terima kasih buat kalian semua..

Sunday, November 4, 2012

Awasi perangkap & ayat2 syaitan...

DEWASA ini, jin, iblis dan syaitan terus menjadi 'pujaan' para pembikin filem yang diterjemahkan ke dalam naskhah yang dipersembahkan kepada khalayak.
Tujuannya hanya satu, iaitu bagi memastikan setiap filem terbitan mereka pecah panggung. Natijahnya, secara berterusan para penonton akan terus disogokkan dengan fahaman salah atau tidak tepat mengenai makhluk yang juga hamba Allah, sama seperti manusia itu.

Iblis dan syaitan tanpa sebarang takwil adalah makhluk ghaib yang sudah diwartakan dalam al-Quran sebagai musuh manusia yang nyata. Peperangan melawan makhluk ini adalah berat sebelah seperti peperangan gerila kerana manusia tidak mampu melihat mereka. Tetapi pada bila-bila masa boleh menyerang manusia secara mendadak.

Oleh itu, umat Islam perlu mengenali musuh mereka ini dengan mendalam bagi menyelamatkan mereka daripada terjerumus ke dalam perangkap syaitan yang sudah terlalu banyak menghancurkan manusia.
Sedar atau tidak, sebenarnya sudah terlalu banyak buku-buku agama di pasaran yang membicarakan mengenai tipu helah iblis dan syaitan terhadap manusia. Cuma umat Islam sahaja yang buat-buat tidak nampak. Terlalu banyak alasan yang diberikan untuk tidak menyentuh, membaca atau membelinya. Tetapi apabila demam tarian 'kuda kepang' gangnam style dari Korea meledak, ramai pula yang bersusah-payah belajar dan memuat turun videonya daripada youtube.

Jika berkesempatan, bacalah buku terbaru di pasaran, Ayat-Ayat Syaitan, Membongkar Rahsia Jin, Iblis & Syaitan Dalam Al-Quran persembahannya amat santai, senang halwa mata untuk dibaca melalui penggunaan kaedah Tafsir Tematik (Mawdu'i) yang membincangkan secara tersusun ayat-ayat khusus berkaitan syaitan dalam al-Quran.
Pendekatan Tafsir Tematik lebih berkesan untuk mendekatkan manusia awam moden yang amat sibuk dengan urusan harian kepada al-Quran.

Rasional pemilihan kaedah Tafsir Tematik ialah kerana al-Quran dengan jumlah ayatnya 6,236 seumpama 'minyak mentah' yang pastinya menyusahkan pemandu jika secara terus dituang ke dalam tangki kereta.
Untuk lebih menyerlahkan manfaat pada minyak tersebut, pihak yang memiliki kemahiran memprosesnya perlu melakukan proses saringan agar faedah daripadanya dapat digunakan oleh manusia sejagat.
Lantaran itu, penggunaan kaedah Tafsir Tematik seumpama suatu proses saringan dan penyusunan semula ayat al-Quran di bawah suatu tajuk yang khusus untuk memudahkan orang awam memahami al-Quran.
Menyentuh mengenai tajuk buku ini, ia mungkin agak kontroversi, tetapi buku ini bukanlah seperti Satanic Verses karya jahat Salman Rushdie yang biadab menolak al-Quran dan pernah menggemparkan dunia Islam pada tahun 1980-an. 

Yang pastinya, buku ini adalah tulisan daripada hamba Allah yang sudah bersumpah mengabdikan dirinya kepada al-Quran sejak 1993 ketika mula menjejakkan kaki ke Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam malaysia (Jakim).
Tajuknya lebih kepada suatu bentuk dakwah moden bertujuan menarik sebanyak mungkin pembaca agar manfaat yang terdapat dalam buku ini dapat melimpah kepada semua.
Dalam buku ini juga, penulis menggunakan beberapa kaedah mesra pembaca seperti beberapa nas al-Quran dan hadis digariskan bagi membolehkan pembaca memahami fokus perbincangan nas tersebut.
Beberapa hadis juga disertakan dengan sumber ambilan bersama rujukan kitab dan bab, bagi memudahkan pembaca merujuk secara terus kepada kitab hadis yang diberikan. 

Malah kesimpulan pada setiap bab juga disertakan bagi melancarkan rujukan perbincangan yang panjang lebar.
Langkah ini bersesuaian dengan tahap orang awam yang memerlukan nota ringkas daripada sesuatu perbincangan. Peta minda keseluruhan perbincangan isi buku disediakan pada akhir buku yang akan membantu pembaca memahami idea secara keseluruhan penulisan buku ini.
Buku ini sebenarnya cuba membongkar serangan syaitan ke atas manusia dan cara menghadapinya berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.
Buku setebal 226 muka surat hasil nukilan Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz ini boleh dibeli dengan harga RM17 bagi Semenanjung dan RM19 bagi Sabah dan Sarawak.

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...