terima kasih buat kalian semua..

Sunday, October 14, 2012

Nilai cinta bila bercinta dengan warga asing...

SELAMA ini saya hanya membaca kisah yang dipaparkan di ruangan ini, langsung tak terfikir akan turut menyumbang. Tetapi apabila diri sendiri terkena baru saya sedar betapa tenteramnya jiwa setelah mencurahkan isi hati di sini.'' Cerita Fikri yang berkhidmat di bahagian teknikal dengan sebuah kementerian di KL.

''Berusia dekat 40 tahun, 18 tahun berkahwin dan ada tiga anak, saya ingin berkongsi pengalaman pahit agar rakyat Malaysia khususnya lelaki tidak mudah tertipu dengan cinta plastik wanita warga asing. Sebab kisah 30 September lalu ada menyebut 'Trend lelaki sekarang suka kahwin dengan wanita asing.' Jadi di sini saya ingin nasihatkan jangan mudah tertipu akhirnya jadi mangsa seperti saya.

''Kisah percintaan saya bermula apabila kerap dihantar bertugas ke Tawau, Sabah. Di sana pasti bertemu ramai wanita Filipina, orangnya cantik, peramah dan senang didampingi. Pertemuan pertama dengan Bella pertengahan tahun lepas berakhir dengan perjumpaan berulang-ulang kali.

''Dari mula berkenalan akhirnya beberapa kali kami terlanjur hingga Bella ditangkap oleh Imigresen Sabah kerana tiada pasport dan dihantar balik. Dua bulan selepas itu dia datang semula, kami berjumpa dan saya jatuh cinta dengan kelembutan dan keramahannya.

''Bermula dengan berkenalan akhirnya timbul niat baik saya hendak menyelamatkan Bella dengan berkahwin dengannya. Walaupun dia baru berusia 24 tahun tapi sudah mempunyai seorang anak kerana dipermainkan kekasihnya. Kerana kecewa dia lari ke Tawau mencari pekerjaan menyara hidupnya dua beranak.

''Atas dasar simpati saya hulurkan bantuan ribuan ringgit supaya dia balik ke kampungnya di Molave, Zamboanga Del Sur. Dia balik secara haram dengan bot. Demi cinta saya berjanji akan ambil anaknya sebagai anak sendiri. Beribu ringgit duit saya terbang untuk membiayainya kerana dia setuju nak masuk Islam.

''Walaupun berjauhan, kami sentiasa berhubung melalui telefon. Kegilaan saya membuat isteri dan anak-anak curiga. Saya terus-terang pada isteri, saya nak kahwin dengan wanita Filipina. Hanya Allah sahaja tahu perasaan isteri saya, walaupun dia bekerja, tapi dia sabar dengan kerenah saya, tak melawan, tak mengamuk, apa lagi memarahi saya, hanya air mata jadi teman setia.

''Kerana cinta, saya ke Cebu City bertemu Bella. Tapi dia tak tinggal di sana, dia tinggal dengan datuknya di Molave. Akhirnya kami berjumpa di Mactan International Airport, Cebu. Saya berjumpa dengan ibu bapa dan anaknya. Empat hari saya di sana.

''Keluarga Bella dan kehidupan penduduk di sana amat daif dan miskin. Itu membuatkan saya berjanji akan pelihara Bella dan anaknya. Saya sempat solat di rumahnya! Di rumah orang Kristian. Mereka hairan, tapi niat saya semoga satu hari nanti Allah bukakan pintu hati mereka. Amin! 

''Banyak saya berbelanja untuk keperluan mereka, beribu ringgit saya habiskan sebelum kembali ke KL. Semuanya demi cinta. Tak lama kemudian Bella beritahu dia jatuh sakit, saya hantar duit untuk dia berubat.
''Ketika itu saya langsung tak peduli perasaan isteri saya. Pertama kerana tengah mabuk cinta, kedua, hati saya ikhlas nak bawa Bella masuk Islam.

''Tak lama lepas itu datuk Bella mati, saya korban duit ringgit untuk terbangkan keluarganya dari Cebu ke Molave. Untuk pengetahuan, sepanjang hidup mereka tak pernah naik kapal terbang. 

