terima kasih buat kalian semua..

Sunday, October 14, 2012

Suami makin galak selepas dibuang kerja !!!

SAAT yang paling gembira di hati seorang wanita adalah apabila bergelar isteri dan ibu. Terasa sempurna dilahirkan sebagai wanita kerana telah berkorban untuk membahagiakan dan membesar sebuah keluarga yang tercinta.

Amanah yang digalas amat besar dan berat, jika tersalah langkah akan kecundang dan merana sepanjang hayat. Pun begitu ada kalanya manusia terlupa akan amanah ini apabila telah dapat apa yang mereka mahu.
Tidak kira isteri atau suami, jika leka membahagiakan rumah tangga, anak-anak akan menjadi mangsa. Bapa sibuk dengan dunianya sendiri, mengejar mimpi yang tidak pasti. Isteri pula merajuk hati dan lari membawa diri.

Bagaimana jika suami yang buat hal? Tentu isteri yang tertekan, namun hidup mesti diteruskan dengan doa agar satu hari nanti suami akan berubah fikiran dan kembali ke pangkuan keluarga.
Demikian inti pati kisah yang dikirim oleh Mas (bukan nama sebenar) untuk dikongsi dengan pembaca. Nak tahu cerita Mas seterusnya, ikuti pengakuannya ini.

"Saya, berusia lewat 30-an, bernikah dengan suami yang saya panggil Asri (bukan nama sebenar) kira-kira 15 tahun lalu. Kami dikurniakan sepasang cahaya mata berusia 13 dan 11 tahun. Kami suami isteri adalah penjawat awam.

"Pada awal pernikahan, kami amat bahagia kerana tiada masalah kewangan, jika ada pun masih boleh ditangani dengan baik. Perbelanjaan kami sederhana dan itu sudah cukup, tidak perlu bermewah memandangkan kedua-dua anak kami masih bersekolah.

"Di luar pengetahuan saya, suami telah melakukan kesalahan yang serius sehingga dibuang kerja. Menurut laporan yang diterima kesalahan tersebut tidak boleh dimaafkan kerana telah berulang kali berlaku.
"Berita tersebut tentu menghancurkan hati saya sebagai isteri, terutama apabila mengenangkan suami seorang yang tegas dengan saya dan anak-anak. Dalam tempoh beberapa bulan Asri menjadi penganggur.

"Perbelanjaan kami bertambah merosot sehingga anak-anak pun terpaksa dicatu perbelanjaan sekolah mereka. Puas mencari pekerjaan yang sesuai, namun kesemuanya mendukacitakan. 
"Sehinggalah akhirnya mungkin rezeki anak-anak, Asri diterima bekerja di sebuah syarikat swasta. Selepas tiga tahun bertugas, perangainya yang lama berulang kembali. Dia jatuh cinta dengan seorang gadis bernama Anita (bukan nama sebenar) yang bekerja sebumbung dengannya.

"Maklumat yang saya terima, suami saya hanya bertepuk sebelah tangan, maksudnya cintanya terhadap Anita tidak berbalas. Tetapi ego lelaki tinggi apabila ditanya saya akan dimarahi dan terus keluar dari rumah dan pulang hampir subuh.
"Begitulah perangainya sehingga kini. Dia tidak mahu berubah dan tidak mahu menerima hakikat yang gadis bernama Anita itu tidak menerima cintanya.

"Pelbagai cara dilakukan oleh suami untuk mendekati gadis itu. Perkara ini menjadi sebutan ramai. Ada dalam kalangan kawan-kawannya menjadi penasihat tidak bertauliah dengan menyuntik semangat supaya dia berusaha mendapatkan gadis tersebut dengan apa cara sekali pun.
"Hidup jika lupa asal usul memang sukar untuk mencapai sesuatu yang dihajati. Kesalahan silam yang pernah meragut kerjayanya sepatutnya menjadi peringatan untuk berubah sikap demi masa hadapan keluarga tetapi sebaliknya pula yang berlaku.

"Saya cuba menasihatinya, namun umpama mencurah air di daun keladi. Sia-sia sahaja. Di penghujungnya saya dipersalahkan kerana tidak bersyukur dengan apa yang ada. Bagaimana harus bersyukur jika suami masih mencari di luar, sedangkan saya harus berkorban untuk rumah tangga?
"Perbelanjaan rumah, saya yang banyak keluar dan dahulukan. Pendek kata segala-galanya saya yang harus dahulukan. Dia buat tidak tahu sahaja dan sibuk dengan aktivitinya mengurat Anita yang tidak berkesudahan.
"Apa muslihat lelaki yang menjadi suami saya ini? Apa yang ingin dia lakukan sedangkan dia tahu, hasilnya bagaimana?.

