jangan menyusahkan diri umur dah 55 tahun, dah bercucu tak malu ke buat piil.

''Bangkai gajah takkan boleh ditutup dengan daun pisang, bau busuknya akan terhidu juga! Saya buat lawatan mengejut ke pejabat suami di selatan. Dia tak ada di pejabat, kata kawannya bercuti seminggu. Terkejut beruk saya. Ke rumah tak balik, di pejabat tak ada. Ke mana dia pergi bercuti?

''Bila saya telefon, rupanya dia pergi bercuti ke pulau, bila saya tanya dengan siapa dia diam. Dia suruh saya tempah hotel. Semalaman saya tak dapat tidur.

''Akhirnya dia berterus terang bahawa dia dengan wanita tersebut memang ada hubungan, tapi dia tak terfikir nak berkahwin. Saya tanya dia tak sedarkah perbuatannya itu berdosa? Apa perasaannya kalau anak-anak tahu, mana nak sorok muka?

"Katanya dia langsung tak berniat menduakan saya, tetapi terperangkap dengan ajakan kawan pergi bercuti ke pulau. Dia berjanji putuskan hubungan. Saya minta dikenalkan dengan wanita tersebut, tetapi wanita anak dua itu enggan jumpa saya.

''Saya tak akan percaya kata-kata suami selagi tak jumpa wanita itu. Saya syak mereka ada rancangan berkahwin. Tapi suami nafikan. Katanya dia dah tua, tak larat lagi nak buat susu atau tukar lampin bayi. Katanya hidupnya sudah amat selesa, anak-anak sudah bekerja, jadi dia tak mahu pikul beban menyusahkan hidupnya. Tapi saya tak yakin.

''Dalam keadaan penuh emosi dan tegang itu saya desak suami minta tukar kerja ke Selangor semula. Katanya dia akan usahakan. Saya ugut kalau tak segera bertukar saya akan jumpa pegawai atasannya. Dia minta saya bersabar .

''Tiga hari bersama suami di hotel itu terasa macam tiga bulan. Balik rumah, fikiran saya masih tak tenteram. Saya yakin hubungan gelapnya akan berterusan. Jadi biarlah dia kahwin, dengan syarat ceraikan saya sebab saya tak sanggup bermadu.

"Anak-anak suruh sabar mungkin ayah mereka akan berubah, tetapi saya tak yakin. Tambahan sekarang dia boleh sambung kerja lagi. Jadi tentu dia tidak ada masalah tambah isteri. Duit banyak, pencen dapat, tak masuk gaji bulanannya sebagai pekerja kontrak.

''Setelah penat berfikir saya putuskan minta cerai. Lagipun sekian lama kami kahwin, tak sampai 15 tahun kami duduk sebumbung. Suami lebih selesa bekerja di tempat lain jauh dari anak-anak, agaknya sebab itulah dia tidak rasakan kasih sayang anak-anak. Jadi berpisah pun tentu tak sedih.

''Saya rela jadi ibu tunggal. Biarlah dia merasa nikmat hidup bersama anak-anak tiri yang masih kecil. Mungkin dia dapat rasai detik-detik membesarkan anak-anak yang selama ini tidak dinikmatinya.

''Malangnya permintaan saya sudah lebih setahun masih tak ditunaikan. Alasannya dia sayangkan anak-anak. Tetapi dia tidak pernah tunjukkan rasa kasihnya kepada keluarga, sebaliknya masih selesa dengan kekasih gelapnya." Itu cerita Aina yang lebih rela diceraikan dalam usia emas daripada terus makan hati.

2 comments:

  1. banyak yang boleh dijadikan tauladan.

    ReplyDelete
  2. Jodoh ditangan tuhan. Namun usaha mempertahankannya adalah dari kedua belah pihak. Suami dan isteri. Kadang-kadang yang kita nampak biasa itu sebenarnya luar biasa. Kita tidak boleh menganggap tak apa saja kehidupan rumah tangga. Kena sensitif tak boleh buat tak tahu. Bila dah terlajak susah nak betulkan balik. Tanpa saling mengambil tahu antara suami dan isteri seolah-olah masing-masing macam orang lain yang bebas buat apa sahaja.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...