''Saya baiki rumah buruk mereka supaya hidup mereka lebih selesa, saya pasangkan Internet. Saya carikan kerja untuk Bella dan sediakan rumah di KL. 

''Diri saya juga turut berubah, kalau dulu gila motor besar, sejak bercinta saya jual motor besar, sebab saya fikir tak ada masa untuk itu semua. Saya turun naik pejabat imigresen dan kedutaan Filipina di KL bertanya cara membawa Bella. Pendek kata semua sudah sedia kecuali restu isteri.

''Untuk urusan perkahwinan, saya ke Clark City memujuknya segera nikah, lepas tu kami makan angin ke Manila. Akhirnya Bella setuju nikah dan masuk Islam. Tapi syaratnya saya tidak boleh ceraikan isteri saya. Dalam masa sama, saya siapkan tempahan baju dan hotel untuk resepsi perkahwinan kami.

''Tetapi manusia hanya merancang, Allah maha mengetahui, mungkin Allah makbulkan doa saya di depan Baitullah sewaktu menunaikan umrah bersama isteri saya. Dalam doa saya memohan agar Allah bukakan pintu hati Bella menerima Islam. 

''Entah macam mana tiba-tiba saya rasa curiga. Belek punya belek gambarnya dalam facebook, akhirnya saya terjumpa gambar terbaru Bella dengan bekas teman lelakinya. Terkejut saya. Saya tanya Bella. Dia cuba berbohong, tapi dia tidak berjaya menipu saya.

''Tak sangka dia sanggup tipu saya, sedangkan saya korbankan segalanya. Akhirnya dia mengaku, dia belum bersedia masuk Islam dan tak cintakan saya. Dia mengaku gunakan saya untuk kikis duit demi kesenangan hidupnya. Sakitnya hati!

''Saya rasa diperbodohkan. Alasannya dia boring dan sepi sebab saya jauh di Malaysia, sedangkan dia di sana. Punyalah hangin saya, inikah kesetiaan? Memang dasar perempuan penipu! Jerit saya.
''Saya kesal. Nasib baik isteri saya penyabar dan setia, walaupun saya hancurkan hatinya, hanya Allah tahu betapa remuknya perasaannya selama ini. Saya tak salahkan sesiapa, hanya Allah yang tahu. Pengalaman pahit ini sukar saya terima. Duit habis lebih RM30,000 tapi itu saya tak kisah, namun masalah kena tipu paling sakit!

''Buat semua lelaki warga Malaysia yang berhasrat berkahwin dengan warga Filipina atau warga seberang, fikir masak-masak. Cantik memang cantik, menarik dan menawan, tetapi racun di dalamnya sangat berbisa...they just a liar!!! Jangan percaya bulat-bulat, selidik dan periksa dulu, kalau perlu buat serbuan mengejut.

''Saya rasa mungkin bukan saya seorang terkena, ramai lagi lelaki lain sudah terkena, terutama yang sering ke Princess, Tawau, cuma mereka tak mengaku. Tawau ada ramai gadis Filipina bekerja di sarang pelacuran, kerana itu sumber hidup, sebab mudah cari duit.

''Jabatan Imigresen Sabah lebih faham, sebab mereka buat operasi, namun saya harap operasi lebih keras dan kerap. Sebab kalau dihantar balik dua tiga bulan kemudian mereka datang lagi.'' Itu pengakuan Fikri panjang lebar tentang pengalaman pahit bercinta dengan warga asing, bukan murah tapi mahal, bukan mudah tetapi susah.

3 comments:

  1. sndiri buat sndiri tggung la budak....ko nasib bek bini ko syg ko je...taksub sangat,,padan muka ko

    ReplyDelete
    Replies
    1. Manusia boleh berubah dari kesilapan belajar dari kesilapan diri sendiri mungkin ada hikmah dari kesilapan kita apa2 pun pandang ke hadapan perkara yang lepas jadikan pengajaran hidup

      Delete
  2. Yang ko cari awek pilipin asal bro? Org skarang cari bini morrocco atau rusia! Org pilipin memang kaki kikis, ko je yg kurang sedar

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...