"Anak-anak pernah bertanya saya mengapa ayah selalu pulang lewat dan hujung minggu tidak pernah ada di rumah. Saya malu dengan anak-anak, bagaimana hendak saya jelaskan kepada mereka.
"Nak berbohong? Mereka sudah dewasa untuk memahami apa yang terjadi dalam hubungan saya dengan bapa mereka.
"Apa yang saya dengar daripada kenalannya, Asri memang sentiasa mengganggu Anita. Dia mendera perasaan gadis itu, dicabarnya Anita supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika benar ada bukti dia diganggu. Memang susah nak dapatkan bukti sebab semua itu dibuatnya dengan teliti sehingga sukar untuk dikesan.

"Sebagai isteri, saya malu pada masyarakat dan teramat malu kepada diri sendiri seolah-olah saya tidak tahu menjaga suami yang menjadi liar yang luar biasa. Saya juga pelik dengan sikapnya tidak sedar diri dan tidak mahu cermin diri sendiri.
"Sepatutnya dia menjaga maruah dirinya sebagai lelaki. Dia juga harus sedarkan diri, mesti faham bila orang tak mahu maknanya lebih baik angkat kaki, jangan nak hadap lagi. Ini tidak, terhegeh-hegeh juga nak ganggu orang. Jika saya di tempat Anita, saya juga akan melakukan perkara yang sama.
"Saya tahu Anita bukan gadis yang suka merampas hak orang lain. Dia mungkin beranggapan buat apa diganggu rumah tangga orang, sedangkan ramai lagi yang masih bujang!!!. Biarlah menjadi andartu daripada menjadi kutu malam yang sentiasa buat kacau sana sini. Di mata saya, Anita seorang gadis yang bijak, sebab itu dia bertindak macam itu.

"Saya berasa masih belum terlambat untuk suami saya menoleh ke belakang dan melihat saya dan anak-anaknya yang terabai selama ini. Beri perhatian kepada anak-anak, sebab itu amanah daripada Allah. Bukan mengejar Anita ke sana-sini.
"Saya pelik kenapa suami apabila buat hal tidak pernah langsung nak ingat akan janji-janji di hadapan tok kadi tentang peranan dan tanggungjawab suami terhadap isteri dan anak-anak. Ini bukan soal sehari dua tetapi sepanjang hayat.

"Sekarang masanya untuk melunaskan segala yang belum terlaksana. Apa yang kurang diperbetulkan, malah ditingkatkan segala-galanya agar hidup isteri dan anak-anak terpelihara di dunia dan akhirat.
"Saya sudah letih menasihati dan menegur. Bukan didengarnya, sebaliknya saya pula dipersalahkan. Saya tidak mahu lagi menambah dosa. Saya hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti suami akan sedar dan kembali ke pangkal jalan.

"Jika dia terbaca ruangan ini, saya amat berharap dia lupakan hasratnya untuk mendapatkan Anita kerana tidak semua perempuan suka hak orang, malah mereka malu untuk dilabel sebagai perempuan perampas!
"Peliharalah maruah keluarga dan maruah orang lain kerana kita semua adalah makhluk yang dikurniakan dengan akal yang sempurna untuk berfikir. Fikir dengan waras sebab isteri, anak-anak dan keluarga adalah amanah Allah.

"Jangan ikut hati dan perasaan. Jangan ikut perangai kawan-kawan yang suka melihat orang lain hidup susah dan menderita. Mereka hanya mencabar tapi kalau suruh buat, tentu mereka tak berani. Sebab lelaki macam itu hanya pandai bercakap tetapi tidak ada keberanian. Mereka juga takutkan isteri.

"Saya amat berharap, satu hari nanti Allah akan makbulkan doa saya untuk melihat semula suami kembali menjadi Asri yang pertama kali saya kenal dahulu. Asri yang bertanggungjawab dan penyayang. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan doa saya. Amin!'' begitu Mas menutup ceritanya.      
Syabas Mas kerana menjadi seorang isteri yang tabah dan sabar melayan kerenah suami. Apa yang Mas lakukan patut dicontohi isteri-isteri yang menghadapi masalah yang sama seperti Mas. Elak daripada melatah dan bertindak mengikut hati tetapi gunakan akal untuk berfikir dan utamakan anak-anak dalam apa juga keputusan yang diambil.

Saya turut mendoakan kebahagiaan untuk Mas dan anak-anak. Insya-Allah, kesabaran akan menghasilkan kebahagiaan. Ingatlah, Allah sentiasa mendengar doa hamba-Nya.
Sebagai penamat catatan, sepatah pesanan daripada saya, dekatilah Allah dalam suka, insya-Allah Dia akan mengenalmu dalam susah.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...